29 Julai, 2016

Pendapatan Sesaham Sebagai Ukuran Penilaian

Jika syarikat A mencatatkan untung RM10 juta dan syarikat B meraih untung RM20 juta, adakah syarikat B mencatatkan prestasi lebih baik bagi pemegang sahamnya?

Tidak semestinya, kerana sebagai pelabur anda perlu melihat untung bagi pegangan saham anda dan bukan untung bagi seluruh syarikat.

Jadi untuk memberikan gambaran lebih jelas, anda perlu melihat pendapatan sesaham atau earnings per share (EPS).  Senang sahaja pengiraannya, jumlah untung bahagi jumlah saham syarikat.

Andaikan syarikat A mempunyai modal saham 100 juta saham sedangkan syarikat B mempunyai modal saham 300 juta saham.

EPS Syarikat A ialah RM10 juta /RM100 = 10 sen
EPS Syarikat B ialah RM20 juta/RM300 = 6.7 sen

Berasaskan pengiraan ini, didapati Syarikat A memberikan pendapatan lebih tinggi bagi setiap saham pemegang sahamnya berbanding syarikat B.

Sebab itulah EPS amat penting dalam pengiraan dan penilaian saham. Menerusi EPS, kita boleh membandingkan prestasi syarikat tidak kira saiz dan modal sahamnya.

Di samping itu, kita juga boleh menilai prestasi syarikat berbanding tahun-tahun sebelumnya walaupun jika modal saham syarikat berubah.

Akhir sekali menerusi EPS kita boleh membandingkan sama ada harga saham yang diperdagangkan berpatutan atau tidak menerusi nisbah harga pendapatan (P/E Ratio).

EPS tidak perlu dikira sendiri kerana sudah dilaporkan kepada pemegang saham dalam laporan suku tahunan dan laporan tahunan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

25 Julai, 2016

Mengapa Agihan/Dividen Unit Amanah Tak Begitu Relevan?

Ada seorang pembaca hairan dan bertanya bagaimana dana beliau memberikan Income Distribution (Agihan Pendapatan) 9% sedangkan portfolionya masih mencatatkan kerugian? Mengapa agihan tersebut tidak seperti ASB?

Sebenarnya agihan tersebut tidak memberikan sebarang untung tambahan kepada pelabur dan bukan seperti ASB.  

Katakan sebelum agihan harga unit ialah RM1.09. Selepas agihan sembilan sen, harga unit akan jatuh kembali kepada RM1.00. 

Agihan yang diterima biasanya dilaburkan semula untuk mendapatkan unit tambahan. Unit bertambah tetapi harga unit berkurangan. 

So net effect atau kesan bersihnya hampir sama sahaja sama ada ada agihan atau tiada agihan. 

Bagi ASB, harganya tetap, sebarang agihan tidak mengurangkan nilai unit. Tetapi nilai unit ASB juga tidak boleh naik seperti kenaikan dana unit amanah.

Persoalannya, bagaimana dana unit amanah boleh buat agihan pendapatan sedangkan anda rugi?

Apabila unit amanah mencatatkan untung pelaburan, nilainya serta-merta dipaparkan dalam kenaikan nilai aset bersih (NAV) seunit. 

Mungkin semasa anda membeli unit amanah, NAV sudah pun naik sedangkan selepas anda beli nilai aset bersihnya tidak naik lagi atau turun sedikit.

Secara keseluruhan pada tahun tersebut, dana unit amanah tersebut untung, tetapi anda pula rugi sedikit kerana membeli pada harga yang tinggi.

Sebab itulah mereka boleh buat agihan keuntungan tetapi anda masih rugi.  Bagaimanapun untuk tahun seterusnya jika anda terus pegang, masalah perbezaan ini tidak berlaku lagi.  

Prestasi untuk tahun seterusnya bagi anda adalah sama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh unit amanah untuk tahun tersebut.

Secara kesimpulannya, pembayaran agihan tidak akan memberikan apa-apa habuan tambahan seperti dalam ASB.  Keuntungan sebenar diperolehi daripada kenaikan NAV dana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

19 Julai, 2016

Berapa Lama Bank Negara Kekalkan Kadar?

Selepas menulis artikel mengenai penurunan kadar OPR beberapa hari lepas, ada pembaca bertanya berapa lama Bank Negara (BNM) akan mengekalkan kadar ini?

Jawapannya ialah bergantung kepada kepada keadaan. Jika ekonomi didapati semakin meruncing, BNM mungkin menurunkan lagi kadar.

Jika tidak ia akan mengekalkan kadar selagi ia sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Sekiranya ekonomi pulih dan perkembangan mula berlaku, pada masa itu BNM akan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar.

Berikut adalah carta kadar faedah Malaysia dari 2004 - 2016

www.tradingeconomics.com/malaysia/interest-rate

Keputusan menurunkan atau menaikkan kadar dan berapa lama sesuatu kadar dikekalkan adalah terpulang semata-mata atas budi bicara BNM.

Secara ringkasnya, apabila ekonomi mengalami masalah atau kegawatan, langkah yang sering diambil ialah menurunkan kadar untuk merangsang ekonomi.

Manakala apabila ekonomi mula pulih dan perniagaan dan orang ramai mula mendapatkan pinjaman dengan lebih mudah, BNM lebih cenderung untuk menaikkan kadar.

Pendek kata kadar OPR digunakan sebagai kaedah mengimbangi ekonomi yang sedang gawat dan ekonomi yang sedang hangat.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

15 Julai, 2016

BNM Umumkan Penurunan Kadar

Baru-baru ini BNM telah mengumumkan penurunan kadar dasar (OPR) mereka sebanyak 0.25 mata asas daripada 3.25% kepada 3.00%.

