27 Disember, 2009

Menghadkan Kerugian Apabila Berdagang

Tetapkan stop loss apabila beli saham jangka pendek

Saya dapati ada ramai pelabur yang lebih suka berdagang daripada melabur. Pendek kata main saham lebih popular daripada labur saham.

Ini memang menjadi lumrah kerana kebanyakan orang tidak ada masa atau kesabaran untuk membina portfolio jangka panjang. Lagipun berdagang saham memanglah lebih 'exciting' daripada melabur saham.

Saya bukan pakar main saham jangka pendek, tetapi saya cadangkan bagi mereka yang main saham, belajarlah sedikit sebanyak ilmu analisis teknikal, iaitu mengkaji pergerakan saham berasaskan carta.

Tetapi lebih penting lagi ialah menetapkan stop loss atau had kerugian bagi setiap urus niaga anda. Stop loss ialah satu takat di mana anda membuat keputusan untuk jual saham apabila harga saham jatuh, biasanya antara 5% - 10% daripada harga beli.

Oleh kerana anda main saham, biasanya anda tidak menghiraukan sangat kedudukan kewangan dan faktor kualitatif mengenai syarikat. Justeru stop loss ini memastikan bahawa jika anda sesuatu yang tak kena dengan syarikat atau saham syarikat, anda menghadkan kerugian anda dan tidak terperangkap jika saham jatuh dengan mendadak.

Stop loss ialah satu cara untuk memelihara modal anda (capital preservation) supaya anda boleh terus berdagang lagi. Katakan anda menetapkan stop loss pada 5%, ini bermakna anda boleh berdagang banyak kali sebelum modal anda terjejas teruk.

Katakan anda membuat 6 urus niaga dalam masa sebulan, dan 3 kali anda untung dan 3 kali anda rugi. Perlu diingat bahawa anda tidak menetapkan had untuk keuntungan anda.

Andaikan secara purata keuntungan anda adalah 10% dan sedangkan kerugian anda dihadkan kepada 5% sahaja, ini bermakna anda tetap untung walaupun rekod urus niaga untung-rugi anda ialah 50 : 50.

Pada pendapat saya, seorang pedagang atau trader yang bijak perlu menetapkan stop loss setiap kali beliau menjalankan urus niaga.

Nota:
Stop loss ini biasanya digunakan oleh pelabur jangka pendek.

24 Disember, 2009

Meninjau Kuasa Pasaran

Kuasa pasaran memberikan kelebihan daya saing

Apabila menilai saham syarikat, kita perlu meninjau kekuatan syarikat. Salah satu daripada faktor kekuatan ialah kuasa pasaran, iaitu adakah pasaran bersifat terbuka atau adakah syarikat yang mengawal pasaran dan berupaya menetapkan harga dan menyekat pesaing daripada memasuki pasaran.

Satu bentuk kuasa pasaran ialah monopoli, iaitu pasaran yang tidak ada pesaing. Contohnya ialah yang Tenaga Nasional, Astro dan Pos Malaysia (pos biasa). Walau bagaimanapun, kuasa yang mereka ada bukan kuasa mutlak kerana mereka tidak dapat mengawal sepenuhnya harga produk masing-masing kerana tertakluk kepada persetujuan kerajaan..

Sebaliknya Microsoft yang hampir mempunyai monopoli terhadap sistem operasi komputer mempunyai kuasa untuk menentukan harga sistem operasi Windows. Namun begitu, kuasa mereka juga ada hadnya kerana jika mereka letakkan terlalu mahal, maka mereka terpaksa menghadapi persaingan daripada produk cetak rompak.

Satu lagi bentuk kuasa pasaran ialah oligopoli di mana terdapat hanya beberapa syarikat dalam sesuatu pasaran, mungkin kerana lesen yang diberikan terhad atau kerana pesaing tidak mampu menembusi pasaran. Di Malaysia ia wujud dalam industri telekomunikasi, media dan pengeluaran rokok.

Kuasa pasaran juga wujud apabila sesebuah syarikat mempunyai bahagian pasaran yang besar walaupun pesaing bebas memasuki pasaran. Kuasa pasaran ini mungkin dibina menerusi kekuatan pengedaran dan rantaian bekalan yang unggul berbanding pesaing atau mungkin daripada jenama yang sudah mapan yang mendapat kepercayaan pengguna.

Namun begitu syarikat yang mempunyai kuasa pasaran tidak semestinya syarikat yang baik. Ada banyak faktor lain mengenai syarikat yang perlu dikaji. Kadangkala walaupun ada hanya tiga syarikat dalam sesuatu pasaran, persaingan begitu sengit sehingga syarikat tersebut terpaksa mengurangkan harga untuk mendapatkan pelanggan.

Selain daripada itu, jika anda dapati syarikat itu memang kukuh dan mencatatkan prestasi yang baik selepas membuat kajian lanjut, tidak semestinya sahamnya bagus untuk dibeli kerana harga saham mungkin berada pada tahap yang terlalu tinggi sehingga lebih tinggi daripada nilai sebenarnya.

Kesimpulannya ialah kuasa pasaran boleh dijadikan satu kayu pengukur sesebuah syarikat tetapi pastikan kita mengambil kira segala faktor lain untuk meninjau kekuatan syarikat dan mengkaji saham.

21 Disember, 2009

Green Packet: Pelaburan Risiko Tinggi

Pemilik BroadBand P1 Guna Strategi Agresif

Siapa yang tak kenal dengan Rangkaian Broadbank WIMAX P1 sekarang, dengan iklan potong-potong-potong di televisyen. Selain daripada memberikan satu lagi pilihan jalur lebar, syarikat yang memiliki P1 ialah Green Packet (GP), yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Daripada strategi pengiklanan, promosi dan peluasan rangkaiannya, GP ternyata menggunakan strategi agresif dengan membuat perbelanjaan besar untuk mengembangkan perniagaan dengan pantas. Berikut adalah sedikit data mengenai GP:

1. Untuk 9 bulan berakhir 30 Sept 09, GP alami kerugian besar RM82.9 juta.
2. Tetapi hasil (revenue) syarikat untuk tempoh yang sama meningkat dengan ketara kepada RM101 juta.
3. Justeru kerugian dialami kerana kos promosi/pengiklanan dan perkembangan rangkaian yang tinggi
4. Berasaskan angka hasil dan kerugian semasa, pihak pengurusan mengandaikan bahawa mereka perlu 200,000 pelanggan untuk pulang modal (Sekarang ada 100,000).
5. Pihak pengurusan tetapkan sasaran pulang modal pada Suku 1 2010 (tapi saya rasa mungkin susah dicapai sepantas itu, mungkin pada suku kedua)

Faktor positif:
1. Kos pemerolehan pelanggan (iklan dan promosi agresif) dan kos meluaskan rangkaian dijangka stabil apabila jenama sudah mapan.
2. Jumlah pertambahan pelanggan pada S3 09 lebih tinggi daripada TM
3. Hasil meningkat dengan ketara
4. Telah membina jenama yang dikenali ramai

Risiko:
1. Persaingan sengit daripada peserta sedia ada termasuk daripada khidmat broadband daripada pembekal perkhidmatan bimbit.
2. Pelancaran High Speed Broadband TM tahun depan
3. Sukar mencapai dan mengekalkan sasaran bilangan pelanggan
4. Kekurangan modal sebelum dapat menghabiskan peluasan rangkaian atau mencapai jumlah pelanggan sasaran (malah kalau tak silap syarikat baru buat tawaran saham persendirian - private placement).

Berikut adalah carta saham GP untuk tempoh satu tahun lepas:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa harga saham sejak kebelakangan ini adalah volatil. Saya ingin menekankan di sini bahawa pelaburan ini berisiko tinggi kerana jika perkembangan perniagaan tidak seperti yang dirancang, syarikat berpotensi untuk mengalami kegagalan besar, seperti Nasioncom yang terlibat dalam VoIP satu ketika dulu.

Walau apa pun saya meninjau syarikat ini kerana ada sesetengah pelabur yang lebih suka melabur dengan saham yang volatil sebegini. Saya juga suka mengkaji syarikat seperti ini dari sudut perniagaan dan persaingan. Kita tunggu dan lihat sama ada strategi agresif peserta baru ini dapat mengatasi gergasi yang sudah lama bertapak di pasaran.

Bagi saya persaingan amat baik bagi pasaran broadband, dengan harapan harga perkhidmatan akan jatuh untuk kebaikan kita yang banyak menggunakan Internet.

17 Disember, 2009

Dell Hentikan 700 Pekerja

Dell yang dulu model kecekapan cuba jimatkan kos

Saya telah lama meminati Dell Computers. Pada satu masa dulu saya sekeluarga hanya memilih Dell kerana boleh membeli komputer berjenama bermutu tinggi pada harga yang berpatutan. Biasanya harga Dell sedikit lebih rendah daripada komputer berjenama lain.

Tapi entah kenapa, pada tahun ini, apabila mahu membeli komputer laptop untuk bisnes saya, saya tak berkenan pula dengan tawaran Dell di laman webnya. Malah harganya sama atau lebih tinggi sedikit daripada laptop jenama lain. Akhirnya saya membuat keputusan membeli HP.

Jika saya yang menjadi pengguna setia Dell sudah bertukar kepada jenama lain, saya tidak hairan jika Dell sekarang perlu merombak operasi dengan menghentikan 700 pekerja di Malaysia tahun depan. Pengeluaran yang dihentikan pula ialah bekalan ke pasaran Amerika dan Kanada, sedangkan pengeluaran untuk pasaran di rantau ini masih diteruskan.

Tapi jangan salah sangka bahawa Dell membuang pekerja di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada projek pengurangan kos global dan syarikat ini juga telah menutup kilang di Austin, Texas dan Limeric, Ireland.

Sebenarnya Dell pada satu ketika dulu sangat kukuh disebabkan kekuatan rantaian bekalan dan model perniagaannya, yang membolehkannya menjual PC yang disesuaikan khas untuk pengguna pada harga yang lebih murah, menerusi Internet dan telefon

Namun begitu PC ialah sejenis perniagaan yang kini bersifat komoditi dan sekarang ini terlalu banyak pilihan yang ada pada pengguna, sama ada daripada pesaing kos rendah ataupun jenama yang kukuh.

Masalah dalam perniagaan seperti ini jika pesaing lain yang juga mempunyai jenama terkenal dapat menandingi harga yang ditawarkan dan memberikan pengguna pelbagai pilihan selain membolehkan mereka membawa pulang komputer yang dilihat sendiri dengan mata kasar serta-merta, insentif untuk pergi online dan membeli komputer Dell sudah berkurangan.

Mungkin sebab itulah, Dell juga sudah mula menawarkan komputernya menerusi gedung komputer runcit. Maka agak sukar sekarang untuk membezakan Dell daripada HP dan jenama lain di pasaran, kerana kelebihan harga murah sudah tidak wujud lagi. Yang tinggal mungkin persepasi kualiti, tetapi persepsi kualiti ini juga ada pada jenama lain.

Satu perkara yang boleh kita pelajari sebagai pelabur ialah adakah syarikat yang kita laburkan itu mempunyai kelebihan daya saing dan kedua adakah daya saing itu dapat dikekalkan? Hanya syarikat yang dapat mengekalkan kelebihan daya saing yang berpotensi untuk mencapai keuntungan 'supernormal' dalam jangka panjang.

14 Disember, 2009

PNB Umum Dividen ASB 7.30%, Bonus 1.25%

Dividen lebih tinggi tapi bonus lebih rendah

Pada hari ini (14 Disember 2009) ASNB, anak syarikat milik penuh PNB, telah mengumumkan dividen 7.30% dan bonus 1.25% untuk tahun 2009 bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ramai yang menanti pengumuman ini kerana ASB merupakan instrumen tabungan yang memberikan pulangan paling tinggi (tabungan maksimum RM200,000).

Dividen yang diumumkan pada 7.30% adalah lebih tinggi daripada 7.00% yang diisytiharkan pada tahun lepas, sedangkan bonusnya 1.25% adalah lebih rendah daripada 1.75% yang diiystiharkan pada tahun lepas.

Berikut adalah pulangan ASB bagi tempoh empat tahun lalu.

Tahun Dividen Bonus
2009 - 7.30% - 1.25%
2008 - 7.00% - 1.75%
2007 - 8.00% - 1.00%
2006 - 7.30% - 1.25%

Persoalan sama ada pulangan tahun ini lebih baik atau tahun lepas lagi baik adalah bergantung kepada tempoh simpanan anda. Ini kerana dividen diberi berasaskan purata baki minimum bulanan bagi 12 bulan (1 tahun) sedangkan bonus diberikan berasaskan purata baki minimum bulanan untuk 120 bulan (10 tahun).

Jika anda seorang pelabur baru, maka kemungkinan besar tahun ini anda dapat pulangan lebih tinggi kerana dividen yang diisytiharkan adalah lebih tinggi, tetapi jika anda sudah lama melabur dan baki anda dalam tempoh sepuluh tahun lepas adalah tinggi dan lebih tinggi daripada baki minimum sepanjang tahun ini, maka pulangan tahun ini mungkin lebih rendah sedikit berbanding tahun lepas kerana bonus lebih rendah.

