30 Disember, 2015

8 Cara Tingkatkan Produktiviti oleh Walt Hampton

Walt Hampton ialah penulis buku The Power Principles of Time Mastery dan Journeys on the Edge: Living a Life That Matters. Beliau ialah seorang pembimbing perniagaan di bawah organisasi kendalian Michael Port, penulis buku bestseller Book Yourself Solid.



Baru-baru ini Walt Hampton telah menulis satu artikel bermanfaat yang menerangkan cara-cara untuk meningkatkan tahap produktiviti anda. Saya menterjemah dan mengulas 8 daripada cadangan beliau. Artikel penuh boleh dibaca di sini: Ten Productivity Hacks for the New Year.

1. Peruntukkan blok masa tertentu untuk bekerja. Menurutnya kita tidak mampu bekerja sepanjang masa. Kita perlu meluangkan masa untuk bekerja secara berkesan dan tidak terganggu antara 60 dan 90 minit setiap kali sebelum kita berehat untuk tempoh 10 hingga 15 minit. Pada pendapatn saya cadangan ini bernas kerana saya sendiri pun hanya sempat bekerja 20 - 30 minit secara terus-menerus kerana sering ada gangguan.

2. Tutup penggera mesej telefon. Anda tidak perlu melayan setiap mesej atau komen yang datang katanya. Tiada kecemasan yang berlaku jika anda tidak menjawab dengan serta-merta. Lagipun bila ada kecemasan orang selalunya akan menelefon dan bukannya menghantar mesej.

3. Jangan cuba melakukan lebih daripada satu kerja sekali (multi-task). Hasil kajian mendapati jika anda asyik melakukan dua tiga perkara sekaligus, anda akan hilang tumpuan, mengurangkan produktiviti dan meningkatkan tekanan. Saya sendiri pun selalu melakukan kesilapan ini.

4. Jadualkan masa media sosial anda. Media sosial sememangnya penting untuk perniagaan tertentu tetapi kadang kala kita menggunakannya secara berlebihan dan tidak berkaitan dengan perniagaan. Luangkan blok masa tertentu untuk mengendalikan media sosial. Secara peribadi memang apa yang beliau kata betul kerana memang sukar untuk mengelak daripada melihat newsfeed di FB dengan kerap.

5. Sekali sekala matikan telefon bimbit anda (atau sekurang-kurangnya matikan fungsi wifi atau data). Ramai orang yang memeriksa telefon bimbit mereka berpuluh atau lebih seratus kali sehari (termasuk saya). Sekali-sekala matikan telefon bimbit (atau tutup sambungan Internet) untuk membebaskan diri dari belenggu teknologi dan cuba lakukan aktiviti lain yang bermanfaat.

6. Jangan bekerja terlalu kuat. Kajian mendapati mereka yang bekerja lebih 55 jam menghadapi risiko 33% lebih tinggi mengalami strok dan 13% lebih tinggi mengalami sakit jantung. Malah ada kajian yang menunjukkan sesiapa yang bekerja lebih daripada 70 jam tidak membuat lebih kerja berbanding mereka yang bekerja 55 jam seminggu. Tumpuan kita semakin rendah selepas bekerja lebih 55 jam.

7. Bersenam. Menurutnya, selain daripada manfaat kesihatan, senaman juga membolehkan seseorang meningkatkan tumpuan beliau semasa bekerja. Saya tiada masalah melakukan cadangan ini tetapi saya tahu ramai yang liat untuk bersenam.

8. Tidur yang mencukupi. Kemalangan dan kesilapan besar pernah berlaku akibat orang yang tidak cukup tidur. Ramai orang menganggap kerja banyak dan kurang tidur menjadikan anda lebih produktif, tetapi sebenarnya tidak. Kekurangan tidur akan menjejaskan fokus.

Nota: Anda boleh mengunjungi laman FB Michael Port untuk pelbagai tips perniagaan dan cara untuk bercakap dengan yakin di khalayak ramai.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

21 Disember, 2015

Meninjau Dan Menantikan Tanda Kestabilan II

Tiga bulan lepas saya menulis artikel (klik untuk baca) mengenai lima faktor yang boleh ditinjau oleh pelabur untuk melihat sama ada ekonomi dunia dan suasana pelaburan sudah mula stabil.

