25 Ogos, 2010

Kriteria Pemilihan Saham Adam Khoo

Cara Beliau Beli Saham Berpotensi Pada Harga Terdiskaun

Baru-baru ini saya telah membaca buku Profit from the Asian Recovery oleh Adam Khoo. Beliau adalah seorang usahawan, pembimbing pelajar dan pelabur dari Singapura yang telah menulis buku-buku tentang cara mencapai potensi peribadi dan juga mengenai pelaburan.


Buku ini menerangkan tentang bagaimana Asia bakal menerajui pemulihan global kelak dan memberikan dua senario semasa buku ditulis, iaitu ekonomi terus pulih atau ekonomi mengalami double dip recession (yang kini semakin tinggi kebarangkaliannya berasaskan senario semasa di Amerika).

Tetapi lebih menarik lagi ialah kriteria yang digunakan oleh beliau untuk memilih saham. Kriteria tersebut saya senaraikan di sini:

1. Jualan, keuntungan dan aliran tunai yang meningkat secara konsisten
2. Kelebihan daya saing yang boleh dikekalkan
3. Prospek pertumbuhan yang tinggi
4. Tahap hutang yang konservatif
5. Pulangan atas ekuiti yang tinggi
6. Pihak pengurusan memegang dan membeli saham
7. Harga saham di bawah nilai asas (intrinsic value)

Berasaskan kriteria pemilihan, saya dapati kaedahnya banyak menyerupai teknik pemilihan saham Warren Buffet. Selain itu beliau juga memberikan lima nasihat berikut:

1. Melabur dengan wang anda tidak perlukan
2. Pastikan anda mempunyai tunai yang mencukupi
3. Jangan berhutang untuk membeli saham
4. Pelbagaikan pelaburan tetapi jangan lakukannya secara berlebihan
5. Melabur secara konsisten dan bukan melabur semua wang anda secara sekaligus

Memang nasihat yang diberikan amat baik dan walaupun saya sendiri menggunakan kriteria dan kaedah yang sedikit berbeza, teknik yang digunakan oleh Adam Khoo amat kukuh dan mantap dan juga sesuai digunakan oleh pelabur baru.

22 Ogos, 2010

Risiko Muflis Dengan Hutang Kereta

Penghutang Pinjaman Kereta Dahului Senarai Bankrapsi

Saya terbaca satu artikel dalam akhbar The Star bertajuk "Car loan takers top bankruptcy list" pada hari ini. Menurut artikel tersebut pada tahun ini lebih 500 orang diiystihar muflis sebulan akibat pinjaman kereta dan jumlah tahun ini dijangka tertinggi dalam sejarah.

Malah kes bankrap akibat pinjaman kereta merupakan punca kemuflisan tertinggi di Malaysia, merangkumi 24% daripada jumlah kes. Di tempat kedua ialah pinjaman peribadi dengan 12% dan pinjaman perniagaan 11%.

Penghutang boleh diiystiharkan muflis jika berhutang lebih RM30,000. Jadi prosiding bankrapsi hanya dimulakan oleh bank setelah pinjaman sampai ke tahap itu selepas mengambil kira faedah.

Lihat carta berikut untuk melihat statistiknya. Klik sini untuk baca artikel.

Dipetik daripada The Star

Pada pandangan saya, fenomena ini tidak menghairankan kerana di Malaysia ramai orang sebenarnya tidak mampu membeli kereta yang mereka beli. Kriteria yang digunakan ialah sama ada gaji cukup atau tidak untuk menampung ansuran bulanan.

Tapi kadangkala kita lupa bahawa punca pendapatan kita mungkin tidak sekukuh yang disangka. Kedua, perbelanjaan kita mungkin meningkat disebabkan perkara tidak diduga. Ketiga banyak perkara lain yang mungkin kita perlukan dalam tempoh pinjaman kereta yang tidak diambil kira dalam perancangan.

Satu lagi faktor yang menyebabkan ramai yang tidak dapat membayar pinjaman ialah bayaran wang muka 0% yang ditawarkan untuk membeli kereta.

Pada pendapat saya, jika anda tak mampu bayar sekurang-kurangnya 10% sebagai wang muka, anda tak mampu beli kereta tersebut. Selain itu, jika anda tidak mampu membayar ansuran bagi tempoh pinjaman 5 tahun, anda juga tak mampu untuk membeli kereta itu.

Ada sesetengah orang yang serahkan sahaja kereta mereka kepada bank apabila tak mampu bayar kerana harga jualan lebih rendah daripada nilai hutang. Tetapi harus diingat, anda bertanggungjawab membayar bank perbezaan antara harga jualan kereta dan nilai hutang.

Jika tidak bank akan terus mengenakan faedah atas hutang dan apabila hutang mencecah angka RM30,000, anda akan diisytiharkan muflis. Nama anda juga akan dimasukkan dalam senarai hitam kredit, walaupun anda belum diisytihar muflis.

Ramai yang tidak sedar betapa seriusnya masalah orang muflis ini. Seorang muflis tidak boleh pergi ke luar negara, tak boleh memegang aset, tak boleh mendapatkan pinjaman lain dan dikenakan beberapa sekatan lain. Beliau hanya akan dilepaskan daripada belenggu ini apabila jumlah hutang dijelaskan.

Jika anda bercadang membeli kereta atau menukar kereta, cuba buat pengiraan jumlah yang anda mampu bayar dan kereta yang anda mampu beli, kemudian beli kereta satu atau dua tahap di bawah itu. Banyak perkara lebih penting untuk difikir dan diperuntukkan daripada kereta yang cantik atau canggih.

18 Ogos, 2010

Pelaburan Berasaskan Nilai

Kaedah pelaburan dipelopori Ben Graham dan David Dodd

Pelaburan berasaskan nilai atau value investing ialah kaedah pelaburan yang dipelopori oleh pelabur tersohor, Benjamin Graham. Menggunakan kaedah ini, pelabur membeli saham yang harganya lebih rendah daripada nilai asas (intrinsic value), yang ditentukan berasaskan analisis asas (fundamental analysis).



Pelabur yang melabur berasaskan kaedah ini berharap untuk mendapatkan untung apabila saham naik sama ada kerana:

1. Ramai pelabur lain mula melihat nilai sebenarnya
2. Syarikat mencatatkan prestasi baik
3. Syarikat diambil alih oleh syarikat lain.

Buku pertama mengenai kaedah pelaburan ini dinamakan Security Analysis oleh Benjamin Graham dan juga David Dodd yang ditulis pada tahun 1934 dan masih boleh didapati di kedai buku pada hari ini!



Konsep asas beliau ialah beli saham yang harganya lebih rendah daripada nilai buku atau book value syarikat. Book value kini banyak dirujuk sebagai net tangible assets (NTA) atau nilai aset ketara bersih dan jika anda membaca laporan tahunan dan suku tahunan syarikat di laman web Bursa Malaysia, NTA digunakan.

Perbezaan antara harga dan nilai aset syarikat dinamakan 'margin of safety'. Sebagai contoh, katakan pelabur membeli saham dengan NTA RM1.20 pada harga RM1.00. Dari segi teorinya beliau membayar hanya RM1.00 untuk aset bernilai RM1.20 dan margin of safety yang diperolehi ialah RM0.20 sen.

Namun begitu konsep harga lebih rendah daripada aset telah dikembangkan dan kini nilai asas juga boleh dikira berasaskan nisbah harga pendapatan dan juga menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun (discounted cash flow).

Seperti yang diketahui umum, Ben Graham ialah guru kepada pelabur tersohor di dunia Warren Buffet, tetapi kaedah yang digunakan oleh Buffet adalah kombinasi antara value investing dan juga growth investing.

Untuk mendapatkan idea yang lebih baik tentang pelaburan berasaskan nilai, buku yang lebih relevan kepada pelabur yang baru belajar ialah buku Intelligent Investor juga oleh Benjamin Graham.



Nota
Walaupun nampak mudah, sebenarnya adalah sukar bagi pelabur menentukan nilai asas atau intrinsic value syarikat. Ada yang menggunakan aset, ada yang menggunakan pendapatan dan ada yang menggunakan aliran tunai. Jika tiga penganalisis berbeza disuruh menilai sesuatu syarikat, kita pasti akan mendapat tiga nilai yang berbeza.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah kadangkala aset bersih syarikat itu tidak berguna, sudah usang atau tidak boleh membawa nilai kepada syarikat, justeru pelabur perlu berhati-hati apabila menggunakan nilai aset bersih sebagai perbandingan.

16 Ogos, 2010

Melabur Pasaran China Dengan Unit Amanah

Potensi agak besar tetapi perlu tentukan masa terbaik untuk membeli

Kita semua tahu tentang potensi besar dan perkembangan pesat negara China dan rantau sekitarnya sejak beberapa tahun lepas. Pasaran saham China dianggap antara pasaran hangat kira-kira tiga-empat tahun lepas.

Namun begitu kehangatan tersebut mula pudar sejak kebelakangan ini. Malah dalam tempoh setahun yang lalu, pasaran saham China tidak naik seperti pasaran saham lain di rantau ini.


Dipetik daripada Yahoo Finance

Tetapi potensinya untuk kembali menggegar tetap ada, cuma kita perlu menentukan masa paling sesuai untuk melabur.

Ada beberapa cara untuk melabur dalam pasaran saham China. Pertama sekali ialah dengan membuka akaun dengan broker yang membolehkan anda membeli pasaran di rantau tersebut, kedua ialah melabur dalam syarikat di China yang tersenarai di Malaysia.

Tetapi cara yang selamat untuk mendapatkan pendedahan kepada pasaran di China ialah menerusi unit amanah yang melabur dalam pasaran saham China.

Buat masa ini terdapat 3 dana patuh Syariah yang melabur di China iaitu

1. Public China Ittikal
2. CIMB Greater China Equity
3. Prudinasty Equity

Di antara 3 dana ini, dana daripada Public dan CIMB hanya boleh diperolehi menerusi ejen, manakala Prudinasti boleh diperolehi menerusi fundsupermart.com, yang menawarkan caj jualan hanya 2%.

Setakat ini, ketiga-tiga dana tersebut menghasilkan pulangan negatif kerana prestasi kurang baik pasaran saham di China, seperti yang saya sebutkan sebelum ini.

Namun begitu, perlu diingat bahawa sejak lebih setahun lepas, pihak berkuasa China telah mengambil langkah untuk 'menyekat' spekulasi di pasaran hartanah dan juga saham. Justeru kejatuhan ini adalah tidak menghairankan.

Kejatuhan ini mendahului apa yang saya jangka kejatuhan yang akan berlaku di pasaran Amerika menjelang akhir tahun (mungkin sudah bermula).

Memandangkan pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhannya dijangka lebih perlahan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, mungkin lebih baik menunggu sedikit masa lagi sebelum melabur.

Jika anda berminat melabur, untuk mengelakkan kesilapan timing, pecahkan pelaburan anda kepada jumlah lebih kecil dan laburkan setiap dua bulan untuk mendapatkan harga purata sekiranya pasaran terus turun.

Seperti biasa, saya tekankan bahawa anda tidak harus melabur dalam hanya satu jenis pelaburan dan pastikan pelaburan ini hanyalah sebahagian daripada portfolio pelaburan anda yang lebih terpelbagai.

