Isnin, 2009 Disember 14

PNB Umum Dividen ASB 7.30%, Bonus 1.25%

Dividen lebih tinggi tapi bonus lebih rendah

Pada hari ini (14 Disember 2009) ASNB, anak syarikat milik penuh PNB, telah mengumumkan dividen 7.30% dan bonus 1.25% untuk tahun 2009 bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ramai yang menanti pengumuman ini kerana ASB merupakan instrumen tabungan yang memberikan pulangan paling tinggi (tabungan maksimum RM200,000).

Dividen yang diumumkan pada 7.30% adalah lebih tinggi daripada 7.00% yang diisytiharkan pada tahun lepas, sedangkan bonusnya 1.25% adalah lebih rendah daripada 1.75% yang diiystiharkan pada tahun lepas.

Berikut adalah pulangan ASB bagi tempoh empat tahun lalu.

Tahun Dividen Bonus
2009 - 7.30% - 1.25%
2008 - 7.00% - 1.75%
2007 - 8.00% - 1.00%
2006 - 7.30% - 1.25%

Persoalan sama ada pulangan tahun ini lebih baik atau tahun lepas lagi baik adalah bergantung kepada tempoh simpanan anda. Ini kerana dividen diberi berasaskan purata baki minimum bulanan bagi 12 bulan (1 tahun) sedangkan bonus diberikan berasaskan purata baki minimum bulanan untuk 120 bulan (10 tahun).

Jika anda seorang pelabur baru, maka kemungkinan besar tahun ini anda dapat pulangan lebih tinggi kerana dividen yang diisytiharkan adalah lebih tinggi, tetapi jika anda sudah lama melabur dan baki anda dalam tempoh sepuluh tahun lepas adalah tinggi dan lebih tinggi daripada baki minimum sepanjang tahun ini, maka pulangan tahun ini mungkin lebih rendah sedikit berbanding tahun lepas kerana bonus lebih rendah.

Untuk menentukan cara mengira dividen, saya rasa tak perlu saya jelaskan dengan panjang lebar di sini kerana sudah diterangkan dalam posting berikut di dalam forum bicarajutawan. Walau apa pun, jangan lupa untuk bayar zakat atas tabungan ASB.

Akhir sekali, urus niaga ASB akan ditutup dari 21 Disember 2009 hingga 3 Januari 2010 dan dibuka semula pada 4 Januari.

Nota: Sila maklumkan saya jika ada apa-apa kesilapan dalam posting di atas.

Rabu, 2009 Disember 09

Ceramah Buku Panduan Bijak Melabur

Bincang pilihan saham dan peruntukan aset

Pada hari Ahad ini, saya akan mengadakan 'talk' terakhir saya tahun ini di MPH One Utama (New Wing). Seperti biasa acara ini percuma dan terbuka kepada semua.

Mereka yang berminat digalakkan datang awal sikit kerana memang susah cari parking lepas waktu tengah hari di One Utama.

Tempat: MPH One Utama (New Wing)
Tarikh : Ahad, 13 Disember, 2009
Masa : 2.00 - 3.00 ptg

Saya akan membincangkan topik berikut:

1. Mengapa melabur dalam saham?
2. Teknik pelaburan asas
3. Mencari idea pelaburan
4. Pemilihan saham
5. Peruntukan aset
6. Situasi semasa - (sangat penting)
7. Mengawal perasaan

Saya menjemput para pembaca blog untuk bersama saya. Lima pembeli pertama buku pada hari tersebut akan menerima satu buku percuma daripada Azizi Ali.

Sabtu, 2009 Disember 05

Emas Akan Terus Naik Lagi?

Apabila sesuatu aset terus naik tanpa henti,
pelabur bijak hendaklah mula berhati-hati


Kenaikan emas memang hebat dan tidak menghairankan melihatkan krisis semasa. Ramai pelabur berpindah kepada logam yang memberikan keselamatan kepada mereka. Pelabur yang melabur dalam emas menerusi kijang emas atau buku pelaburan emas pasti telah mendapat untung besar. Malah mereka yang memegang barangan kemas pun pasti untung, cuma harga untuk menjual kembali barangan kemas tidak begitu tinggi.

Emas bukan bidang saya. Dari segi aset yang berbentuk 'tangible', saya lebih suka melabur dalam hartanah, kerana sekurang-kurangnya hartanah itu boleh diduduki dan dimanfaatkan oleh penyewa. Pendek kata ia mempunyai nilai ekonomi. Tapi ada jugalah beli sikit-sikit emas sebagai sebahagian daripada asset diversification.

Tapi kenaikan emas menyebabkan ramai yang mula berminat dengan emas dan memberi perhatian. Lebih banyak bank menawarkan buku pelaburan emas sekarang. Ada lebih banyak tulisan dan buku atau e-book mengenai emas. Malah, Azizi Ali kini akan mengadakan satu seminar mengenai cara memanfaatkan pelaburan emas.

Tetapi yang peliknya ialah kenaikan harga emas menimbulkan kesempitan besar kepada peniaga dan peruncit emas, satu-satunya sektor yang menghasilkan nilai ekonomi atau 'economic good'. Harga emas yang begitu tinggi mengurangkan permintaan bagi barangan kemas. Ini tidak menghairakan kerana sekarang lebih banyak orang berminat untuk melabur emas daripada membeli emas sebagai barangan kemas.

Cuba kita lihat harga emas sejak 1971 dalam carta di bawah (USD)

Dipetik daripada World Gold Council

Kita dapat lihat bahawa kenaikan emas bukannya baru, tetapi telah berlaku sejak 2001.Kita tahu bahawa kegawatan ekonomi belum reda, mungkin emas akan mendaki lagi dalam tempoh terdekat.

Walau apa pun, apabila saya melihat graf seperti ini, tak kiralah emas atau saham, biasanya saya mula berhati-hati. Tetapi saya sudah katakan bahawa saya bukan pakar dalam emas. Nak menulis artikel sebegini pun satu risiko memandangkan emas sekarang begitu 'hot'.

Kesimpulannya ialah jika anda melabur dalam emas, teruskanlah tetapi pastikan anda lebih peka dan memerhatikan untuk sebarang tanda bahawa emas sudah penat mendaki. Kita perlu berhati-hati kerana pada satu masa dulu, ramai orang ingat harga minyak juga akan naik tanpa henti.

Isnin, 2009 November 30

Risiko Kepada Pasaran Saham

Ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya;
Perlu tangani arus kegawatan kedua

Walaupun pasaran saham sedunia telah naik dengan ketara tahun ini, ramai yang berpendapat bahawa kenaikan ini terlalu optimistik memandangkan masalah ekonomi dunia belum selesai.

Memang benar 'the worst is over', iaitu tahap terendah dan situasi paling serius telah berlalu bagi ekonomi dunia, tetapi ia masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi jika dilihat daripada kenaikan pasaran, seolah-olah kegiatan perniagaan global telah kembali berkembang pesat.