Lima faktor tersebut ialah kadar faedah Amerika Syarikat, harga minyak, kadar tukaran mata wang Malaysia, situasi politik Malaysia dan keadaan ekonomi China.

Kita kaji kembali situasi semasa untuk melihat perkembangan terkini.

1.  Kadar faedah Amerika Syarikat
Pada minggu lepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk memulakan fasa kenaikan kadar faedah. Perkara positif tentang pengumuman ini ialah ketidakpastian tentang dasar Fed kini telah berakhir.

Tetapi perkara negatifnya ialah era wang mudah di peringkat global sudah berakhir dan sebelum pemulihan berlaku kita mungkin melihat tempoh pelarasan di mana ekonomi dan pasaran modal dunia akan mengalami kesan negatif untuk tempoh tertentu.

2.  Harga minyak dunia
Harga minyak telah jatuh lagi dan kini berada di paras terendah sejak krisis subprima. Biasanya apabila kejatuhan berlaku, ia disebabkan oleh salah satu faktor, iaitu peningkatan bekalan atau kurangnya permintaan.


Tetapi dalam kes sekarang pertambahan bekalan berlaku dalam dunia di mana permintaan semakin berkurangan. Kesannya ialah kejatuhan ketara yang dilihat dalam graf. Perkara positif tentang harga rendah ialah pengguna di seluruh dunia akan membayar kos yang lebih rendah dan menggunakan lebih banyak minyak.

Selain itu pada harga yang sangat rendah ini, ramai pengeluar akan menghadapi masalah dan jika berterusan, bekalan akan terjejas untuk memulihkan kembali harga minyak. Walau apa dalam jangka pendek hingga sederhana, mereka yang terlibat dalam industri ini akan mengalami kesannya.

3.  Kadar tukaran Malaysia


Walaupun belum lagi pulih,  mata wang USD-RM kini turun naik berpaksikan paras RM4.30 - 1 USD. Terdapat kemungkinan jatuh lagi jika situasi harga minyak bertambah buruk.

Seperti harga minyak, mungkin ketidakstabilan akan wujud dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Kenaikan kadar faedah AS tidak membantu tetapi sekurang-kurangnya kita sudah tahu hala tuju dasar Fed. Diharapkan keadaan akan stabil dan mula pulih pada separuh kedua 2016.

4.  Situasi politik Malaysia
Nampaknya keadaan politik di Malaysia boleh dilihat dari dua sudut. Pertama ialah pemimpin tertinggi telah mengukuhkan kedudukannya dan tidak nampak akan berundur. Satu faktor positif bagi operasi perniagaan ialah kestabilan dan konsistensi dasar .

Perkara negatif ialah ramai orang tidak suka dasar yang dilaksanakan dan mempersoalkan integriti kepimpinan dan ramai individu yang mengalami kesempitan hidup buat masa ini dan tak puas hati dengan kenaikan harga yang berlaku. Ini akan mungkin mempunyai kesan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Tetapi memandangkan situasi pakatan pembangkang yang juga agak kucar-kacir, kita perlu menerima realiti bahawa bukan sahaja kita perlu menunggu dua tahun tetapi mungkin lebih dari itu kerana tiada jaminan perubahan yang dinanti-nantikan boleh berlaku semasa pilihan raya.

5.  Keadaan ekonomi China
Keadaan ekonomi China tidak buruk tetapi memang kurang baik. Pertumbuhan pada 2016 dijangka lebih rendah daripada sebelum ini tetapi ini sebahagian daripada proses normalisasi selepas tempoh pertumbuhan pantas sekian lama.

Baca artikel ini untuk maklumat lanjut tentang perkembangan terkini ekonomi China: china-economic-growth-falls-below-7-for-first-time-since-2009 daripada Wall Street Journal.