13 Ogos, 2010

Manfaatkan Puasa, Jauhkan Keinginan Berbelanja

Elakkan makan dan berbelanja berlebihan di bulan mulia ini

Pada bulan Ramadan ini, ada banyak blog agama yang menyentuh dengan tentang cara mendapat pahala maksimum dan mengurangkan dosa di bulan Ramadan, termasuklah blog Ustaz Zaharuddin.

Selain daripada dari manfaat di akhirat, saya pula ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya tentang isu dunia bulan puasa dan Hari Raya, iaitu dari segi kewangan dan fizikal.

Pertama sekali saya mengingatkan diri saya untuk cuba mengelakkan buffet Ramadan melainkan kalau ada majlis yang perlu dihadiri.

Puasa ialah peluang untuk membersihkan perut kita daripada segala toksin dan makan berlebihan sepanjang tahun. Jika kita terlalu melayan makanan yang dihidangkan semasa berbuka, sudah tentulah manfaat tersebut tidak diperolehi.

Saya biasa juga makan buffet pada tahun-tahun sebelum ini dan mendapati kita terdorong untuk makan banyak sehingga rasa malas dan perut terlalu kenyang. Ini sudah tentulah memadamkan segala faedah berpuasa jika dilakukan terlalu kerap.

Selain itu, harga buffet dah naik melambung, seiring dengan sambutan yang diterima. Ini bukan salah hotel atau restoran kerana mereka ada permintaan dan selagi permintaan tinggi, harga boleh dinaikkan.

Rasanya banyak alternatif lain seperti beli dari geri Ramadan, makan di restoran secara pesanan atau berbuka di masjid (dan sambil itu sedekahkan sikit wang).

Kedua saya mengingatkan diri saya untuk tidak berbelanja secara berlebihan pada bulan ini. Saya ada lihat pelbagai 'tawaran' sempena Raya, ada yang mengajak kita membeli kereta baru (dengan hutang), membeli perabot baru (dengan hutang) dan membeli langsir dan permaidani baru (dengan hutang).

Malah ada iklan yang mengajak kita untuk mendapatkan pinjaman peribadi (tambah hutang) untuk menyambut Raya. Memang hebat!

Ketiga saya mengingatkan diri saya untuk cuba sedaya untuk tidak bermalas-malas dan melakukan juga aktiviti biasa, termasuk bersenam, yang dilakukan pada bulan-bulan lain, dan makan seperti biasa pada waktu malam, iaitu tidak gelojoh menggantikan apa yang tertinggal pada waktu siang. Dengan tindakan ini, diharapkan boleh juga dikurangkan berat badan.

Ada kalanya perkara sebaliknya berlaku, iaitu daripada berpuasa menyihatkan kita, badan menjadi bertambah berat dan tidak sihat kerana makan berlebihan semasa berbuka atau raya.

Akhir sekali dan paling penting, saya mengingatkan diri saya supaya lebih rajin pergi ke masjid.

Saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca blog. Semoga segala amalan kita diterima Allah dan dosa kita diampunkan.

09 Ogos, 2010

Melabur Dalam Komoditi Menerusi Unit Amanah

Cara lebih selamat untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi

Kita sedia maklum tentang kenaikan harga kebanyakan komoditi termasuk minyak dan minyak sawit, pada tahun 2008. Terdapat beberapa cara untuk memanfaatkan kenaikan harga komoditi sekiranya anda berpendapat harga komoditi akan terus naik pada masa depan, iaitu melibatkan diri dalam pasaran hadapan komoditi, melabur dalam syarikat pengeluar komoditi atau berkaitan dengannya atau melabur dalam unit amanah yang melabur dalam kumpulan syarikat yang terlibat dalam komoditi.


Sebelum ini agak sukar untuk melabur kerana kebanyakan dana yang melabur dalam syarikat sumber semula jadi dan komoditi adalah tidak patuh Syariah. Tetapi pada tahun ini, sudah ada dua dana yang menawarkan pilihan patuh Syariah, iaitu CIMB Islamic Global Commodities Fund dan AmCommodities Equity.


CIMB Islamic Global Commodities Equity

Dana ini melabur dalam saham sektor sumber semula jadi, bahan asas, tenaga, tenaga boleh diperbaharui, logam dan pertanian. Menurut syarikat pengeluar dana, kadar peningkatan penduduk dan industrialisasi yang semakin pesat akan menjana permintaan yang semakin tinggi bagi komoditi. Justeru, dalam jangka panjang harga komoditi dijangka meningkat seiring dengan kenaikan permintaan.

Pelabur juga berpeluang melabur dalam portfolio syarikat yang agak terpelbagai kerana dana ini bukan sahaja melabur dalam syarikat pengeluar komoditi, tetapi juga syarikat yang berada sepanjang rantaian nilai pengeluaran komoditi. Yuran pengurusan tahunan ialah sehingga 1.85% dan yuran jualan maksimum ialah 6.5% (tanya ejen atau syarikat untuk mendapatkan tawaran terkini dan terbaik). Penanda arasnya ialah Dow Jones Emerging Markets. Klik sini untuk membaca atau memuat turun prospektusnya.



AmCommodities Fund

AmCommodities Fund ialah sejenis Feeder Fund yang melabur dalam CAAM Islamic Global Resources ("Dana Sasaran"). Dana Sasaran pula melabur saham komoditi dan berkaitan komoditi di seluruh dunia yang patuh Syariah, dengan tumpuan kepada sektor tenaga dan perlombongan.

Dana ini menggunakan indeks penanda aras berikut: 50% Dow Jones Islamic Market Oil & Gas + 50% Dow jones Islamic Market Basic Materials. Yuran Jualan Dana ini 5% jika dibeli daripada saluran ejen biasa tetapi turut ditawarkan menerusi Fundsupermart.com pada kadar 2% sahaja. Yuran pengurusannya ialah 1.8%. Jika dilihat daripada penanda aras yang digunakan, dana ini didapati mengutamakan sektor minyak dan gas. Klik sini untuk membaca prospektus.

Bila Untuk Melabur?

Adalah sukar untuk menentukan masa yang paling tepat untuk melabur. Maka bagi mengelakkan kesilapan 'timing', saya cadangkan jika anda ada satu jumlah besar, anda pecahkan kepada lima bahagian dan melabur setiap dua bulan. Ini bermakna pelaburan anda tidak terlalu terjejas jika harga komoditi atau saham berkaitan komoditi jatuh dalam tempoh enam bulan akan datang, kerana anda membeli pada harga purata.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk melabur, pastikan ia sebahagian daripada pelaburan lain yang terpelbagai, dan tidak hanya meletakkan semua wang anda dalam dana komoditi, walaupun anda sangat yakin dengan potensinya kerana kita tahu bahawa tidak ada kepastian dalam dunia pelaburan.

Secara kesimpulan, jika anda rasa harga komoditi akan terus naik pada masa depan, dan anda ingin mengambil kesempatan daripadanya, dua dana patuh syariah ini memberikan cara yang mudah dan terpelbagai untuk melakukannya, dengan risiko yang lebih rendah berbanding melibatkan diri secara langsung dalam pasaran hadapan komoditi atau pasaran saham.

Nota: Maklumat lanjut mengenai feeder fund dan unit amanah secara umumnya boleh didapati dalam buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

05 Ogos, 2010

Risiko Kelas Aset Berbeza

Jangan kira pulangan sahaja, lihat juga risiko pelaburan

Dalam posting kali ini saya ingin menyentuh sedikit tentang risiko kelas aset berbeza. Kita tidak boleh melabur dengan hanya melihat potensi pelaburan sahaja, kita perlu mengambil kira risiko sesuatu aset tersebut.

Berikut adalah risiko utama yang dihadapi oleh setiap kelas aset. Ada banyak risiko lain, tetapi yang dibincangkan adalah risiko yang paling penting sahaja:

Saham
1. Kejatuhan pasaran secara keseluruhan
2. Risiko kemelesatan ekonomi
3. Keuntungan syarikat kurang memuaskan atau syarikat alami kerugian
4. Syarikat muflis.

Unit Amanah
1. Kejatuhan pasaran (saham atau bon) secara keseluruhan
2. Pengurusan dana yang lemah
3. Risiko kemelesetan ekonomi

Bon dan Sukuk
1. Risiko pergerakan kadar faedah/pembiayaan
2. Risiko kegagalan bayaran oleh syarikat/kerajaan

Hartanah
1. Risiko kerosakan fizikal seperti kebakaran (tetap rugi sedikit walaupun ada insurans), tanah runtuh atau bencana alam
2. Risiko kegawatan pasaran hartanah
3. Risiko penyewaan, seperti tiada orang nak sewa atau penyewa buat hal seperti tak bayar bil elektrik, merosakkkan hartanah dan sebagainya

Emas
1. Risiko kejatuhan harga atau harga mendatar (walaupun sekarang tengah hangat, ia pernah berlaku pada 1980an hingga 90an).
2. Risiko kenaikan tidak boleh menampung zakat 2.5% yang perlu dibayar.

Simpanan Bank
1. Risiko kegagalan bank (tetapi ditampung sehingga RM60,000 oleh PIDM)

ASB
1. Risiko kegagalan kerajaan membayar (risiko sangat rendah)

Tabung Haji
1. Risiko pengurusan dana tidak cekap sehingga mengurangkan pulangan (risiko sangat rendah)

Secara umumnya, senarai di atas ialah aset yang biasa dilaburkan oleh rakyat Malaysia, walaupun setiap kelas aset mempunyai cabang-cabang kecil yang lain. Justeru, anda perlu pertimbangkan pulangan yang bakal diperolehi dengan risiko yang diambil sebelum membuat keputusan.

Selain itu, anda juga perlu menilai keadaan semasa semasa melabur, kerana tempoh tertentu mungkin lebih sesuai untuk kelas aset tertentu. Sebagai contoh, dalam perkembangan ekonomi yang pesat, biasanya saham akan naik tinggi manakala dalam keadaan krisis, lebih ramai pelabur lari kepada aset seperti emas.

02 Ogos, 2010

Prestasi Unit Amanah Seimbang Terbaik

Tinjauan Pulangan Dana Seimbang Patuh Syariah

Pada 22 Julai lepas, saya ada menulis tentang Prestasi Unit Amanah Ekuiti (Saham) terbaik. Klik sini untuk membacanya. Kali ini saya meninjau prestasi dana seimbang, iaitu dana yang melabur dalam saham dan juga sukuk patuh syariah.

Berikut adalah sepuluh dana seimbang terbaik, ditarafkan berasaskan pulangan lima tahun. Bagaimanapun, pulangan untuk tiga tahun turut diberikan sebagai perbandingan. Penarafan diperolehi daripada Jadual Dana Lipper

----------------------------------- % 3 thn 5 thn
1. Apex Dana Al Faiz ----------- 14.06, 92.61
2. Hong Leong Dana Maarof--- 11.99, 61.96
3. TA Dana Optimix ------------- 6.19, 54.79
4. Asbi Dana Al Falah ----------- 7.78, 51.58
5. Prudana Ilham --------------- 1.48, 48.45
6. Dana Makmur Pheim -------- -0.41, 42.68
7. AmIslamic Balanced ---------- 1.83, 42.25
8.Dana Islamiah Affin ---------- 1.04, 41.88
9. RHB Mudarabah ------------- 10.12, 38.12
10. Alliance Dana Adib ---------- 4.64, 37.91

Daripada pulangan 5 tahun di atas, kita ambil dana di tempat ke-10 dan dana terbaik sebagai contoh. Jika anda melabur RM10,000 maka anda akan memperolehi lebih kurang RM13,791 dalam tempoh lima tahun bagi dana ke-10 sedangkan dana terbaik akan memberikan anda RM19,291.