Untuk menentukan cara mengira dividen, saya rasa tak perlu saya jelaskan dengan panjang lebar di sini kerana sudah diterangkan dalam posting berikut di dalam forum bicarajutawan. Walau apa pun, jangan lupa untuk bayar zakat atas tabungan ASB.

Akhir sekali, urus niaga ASB akan ditutup dari 21 Disember 2009 hingga 3 Januari 2010 dan dibuka semula pada 4 Januari.

Nota: Sila maklumkan saya jika ada apa-apa kesilapan dalam posting di atas.

09 Disember, 2009

Ceramah Buku Panduan Bijak Melabur

Bincang pilihan saham dan peruntukan aset

Pada hari Ahad ini, saya akan mengadakan 'talk' terakhir saya tahun ini di MPH One Utama (New Wing). Seperti biasa acara ini percuma dan terbuka kepada semua.

Mereka yang berminat digalakkan datang awal sikit kerana memang susah cari parking lepas waktu tengah hari di One Utama.

Tempat: MPH One Utama (New Wing)
Tarikh : Ahad, 13 Disember, 2009
Masa : 2.00 - 3.00 ptg

Saya akan membincangkan topik berikut:

1. Mengapa melabur dalam saham?
2. Teknik pelaburan asas
3. Mencari idea pelaburan
4. Pemilihan saham
5. Peruntukan aset
6. Situasi semasa - (sangat penting)
7. Mengawal perasaan

Saya menjemput para pembaca blog untuk bersama saya. Lima pembeli pertama buku pada hari tersebut akan menerima satu buku percuma daripada Azizi Ali.

05 Disember, 2009

Emas Akan Terus Naik Lagi?

Apabila sesuatu aset terus naik tanpa henti,
pelabur bijak hendaklah mula berhati-hati


Kenaikan emas memang hebat dan tidak menghairankan melihatkan krisis semasa. Ramai pelabur berpindah kepada logam yang memberikan keselamatan kepada mereka. Pelabur yang melabur dalam emas menerusi kijang emas atau buku pelaburan emas pasti telah mendapat untung besar. Malah mereka yang memegang barangan kemas pun pasti untung, cuma harga untuk menjual kembali barangan kemas tidak begitu tinggi.

Emas bukan bidang saya. Dari segi aset yang berbentuk 'tangible', saya lebih suka melabur dalam hartanah, kerana sekurang-kurangnya hartanah itu boleh diduduki dan dimanfaatkan oleh penyewa. Pendek kata ia mempunyai nilai ekonomi. Tapi ada jugalah beli sikit-sikit emas sebagai sebahagian daripada asset diversification.

Tapi kenaikan emas menyebabkan ramai yang mula berminat dengan emas dan memberi perhatian. Lebih banyak bank menawarkan buku pelaburan emas sekarang. Ada lebih banyak tulisan dan buku atau e-book mengenai emas. Malah, Azizi Ali kini akan mengadakan satu seminar mengenai cara memanfaatkan pelaburan emas.

Tetapi yang peliknya ialah kenaikan harga emas menimbulkan kesempitan besar kepada peniaga dan peruncit emas, satu-satunya sektor yang menghasilkan nilai ekonomi atau 'economic good'. Harga emas yang begitu tinggi mengurangkan permintaan bagi barangan kemas. Ini tidak menghairakan kerana sekarang lebih banyak orang berminat untuk melabur emas daripada membeli emas sebagai barangan kemas.

Cuba kita lihat harga emas sejak 1971 dalam carta di bawah (USD)

Dipetik daripada World Gold Council

Kita dapat lihat bahawa kenaikan emas bukannya baru, tetapi telah berlaku sejak 2001.Kita tahu bahawa kegawatan ekonomi belum reda, mungkin emas akan mendaki lagi dalam tempoh terdekat.

Walau apa pun, apabila saya melihat graf seperti ini, tak kiralah emas atau saham, biasanya saya mula berhati-hati. Tetapi saya sudah katakan bahawa saya bukan pakar dalam emas. Nak menulis artikel sebegini pun satu risiko memandangkan emas sekarang begitu 'hot'.

Kesimpulannya ialah jika anda melabur dalam emas, teruskanlah tetapi pastikan anda lebih peka dan memerhatikan untuk sebarang tanda bahawa emas sudah penat mendaki. Kita perlu berhati-hati kerana pada satu masa dulu, ramai orang ingat harga minyak juga akan naik tanpa henti.

30 November, 2009

Risiko Kepada Pasaran Saham

Ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya;
Perlu tangani arus kegawatan kedua

Walaupun pasaran saham sedunia telah naik dengan ketara tahun ini, ramai yang berpendapat bahawa kenaikan ini terlalu optimistik memandangkan masalah ekonomi dunia belum selesai.

Memang benar 'the worst is over', iaitu tahap terendah dan situasi paling serius telah berlalu bagi ekonomi dunia, tetapi ia masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi jika dilihat daripada kenaikan pasaran, seolah-olah kegiatan perniagaan global telah kembali berkembang pesat.

Nouriel Roubini, pakar ekonomi yang meramalkan kegawatan serius 2008 / 2009 berkata pasaran akan kembali menghadapi realiti sebenar tidak lama lagi. Saya tak tahu setakat mana ketepatan ramalannya tetapi terdapat tanda-tanda bahawa unjuran beliau mungkin mula menjadi kenyataan.

Bukti pertama ialah permintaan Dubai menangguhkan bayaran hutang bernilai RM60 billion (lihat posting saya sebelum ini). Kedua ialah risiko 'US$ carry trade', iaitu pinjaman yang dibuat pada kadar rendah dan dilaburkan di pasaran Asia. Aliran masuk wang ini dinamakan 'hot money'. Perlu diingat 'hot money' ini boleh keluar sepantas ia masuk.

Ketiga Bundesbank (Bank Pusat Jerman) meramalkan masalah lanjut dalam sistem perbankan, dengan kerugian berbilion lagi dollar dijangkakan di kalangan Bank di Jerman. Keempat, Bank Pusat di Eropah sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa kadar faedah akan dinaikkan, dan jika ini berlaku, bekalan wang akan berkurangan dan pasti menjejaskan pasaran saham.

Sebenarnya tahun ini kita telah melihat ekonomi meleset tetapi pasaran saham naik (berasaskan ramalan pemulihan). Tetapi separuh pertama tahun depan, kita mungkin melihat pula ekonomi mula berkembang secara positif, tetapi pasaran saham menyusut (kerana pemulihan tidak sekukuh yang dijangka).

Hakikatnya Malaysia terlepas daripada kesan serius kegawatan. Di samping itu, pasaran saham Malaysia juga tidak naik terlalu tinggi seperti beberapa pasaran lain, termasuk China yang naik lebih 100%. Kedudukan bank di Malaysia juga amat kukuh dan banyak syarikat yang mencatatkan prestasi yang baik.

Namun begitu, syarikat dan pasaran saham Malaysia tidak akan terlepas daripada apa yang berlaku di luar negara. Justeru pada pandangan saya, faktor global mengatasi faktor lokal dalam keputusan pelaburan saya.

Walau apa pun, pelabur harus sentiasa bersedia. Wang yang dikeluarkan daripada pasaran saham boleh digunakan untuk membeli kembali jika pasaran jatuh dan banyak saham kembali ke tahap undervalued.

27 November, 2009

Dubai World Mula Goyah

Pertumbuhan tidak terbatas akhirnya bawa padah

Semalam, 26, Nov., Dubai World, iaitu bahagain pelaburan milik kerajaan Dubai, mengumumkan bahawa ia telah meminta para peminjam untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman terhadap hutang yang ditanggung bernilai $60 bilion.

Pengumuman ini memeranjatkan pasaran dunia, kerana jika Dubai World gagal membayar balik pinjaman, maka banyak bank yang memberikan pinjaman kepadanya akan merasai kesannya.

Selain itu, satu lagi persoalan yang menjadi tanda tanya ialah projek-projek yang dilaksanakan oleh Dubai World. Jika projek-projek ini terjejas, maka sesetengah tempat di Asia pasti merasai kesannya, terutamanya syarikat yang terlibat dengan projek di Dubai, dan ini satu perkembangan yang agak membimbangkan.

Di Malaysia sahaja kita dapat lihat bahawa Dubai World telah membatalkan MoU dengan MMC bagi satu projek di Malaysia dan membatalkan hasratnya untuk melabur dalam Bank Islam. Berita tersebut mungkin petanda awal kepada situasinya sekarang.

Dubai ialah sebuah bandar yang berkembang sangat pesat pada alaf baru, mungkin perkembangannya terlalu pesat. Dengan pelbagai projek membina bangunan canggih dan hotel mewah yang jauh lebih mewah daripada apa yang dianggap mewah di sini, cita-cita tidak terbatas telah menggoncang kedudukannya. Mungkin situasinya begitu 'surreal' dan kini mereka terpaksa berpijak di bumi nyata.

Situasi ini lebih dekat dengan Asia. Di Asia sekarang ini terdapat sedikit 'bubble' dalam pasaran saham, walaupun kenaikan saham tidak begitu ketara di Malaysia berbanding pasaran lain di Asia. Masalah Dubai World ini pasti menjejaskan pasaran saham rantau ini dan global. Adakah ini jarum kecil yang akan menusuk buih-buih kenaikan pasaran yang sedang membuak-buak? Terpulang kepada anda untuk membuat penilaian.

Saya sendiri tak begitu pasti, tetapi selama dua tiga minggu ini, seperti yang saya nyatakan dalam posting saya baru-baru ini, saya lihat seperti indeks di Malaysia sudah penat mendaki. Saya telah mengeluarkan lebih 50% daripada wang daripada pasaran. Pelaburan yang tinggal hanya syarikat yang sangat menguntungkan sahaja.

Selamat Hari Raya Haji diucapkan kepada para pembaca.

22 November, 2009

Feeder Fund dan Fund of Funds

Melabur Di Luar Negara Menerusi Dana Kepada Dana

Selain daripada dana yang melabur dalam saham, bon dan instrumen pasaran wang, terdapat dana yang melabur dalam dana lain yang lazimnya terbahagi kepada dua jenis, iaitu feeder fund atau dana pembekal; dan juga fund of funds atau dana kepada dana. Umumnya di Malaysia, feeder funds dan fund of funds digunakan untuk melabur dalam dana luar negara.

Feeder fund ialah dana yang melaburkan semua dananya dalam satu dana induk. Struktur begini digunakan ialah untuk memudahkan pelabur dari negara berbeza untuk melabur dalam satu dana. Sebuah Master Fund atau Dana Induk ditubuhkan di satu negara atau di luar pesisir dan kemudian feeder fund dibuka di negara-negara lain untuk mengumpulkan pelaburan daripada pelabur daripada negara-negara tersebut.

Justeru pelabur dari negara berlainan boleh melabur dalam satu dana yang sama. Sistem Master-Feeder ini membolehkan pelabur sesuatu negara melabur dalam dana di negara lain atau di luar pesisir dengan mudah, mengikut peraturan pelaburan yang ditetapkan di negaranya sendiri. Contoh feeder fund di Malaysia termasuk Alliance Global Diversified Property Fund yang melabur dalam Fidelity Global Property Fund dan juga Prudential Global Market Navigator yang melabur dalam dana Global Market Navigator oleh International Opportunities Funds yang didaftarkan di Luxembourg.

Fund of funds pula ialah dana pelaburan yang hanya melabur dalam beberapa dana lain. Di Malaysia, dana seperti ini perlu melabur dalam sekurang-kurangnya lima unit amanah lain pada setiap masa dan tidak lebih daripda 30% daripada nilai aset bersih Fund of Funds boleh dilaburkan dalam mana-mana dana tunggal.

Fund of Funds juga merupakan satu kaedah yang digunakan untuk melabur dalam dana di luar negara. Antara contoh fund of funds ialah Global Asset Spectra Fund yang melabur dalam dana ekuiti, bon hartanah dan komoditi global dan juga TA European Equity Fund yang melabur dalam dana ekuiti temaptan dan juga asing dan juga REIT dan ETF yang melabur di Eropah.

Bagaimana dengan yuran dan risiko yang dihadapi oleh dana-dana seperti ini? Umumnya yuran pengurusan adalah lebih tinggi sedikit, iaitu 1.8%. Suruhanjaya Sekuriti telah menetapkan bahawa pelabur hanya boleh dikenakan yuran sekali, iaitu di peringkat dana pembekal atau dana sasaran, dan tidak boleh dikenakan yuran dua kali. Yuran perkhidmatan/jualan juga lebih kurang sama dengan unit amanah biasa. Walau apa pun, pelabur dinasihatkan untuk membaca prospektus untuk mendapatkan kepastian tentang kos dana tertentu.

