26 Ogos, 2013

Takaful Berkaitan Pelaburan - Adakah Skim Ini Sesuai Untuk Anda?

Pulangan amat bergantung kepada prestasi pelaburan pengurus dana
Pelaburan harus disimpan untuk jangka panjang kerana struktur kosnya

Takaful berkaitan pelaburan kini semakin popular di pasaran Malaysia. Pada asasnya, skim ini menggabungkan dua faktor, iaitu perlindungan dan juga pelaburan menerusi dana yang ditawarkan oleh syarikat takaful.

Lazimnya kebanyakan syarikat menawarkan takaful berkaitan pelaburan bagi melindungi hayat & kehilangan upaya dan juga pendidikan anak.  Selain itu, pelbagai rider tambahan boleh dilampirkan bersama, dengan membayar sumbangan (premium) tambahan.

Sementara itu, bagi takaful berkaitan pelaburan hayat & kehilangan upaya, biasanya terdapat dua pilihan yang ditawarkan, iaitu kaedah sumbangan tunggal (iaitu jumlah besar sekali gus) atau menerusi sumbangan berkala.

Skim ini amat sesuai bagi mereka yang mahukan perlindungan hayat dan kehilangan upaya, sama ada untuk menampung keperluan keluarga, atau menampung kos pendidikan anak, sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku kepada anda.

Jika berlaku sesuatu yang tidak diduga, anda akan mendapat nilai perlindungan dan juga jumlah pelaburan yang telah dibuat dalam dana pelaburan. Jika tiada apa-apa yang berlaku sehingga tempoh matang, pelabur boleh mendapatkan kembali pelaburannya bersama pulangan yang diterima.

Secara peribadi, saya berpendapat adalah lebih baik mengasingkan ciri perlindungan dan pelaburan.  Ini bermakna mendapatkan perlindungan daripada syarikat takaful dan membuat pelaburan dengan melabur sendiri dalam unit amanah.

Tetapi masalahnya  di Malaysia ialah tidak banyak syarikat yang menawarkan perlindungan hayat atau kehilangan upaya semata-mata, tanpa menggabungkan unsur pelaburan. Selain itu, kaedah melabur sendiri juga memerlukan disiplin yang amat tinggi. Justeru, takaful berkaitan pelaburan menjadi pilihan praktikal bagi ramai orang.

Apabila mendapatkan perlindungan takaful berkaitan pelaburan, beberapa faktor penting berikut perlu dipertimbangkan.

Yuran

Yuran wakalah akan dikenakan lazimnya untuk tempoh 6 tahun pertama, pada kadar yang beransur-ansur berkurangan. Biasanya pada tahun pertama 60% daripada sumbangan akan digunakan untuk membayar yuran dan hanya 40% yang diperuntukkan kepada pelaburan.

Jumlah yuran akan berkurangan setiap tahun, manakala jumlah yang diperuntukkan kepada pelaburan akan meningkat setiap tahun. Ini bermakna adalah tidak berbaloi untuk mengambil skim ini untuk jangka pendek. Manfaat paling besar diterima jika pelaburan dipegang sehingga matang.

Selain itu, caj takaful akan dikenakan di mana unit pelaburan anda dibatalkan untuk menampung perlindungan Takaful yang diberikan.  Caj bergantung kepada usia dan keadaan kesihatan peserta. Yuran pentadbiran Sijil  sebanyak RM5 sebulan turut dikenakan.

Dana

Selalunya terdapat tiga jenis dana yang ditawarkan, iaitu dana ekuiti, dana seimbang dan dana pendapatan tetap. Dana ekuiti mempunyai profil pulangan-risiko paling tinggi manakala dana pendapatan tetap mempunyai profil pulangan-risiko paling rendah.