Jika kita bandingkan pulangan ASB (pulangan anggaran 8.5% setahun), ASB akan memberikan anda lebih kurang 50% dalam tempoh lima tahun. Cuma anda harus ingat bahawa ASB adalah tanpa risiko dan semua dana ini mempunyai risiko. Perkara ini dapat dilihat lebih jelas dalam perbandingan 3 tahun, di mana ASB memberikan pulangan anggaran 27%, sedangkan dana terbaik hanya mencatatkan 14.06%.

Daripada pulangan yang dicatatkan, didapati ASB memberikan pulangan di tempat ke-5 dalam seluruh dana seimbang yang ditawarkan dan mengatasi kesemuanya bagi prestasi tiga tahun.

Dari segi pulangan terkompaun dana di tangga pertama memberikan pulangan 14% untuk tempoh lima tahun manakala dana di tempat ke-10 memberikan lebih kurang 6.63% sahaja.

Perbandingan Dana Ekuiti dan Dana Seimbang

Jika dibandingkan pulangan dana ekuiti dan dana seimbang terbaik, kita dapati bahawa dana seimbang terbaik mencatatkan pulangan paling tinggi tetapi dana lain hanya mencatatkan pulangan sederhana sahaja dan lebih rendah daripada dana-dana adalam 10 senarai teratas dana ekuiti (klik sini).

Ini tidak menghairankan dalam tempoh di mana pasaran ekuiti umumnya sedang menaik. Tetapi untuk tempoh tiga tahun, tiada perbezaan ketara kerana mereka yang membeli tiga tahun dulu membeli pada tahap tinggi dan menghadapi tahun-tahun krisis pada 2008 dan 2009. Biasanya dalam keadaan krisis, dana seimbang akan mempertahankan nilainya dengan lebih baik.

Justeru pilihan antara dana ekuiti dan dana seimbang hendaklah dibuat berasaskan toleransi risiko anda, dan juga tinjauan tentang hala tuju pasaran saham pada masa depan.

29 Julai, 2010

Melabur Dalam Keadaan Pasaran Tinggi

Gunakan kaedah pengurusan risiko yang baik

Bursa Malaysia telah naik tinggi sejak Mac 2009 dengan kenaikan besar daripada 830 mata sehingga ke hampir 1360 pada waktu ini.

Dipetik daripada Bursastation

Secara peribadi seperti yang saya nyatakan dalam beberapa posting sebelum ini, saya mengesan terdapat beberapa risiko kepada pasaran dalam tempoh enam bulan akan datang termasuk:

1. Keadaan ekonomi Amerika dan Global yang kini mula perlahan kembali
2. Keadaan harga hartanah Asia yang telah melambung naik
3. Kenaikan kadar faedah

Namun begitu bagi mereka yang masih mahu terus melabur dalam pasaran boleh gunakan dua strategi, iaitu, menggunakan dagangan jangka pendek atau pelaburan jangka panjang yang meliputi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

Dalam kaedah pertama, anda meramalkan pasaran tidak akan jatuh dalam tempoh terdekat dan mengambil kesempatan daripada pasaran yang nampak semakin hangat sekarang ini.

Kaedah kedua ialah cuba mencari syarikat undervalued yang mungkin tidak akan terjejas teruk sekiranya pasaran mula merosot, dan memegang untuk tempoh yang agak lama dengan meramalkan bahawa pemulihan kukuh akan berlaku pada masa depan. Malah, kalau pasaran tak turun dan terus naik, lebih banyaklah untung anda.

Walau apa pun, jika anda melabur untuk jangka pendek atau pertengahan, tidak kira apa kaedah pelaburan atau dagangan yang anda gunakan, saya benar-benar cadangkan anda meletakkan stop loss untuk menghadkan kerugian, atau trailing stop untuk mengunci keuntungan.

Dengan cara ini, jika sesuatu 'shock' atau kejutan berlaku kepada sistem ekonomi global, anda menghadkan kerugian atau mengunci keuntungan anda.

Seperti yang saya katakan, saya berehat seketika untuk suku ketiga ini menantikan perkembangan ekonomi global. Tetapi jika anda melabur kerana tidak mahu terlepas kehangatan semasa, atau kerana berpendapat Malaysia tidak akan terjejas dan saham akan terus naik, jangan lupa untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan gunakan kaedah pengurusan risiko yang baik.

26 Julai, 2010

Perisian Smartphone Percuma Di Getjar.com






Dapatkan pelbagai aplikasi bagi segala
jenis telefon pintar di sini


Baru-baru ini saya membaca tentang laman web www.getjar.com yang menawarkan pelbagai perisian percuma bagi segala jenis telefon pintar, termasuk Blackberry, HTC, Nokia, Samsung dan sebagainnya

Selepas mengunjunginya, saya dapati sungguh menarik kerana apabila anda masuk sahaja ke laman web (menerusi komputer), saya ditanya tentang telefon apa yang saya gunakan.

Soalan ini untuk memudahkan laman web mengenal pasti sama ada perisian tertentu yang ditawarkan boleh digunakan oleh telefon anda.

Di Getjar, tidak ada perisian berbayar. Yang ada ialah ia perisian demo, perisian adware (dengan iklan) atau perisian percuma sepenuhnya.

Terdapat pelbagai jenis perisian, dan tiga yang saya perolehi setakat ini ialah Quran, Terjemahan Sahih Muslim, Zakat Calculator dan Compound Interest Calculator.

Zakat Calculator menyediakan kaedah pengiraan zakat dan juga dalil dan juga penerangan terperinci tentang syarat, pengiraan dan jenis zakat.

Compound Interest Calculator, walaupun namanya Interest, tapi kita boleh menggunakannya untuk mengira compounded returns (atau pulangan terkompaun) bagi pelaburan kita.

Bagi aplikasi Islam pula, banyak yang ditawarkan, termasuk segala jenis perisian Quran dan juga terjemahan hadis. Anda boleh pilih yang mana sesuai dengan anda

Untuk memuat turun, anda boleh memuat turun dalam komputer dan kemudian install ke telefon anda atau anda boleh mencatatkan kod muat turun, kemudian gunakan telefon anda untuk melayari laman m.getjar.com dan masukkan kod tersebut.

22 Julai, 2010

Prestasi Unit Amanah Ekuiti Terbaik

Tinjauan pulangan dana ekuiti patuh syariah

Berikut adalah sepuluh dana ekuiti terbaik, ditarafkan berasaskan pulangan lima tahun. Bagaimanapun, pulangan untuk tiga tahun turut diberikan sebagai perbandingan. Penarafan diperolehi daripada Jadual Dana Lipper


------------------------------------ % 3 thn 5 thn
1. Kenanga Syariah Growth --- 17.63, 88.71
2. CMS Islamic ------------------ -13.75, 84.87
3. CIMB Dali EquityGrowth ---- 13.38, 77.49
4. MAAKL Al Faid --------------- 5.98, 76.78
5. Prudana Ilham ---------------- 5.72, 67.01
6. TA Islamic -------------------- 19.33, 66.21
7. Apex Dana Al Sofi-i --------- 8.49, 63.99
8. MAAKL Syariah Index ----- -0.88, 62.70
9. Public Islamic Equity -------- 2.72, 61.79
10. Alliance Dana Adib -------- -1.04, 61.45

Daripada pulangan 5 tahun di atas, kita ambil dana di tempat ke-10 dan dana terbaik sebagai contoh. Jika anda melabur RM10,000 maka anda akan memperolehi lebih kurang RM16,145 dalam tempoh lima tahun bagi dana ke-10 sedangkan dana terbaik akan memberikan anda RM18,871.

Jika kita bandingkan pulangan ASB (pulangan anggaran 8.5% setahun), ASB akan memberikan anda lebih kurang 50% dalam tempoh lima tahun. Cuma anda harus ingat bahawa ASB adalah tanpa risiko dan semua dana ini mempunyai risiko.

Fenomena ini dapat dilihat lebih jelas dalam perbandingan 3 tahun, di mana ASB memberikan pulangan anggaran 27%, sedangkan dana terbaik hanya mencatatkan 19.33%. Ini bermakna dalama keadaan tertentu, terutamanya dalam keadaan krisis, ASB akan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Dari segi pulangan terkompaun dana di tangga pertama memberikan pulangan 13.45% untuk lima tahun manakala dana di tempat ke-10 memberikan lebih kurang 10%.

Pulangan tiga tahun adalah kurang menarik kerana jika kita melabur pada pertengahan 2007, kita akan melalui krisis pada 2008 di mana saham jatuh teruk. Jadi sejak tempoh itu, saham belum lagi dapat naik tinggi untuk mengatasi kejatuhan tersebut.

Kesimpulannya ialah jika anda melabur satu jumlah bila secara sekaligus, bila anda melabur (timing) sedikit sebanyak akan mempengaruhi pulangan yang anda perolehi.

Satu lagi kesimpulan ialah jika anda memegang untuk jangka panjang, terdapat kemungkinan besar anda boleh mendapatkan pulangan yang agak memuaskan, yang hampir pasti jauh lebih tinggi berbanding simpanan bank.

19 Julai, 2010

Makin Ramai Golongan Muda Muflis

50% pemegang kad bankrap bawah 30 tahun

Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa 50% daripada pemegang kad kredit yang diiystiharkan muflis berusia di bawah 30 tahun.

Ini satu perkara yang agak membimbangkan kerana golongan ini bukannya miskin. Mereka layak mendapakan kad kredit, tetapi menyalahgunakannya sehingga diisytiharkan muflis.

Sementara itu, satu laporan akhbar menyebut Devinder Singh, ketua hal ehwal korporat dan komunikasi AKPK berkata 15% daripada mereka yang mendaftarkan diri dengan program agensi pengurusan hutang tersebut berusia di bawah 30 tahun.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?

Satu sebab utama ialah kesenangan mendapatkan kad kredit dan kegagalan untuk memastikan perbelanjaan lebih rendah pendapatan.

Tetapi saya yakin tanpa kad kredit masalah ini tidak akan sampai ke tahap ini kerana tanpa kad golongan tersebut tidak boleh membeli menggunakan wang yang tidak mereka miliki.

Satu lagi masalah ialah kehidupan material masa kini di mana muda-mudi mengutamakan jenama dan gaya. Saya tahu dan kenal orang-orang seperti ini.

Kalau belum kahwin dah bankrap memang susahlah. Macam mana nak mendirikan rumah tangga dan menanggung anak?

Pada pendapat saya kita patut mengekang penggunaan kad kredit dengan mengenakan cukai yang tinggi kepada kad kredit kedua, lebih tinggi kepada kad yang ketiga dan seterusnya.

Kalau bank protes tindakan ini, biarkanlah mereka protes. Langkah tersebut akan memastikan orang ramai lebih cenderung memiliki hanya satu kad kredit untuk memanfaatkan kesenangan menggunakan urus niaga tanpa tunai.