Bagaimana pula dengan risiko yang dihadapi? Sebenarnya risiko adalah sama dengan risiko yang dihadapi apabila melabur dalam unit amanah Malaysia kecuali pelabur terdedah kepada keadaan ekonomi dan kadar faedah pasaran di mana dana tersebut dilaburkan. Justeru, untuk mengetahui setakat mana pendedahan mereka, pelabur perlu memastikan pasaran sasaran dan membuat kajian tentang pasaran negara tersebut.

Satu lagi risiko yang wujud ialah risiko pergerakan mata wang yang berpotensi menambah atau mengurangkan pulangan yang diterima oleh pelabur dana di peringkat tempatan berbanding dana sasaran yang dilaburkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, pelabur juga harus berhati-hati tentang kaedah operasi dana sasaran, iaitu sama ada ia menggunakan hutang untuk melabur atau menggunakan instrumen derivatif.

Pada pendapat saya kedua-dua cara ini merupakan kaedah yang selamat untuk melabur dalam dana yang terlibat di pasaran luar negara, kerana pelaburannya diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

20 November, 2009

Perhatikan Tindak-Tanduk Orang Dalam

Petanda kurang baik jika pegawai kanan jual saham

Baru-baru ini sebuah syarikat bernama Lityan telah disenaraikan semula di pasaran saham selepas menjalani penyusunan semula. Ini memang menjadi perkara biasa cuma yang mencuit perhatian ialah harganya telah naik secara mendadak sehingga hampir mencecah RM3.

Kenaikan ini pun tak menjadi masalah, tetapi perkara yang membimbangkan ialah apabila pengarah urusannya dikatakan menjual saham pada harga lebih kurang RM3 (menurut The Edge) di pasaran terbuka.

Tidak ada apa yang salah tentang urus niaga ini, kerana pemimpin syarikat mungkin menerima opsyen saham atau memiliki saham dan mahu mengambil untung daripada saham syarikat apabila ia mula disenaraikan semula.

Namun begitu kita sebagai pelabur perlu risau tentang perkara ini kerana apabila orang dalam syarikat menjual, ini bermakna mereka berpendapat harga sudah sampai ke tahap yang sama dengan nilai syarikat atau lebih tinggi daripada nilai syarikat.

Sudah tentulah dari segi peribadi, mereka akan jual jika mereka anggap ini untung tertinggi yang boleh mereka capai, dan sebagai orang dalam, malah pemimpin syarikat, mereka tahu nilai sebenar syarikat mereka.

Beberapa tahun dahulu Pengasas Gamuda ada menjual sahamnya dan penjualan tersebut menimbulkan tanda tanya pelabur. Seperti yang dijangka, harga saham Gamuda jatuh dengan ketara selepas itu. Jika kita lihat harga Lityan hari ini ialah RM2.44.

Saya ingin menekankan bahawa tindakan menjual saham oleh pegawai kanan adalah perkara biasa, tetapi kita sebagai pelabur kecil perlu akur bahawa orang dalam lebih tahu dari kita tentang hal ehwal syarikat. Jika mereka mula menjual, kita pun patut mempertimbangkan perkara yang sama, kecuali kalau ada sebab munasabah, seperti menjual kepada pemegang saham institusi besar dan sebagainya.

Sementara itu, pembelian orang dalam atau pembelian balik saham oleh syarikat pula memberikan persepsi yang sebaliknya, iaitu persepsi positif kerana ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap syarikat dan mereka berpendapat harga saham akan naik lagi kepada nilai yang mencerminkan nilai sebenar. Situasi ini bukannya benar dalam semua keadaan tetapi umumnya begitu.

Justeru kita sebagai pelabur kecil harus sentiasa peka dengan tindak-tanduk orang dalam. Berita mengenai jual beli orang dalam akan diumumkan di Laman Web Bursa atau akhbar kewangan utama.

15 November, 2009

MIER: Ada Risiko Kemelesatan Lanjut

Peluang 50% Ekonomi Dunia Akan Meleset
Pada Separuh Pertama 2010

MIER baru-baru ini memberi amaran bahawa ekonomi global mungkin menghadapi kemelesetan lanjut pada separuh pertama tahun 2010, disebabkan oleh situasi di AS.

Menurut Pengarahnya Datuk Mohd Ariff, pemulihan ekonomi semasa yang digambarkan menerusi angka KDNK positif adalah disebabkan oleh pakej rangsangan besar-besaran oleh Kerajaan AS dan kerajaan lain, termasuk Malaysia.

Apabila rangsangan tidak lagi diberikan, keadan sebenar kegiatan ekonomi akan dilihat, dan menurut beliau ekonomi sebenar masih lagi belum kukuh.

Menurutnya, jika perkara di atas berlaku, maka ramalan pertumbuhan ekonomi 3% Malaysia mungkin sukar dicapai kerana Malaysia amat bergantung kepada eksport dan perdagangan sebagai pemacu ekonomi.

Semakin hari kita mendengar lebih banyak amaran tentang ekonomi, terutamanya daripada pakar ekonomi, termasuk Nouriel Roubini, yang terkenal kerana meramalkan kemesetan ekonomi global yang terkini.

Namun bukan semua yang berpendapat sedemikian, kerana ramai juga pakar ekonomi dan pakar saham lain yang berpendapat kemelesetan telah berakhir.

Jadi pandangan mana yang harus diikuti jika kita mempunyai wang dalam pasaran saham? Sukar untuk tentukan, tetapi secara peribadi saya rasa dalam keadaan sekarang kita perlu berhati-hati apabila membuat pelaburan kerana indeks telah naik tinggi dan pada satu masa kelak, rangsangan akan dihentikan dan kadar faedah akan dinaikkan kembali.

Pendek kata dalam tempoh terdekat ini...'anything can happen'

11 November, 2009

Ceramah Panduan Bijak Melabur







Jemputan ke Hari Terbuka Truewealth Publications


Pada 13 - 15 November ini, syarikat penerbit Truewealth Publications akan mengadakan Hari Terbuka dan jualan murah untuk menghabiskan stok. Pelbagai diskaun menarik ditawarkan kepada pengunjung, ada yang sehingga 70%.

Selain daripada diskaun, beberapa orang penulis, termasuk saya, akan hadir untuk memeriahkan acara. Ada di antara penulis yang akan menyampaikan ceramah selama satu jam mengenai buku masing-masing. Pengunjung boleh menghadiri ceramah ini secara percuma. Ini satu peluang yang baik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Ceramah saya adalah seperti berikut:

Tarikh: Sabtu, 14 November
Masa : 2.30 ptg - 3.30 ptg
Tajuk : Pemilihan Saham dan Peruntukan Aset

Saya harap dapat bertemu dengan anda di acara ini. Layari laman web Truewealth untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Alamat TrueWealth Publications:

A-2-11, Dataran Glomac, Jalan SS6/5A, Pusat Bandar Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor (Peta).

08 November, 2009

Anda Pelabur atau Pedagang?

Pastikan matlamat pelaburan saham anda jelas

Pada hari Sabtu lepas (7 Nov.), saya menghadiri satu seminar anjuran Shareinvestor/Bursastation membabitkan tiga penceramah. Salah seorang daripada mereka ialah Dr Michael Leong, pengasas Shareinvestor.

Beliau menegaskan (dan saya amat bersetuju) bahawa seseorang pelabur perlu menentukan mengapa beliau membeli saham. Soalan yang perlu ditanya ialah, adakah anda melabur atau berdagang?

Ini penting kerana cara anda membuat keputusan jual beli adalah berbeza sama sekali apabila anda melabur atau berdagang. Malah jika kadangkala anda membeli untuk jangka panjang dan kadangkala anda berdagang untuk satu dua hari, anda dinasihatkan memisahkan wang pelaburan dan wang dagangan saham.

Jika anda melabur, anda perlu membuat penilaian syarikat, keuntungannya, asetnya, hutangnya dan banyak lagi untuk mengetahui potensi saham syarikat memberikan pulangan kepada anda. Anda juga mengharapkan potensi ini akan direalisasikan dalam jangka masa yang agak panjang dalam bentuk kenaikan harga atau pembayaran dividen kepada anda.

Sebaliknya jika anda berdagang, iaitu menjual beli dalam jangka pendek, perkara paling penting ialah sentimen, momentum, volum, sokongan dan rintangan dan pelbagai faktor teknikal lain yang boleh ditelaah menerusi analisis teknikal. Faktor keuntungan, aset dan sebagainya tidak lagi menjadi perkara penting.

Malah jika anda berdagang, anda perlu berdagang dengan cara yang tersusun. Perkara paling penting ialah strategi hadkan kerugian atau stop loss yang ditetapkan mungkin pada 5% 7% atau 10% (terpulang kepada anda).

Maksudnya ialah apabila harga saham turun ke tahap yang sudah ditetapkan, anda akan menjual saham walaupun anda rugi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Dengan cara ini, anda dapat mengawal risiko anda pada setiap masa. Malah anda perlu berdisplin untuk mematuhi penetapkan stop loss.

Anda tidak boleh kata bahawa apabila saham jatuh ke tahap stop loss, anda tukar objektif anda daripada berdagang menjadi pelaburan jangka panjang. Tindakan ini adalah amat berbahaya sekali. Seperti yang ditekankan, jika anda melabur, buat cara melabur dan bila berdagang buat cara berdagang. Jangan campurkan atau tukar strategi di tengah jalan.

Kesimpulannya ialah apabila anda membeli, anda perlu jelas mengapa anda membeli saham tersebut. Selain itu, anda juga perlu menetapkan matlamat khusus bagi seluruh portfolio pelaburan anda. Pastikan anda mematuhi strategi yang ditetapkan di peringkat awal. Kejayaan dalam pelaburan saham banyak bergantung kepada disiplin pelabur.

Nota: Saya akan menyampaikan 'talk' selama satu jam di Hari Terbuka Truewealth, Sabtu 14 Nov. pada jam 2.30 ptg. Para pembaca dijemput hadir dan masuk adalah percuma.

04 November, 2009

Penilaian Akaun Al-Awfar Bank Islam

Perbandingan AL-Awfar dengan pilihan pelaburan lain

Produk simpanan dan pelaburan Al-Awfar telah diperkenalkan oleh Bank Islam pada Mac tahun ini (2009). Produk ini menawarkan hadiah lumayan kepada penabung dan pelabur bertuah. Pada mulanya saya tak mengendahkan produk ini sebab saya kurang berminat terhadap produk dengan unsur cabutan. Bukan sebab meragui kesahihannya, cuma saya tak suka simpanan di mana kalau tak menang hadiah, tiada sebarang pulangan diterima (seperti sijil simpanan BSN).

Tetapi apabila meneliti sekali lagi, saya dapati produk ini agak inovatif kerana ia tetap menyediakan pulangan kepada pelabur, DAN memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah. Terdapat dua jenis akaun, iaitu akaun simpanan (pembahagian untung 98% bank dan 2% penyimpan) dan akaun pelaburan (70% bank dan 30% pelabur).

Hadiah tertinggi yang ditawarkan ialah RM100,000 dan cabutan dibuat tiga bulan sekali. Setiap simpanan atau pelaburan RM100 diberikan satu penyertaan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Bank Islam.

Dari segi kesahihan produk dan kontraknya, selepas membaca dengan lebih lanjut hukum dan dalil yang diberikan, saya boleh katakan saya yakin, tidak seperti produk Pinjaman Peribadi atau Pinjaman ASB Islam yang saya amat was-was. (Cari Al-Awfar dalam enjin pencarian untuk mengupas lebih lanjut tentang persoalan sama ada produk ini patuh syariah).

Saya hanya akan menyentuh perkara yang paling penting yang dikehendaki oleh pembaca blog saya, iaitu adakah produk ini menguntungkan mereka.

Umumnya ramai yang pasti tertarik dengan janji hadiah lumayan yang diberikan. Tetapi kita perlu teliti sama ada ia benar-benar menguntungkan. Rata-rata pulangan bagi Akaun Simpanan Pelaburan adalah rendah jika dibandingkan dengan pulangan yang diberikan oleh ASB, ASW dan Tabung Haji.

Justeru adakah peluang memenangi hadiah cukup untuk membuatkan anda memindahkan wang anda ke akaun ini? Perlu diingat bahawa hadiah besarnya ada sepuluh sahaja, iaitu 1 hadiah RM100,000, 1 hadiah RM10,000, 1 hadiah 5,000, 3 hadiah Rm1,000 dan 5 hadiah RM500.

Melainkan anda menang hadiah pertama, kedua atau ketiga anda akan rugi kerana melepaskan peluang untuk meraih pulangan lebih tinggi menerusi instrumen pelaburan lain. Secara peribadi, saya tidak suka ketidakpastian atau bergantung kepada nasib.

Jika anda tiada masalah dengan ASB dan ASW, jadikanlah kedua-duanya pilihan utama. Jika tidak, simpan wang anda di Tabung Haji. Tetapi jika anda masih teruja dengan peluang memenangi hadiah, maka anda boleh pindahkan wang anda ke Al-Awfar, siapa tahu anda mungkin bertuah.