Nouriel Roubini, pakar ekonomi yang meramalkan kegawatan serius 2008 / 2009 berkata pasaran akan kembali menghadapi realiti sebenar tidak lama lagi. Saya tak tahu setakat mana ketepatan ramalannya tetapi terdapat tanda-tanda bahawa unjuran beliau mungkin mula menjadi kenyataan.

Bukti pertama ialah permintaan Dubai menangguhkan bayaran hutang bernilai RM60 billion (lihat posting saya sebelum ini). Kedua ialah risiko 'US$ carry trade', iaitu pinjaman yang dibuat pada kadar rendah dan dilaburkan di pasaran Asia. Aliran masuk wang ini dinamakan 'hot money'. Perlu diingat 'hot money' ini boleh keluar sepantas ia masuk.

Ketiga Bundesbank (Bank Pusat Jerman) meramalkan masalah lanjut dalam sistem perbankan, dengan kerugian berbilion lagi dollar dijangkakan di kalangan Bank di Jerman. Keempat, Bank Pusat di Eropah sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa kadar faedah akan dinaikkan, dan jika ini berlaku, bekalan wang akan berkurangan dan pasti menjejaskan pasaran saham.

Sebenarnya tahun ini kita telah melihat ekonomi meleset tetapi pasaran saham naik (berasaskan ramalan pemulihan). Tetapi separuh pertama tahun depan, kita mungkin melihat pula ekonomi mula berkembang secara positif, tetapi pasaran saham menyusut (kerana pemulihan tidak sekukuh yang dijangka).

Hakikatnya Malaysia terlepas daripada kesan serius kegawatan. Di samping itu, pasaran saham Malaysia juga tidak naik terlalu tinggi seperti beberapa pasaran lain, termasuk China yang naik lebih 100%. Kedudukan bank di Malaysia juga amat kukuh dan banyak syarikat yang mencatatkan prestasi yang baik.

Namun begitu, syarikat dan pasaran saham Malaysia tidak akan terlepas daripada apa yang berlaku di luar negara. Justeru pada pandangan saya, faktor global mengatasi faktor lokal dalam keputusan pelaburan saya.

Walau apa pun, pelabur harus sentiasa bersedia. Wang yang dikeluarkan daripada pasaran saham boleh digunakan untuk membeli kembali jika pasaran jatuh dan banyak saham kembali ke tahap undervalued.

Jumaat, 2009 November 27

Dubai World Mula Goyah

Pertumbuhan tidak terbatas akhirnya bawa padah

Semalam, 26, Nov., Dubai World, iaitu bahagain pelaburan milik kerajaan Dubai, mengumumkan bahawa ia telah meminta para peminjam untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman terhadap hutang yang ditanggung bernilai $60 bilion.

Pengumuman ini memeranjatkan pasaran dunia, kerana jika Dubai World gagal membayar balik pinjaman, maka banyak bank yang memberikan pinjaman kepadanya akan merasai kesannya.

Selain itu, satu lagi persoalan yang menjadi tanda tanya ialah projek-projek yang dilaksanakan oleh Dubai World. Jika projek-projek ini terjejas, maka sesetengah tempat di Asia pasti merasai kesannya, terutamanya syarikat yang terlibat dengan projek di Dubai, dan ini satu perkembangan yang agak membimbangkan.

Di Malaysia sahaja kita dapat lihat bahawa Dubai World telah membatalkan MoU dengan MMC bagi satu projek di Malaysia dan membatalkan hasratnya untuk melabur dalam Bank Islam. Berita tersebut mungkin petanda awal kepada situasinya sekarang.

Dubai ialah sebuah bandar yang berkembang sangat pesat pada alaf baru, mungkin perkembangannya terlalu pesat. Dengan pelbagai projek membina bangunan canggih dan hotel mewah yang jauh lebih mewah daripada apa yang dianggap mewah di sini, cita-cita tidak terbatas telah menggoncang kedudukannya. Mungkin situasinya begitu 'surreal' dan kini mereka terpaksa berpijak di bumi nyata.

Situasi ini lebih dekat dengan Asia. Di Asia sekarang ini terdapat sedikit 'bubble' dalam pasaran saham, walaupun kenaikan saham tidak begitu ketara di Malaysia berbanding pasaran lain di Asia. Masalah Dubai World ini pasti menjejaskan pasaran saham rantau ini dan global. Adakah ini jarum kecil yang akan menusuk buih-buih kenaikan pasaran yang sedang membuak-buak? Terpulang kepada anda untuk membuat penilaian.

Saya sendiri tak begitu pasti, tetapi selama dua tiga minggu ini, seperti yang saya nyatakan dalam posting saya baru-baru ini, saya lihat seperti indeks di Malaysia sudah penat mendaki. Saya telah mengeluarkan lebih 50% daripada wang daripada pasaran. Pelaburan yang tinggal hanya syarikat yang sangat menguntungkan sahaja.

Selamat Hari Raya Haji diucapkan kepada para pembaca.

Ahad, 2009 November 22

Feeder Fund dan Fund of Funds

Melabur Di Luar Negara Menerusi Dana Kepada Dana

Selain daripada dana yang melabur dalam saham, bon dan instrumen pasaran wang, terdapat dana yang melabur dalam dana lain yang lazimnya terbahagi kepada dua jenis, iaitu feeder fund atau dana pembekal; dan juga fund of funds atau dana kepada dana. Umumnya di Malaysia, feeder funds dan fund of funds digunakan untuk melabur dalam dana luar negara.

Feeder fund ialah dana yang melaburkan semua dananya dalam satu dana induk. Struktur begini digunakan ialah untuk memudahkan pelabur dari negara berbeza untuk melabur dalam satu dana. Sebuah Master Fund atau Dana Induk ditubuhkan di satu negara atau di luar pesisir dan kemudian feeder fund dibuka di negara-negara lain untuk mengumpulkan pelaburan daripada pelabur daripada negara-negara tersebut.

Justeru pelabur dari negara berlainan boleh melabur dalam satu dana yang sama. Sistem Master-Feeder ini membolehkan pelabur sesuatu negara melabur dalam dana di negara lain atau di luar pesisir dengan mudah, mengikut peraturan pelaburan yang ditetapkan di negaranya sendiri. Contoh feeder fund di Malaysia termasuk Alliance Global Diversified Property Fund yang melabur dalam Fidelity Global Property Fund dan juga Prudential Global Market Navigator yang melabur dalam dana Global Market Navigator oleh International Opportunities Funds yang didaftarkan di Luxembourg.

Fund of funds pula ialah dana pelaburan yang hanya melabur dalam beberapa dana lain. Di Malaysia, dana seperti ini perlu melabur dalam sekurang-kurangnya lima unit amanah lain pada setiap masa dan tidak lebih daripda 30% daripada nilai aset bersih Fund of Funds boleh dilaburkan dalam mana-mana dana tunggal.

