22 April, 2016

Mengehadkan Kerugian Apabila Berdagang

Walaupun saya seorang pelabur dan bukannya trader saya tetap mengikuti perkembangan golongan yang berdagang saham dalam jangka pendek.

Apabila kita menjadi trader atau speculator, kaedah pengurusan risiko kita mestilah seperti seorang trader dan speculator, bukannya seperti investor.

Berasaskan pemerhatian saya, faktor yang menyebabkan kerugian paling besar ialah kegagalan meletakkan atau menggunakan stop loss untuk mengehadkan kerugian.

Tak kiralah anda nak letakkan pada tahap 3%, 5% atau 7% tetapi pastikan anda tetapkan nilai tersebut dan menjual jika harga turun ke paras itu. Jangan guna budi bicara atau emosi.

Memang benar ada kalanya saham naik balik selepas jatuh di bawah paras stop loss tapi anggaplah itu bukan rezeki anda. Harga yang anda bayar untuk menguruskan risiko.

Anda berdagang berasaskan probabiliti, bukan fundamental.  Apa-apa boleh berlaku. Daripada lenyap 50% modal, lebih baik anda cabut lari dan main lagi di lain hari.

Seperti kata orang putih, "Live to fight another day".

11 April, 2016

Peluang Kerjaya Tidak Bergantung Kepada Universiti atau Sekolah Anda

Beberapa hari lepas saya terbaca artikel tentang seorang yang telah menyaman pusat pengajian tingginya kerana gagal mendapat kerja sebagai peguam.

Beliau telah mendapat ijazah bidang undang-undang tetapi gagal mendapat kerja walaupun telah menghantar resume lebih seratus kali.

Artikel tersebut boleh dibaca di sini.

Pada pendapat saya tindakan ini adalah kurang bijak. Tugas universiti ialah memberikan ilmu dengan sebaik mungkin. Tanggungjawab anda ialah cuba mendapat kerja.

Jika anda dakwa penyampaian dan silabus universiti kurang baik, mungkin ada logiknya tetapi anda tidak patut menyalahkan pusat pengajian anda jika tidak mendapat kerja.

Malah, walaupun kualiti pengajian yang anda terima kurang baik sekalipun, anda sendiri yang bertanggungjawab terhadap peluang kerjaya anda kerana ilmu boleh diperolehi dari mana-mana.

Dari kaca mata saya, langkah pertama untuk berjaya ialah menghentikan sikap menyalahkan pihak lain, tak kiralah universiti, ekonomi, kerajaan atau sebagainya kerana dengan izin Allah, anda bertanggungjawab terhadap keadaan anda sendiri.
  
Tetapi perkara yang lebih pelik tentang artikel ini ialah beliau sebenarnya ada mendapat tawaran kerja tetapi menolak kerana dikatakan gajinya lebih rendah daripada gaji dalam pekerjaan di luar bidang guaman yang boleh diperolehinya.

Bukankan lebih baik timba pengalaman dulu walaupun pada gaji lebih rendah untuk dapat pengalaman supaya lebih senang dapat kerja selepas sudah ada pengalaman?

02 April, 2016

Lebih Rendah Kos Lebih Tinggi Pulangan

Dua tokoh tersohor dalam bidang pelaburan,Burton Malkiel, penulis buku terkenal A Random Walk Down Wall Street, dan juga John Bogle, pengasas dana berkos rendah Vanguard telah berkali-kali menekankan bahawa kos pelaburan akan mempengaruhi pulangan anda.

Menurut mereka dalam jangka panjang, pelabur yang melabur dengan kos paling rendah mempunyai kelebihan. Perkara ini lebih ketara di Malaysia, kerana kos sesetengah pelaburan adalah agak mahal.

Menyedari hakikat ini, kita perlu maklum apakah kos pelaburan kita dan jika kita membayar kos lebih, adakah manfaat yang bakal diperolehi akan melebihi kos tersebut?

Dalam pelaburan saham, kos memainkan peranan penting bagi seorang trader berbanding investor kerana lebih tinggi kos lebih tinggi titik pulang modal dan lebih tinggi pergerakan saham yang diperlukan sebelum untung diperolehi.

Seorang pelabur saham pula mempunyai jangka masa lebih panjang jadi kos tidak begitu sensitif baginya tetapi masih ada manfaat jika beliau membeli dengan kos paling rendah. Cara mendapatkan kos paling rendah ialah membeli saham online.

Burton Malkiel, "The lower the fee that I pay to the purveyor of an investment product, the more there is going to be for me.

"Lebih rendah yuran yang dibayar kepada pengeluar produk pelaburan, lebih banyak yang tinggal untuk saya."

Dalam pelaburan unit amanah pula kosnya jauh lebih tinggi, kerana terdapat dua bentuk kos utama iaitu kos jualan (2 - 5.5%) dan juga yuran pengurusan tahunan (1.5 - 2%). Yuran lebih tinggi kerana kita menyerahkan wang kita kepada pengurus dana untuk dilaburkan.

Tetapi kos jualan ialah faktor yang boleh kita kawal.  Malah di Malaysia kos jualannya sangat tinggi berbanding di Amerika.  Jika anda mengambil saluran berkos tinggi, pastikan anda manfaatkan sepenuhnya sebarang perkhidmatan yang diberikan.

John Bogle: “If investors could rely on only a single factor to select future superior performers and to avoid future inferior performers, it would be fund costs. The record could hardly be clearer: The more the managers and brokers take, the less the investors make."
 
Jika pelabur boleh bergantung kepada satu faktor untuk memiih prestasi terbaik pada masa depan dan mengelakkan prestasi kurang baik, faktornya ialah kos dana. Rekodnya begitu jelas: Lebih banyak yang diambil oleh pengurus dan broker, lebih rendah pulangan pelabur.
 
Akhir sekali ialah pembelian hartanah. Kita boleh mengurangkan kos dengan cuba mendapatkan kadar pembiayaan dan perlindungan  yang paling berpatutan. Lebih rendah kos, lebih tinggi ROI. 

Perlu diingat bahawa semua kos ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan prestasi pelaburan.  Bagi saham dan unit amanah, kos adalah berkaitan dengan saluran pembelian dan perkhidmatan yang anda perolehi manakala bagi hartanah, ia berkaitan dengan kekuatan kredit anda.

Jadi ikutlah nasihat Burton Malkiel dan John Bogle untuk mencapai pulangan paling memuaskan dalam pelaburan. Cuba melabur pada kos yang paling rendah melainkan ada manfaat nyata yang boleh anda perolehi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.