Justeru berasaskan penilaian saya, tabungan/pelaburan risiko rendah terbaik masih lagi ASW, ASW dan Tabung Haji. Tetapi jika anda mahu membuka akaun simpanan di Bank untuk kegunaan biasa (bukan untuk tabungan) maka Al-Afwar adalah pilihan yang bijak kerana sambil anda menggunakan kemudahan akaun bank, anda berpeluang untuk menang.

01 November, 2009

Indeks Perlu Rehat Selepas Penat Mendaki

Dalam Keadaan Semasa Pemilihan Saham Amat Penting

Pasaran saham Malaysia, dan juga negara-negara lain menyaksikan kenaikan mendadak dalam tempoh enam bulan lepas. Indeks telah naik dari sekitar 800 kepada 1270 sebelum jatuh sedikit pada minggu lepas.

Dipetik dari Bursa Station

Ramai yang memang sudah meramalkan bahawa pasaran akan jatuh kerana telah naik begitu tinggi dengan sangat pantas. Justeru adalah mustahil jika pasaran terus naik dan naik sedangkan pemulihan ekonomi baru nak bermula.

Saya telah berulang kali mengatakan dalam blog saya, dalam buku saya dan dalam rencana saya di Dewan Ekonomi bahawa masa paling baik untuk membeli ialah dalam keadaan paling gawat dan apabila semua orang lain takut untuk membeli saham. Malah saya ada menulis artikel bertajuk Peluang Dalam Kegawatan yang diterbitkan dalam majalah DE pada Disember 2008.

Jika anda membeli pada waktu itu, anda tidak perlu bijak memilih saham untuk mendapat untung. Hampir apa sahaja saham yang dipilih naik.

Namun begitu situasi tersebut telah berakhir di mana sekarang ini indeks telah kembali ke tahap sepatutnya. Pada masa ini ada saham yang sudah overvalued kerana naik terlalu tinggi, ada yang fairly valued dan masih banyak juga yang masih undervalued.

Jika semasa gawat, peruntukan aset menentukan sebahagian besar daripada pulangan, maka dalam keadaan semasa, pemilihan saham yang bijak lebih penting untuk menentukan pulangan anda.

Justeru pelabur perlu lebih berhati-hati dan teliti dalam pemilihan saham dalam keadaan sekarang untuk memastikan mereka mendapat pulangan yang sewajarnya. Tidak kiralah sama ada anda gunakan analisis asas atau teknikal, pastikan anda membuat kajian sewajarnya sebelum melabur.

28 Oktober, 2009

Kad Debit Maybank Visa

Kad untuk keluarkan tunai, membayar secara fizikal dan menerusi Internet dan memindah wang dari Paypal

Baru-baru ini kerajaan mengenakan yuran perkhidmatan RM50 untuk setiap kad kredit yang dimiliki. Yuran ini, saya rasa bertujuan mengutip hasil bagi kerajaan.

Selain itu langkah ini mempunyai manfaat sampingan untuk menghadkan penggunaan kad kredit yang terlalu berleluasa.

Kita boleh faham jika seseorang menggunakan dua kad kredit (Visa dan MasterCard) tetapi sekarang ini ada orang yang memiliki lebih dari dua kad dan dari pelbagai bank pula. Dengan yuran RM50 yang dikenakan, mungkin orang ramai akan tergerak hati untuk memotong kad kredit mereka yang jarang dipakai.

Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa kad debit ialah alternatif urus niaga tanpa tunai yang baik kepada kad kredit. Salah satu kad yang saya suka dan guna ialah Kad Debit Maybank Visa (Maybank Visa Debit Card). Ia sebenarnya kombinasi kad ATM dan kad bayaran dan juga boleh digunakan untuk urus niaga dalam talian selain urus niaga pengeluaran wang Paypal.

Oleh kerana kad ini ialah kad untuk Akaun Bank sedia ada, anda tidak perlulah memindahkan wang ke dalam akaun kad debit anda setiap kali nilai habis. Jumlah yang ada dalam akaun anda ialah jumlah yang boleh anda belanjakan. Sebagai keselamatan anda boleh menetapkan had perbelanjaan bagi kad ini.

Tapi fungsi kad ATM dan kad bayaran adalah fungsi biasa sahaja dan tidaklah hebat. Yang menarik ialah kad ini boleh digunakan untuk membeli belah menerusi Internet dan juga didaftarkan di Paypal dan digunakan untuk mengeluarkan wang yang terkumpul dalam akaun Paypal ke akaun bank anda. Fungsi yang baru ditawarkan ini amat berharga bagi peniaga yang menjual beli menerusi Internet menggunakan kemudahan Paypal.

Cara mengaktifkan:

1. Layari laman maybank2u.com.my.
2. Klik Utilities
3. Klik pada Maybankard Secure Online Shopping Registration
4. Taip Nombor Kad dan maklumat lain.
5. Kemudian Save dan Activate.
6. Selepas itu anda perlu mendaftar kad ini di www.paypal.com
7. Pergi ke "Withdrawal"
8. Pilih "Withdraw funds to your card"
9. Daftar kad dan isikan maklumat lain yang dikehendaki

Yuran pengeluaran $5 akan dikenakan bagi setiap pengeluaran. Pastikan anda keluarkan jumlah besar sekaligus untuk mengurangkan kos dari segi peratus.

Anda tidak perlu bimbang tentang mata ganjaran kerana perbelanjaan menggunakan Kad Debit Maybank Visa ini juga diberikan mata ganjaran, sama seperti perbelanjaan kad kredit. Justeru anda tidak rugi apa-apa untuk memindahkan perbelanjaan anda daripada kad kredit kepada kad debit.

Secara peribadi, saya makin kerap menggunakan kad ini dalam urus niaga harian kerana saya dapat menentukan nilai sebenar wang dalam akaun selepas berbelanja. Jika kita gunakan kad kredit, kita mungkin rasa kita ada banyak wang dalam akaun, sedangkan perbelanjaan telah dibuat menggunakan kad kredit.

Pada pandangan saya, kad debit ini amat sesuai digunakan untuk membina disiplin kewangan selain melaksanakan urus niaga Internet dengan selamat.

25 Oktober, 2009

Bajet 2010 - Manfaat Untuk Kita

Satu dua hadiah untuk rakyat biasa

Bajet 2010 memang ditunggu-tunggu oleh ramai kerana merupakan Belanjawan pertama yang benar-benar dirangka sepenuhnya oleh Perdana Menteri baru kita. Belanjawan ini juga penting kerana bunga pemulihan baru hendak berputik dan perlu diuruskan dengan betul.

Bagi rakyat biasa macam kita, mungkin langkah-langkah makro tidak begitu diendahkan, walaupun ia amat penting untuk ekonomi. Sebaliknya lebih penting bagi individu ialah bagaimana belanjawan ini membawa manfaat kepada mereka. Berikut adalah senarai ringkas manfaat dan juga kos tambahan yang dikenakan.

1. Kadar cukai tertinggi dikurangkan daripada 27% kepada 26%, penduduk Iskandar dikenakan cukai tertinggi 15% sahaja. (Hanya memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi dan penduduk kawasan Iskandar)

2. Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada 8,000 kepada 9.000, manakala pelepasan caruman KWSP ditambah daripada 6,000 kepada 7,000 Ini memanfaatkan semua orang yang dalam julat membayar cukai dan meletakkan sedikit wang dalam poket individu, bergantung kepada berapa kadar cukai mereka.

3. Pelepasan cukai RM500 bagi yuran Broadband yang pasti membuatkan rakan bloggers dan kaki Internet tersenyum sedikit.

4. Skim bagi pencarum KWSP menggunakan wang mereka untuk mendapatkan pembiayaan lebih tinggi bagi kediaman mereka....butirannya masih belum jelas.

5. Penerbitan sukuk 1Malaysia pada kadar pulangan 5%. Satu lagi pelaburan risiko rendah bagi rakyat Malaysia.

6. Skim persaraan bagi mereka yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Dengar khabar kerajaan akan memberikan caruman sepadan sehingga RM60 atau 5%, yang mana lebih rendah....tetapi perlu disahkan.

Kos Tambahan

Sementara itu, ada juga kos tambahan bagi pemegang kad kredit dan pemilik kediaman:

1. Pemegang kad kredit dan caj utama dikenakan cukai perkhidmatan RM50 dan kad tambahan RM25. Jadi siapa yang pegang banyak kad kredit fikir-fikirkanlah.

2. Cukai Keuntungan Hartanah sebanyak 30% bagi jualan dalam 2 tahun, 20% bagi 3 tahun, 15% bagi 4 tahun dan 5% bagi 5 tahun dan ke atas. Pelepasan sekali seumur hidup diberikan.

Umumnya ada beberapa manfaat langsung yang dinikmati oleh individu, selain daripada langkah kerajaan mengenakan caj ke atas kad kredit, yang mungkin menggalakkan orang ramai untuk bertukar kepada kad debit. Bagi saya ini memang bagus. Cuma cukai keuntungan hartanah tu mungkin perit sikit bagi sesetengah pihak (termasuk saya).

Walau apa pun, lebih penting lagi ialah langkah-langkah makro untuk menstabil dan mengembangkan ekonomi, yang secara tidak langsung membawa manfaat kepada kita. Saya rasa rata-rata belanjawan kali ini baik untuk rakyat dan kurang baik bagi industri hartanah dan bank.

22 Oktober, 2009

Isu 'Keislaman' Perbankan Islam Dikupas

Prof. Dr Mohd Nazari Ismail - Perbankan Islam
Penuhi Keperluan Ummah


Semalam saya ada membaca artikel oleh Prof. Dr Mohd Nazari Ismail dari UM mengenai 'keislaman' konsep perbankan Islam dalam sisipan StarBiz (20 Oktober, 2009).

Beliau membincangkan isu di mana sesetengah pihak mengkritik perbankan Islam sebagai mencerminkanbank konvensional, sedangkan kontrak perbankan Islam dipertahankan pula oleh cendekiawan Islam yang menganggapnya halal, walaupun ia mirip pinjaman yang diberikan oleh bank konvensional. Ini kerana akad dan kontrak yang halal tidak boleh dianggap haram, semata-mata kerana cirinya mirip perbankan konvensyenal.

Menurut Dr Nazari, kontrak perbankan Islam seperti Musharakah, Al Bai Bithaman Ajil, Al Istisna dna Ijarah ternyata halal dan kontrak seperti ini dirangka oleh pakar Fiqh dan kewangan Islam yang alim.

Pada pandangan beliau, kedua-dua pihak tidak sepatutnya bertelagah antara satu sama lain, sebaliknya mereka patut memberi tumpuan kepada kelemahan perbankan riba konvensyenal dan cara-cara untuk menghapuskan penggunaan sistem berasaskan riba sepenuhnya.

Perbankan Islam memenuhi keperluan ummah bagi pembiayaan. Hakikatnya ialah ia memainkan peranan untuk membantu membiayai aktiviti perniagaan dan juga pembelian aset masyarakat.

Saya sendiri amat bersetuju dengan pandangan ini. Memang tidak dinafikan bahawa Perbankan Islam ada kelemahan, kadangkala dari segi produk yang lebih mahal atau dari segi keraguan mengenai kontrak yang digunakan. Namun begitu ia merupakan alternatif yang sahih. Dalam apa jua proses dan inovasi, mesti ada kelemahan di peringkat awal.

Perkara yang paling penting ialah terus memperbaiki kelemahan dan memastikan kontrak lebih mirip kepada konsep pembiayaan sebenar dan dalam hal ini, saya dapati kemajuan ini memang mula berlaku. Perbankan Islam sekarang bukan seperti perbankan Islam 10 tahun lalu. Ia lebih baik dari segi kontrak dan juga lebih bermanfaat kepada pengguna. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya rasa penambahbaikan akan terus dibuat untuk menjadikannya benar-benar mantap.

Matlamat kita ialah mengelakkan perbankan berasaskan riba, sambil memenuhi keperluan pembiayaan individu dan masyarakat. Pada pendapat saya, perbankan Islam berpotensi untuk melakukan kedua-duanya, walaupun ia masih belum sempurna sekarang.

17 Oktober, 2009

Unjuran Ekonomi Malaysia oleh MIER

Unjuran KDNK dinaikkan daripada -4.2% kepada -3.3%
Kadar pengangguran turun daripada 4.0% kepada 3.6%

Beberapa hari lepas, MIER telah mengubah unjuran yang dibuat tentang KDNK Malaysia daripada -4.2% kepada -3.3% bagi tahun 2009. Peningkatan ini memang dijangkakan berasaskan tahap keuntungan syarikat yang dilihat rata-rata semakin pulih.

Satu lagi faktor yang mengesahkan pemulihan ialah kadar penganguran yang menyusut daripada 4% kepada 3.6%. Ini merupakan petanda lanjut bahawa suasana perniagaan semakin stabil.

Data dan perangkaan di atas diperkukuhkan lagi menerusi soal selidik yang dilakukan oleh MIER yang menunjukkan bahawa sentimen pengguna kini sudah mula positif. Sentimen pengguna penting kerana sentimen positif mendorong perbelanjaan pengguna, yang seterusnya membawa manfaat kepada perniagaan dan ekonomi.

