30 Mei, 2016

Melabur Berasaskan Pelan atau Laporan Kewangan?

Sejak beberapa tahun lepas, semakin banyak pula pelaburan yang meminta orang ramai melabur berasaskan pelan pemasaran/operasi syarikat.

Melabur berasaskan pelan semata-mata adalah kaedah pelaburan risiko tinggi.

Walaupun kita patut meneliti pelan pemasaran dan rancangan operasi bisnes yang kita laburkan, saya lebih suka melabur berasaskan laporan kewangan.

Dalam sesuatu pelan, syarikat boleh menyatakan apa sahaja yang mereka suka dan memberikan gambaran masa depan terbaik. Sama ada ia tercapai atau tidak belum tentu lagi.

Sebaliknya laporan kewangan, terutamanya yang sudah teraudit, sekurang-kurangnya memberikan gambaran sebenar apa yang telah berlaku.

Memang kadangkala ada penipuan laporan kewangan teraudit, tetapi ini jarang-jarang berlaku.

Bagaimana jika syarikat tersebut enggan menunjukkan laporan kewangan? Rasanya tak perlu melabur. Sebuah syarikat yang mencari pelabur tidak boleh menyembunyikan laporan kewangannya.

Cuba bayangkan jika sesuatu syarikat mahu mendapatkan pinjaman bank, adakah bank akan memberi pinjaman jika mereka enggan menunjukkan akaun mereka?

Bagaimana pula dengan syarikat baru?

Memang pelaburan dengan syarikat baru hanya boleh dibuat dengan membaca pelan perniagaan, tetapi risikonya amat tinggi dan harus dilakukan oleh pelabur sofistikated sahaja.

Bak kata pepatah orang putih "No Financial Statement, No Investment".

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

26 Mei, 2016

Jangan Kelirukan Pelabur Unit Amanah

Semalam KWSP telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelaburannya mencatat untung yang lebih rendah pada S1 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ada pula beberapa perunding unit amanah yang cuba ambil kesempatan dengan share article tersebut dan kemudian minta pembaca beli unit amanah kerana prestasi kurang baik KWSP.

Artikel The Star tersebut boleh dibaca di sini: http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/05/25/epf-braces-for-a-tough-year/

Untung lebih rendah sebenarnya tidak menghairankan dalam suasana pelaburan sukar semasa dan boleh dianggap memuaskan.

Pada saya prestasi tersebut perlu dilihat dari konteks perbandingan, kerana perunding yang nak suruh laburkan duit KWSP tidak pula membandingkannya dengan prestasi dana unit amanah.

Berasaskan tinjauan saya dalam jadual Morningstar bagi tiga kategori utama, iaitu Ekuiti Bermodal Besar, Ekuiti Bermodal Kecil/Sederhana dan Ekuiti Bercampur, hanya TIGA dana yang mencatatkan pulangan positif untuk tahun ini (YTD).

Yang lain semua RUGI.

Lihat gambar yang dilampirkan.





Hanya Dana Sukuk yang rata-rata mencatatkan prestasi positif, tetapi pulangannya adalah lebih kurang sama dengan KWSP.

Bukan nak kata yang perunding tersebut sengaja nak mengelirukan pelabur tetapi mungkin mereka tak begitu faham ciri sebenar produk yang dijual.

Bagi saya melabur dalam keadaan semasa dalam dana unit amanah adalah positif, kerana saya suka melabur bila dana yang kukuh mencatat kerugian, bukan apabila dana tersebut naik mencanak.

Tapi sebab dan kaedah menjual adalah tidak tepat dan mungkin boleh mengelirukan pelabur.

Jika nak buat kesimpulan, sila buat perbandingan yang adil dulu. 

Ini kerana apabila melabur dalam unit amanah, pelabur mungkin rugi, ditambah pula dengan kos yang perlu dibayar.

Sedangkan KWSP ialah wang persaraan mereka dan mengekalkan wang dalam KWSP mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

Dalam jangka panjang, saya yakin dengan pemilihan dana yang betul dan membeli pada masa yang sesuai, anda boleh atasi pulangan KWSP.

Tetapi tiada jaminan bahawa dana yang anda pilih boleh melakukannya.

Nota: Artikel ini mengambil kira isu pulangan dan risiko sahaja dan bukan isu Syariah. Lagipun KWSP akan menawarkan dana patuh syariah tidak lama lagi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

24 Mei, 2016

Mengapa Pelabur Memantau Kadar Faedah

Baru-baru ini Gabenor BNM  telah mengumumkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.25%.

Pelabur patuh syariah mungkin tidak mahu apa-apa kaitan dengan sebarang bentuk kadar faedah, tetapi kita tidak dapat mengelakkan kadar Bank Pusat kerana sistem kewangan dunia bergantung kepadanya.

Bagi  pelabur di Malaysia, kedua-dua kadar faedah yang ditetapkan oleh BNM di Malaysia dan Fed di AS penting kerana ia:
  1. Mempengaruhi kadar pinjaman bank kepada pengguna dan perniagaan. Kadar naik, kos pun naik.
  2. Mempengaruhi kadar deposit bank kepada pengguna dan perniagaan.
  3. Mempengaruhi kadar pulangan bon korporat dan kerajaan
  4. Menentukan risk free rate, yang memainkan peranan dalam penilaian saham oleh institusi pelaburan besar.
  5. Turut mempengaruhi nilai mata wang, contohnya kenaikan kadar di AS berpotensi mengukuhkan Dollar AS.
  6. Membolehkan pelabur menentukan hala tuju dasar Bank Pusat, iaitu sama ada dasar mengembang atau semakin ketat. 
Lazimnya, Bank Pusat akan menaikkan kadar dalam suasana perkembangan ekonomi hangat dan menurunkan kadar apabila pertumbuhan semakin perlahan.