Biarlah mereka yang banyak kad terdiri daripada orang yang benar-benar mampu sahaja. Lagipun pembayaran tanpa tunai kini boleh dilakukan menerusi kad debit.

Sebenarnya penyelesaian sebenar kepada masalah begitu senang sahaja. Belanja ikut kemampuan. Semua orang tahu. Cuma susah untuk mengamalkannya.

11 Julai, 2010

Ceramah Di Investor Expo KLCC






Pembaca dijemput hadir untuk tambah ilmu kewangan


Saya ingin memaklumkan pembaca blog bahawa saya akan menyampaikan dua ceramah di Investor Expo pada hujung minggu 17 - 18 Julai. Berikut adalah butir-butir ceramah:

How to Choose the Right Unit Trust Fund for You
Tarikh: Sabtu, 17 Julai 2010
Masa : 3.15 ptg - 4.00 ptg
Tempat: Basic Education Room, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

The ABCs of Stock Investing
Tarikh: Ahad, 18 Julai 2010
Masa: 1.15 tgh - 2.00 ptg
Tempat: Basic Education Room, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Kedua-dua ceramah akan diadakan dalam Bahasa Inggeris kali ini. Bagi pembentangan pertama saya akan membincangkan topik berikut:

1. Mengapa Melabur?
2. Jenis Dana
3. Harga Dana
4. Yuran dana
5. Pemilihan Dana
6. Teknik Pembelian
7. Masa Terbaik

Bagi pembentangan kedua, saya akan membincangkan topik berikut:

1. Mengapa Melabur?
2. Membuka Akaun
3. Analisis Asas
4. Idea Pelaburan
5. Kriteria Pemilihan
6. Analisis Ekonomi & Pasaran
7. Menguruskan Risiko
8. Peruntukan Aset

Pembaca diingatkan bahawa ada tiga bilik seminar di mana ceramah diadakan secara serentak dan pembentangan saya diadakan di Basic Education Room.

Ada banyak pelabur dan pakar tersohor yang menyampaikan pembentangan sepanjang dua hari tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai ceramah lain yang diadakan sila layari laman InvestorExpo2010.

08 Julai, 2010

Mengambil Risiko Untuk Maju

Tanpa risiko kita sentiasa berada dalam gear neutral

Adakah risiko itu menggambarkan sesuatu yang negatif atau positif untuk anda? Risiko secara lazimnnya dikaitkan dengan kemungkinan menghadapi bahaya, tetapi dalam dunia perniagaan dan kewangan, ia lebih menjurus kepada potensi untuk mengalami kerugian.

Tetapi pada pendapat saya, langkah mengambil risiko yang berwajaran adalah penting untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Perkara ini benar dalam banyak bidang.

Dalam bidang kerjaya, kadangkala kita perlu mengambil risiko dengan menerima tanggungjawab atau projek yang rumit untuk menunjukkan kita berwibawa. Mungkin projek tersebut gagal atau kurang berjaya tetapi sekurang-kurangnya anda telah mencuba. Jika berjaya ganjarannya besar.

Dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, risiko memang menjadi sesuatu yang perlu diambil. Kita perlu menanam modal, sama ada dalam bentuk wang, masa atau tenaga. Jika perniagaan gagal, kita mungkin rugi tetapi jika berjaya besar ganjarannya. Walaupun gagal, kita telah belajar sesuatu yang berharga.

Begitu juga dalam bidang pelaburan. Untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, biasanya kita perlu mengambil risiko. Pelaburan yang paling selamat tidak akan memberikan pulangan yang tinggi. Namun risiko boleh dikurangkan dengan ilmu. Lebih tinggi ilmu kewangan, lebih rendah risiko pelaburan.

Menang kalah dalam pertandingan sukan juga membabitkan risiko. Sebagai contoh dalam perlawanan bolasepak, apabila pasukan anda menyerang dengan lapan pemain untuk mencari gol, anda menghadapi risiko serangan balas di mana lawan hanya berhadapan dengan dua pertahanan sahaja jika anda kehilangan bola. Kalau anda membuat 'tackle' dalam kotak penalti pun anda mengambil risiko. Tetapi jika tiada pasukan sanggup mengambil risiko, perlawanan bola sepak pasti membosankan.

Tetapi ambillah risiko dengan sewajarnya dan selepas membuat pertimbangan teliti. Janganlah mengambil risiko terlalu besar, sehingga menjurus kepada spekulasi lampau. Janganlah labur beratus ribu ringgit dalam perniagaan tanpa perancangan teliti, atau membuat pelaburan berasaskan khabar angin, tanpa membuat sebarang penyelidikan.

Hidup ini penuh dengan risiko. Maklumat sempurna dan kepastian ialah sesuatu yang jarang kita perolehi. Kita perlu buat keputusan berasaskan uncertainty atau ketidakpastian, tetapi jangan biarkan kewujudan risiko dan ketaktentuan menyebabkan anda memilih jalan selamat setiap kali.

Ambil risiko, tetapi lakukannya dengan munasabah dan selepas membuat penilaian teliti.

04 Julai, 2010

Duduk Di Tepi Gelanggang Pada S3

Tiada kemelesetan dijangka berlaku tapi kita
memasuki kitaran ekonomi kurang pesat


Susulan daripada posting lepas, saya ingin mengingatkan pembaca sekali lagi bahawa kita akan memasuki fasa ekonomi yang kurang pesat pada separuh kedua tahun ini, walaupun kemelesetan kali kedua (double dip recession) tidak mungkin berlaku.

Sebenarnya saya perlu secara telus menyatakan bahawa baru-baru ini saya telah keluar sama sekali dari pasaran dan akan duduk di tepi gelanggang untuk suku ketiga sehinggalah saya melihat tanda kitaran akan berakhir.

Walau apa pun perlu diingat bahawa saham telah mencatatkan prestasi kukuh antara Mac 2009 hinggalah Mei 2010. Begitu juga pasaran saham. (Untuk melihat mengapa pertumbuhan ekonomi dijangka semakin perlahan baca posting saya yang sebelum ini).

Berikut adalah carta FBM KCLI untuk tempoh 2 tahun:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa kenaikan besar telah berlaku dan pasaran kini mula mendatar dan mencecah paras moving average 50 dan 100 hari buat kali ketiga.

Selain itu, jika kita juga perlu peka tentang apa yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada 1998. Cuba kita lihat Carta FBM KLCI untuk tempoh 20 tahun.

Dipetik daripada Bursa Station

Pada krisis 1998, saham telah melonjak naik ke paras 1000 mata pada awal tahun 2000, tetapi mengalami kejatuhan kedua yang lebih kecil selepas itu.

Peristiwa yang sama biasanya tidak akan berlaku dengan cara yang betul-betul serupa, tetapi selepas pemulihan, mungkin berlaku kejatuhan kecil kedua sebelum pertumbuhan sebenar dialami.

Saya berpendapat dari segi ekonomi, angka akan mula lebih positif pada S2 tahun 2011, tetapi pasaran saham umumnya mendahului ekonomi, jadi saya rasa pelabur perlu sentiasa peka untuk kembali melabur dan mencari peluang apabila situasi dilihat kian kukuh.

Walau apa pun, gunakan waktu ini untuk terus mencari syarikat mantap yang mungkin tertekan harganya bukan kerana prestasi, tetapi kerana keadaan pasaran secara umum. Saham seperti ini akan naik melonjak apabila sentimen dan ekonomi kembali pulih.

Saya membuat keputusan berasaskan 'gut' feeling. Mungkin saya salah tetapi saya sekurang-kurangnya saya melindungi untung yang diperolehi dalam fasa kenaikan yang baru berlalu.

01 Julai, 2010

Ekonomi: Masalah Eurozone dan Tempiasnya

Tanda-tanda jelas bahawa pertumbuhan semakin
perlahan pada separuh kedua tahun ini


Tidak lama sebelum ini, saya ada menulis posting tentang perkembangan terkini ekonomi. Saya menyatakan bahawa terdapat dua pandangan berbeza tentang hala tuju ekonomi dan pasaran.

Namun begitu, berasaskan perkembangan terkini, kita dapat lihat bahawa situasi ekonomi kian meruncing di Eurozone dan ini memberikan sedikit kesan kepada Amerika. Pertumbuhan China pula lebih rendah daripada dijangka.

Dalam video ini, Nouriel Roubini, pakar ekonomi yang meramalkan kegawatan tempoh hari memberikan pandagannya tentang ekonomi pasa separuh kedua.


Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi AS akan semakin perlahan pada separuh kedua tahun ini. Antara masalah yang dinyatakan ialah langkah kerajaan untuk mengenakan 'austerity measures' atau dasar yang ketat, di negara-negara Euro untuk mengawal deifisit sedangkan zon tersebut masih belum mengalami pemulihan.

Perkara yang sama telah disuarakan oleh Paul Krugman. Beliau berkata langkah kerajaan di Eurozone untuk mengawal defisit menerusi dasar wang dan fiskal yang lebih ketat akan membawa mudarat.

Menurutnya, langkah untuk mengetatkan dasar dan mengurangkan defisit hanya patut dilakukan selepas ekonomi keluar sepenuhnya daripada kemelesetan.

Selain itu, sentimen pengguna di AS juga telah menurun sedikit pada bulan Jun, dan begitu dengan kadar pertumbuhan China.

Baru-baru ini, pasaran ada jatuh ke tahap 1250 sebelum naik kembali. Pada waktu itu, ramai yang agak panik dan terdapat peluang untuk mengambil kesempatan daripada situasi tersebut, dan saham telah naik balik ke tahap lebih 1300.

Namun begitu, buat masa ini nampaknya petunjuk ekonomi agak meruncing dan saya rasa pelabur perlu berhati-hati pada separuh kedua tahun ini.

Pada pendapat saya, kita perlu menyesuaikan portfolio pelaburan berasaskan ekonomi yang semakin perlahan (tetapi bukan meleset) pada separuh kedua.

Secara peribadi, saya mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat untuk separuh kedua, dan hanya masuk ke pasaran apabila melihat saham yang benar-benar undervalued atau apabila jatuh ke paras yang menarik. Manakala jika buat belian pula, saya akan ambil untung jika ada peluang (bermakna pandangan lebih bersifat jangka pendek).

Tidak kira anda melabur menggunakan fundamental analysis atau technical analysis, melabur dengan amat berhati-hati pada separuh kedua ini.

28 Jun, 2010

Era Ekonomi Percuma

Percuma jadi daya penarik utama

Saya sedang membaca buku bertajuk Free oleh Chris Anderson (yang lebih terkenal dengan pertamanya The Long Tail), yang menerangkan tentang era ekonomi percuma masa kini.

Kalau satu masa dulu, kita hanya boleh menonton TV dan mendengar radio secara percuma, kini ekonomi percuma atau free economy telah menular dan semakin berkembang di alam siber.

Jika kita lihat sekarang, apabila anda membeli komputer, janda tidak perlu membayar untuk sebarang perisian sekiranya anda sanggup menggunakan sistem operasi Linux dan memanfaatkan Open Office atau Google Docs

Selain itu, segala jenis perisian diberikan percuma, termasuk perisian menulis blog, membuat borang web (yang saya gunakan di lama web saya), emel, e-book tertentu dan juga kebanyakan video yang dilihat di YouTube.