Walau apa pun, sekurang-kurangnya untuk tahun 2016, kita tidak boleh mengharapkan China untuk memacu pertumbuhan global seperti sebelum ini.

Kesimpulan

Pada pendapat saya, kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan terhadap ekonomi global buat sementara waktu dan pasaran saham dan ekonomi sedunia mungkin mengambil masa 3 - 6 bulan untuk menyesuaikan diri kepada realiti berakhirnya wang mudah.

Sementara itu harga minyak juga akan terjejas buat tempoh yang tidak boleh dikatakan pendek lagi tetapi membawa manfaat kepada beberapa sektor lain yang menjadi penggunanya. Ini bermakna kegawatan akan dialami sektor tertentu dan pertumbuhan dialami sektor lain.

Pendek kata tanda kestabilan berasaskan lima faktor di atas belum dilihat lagi dan saya akan tinjau situasi sekali lagi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Kemungkinan tiada kegawatan serius akan berlaku tetapi apa yang wujud ialah situasi mendatar buat beberapa lama di mana pertumbuhan sukar dicapai dan pulangan perlu dihasilkan daripada kegiatan ekonomi sebenar, bukannya daripada ekonomi kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

14 Disember, 2015

Waspada Bila Beli Hartanah Dengan Pinjaman 100%

Saya telah melabur dalam hartanah pertama saya pada 1998. Sebahagian besar daripada nilai aset saya juga dalam bentuk hartanah. Ini tidak menjadikan saya pakar hartanah tetapi saya tahu serba sedikit tentangnya.

Saya juga suka mengikuti perkembangan positif sekarang di mana ramai pakar hartanah yang muncul dan juga ilmu hartanah kini banyak boleh didapati dalam Bahasa Melayu, tidak seperti dulu.

Saya ada beberapa buku mengenai hartanah karya penulis tempatan dalam koleksi saya, hanya untuk mengikuti perkembangan terkini dan menyokong penulis tempatan dan mempelajari ilmu baru, seperti membeli rumah lelong.

Tetapi satu perkara yang menarik perhatian saya kebelakangan ini ialah fenomena beli hartanah pelaburan dengan pinjaman 100% atau  lebih daripada 100% yang nampaknya semakin popular.

Saya tahu betapa hebatnya kuasa leverage dan memang pernah mengambil kesempatan untuk meraih untung lumayan (walaupun agak jauh dari tahap 100% kerana saya pelabur konservatif).

Memang benar jika kita guna Other People's Money (OPM) 100%, kita berpotensi mencatatkan pulangan atas pelaburan (ROI) infiniti kerana modal kita sifar.

Tetapi tanggapan bahawa duit lebih daripada mark-up loan ialah duit percuma atau hartanah dibeli secara percuma kerana ambil pinjaman 100% adalah tidak begitu tepat kerana pinjaman tersebut perlu dibayar balik dan ada kosnya.

Jangan lupa kes 1MDB yang membeli pelbagai aset dengan hutang. Nilai asetnya lebih tinggi daripada hutang tetapi disebabkan cashflow yang negatif, ia menghadapi masalah membayar balik hutang dan terpaksa melupuskan aset pada harga yang lebih rendah daripada harga beli.

Dalam kes pelaburan hartanah, jika kedudukan aliran tunai kita tidak kukuh, ada potensi kita jatuh muflis jika situasi pasaran hartanah tidak begitu positif.

Sememangnya jika anda melabur pada bila-bila antara tahun 1998 hinggalah 2013, maka hartanah anda sudah pasti meningkat nilainya, dan kemungkinan besar anda tersenyum lebar dengan pulangan yang anda terima.


Tetapi apabila melabur dengan tahap hutang yang tinggi, pastikan anda membuat analisis senario. Kita hendaklah maklum tentang krisis subprima yang berlaku di AS. Mungkin ia tidak akan berlaku di Malaysia, tetapi separuh daripada krisis subprima berpotensi menggugat ramai pelabur yang mempunyai paras leverage tinggi.