Bagi tahun 2010, MIER meramalkan bahawa KDNK negara akan meningkat 3.7% pada tahun depan. Angka ini masih agak rendah kerana pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka tidak begitu pesat.

Sebenarnya pergerakan pasaran saham dan tahap keuntungan suku tahunan syarikat pada suku kedua tahun ini sudah sememangnya merupakan petanda awal pemulihan. Justeru, Malaysia dijangka keluar secara rasmi daripada kemelesetan pada suku keempat tahun ini.

Pada pandangan saya ramalan MIER untuk tahun ini memang tepat sekali. Tetapi unjuran pertumbuhan tahun depat adalah agak konservatif dan pertumbuhan sebenar mungkin lebih tinggi, dengan perkembangan paling pesat dicatatkan pada suku pertama dan kedua 2010.

Diharapkan pembaca dan pelabur dapat mengambil kira segala unjuran dan tinjauan ini dalam keputusan pelaburan saham dan unit amanah yang mereka buat.

14 Oktober, 2009

Pelaburan Indeks atau Index Investing

Pelaburan pasif untuk manfaatkan kenaikan indeks

Setiap hari anda melihat berita yang melaporkan tentang kenaikan atau penurunan indeks pasaran saham. Anda tahu bahawa indeks pasaran ini terdiri daripada beberapa saham tertentu, yang dipilih untuk mewakili pasaran secara umumnya.

Tetapi bolehkah anda melabur dalam indeks itu sendiri? Sebenarnya anda boleh berbuat demikian menerusi unit amanah indeks pasif atau menerusi ETF, tetapi hanya indeks tertentu yang ada ditawarkan di Malaysia sahaja. Di Amerika terdapat pelabagai dana pasif atau ETF untuk menjejak segala jenis indeks tetapi di Malaysia hanya ada dua setakat ini.

Di Malaysia, jika anda mahu 'membeli' indeks komposit Kuala Lumpur, anda boleh melabur dalam dana OSK-UOB KLCI Tracker. Matlamat dana ini, bukan untuk mengatasi indeks atau mencatatkan pulangan tertentu, tetapi objektifnya ialah semata-mata untuk menjejak indeks, dan terpulang kepada pelabur untuk membeli dan menjual dana ini pada masa yang sesuai.

KLCI Tracker boleh dibeli menerusi Internet di Fundsupermart.com atau melalui saluran pengedaran OSK-UOB pada yuran hanya 1% untuk membeli dan 1% untuk menjual. Ternyata kos dana ini lebih murah daripada dana lain.

Bagi pelaburan patuh syariah, kaedah pelaburan indeks ini hanya boleh dilakukan menerusi ETF yang bernama MYETF DOWN JONES ISLAMIC MARKET MALAYSIA TITANS 25 atau MyETF-DJIM25. ETF ini terdiri daripada 25 syarikat patuh syariah terkemuka di Malaysia termasuk Sime, IOICorp, Telekom, Gamuda, KLK dan MISC.

Diharapkan syarikat pengurus unit amanah akan mempertimbangkan untuk menawarkan dana indeks syariah Bursa Malaysia pasif kepada pelabur, kerana yang ada sekarang hanyalah dana indeks aktif.

Pelabur perlu sedar bahawa bukan semua dana indeks ialah dana pasif. Ada lebih banyak dana indeks yang diuruskan secara aktif, kononnya untuk mengatasi prestasi indeks tetapi umumnya prestasi dana-dana ini tidak setanding OSK-UOB KLCI Tracker. Jika dana mengenakan yuran jualan 5 - 7%, maka dana itu bukan dana indeks pasif.

Sementara itu bagi mereka yang baru menceburi bidang pelaburan, perbezaan antara dana indeks unit amanah dan ETF ialah unit amanah perlu dibeli daripada syarikat pengurus dana, manakala ETF dibeli di pasaran saham dengan kos urus niaga yang lebih rendah.

Mengapa melabur dalam indeks? Sebabnya ialah banyak kajian akademik dilakukan menunjukkan bahawa kebanyakan pengurus dana gagal mengatasi prestasi indeks penanda aras, selepas mengambil kira kos pelaburan.

Menyedari hakikat ini, John Boggle telah mempelopori index investing di Amerika menerusi Vanguard Funds. Prestasi dananya mengatasi banyak dana unit amanah yang diuruskan secara aktif. Di Malaysia, berasaskan pemerhatian saya OSK UOB-KLCI Tracker sentiasa berada di antara 10 dana terbaik (di kalangan semua dana ekuiti) apabila kita membuat perbandingan pulangan bagi tempoh 5 tahun.

Pelaburan Indeks ialah satu alternatif baik bagi pelabur yang mahu mengambil kesempatan daripada pulangan pasaran saham, tetapi tidak tahu dana mana yang dipilih atau tidak yakin pengurus dana dapat mengatasi prestasi pasaran.

11 Oktober, 2009

Pelaburan Saham: Kesilapan Pasti Berlaku

Mereka yang tiada kesilapan tidak raih untung lumayan

Apabila melabur dalam saham, ada kalanya kita akan rugi. Ini lumrah pelaburan. Pelabur umumnya melabur berasaskan maklumat yang tidak lengkap (imperfect information) dan dalam keadaan yang tidak begitu pasti (uncertainty).

Kesilapan pasti berlaku. Semua orang boleh silap. Ramai pakar ekonomi terkemuka tersilap dan tidak menjangka krisis sub prima menjadi begitu serius tahun lepas di Amerika, termasuklah pakar ekonomi tersohor, Paul Krugman.

Ramai pakar pelaburan pun tidak menyangka pasaran saham akan jatuh begitu teruk dalam tempoh yang sama, termasuklah Ken Fisher, seorang pemilik syarikat pengurus dana yang sangat terkemuka di Amerika yang juga mempunyai ruangan tetap dalam majalah Forbes.

Warren Buffet juga silap. Beliau membeli kepentingan dalam sebuah syarikat minyak di kemuncak kenaikan harga minyak. Malangnya harga minyak jatuh selepas itu, menyebabkan saham syarikat yang dibeli juga jatuh teruk.

Di Malaysia beberapa syarikat juga tersilap percaturan. Maybank telah membeli sebuah bank di Indonesia sebelum kesan krisis ekonomi dirasai sepenuhnya. Ramai yang kata keputusan yang dibuat tidak boleh dimaafkan, termasuk beberapa ahli politik, tetapi bagi saya itu adalah kesilapan yang dibuat dengan niat baik, dan jika pelaburan tersebut diuruskan dengan bijak dalam tempoh yang mendatang, potensinya masih boleh diraih.

Semua kesilapan ini dibuat kerana pelabur mengambil risiko. Mungkin dalam suasana yang lebih positif, pelaburan tersebut boleh mendatangkan keuntungan. Saya pasti pihak yang membuat silap ini akan belajar dari kesilapan. Malah keputusan betul yang mereka buat jauh melebihi kesilapan. Mereka ini, sama ada individu atau syarikat, masih merupakan peneraju bidang masing-masing, walaupun mereka membuat kesilapan besar

Begitulah juga kita sebagai pelabur. Kita tidak harus takut kepada kesilapan. Kesilapan ialah peluang untuk belajar dan mempertajamkan kemahiran. Jika kita tidak mahu silap, simpan sahaja semua wang dalam bank. Tapi ini bermakna anda melepaskan pelbagai peluang yang ada untuk melabur, menggerakkan ekonomi, mengusahakan perniagaan atau apa jua aktiviti yang membawa nilai tambah, demi meraih keuntungan.

Jadikan kesilapan sebagai pengajaran. Jangan kata teknik pelaburan salah, broker salah, penganalisis salah dan sebagainya. Kadangkala kita yang salah, manakala dalam situasi lain, tidak ada siapa yang salah, cuma keadaan tidak memihak kepada kita. Pada pendapat saya, kita harus "take the loss, learn the lesson and move on".

07 Oktober, 2009

Perkembangan Terkini: Mamee Double Decker

Harga saham akhirnya naik seiring keuntungan

Pada 8 Mac 2009, saya ada menulis tentang syarikat Mamee Double Decker yang terus mencatatkan prestasi yang baik walaupun dalam keadaan ekonomi meleset. (Klik sini untuk membaca posting tersebut).

Pada tahun kewangan berakhir 2008, Mamee telah meningkatkan pendapatan sesaham daripada 21.10 sen pada tahun 2007 kepada 29.77 sen pada 2008. Pada separuh pertama 2009 pula, Mamee telah meraih keuntungan 25 sen sesaham dan saya jangkakan pendapatan seluruh tahun ialah sekurang-kurangnya 45 sen sesaham.

Semasa saya membuat posting terdahulu, saham Mamee diperdagangkan pada harga RM1.90. Pada waktu itu, saya rasa ramai penganalisis dan pelabur masih belum melihat potensi keuntungan syarikat ini. Namun pada hari ini harganya telah naik ke RM3.10.

Persoalannya ialah pada harga sekarang, adakah saham ini masih boleh dibeli? Atau patutkah kita menjual selepas kenaikan besar ini? Untuk meneliti lebih lanjut cuba kita tinjau harga sahamnya.

Dipetik daripada Bursa Station

Jika kita lihat harga saham, dari segi teknikal seolah-olah saham sudah naik terlalu tinggi dan mungkin perlu berehat seketika. Kita juga dapat memerhatikan bahawa harganya telah naik menjauhi garis purata bergerak.

Namun dari segi fundamental atau kaedah penilaian asas, jika syarikat mampu mencatat keuntungan sekurang-kurangnya 45 sen sesaham pada tahun kewangan 2009, maka bagi saya saham ini masih kelihatan undervalued.

Justeru terpulang kepada pelabur untuk menilai hala tuju pergerakan dalam jangka pendek dan jangka panjang. Tetapi bagi saya sendiri yang memegang saham ini, saya mungkin hanya mempertimbangkan untuk menjual jika prestasi keuntungan tidak sebaik yang dijangka atau jika saham telah mencecah harga lebih RM4.00.

Risiko bagi saham ini ialah harga bahan komoditi yang diperlukan sebagai input bagi produk keluarannya. Umpamanya jika harga minyak sawit naik terlalu tinggi, ia boleh menjejaskan prestasi keuntungan syarikat. Tetapi jika tiada kenaikan luar biasa berlaku, saya yakin Mamee boleh terus mencatatkan tahap keuntungan yang baik.

04 Oktober, 2009

Isi Semula Dakwat Mesin Cetak

Umumnya tiada masalah dan menjimatkan kos

Hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang satu komponen kecil kos perniagaan atau kos peribadi, iaitu kos dakwat mesin cetak. Kita dapati bahawa kos mesin cetak adalah agak rendah tetapi kos dakwatnya, sama ada toner atau cartridge adalah mahal dan ini satu isu yang harus dipertimbangkan terutamanya oleh perniagaan kecil atau soho (small office home office)

Satu cara menjimatkan kos ialah untuk melaksankan urusan perniagaan secara paperless, iaitu menyimpan semua salinan secara elektronik. Namun begitu, kita sudah tahu bahawa bahawa untuk urusan tertentu, cetakan kertas masih diperlukan, terutamanya dokumentasi akaun, invois dan sebagainya.

Satu cara yang tidak digalakkan oleh pengeluar mesin cetak ialah mengisi semula dakwat yang sudah habis dan umumnya kaedah ini menjimatkan lebih separuh daripada kos. Kita sedar bahawa toner pencetak laser asal ada yang berharga lebih RM200 manakala cartridge original lebih lebih kurang RM50 ke atas.

Pada mulanya saya was-was menggunakan kaedah refill ini, kerana takut mesin cetak rosak, tetapi selepas mencuba beberapa kali pada mesin cetak yang lama yang sudah luput tempoh jaminannya, saya dapati tiada masalah.

Anda boleh cuba dua cara bagi mesin cetak inkjet, satu isi semula sendiri, atau kedua hantar ke pusat perkhidmatan yang boleh melakukannya untuk anda dalam tempoh 15 minit. Bagi laser toner pula, anda boleh bawa toner lama anda dan menukarkan dengan yang baru. Satu lagi cara ialah membeli terus di kedai yang menjual cartridge tiruan atau sudah diisi semula (kosnya lebih mahal sedikit daripada dua cara di atas).

Pada pendapat saya untuk memastikan anda tidak membatalkan syarat jaminan, anda patut menggunakan kaedah isian semula ini hanya selepas tempoh jaminan tamat.

Walau apa pun, kaedah isian semula dakwat ini nyata lebih mesra alam selain menjimatkan kos perniagaan. Setakat yang saya tahu, mesin cetak yang saya gunakan akan rosak juga, walaupun saya menggunakan dakwat original, jadi faktor inilah yang mendorong saya mencuba cara alternatif yang menjimatkan kos, dan setakat ini saya dapati tiada masalah.

30 September, 2009

Urus Niaga Saham Kontra - Boleh atau Tidak?