Anda juga boleh membaca pelbagai akhbar di dalam talian secara percuma, sehingga ini menjejaskan edaran akhbar fizikal. Malah, fenomena akhbar kertas diberikan percuma juga mula merebak di Malaysia.

Di luar dunia Internet pula, banyak lagi yang percuma tetapi dengan syarat, sebagai contoh modem percuma jika langgan pakej broadband, hadiah percuma jika kumpul mata dan sebagainya.

Malah ada syarikat yang menawarkan percutian percuma jika kita sanggup mendengar pembentangan mereka mengenai program keahlian percutian mereka. Selain itu, saya juga sering mendapat tawaran insurans atau takaful kemalangan peribadi percuma hanya kerana saya melanggan Astro atau menjadi pelanggan DiGi umpamanya.

Tetapi kita perlu berhati-hati tentang 'percuma'.
1. Ada percuma yang betul-betul percuma dan sangat bermanfaat
2. Ada yang percuma tetapi kurang bermanfaat
3. Ada yang percuma tetapi mungkin membawa mudarat dan kos kewangan kerana mengikat anda kepada kontrak tertentu.

Saya tidak akan memberi contoh produk dalam kategori 2 dan 3. Tetapi contoh dalam kategori produk 1 termasuklah produk perisian percuma, akhbar percuma dan juga e-book percuma. Selain itu ceramah agama percuma yang dipaparkan di YouTube juga amat berguna. Blog-blog hebat seperti blog Ustaz Zaharuddin pula sungguh bermanfaat.

Walau apa pun, dalam ekonomi percuma masa kini, manfaatkan segala produk percuma yang ditawarkan tetapi berwaspada tentang kategori produk 3 yang saya sebutkan di atas.

Jika anda menjalankan perniagaan pula, anda perlu prihatin bahawa ramai pengguna kini mengharapkan sesuatu yang percuma, terutamanya jika anda beroperasi dalam dunia digital.

Pastikan anda bersiap-sedia untuk menghadapi situasi di mana pesaing anda mula menggunakan model ekonomi percuma. Tetapi lebih baik jika anda terlebih dahulu menggunakan model ini demi manfaat perniagaan anda.

Jadi sempena dengan era percuma ini, saya pun nak menawarkan produk percuma, iaitu himpunan 100 rencana percuma daripada blog ini serta 3 rencana tambahan yang lebih panjang. Tapi ebook ini hanya untuk mereka yang membeli salah satu buku saya menerusi laman web saya.


Sebenarnya semua artikel ada di dalam blog ini cuma tiada cara yang mudah untuk mencarinya berasaskan topik yang lebih khusus. Saya juga menyertakan nota tambahan mengenai perkembangan terkini.

Semua pembeli buku dari laman web saya sebelum ini juga boleh mendapatkannya. Emel saya dan saya akan hantarkannya kepada anda.

25 Jun, 2010

Ingress Catat Prestasi Mantap Pada S1 2010

EPS 13.6 sen sesaham dan berjaya perolehi pembiayaan

Saya pernah menulis tentang Ingress Corporation dalam dua posting pada tahun ini, iaitu Perkembangan Ingress Corporation dan Penilaian Ingress Corporation.

Saya ulangi bahawa Ingress Corporation ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perniagaan teras pengilangan komponen automotif bagi pengeluar kereta di Malaysia (terutamanya Proton dan Perodua) dan rantau ASEAN, dan juga terlibat dalam kejuruteraan kuasa dan sektor rel di Malaysia.

Berikut adalah sejarah pendapatan Ingress dalam tempoh 6 tahun lepas (sen):

2005 2006 2007 2008 2009 2010
20.3 17.1 (13.9) (14.8) (53.1) 14.2

Baru-baru ini Ingress mengumumkan prestasi yang agak kukuh pada suku pertama (S1) berakhir 30 April 2010 bagi tahun kewangan 2011 (tahun kewangan berakhir Ingress ialah 31 Januari 2011).

Syarikat telah mencatatkan EPS 13.6 sen, hampir menyamai paras EPS pada seluruh tahun lepas. Selain itu, aset ketara bersih (NTA) Ingress ialah pada RMRM1.91, memberikannya nisbah Pice to Book 0.67/1.91 kira-kira 0.35 sahaja (pada harga penutup semalam (24 Jun).

Satu lagi perkembangan terkini ialah syarikat telah berjaya mendapatkan pembiayaan untuk menebus sukuk yang sepatutnya ditebus pada 30 Jun, dan jika tidak pun para pemegang sukuk telah memberikan lanjutan 3 bulan untuk menyempurnakannya. Ini satu perkembangan baik kerana sebelum ini, syarikat menghadapi masalah aliran tunai.

Berikut adalah carta saham terbaru Ingress:

Dipetik dari Bursa Station

Selepas pengumuman keputusan dibuat, harga Ingress telah melonjak kepada 71 sen, dan kini telah turun kembali kepada 67 sen. Saya sendiri telah membeli beberapa bulan lepas pada harga RM0.62 sen.

Saya rasa prestasi pada suku kedua dan seterusnya mungkin tidak sebaik prestasi kali ini, tetapi saya ramalkan agak jauh lebih baik dari tahun lepas. Pendek kata prestasi Ingress tahun ini dijangka meningkat kerana syarikat pengeluar kereta yang menjadi pelanggannya menjual lebih banyak kereta.

Pada harga semasa 0.67 sen, nampak seperti saham masih lagi undervalued selagi syarikat dapat meneruskan prestasi keuntungan yang memuaskan pada tempoh selanjutnya tahun ini dan terus mengukuhkan kedudukan aliran tunainya.

20 Jun, 2010

Al-Aqar REIT: Pelaburan Konservatif Mantap

Potensi pulangan lebih 7% daripada Al-Aqar REIT

REIT atau Amanah Pelaburan Hartanah ialah sebuah entiti pelaburan yang mengumpulkan dana daripada pelabur untuk membeli dan menguruskan aset hartanah, antara lain termasuk rumah, pangsapuri, bangunan komersil, rumah kedai dan juga ladang kelapa sawit. Maklumat lanjut mengenai REIT boleh dibaca di posting lama saya di sini.

AL-Aqar REIT melabur dan memiliki bangunan hospital yang dikendalikan oleh KPJ Healthcare dan meraih pendapatan menerusi sewaan hospital tersebut.

Pelaburan dalam Al-Aqar REIT adalah bersifat bertahan, mirip seperti melabur dalam hartanah, dengan matlamat menerima dividen dan juga kenaikan modal menerusi kenaikan harga.

Antara bangunan hospital hospital yang dimiliki oleh Al-Aqar termasuk hospital pakar ampang puteri, hospital pakar damai, hospital pakar damansara, hospital pakar selangor, hospial pakar seremban, hospital tawakkal dan banyak lagi.

Pelabur yang melabur dalam REIT biasanya ialah pelabur yang mahukan pelaburan bersifat bertahan dengan dividen sebagai matlamat utama dan kenaikan harga sebagai matlamat kedua (kerana biasanya pergerakan harga adalah perlahan).

Tidak seperti saham biasa, REIT tidak begitu volatil dan bersifat lebih stabil. Namun begitu, tahap keuntungan yang boleh diperolehi adalah terhad dan kita tidak boleh mengharapkan untuk menggandakan wang kita dalam masa setahun atau dua.

Dalam tempoh tiga tahun lepas, REIT ini telah mengumumkan dividen seperti berikut (%):

2006 2007 2008 2009
- 7.25 7.32 7.52 7.70 -

Sementara itu, Al-Aqar telah mengumumkan dividen interim 4.43% baru-baru ini untuk tahun kewangan 2010. Harga penutup REIT ini ialah RM1.09 pada hari Jumaat, 18 Jun 2010.

Pada harga RM1.09 dan jika dividen tahun penuh ialah 8.5% (anggaran konservatif), maka dividen yield atau pulangan dividen ialah lebih kurang 7.80%. Pada pendapat saya ini satu pulangan yang boleh dikatakan memuaskan bagi pelabur konservatif.

Kalau anda beli rumah dan kondominium dan sewakan sendiri, tahap pulangan seperti ini sukar untuk diperolehi.

Perhatian bahawa bagi pelabur runcit yang membeli pada harga asal iaitu RM0.95, jika dividen setahun penuh ialah 8.5%, maka dividen yield ialah hampir 9%, dan mereka telah mendapat keuntungan moda sebanyak lebih kurang 14%.

Justeru kesimpulan yang boleh dibuat ialah Al-Aqar REIT ialah pelaburan yang agak mantap bagi pelabur konservatif dan masih agak kukuh walaupun harganya telah naik sedikit.

17 Jun, 2010

Harga Titan Melonjak Secara Tiba-Tiba

Dividen dan berita mengenai cadangan jualan pacu harga

Saya ada menulis tentang Titan Chemicals dalam posting saya bertajuk Titan Chemicals Akhirnya Jadi Gergasi pada 2 Ogos 2009 (hampir setahun lepas). Pada waktu itu harga Titan adalah pada tahap antara RM1.05 hingga RM1.10.

Titan Chemicals ialah sebuah syarikat pengeluar olefin dan poliolefin yang pertama dan terbesar di Malaysia dan juga salah satu daripada pengeluar yang terbesar di Asia Tenggara. Syarikat ni mempunyai kemudahan di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat dan juga beberapa loji di Merak Indonesia.

Pada hari ini, Titan Chemicals diperdagangkan pada harga RM1.54, iaitu kenaikan harga lebih 40% sejak setahun lepas. Berikut adalah carta saham Titan:

Dipetik daripada Bursa Station

Prestasi Titan suku pertama 2010 Titan tidaklah sebaik tahun lepas, iaitu hanya 6.12 sen berbanding 7.46 sen pada 2009. Tetapi mungkin pelabur mendapati syarikat kini mungkin boleh mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih konsisten mulai sekarang.

Beberapa lagi pemangkin kenaikan harga ialah dividen akhir 4.5 sen yang diumumkan baru-baru ini; tindakan syarikat terus membeli balik saham sendiri; dan juga keputusan para pemegang saham utamanya untuk mempertimbangkan jualan saham kepada pelabur asing.

Berasaskan keputusan suku pertama, Titan mungkin mencatatkan EPS tahun penuh sebanyak lebih daripada 20 sen sesaham pada 2010. Justeru harganya sekarang pada RM1.54 masih boleh dikatakan undervalued.

Pelabur yang telah membeli awal boleh 'take profit' dan raih keuntungan lebih 40% atau menunggu perkembangan selanjutnya daripada syarikat, kerana nampaknya semakin ramai pelabur mula yakin dan memberi perhatian kepada Titan.

14 Jun, 2010

10 Prinsip Kerja Saya

Prinsip yang diamalkan untuk tingkat kecekapan

Berasaskan pengalaman dan ilmu yang ditimba daripada pembelajaran dan pembacaan. Saya telah merangka prinsip kerja berikut untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
  1. Sentiasa berdisiplin
    (Keep your discipline)
  2. Jangan buang masa
    (Don't waste time)
  3. Siapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan
    (Work within self-imposed deadlines)
  4. Buat apa yang patut untuk menyempurnakan kerja
    (Do what you have to do)
  5. Terus mara ke hadapan
    (Keep moving forward)
  6. Sentiasa belajar dan kuasai bidang yang diceburi
    (Keep on learning and master your field)
  7. Kawal perasaan marah
    (Control your temper)
  8. Berfikir secara rasional dan bercakap terus-terang
    (Think straight, talk straight)
  9. Jangan tinggalkan kerja yang susah dilakukan
    (Don't skip the difficult parts)
  10. Bertungkus-lumus dan berhempas-pulas jika perlu
    (Hustle if necessary)
Disiplin diletakkan di tempat teratas kerana tanpa disiplin, adalah sukar untuk mengamalkan segala prinsip yang lain.