Anda perlu menilai beberapa faktor berikut terhadap cashflow anda:
  1. Apakah kesannya jika kadar pembiayaan naik?
  2. Bagaimana jika satu atau dua hartanah anda tiada penyewa untuk beberapa bulan?
  3. Bagaimana jika anda mempunyai penyewa degil yang enggan bayar dan enggan keluar?
  4. Apakah kesannya sesuatu black swan event seperti krisis subprima? Cuba kaji pengalaman mereka yang terlibat yang menggunakan OPM tanpa sebarang ekuiti sendiri di AS.
  5. Apa yang berlaku jika kadar sewa mendatar dan harga rumah juga mendatar untuk tempoh beberapa tahun akan datang?
  6. Bagaimana jika harga yang anda beli, yang anda sangka below market value sebenarnya memang merupakan market value untuk hartanah tersebut?
Memang tidak dinafikan bahawa dengan timing yang tepat, harga di bawah pasaran dan pengurusan penyewa yang betul, pembelian dengan loan 100% atau lebih akan memberikan keuntungan lumayan dan ROI infiniti.

Senjata leverage amat efektif jika digunakan dengan tepat tetapi leverage ialah senjata yang boleh memakan Tuan dalam keadaan atau masa tertentu.

Pastikan anda membuat analisis senario dan mampu menghadapi situasi negatif di atas walaupun kita rasa tidak akan berlaku. Sekiranya mengalami kemuflisan atau masalah kewangan besar, bertahun-tahun mungkin diperlukan untuk keluar daripadanya.

Seperti kata orang putih: Defence is the best offence.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

08 Disember, 2015

Ebook Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan

Harga: RM30.00
Halaman: 100 muka surat
Format: PDF untuk semua peranti
(Tiada perisian khas diperlukan)
Beli Ebook

Ebook ini boleh digunakan sebagai buku pertama untuk dibaca bagi mereka yang baru mula membina aset dan berusaha mencapai kebebasan kewangan.

Kita sedia maklum bahawa sekarang ini ada banyak pilihan pelaburan. Malah banyak kelas pelaburan dalam pelbagai aset kini ditawarkan di Facebook dan menerusi Internet.

Ebook ini memberikan pandangan tentang pelaburan dalam setiap aset dari perspektif neutral dan dengan berpijak di bumi nyata dan bukannya berasaskan 'hype' kerana sudah tentulah mereka yang mempromosikan atau menjual pelaburan tertentu lebih cenderung untuk menonjolkan keuntungan sahaja tetapi bukan kerugian yang dialami pelabur.

Ebook ini juga menerangkan tentang mengapa anda perlu mengumpulkan aset dan bagaimana aset yang menjana pendapatan boleh akhirnya membawa kepada kebebasan kewangan kepada anda, iaitu apabila anda boleh hidup dengan meraih pendapatan daripada aset tersebut sahaja, tanpa mengurangkan nilainya.

Walaupun bukan semua orang boleh menjadi kaya, tetapi semua orang boleh membina masa depan yang lebih cerah. Matlamatnya ialah meningkatkan nilai aset bersih anda tahun demi tahun, sehingga aset itu sendiri dapat menampung sara hidup anda, tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan semata-mata. 

Klik untuk Beli Ebook

Berikut adalah muka surat kandungan dan mukadimah buku:

*




Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

05 Disember, 2015

Hasil atau Jualan Tidak Sama Dengan Untung

Berasaskan pemerhatian di FB dan juga pergerakan harga di Bursa Malaysia, ada sesetengah pihak dan juga pelabur mungkin menyamakan Hasil (Revenue) atau Sales (Jualan) dengan untung.

Hasil yang tinggi sahaja menunjukkan bahawa sesebuah perniagaan mampu mencatatkan jualan dan ini merupakan satu perkembangan positif tetapi perkara seterusnya perlu dinilai ialah berapakah untung yang diperolehi daripada jualan tersebut kerana inilah ukuran sebenar perniagaan.