Tetapi di AS kali ini, disebabkan kadar rendah terlalu lama kerana pelaksanaan QE, Fed kini menghadapi dilema untuk menaikkan kadar dalam keadaan ekonomi yang kurang positif.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

17 Mei, 2016

Fintech atau Teknologi Kewangan Bakal Merombak Industri Kewangan

Pada minggu lepas, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru telah memberi amaran bahawa fintech atau teknologi kewangan bakal merombak industri kewangan.

Hasil industri perbankan dijangka terjejas sebanyak 10 - 40% menjelang tahun 2025 kerana inovasi yang berlaku di luar industri.

Baca artikel tersebut di sini http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/05/11/bank-negara-fintech-will-be-game-changer-for-islamic-finance/

Fintech ialah perniagaan yang menggunakan perisian untuk menyediakan perkhidmatan kewangan

Salah satu cabang fintech yang turut menggugat industri pelaburan ialah Roboadvisors.

Roboadvisor ialah perkhidmatan pengurusan kekayaan dalam talian yang menyediakan nasihat perancangan kewangan automatik berasaskan logaritma, tanpa perancangan kewangan manusia.

Roboadvisor terlibat terutamanya dalam bidang pengurusan portfolio dan ciri utamanya ialah kos pelaburan yang rendah.

Sasaran utama Roboadvisor ialah golongan muda yang mahir melaksanakan urus niaga di dalam talian.

Bagi pengguna akhir, diharapkan ia membuka jalan kepada era kos pelaburan lebih rendah, yang membawa lebih banyak manfaat kepada pelabur kecil yang celik teknologi.

Perlu diingat bahawa saluran kos rendah sudah ada bagi pelaburan tertentu, tetapi belum mencakupi semua.

Bagi industri kewangan dan pelaburan, diharapkan mereka sendiri secara sukarela akan menyediakan saluran berkos lebih rendah kepada pelabur, sebelum digugat oleh pesaing dari luar.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 


PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

11 Mei, 2016

Mengintai Peluang Pelaburan Menerusi EPS Purata

Satu cara untuk mengintai peluang pelaburan saham dalam keadaan ekonomi semasa yang kurang baik ialah menerusi pendapatan sesaham (EPS) purata 10 tahun lepas.

Dalam suasana sukar masa kini, ada banyak syarikat yang mencatatkan untung lebih rendah atau mengalami kerugian, walaupun lembaran imbangan dan operasi syarikat masih kukuh.

Bagi sesetengah syarikat (bukan semua), harga saham akan turun disebabkan prestasi terjejas, kerana lazimnya pelabur akan memberikan reaksi negatif terhadap keputusan lemah.

Cuba lihat purata EPS 10 tahun yang boleh didapati daripada laporan tahunan syarikat (dapatkan laporan terbaru dan laporan 5 tahun lepas - lihat bahagian financial highlights).

Jika prestasi EPS purata adalah kukuh, dan anda ramalkan bahawa berasaskan kekuatan pengurusan dan operasi bahawa untung akan naik kembali ke paras purata dalam setahun dua, ini adalah peluang untuk beli.

Perkara paling penting ialah potensi kembali untuk mencatatkan EPS purata. Bukan semua syarikat akan pulih. Ada segelintir yang tak mampu untuk recover sepenuhnya.

Tentunya pelbagai faktor penilaian lain perlu ditinjau (boleh baca artikel lain mengenai penilaian dalam blog atau buku Panduan Bijak Melabur).

Tetapi ini salah satu cara untuk mengesan pelaburan berpotensi untuk jangka panjang dan membelinya pada harga yang berpatutan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian..  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

03 Mei, 2016

Buffett Mengenai Penasihat Pelaburan

Di Mesyuarat Agung Tahunan Berkshire Hathaway beberapa hari lepas, Warren Buffett telah melepaskan tembakan kepada para penasihat dan perunding pelaburan di Wall Street.

Mengungkit kisah yang dipaparkan dalam buku Where Are the Customers Yachts? oleh Fred Schwed, beliau menceritakan bahawa seorang pengunjung New York kagum dengan semua kapal layar mewah yang berlabuh di jeti.

Pengunjung tersebut diberitahu bahawa semuanya dimiliki oleh para pegawai bank di Wall Street.

Kemudian dia bertanya pula di mana pelanggan bank menyimpan kapal layar mereka? Jawapannya ialah mereka tak mampu membeli kapal layar.

Menurut Buffett, jauh lebih banyak wang yang dijana oleh Wall Street menerusi kemahiran jualan daripada kemahiran pelaburan.

"Hanya ada segelintir orang yang akan mencatatkan rekod pelaburan cemerlang. Sangat sedikit bilangannya."

"Dan orang yang anda bayar untuk mencari pelabur terkemuka seperti ini tidak tahu bagaimana mencari mereka. Tetapi mereka tahu bagaimana untuk menjual kepada anda."

Persoalannya ialah bagaimana pula keadaan di Malaysia, dengan yuran yang jauh lebih tinggi?