Dana ini adalah mirip dana unit amanah biasa. Bagi dana pendapatan tetap, yuran pengurusan 1% dikenakan manakala bagi dana ekuiti  dan dana seimbang, yuran yang dikanakan ialah 1.5%. Yuran ini ditolak terus daripada nilai aset bersih dana  dan bukannya daripada unit pelaburan anda.

Selain daripada meneliti perlindungan yang diberikan, prestasi pengurus dana perlu dinilai. Minta ejen takaful anda memberikan carta prestasi dana atau dapatkannya daripada laman web syarikat takaful. Prestasi dana juga perlu dipantau dari masa ke masa selepas menyertai skim untuk meninjau hasil pelaburan anda. 

Risiko 

Risiko bagi dana ekuiti adalah paling tinggi, dan tidak ada jaminan yang anda boleh meraih jumlah yang lebih tinggi daripada nilai yang anda laburkan.  Sebagai contoh, jika anda melabur dalam skim pelaburan tunggal apabila pasaran saham di kemuncak dan pasaran jatuh teruk selepas itu, anda mungkin memerlukan masa yang lama hanya untuk pulang modal.

Satu lagi masalah ialah jika pengurus dana yang dipilih oleh syarikat takaful kurang baik, sukar bagi pelabur untuk keluar daripada pelaburan tanpa mengalami kerugian kerana struktur kos yang tinggi pada peringkat awal.  Jika pelabur mengambil takaful daripada syarikat lain, kos awal ini perlu ditanggung sekali lagi.

Pelabur hanya boleh mengharapkan syarikat takaful untuk menukar pengurus dana kepada pengurus yang lebih baik jika prestasi kurang memuaskan.

Kesimpulan

Kita dapat lihat bahawa terdapat banyak kos yang dikenakan untuk mendapatkan pelan perlindungan seperti ini, tetapi kos tersebut beransur-ansur berkurangan lebih lama anda memegang pelaburan. Di samping itu, sesetengah syarikat menawarkan bonus tertentu apabila pelaburan disimpan untuk tempoh yang lama.

Secara peribadi, pilihan pertama saya ialah untuk tidak menggabungkan ciri perlindungan dan pelaburan, iaitu dapatkan perlindungan sahaja dan melabur sendiri wang  pelaburan.

Tetapi memandangkan tidak pasti sama ada terdapat syarikat yang menawarkan perlindungan semata-mata, saya lebih suka memilih sumbangan berkala dan bukannya sumbangan tunggal, untuk mengelakkan masalah timing pelaburan.  Selain itu, saya juga akan memilih dana ekuiti.

Kaedah pelaburan berkala sebenarnya lebih kurang sama dengan kaedah dollar cost averaging unit amanah, tetapi, digabungkan dengan perlindungan takaful.

Akhir sekali, perkara paling penting yang menentukan pulangan ialah prestasi pengurus dana.  Bandingkan prestasi dengan penanda aras dan juga berbanding dana lain yang sepertinya.

Nota: Bagi mereka yang terlibat dalam industri, maklumkan saya jika ada sebarang kesilapan fakta. Saya membuat penilaian ini dari perspektif neutral.

19 Ogos, 2013

Beli Saham atau Unit Amanah Saham?

Menentukan pelaburan mana yang lebih sesuai untuk anda

Dengan kenaikan pasaran saham baru-baru ini, saya dapati ramai orang yang mula menunjukkan minat terhadap saham. Begitu juga unit amanah yang melabur dalam saham atau  dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai equity fund.

Persoalannya mana satukah yang lebih sesuai untuk anda?  Anda boleh menjawab persoalan ini dengan menilai beberapa faktor berikut.

Pengurusan Wang

Apabila melabur terus dalam pasaran saham, anda perlu membuka akaun dagangan dan depositori pusat (CDS) dengan syarikat broker. Selepas itu, anda menguruskan jual beli saham sendiri. Proses pemilihan dan jual beli saham dikawal sepenuhnya oleh anda.