Sering kali kita dengar sesuatu syarikat menang bida atau kontrak dan kemudian kita lihat harga sahamnya naik pada hari pengumuman tersebut. Kemenangan kontrak adalah sesuatu yang positif tetapi apa yang dijamin hanyalah peningkatan hasil. Belum tentu sesuatu syarikat boleh meraih untung daripada kontrak tersebut kerana terdapat kemungkinan:
  1. Bida yang dikemukakan terlalu rendah
  2. Syarikat mengalami masalah menyempurnakan kontrak
  3. Berlaku pertikaian dalam pelaksanaan
  4. Kos pelaksanaan lebih tinggi daripada yang dijangka
  5. Kerja pembaikan atau rectification menyebabkan kerugian dialami daripada kontrak
Perkara paling penting ialah melihat rekod masa lepas syarikat dan keupayaannya untuk melaksanakan kontrak atau projek tersebut dengan menguntungkan dan meraih margin untung yang memuaskan.

Jualan dan hasil sememangnya penting dalam penilaian syarikat. Peningkatan jualan adalah satu faktor yang dinilai apabila mengukur pertumbuhan syarikat. Namun begitu, jualan yang meningkat tanpa peningkatan untung dalam jangka masa sederhana akan menimbulkan tanda tanya.

Kadangkala sesebuah syarikat juga berusaha meningkatkan jualan dan merampas bahagian pasaran dengan melakukan promosi besar-besaran. Ini bermakna mereka berusaha meningkatkan jualan dengan mengorbankan untung jangka pendek.

Bagaimanapun, taktik ini kadang kala menjadi dan kadangkala tidak. Pastikan anda menilai dengan teliti perkembangan syarikat sebelum melihat sama ada peningkatan jualan itu dapat disokong oleh peningkatan untung yang dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Dalam bidang perniagaan kecil pula, kadang-kadang di FB saya ada orang mengemukakan cerita tentang betapa lumayan menceburi bidang perniagaan, dengan memberikan angka hasil yang dicatatkan dalam sehari.

Perlu diingat ini hanya hasil dan bukannya untung. Mereka belum mengambil kira segala kos yang terlibat dan untung bersih mungkin jauh lebih rendah daripada nilai hasil yang diberikan.

Sebagai ulang kaji, untuk meraih untung bersih:

Jualan - Kos Jualan = Untung Kasar
Untung Kasar - Semua Kos Lain = Untung Bersih

(Ini pengiraan paling asas sahaja, perniagaan yang berlainan mungkin pengiraannya sedikit berbeza mengikut ciri perniagaan tersebut.)

Untung bersih menjadi ukuran paling penting dalam menilai keupayaan sesuatu perniagaan sama ada bisnes kecil atau syarikat tersenarai. Walaupun hasil atau jualan itu penting, ia perlu diiringi dengan keupayaan menjana untung.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

04 Disember, 2015

Pembelian Buku Menerusi Pos Dibuka Semula

Untuk makluman pembaca, saya telah membuka semula pembelian buku-buku saya secara online menerusi blog ini untuk memudahkan anda mendapatkan buku tersebut.

Hujung tahun lepas saya membatalkan perkhidmatan ini kerana kami mendapati agak sukar berurusan di kaunter Pos Malaysia berdekatan.

Namun kami telah menemui penyelesaiannya dengan memanggil Poslaju untuk ambil dari tempat kami. Cuma bezanya kami tidak dapat menawarkan lagi pos percuma.

Semua pesanan buku fizikal akan dikenakan kos tambahan RM10. Tetapi kosnya tetap iaitu RM10 untuk satu buku, dua buku atau ketiga-tiga buku yang dijual, iaitu Panduan Bijak Melabur, Panduan Pelaburan Unit Amanah dan Petua Pelabur Tersohor.

Anda boleh klik Borang Pesanan untuk menghantar pesanan dan seterusnya membuat bayaran ke akaun yang dinyatakan.

Sementara itu, ebook kedua dalam Siri Risalah Labur Niaga, iaitu Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan akan diterbitkan minggu depan (Insyaallah). Kami akan umumkan di FB dan di blog ini sejurus selepas ebook ini telah siap.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.