Ini memberikan kesan terhadap segmen masyarakat yang luas, sebahagian besarnya positif.

Dengan menurunkan OPR, bank tempatan akan didorong mengikut jejak langkah ini dan menurunkan kadar dasar masing-masing.

Jika anda ada pinjaman perumahan, pengumuman ini membawa manfaat kepada anda. Kemungkinan besar bank akan mengurangkan ansuran anda tidak lama lagi.

Jika ansuran tidak dikurangkan, jumlah lebih besar bayaran akan digunakan untuk mengurangkan nilai pokok hutang berbanding menjelaskan kos hutang.

Siapa yang mungkin mendapat manfaat:
1. Individu yang mempunyai pinjaman berasaskan kadar bank.
2. Syarikat yang mempunyai pinjaman berasaskan kadar bank.
3. Syarikat hartanah

Siapa yang mungkin mengalami kesan negatif
1. Para penabung yang menyimpan wang mereka dalam bank

Lazimnya tujuan BNM mengurangkan OPR ialah untuk merangsang ekonomi dalam keadaan semasa yang agak kurang positif. Matlamatnya ialah untuk mengimbangi suasana perniagaan global yang agak hambar.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

11 Julai, 2016

Antara Kerugian Kertas dan Sebenar

Don't do anything. Just stand there. (Duduk diam-diam. Jangan buat apa-apa)   

Itu pesanan dua pelabur pasif tersohor, John Bogle dan Burton Malkiel yang saya paparkan dalam posting saya pada 29 Jun lepas, selepas Brexit.
 
Sehari semasa keputusan Brexit diumumkan, ramai yang panas. Satu kejutan telah berlaku dan banyak headline yang memaparkan kerugian bertrilion USD di pasaran modal global.

Ramai juga yang mengutuk pihak yang menyebabkan Brexit kerana menyebabkan kerugian ini.

Tetapi lebih seminggu selepas itu, kejutan tersebut telah berlalu dan secara tidak diduga juga pasaran kembali ke tahap asal (malah ada yang naik lebih tinggi lagi).

Tiada pula headline yang mengatakan bertrilion telah telah diraih kembali. Tiada siapa yang bising-bising.

Jadi siapa sebenarnya yang rugi. Orang yang membuat keputusan untuk jual dalam panik. Kerugian kertas direalisasikan menjadi kerugian sebenar.

Sudah banyak kali saya paparkan dalam blog bahawa pergerakan pasaran jangka pendek adalah hampir mustahul diramalkan. Malah pergerakan pasaran jangka sederhana dan panjang pun sukar.

Kalau anda ada hartanah pelaburan, adakah anda jual disebabkan sesuatu kejadian seperti Brexit? Bagaimana pula jika anda mempunyai saham dalam syarikat Sdn Bhd?

Masalah dengan pelaburan saham dan unit amanah ialah kesenangan menjual beli menyebabkan kita hilang fokus dan membuat keputusan berasaskan keadaan semasa.

Kita rasa kita boleh untung lebih jika kita bertindak secara aktif. Tetapi langkah ini mungkin bukan yang paling bijak.

Saya ulangi lagi nasihat mereka: Duduk diam-diam. Jangan buat apa-apa.

(Nota: Hanya buat sesuatu jika terdapat perubahan penting yang menjejaskan prestasi berkaitan syarikat atau instrumen pelaburan khusus anda)

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

05 Julai, 2016

Hari Raya dan Harapan

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin diucapkan kepada para pembaca sekalian. Tahun ini sememangnya agak sukar bagi sesetengah segmen masyarakat,

Antaranya termasuk perniagaan kecil, pekerja industri minyak dan gas dan industri berkaitan, pelabur saham dan unit amanah, mereka yang baru mendapat ijazah dan juga para pengguna umumnya.

Walau apa pun, jangan terlalu pesimistik. Saya pernah melalui pengalaman menamatkan pengajian tinggi dalam suasana gawat tahun 1998.

Kemelesetan waktu itu adalah antara yang paling teruk. Tetapi akhirnya satu demi satu rakan seangkatan mula mendapat kerja atau membuka bisnes sendiri.

Mata wang mula stabil dan harga rumah yang jatuh teruk kembali meningkat dan beransur-ansur mencatatkan kenaikan luar biasa sehingga ke tahun 2015.

Pasaran saham juga akhirnya kembali kukuh dan mula menunjukan peningkatan.

Jika tiada kerja sekarang, inilah masa untuk reskill atau mendapatkan ilmu baru atau membuka perniagaan baru yang mana ada permintaan untuknya.

Jika portfolio pelaburan anda rugi, boleh tinjau semula dan lihat sama ada turun disebabkan kesilapan atau disebabkan ekonomi. Susun semula jika perlu.

Dalam keadaan semasa pengawasan tahap hutang amat penting. Hutang yang boleh digunakan sebagai leverage dalam ekonomi hangat boleh menjadi jerat yang menjatuhkan anda dalam keadaan gawat.

Situasi akan mengambil masa untuk pulih. Ini lumrah kitaran perniagaan dan ekonomi dunia.

Tetapi kita pula jangan berhenti berusaha. Sentiasa bersiap-sedia untuk mengambil kesempatan, sama ada peluang kerjaya, peluang pelaburan atau peluang perniagaan yang akan terbuka sekali lagi.

Semoga ibadah anda di bulan Ramadan diterima dan mendoakan anda murah rezeki dan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang anda usahakan.