02 April, 2016

Lebih Rendah Kos Lebih Tinggi Pulangan

Dua tokoh tersohor dalam bidang pelaburan,Burton Malkiel, penulis buku terkenal A Random Walk Down Wall Street, dan juga John Bogle, pengasas dana berkos rendah Vanguard telah berkali-kali menekankan bahawa kos pelaburan akan mempengaruhi pulangan anda.

Menurut mereka dalam jangka panjang, pelabur yang melabur dengan kos paling rendah mempunyai kelebihan. Perkara ini lebih ketara di Malaysia, kerana kos sesetengah pelaburan adalah agak mahal.

Menyedari hakikat ini, kita perlu maklum apakah kos pelaburan kita dan jika kita membayar kos lebih, adakah manfaat yang bakal diperolehi akan melebihi kos tersebut?

Dalam pelaburan saham, kos memainkan peranan penting bagi seorang trader berbanding investor kerana lebih tinggi kos lebih tinggi titik pulang modal dan lebih tinggi pergerakan saham yang diperlukan sebelum untung diperolehi.

Seorang pelabur saham pula mempunyai jangka masa lebih panjang jadi kos tidak begitu sensitif baginya tetapi masih ada manfaat jika beliau membeli dengan kos paling rendah. Cara mendapatkan kos paling rendah ialah membeli saham online.

Burton Malkiel, "The lower the fee that I pay to the purveyor of an investment product, the more there is going to be for me.

"Lebih rendah yuran yang dibayar kepada pengeluar produk pelaburan, lebih banyak yang tinggal untuk saya."

Dalam pelaburan unit amanah pula kosnya jauh lebih tinggi, kerana terdapat dua bentuk kos utama iaitu kos jualan (2 - 5.5%) dan juga yuran pengurusan tahunan (1.5 - 2%). Yuran lebih tinggi kerana kita menyerahkan wang kita kepada pengurus dana untuk dilaburkan.

Tetapi kos jualan ialah faktor yang boleh kita kawal.  Malah di Malaysia kos jualannya sangat tinggi berbanding di Amerika.  Jika anda mengambil saluran berkos tinggi, pastikan anda manfaatkan sepenuhnya sebarang perkhidmatan yang diberikan.

John Bogle: “If investors could rely on only a single factor to select future superior performers and to avoid future inferior performers, it would be fund costs. The record could hardly be clearer: The more the managers and brokers take, the less the investors make."
 
Jika pelabur boleh bergantung kepada satu faktor untuk memiih prestasi terbaik pada masa depan dan mengelakkan prestasi kurang baik, faktornya ialah kos dana. Rekodnya begitu jelas: Lebih banyak yang diambil oleh pengurus dan broker, lebih rendah pulangan pelabur.
 
Akhir sekali ialah pembelian hartanah. Kita boleh mengurangkan kos dengan cuba mendapatkan kadar pembiayaan dan perlindungan  yang paling berpatutan. Lebih rendah kos, lebih tinggi ROI. 

Perlu diingat bahawa semua kos ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan prestasi pelaburan.  Bagi saham dan unit amanah, kos adalah berkaitan dengan saluran pembelian dan perkhidmatan yang anda perolehi manakala bagi hartanah, ia berkaitan dengan kekuatan kredit anda.

Jadi ikutlah nasihat Burton Malkiel dan John Bogle untuk mencapai pulangan paling memuaskan dalam pelaburan. Cuba melabur pada kos yang paling rendah melainkan ada manfaat nyata yang boleh anda perolehi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: