29 September, 2010

Perkembangan Terkini: Bank Islam

Prestasi Bank Islam Agak Mendatar Pada Tahun Berakhir Jun 2010


Bank Islam, satu-satunya bank patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia, telah mencatatkan prestasi yang mendatar pada tahun kewangan semasa, walaupun sepanjang tahun lepas ekonomi mengalami pemulihan dan pasaran saham umumnya telah naik.

Pada tahun kewangan berakhir Jun 2010, Bank Islam mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) 12.74 sen berbanding pendapatan 12.69 sen pada tahun sebelumnya.  Aset ketara bersihnya (NTA) berada pada paras RM1.31 manakala dividen yang diisytiharkan ialah 1.5 sen.

Prestasi ini agak menghampakan memandangkan pada akhir tahun kewangan lepas, pihak pengurusan memberi petunjuk bahawa syarikat akan mencatatkan prestasi yang lebih baik untuk tempoh tiga tahun akan datang.  (Klik sini untuk posting mengenai Bank Islam tahun lepas).

Perkara yang membimbangkan ialah prestasi pada suku keempat tahun kewangan 2010 menunjukkan kemerosotan, iaitu, daripada 3.89 sen pada tahun kewangan sebelumnya kepada 2.11 pada tahun kewangan semasa.

Berikut adalah carta Bank Islam untuk tempoh 2 tahun lepas:


Dipetik daripada Bursa Station

Walaupun kita tidak boleh membuat perbandingan langsung, prestasi bank-bank lain agak kukuh dan semakin meningkat pada tempoh yang sama, jadi keputusan Bank Islam memang agak menghampakan walaupun keuntungannya lebih kurang sama.

Pada harga penutup RM1.24 hari ini, Bank Islam diperdagangkan pada nisbah harga pendapatan (P/E Ratio) lebih kurang 10, satu angka yang tidak tinggi dan tidak rendah.

Jika prestasi Bank Islam terus mendatar, potensi untuk menjadi saham pertumbuhan memang tiada. Jadi satu-satunya cara untuk mengambil kesempatan daripada sahamnya ialah menerusi dagangan untuk jangka masa lebih pendek.

Jika dilihat daripada graf, kita akan dapati harganya naik turun dengan paras dasar lebih kurang RM1.20 dan paras atas kira-kira RM1.30.  Justeru pelabur boleh ambil kesempatan daripada kedua-dua paras tersebut untuk menentukan bila untuk beli dan bila untuk jual.

Walau apa pun, seperti yang saya katakan berulang kali, gunakan stop-loss jika anda berdagang sebagai langkah untuk menghadkan kerugian jika berlaku kejatuhan ketara indeks pasaran.

26 September, 2010

Kenapa Saya Tak Ambil Pinjaman ASB?

Urus niaga wang atas wang yang diragui sumber dan pelaburannya

Saya pasti soal pinjaman ASB tidak asing bagi para pembaca. Isu-isu mengenai pinjaman ASB banyak dibicarakan di forum kewangan, sehingga hujah tentang manfaatnya sentiasa dipersoalkan.

Tetapi isu yang sering dibincangkan adalah sama ada ia akan memberi untung kepada pelabur. Sebenarnya persoalan yang ditimbulkan sedikit tersasar. Persoalan yang lebih penting ialah adakah ia patuh syariah?

Saya ingin menjelaskan bahawa pinjaman ASB ini berfungsi seperti berikut.  Pertama sekali anda pinjam wang daripada bank, dan kemudian anda laburkan dalam ASB. Setiap bulan anda bayar balik pinjaman, manakala ASB anda akan terus berkembang dengan dividen yang diterima setiap tahun.

Ini adalah satu bentuk arbitraj di mana anda pinjam wang pada kadar yang rendah, sedangkan mendapatkan dividen ASB pada kadar yang lebih tinggi. Pendek kata anda dapat untung 'atas angin'.

Ramai yang mempersoalkan sama ada anda akan meraih untung daripada pelaburan sebegini.  Jawapannya ialah ya, selagi kadar faedah atau untung pinjaman lebih rendah daripada pulangan ASB. Tiada keraguan dalam hal ini.  Malah kalau dalam masa singkat faedah naik lebih tinggi, ada sesetengah bank yang menetapkan had bahawa mereka tidak akan mengenakan faedah lebih tinggi daripada dividen ASB.

Tetapi isunya bukan sama ada boleh dapat untung atau tidak, tetapi adakah ia 'Islamic' atau tidak?  Pada pendapat saya ada beberapa kemusykilan besar:

1.  ASB itu sendiri ada peratusan besar pelaburan tak patuh syariah.
ASB mempunyai kepentingan besar dalam beberapa buah bank tempatan, jadi pada asanya ASB tidak patuh syariah tetapi disebabkan kepentingan umum, Majlis Fatwa telah memutuskan bahawa ASB adalah patuh syariah. Walaupun diragui, ini rasanya masih boleh diterima.

2. Kontrak pinjaman yang digunakan
Kalau guna pinjaman konvensional, memanglah riba namanya.  Tetapi jika guna pinjaman  Islam, pun diragui kerana kontrak yang digunakan ialah Al-Inah, di mana aset yang dijual beli ialah satu 'notional asset' (aset andaian) dan urus niaga membabitkan helah. Di Timur Tengah, kontrak Al-Inah tidak dibenarkan.

3. Urus niaga wang atas wang
Sebenarnya bagaimana anda meraih keuntungan daripada pinjaman ASB?  Adakah anda mengeluarkan apa-apa modal? Tidak. Adakah anda berusaha untuk mendapatkan untung? Tidak. Jadi adakah untung yang anda perolehi halal?  Hanya pakar kewangan Islam (yang benar-benar berpegang kepada prinsip) sahaja yang boleh menjawab. Urus niaga 'money on money' ini dari kaca mata saya nampak seperti satu bentuk riba, tapi ada banyak pendapat lain mengenai perkara ini.

Jadi keraguan yang timbul bukan satu tetapi dalam setiap aspek urus niaga, daripada pinjaman itu sendiri kepada pelaburan yang dibuat. Mungkin keraguan nombor satu itu boleh diterima tetapi yang nombor dua dan tiga adalah agak berat bagi saya.

Walau apa pun, ini satu pendapat sahaja. Terpulang kepada pembaca untuk menilainya.

22 September, 2010

Unit Amanah: Jangan Labur Wang Anda Sekaligus

Lebih baik bahagikan kepada jumlah kecil dan melabur setiap bulan

Mungkin ada di antara anda yang mempunyai wang tabungan di ASB atau Tabung Haji dan bercadang melabur dalam unit amanah ekuiti (unit amanah yang melabur dalam saham) dalam tempoh terdekat selepas diyakinkan oleh ejen unit amanah atau  kerana berpendapat unit amanah berpotensi memberikan anda pulangan lebih tinggi.

Sekiranya anda ingin berbuat demikian, saya amat mengesyorkan agar anda tidak melaburkan semua wang anda secara sekaligus terutamanya dalam keadaan pasaran semasa yang tinggi, kerana hala pergerakan pasaran seterusnya adalah tidak pasti..


Dipetik daripada Bursa Station

Sebagai contoh jika anda ada RM60,000 untuk dilaburkan, anda boleh bahagikan kepada dua belas bulan (60,000/12 = 5000) dan melabur sebanyak RM5,000 setiap bulan. Kaedah ini adalah lebih selamat untuk memastikan anda tidak rugi besar jika pasaran jatuh. Tetapi kalau pasaran naik, anda  tetap boleh meraih untung.

Jika anda mahu melabur satu jumlah besar sekaligus, masa terbaik ialah di tengah-tengah kegawatan, apabila pasaran berada di tahap terendah.  Namun begitu, pada waktu itu pun sukar untuk membuat ramalan, jadi dalam sebarang keadaan, kaedah memecahkan pelaburan kepada jumlah yang lebih kecil adalah langkah yang bijak.

Ramai di antara kita yang sibuk dengan tugas masing-masing dan tidak ada masa untuk memantau pasaran dan juga prestasi syarikat di pasaran saham. Sebab itulah kita melabur dalam unit amanah, iaitu dengan menyerahkan wang kita kepada pengurus profesional.

Tetapi kita perlu sedar bahawa 'bila' kita melabur membawa perbezaan besar.  Seperti yang dilihat dalam carta, jika anda melabur pada pertengahan 2008, sehingga sekarang anda mungkin hanya pulang modal sahaja, walaupun anda melabur dalam dana yang terbaik.

Sebaliknya jika anda melabur pada pertengahan 2009, anda sekarang sudah untung besar, walaupun dana  anda mencatatkan prestasi sederhana sahaja berbanding dana lain.

Ini kerana bagi unit amanah ekuiti, jika pasaran saham jatuh, sesuatu dana kemungkinan besar akan turut sama jatuh walau betapa hebat pengurus dana dan begitu jika pasaran naik, nilai dana juga akan naik.

Untuk mengelakkan pening kepala menentukan 'timing' terbaik, pecahkan pelaburan kepada jumlah lebih kecil dan melabur secara berkala dalam satu tempoh masa yang agak panjang (sekurang-kurangnya setahun).  Dengan cara ini anda, walaupun anda tidak akan mendapat untung tertinggi, sekurang-kurangnya anda dapat mengurangkan risiko anda.  

Nota:
Ceramah Panduan Pelaburan Unit Amanah
Tempat: MPH MidValley
Tarikh : Ahad, 26 September 2010
Masa : 3.00 - 4.00 petang
Ebook 100 rencana kompilasi blog percuma untuk hadirin.

19 September, 2010

Ceramah Pelaburan Unit Amanah

Memilih Unit Amanah Yang Sesuai Dengan Keperluan Anda

Saya akan menyampaikan 'book talk' bertajuk Memilih Unit Amanah Yang Sesuai Dengan Keperluan Anda seperti berikut:


Tempat: MPH MidValley
Tarikh : Ahad, 26 September 2010
Masa : 3.00 - 4.00 petang
Percuma: Ebook 100 rencana kompilasi untuk hadirin

Seperti biasa ceramah ini adalah percuma dan semua pembaca dijemput hadir. Pembentangan kali ini adalah dalam Bahasa Malaysia akan menyentuh topik-topik berikut:

1.  Mengapa Melabur?
2.  Jenis Dana
3.  Harga Dana
4.  Yuran Dana
5.  Pemilihan Dana
6.  Teknik Pembelian
7.  Masa untuk Membeli

Tumpuan akan diberikan kepada pemilihan dana termasuk menentukan toleransi risiko, objektif dan tempoh masa pelaburan anda, memilih jenis dana, membaca prospektus dan menilai syarikat dana, membandingkan prestasi dengan dana lain dan membandingkan prestasi dengan penanda aras.

Saya harap dapat berjumpa dan berkenalan dengan pembaca blog selepas sesi soal jawab..

16 September, 2010

Tumpu Pada Bajet atau Cuba Tambah Pendapatan?

Lebih berbaloi jika kita mengutamakan cara menambah pendapatan

Dalam perancangan kewangan, menyediakan belanjawan atau bajet adalah satu faktor penting. Walaupun begitu, saya berpendapat (pandangan peribadi) kita tidak harus memberi terlalu banyak tumpuan kepada penyediaan dan pematuhan kepada bajet.

Sekiranya anda sedang berhutang, usaha merangka bajet yang teliti dan mematuhinya memang menjadi satu keperluan, kerana dalam jangka pendek, pendapatan anda tetap dan tidak boleh ditambah dengan begitu mudah.



Namun begitu, jika kewangan anda tidak bermasalah dan matlamat anda ialah membina kekayaan, maka bajet anda tidak perlulah terlalu teliti sehingga perlu mencatat semua perbelanjaan anda dan membuat kira-kira setiap bulan.

Sebaliknya perkara paling penting ialah konsep "Pay Yourself First", iaitu keluarkan dulu wang untuk ditabung sebanyak 10% sejurus selepas mendapat gaji. Kalau boleh gunakan arahan tetap untuk melakukannya.

Lepas itu, kita peruntukkan wang bagi perbelanjaan lain sepanjang bulan.  Dengan kaedah ini, anda tidak perlu terlalu berdisiplin kerana simpanan dilakukan secara automatik.


Seterusnya, tumpuan utama harus diberikan kepada cara menambah pendapatan anda.  Pelbagai cara yang boleh dilakukan bergantung kepada sama ada anda makan gaji atau bekerja sendiri.  Antaranya termasuk:

Jika kerja sendiri
1.  Kerja lebih bijak atau keras supaya dapat naik pangkat.
2.  Bertukar syarikat atau kerjaya sekiranya tiada peluang untuk maju.
3.  Mempelajari ilmu baru atau menambah ilmu sedia ada.
4.  Berniaga secara sampingan atau menerusi Internet.
5.  Melaburkan sebahagian daripada wang.

Jika berniaga
6.  Menambahkan hasil pernigaan.
7.. Menambah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
8.  Membuka perniagaan baru yang lain.
9.  Menambahkan kedai atau cawangan.

Bajet yang baik akan membantu anda mengimbangi perbelanjaan dan pendapatan dalam jangka pendek, tetapi untuk membina kekayaan dalam jangka panjang, tidak ada cara lain kecuali anda menambahkan pendapatan, dan perkara inilah yang patut diberi lebih perhatian.

12 September, 2010

Soalan Mengenai Dividen Saham

Penjelasan mengenai ex-date dan entitlement date

Seorang pembaca mengemukakan soalan berasaskan data di bawah:

4405 TCHONG TAN CHONG MOTOR HOLDINGS BHD
Interim Dividend 12%
Entitlement Details:
Interim Dividend of 12% less income tax
Entitlement Type: Interim Dividend
Entitlement Date and Time: 08/09/2010 05:00 PM
EX Date: 06/09/2010
Payment Date: 28/09/2010 

Berikut adalah soalan dan jawapannya.

Apa bezanya ex-date dgn entitlement date?
Ex-date ialah hari apabila saham diperdagangkan tanpa dividen. Entitlement date ialah tarikh kelayakan terima dividen berasaskan nama dalam daftar pemegang saham. Ini kerana selepas beli, masa diperlukan untuk menukar nama dalam daftar. Bagi pelabur yang ingin mengetahui tentang kelayakan dividen, untuk memudahkan anda, tumpukan perhatian hanya kepada ex-date.

Kalau saya beli saham pada 06/09/2010 pada jam 12.00 tgh, adakah saya akan mendapat dividen?

Berasaskan apa yang saya tahu, selepas ex-date penjual yang dapat dividen, bukan pembeli.

Dan kalau saya jual pada 08/09/2010 4 p.m, adakah saya tidak akan mendapat dividen?
Kalau memang sudah ada saham sebelum 6/9 dan jual pada 8/9, anda akan tetap dapat dividen. Tapi kalau beli selepas 6/9 dan jual pada 8/9, memang tak dapat dividen, sebab anda beli selepas ex-date.

Berikut adalah cara mudah untuk tentukan kelayakan dividen. Beri tumpuan pada ex-date.
- Beli sebelum ex date dapat dividen.
- Beli selepas ex date tak dapat dividen.
- Jual sebelum ex date tak dapat dividen
- Jual selepas ex date dapat dividen

Pada asasnya, jangan bimbang sangat tentang perkara ini kerana kalau beli sebelum ex date, walaupun anda dapat dividen, harga belian lebih tinggi. Sebabnya ialah selepas sahaja ex-date, harga akan jatuh dengan jumlah yang lebih kurang sama (tetapi tidak semestinya sama, kerana ada faktor lain yang mempengaruhi harga saham) dengan nilai dividen yang diberi.

Pendek kata, beli sebelum ex-date ke selepas ex-date atau jual sebelum ex-date atau selepas ex-date, kesannya atau 'net effect' adalah lebih kurang sama.

Akhir sekali, payment date pula ialah tarikh bayaran sebenar dibuat kepada pemegang saham.

09 September, 2010

Situasi Pasaran Hartanah Malaysia

Semakin ramai yang khuatir tentang kenaikan harga ketara


Walaupun bukan pakar dalam bidang hartanah, saya turut memerhatikan perkembangan terkini pasaran hartanah kerana saya sendiri dan saya pasti ramai pembaca blog memiliki rumah atau hartanah sendiri. Malah mungkin ada yang mahu membeli rumah buat pertama kali tetapi mendapati harga telah naik melambung.


Berasaskan artikel di akhbar dan pandangan beberapa pihak yang terlibat dalam hartanah, pasaran tersebut dilihat semakin overvalued di mana hasil sewa atau rental yield semakin rendah kerana jurang besar antara harga hartanah dan juga sewa yang boleh diperolehi.

Antara yang pertama yang memberi amaran tentang pasaran hartanah ialah Azizi Ali, yang ada menulis beberapa buku tentang hartanah. Beliau telah menyuarakan kebimbangan beliau sejak beberapa bulan lepas.  Menurutnya ramai pelabur baru, terutamanya yang telah menyaksikan harga hartanah naik mendadak berfikir amat mudah untuk dapat untung menerusi hartanah.

Namun begitu situasi masa kini tidak nornal dan kenaikan harga ini adalah fenomena luar biasa kerana kadar faedah yang terlalu rendah yang telah dikekalkan oleh Bank Negara untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.  Banyak masalah akan timbul bagi pembeli dan bank jika pasaran hartanah terjejas, terutamanya kerana margin pinjaman tinggi yang dilihat sekarang ini.

Selain itu, baru-baru ini  Malaysian Insider dan juga The Star ada mengulas mengenai pasaran hartanah.  Artikel Malaysian Insider ada menyebut bahawa bagi hartanah mewah, hasil sewa atau rental yield sangat rendah. Selain itu, banyak hartanah mewah yang dilihat ditinggalkan kosong tanpa penghuni. 

Tambahan lagi, kadar kemampuan penduduk untuk membeli hartanah, terutamanya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga semakin rendah disebabkan oleh kenaikan harga. Ini bermakna orang yang mahu membeli rumah perlu membeli rumah lebih jauh dari kawasan bandar.

Rencana the Star pula menyeru agar sesuatu dilakukan untuk mengekang kenaikan kerana jika tidak dikekang dan berlaku 'crash', kesannya mungkin dirasai oleh seluruh ekonomi.

Walaubagaimapun, para pemaju hartanah sudah tertentu tidak setuju dengan pandangan ini, dan mereka berkata harga sekarang adalah berasaskan permintaan dan bekalan semasa, dan harga berpotensi untuk naik lagi.

Saya sendiri tak pasti sama ada perkara yang dibimbangi Azizi Ali dan para penulis rencana di atas akan berlaku dalam tempoh terdekat, kerana situasi bubble ini sebenarnya boleh berterusan selama bertahun-tahun dan adalah sukar untuk menentukan bila pasaran akan jatuh. Lilhat sahaja pasaran hartanah di Amerikan di mana kenaikan harga berlaku selama lebih sedekad sebelum mengalami kejatuhan yang amat teruk.

Walau apa pun, segmen pasaran yang saya rasakan paling terdedah ialah segmen ruang pejabat dan hartanah strata mewah.  Ruang pejabat amat bergantung kepada hasil sewa (kerana rumah sekurang-kurangnya ada orang beli untuk didiami sendiri) dan jika berlaku bekalan berlebihan dan tekanan kepada sewa, segmen ini mungkin paling awal terjejas.

Memang sukar untuk menentukan bila pasaran mencapai tipping point, tetapi yang pasti ialah lebih lama sesuatu 'bubble mengembang' lebih kuat letupannya apabila ia pecah.

_____________

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Saya ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri/Eid Mubarak kepada para pembaca blog dan meminta maaf sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan (pasti ada) dalam blog dan juga jika apa yang ditulis ada menyinggung perasaan.  Berhati-hati di jalan raya dan harap bersabarlah kalau ada kesesakan

05 September, 2010

Penilaian Susulan: Ajiya Berhad

Prestasi separuh pertama syarikat terus kukuh namun
keputusan separuh kedua mungkin lebih sederhana


Pada Januari 2010, saya ada menulis tentang Ajiya Bhd dalam posting bertajuk Ajiya Berhad: Pengeluar Bumbung dan Kaca Mantap. Catatan kali ini memembuat susulan prestasi Ajiya sejak tarikh tersebut.

Ajiya Bhd ialah syarikat yang mengeluarkan produk zink, aluminium dan logam untuk bumbung dan juga produk kaca yang berpangkalan di Segamat. Ajiya mempunyai dua anak syarikat utama iaitu Asia Roofing Industries yang tersenarai di Papan Utama dan Ajiya Safety Glass. Sila kunjungi laman web syarikat www.ajiya.com untuk maklumat lanjut mengenai latar belakang syarikat.

Pendapatan sesaham Ajiya untuk tempoh lima tahun lepas ialah (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
17.1 - 17.3 - 25.2 - 32.3 - 31.8

Bagi tempoh enam bulan berakhir Mei 2010 (tahun kewangan syarikat berakhir pada 31 Nov) EPS syarikat ialah 17.36 sen, iaitu lebih tinggi daripada 12.34 sen pada tempoh yang sama tahun lepas. Nilai aset bersih (NTA) sesaham pula ialah RM2.74.