10 Jun, 2010

Peruntukan Hutang Ragu

Peruntukan dibuat untuk mengambil kira hutang
tertentu yang mungkin tidak dapat dikutip

Ada pembaca yang bertanya tentang provision for doubtful debts atau peruntukan hutang ragu, kerana mendapati beberapa syarikat yang mengalami masalah kerana peruntukan ini.

Sebenarnya peruntukan untuk hutang ragu dibuat untuk meramalkan hutang yang mungkin tidak dapat dikutip, walaupun syarikat belum pasti sepenuhnya bahawa hutang tersebut tidak boleh dikutip.

Peruntukan ini dibuat untuk memastikan paras keuntungan tidak dinyatakan pada tahap terlalu tinggi kerana syarikat tersebut sudah tahu akan mengalami masalah mengutip hutang tertentu.

Ada beberapa cara berbeza untuk membuat peruntukan bagi hutang ragu:

  1. Membuat peruntukan am berasaskan % tertentu baki dalam akaun penghutang.
  2. Membuat peruntukan berasaskan % tertentu hasil sepanjang tahun
  3. Membuat peruntukan berasaskan pelanggan khusus yang diragui keupayaan mereka untuk membayar balik hutang
  4. Membuat peruntukan berasaskan 'debtor's aging' atau tempoh hutang belum dibayar. Contohnya syarikat boleh menetapkan bahawa sesuatu hutang dianggap hutang ragu jika tidak dikutip dalam masa 1 tahun.

Syarikat yang konservatif akan membuat peruntukan yang sewajarnya untuk memastikan pelabur mendapatkan maklumat terkini tentang status penghutang.

Masalah biasanya timbul apabila peruntukan yang sewajarnya tidak dibuat dan syarikat terus mengandaikan hutang boleh dikutip walaupun sudah lama tidak dibayar.

Jika pihak pengurusan tidak membuat peruntukan, dan tiba-tiba pada sesuatu tahun, kebanyakan hutang memang sah tidak dapat dikutip, satu jumlah besar akan dianggap sebagai hutang lapuk dan ditolak terus daripada akaun untung rugi pada tahun tersebut, menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar secara tiba-tiba.

Ini mungkin boleh dianggap satu tindakan untuk menyelindungi maklumat daripada pelabur kerana sepatutnya peruntukan yang lebih besar dibuat pada tahun terdahulu untuk memastikan pelabur maklum tentang keadaan sebenar.

Tetapi kadangkala peruntukan besar dibuat bukan kerana pengurusan mahu menyelindung maklumat tetapi kerana keadaan ekonomi. Katakan krisis ekonomi berlaku dan kebanyakan pelanggan syarikat tiba-tiba mengalami masalah, maka itu adalah kerugian jujur yang mungkin tidak dapat dielakkan.

Biasanya dalam kes di mana syarikat tiba-tiba terpaksa membuat peruntukan hutang ragu yang besar dan menjadi isu umum, akhbar kewangan akan membuat analisis sama ada salah laku berlaku ataupun disebabkan masalah perniagaan yang sahih.

Jika masalah disebabkan oleh salah laku, maka saham syarikat akan jatuh dengan lebih teruk.

07 Jun, 2010

Disiplin Penyelesaian Terbaik

Banyak yang boleh dicapai dengan disiplin

Baru-baru ini saya terserempak dengan seorang kenalan yang telah mengalami sakit jantung pada usia yang agak muda dan terpaksa menjalani pembedahan. Saya tanya apa khabar dan dia menceritakan masalahnya.

Katanya dia terpaksa makan ubat sepanjag hayat. Begitu banyak ubat yang perlu ditelan, bernilai lebih seribu sebulan. Sekarang ini kos ubat ditanggung oleh majikannya.

Tapi bagaimana kalau dia sudah bersara? Mungkin tak mampu beli ubat sebanyak itu dengan duit sendiri.

Tapi beliau terima sahaja hakikat. Berat badan masih berlebihan. Dia tidak lakukan apa-apa untuk bersenam atau berdiet. Lebih selesa makan ubat daripada berdisiplin.

Ada pula kenalan lain yang cuba sedaya upaya mengurangkan berat badan. Semua teknik sudah dicuba. Duit sanggup keluar banyak untuk cari penyelesaian.

Tetapi satu penyelesaian mudah yang percuma tak dibuat, iaitu bersenam. Ini kerana bersenam meletihkan dan memerlukan disiplin untuk dilakukan secara berterusan.

Sedikit disiplin boleh membawa manfaat besar. Malah apabila kita sembahyang lima waktu dan berpuasa, selain daripada menunaikan ibadat, ia juga mengajar kita berdisiplin.

Katakan anda hendak menulis buku - Tulis satu muka surat sehari anda sudah dapat 200 halaman dalam 200 hari. Buku anda sudah hampir siap.

Katakan anda hendak kumpul duit - Simpan RM100 sebulan dalam masa empat tahun anda sudah ada lebih RM5,000. Kalau tabung lebih, malah lebih banyak yang anda kumpul.

Kalau nak belajar bahasa baru - Hafal satu perkataan sehari dalam setahun anda sudah tahu lebih 300 patah perkataan. Malah dalam dua tahun anda sudah boleh bertutur dalam Bahasa tersebut.

Kalau nak kawal belanja - Jangan belanja lebih daripada pendapatan bersih selepas menolak tabungan setiap bulan. Jangan berikan alasan melainkan berlaku kecemasan.

Kalau nak jadi orang berilmu - Bacalah sekurang-kurangnya satu buku setiap bulan. Membaca bukan sahaja menambah ilmu tetapi meningkatkan peluang untuk berjaya.

Pendek kata. disiplin adalah kunci kejayaan.

03 Jun, 2010

Fiamma Holdings: Kurang Diberi Perhatian

Syarikat berkembang tetapi harga saham mendatar

Fiamma Holdings ialah sebuah syarikat yang terlibat terutamanya dalam bidang pengilangan dan pengedaran peralatan elektrik rumah, aksesori bilik air dan kabinet dapur. Syarikat juga terlibat dalam pembangunan hartanah.

Antara jenama terkenal di bawah naungan anak-anak syarikatnya termasuk Elba, Faber, Maytag, MEC, Omron, Braun dan EBAC Kitchen. Maklumat lanjut tentang aktiviti syarikat boleh didapati di laman webnya.

Pendapatan sesaham (EPS) Fiamma dalam tempoh lima tahun lepas adalah seperti berikut (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
- (3.1) 3.7 10.5 14.3 10.5 -

Aset ketara bersih (NTA) sesaham Fiamma ialah RM1.55 manakala harga penutup pada hari ini ialah RM0.74. Ini bermakna price to book ratio syarikat hanyalah 0.5.

Pada separuh pertama berakhir 31 Mac 2010 (tahun berakhir 31 Sept 2010), syarikat mencatatkan pendapatan sesaham atau EPS 7.83 sen. Jika syarikat dapat mengekalkan prestasi sehingga akhir tahun, EPS seluruh tahun boleh diunjurkan secara konservatif pada 14 sen.

Dari segi PE Ratio, saham ini diperdagangkan pada Historical P/E lebih kurang 7 manakala forward PE berasaskan unjuran EPS 14 sen ialah hanya 5!

Berikut adalah carta saham Fiamma

Dipetik daripada Bursa Station

Walaupun saya dapati saham ini undervalued dari segi keuntungan dan aset, dan syarikat dijangka meraih untung lebih tinggi tahun ini, kita dapat lihat harga saham ini agak mendatar dalam tempoh lima tahun lepas.

Volum saham juga agak rendah. Ia kurang mendapat perhatian daripada spekulator dan juga pelabur. Tetapi volumnya tidaklah terlalu rendah sehingga sukar untuk dijual beli.

Pada pendapat saya, saham ini mungkin akan mendapat perhatian lanjut sekiranya EPS tahun ini mencecah angka 15 sen, iaitu keuntungan tertinggi yang pernah dicatatkan.

Justeru pembeli saham ini mestilah sanggup memegang untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan untuk memanfaatkan potensi kenaikannya.

31 Mei, 2010

Tabungan Bulanan: Simpan atau Labur?

Cara anda memanfaatkan tabungan bulanan bergantung
kepada kesanggupan anda menanggung risiko


Saya pernah membincangkan tentang konsep 'Pay Yourself First' dan 'Automatic Savings' dalam posting lama saya. Saya menjelaskan bahawa pakar perancangan kewangan menggalakkan anda menyimpan dahulu peratus tertentu daripada gaji anda (sekurang-kurangnya 10%) sebelum membuat sebarang perbelanjaan lain.

Selain itu, saya juga menyebut bahawa ada pakar, termasuk David Bach, penulis buku The Automatic Millionnaire yang mencadangkan agar anda membuat tabungan secara automatik, iaitu menerusi arahan tetap dari akaun semasa kepada instrumen simpanan atau pelaburan anda.

Persoalan bagi orang ramai ialah adakah tabungan automatik ini patut disimpan atau dilaburkan?

Pada pandangan saya, produk simpanan ialah produk yang tetap nilainya, iaitu jika anda menyimpan RM10,000 anda akan mendapat balik sekurang-kurangnya jumlah itu, ditambah keuntungan yang diperolehi daripada produk tersebut.

Antara produk yang saya kategorikan sebagai simpanan termasuk

1. Akaun simpanan di Bank/Bank Islam
2. Akaun simpanan tetap/pelaburan di Bank/Bank Islam
3. Tabung Haji
4. ASW/ASB/ASD/AS1M

Walaupun ada di antara produk di atas merupakan produk pelaburan (seperti ASB), wang pokok pelabur adalah hampir terjamin dan nilainya tidak berubah-ubah.

Produk dalam kategori pelaburan termasuklah:

1. Kebanyakan produk unit amanah
2. Akaun simpanan emas
3. Segala instrumen dan saham yang dijual di pasaran saham

Bagi sesetengah orang, mereka akan simpan hanya jumlah tunai kecemasan antara 3 hingga 6 bulan gaji dalam instrumen simpanan dan selepas jumlah itu, tabungan mereka akan dilaburkan.

Sesetengah orang lain pula tidak mahu melabur dan mahukan keselamatan dengan menabung semuanya dalam produk simpanan.

Jika anda berjumpa ejen unit amanah, mereka sudah tentulah akan menggalakkan anda menabung dengan menggunakan produk mereka.

Secara peribadi saya lebih suka simpan 10% pertama dalam produk simpanan. Jika lebih daripada itu, maka boleh gunakan untuk melabur.

Walaupun yakin dapat melabur dengan bijak dan walaupun saya seorang yang sanggup menanggung risiko, perkara pertama yang saya utamakan ialah keselamatan kewangan.