Untuk melabur dalam unit amanah, anda boleh beli menerusi ejen atau melalui Internet dan perlu membuat dua pilihan. Pertama syarikat unit amanah dan kedua dana khusus yang ingin dilaburkan. Segala urusan pentadbiran dana dan jual beli pelaburan akan diuruskan oleh pengurus dana. 

Kos Pelaburan

Kos pelaburan adalah satu lagi faktor penting, kerana dengan menyerahkan wang kepada pengurus dana, anda akan membayar kos lebih tinggi. Apabila membeli unit amanah, terutamanya menerusi kaedah biasa, pelabur dikenakan caj jualan sekali kira-kira 2% – 5.5% daripada harga belian.

Kos ini berbeza-beza mengikut jenis dana dan kaedah pembelian. Paling murah ialah dengan membeli unit amanah menerusi Internet pada kadar 2% sahaja. Selain itu, yuran pengurusan bersamaan kira-kira 1.5% dikenakan setiap tahun.

Bagi saham pula, kos paling tinggi untuk urus niaga saham (iaitu membeli saham dan menjualnya kembali) adalah 1.5% jika melalui broker biasa. Kosnya lebih rendah daripada 1% jika anda beli menerusi akaun Internet T+3, dan lebih rendah lagi jika membeli dengan akaun tunai menerusi Internet.

Tempoh Pelaburan

Pelaburan saham boleh dibuat untuk jangka pendek dan juga jangka panjang kerana kos urus niaganya lebih rendah. Tetapi bagi unit amanah, pelaburan lazimnya tidak sesuai dibuat untuk jangka pendek kerana kos jualan tinggi yang dikenakan. Jika kita selalu menjual beli unit amanah, akhirnya kita akan rugi kerana terpaksa membayar kos jualan berulang kali.

Mempelbagaikan Pelaburan

Jika melabur sendiri dalam saham, anda perlu mempelbagaikan saham anda sendiri. Jika anda hanya ada RM10,000 untuk dilaburkan, paling banyak pun anda boleh beli dua atau tiga saham berlainan secara kos efektif. 

Menerusi unit amanah, anda mempelbagaikan pelaburan dengan serta-merta kerana portfolio pelaburan unit amanah merangkumi banyak saham atau sukuk. Salah satu daripada kelebihan unit amanah ialah pelabur dapat mempelbagaikan pelaburan walaupun dengan melabur hanya RM1,000.

Minat Membuat Penilaian

Sanggupkah anda buat sedikit penyelidikan untuk menilai saham? Jika anda berminat untuk menyelidik prestasi syarikat, meninjau pergerakan harga, menentukan prospek masa depan, mengkaji keadaan ekonomi dan pasaran, pelaburan saham sesuai untuk anda.

Bagi mereka yang langsung tiada asas dalam bidang perakaunan dan tidak mahu meluangkan masa untuk belajar tentang saham, pelaburan paling baik ialah unit amanah kerana anda akan dipimpin dalam proses pembelian dan wang anda diuruskan oleh pengurus profesional. 

Risiko

Apabila melabur dalam saham, pelabur menghadapi risiko yang dikaitkan dengan saham individu termasuk syarikat mengalami kerugian, muflis, berlaku penipuan dalam akaun syarikat atau kemerosotan industri syarikat, di samping risiko umum seperti keadaan ekonomi dan pasaran saham.

Sementara itu bagi unit amanah, selain daripada risiko umum seperti keadaan ekonomi dan pasaran, risiko lain termasuk risiko kegagalan syarikat unit amanah, risiko penipuan, dan juga risiko kelemahan prestasi pengurus dana. 

Kesimpulan

Pilihan sama ada melabur dalam saham atau unit amanah bergantung kepada faktor masa, minat dan kos. Jika anda ada masa dan berminat untuk membuat analisis saham dan mahukan kos pelaburan lebih rendah, pelaburan saham amat sesuai untuk anda. Tetapi jika anda tiada masa dan kurang berminat tentang pelaburan, beli unit amanah untuk mendapatkan khidmat pengurus wang profesional.

12 Ogos, 2013

CSC Steel Antara Syarikat Keluli Yang Kukuh

Prestasi untung tertekan kerana pelbagai faktor tetapi kedudukan tunai dan aset masih mantap dan operasi syarikat dikendalikan dengan baik

Industri kelulli telah mencatatkan prestasi yang kurang memuaskan pada tahun 2011 dan 2012 kerana pelbagai faktor termasuk harga bahan mentah yang tinggi, persaingan sengit di pasaran eksport dan juga lambakan produk dari China.

Namun begitu CSC Steel masih berjaya mencatatkan untung walaupun ia jatuh dengan ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Syarikat ini berada dalam industri bersifat kitaran atau cyclical di mana untungnya turun naik berasaskan bekalan dan permintaan dan keadaan ekonomi dan pasaran.

CSC Steel yang dulu dikenali sebagai Ornasteel ialah syarikat pengeluar keluli leper dengan empat jenis produk keluli. Maklumat mengenai produknya boleh didapati di laman web syarikat.

Walaupun menghadapi keadaan operasi yang sangat mencabar, syarikat masih mencatatkan keuntungan sehingga kini. Berikut adalah prestasi syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas.

Laman web CSC Steel

Kita dapat lihat penurunan ketara dalam pendapatan sesaham pada 2011 dan 2012, dan begitu juga dividen yang dibayar.

Berikut adalah prestasi sahamnya dalam tempoh 5 tahun lepas:

Bursa Malaysia
 
Industri keluli bukanlah berada dalam keadaan yang baik dan CSC Steel pula bukannya sebuah syarikat dengan potensi pertumbuhan luar biasa. Cuma, harganya sekarang berbanding kedudukan aset kelihatan undervalued.
 
Nilai aset ketara bersih sesaham semasa syarikat ialah RM2.08 berbanding harganya yang berada di sekitar RM1.30 sejak kebelakangan ini. Keputusan separuh tahunan juga lebih baik berbanding tahun lepas, iaitu pada 6.73 sen sesaham, sudah hampir mencapai  pendapatan sesaham untuk seluruh tahun pada tahun kewangan lepas. 
 
Pulangan dividen atau dividen yield pada harga semasa ialah lebih daripada 5%, iaitu kadar yang boleh dianggap memuaskan.
 
Kedudukan tunai syarikat adalah agak kukuh dan syarikat tidak mempunyai pinjaman jangka panjang. Pendek kata walaupun prospek untung tidak begitu baik, syarikat diuruskan dengan amat mantap dari segi tunai dan aset.
 
Kenaikan harga pada masa depan amat bergantung kepada prestasi syarikat untuk tempoh selanjutnya pada tahun ini. Selain itu, pelabur juga perlu memberi perhatian teliti kepada perkembangan terkini dan persaingan yang berlaku dalam industri keluli, yang pasti mempengaruhi prestasi syarikat.


05 Ogos, 2013

Bagaimana Jika Pendapatan atau Perniagaan Anda Tidak Boleh Diskala?

Usah terlalu memikirkan tentang gandaan wang tetapi pertimbangkan nilai yang anda hasilkan kepada ekonomi dan masyarakat

Saya ada membaca buku dan artikel oleh pakar perniagaan, sama ada tempatan atau luar negara, tentang ciri bisnes yang baik, dan satu faktor penting yang selalu ditekankan ialah perniagaan tersebut seharusnya boleh direplikasi atau diskala.

Ini bermakna jika sudah buka satu kedai, formula yang sama boleh digunakan untuk membuka kedai lain yang sama di tempat lain sehingga banyak kedai boleh dibuka.  Atau jika anda membuka kilang, pasarannya boleh dikembangkan dan operasi boleh diperbesarkan dengan meningkatkan kapasiti kilang.