Berikut adalah carta saham Ajiya:

Dipetik daripada Bursa Station


Kita dapat lihat bahawa saham syarikat telah naik ke tahap lebih RM2.20 pada sebelum turun balik ke paras RM2.00.

Pada Jumaat lepas, harganya ditutup pada RM2.01. Pada harga ini, nisbah PE berasaskan pendapatan tahun lepas ialah 7 (agak rendah) dan harganya juga lebih rendah daripada nilai aset bersih sesaham RM2.74. Berasaskan prestasi terkini, saham kelihatan 'undervalued'

Disebabkan ciri dan produk syarikat, prestasi syarikat sudah pasti ada kaitan dengan pasaran hartanah kerana ia menjadi pembekal kepada pasaran tersebut.

Berasaskan itu, saya meramalkan bahawa Ajiya akan mencatatkan prestasi yang sederhana pada separuh kedua, dan mungkin tidak sebaik separuh pertama.

Pelabur yang berminat dalam syarikat ini boleh membeli untuk jangka panjang atau mengambil sikap tunggu dan lihat sehinggalah prestasi suku ketiga diumumkan dan juga selepas mendapat kepastian tentang keadaan ekonomi global dan Malaysia yang dijangka lebih perlahan pertumbuhannya pada separuh kedua tahun ini.

Saya sendiri mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

01 September, 2010

Perubahan Dalam Kriteria Pelaburan KWSP

Pelaburan dalam dana dengan saham asing kini dibenarkan

Pada pertengahan 2007, KWSP tidak lagi membenarkan pelaburan dibuat ke dalam dana yang mempunyai pelaburan dalam saham asing. Ini bermakna jika anda mahu melaburkan tabungan KWSP anda dalam unit amanah, anda hanya boleh melabur dalam dana yang melabur dalam saham atau bon tempatan sahaja.


Bagaimanapun, kini syarat tersebut dilonggarkan dan KWSP kini menerima dana yang melabur dalam saham dan bon asing dalam program pelaburan ahlinya.

Kriteria yang ditetapkan ialah dana tersebut perlu mempunyai sehingga maksimum 30% pendedahan dalam pelaburan asing (tidak boleh lebih daripada itu) untuk diluluskan.

Perubahan peraturan ini membolehkan pelabur memilih dana yang bukan sahaja melabur di Malaysia, tetapi juga mempelbagaikan pelaburan di luar negara. Tanya ejen unit amanah anda tentang dana baru yang diluluskan berasaskan kriteria baru ini.

Selain itu, mulai 1 September, KWSP juga memperkenalkan skim penilaian dana baru. Di bawah kriteria penilaian yang digunakan, dana mesti mempunyai rekod pencapaian sekurang-kurangnya 3 tahun dengan markah penilaian sekurang-kurangnya 1.66 daripada markah maksimum 5.

Penilaian ini diperkenalkan untuk memastikan hanya dana yang mantap sahaja boleh dilaburkan oleh ahli KWSP. Jika sesuatu dana yang telah diluluskan tidak mematuhi kriteria tersebut, maka ia akan dikeluarkan daripada senarai.

Bagaimana jika dana yang anda laburkan terkeluar dari senarai? Jangan khuatir, anda boleh terus mengekalkan pelaburan anda atau anda boleh menjualnya.

Jika anda berpendapat prestasi dana akan kembali pulih pada masa depan, anda boleh kekalkan pelaburan anda. Jika tidak anda boleh menjual unit dan menyimpan wang kembali dalam KWSP atau melabur dalam dana lain.

Bagi saya tanda aras yang harus digunakan ialah pulangan dividen KWSP, yang berada pada paras lebih kurang 5% dalam tempoh 10 tahun lepas. Untuk dianggap berbaloi, saya berpendapat dana anda perlu memberikan pulangan tahunan lebih 6% setahun.

Kita perlu ingat bahawa apabila kita melabur dalam unit amanah, kita membuka pintu risiko. Pulangan yang diterima hendaklah setimpal dengan risiko yang diambil.

KWSP telah mengambil langkah yang wajar untuk membantu pelabur menambahkan pilihan dan mengurangkan kebarangkalian untuk memilih dana yang kurang baik.

Namun begitu penyelidikan dan penilaian teliti di pihak anda masih sangat-sangat diperlukan untuk mendapatkan pulangan setimpal dan menjamin simpanan hari tua anda.