Halal, kata Ustaz Zaharuddin, tapi dengan syarat

Terus-terang saya katakan saya pernah menjalankan urus niaga saham secara kontra tetapi tidak 100% pasti sama ada ia dibenarkan dalam Islam. Tetapi selepas mendengar penjelasan Ustaz Zaharuddin, penulis buku Wang Anda dan Islam dan Pensyarah Jabatan Ekonomi Islam, Kuliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa, saya dan saya rasa ramai juga pelabur lain pasti terasa lega.

Urus niaga kontra berlaku apabila kita membeli sesuatu saham, tetapi menjualnya sebelum membuat bayaran, iaitu dalam tempoh T+3 (Hari Dagangan + 3 Hari).

Sebenarnya ada banyak sebab ini boleh berlaku, walaupun pada asalnya seseorang itu melabur untuk jangka panjang. Kadang kala, harga naik secara mendadak dalam tempoh satu dua hari dan anda rasa sudah mencapai sasaran anda, atau anda berpendapat harga akan jatuh kembali, jadi anda jual saham tersebut dalam tempoh T+3.

Dalam keadaan lain pula, mungkin ada berita yang keluar selepas anda membeli saham menyebabkan anda mahu melupuskan saham tersebut dengan pantas kerana anda tidak meramalkan berita tersebut semasa anda membeli.

Dalam sisipan Mega Utusan Malaysia pada hari Selesa, 29 September, Ustaz Zaharuddin menerangkan bahawa jika kita memang mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar saham tersebut, maka urus niaga tersebut adalah halal.

Tetapi jika tidak ada wang yang mencukupi untuk menjelaskan pembelian dan memang urus niaga tersebut dilakukan dengan hasrat untuk menjualnya secara kontra, atau jika pelabur membeli menerusi akaun margin (yang mengenakan faedah), maka urus niaga tersebut adalah haram.

Saya rasa cara beliau membuat tafsiran amat meyakinkan dan menunjukkan beliau amat fasih dalam ilmu kewangan, selain daripada ilmu agama. Pendek kata, jika memang ada niat dan kemampuan untuk membayar, maka urus niaga tersebut samalah seperti urus niaga biasa.

27 September, 2009

Meninjau Garis Purata Bergerak

Memberikan gambaran lanjut tentang hala tuju saham

Walaupun saya umumnya menggunakan kaedah fundamental analysis atau analisis asas untuk menilai saham, satu kaedah analisis teknikal yang saya gunakan ialah garis purata bergerak atau moving average. Garis ini dapat memberikan gambaran lanjut tentang keputusan jual beli saham.

Garis purata bergerak ialah garis yang digunakan untuk mencatatkan harga purata untuk tempoh yang dikehendaki. Biasanya pelabur jangka pendek menggunakan purata antara 10 hari hingga 50 hari, manakala pelabur yang mahu melihat trend jangka panjang menggunakan garis purata 50 hari hingga 200 hari. Purata ini boleh digunakan untuk meninjau harga saham individu atau indeks pasaran saham.

Purata bergerak bermaksud harga atau angka terakhir digantikan dengan harga atau angka yang yang baru. Sebagai contoh, bagi purata bergerak 200 hari, harga hari pertama dalam siri harga akan digantikan dengan harga terbaru iaitu, harga hari ke 201. Proses penggantian ini dilakukan setiap hari. Sebab itu ia dinamakan purata bergerak.

Berikut adalah contoh garis purata bergerak bagi saham Kinsteel.

Dipetik daripada Bursa Station


Pada amnya pintasan antara dua garis purata bergerak dengan tempoh berbeza memberi petanda kepada pelabur. Umpamanya, jika purata garis merah 50 hari (jangka pendek) memintas garis purata (hijau) 100 hari dari bawah (jangka panjang), maka petandanya ialah positif, manakala jika pintasan berlaku dari atas dan menuju ke bawah maka sentimen terhadap saham dianggap sebagai negatif.

Satu lagi fenomena yang dapat kita lihat ialah apabila harga naik terlalu tinggi atau turun terlalu rendah sehingga menjauhi garis purata bergerak, 'correction' akan berlaku dan harga akan kembali menuju ke garis tersebut. Fenomena ini dirujuk sebagai 'reversion to mean' iaitu harga akhirnya akan kembali ke tahap purata.

Pemerhatian garis purata bergerak ini adalah satu teknik analisis teknikal yang mudah tetapi amat berguna dan boleh dijadikan satu alat untuk memperbaiki keputusan pelaburan anda, walaupun jika anda lebih suka menggunakan fundamental analysis atau analisis asas.

23 September, 2009

Unit Amanah: Baik atau Buruk?

Pandangan berbeza tentang unit amanah bergantung kepada bila pelabur membeli dan dana yang dibeli

Apabila saya bertanya tentang unit amanah kepada saudara-mara atau kenalan, saya menerima pelbagai jenis jawapan. Ada yang kata bagus atau sangat bagus, ada yang kata tak bagus. Malah ada yang dah serik dan langsung tidak mahu melabur lagi.

Bagaimana pandangan begitu jauh berbeza tentang satu instrumen pelaburan?

Pertama sekali walaupun unit amanah ini satu produk umum, ia mempunyai pelbagai jenis yang berbeza termasuk dana saham atau ekuiti, dana bon atau sukuk, dana bercampur, dana pendapatan tetap dan sebagainya. Tetapi secara umum, orang ramai biasanya melabur dalam dana ekuiti dan dana bercampur. Selain itu, dana ekuiti juga berbeza-beza objektifnya dan boleh memberikan pulangan yang berlainan.

Kedua, pandangan mereka amat dipengaruhi oleh sama ada mereka untung atau tidak, dan ini bergantung kepada bila mereka membeli dan menjual unit amanah. Saya kenal seorang yang telah melabur dalam dana ekuiti dua tahun lepas, iaitu di apabila saham berada di tahap tertinggi. Kita semua tahu kegawatan telah berlaku selepas itu. Apabila kerugian dialami oleh unit amanahnya, beliau membuat keputusan menjual unit pada harga yang agak rendah.

Ini amat merugikan kerana pada bulan-bulan seterusnya, unit amanah telah kembali naik dan mungkin beliau berpeluang untuk pulang modal jika menunggu lebih lama sehingga ekonomi kembali pulih. Selain itu, ada beberapa pelabur bijak yang membeli semasa kegawatan di tahap paling serius, dan pandangan mereka terhadap unit amanah, terutamanya dana ekuiti, amat positif.

Bagi mereka yang rugi, mereka berpendapat unit amanah adalah instrumen berisiko tinggi dan berpotensi merugikan, jadi mereka serik untuk melabur lagi. Daripada cuba melihat kesilapan dan belajar lebih lanjut, mereka terus menganggap unit amanah sebagai satu skim yang merugikan pelabur.

Jika pelabur tidak tahu bilakah masa sesuai untuk membeli, cara terbaik ialah melabur secara bulanan atau berkala dengan cara dollar cost averaging atau purata kos ringgit. Jadi anda terus melabur sama ada ekonomi hangat atau gawat, dan kos yang anda alami adalah kos purata.

Akhirnya pelabur boleh mengambil kesempatan daripada kenaikan jangka panjang unit amanah yang melabur dalam ekuiti, untuk mencapai keuntungan purata. Mereka tidak mendapat keuntungan tertinggi daripada perfect timing, tetapi mereka juga mengelakkan sebarang kerugian ketara atau pulangan yang kurang memuaskan.

Namun jika anda seorang yang peka terhadap ekonomi dan pergerakan pasaran saham, anda boleh cuba melabur apabila anda rasa nilai pasaran rendah dan mengelakkan daripada melabur jika anda rasa pasaran sudah overheated dan dijangka jatuh dalam tempoh terdekat. Kaedah ini memerlukan lebih banyak usaha dan lebih berisiko tetapi potensi pulangannya juga lebih tinggi.

Secara kesimpulannya jika anda rugi, mungkin ada dua sebab, iaitu anda tersalah pilih dana unit amanah atau anda melabur pada masa yang kurang sesuai.

16 September, 2009

IQ Bukan Faktor Penentu Kejayaan

Pelbagai faktor lain seperti suasana, peluang, didikan
& kemahiran praktikal akan menentukan kejayaan


IQ menjadi ukuran yang diterima umum sebagai menentukan kebijaksanaan seseorang. Walaupun IQ memberikan seeorang kelebihan, tetapi ia bukan penentu mutlak kejayaan.

Tidak dinafikan bahawa IQ memberikan kelebihan. Namun begitu, menurut Malcolm Gladwell dalam bukunya Outliers, apabila seseorang mempunyai IQ sebanyak sekurang-kurangnya 120, ia tidak lagi menjadi faktor penentu.

Maksudnya kita tidak dapat menentukan dengan tepat sama ada orang yang mempunyai IQ 130 akan lebih berjaya atau IQ 150 akan lebih berjaya. Faktor lain yang penting termasuk apa yang dipanggilnya practical intelligence, suasana semasa dibesarkan dan peluang yang diperolehi dalam hidup.

Outliers ialah buku yang mengkaji faktor penentu kejayaan hebat yang dicapai oleh segelintir manusia terkemuka dan mengenepikan beberapa tanggapan umum yang dianggap menjadi penentu kejayaan.

Satu lagi perkara yang ditekankan ialah semua insan yang merupakan paling baik atau antara yang terbaik dalam bidang masing-masing telah menjalani latihan selama lebih kurang 10,000 jam atau bersamaan 10 tahun, tidak kira sama ada mereka 'gifted' atau tidak.

Buku ini memberikan harapan dan juga peringatan, bahawa bakat dan kebijaksanaan sahaja tidak mencukupi, tetapi paling penting ialah usaha dan juga kemahiran dunia sebenar.

13 September, 2009

Proton: Faktor Pergerakan Harga Jangka Pendek

Jangka Pendek: Harga bergerak berasaskan berita
Jangka Panjang: Harga naik berasaskan prestasi

Pada hari Khamis atau Jumaat lepas, Proton telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut sedang berbincang dengan Volkswagen untuk menjalin usaha sama perniagaan. Ini tidaklah menghairankan kerana memang dulu pun Proton pernah berbincang dengan VW.

Tetapi yang menariknya ialah kenaikan harga Proton berasaskan berita ini, yang mula berlaku antara dua hingga tiga hari SEBELUM pengumuman dibuat. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Sebenarnya pergerakan ini menjadi lumrah dunia pelabuarn, walaupun dagangan orang dalam atau insider trading adalah satu kesalahan. Biasanya apabila perbincangan antara kedua syarikat dimulakan, mesti ramai pihak yang terlibat dan mengetahui perkara ini.

Mereka pula akan bercakap sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dengan orang-orang yang rapat dengan mereka, yang seterusnya berpeluang membeli saham ini, sebelum pengumuman dibuat.

Pertambahan permintaan ini akan mendorong harga naik. Harga Proton telah naik daripada harga lebih kurang RM3.00 kepada RM3.65 SEBELUM pengumuman dibuat, tetapi naik hanya daripada 3.65 kepada di bawah RM3.80 SELEPAS pengumuman.

Ini bermakna orang yang 'mengetahui' telah membeli sebelum pengumuman dan apabila pengumuman dibuat, harga ini sudah pun didiskaunkan atau diambil kira dalam harga saham, justeru peluang keuntungan awal itu tidak dinikmati oleh pelabur biasa.

Beginilah faktor yang mendorong pergerakan harga saham dalam jangka pendek. Anda akan dapat untung jika anda tahu apa yang orang lain tak tahu. Sama ada sah di sisi undang-undang atau beretika atau tidak pembelian berasaskan maklumat dalam, saya tidak tahu tetapi memang sukar untuk menyabit kesalahan.

Namun satu perkara perlu diingat, kenaikan ini berlaku hanya berasaskan berita perbincangan sahaja. Belum tentu persetujuan dicapai. Malah jika persetujuan dicapai, belum tentu Proton akan berada pada kedudukan lebih baik dengan bergabung dengan VW, tetapi ramai penganalis berpendapat rakan niaga asing amat penting dan boleh membantu Proton.

Justeru pergerakan harga selanjutnya bergantung kepada hasil perbincangan dan sama ada Proton dapat meningkatkan prestasi dan jualan dengan kerjasama ini. Dalam jangka panjang, harga akan naik hanya jika prestasi positif seperti atau melebihi daripada yang dijangkakan.

Apa yang ingin saya tekankan tentang cerita di atas ialah ia merupakan satu lagi idea untuk melaksanakan strategi pelaburan. Walaupun kaedah ini bukanlah semata-mata berasaskan fundamental analysis, yang menjadi kaedah asas dalam buku saya, ia tetap boleh dijadikan strategi, terutamanya dalam jangka masa pendek atau sederhana.

Jika anda menjangkakan ada berita korporat penting yang mungkin diumumkan dalam tempoh terdekat, tetapi belum pasti tentangnya, anda boleh membeli saham untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan jika berita menjadi kenyataan. Jika syarikat itu kukuh, walaupun berita itu tidak menjadi kenyataan, anda masih memegang saham yang berpotensi untuk naik.

Tidak dinafikan kaedah ini ada sedikit unsur spekulasi, dan saya secara peribadi jarang menggunakannya, tetapi ia tetap merupakan satu strategi sampingan yang boleh dimanfaatkan.