Fund of Funds juga merupakan satu kaedah yang digunakan untuk melabur dalam dana di luar negara. Antara contoh fund of funds ialah Global Asset Spectra Fund yang melabur dalam dana ekuiti, bon hartanah dan komoditi global dan juga TA European Equity Fund yang melabur dalam dana ekuiti temaptan dan juga asing dan juga REIT dan ETF yang melabur di Eropah.

Bagaimana dengan yuran dan risiko yang dihadapi oleh dana-dana seperti ini? Umumnya yuran pengurusan adalah lebih tinggi sedikit, iaitu 1.8%. Suruhanjaya Sekuriti telah menetapkan bahawa pelabur hanya boleh dikenakan yuran sekali, iaitu di peringkat dana pembekal atau dana sasaran, dan tidak boleh dikenakan yuran dua kali. Yuran perkhidmatan/jualan juga lebih kurang sama dengan unit amanah biasa. Walau apa pun, pelabur dinasihatkan untuk membaca prospektus untuk mendapatkan kepastian tentang kos dana tertentu.

Bagaimana pula dengan risiko yang dihadapi? Sebenarnya risiko adalah sama dengan risiko yang dihadapi apabila melabur dalam unit amanah Malaysia kecuali pelabur terdedah kepada keadaan ekonomi dan kadar faedah pasaran di mana dana tersebut dilaburkan. Justeru, untuk mengetahui setakat mana pendedahan mereka, pelabur perlu memastikan pasaran sasaran dan membuat kajian tentang pasaran negara tersebut.

Satu lagi risiko yang wujud ialah risiko pergerakan mata wang yang berpotensi menambah atau mengurangkan pulangan yang diterima oleh pelabur dana di peringkat tempatan berbanding dana sasaran yang dilaburkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, pelabur juga harus berhati-hati tentang kaedah operasi dana sasaran, iaitu sama ada ia menggunakan hutang untuk melabur atau menggunakan instrumen derivatif.

Pada pendapat saya kedua-dua cara ini merupakan kaedah yang selamat untuk melabur dalam dana yang terlibat di pasaran luar negara, kerana pelaburannya diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Jumaat, 2009 November 20

Perhatikan Tindak-Tanduk Orang Dalam

Petanda kurang baik jika pegawai kanan jual saham

Baru-baru ini sebuah syarikat bernama Lityan telah disenaraikan semula di pasaran saham selepas menjalani penyusunan semula. Ini memang menjadi perkara biasa cuma yang mencuit perhatian ialah harganya telah naik secara mendadak sehingga hampir mencecah RM3.

Kenaikan ini pun tak menjadi masalah, tetapi perkara yang membimbangkan ialah apabila pengarah urusannya dikatakan menjual saham pada harga lebih kurang RM3 (menurut The Edge) di pasaran terbuka.

Tidak ada apa yang salah tentang urus niaga ini, kerana pemimpin syarikat mungkin menerima opsyen saham atau memiliki saham dan mahu mengambil untung daripada saham syarikat apabila ia mula disenaraikan semula.

Namun begitu kita sebagai pelabur perlu risau tentang perkara ini kerana apabila orang dalam syarikat menjual, ini bermakna mereka berpendapat harga sudah sampai ke tahap yang sama dengan nilai syarikat atau lebih tinggi daripada nilai syarikat.

Sudah tentulah dari segi peribadi, mereka akan jual jika mereka anggap ini untung tertinggi yang boleh mereka capai, dan sebagai orang dalam, malah pemimpin syarikat, mereka tahu nilai sebenar syarikat mereka.

Beberapa tahun dahulu Pengasas Gamuda ada menjual sahamnya dan penjualan tersebut menimbulkan tanda tanya pelabur. Seperti yang dijangka, harga saham Gamuda jatuh dengan ketara selepas itu. Jika kita lihat harga Lityan hari ini ialah RM2.44.

Saya ingin menekankan bahawa tindakan menjual saham oleh pegawai kanan adalah perkara biasa, tetapi kita sebagai pelabur kecil perlu akur bahawa orang dalam lebih tahu dari kita tentang hal ehwal syarikat. Jika mereka mula menjual, kita pun patut mempertimbangkan perkara yang sama, kecuali kalau ada sebab munasabah, seperti menjual kepada pemegang saham institusi besar dan sebagainya.

Sementara itu, pembelian orang dalam atau pembelian balik saham oleh syarikat pula memberikan persepsi yang sebaliknya, iaitu persepsi positif kerana ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap syarikat dan mereka berpendapat harga saham akan naik lagi kepada nilai yang mencerminkan nilai sebenar. Situasi ini bukannya benar dalam semua keadaan tetapi umumnya begitu.

Justeru kita sebagai pelabur kecil harus sentiasa peka dengan tindak-tanduk orang dalam. Berita mengenai jual beli orang dalam akan diumumkan di Laman Web Bursa atau akhbar kewangan utama.

Ahad, 2009 November 15

MIER: Ada Risiko Kemelesatan Lanjut

Peluang 50% Ekonomi Dunia Akan Meleset
Pada Separuh Pertama 2010

MIER baru-baru ini memberi amaran bahawa ekonomi global mungkin menghadapi kemelesetan lanjut pada separuh pertama tahun 2010, disebabkan oleh situasi di AS.

Menurut Pengarahnya Datuk Mohd Ariff, pemulihan ekonomi semasa yang digambarkan menerusi angka KDNK positif adalah disebabkan oleh pakej rangsangan besar-besaran oleh Kerajaan AS dan kerajaan lain, termasuk Malaysia.

Apabila rangsangan tidak lagi diberikan, keadan sebenar kegiatan ekonomi akan dilihat, dan menurut beliau ekonomi sebenar masih lagi belum kukuh.

Menurutnya, jika perkara di atas berlaku, maka ramalan pertumbuhan ekonomi 3% Malaysia mungkin sukar dicapai kerana Malaysia amat bergantung kepada eksport dan perdagangan sebagai pemacu ekonomi.

Semakin hari kita mendengar lebih banyak amaran tentang ekonomi, terutamanya daripada pakar ekonomi, termasuk Nouriel Roubini, yang terkenal kerana meramalkan kemesetan ekonomi global yang terkini.

Namun bukan semua yang berpendapat sedemikian, kerana ramai juga pakar ekonomi dan pakar saham lain yang berpendapat kemelesetan telah berakhir.

Jadi pandangan mana yang harus diikuti jika kita mempunyai wang dalam pasaran saham? Sukar untuk tentukan, tetapi secara peribadi saya rasa dalam keadaan sekarang kita perlu berhati-hati apabila membuat pelaburan kerana indeks telah naik tinggi dan pada satu masa kelak, rangsangan akan dihentikan dan kadar faedah akan dinaikkan kembali.