Maksudnya ialah perniagaan anda seharusnya berasaskan sistem, mesin atau kemahiran yang boleh direplikasi atau diajar dengan mudah kepada orang lain supaya potensi perkembangannya tidak terhad.

Sebenarnya itulah ciri perniagaan yang terbaik bagi mereka mahu mencapai kejayaan besar dalam bidang perniagaan.  Formula perniagaan berasaskan sistem yang boleh direplikasi ini ada disebutkan dalam buku terkenal mengenai perniagaan kecil bertajuk The E-Myth Revisited oleh Michael Gerber.

Tetapi bukan semua orang berminat menceburi bidang perniagaan. Ramai yang lebih selesa menjadi kakitangan. Manakala ramai juga yang melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan kemahiran seperti doktor, peguam, penulis dan sebagainya.  Ada sesetengah yang lain pula lebih selesa menjalankan perniagaan kecil dan mahu kekal kecil, tanpa cita-cita menjadi besar.

Bagi saya ini tidak menjadi masalah. Anda juga tidak perlu menceburi bidang perniagaan yang boleh diskala untuk hidup selesa.  Malah sesetengah profession lebih besar nilainya kepada masyarakat, seperti guru, pensyarah dan anggota keselamatan berbanding dengan ganjaran yang diterima.

Dunia masa kini agak materialistik di mana status lazimnya diberikan kepada orang yang berharta, tidak kira cara harta tersebut dikumpulkan, iaitu dengan cara yang menghasilkan nilai ekonomi / masyarakat atau tidak.

Anda seharusnya selesa dengan kedudukan anda jika pekerjaan anda membawa nilai kepada masyarakat dan anda berminat dengan kerjaya tersebut. Cuba naik ke pangkat setinggi yang mungkin dalam kerjaya atau jika anda menguruskan perniagaan kecil atau perniagaan berasaskan kemahiran, cuba maksimumkan keuntungan anda dengan menguruskan perniagaan dengan baik.

Kemudian tabung dan labur wang ini dengan bijak dan konservatif untuk memastikan anda mencapai kebebasan kewangan sebelum anda bersara. Di sinilah kunci kepada kejayaan anda untuk membina harta yang sederhana. Ini bukan jalan di mana kekayaan terbesar dicapai tetapi bukan semua orang perlu, mahu atau boleh mendapatkan kekayaan besar.

Menurut Ken Fisher dalam bukunya The Ten Roads to Riches, ramai orang menjadi jutawan dengan bekerja, menabung dan melabur walaupun mereka bukan daripada golongan yang terkaya.

Status di mata saya ialah nilai kepada ekonomi, nilai kepada masyarakat dan ilmu di dada.  Seorang usahawan tersohor yang mencipta banyak peluang pekerjaan menghasilkan nilai. Guru yang mendidik usahawan tersebut juga bernilai. Begitu juga ibu yang membesarkan usahawan tersebut yang hanya menjadi suri rumah.

Saya lebih bimbang jika pekerjaan yang dilakukan mempunyai ganjaran besar tetapi wang tersebut diperolehi 'di atas angin', atau 'diperolehi 'dari tangan orang lain', atau dengan menghasilkan produk yang memudaratkan awam, bukannya dengan menjana nilai ekonomi sebenar.

Ada tempat untuk semua orang di dunia, sama ada usahawan terbilang atau pekerja, baik peniaga kecil mahupun orang yang menjual khidmat atau kepakaran mereka.  Perkara paling penting ialah nilai yang anda hasilkan kepada masyarakat dan memaksimumkan potensi diri dan juga potensi pendapatan untuk hidup selesa.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin jika ada tersilap tulis di dalam blog ini. Semoga Allah menerima amalan kita dalam bulan Ramadan dan kita terus membuat pelaburan yang paling penting, iaitu pelaburan akhirat, selain daripada pelaburan di dunia.