Nota Terkini: 19/9/2009

Semalam harga Proton telah naik sehingga ke RM4.44 tetapi kali ini atas khabar angin lain pula, iaitu bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari sedang cuba mengambil alih syarikat. Kita tidak akan tahu sejauh mana kebenaran khabar angin ini dan berapa tinggi saham ini akan naik. Jika khabar-khabar angin menjadi kenyataan, harga mungkin naik lagi tetapi jika tidak harga boleh turun menjunam. Membaca khabar angin di luar bidang kepakaran saya!

09 September, 2009

Minta Kurangkan Kadar Pembiayaan: Hasilnya

Ansuran bulanan berjaya dikurangkan kira-kira RM150

Beberapa posting yang lepas, saya menggalakkan pembaca agar memohon pembiayaan semula hutang rumah, selepas saya membuat permohonan yang sama (Klik sini).

Saya telah mendapat jawapan minggu lepas dan kadar keuntungan telah diturunkan sebanyak lebih 2% manakala ansuran sebulan telah dikurangkan sebanyak hampir RM150, dengan tempoh pembayaran balik yang sama.

Saya cadangkan agar apabila membuat permohonan, janganlah pula tertarik dengan tawaran manis bank untuk menambah jumlah pembiayaan. Teruskan dengan jumlah yang sama. Ini kerana wang tambahan mungkin digunakan untuk perbelanjaan gunaan dan bukannya melabur dalam aset, menyebabkan hutang anda bertambah tanpa membawa sebarang manfaat.

Tetapi sudah tentulah ada 'catch' atau syarat yang dikenakan untuk mengurangkan kadar. Syarat paling penting ialah saya akan dikenakan denda 3.5% atas jumlah pembiayaan jika bayar balik pinjaman dalam 5 tahun, dan denda akan ditambah 1% lagi jika bayaran balik dibuat menerusi pembiayaan semula dengan bank lain. (Saya tak tahu sama ada denda ini menepati prinsip syariah tetapi saya tak bercadang untuk mengaktifkan klausa tersebut).

Justeru pilihan ini tidak sesuai bagi mereka yang merancang untuk menjual rumah mereka dalam tempoh yang terdekat.

Secara keseluruhannya, selepas membuat kiraan jumlah pembayaran sepanjang tempoh pinjaman, saya dapat saya akan berjimat lebih RM20,000. Saya rasa ini satu ganjaran yang besar yang diperolehi hanya dengan memohon dan menulis sepucuk surat.

Perlu diingat bahawa persaingan antara bank sekarang sengit dan bank tidak suka kalau anda biaya semula pembelian rumah anda dengan bank lain. Selagi pembiayaan anda sudah melepasi 'tempoh denda' yang dikenakan dalam syarat kontrak, anda boleh memohon untuk mengurangkan kadar pembiayaan.

06 September, 2009

Keputusan Bank Islam Bagi Tahun Berakhir 2009

Bank jangka pertumbuhan lebih kukuh dalam 3 tahun

Bank Islam telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM233.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009, satu kemerosotan 24 peratus berbanding RM308.3 pada tahun sebelumnya.

Namun begitu, sebelum membuat perbandingan, perlu dinyatakan bahawa keuntungan tahun lepas lebih tinggi disebabkan oleh untung luar biasa berjumlah RM127.95 dalam bentuk kutipan semula pembiayaan yang dicatatkan dalam akaun. Justeru, tanpa keuntungan luar biasa, prestasi Bank Islam lebih baik daripada tahun sebelumnya. Pada pendapat saya ini satu prestasi cemerlang kerana dunia dan negara dibelenggu kemelesetan ekonomi sepanjang tempoh yang ditinjau.

Pendapatan sesaham yang dicatatkan ialah 12.69 sen sesaham, merosot berbanding 26.50 sen pada tahun lepas, terutamanya kerana kegawatan ekonomi semasa. Namun jurucakap Bank berkata ia dijangka mencatatkan prestasi yang semakin baik dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada tahun lepas, sebelum kegawatan dirasai sepenuhnya, saya ada mengesyorkan Bank Islam yang pada waktu itu diperdagangkan pada harga RM1.05 (Klik Sini). Harganya pada penutup pasaran Jumaat lepas ialah RM1.10. Ini bermaka walaupun kegawatan telah berlaku, Bank Islam telah mengharungi kegawatan dengan baik dan harganya telah naik kembali ke RM1.10.

Dipetik dari Bursa Station

Jika kita lihat dalam tempoh 2 tahun lepas, trend harga saham Bank Islam telah menurun, seiring dengan keawatan ekonomi. Harga tertingginya sebelum kegawatan menjadi petunjuk potensi saham ini sekiranya mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang. Malah, baru-baru ini harganya telah naik kembali dan mungkin menjadi permulaan kepada kenaikan mantap dalam tempoh yang mendatang, selagi prestasinya seperti yang dijangka.

Risk weighted capital ratio (RCWR) atau nisbah modal wajaran risiko telah meningkat kepada 13. 6 peratus dan nisbah modal teras berada pada 12.2 peratus. Pembiayaan tidak berbayar juga semakin rendah, iaitu pada tahap 4.9 peratus. Tambahan lagi Bank Islam akan menerima suntikan modal RM324 juta lagi daripada BIMB Holdings dan Tabung Haji untuk mengukuhkan nisbah modalnya kepada 18 peratus.

Dengan aset ketara bersih pada RM1.19, historical P/E kurang daripada 10, dan forward P/E yang dijangka lebih rendah lagi kerana unjuran prestasi lebih baik tahun depan, saya rasa masih banyak ruang bagi saham Bank Islam untuk naik. Walau apa pun, seperti biasa, anda disarankan membuat penyelidikan susulan sendiri.

02 September, 2009

Guna Shareinvestor/Bursa Station Untuk Kaji Saham

Laman sehenti untuk dapatkan segala maklumat syarikat

Jika anda sudah lama mengikuti blog ini, anda akan mendapati bahawa saya menggunakan carta daripada Bursa Station. Manakala dalam buku saya pula, saya menggunakan carta Shareinvestor. Maklumat tersebut digunakan dengan kebenaran pemilik kedua-dua laman web iaitu Shareinvestor.com. Kedua-duanya amat berguna untuk mengumpul maklumat saham.

Shareinvestor.com.my
Laman ini membolehkan anda mendapatkan pelbagai maklumat di suatu tempat dengan percuma. Anda tidak perlu membayar untuk mendapatkan khidmat ini. Paling berguna ialah kemudahan cartanya. Anda boleh melihat carta pergerakan harga saham dari 2 minggu hingga ke 5 tahun, untuk menentukan trend dan pergerakan harga.

Selain daripada carta, anda juga boleh mendapatkan maklumat harga semasa serta segala paparan penting, seperti kaunter paling aktif, paling menguntungkan, paling rugi dan sebagainya. Anda juga boleh melihat pergerakan semua indeks yang ada. Namun, maklumat harga ini lewat selama 15 minit.

Manfaat terakhir ialah bahagian Factsheet yang memberikan sedikit latar belakang mengenai syarikat, laman web korporat selain maklumat terperinci mengenai jual beli saham syarikat pada sesuatu hari.

Bursa Station Basic
Bursastation pula ialah khidmat langganan daripada syarikat yang sama pada kos lebih kurang RM20 sebulan. Jika anda lebih serius melabur, perkhidmatan ini amat berguna. Ia menawarkan segala yang ditawarkan oleh Shareinvestor, tetapi dengan banyak ciri tambahan.

Pertama sekali, anda boleh memasukkan portfolio saham pilihan anda. Dan anda boleh menyusun sehingga 5 portfolio berbeza. Justeru, anda tidak perlu tercari-cari harga saham-saham anda setiap kali. Buka portfolio dan harga semua saham anda sudah diperolehi.

Dari segi carta pula, lebih banyak ciri ditawarkan termasuk jenis dan skala carta (Cth Candlestick, Bar Chart dan Line Chart). Malah carta disediakan untuk tempoh sehingga 20 tahun dan saya dapati ciri ini amat berguna sekali. Selain itu anda juga boleh merangka carta membandingkan dua saham pada satu carta, serta menetapkan pelbagai petunjuk teknikal (amat sesuai untuk trader yang menggunakan technical analysis), termasuk purata bergerak dan volum.

Satu lagi manfaat besar ialah maklumat asas yang disediakan, terutamanya pelabur berasaskan fundamental seperti saya. Antaranya termasuk laporan suku tahunan, separuh tahunan dan tahunan yang terkini. Semua maklumat ini dipetik dari Bursa Malaysia, yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Shareinvestor, tetapi diolah ke dalam format yang lebih berguna.

Bursa Station Professional
Ini adalah perkhidmatan paling canggih yang ditawarkan Shareinvestor. Menawarkan pelbagai ciri tambahan seperti Dynamic Charts, Penggera Saham dan Maklumat Asas Secara Streaming. Perkhidmatan ini jauh lebih mahal dan sesuai bagi pelabur institusi, sepenuh masa atau pedagang / spekulator serius yang mahukan maklumat pantas dan terperinci.

Sebagai pelabur sambilan, saya rasa langganan asas sudah mencukupi. Malah perkhidmaan pecuma Shareinvestor pun sudah cukup baik dan boleh dimanfaatkan. Cuma anda perlu bekerja lebih keras sedikit untuk mengumpulkan maklumat lain satu-persatu di laman web Bursa Malaysia. Diharapkan sumber ini sedikit sebanyak dapat mempertajamkan kemahiran pelaburan anda.

30 Ogos, 2009

Contohi Cara Nabi Muhammad Berniaga

Jujur, amanah dan akhlak mulia aset sepanjang zaman

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, ada baiknya kita mengambil iktibar daripada sifat-sifat Nabi Muhammad S.A.W. dalam urusan perniagaannya. Mungkin ramai yang tidak menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai contoh dalam bidang perniagaan tetapi hakikatnya ialah sebelum menerima wahyu, beliau adalah seorang ahli perniagaan yang handal.

Disebabkan kepandaian berniaga, Rasulullah S.A.W. telah dijemput untuk menjadi ahli misi perdagangan puak Quaraisy kerana baginda mempunyai daya penarik yang dapat meyakinkan orang lain untuk berniaga dengannya.

Baginda melakukan tugas dengan penuh minat dan perhatian serta menunaikan amanah dengan sempurna. Baginda digelar Al-Amin dan ternyata jujur, amanah dan berakhlak mulia. Berasaskan sifat-sifat ini, baginda telah diberi kepercayaan untuk mengetuai sebuah misi perdagangan ke Syam dan Mesopotamia.Berkat kejayaan dalam bidang perniagaan, baginda telah keluar dari belenggu kemiskinan.

Malah Siti Khadijah, yang akhirnya berkahwin debgan baginda, pernah melantik Rasulullah S.A.W. untuk mengetuai misi ke Syam untuk memperdagangkan barangan beliau dengan memberikan dua kali ganda upahnya.

Adakah sifat-sifat Baginda relevan dalam dunia hari ini? Bolehkah ahli perniagaan bersikap jujur, amanah dan berakhlak mulia dan pada masa yang sama mencapai kejayaan dalam perniagaan pada zaman moden yang urusannya sering bercampur-baur dengan rasuah, pecah amanah dan juga riba?

Saya rasa sudah tentu boleh jika kita berusaha. Kebanyakan pelanggan suka berurusan dengan peniaga yang jujur dan amanah. Manakala riba pula boleh dielakkan dengan berkembangnya perbankan dan kewangan Islam. Sama ada berniaga secara fizikal atau Internet, kejujuran anda menentukan sama ada pelanggan akan terus berniaga dengan anda dan memberitahu orang lain tentang anda.

Kadang-kadang saya hairan melihat mengapa umat Islam secara relatifnya kurang maju dari segi perniagaan, sedangkan Rasulnya sendiri pernah menjadi ahli perniagaan yang handal. Semoga umat Islam menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai role-model dalam perniagaan masing-masing untuk membolehkan mereka mencapai kejayaan yang besar.


Sumber: Lahirnya Cahaya Kebenaran, Sejarah Hidup Nabi Muhammad; Haji Husseiny bin Zambury, Al-Hidayah.

Nota: Selamat berpuasa dan salam kemerdekaan kepada para pembaca sekalian!

26 Ogos, 2009

Dana Seimbang atau Balanced Fund

Dana yang membuat pelaburan secara
seimbang antara saham dan sukuk/bon


Dana Seimbang ialah dana unit amanah yang melabur dalam tiga instrumen pelaburan iaitu ekuiti, bon/sukuk dan pasaran wang secara seimbang. Peruntukan aset bergantung kepada pandangan pengurus dana dan had yang ditetapkan di dalam prospektus dana. Pelbagai kombinasi boleh digunakan, dengan tahap peruntukan berbeza. Jenis saham dan jenis bon/sukuk yang dipilih juga berbeza-beza. Terdapat pelbagai jenis dana seimbang, termasuk dana yang melabur dalam saham dan bon asing.