Pendek kata dalam tempoh terdekat ini...'anything can happen'

Rabu, 2009 November 11

Ceramah Panduan Bijak Melabur







Jemputan ke Hari Terbuka Truewealth Publications


Pada 13 - 15 November ini, syarikat penerbit Truewealth Publications akan mengadakan Hari Terbuka dan jualan murah untuk menghabiskan stok. Pelbagai diskaun menarik ditawarkan kepada pengunjung, ada yang sehingga 70%.

Selain daripada diskaun, beberapa orang penulis, termasuk saya, akan hadir untuk memeriahkan acara. Ada di antara penulis yang akan menyampaikan ceramah selama satu jam mengenai buku masing-masing. Pengunjung boleh menghadiri ceramah ini secara percuma. Ini satu peluang yang baik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Ceramah saya adalah seperti berikut:

Tarikh: Sabtu, 14 November
Masa : 2.30 ptg - 3.30 ptg
Tajuk : Pemilihan Saham dan Peruntukan Aset

Saya harap dapat bertemu dengan anda di acara ini. Layari laman web Truewealth untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Alamat TrueWealth Publications:

A-2-11, Dataran Glomac, Jalan SS6/5A, Pusat Bandar Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor (Peta).

Ahad, 2009 November 08

Anda Pelabur atau Pedagang?

Pastikan matlamat pelaburan saham anda jelas

Pada hari Sabtu lepas (7 Nov.), saya menghadiri satu seminar anjuran Shareinvestor/Bursastation membabitkan tiga penceramah. Salah seorang daripada mereka ialah Dr Michael Leong, pengasas Shareinvestor.

Beliau menegaskan (dan saya amat bersetuju) bahawa seseorang pelabur perlu menentukan mengapa beliau membeli saham. Soalan yang perlu ditanya ialah, adakah anda melabur atau berdagang?

Ini penting kerana cara anda membuat keputusan jual beli adalah berbeza sama sekali apabila anda melabur atau berdagang. Malah jika kadangkala anda membeli untuk jangka panjang dan kadangkala anda berdagang untuk satu dua hari, anda dinasihatkan memisahkan wang pelaburan dan wang dagangan saham.

Jika anda melabur, anda perlu membuat penilaian syarikat, keuntungannya, asetnya, hutangnya dan banyak lagi untuk mengetahui potensi saham syarikat memberikan pulangan kepada anda. Anda juga mengharapkan potensi ini akan direalisasikan dalam jangka masa yang agak panjang dalam bentuk kenaikan harga atau pembayaran dividen kepada anda.

Sebaliknya jika anda berdagang, iaitu menjual beli dalam jangka pendek, perkara paling penting ialah sentimen, momentum, volum, sokongan dan rintangan dan pelbagai faktor teknikal lain yang boleh ditelaah menerusi analisis teknikal. Faktor keuntungan, aset dan sebagainya tidak lagi menjadi perkara penting.

Malah jika anda berdagang, anda perlu berdagang dengan cara yang tersusun. Perkara paling penting ialah strategi hadkan kerugian atau stop loss yang ditetapkan mungkin pada 5% 7% atau 10% (terpulang kepada anda).

Maksudnya ialah apabila harga saham turun ke tahap yang sudah ditetapkan, anda akan menjual saham walaupun anda rugi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Dengan cara ini, anda dapat mengawal risiko anda pada setiap masa. Malah anda perlu berdisplin untuk mematuhi penetapkan stop loss.

Anda tidak boleh kata bahawa apabila saham jatuh ke tahap stop loss, anda tukar objektif anda daripada berdagang menjadi pelaburan jangka panjang. Tindakan ini adalah amat berbahaya sekali. Seperti yang ditekankan, jika anda melabur, buat cara melabur dan bila berdagang buat cara berdagang. Jangan campurkan atau tukar strategi di tengah jalan.

Kesimpulannya ialah apabila anda membeli, anda perlu jelas mengapa anda membeli saham tersebut. Selain itu, anda juga perlu menetapkan matlamat khusus bagi seluruh portfolio pelaburan anda. Pastikan anda mematuhi strategi yang ditetapkan di peringkat awal. Kejayaan dalam pelaburan saham banyak bergantung kepada disiplin pelabur.

Nota: Saya akan menyampaikan 'talk' selama satu jam di Hari Terbuka Truewealth, Sabtu 14 Nov. pada jam 2.30 ptg. Para pembaca dijemput hadir dan masuk adalah percuma.

Rabu, 2009 November 04

Penilaian Akaun Al-Awfar Bank Islam

Perbandingan AL-Awfar dengan pilihan pelaburan lain

Produk simpanan dan pelaburan Al-Awfar telah diperkenalkan oleh Bank Islam pada Mac tahun ini (2009). Produk ini menawarkan hadiah lumayan kepada penabung dan pelabur bertuah. Pada mulanya saya tak mengendahkan produk ini sebab saya kurang berminat terhadap produk dengan unsur cabutan. Bukan sebab meragui kesahihannya, cuma saya tak suka simpanan di mana kalau tak menang hadiah, tiada sebarang pulangan diterima (seperti sijil simpanan BSN).

Tetapi apabila meneliti sekali lagi, saya dapati produk ini agak inovatif kerana ia tetap menyediakan pulangan kepada pelabur, DAN memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah. Terdapat dua jenis akaun, iaitu akaun simpanan (pembahagian untung 98% bank dan 2% penyimpan) dan akaun pelaburan (70% bank dan 30% pelabur).

Hadiah tertinggi yang ditawarkan ialah RM100,000 dan cabutan dibuat tiga bulan sekali. Setiap simpanan atau pelaburan RM100 diberikan satu penyertaan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Bank Islam.

Dari segi kesahihan produk dan kontraknya, selepas membaca dengan lebih lanjut hukum dan dalil yang diberikan, saya boleh katakan saya yakin, tidak seperti produk Pinjaman Peribadi atau Pinjaman ASB Islam yang saya amat was-was. (Cari Al-Awfar dalam enjin pencarian untuk mengupas lebih lanjut tentang persoalan sama ada produk ini patuh syariah).

Saya hanya akan menyentuh perkara yang paling penting yang dikehendaki oleh pembaca blog saya, iaitu adakah produk ini menguntungkan mereka.

Umumnya ramai yang pasti tertarik dengan janji hadiah lumayan yang diberikan. Tetapi kita perlu teliti sama ada ia benar-benar menguntungkan. Rata-rata pulangan bagi Akaun Simpanan Pelaburan adalah rendah jika dibandingkan dengan pulangan yang diberikan oleh ASB, ASW dan Tabung Haji.