Terpulang kepada anda tentang nisbah yang paling sesuai bagi anda, tetapi saya syorkan jangan terlalu agresif melabur sehinggalah anda membina tahap simpanan yang selesa terlebih dahulu.

27 Mei, 2010

Glomac Berhad: Prestasi Nampak Kukuh

Pembangunan komersil dijangka pacu keuntungan

Glomac ialah sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka yang mempunyai pelbagai projek yang sedang dibangunkan termasuk Bandar Saujana Utama, Saujana Rawang, Lakeside Residences, Suria Stonor, Glomac Cyberjaya dan Glomac Damansara.

Sejak ditubuhkan pada 1988 oleh Tan Sri Dato' FD Mansor dan Datuk Richard Kong, syarikat telah berkembang maju dan telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 13 Jun 2000.

Berikut adalah prestasi keutungan sesahamnya (EPS) pada tempoh lima tahun lepas (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
- 17.4 16.8 14.5 13.6 11.4 -

Pada tiga suku pertama tahun kewangan 2010, syarikat telah mencatatkan EPS 9.86 sen. Justeru prestasi keuntungan tahun ini dijangka mengatasi paras untung tahun lepas.

Nilai aset ketara bersih sesaham sehingga suku ketiga tahun kewangan 2010 adalah RM1.87. Pada harga penutup hari ini iaitu RM1.23, price to book ratio Glomac ialah lebih kurang 0.68.

Berikut adalah carta saham Glomac untuk tempoh 5 tahun lepas :



Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa harga Glomac telah jatuh seiring dengan kejatuhan pasaran baru-baru ini. Tetapi adakah saham ini undervalued?

Menurut AMResearch, target price yang ditetapkannya bagi Glomac ialah RM1.40. Manakala pada harganya sekarang, iaitu RM1.23, ia diperdagangkan pada forward PE di bawah 10. Harga sahamya juga lebih kurang 30% di bawah NTA.

Satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian ialah pihak pengurusan telah membeli balik saham secara agresif dalam tempoh enam bulan lepas. Mungkin ini petanda pihak pengurusan yakin tentang prestasi masa depannya.

Kejayaan Glomac banyak bergantung kepada kadar jualan projek komersil yang dibangunkan seperti GlomacTower, Glomac Damansara dan Glomac Cyberjaya.

Pada pandangan saya saham tidaklah terlalu undervalued berasaskan prestasi lepas dan prestasi semasa, tetapi yang menarik ialah potensi masa depannya. Jika syarikat dapat melaksanakan projek semasa dengan baik, potensinya amat cerah.


Nota: Bagi mereka yang memantau saham Latitude Tree ada perkembangan terkini yang telah saya catatkan pada posting tersebut.

24 Mei, 2010

Bila masa paling sesuai untuk membeli?

'Market timing' adalah sesuatu yang sukar dilakukan

Penurunan pasaran saham kali ini telah membuka peluang untuk pelabur, terutamanya pelabur fundamental untuk mengintai nilai di pasaran.

Tetapi ramai yang menghadapi masalah menetapkan masa paling sesuai untuk membeli. Ada yang cuba menggunakan teknikal analisis dan membaca carta untuk mendapatkan kepastian.

Saya sendiri pun amat was-was walaupun sudah agak lama bersedia untuk membeli kerana takut pasaran akan jatuh lagi.

Bagi yang lebih cenderung untuk melabur untuk menggunakan nilai asas, mungkin kita boleh abaikan 'noise' daripada pasaran dan cuba perhatikan betul-betul nilai syarikat sasaran kita.

Umumnya kriteria utama saya ialah P/E di bawah 10 dan keuntungan yang meningkat pada tahun kewangan mendatang.

Jika anda perhatikan saham yang telah saya bincangkan dalam blog saya dalam tempoh enam bulan lepas, ada yang diperdagangkan pada Forward P/E di bawah 7 dan dijangka mencatatkan keuntungan lebih tinggi.

Justeru saham undervalued sekarang memang tak susah dicari. Tetapi dilema atau kebimbangan yang dihadapi pelabur ialah:

1. Beli sekarang dan saham turun; atau
2. Tak beli tetapi saham naik.

Saya tak tahu dalam jangka pendek pasaran akan naik atau turun. Tapi ada ramai pengulas lain yang mendakwa mereka tahu sama ada menerusi carta atau menerusi analisis ekonomi.

Tetapi pakar tersohor sekalipun boleh tersilap ramalannya. Ramai yang membuat kesilapan dengan tidak meramalkan kegawatan besar 2008-2009, malah ramai juga yang tidak meramalkan lonjakan saham pada akhir 2009.

Biasanya pakar yang meramalkan dengan tepat kegawatan ialah orang yang gagal melihat pemulihan!

Adalah sukar untuk 'time the market', iaitu menentukan masa yang paling sesuai untuk membeli. Peter Lynch dan Warren Buffet pun tak pandai melakukannya.

Jadi pada pandangan saya, jika anda lihat ada saham yang sangat undervalued dan anda rasa wajar untuk dibeli, saya rasa teruskan sahaja, dan nasihat ini saya turut tujukan kepada diri saya sendiri.

20 Mei, 2010

Potensi Besar Latitude Tree

Latitude Tree dilihat undervalued jika prestasi diteruskan

Latitude Tree Holdings Berhad ialah sebuah syarikat pengeluar perabot bilik tidur dan ruang kediaman yang berpangkalan di Vietnam dan juga Malaysia. Syarikat juga mempunyai sebuah kilang di Thailand yang membuat komponen perabot.

Sebahagian besar produknya diekpsort ke Amerika di mana antara pelanggan utamanya termasuk JC Penney, Ashley Furniture, RiversEdge Furniture, Broyhill Furniture and Embassy International.

Saya telah agak lama memerhatikan syarikat ini tetapi belum membeli dan saya rasa mungkin sudah tiba masa untuk membeli kerana harga sahamnya telah sampai ke tahap sangat 'undervalued' apabila ditutup pada RM1.90 semalam.

Berikut ialah prestasi syarikat pada tempoh lima tahun kewangan lepas yang berakhir pada 30 Jun (sen)

2005 2006 2007 2008 2009
22.7 30.6 15.8 16.7 23.7

Tapi perkara yang lebih menarik ialah pada 6 bulan pertama berakhir 31 Disember 2009, syarikat ini telah mencatatkan EPS 34 sen! Kalau pun EPS seluruh tahun hanya 50 sen (unjuran konservatif) saham ini nampak sangat undervalued pada forward P/E lebih kurang 3.8 (iaitu berasaskan ramalan EPS lebih kurang 50 sen).

Sementara itu aset ketara bersihnya ialah pada RM2.95 sesaham.

Carta Latitude Tree



Dipetik daripada Bursa Station

Satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian ialah harga sahamnya telah naik ke RM2.60 baru-baru ini tetapi telah turun kembali kepada RM1.90 seiring kejatuhan pasaran.

Kelebihan Latitude Tree ialah 70% pengeluarannya ialah di Vietnam manakala kebanyakan pelanggannya di Amerika Syarikat. Kos buruh lebih rendah di Vietnam. Selain itu ekonomi Amerika juga sedang pulih sedangkan yang menghadapi masalah sekarang ialah negara-negara Eropah.

Kepada pelabur yang berminat untuk membeli saham ini, jangan lupa untuk membuat analisis sendiri, termasuk membaca artikel terbaru mengenai syarikat, dan juga meninjau juga tahap aliran tunai dan hutangnya.

Perkembangan Terkini:

Latitude Tree telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang menghampakan apabila memperolehi EPS hanya 3.9 sen. Walaupun EPS kumulatif sehingga suku ketiga adalah 38 sen, satu angka yang sangat baik, tetapi prestasi suku ketiga di bawah jangkaan saya dan mungkin merupakan punca harganya telah jatuh daripada RM2.60 (kerana orang dalam sudah tahu terlebih dahulu). Walau apa pun, keputusan ini tidaklah buruk, cuma tidak menepati jangkaan dan saya menunggu apa alasan pengurusan tentang kemerosotan ini. Dalam keadaan semasa saya berpendapat saham ini hanya fairly valued dan bukan undervalued lagi, sehinggalah pengurusan memberikan penjelasan.

16 Mei, 2010

Meninjau Yuran Unit Amanah

Sekarang pelabur mempunyai banyak pilihan

Pada satu masa dulu pelabur unit amanah hanya ada satu saluran membeli dana, iaitu melalui ejen. Dana ekuiti dan dana bercampur lazimnya mengenakan caj jualan antara 5% - 6.5%.

Tidak dinafikan bahawa kadar ini agak tinggi, kerana untuk pulang modal, harga unit perlu naik 5% - 6.5%. Namun begitu, ejen unit amanah biasanya boleh memberikan nasihat perancang kewangan kepada anda. Bagi sesetengah orang, mereka amat memerlukan nasihat yang diberi.

Tapi bukan semua yang perlukan perkhidmatan tersebut. Dalam dunia Internet masa kini, ramai yang sudah pandai merancang kewangan, selain memilih dan membuat keputusan sendiri.

Bagi mereka yang fasih Internet dan celik pelaburan, satu pilihan pembelian yang baik ialah pembelian dalam talian sama ada menerusi Fundsupermart.com dan eunittrust daripada Philip Capital.

Caj jualan yang dikenakan hanyalah 2% sahaja, pendek kata jauh lebih murah daripada saluran ejen. Malah, sekarang ini dengan kesenangan melaksanakan perbankan Internet, urusan jual beli boleh dikatakan mudah juga.

Namun begitu bukan semua dana ditawarkan menggunakan saluran ini. Dana daripada Public Mutual dan CIMB, dua syarikat dana terkemuka, tidak boleh dibeli menerusi Internet.

Kemudian kita juga boleh membeli menerusi tabungan KWSP, di mana yuran yang dikenakan hanyalah 3%. Pembelian dengan KWSP dikenakan had dan syarat tertentu.

Dan akhir sekali dalam posting saya sebulan lepas, saya juga menyebut tentang dana yang mengenakan caj jualan sifar (no load funds), yang baru saja diperkenalkan di Malaysia, walaupun telah lama wujud di Amerika.

Dana tersebut ialah dana Pacific Elite yang ditawarkan hanya menerusi cawangan OCBC. Cuma jika anda jual dalam masa 3 tahun, anda dikenakan caj 1%. Selain itu, yuran pengurusan tahunan ini adalah 2%, lebih tinggi berbanding 1.5% yang dikenakan oleh dana biasa.

Jadi terpulang kepada pelabur untuk menentukan kaedah yang paling sesuai dengan keperluan mereka. Tetapi pada masa depan, saya ramalkan caj jualan yang dikenakan menerusi ejen akan terus turun untuk mengekalkan daya saing.

Untuk memudahkan pembaca, saya senaraikan pilihan yang anda:

1. Ejen/Penasihat Unit Amanah 5 - 6.5%
2. Tabungan KWSP 3%
3. Menerusi Internet 2%
4. Dana Tanpa Caj Jualan 0% (1% jika jual dalam 3 tahun, yuran pengurusan lebih tinggi 0.5% daripada biasa)

13 Mei, 2010

Ekonomi Berkembang 10.1% Pada S1 2010

OPR dinaikkan sebanyak 0.25% kepada 2.50%

Bank Negara telah membuat dua pengumuman penting semalam, iaitu ekonomi Malaysia telah bekembang pesat pada S1 2010 pada kadar sebanyak 10.1% manakala kadar dasar semalamanan (OPR) telah dinaikkan sebanyak 0.25% kepada 2.50%

Kedua-dua langkah ini memang sudah dijangka tetapi akan memberi sedikit kesan kepada orang ramai dan juga syarikat dalam bentuk kos pinjaman yang lebih tinggi. Namun begitu secara keseluruhan kadar tersebut masih rendah.