Untuk memberikan contoh yang lebih jelas, kita tinjau dua daripada Dana Seimbang Patuh Syariah bagi mendapatkan gambaran tentang cara kedua-duanya melaburkan aset mereka:

Public Islamic Balanced Fund

Dana ini boleh melabur antara 40 - 60% daripada dana dalam ekuiti patuh syariah dan selebihnya dilaburkan dalam sukuk/bon Islam. Peruntukan aset sebenar dana adalah bergantung kepada keadaan pasaran semasa. Malah pengurus dana juga dibenarkan untuk mengurangkan lagi komponen ekuiti kepada di bawah 40% jika didapati pasaran dijangka turun atau kekal dalam keadaan yang lemah.

Indeks penanda aras dana ini merupakan satu indeks sintetik atau buatan, iaitu merangkumi 60% Indeks FBM Emas Syariah dan juga 40% kadar Pasaran Wang Antara Bank Islam. Penanda aras ini dicipta untuk mencerminkan hakikat bahawa pelaburan ini adalah bercampur dan tidak boleh ditanda aras semata-mata dengan indeks pasaran saham sahaja.

MAAKL Al-Umran

MAAKL Al-Umran juga melabur dalam saham patuh syariah pada nisbah antara 40 - 60% dan Sukuk pada nisbah antara 40 - 60% bergantung kepada keadaan, manakala wang lebihan dilaburkan dalam aset mudah tunai yang patuh syariah. Pengurus dananya menggunakan kaedah 'top down', iaitu meninjau keadaan makroekonomi untuk menentukan apakah kaedah peruntukan aset yang terbaik.

Bagi pegangan sukuk pula, Pengurus Dana umumnya memegang sukuk sehingga matang. Indeks penanda aras yang digunakan ialah indeks sintetik yang merangkumi 60% FBM Syariah + 30% pulangan Sekuriti Kerajaan Malaysia 5 tahun dan 10% Kadar Deposit Akaun Pelaburan Am.

Jika dilihat daripada kedua-dua contoh di atas, dana seimbang lebih fleksibel daripada dana ekuiti atau dana bon/sukuk dengan risiko sederhana. Apabila pasaran saham naik, dana ini dapat menjejak sebahagian (tetapi bukan semua) daripada kenaikan pasaran saham tetapi apabila pasaran jatuh, ia tidak terjejas teruk kerana pendedahan kepada pasaran saham telah dihadkan kepada peratusan tertentu sahaja.

Berikut adalah beberapa contoh dana seimbang lain yang boleh dibeli oleh pelabur:
Dana Seimbang Biasa
1. PRUBalanced
2. ASM Balanced
3. Hwang DBS Select Balanced

Dana Seimbang Patuh Syariah
1. Alliance Dana Alif
2. CMS Islamic Balanced
3. PHEIM Dana Makmur

Secara peribadi, saya tidak begitu berminat dengan dana seimbang, kerana saya lebih suka memperuntukkan aset saya sendiri. Lagipun dalam jangka sangat panjang, (lebih 5 tahun) kebiasaannya dana ekuiti akan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Tetapi bagi mereka yang tiada masa dan tidak tahu memperuntukkan aset mengikut keadaan pasaran, dan tidak sukakan ciri lebih agresif dan ketidakstabilan harga saham atau harga unit dana ekuiti, dana seimbang boleh dijadikan pilihan anda.

23 Ogos, 2009

Peluang Untuk Beli atau Penurunan Ketara?

Pasaran rehat seketika selepas naik mendadak 5 bulan

Minggu lepas penurunan yang sudah agak lama ditunggu-tunggu sesetengah peramal pasaran telah berlaku. Malangnya bagi mereka, penurunan berlaku selepas indeks hampir mencecah 1200 mata. Sedangkan mereka telah meramalkan 'correction' pada tahap 1050 mata lagi.

Maka sesiapa yang telah menjual terlalu awal mungkin telah terlepas kenaikan dua bulan lepas, di mana saham-saham di luar daripada 30 teratas juga telah mula menunjukkan tanda-tanda awal kenaikan.

Malah, beberapa saham yang tidak mendapat liputan penganalisis atau telah diabaikan seperti Mamee dan Titan telah mencatatkan prestasi keuntungan yang sangat baik. MK Land juga nampak seperti akan pulih kembali, manakala Kinsteel telah mengurangkan kerugian dan mungkin boleh meraih keuntngan pada suku sebelumnya.

Tapi yang paling hangat ialah syarikat pengeluar sarung tangan, yang terus melonjak seiring dengan menularnya wabak H1N1. Supermax, yang saya cadangkan dalam post blog saya pada harga bawah seringgit telah naik sehingga lebih RM2.50.

Jadi sekarang dengan penurunan semasa, adakah ini masa untuk membeli atau menunggu? Jawapannya ialah tiada siapa yang tahu. Sebab itulah saya lebih suka melabur untuk jangka panjang, berasaskan kekuatan syarikat, bukan berasaskan carta.

Yang penting ialah adakah anda melihat nilai berpatutan pada syarikat yang anda tinjau? Jika ada, saya rasa anda boleh beli dan tidak perlu khuatir sama ada pasaran akan naik atau turun dalam tempoh terdekat kerana saya yakin tahun depan, ekonomi akan mula mencatatkan pertumbuhan.

Justeru jika ada syarikat yang berjaya mencatatkan prestasi keuntungan yang baik dalam keadaan ekonomi yang meleset, cuba bayangkan prestasinya apabila ekonomi sudah pulih.

Jika anda melabur untuk jangka pendek, saya tidak dapat memberikan pandangan. Ini kerana pandangan pakar amat berbeza bagi tempoh sehingga akhir tahun. Nouriel Roubini, pakar yang meramalkan keruntuhan ekonomi tempoh hari berkata ekonomi belum lagi pulih dalam masa terdekat. Sementara itu pelabur tersohor Mark Mobius kata beli, terutamanya saham di pasaran Asia.

Dalam jangka pendek, 'anything can happen', tetapi dalam jangka panjang, iaitu sekurang-kurangnya satu hingga tiga tahun, saya yakin pasaran dan juga saham individu, akan meningkat seiring dengan pemulihan ekonomi.

19 Ogos, 2009

Panduan Memanfaatkan Tabungan KWSP Anda

E-book Ini Jawab Segala Persoalan Tentang KWSP

Sebenarnya bagi ramai orang, KWSP ialah satu-satunya tabungan yang mereka ada untuk persaraan. Ini sememangnya menjadi lumrah kehidupan dalam zaman konsumer masa kini di mana kebanyakan orang lebih suka untuk berbelanja dan mendapati sukar untuk menabung. Justeru, jika anda ada masalah menabung, anda harus memanfaatkan sepenuhnya tabungan KWSP dan menambah simpanan yang ada. Malah anda juga boleh melaburkan simpanan anda dalam unit amanah untuk meningkatkan lagi pulangan yang anda terima (selagi anda tidak membuat kesilapan besar semasa memilih syarikat pengurus dana).

Razif Yusof merungkai segala persoalan anda tentang KWSP dalam sebuah e-book yang padat dan bermanfaat. Berikut adalah manfaat yang boleh anda perolehi:
  • Bagaimana menggandakan tabungan Akaun 1 simpanan KWSP anda dan mendapat dividen lebih tinggi.
  • Memohon daripada majikan anda untuk meningkatkan potongan KWSP dari 11% kepada 20%.
  • Menentukan keutamaan membayar hutang, membuat pelaburan dan simpanan.
  • Memanfaatkan Akaun 2 untuk mendapatkan modal untuk berniaga, melabur dan sebagainya.
  • Menyemak penyata KWSP tanpa perlu ke pejabat KWSP.
  • Mempelajari tentang alat kewangan dan cara menggunakannya.
  • Teknik yang betul mengurangkan hutang pinjaman rumah dengan duit KWSP.
Sekiranya anda tidak begitu pasti tentang cara untuk menyemak dan memanfaatkan tabungan KWSP anda, ebook ini sememangnya untuk anda. Dapatkan e-book KWSP: Satu Pendedahan pada harga RM20 sahaja.

Namun begitu, jika anda memang sudah fasih tentang KWSP, iaitu cara memaksimumkan tabungan, membuat pelaburan, mengeluarkan wang untuk tujuan khusus dan menyemak akaun menerusi Internet dan fungsi lain, maka buku ini bukan untuk anda.

Sebenarnya kebanyakan maklumat yang didapati di dana e-book ini boleh diperolehi dengan meluangkan masa menyemak laman web KWSP, bertanyakan soalan satu demi satu kepada pegawai KWSP dan juga bercakap dengan perancang kewangan.Tetapi tidak pasti sama ada anda sempat mengumpul maklumat atau merujuk di tempat yang betul, selain itu ia pasti mengambil masa yang lama.

Sekiranya anda mahukan sumber rujukan yang mudah dibaca dan boleh dimanfaatkan dengan serta-merta, dapatkan e-book KWSP: Satu Pendedahan.

16 Ogos, 2009

Buat Duit Senang Tapi Produktifkah Anda?

Banyak skim buat duit yang tiada nilai ekonomi

Sekarang ini saya lihat banyak iklan, rencana dan buku tentang cara buat duit dengan xxx, jadi jutawan dengan melakukan yyy. Pada satu sudut, saya anggap ini satu perkembangan yang baik kerana semakin banyak peluang yang wujuf untuk mencari rezeki di Malaysia.

Tetapi satu perkara perlu diingat. Buat duit tidak semestinya anda melakukan kerja produktif. Jadi anda perlu fikir sebelum menyahut seruan iklan sama ada anda mahu buat duit dengan cara produktif atau mahu buat duit dengan apa cara sekalipun.

Maksud saya 'cara produktif' ialah melakukan sesuatu yang bernilai untuk ekonomi. Dengan kata lain, anda menghasilkan sesuatu 'economic good' atau 'adding value', iaitu menambah nilai.

Saya bagi satu contoh, anda boleh buat duit dengan bekerja di kilang rokok atau menjual rokok. Tetapi anda tidak menghasilkan satu 'economic good' atau 'adding value'. Menambah mudarat adalah.

Kalau nak buat duit, memang boleh duit dengan cara ini, tapi produktifkah anda? Apakah anda menyumbang kepada masyarakat dengan cara ini? (Maaf jika menyinggung perasaan mereka yang bekerja dalam industri ini).

Satu lagi contoh ialah perniagaan Forex yang begitu banyak orang yang mengiklan di akhbar dan juga Internet. Jika anda jual beli matawang, apakah 'value' yang dicipta daripada urus niaga anda? Apakah 'economic good' yang terhasil? Tidak ada, hanya wang bertukar tangan (melainkan jika anda lakukan lindung nilai (hedging) atau urus niaga mata wang dalam kontrak dagangan produk atau perkhidmatan).

Boleh buat duit dengan Forex? Memang boleh. Tapi Forex ialah seperti 'zero sum game'. Kalau ada orang menang RM100, mesti ada orang atau orang-orang lain yang kalah RM100. Yang untung ialah broker urus niaga. Memang benar kalau anda bijak anda boleh menang. Malah saya lihat ada orang iklan kata mereka berhenti kerja untuk berdagang Forex sepenuh masa. Boleh dapat lebih banyak duit dalam waktu kerja lebih singkat. Tapi saya tanya sekali lagi, produktifkah anda?

Ini amat berbeza daripada pelaburan seperti saham di mana anda memiliki syarikat yang berdagang, menghasilkan produk, membayar gaji, memberi perkhidmatan mempunyai pembekal dan lain-lain...semuanya menghasilkan nilai, atau unit amanah, hartanah atau pun melabur dalam perniagaan rakan anda atau perniagaan sendiri, walaupun betapa kecil, yang semuanya memberikan 'value added' atau berpotensi menambah nilai.

Antara skim lain yang boleh buat duit tetapi tidak produktif termasuk beberapa jenis perniagaan Internet yang cuba 'game the system', kebanyakan bentuk dagangan derivatif dan juga pelaburan emas.

Ya, tidak ada nilai yang diperolehi daripada menyimpan emas untuk pelaburan atau membuka buku pelaburan emas. Mungkin boleh buat duit tetapi tiada nilai ekonomi daripada aktiviti anda.

Ramai yang tak setuju dengan pandangan saya, tapi anda perlu ingat saya bercakap tentang nilai ekonomi di sini. Emas tu memang ada. Anda cuma membeli dan andaikan lima tahun kemudan anda jual. Tidak ada apa-apa kegiatan produktif berlaku dalam tempoh anda memegang emas dan menjualnya. Tiada apa nilai yang ditambah, walaupun harga emas telah naik.

(Nota: Perniagaan barangan kemas adalah perkara lain dan saya anggap ia aktiviti produktif, kerana barangan kemas ada nilai untuk pemakainya, walaupun ia hanya 'perceived value')

Jadi jika anda mahu buat duit sahaja, tak perlu fikirkan sama ada kegiatan anda produktif atau tidak. Tapi kalau anda mahu membuat duit dengan melakukan sesuatu yang produktif, maka fikirkan dahulu sama ada kegiatan anda mempunyai nilai dari segi ekonomi.