Justeru adakah peluang memenangi hadiah cukup untuk membuatkan anda memindahkan wang anda ke akaun ini? Perlu diingat bahawa hadiah besarnya ada sepuluh sahaja, iaitu 1 hadiah RM100,000, 1 hadiah RM10,000, 1 hadiah 5,000, 3 hadiah Rm1,000 dan 5 hadiah RM500.

Melainkan anda menang hadiah pertama, kedua atau ketiga anda akan rugi kerana melepaskan peluang untuk meraih pulangan lebih tinggi menerusi instrumen pelaburan lain. Secara peribadi, saya tidak suka ketidakpastian atau bergantung kepada nasib.

Jika anda tiada masalah dengan ASB dan ASW, jadikanlah kedua-duanya pilihan utama. Jika tidak, simpan wang anda di Tabung Haji. Tetapi jika anda masih teruja dengan peluang memenangi hadiah, maka anda boleh pindahkan wang anda ke Al-Awfar, siapa tahu anda mungkin bertuah.

Justeru berasaskan penilaian saya, tabungan/pelaburan risiko rendah terbaik masih lagi ASW, ASW dan Tabung Haji. Tetapi jika anda mahu membuka akaun simpanan di Bank untuk kegunaan biasa (bukan untuk tabungan) maka Al-Afwar adalah pilihan yang bijak kerana sambil anda menggunakan kemudahan akaun bank, anda berpeluang untuk menang.

Ahad, 2009 November 01

Indeks Perlu Rehat Selepas Penat Mendaki

Dalam Keadaan Semasa Pemilihan Saham Amat Penting

Pasaran saham Malaysia, dan juga negara-negara lain menyaksikan kenaikan mendadak dalam tempoh enam bulan lepas. Indeks telah naik dari sekitar 800 kepada 1270 sebelum jatuh sedikit pada minggu lepas.

Dipetik dari Bursa Station

Ramai yang memang sudah meramalkan bahawa pasaran akan jatuh kerana telah naik begitu tinggi dengan sangat pantas. Justeru adalah mustahil jika pasaran terus naik dan naik sedangkan pemulihan ekonomi baru nak bermula.

Saya telah berulang kali mengatakan dalam blog saya, dalam buku saya dan dalam rencana saya di Dewan Ekonomi bahawa masa paling baik untuk membeli ialah dalam keadaan paling gawat dan apabila semua orang lain takut untuk membeli saham. Malah saya ada menulis artikel bertajuk Peluang Dalam Kegawatan yang diterbitkan dalam majalah DE pada Disember 2008.

Jika anda membeli pada waktu itu, anda tidak perlu bijak memilih saham untuk mendapat untung. Hampir apa sahaja saham yang dipilih naik.

Namun begitu situasi tersebut telah berakhir di mana sekarang ini indeks telah kembali ke tahap sepatutnya. Pada masa ini ada saham yang sudah overvalued kerana naik terlalu tinggi, ada yang fairly valued dan masih banyak juga yang masih undervalued.

Jika semasa gawat, peruntukan aset menentukan sebahagian besar daripada pulangan, maka dalam keadaan semasa, pemilihan saham yang bijak lebih penting untuk menentukan pulangan anda.

Justeru pelabur perlu lebih berhati-hati dan teliti dalam pemilihan saham dalam keadaan sekarang untuk memastikan mereka mendapat pulangan yang sewajarnya. Tidak kiralah sama ada anda gunakan analisis asas atau teknikal, pastikan anda membuat kajian sewajarnya sebelum melabur.

Rabu, 2009 Oktober 28

Kad Debit Maybank Visa

Kad untuk keluarkan tunai, membayar secara fizikal dan menerusi Internet dan memindah wang dari Paypal

Baru-baru ini kerajaan mengenakan yuran perkhidmatan RM50 untuk setiap kad kredit yang dimiliki. Yuran ini, saya rasa bertujuan mengutip hasil bagi kerajaan.

Selain itu langkah ini mempunyai manfaat sampingan untuk menghadkan penggunaan kad kredit yang terlalu berleluasa.

Kita boleh faham jika seseorang menggunakan dua kad kredit (Visa dan MasterCard) tetapi sekarang ini ada orang yang memiliki lebih dari dua kad dan dari pelbagai bank pula. Dengan yuran RM50 yang dikenakan, mungkin orang ramai akan tergerak hati untuk memotong kad kredit mereka yang jarang dipakai.

Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa kad debit ialah alternatif urus niaga tanpa tunai yang baik kepada kad kredit. Salah satu kad yang saya suka dan guna ialah Kad Debit Maybank Visa (Maybank Visa Debit Card). Ia sebenarnya kombinasi kad ATM dan kad bayaran dan juga boleh digunakan untuk urus niaga dalam talian selain urus niaga pengeluaran wang Paypal.

Oleh kerana kad ini ialah kad untuk Akaun Bank sedia ada, anda tidak perlulah memindahkan wang ke dalam akaun kad debit anda setiap kali nilai habis. Jumlah yang ada dalam akaun anda ialah jumlah yang boleh anda belanjakan. Sebagai keselamatan anda boleh menetapkan had perbelanjaan bagi kad ini.

Tapi fungsi kad ATM dan kad bayaran adalah fungsi biasa sahaja dan tidaklah hebat. Yang menarik ialah kad ini boleh digunakan untuk membeli belah menerusi Internet dan juga didaftarkan di Paypal dan digunakan untuk mengeluarkan wang yang terkumpul dalam akaun Paypal ke akaun bank anda. Fungsi yang baru ditawarkan ini amat berharga bagi peniaga yang menjual beli menerusi Internet menggunakan kemudahan Paypal.

Cara mengaktifkan:

1. Layari laman maybank2u.com.my.
2. Klik Utilities
3. Klik pada Maybankard Secure Online Shopping Registration
4. Taip Nombor Kad dan maklumat lain.
5. Kemudian Save dan Activate.
6. Selepas itu anda perlu mendaftar kad ini di www.paypal.com
7. Pergi ke "Withdrawal"
8. Pilih "Withdraw funds to your card"
9. Daftar kad dan isikan maklumat lain yang dikehendaki

Yuran pengeluaran $5 akan dikenakan bagi setiap pengeluaran. Pastikan anda keluarkan jumlah besar sekaligus untuk mengurangkan kos dari segi peratus.

Anda tidak perlu bimbang tentang mata ganjaran kerana perbelanjaan menggunakan Kad Debit Maybank Visa ini juga diberikan mata ganjaran, sama seperti perbelanjaan kad kredit. Justeru anda tidak rugi apa-apa untuk memindahkan perbelanjaan anda daripada kad kredit kepada kad debit.

Secara peribadi, saya makin kerap menggunakan kad ini dalam urus niaga harian kerana saya dapat menentukan nilai sebenar wang dalam akaun selepas berbelanja. Jika kita gunakan kad kredit, kita mungkin rasa kita ada banyak wang dalam akaun, sedangkan perbelanjaan telah dibuat menggunakan kad kredit.