Malah ramai penganalisis meramalkan akhirnya OPR akan naik sehingga 3% pada tahun ini. Bagi mereka yang mempunyai pinjaman kadar terapung sama ada bayaran ansuran mereka perlu ditambah untuk mengekalkan tempoh bayaran balik, atau tempoh bayaran balik akan menjadi sedikit lebih panjang.

Jika anda mahu mengekalkan tempoh bayaran balik, minta bank anda meningkatkan jumlah ansuran bulanan dengan sewajarnya. Mereka boleh membuat pengiraan yang berkenaan.

Walaupun ekonomi telah berkembang pesat, banyak faktor luar yang tidak menentu di Eropah yang perlu diambil kira.

Satu lagi faktor, ialah kenaikan kadar faedah ini juga bertujuan meredakan sedikit pasaran hartanah yang sedang hangat sekarang tetapi mungkin satu dua kenaikan lagi perlu berlaku sebelum pasaran reda.

Walau apa pun, kita memang sah telah keluar daripada kegawatan berasaskan perangkaan terbaru ini dan tidak mungkin pertumbuhan ekonomi mencatatkan angka negatif kembali dalam tempoh terdekat.

Unjuran bagi seluruh tahun adalah berbeza-beza, iaitu antara 5% hingga 7%, tetapi semuanya meramalkan pertumbuhan kukuh. Ini seharusnya menjadi petanda positif bagi peniaga dan juga pelabur.

10 Mei, 2010

Ambil Kesempatan Daripada Fasa Kejatuhan

Nilai Muncul Kembali Apabila Saham Jatuh

Hari ini, dalam research report yang saya terima daripada Investment Bank saya, mereka membuat seruan berikut:

It is a matter of time before the FBM KLCI capitulates
FBM KLCI – Major high formed at 1,349.92. LIQUIDATE all shares.
CPO Futures – Further range trading for this week.
DJIA – To plunge further as major 62% retracement high at 11,258 was seen.

Berhati-hati apabila menerima nasihat sebegini. Adakah nasihat ini bersifat teknikal and jangka pendek atau bersifat fundamental. Berasaskan ayatnya sahaja kita sudah tahu ini maklumat adalah analisis teknikal.

Perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah Liquidate All Shares (Jual Semua Saham). Bagi saya nasihat umum dan menyeluruh seperi ini amat berbahaya.

Mungkin harga saham secara keseluruhan akan turun lagi. Ini tidak dapat dinafikan kerana indeks telah naik tinggi. Tetapi bukan semua saham akan mengikut pergerakan indeks.

Kedua bagi pelabur fundamental jangka panjang, anda perlu yakin kepada pandangan jangka panjang anda terhadap pasaran dan ekonomi.

Sebagai contoh, apabila berlaku krisis, saya sendiri masih memegang 50% portfolio dalam saham, tetapi apabila krisis makin meruncing saya tambah pegangan sehingga 90%.

Akhirnya selepas pemulihan, portfolio saya untung besar jugaklah, malah kira-kira 20% lebih tinggi daripada sebelum krisis walaupun indeks sebelum krisis mencecah 1,500 mata sedangkan selepas krisis indeks masih berada pada paras di bawah 1350 mata.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Jawapannya ialah pemilihan saham yang tepat.

Bila orang lain panik, kita perlu bersedia untuk ambil kesempatan. Jika pasaran jatuh kali ini, jangan panik, lihat prestasi syarikat yang anda laburkan (dari segi perniagaan bukan dari segi pergerakan harga saham).

Kalau prestasinya dijangka terus baik atau cemerlang, harganya sudah tentu akan naik kembali, terutamanya apabila syarikat mengumumkan prestasi suku tahunan.

Bagi mereka yang masih ada 'peluru', inilah masanya untuk mengintai peluang sebab saya lihat nilai berpatutan kembali (termasuk beberapa syarikat yang saya sentuh dalam posting terdahulu).

05 Mei, 2010

Perkembangan Ekonomi & Keputusan Pelaburan

Isyarat ekonomi masih bercampur-campur,
tapi Malaysia pasti catatkan pertumbuhan


Kita semua sedia maklum bahawa perkembangan ekonomi sentiasa memainkan peranan dalam keputusan pelaburan kita, kerana ekonomi mempengaruhi suasana perniagaan, yang seterusnya mempengaruhi tahap keuntungan syarikat.

Umumnya sekarang ini terdapat dua kebimbangan utama. Pertama ialah keadaan ekonomi beberapa negara Eropah, secara khususnya Greece dan juga Portugal, Italy, Sepanyol. Ramai yang bimbang masalah di sana akan merebak dan kita juga akan terkena tempiasnya

Kedua, dan lebih hampir dan relevan kepada kita ialah kenyataan Marc Faber bahawa ekonomi China mungkin merundum (crash) dalam tempoh 9 hingga 12 bulan akan datang. Pandangan beliau juga dikongsi oleh Kenneth Rogoff yang menyatakan 'bubble' yang dipacu tahap hutang yang tinggi mungkin menyebabkan kegawatan dalam tempoh sedekad akan datang.

Namun begitu dari sudut positif pula, perbelanjaan pengguna di AS meningkat pada bulan Mac, tahap paling tinggi dalam tempoh enam bulan. Tahap pendapatan di sanajuga semakin meningkat. Nampaknya ekonomi AS kini semakin pulih.

Di Malaysia pula, pemulihan ekonomi dijangka semakin kukuh, ada yang meramalkan pertumbuhan suku pertama melebihi 10% dan pertumbuhan KDNK bagi seluruh 2010 dijangka meningkat sehingga 8% tahun ini.

Jadi bagaimana untuk menetapkan peruntukan aset kita dengan isyarat yang bercampur seperti ini? Saya rasa kita patut sedar bahawa walau apa pun, ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun ini dan juga tahun depan.

Dalam suasana sebegini, pemilihan saham yang tepat amat penting. Kalau pada 2009, hampir 80% saham naik tinggi disebabkan pemulihan, kali ini analisis teliti perlu dibuat kerana hanya saham syarikat yang kukuh dan menguntungkan sahaja akan naik dalam jangka panjang.

Secara peribadi, saya perlahan-lahan mempersiapkan portfolio saya untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan beberapa saham yang dipilih dengan teliti, dengan jangka masa pelaburan antara 2 hingga 3 tahun. Pendek kata, saya bercadang untuk meningkatkan tahap pelaburan saham kepada lebih 80% daripada portfolio saya (hampir fully invested) sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

02 Mei, 2010

Ceramah Buku Panduan Pelaburan Unit Amanah


Pelaburan Unit Amanah Dari Perspektif Neutral

Seperti semua jenis pelaburan lain, unit amanah atau saham amanah ialah instrumen pelaburan yang boleh membawa pulangan lumayan dalam jangka panjang. Namun jika pelaburan dibuat dengan kurang berhati-hati atau pada masa yang salah, kerugian boleh dialami.

Sebenarnya dunia unit amanah ini begitu luas. Ramai pelabur tidak sedar tentang pelbagai pilihan yang ada dan juga pelaburan yang sesuai untuk mereka. Buku Panduan Pelaburan Unit Amanah bertujuan mengisi kekosongan maklumat ini.

Ceramah yang diadakan bertujuan membincangkan beberapa topik penting dalam buku ini termasuk:
  1. Mengapa Melabur Dalam Unit Amanah?
  2. Jenis Unit Amanah - Dana Aktif dan Pasif
  3. Yuran Unit Amanah
  4. Menentukan Toleransi Risiko Anda
  5. Memilih dan Menilai Unit Amanah
  6. Teknik Pembelian
  7. Bila Untuk Membeli
  8. Peruntukan Aset
Ceramah tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tempat: MPH Alpha Angle
Tarikh : Ahad, 9 Mei 2010
Masa : 3.00 - 4.00 ptg

Ceramah buku ini adalah percuma. Malah hadirin akan turut menerima e-book terbaru saya secara percuma. Ebook ini bakal diterbitkan pada bulan Jun dan mengandungi 100 rencana blog dan artikel pilihan. Sekiranya anda hadir, saya harap dapat bertemu anda selepas acara selesai kerana saya akan terus berada di sana selama 20 minit lagi untuk berbual dan menjawab soalan.

28 April, 2010

Perlukah Ambil Pinjaman Peribadi?

Tawaran pinjaman peribadi semakin berleluasa

Sekarang ini kita melihat fenomena di mana bank, institusi kewangan dan juga organisasi pembiayaan lain (koperasi, peminjam wang berlesen, dll) suka menawarkan pinjaman peribadi kepada pengguna.

Nampaknya semua bank mahu menawarkannya dan sanggup memberikannya dengan pantas. Lihat sajalah namanya seperti Fast Cash, Express Cash, Quick Cash dan apa jua Cash.

Malah, ada yang boleh memberikan kelulusan sepantas 24 jam atau 48 jam, dan menyerahkan wang dalam masa seawal seminggu

Harus diingat bahawa pinjaman seperti ini biasanya diberikan tanpa sebarang cagaran, tetapi jumlahnya lebih kecil, iaitu antara beberapa ribu sehinggalah ke RM150,000.

Masalahnya dengan kemudahan ini ialah orang yang tiada sebab untuk mengambil pinjaman mungkin tergerak hati untuk mengambil pinjaman.

Mereka yang tidak perlu mengambil pinjaman tiba-tiba terdorong untuk membeli itu dan ini atau berbelanja semata-mata kerana kemudahan tersebut boleh didapati.

Kita perlu ingat bahawa pinjaman seperti ini sering diambil untuk perbelanjaan pengguna. Justeru aset yang dibeli menggunakan pinjaman tersebut ialah aset yang menyusut nilainya.

Saya bimbang sekiranya tawaran dan pengambilan pinjaman peribadi secara berleluasa akan menjadi detik permulaan kepada 'credit boom' dan seterusnya 'credit bubble' yang akan mengundang masalah besar dalam jangka panjang (Tapi pelabur tak perlu bimbang kerana ini tidak akan berlaku dalam jangka pendek disebabkan kekuatan Bank kita buat masa ini).

Pada pandangan saya hanya ada beberapa sebab yang munasabah untuk mengambil pinjaman peribadi:

1. Menjelaskan hutang kad kredit atau hutang lain dengan kadar lebih tinggi.
2. Untuk tujuan penting atau kecemasan, contohnya membiayai pengajian anak sekiranya tiada pilihan lain atau membiayai kos perubatan.
3. Sekiranya anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan atau pelaburan besar yang anda pasti atau yakin akan memberikan keuntungan lebih tinggi daripada kadar pinjaman.

Cubalah sedaya-upaya untuk mengelakkan pinjaman peribadi. Jangan beli barang yang tidak mampu anda beli secara tunai...melainkan jika anda benar-benar perlu. Biarlah kita hidup sekadar yang termampu.