Pada pandangan saya, kad debit ini amat sesuai digunakan untuk membina disiplin kewangan selain melaksanakan urus niaga Internet dengan selamat.

Ahad, 2009 Oktober 25

Bajet 2010 - Manfaat Untuk Kita

Satu dua hadiah untuk rakyat biasa

Bajet 2010 memang ditunggu-tunggu oleh ramai kerana merupakan Belanjawan pertama yang benar-benar dirangka sepenuhnya oleh Perdana Menteri baru kita. Belanjawan ini juga penting kerana bunga pemulihan baru hendak berputik dan perlu diuruskan dengan betul.

Bagi rakyat biasa macam kita, mungkin langkah-langkah makro tidak begitu diendahkan, walaupun ia amat penting untuk ekonomi. Sebaliknya lebih penting bagi individu ialah bagaimana belanjawan ini membawa manfaat kepada mereka. Berikut adalah senarai ringkas manfaat dan juga kos tambahan yang dikenakan.

1. Kadar cukai tertinggi dikurangkan daripada 27% kepada 26%, penduduk Iskandar dikenakan cukai tertinggi 15% sahaja. (Hanya memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi dan penduduk kawasan Iskandar)

2. Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada 8,000 kepada 9.000, manakala pelepasan caruman KWSP ditambah daripada 6,000 kepada 7,000 Ini memanfaatkan semua orang yang dalam julat membayar cukai dan meletakkan sedikit wang dalam poket individu, bergantung kepada berapa kadar cukai mereka.

3. Pelepasan cukai RM500 bagi yuran Broadband yang pasti membuatkan rakan bloggers dan kaki Internet tersenyum sedikit.

4. Skim bagi pencarum KWSP menggunakan wang mereka untuk mendapatkan pembiayaan lebih tinggi bagi kediaman mereka....butirannya masih belum jelas.

5. Penerbitan sukuk 1Malaysia pada kadar pulangan 5%. Satu lagi pelaburan risiko rendah bagi rakyat Malaysia.

6. Skim persaraan bagi mereka yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Dengar khabar kerajaan akan memberikan caruman sepadan sehingga RM60 atau 5%, yang mana lebih rendah....tetapi perlu disahkan.

Kos Tambahan

Sementara itu, ada juga kos tambahan bagi pemegang kad kredit dan pemilik kediaman:

1. Pemegang kad kredit dan caj utama dikenakan cukai perkhidmatan RM50 dan kad tambahan RM25. Jadi siapa yang pegang banyak kad kredit fikir-fikirkanlah.

2. Cukai Keuntungan Hartanah sebanyak 30% bagi jualan dalam 2 tahun, 20% bagi 3 tahun, 15% bagi 4 tahun dan 5% bagi 5 tahun dan ke atas. Pelepasan sekali seumur hidup diberikan.

Umumnya ada beberapa manfaat langsung yang dinikmati oleh individu, selain daripada langkah kerajaan mengenakan caj ke atas kad kredit, yang mungkin menggalakkan orang ramai untuk bertukar kepada kad debit. Bagi saya ini memang bagus. Cuma cukai keuntungan hartanah tu mungkin perit sikit bagi sesetengah pihak (termasuk saya).

Walau apa pun, lebih penting lagi ialah langkah-langkah makro untuk menstabil dan mengembangkan ekonomi, yang secara tidak langsung membawa manfaat kepada kita. Saya rasa rata-rata belanjawan kali ini baik untuk rakyat dan kurang baik bagi industri hartanah dan bank.

Khamis, 2009 Oktober 22

Isu 'Keislaman' Perbankan Islam Dikupas

Prof. Dr Mohd Nazari Ismail - Perbankan Islam
Penuhi Keperluan Ummah


Semalam saya ada membaca artikel oleh Prof. Dr Mohd Nazari Ismail dari UM mengenai 'keislaman' konsep perbankan Islam dalam sisipan StarBiz (20 Oktober, 2009).

Beliau membincangkan isu di mana sesetengah pihak mengkritik perbankan Islam sebagai mencerminkanbank konvensional, sedangkan kontrak perbankan Islam dipertahankan pula oleh cendekiawan Islam yang menganggapnya halal, walaupun ia mirip pinjaman yang diberikan oleh bank konvensional. Ini kerana akad dan kontrak yang halal tidak boleh dianggap haram, semata-mata kerana cirinya mirip perbankan konvensyenal.

Menurut Dr Nazari, kontrak perbankan Islam seperti Musharakah, Al Bai Bithaman Ajil, Al Istisna dna Ijarah ternyata halal dan kontrak seperti ini dirangka oleh pakar Fiqh dan kewangan Islam yang alim.

Pada pandangan beliau, kedua-dua pihak tidak sepatutnya bertelagah antara satu sama lain, sebaliknya mereka patut memberi tumpuan kepada kelemahan perbankan riba konvensyenal dan cara-cara untuk menghapuskan penggunaan sistem berasaskan riba sepenuhnya.

Perbankan Islam memenuhi keperluan ummah bagi pembiayaan. Hakikatnya ialah ia memainkan peranan untuk membantu membiayai aktiviti perniagaan dan juga pembelian aset masyarakat.

Saya sendiri amat bersetuju dengan pandangan ini. Memang tidak dinafikan bahawa Perbankan Islam ada kelemahan, kadangkala dari segi produk yang lebih mahal atau dari segi keraguan mengenai kontrak yang digunakan. Namun begitu ia merupakan alternatif yang sahih. Dalam apa jua proses dan inovasi, mesti ada kelemahan di peringkat awal.

Perkara yang paling penting ialah terus memperbaiki kelemahan dan memastikan kontrak lebih mirip kepada konsep pembiayaan sebenar dan dalam hal ini, saya dapati kemajuan ini memang mula berlaku. Perbankan Islam sekarang bukan seperti perbankan Islam 10 tahun lalu. Ia lebih baik dari segi kontrak dan juga lebih bermanfaat kepada pengguna. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya rasa penambahbaikan akan terus dibuat untuk menjadikannya benar-benar mantap.

Matlamat kita ialah mengelakkan perbankan berasaskan riba, sambil memenuhi keperluan pembiayaan individu dan masyarakat. Pada pendapat saya, perbankan Islam berpotensi untuk melakukan kedua-duanya, walaupun ia masih belum sempurna sekarang.

Sabtu, 2009 Oktober 17

Unjuran Ekonomi Malaysia oleh MIER

Unjuran KDNK dinaikkan daripada -4.2% kepada -3.3%
Kadar pengangguran turun daripada 4.0% kepada 3.6%

Beberapa hari lepas, MIER telah mengubah unjuran yang dibuat tentang KDNK Malaysia daripada -4.2% kepada -3.3% bagi tahun 2009. Peningkatan ini memang dijangkakan berasaskan tahap keuntungan syarikat yang dilihat rata-rata semakin pulih.

Satu lagi faktor yang mengesahkan pemulihan ialah kadar penganguran yang menyusut daripada 4% kepada 3.6%. Ini merupakan petanda lanjut bahawa suasana perniagaan semakin stabil.

Data dan perangkaan di atas diperkukuhkan lagi menerusi soal selidik yang dilakukan oleh MIER yang menunjukkan bahawa sentimen pengguna kini sudah mula positif. Sentimen pengguna penting kerana sentimen positif mendorong perbelanjaan pengguna, yang seterusnya membawa manfaat kepada perniagaan dan ekonomi.

Bagi tahun 2010, MIER meramalkan bahawa KDNK negara akan meningkat 3.7% pada tahun depan. Angka ini masih agak rendah kerana pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka tidak begitu pesat.

Sebenarnya pergerakan pasaran saham dan tahap keuntungan suku tahunan syarikat pada suku kedua tahun ini sudah sememangnya merupakan petanda awal pemulihan. Justeru, Malaysia dijangka keluar secara rasmi daripada kemelesetan pada suku keempat tahun ini.

Pada pandangan saya ramalan MIER untuk tahun ini memang tepat sekali. Tetapi unjuran pertumbuhan tahun depat adalah agak konservatif dan pertumbuhan sebenar mungkin lebih tinggi, dengan perkembangan paling pesat dicatatkan pada suku pertama dan kedua 2010.

Diharapkan pembaca dan pelabur dapat mengambil kira segala unjuran dan tinjauan ini dalam keputusan pelaburan saham dan unit amanah yang mereka buat.

Rabu, 2009 Oktober 14

Pelaburan Indeks atau Index Investing

Pelaburan pasif untuk manfaatkan kenaikan indeks

Setiap hari anda melihat berita yang melaporkan tentang kenaikan atau penurunan indeks pasaran saham. Anda tahu bahawa indeks pasaran ini terdiri daripada beberapa saham tertentu, yang dipilih untuk mewakili pasaran secara umumnya.

Tetapi bolehkah anda melabur dalam indeks itu sendiri? Sebenarnya anda boleh berbuat demikian menerusi unit amanah indeks pasif atau menerusi ETF, tetapi hanya indeks tertentu yang ada ditawarkan di Malaysia sahaja. Di Amerika terdapat pelabagai dana pasif atau ETF untuk menjejak segala jenis indeks tetapi di Malaysia hanya ada dua setakat ini.

Di Malaysia, jika anda mahu 'membeli' indeks komposit Kuala Lumpur, anda boleh melabur dalam dana OSK-UOB KLCI Tracker. Matlamat dana ini, bukan untuk mengatasi indeks atau mencatatkan pulangan tertentu, tetapi objektifnya ialah semata-mata untuk menjejak indeks, dan terpulang kepada pelabur untuk membeli dan menjual dana ini pada masa yang sesuai.

KLCI Tracker boleh dibeli menerusi Internet di Fundsupermart.com atau melalui saluran pengedaran OSK-UOB pada yuran hanya 1% untuk membeli dan 1% untuk menjual. Ternyata kos dana ini lebih murah daripada dana lain.

Bagi pelaburan patuh syariah, kaedah pelaburan indeks ini hanya boleh dilakukan menerusi ETF yang bernama MYETF DOWN JONES ISLAMIC MARKET MALAYSIA TITANS 25 atau MyETF-DJIM25. ETF ini terdiri daripada 25 syarikat patuh syariah terkemuka di Malaysia termasuk Sime, IOICorp, Telekom, Gamuda, KLK dan MISC.

Diharapkan syarikat pengurus unit amanah akan mempertimbangkan untuk menawarkan dana indeks syariah Bursa Malaysia pasif kepada pelabur, kerana yang ada sekarang hanyalah dana indeks aktif.

Pelabur perlu sedar bahawa bukan semua dana indeks ialah dana pasif. Ada lebih banyak dana indeks yang diuruskan secara aktif, kononnya untuk mengatasi prestasi indeks tetapi umumnya prestasi dana-dana ini tidak setanding OSK-UOB KLCI Tracker. Jika dana mengenakan yuran jualan 5 - 7%, maka dana itu bukan dana indeks pasif.

Sementara itu bagi mereka yang baru menceburi bidang pelaburan, perbezaan antara dana indeks unit amanah dan ETF ialah unit amanah perlu dibeli daripada syarikat pengurus dana, manakala ETF dibeli di pasaran saham dengan kos urus niaga yang lebih rendah.

Mengapa melabur dalam indeks? Sebabnya ialah banyak kajian akademik dilakukan menunjukkan bahawa kebanyakan pengurus dana gagal mengatasi prestasi indeks penanda aras, selepas mengambil kira kos pelaburan.

Menyedari hakikat ini, John Boggle telah mempelopori index investing di Amerika menerusi Vanguard Funds. Prestasi dananya mengatasi banyak dana unit amanah yang diuruskan secara aktif. Di Malaysia, berasaskan pemerhatian saya OSK UOB-KLCI Tracker sentiasa berada di antara 10 dana terbaik (di kalangan semua dana ekuiti) apabila kita membuat perbandingan pulangan bagi tempoh 5 tahun.

Pelaburan Indeks ialah satu alternatif baik bagi pelabur yang mahu mengambil kesempatan daripada pulangan pasaran saham, tetapi tidak tahu dana mana yang dipilih atau tidak yakin pengurus dana dapat mengatasi prestasi pasaran.

Ahad, 2009 Oktober 11

Pelaburan Saham: Kesilapan Pasti Berlaku

Mereka yang tiada kesilapan tidak raih untung lumayan

Apabila melabur dalam saham, ada kalanya kita akan rugi. Ini lumrah pelaburan. Pelabur umumnya melabur berasaskan maklumat yang tidak lengkap (imperfect information) dan dalam keadaan yang tidak begitu pasti (uncertainty).

Kesilapan pasti berlaku. Semua orang boleh silap. Ramai pakar ekonomi terkemuka tersilap dan tidak menjangka krisis sub prima menjadi begitu serius tahun lepas di Amerika, termasuklah pakar ekonomi tersohor, Paul Krugman.

Ramai pakar pelaburan pun tidak menyangka pasaran saham akan jatuh begitu teruk dalam tempoh yang sama, termasuklah Ken Fisher, seorang pemilik syarikat pengurus dana yang sangat terkemuka di Amerika yang juga mempunyai ruangan tetap dalam majalah Forbes.

Warren Buffet juga silap. Beliau membeli kepentingan dalam sebuah syarikat minyak di kemuncak kenaikan harga minyak. Malangnya harga minyak jatuh selepas itu, menyebabkan saham syarikat yang dibeli juga jatuh teruk.

Di Malaysia beberapa syarikat juga tersilap percaturan. Maybank telah membeli sebuah bank di Indonesia sebelum kesan krisis ekonomi dirasai sepenuhnya. Ramai yang kata keputusan yang dibuat tidak boleh dimaafkan, termasuk beberapa ahli politik, tetapi bagi saya itu adalah kesilapan yang dibuat dengan niat baik, dan jika pelaburan tersebut diuruskan dengan bijak dalam tempoh yang mendatang, potensinya masih boleh diraih.

Semua kesilapan ini dibuat kerana pelabur mengambil risiko. Mungkin dalam suasana yang lebih positif, pelaburan tersebut boleh mendatangkan keuntungan. Saya pasti pihak yang membuat silap ini akan belajar dari kesilapan. Malah keputusan betul yang mereka buat jauh melebihi kesilapan. Mereka ini, sama ada individu atau syarikat, masih merupakan peneraju bidang masing-masing, walaupun mereka membuat kesilapan besar

Begitulah juga kita sebagai pelabur. Kita tidak harus takut kepada kesilapan. Kesilapan ialah peluang untuk belajar dan mempertajamkan kemahiran. Jika kita tidak mahu silap, simpan sahaja semua wang dalam bank. Tapi ini bermakna anda melepaskan pelbagai peluang yang ada untuk melabur, menggerakkan ekonomi, mengusahakan perniagaan atau apa jua aktiviti yang membawa nilai tambah, demi meraih keuntungan.

Jadikan kesilapan sebagai pengajaran. Jangan kata teknik pelaburan salah, broker salah, penganalisis salah dan sebagainya. Kadangkala kita yang salah, manakala dalam situasi lain, tidak ada siapa yang salah, cuma keadaan tidak memihak kepada kita. Pada pendapat saya, kita harus "take the loss, learn the lesson and move on".

Rabu, 2009 Oktober 07

Perkembangan Terkini: Mamee Double Decker

Harga saham akhirnya naik seiring keuntungan

Pada 8 Mac 2009, saya ada menulis tentang syarikat Mamee Double Decker yang terus mencatatkan prestasi yang baik walaupun dalam keadaan ekonomi meleset. (Klik sini untuk membaca posting tersebut).

Pada tahun kewangan berakhir 2008, Mamee telah meningkatkan pendapatan sesaham daripada 21.10 sen pada tahun 2007 kepada 29.77 sen pada 2008. Pada separuh pertama 2009 pula, Mamee telah meraih keuntungan 25 sen sesaham dan saya jangkakan pendapatan seluruh tahun ialah sekurang-kurangnya 45 sen sesaham.

Semasa saya membuat posting terdahulu, saham Mamee diperdagangkan pada harga RM1.90. Pada waktu itu, saya rasa ramai penganalisis dan pelabur masih belum melihat potensi keuntungan syarikat ini. Namun pada hari ini harganya telah naik ke RM3.10.

Persoalannya ialah pada harga sekarang, adakah saham ini masih boleh dibeli? Atau patutkah kita menjual selepas kenaikan besar ini? Untuk meneliti lebih lanjut cuba kita tinjau harga sahamnya.

Dipetik daripada Bursa Station

Jika kita lihat harga saham, dari segi teknikal seolah-olah saham sudah naik terlalu tinggi dan mungkin perlu berehat seketika. Kita juga dapat memerhatikan bahawa harganya telah naik menjauhi garis purata bergerak.

Namun dari segi fundamental atau kaedah penilaian asas, jika syarikat mampu mencatat keuntungan sekurang-kurangnya 45 sen sesaham pada tahun kewangan 2009, maka bagi saya saham ini masih kelihatan undervalued.

Justeru terpulang kepada pelabur untuk menilai hala tuju pergerakan dalam jangka pendek dan jangka panjang. Tetapi bagi saya sendiri yang memegang saham ini, saya mungkin hanya mempertimbangkan untuk menjual jika prestasi keuntungan tidak sebaik yang dijangka atau jika saham telah mencecah harga lebih RM4.00.

Risiko bagi saham ini ialah harga bahan komoditi yang diperlukan sebagai input bagi produk keluarannya. Umpamanya jika harga minyak sawit naik terlalu tinggi, ia boleh menjejaskan prestasi keuntungan syarikat. Tetapi jika tiada kenaikan luar biasa berlaku, saya yakin Mamee boleh terus mencatatkan tahap keuntungan yang baik.

Ahad, 2009 Oktober 04

Isi Semula Dakwat Mesin Cetak

Umumnya tiada masalah dan menjimatkan kos

Hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang satu komponen kecil kos perniagaan atau kos peribadi, iaitu kos dakwat mesin cetak. Kita dapati bahawa kos mesin cetak adalah agak rendah tetapi kos dakwatnya, sama ada toner atau cartridge adalah mahal dan ini satu isu yang harus dipertimbangkan terutamanya oleh perniagaan kecil atau soho (small office home office)

Satu cara menjimatkan kos ialah untuk melaksankan urusan perniagaan secara paperless, iaitu menyimpan semua salinan secara elektronik. Namun begitu, kita sudah tahu bahawa bahawa untuk urusan tertentu, cetakan kertas masih diperlukan, terutamanya dokumentasi akaun, invois dan sebagainya.

Satu cara yang tidak digalakkan oleh pengeluar mesin cetak ialah mengisi semula dakwat yang sudah habis dan umumnya kaedah ini menjimatkan lebih separuh daripada kos. Kita sedar bahawa toner pencetak laser asal ada yang berharga lebih RM200 manakala cartridge original lebih lebih kurang RM50 ke atas.

Pada mulanya saya was-was menggunakan kaedah refill ini, kerana takut mesin cetak rosak, tetapi selepas mencuba beberapa kali pada mesin cetak yang lama yang sudah luput tempoh jaminannya, saya dapati tiada masalah.

Anda boleh cuba dua cara bagi mesin cetak inkjet, satu isi semula sendiri, atau kedua hantar ke pusat perkhidmatan yang boleh melakukannya untuk anda dalam tempoh 15 minit. Bagi laser toner pula, anda boleh bawa toner lama anda dan menukarkan dengan yang baru. Satu lagi cara ialah membeli terus di kedai yang menjual cartridge tiruan atau sudah diisi semula (kosnya lebih mahal sedikit daripada dua cara di atas).

Pada pendapat saya untuk memastikan anda tidak membatalkan syarat jaminan, anda patut menggunakan kaedah isian semula ini hanya selepas tempoh jaminan tamat.

Walau apa pun, kaedah isian semula dakwat ini nyata lebih mesra alam selain menjimatkan kos perniagaan. Setakat yang saya tahu, mesin cetak yang saya gunakan akan rosak juga, walaupun saya menggunakan dakwat original, jadi faktor inilah yang mendorong saya mencuba cara alternatif yang menjimatkan kos, dan setakat ini saya dapati tiada masalah.