30 September, 2014

Guna Stop Loss Atau Tidak?

Saya menerima soalan berikut daripada pembaca. Bagaimana untuk menentukan stop loss?  Jawapannya ialah terpulang kepada anda untuk menentukan tahap stop loss. Tetapi sambil kita membincangkan subjek ini, satu lagi soalan yang lebih menarik ialah patutkah anda gunakan stop loss?

Kembali kepada soalan pertama, stop loss ialah paras di bawah harga belian asal di mana anda membuat keputusan untuk menjual demi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Paras ini anda tentukan sendiri. Ada trader letakkan paras 5% di bawah harga belian, ada yang tetapkan 7% dan pula pula yang letakkan 10%. Terpulang kepada strategi dagangan anda.

Ini bermakna jika harga saham jatuh ke paras tersebut, anda jual saham itu tanpa menggunakan budi bicara, tanpa berfikir panjang dan tanpa sebarang analisis lanjut. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kerugian besar sekiranya ada sesuatu yang tidak kena dengan saham tersebut.

Satu lagi kaedah mirip 'stop loss' dinamakan trailing stop, di mana apabila saham telah naik melebihi harga belian dan sedang terus naik, kita tetapkan satu paras di bawah harga puncak untuk 'lock in' atau merealisasikan keuntungan.

Persoalan yang lebih penting ialah patutkah anda menggunakan stop loss? Pada pendapat saya:
  1. Ya jika anda seorang trader dan
  2. Tidak jika anda seorang fundamental investor
Seorang trader lazimnya tidak membuat keputusan berasaskan prestasi kewangan dan kekuatan syarikat dan biasanya menggunakan analisis teknikal. Maka amat penting bagi mereka untuk menetapkan stop loss untuk mengehadkan kerugian, lebih-lebih lagi jika saham yang dibeli adalah saham spekulatif yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh.

Seorang fundamental investor perlu membuat keputusan berasaskan nilai dan harga saham. Ada kalanya saham jatuh buat sementara waktu tetapi fundamentals syarikat kukuh dan terdapat kemungkinan besar saham naik. Kita tak boleh jual semata-mata kerana harga jatuh.

Sebaliknya jika saham jatuh dan fundamentals syarikat mula lemah maka barulah pelabur patut mempertimbangkan untuk menjual pada harga yang terbaik yang boleh diperolehinya

Ken Fisher, salah seorang pengurus dana terkemuka dan penulis buku terkenal yang mempunyai ruangan di majalah Forbes, berkata berasaskan kajian yang dibuat, apabila harga saham mencapai paras stop loss, ia mempunyai kebarangkalian 50% untuk naik dan 50% untuk turun.

Jadi jika anda gunakan stop loss, anda mungkin rugi kerana tidak dapat memanfaatkan rebound yang berlaku. Kedua paras apa yang patut digunakan? Adakah 3%, 5%, 7% atau 10%? Penentuannya bersifat budi bicara (arbitrary) dan tidak ada paras tertentu yang terbukti lebih berkesan.

Peter Lynch, pengurus dana tersohor pada tahun 90an juga berkata stop loss tidak berkesan. Jual hanya jika ada masalah dengan syarikat atau jika kadar pertumbuhan atau prospeknya tidak seperti yang diunjurkan

Warren Buffet pula sudah tentu langsung tidak menggunakan kaedah ini. Stop loss ialah bagi mereka yang tidak sanggup membuat penilaian sewajarnya terhadap sesuatu syarikat.

Kesimpulannya, jika anda seorang trader, stop loss ialah alat berguna bagi anda dan perlu digunakan. Lebih spekulatif saham tersebut, lebih penting stop loss ditetapkan. Bagaimanapun sekiranya anda seorang pelabur berasaskan fundamentals, gunakan budi bicara sendiri dan analisis untuk mengkaji kesan kejatuhan harga dan sebabnya sebelum membuat sebarang keputusan.

23 September, 2014

Bengkel Saham 101 Tuan Zayed Zulkifli



Bengkel Saham 101
  • Mengenali ciri saham yang berkualiti
  • Cara membaca laporan kewangan
  • Kenali formula penilaian saham (intrinsic value)
  • Tips elak melabur di kaunter yang menyebabkan kerugian
  • Menjana pulangan pelaburan dengan cara selamat
  • Pendapatan dividen secara berkala
 
Sila bawa laptop/notebook yang ada Microsoft Excel.
 
Tempat: PKNS Biz Point Seksyen 7, Shah Alam
(Belakang Jakel, Berhampiran UiTM)
Masa: 8.30am - 1.00pm 
Tarikh: 27/09/2014
Yuran: RM180
 
Pembayaran boleh dibuat seperti berikut:
CIMB - 8600718064 (Zayed bin Zulkifli)
Maybank - 158248021000 (Zayed bin Zulkifli)
 
Sila emailkan bukti pembayaran: zayed.zulkifli@gmail.com

22 September, 2014

Nota Mengenai Keputusan Menjual Saham II

Kadangkala kita perlu mengakui kesilapan dan menerima kerugian

Jika minggu lepas saya menulis tentang dua saham, iaitu Ajiya dan YOCB, di mana keuntungan besar dicatatkan, kali ini saya menerangkan pula tentang keputusan untuk menjual saham dan menerima kerugian.

Walaupun anda pelabur paling hebat sekalipun, pasti ada masanya anda mengalami kerugian, dan keputusan untuk mengakui kesilapan dan menerima kerugian adalah sesuatu yang perlu kita lakukan kerana dalam keadaan tertentu, ia boleh mengelakkan kerugian lebih besar.

Satu saham yang saya jual dan menerima kerugian ialah Felda Global Ventures yang dijual beli tahun lepas. Berikut adalah maklumat mengenai urus niaga saham tersebut:
  • FGV; Beli RM4.59 Jual RM4.16 Rugi 9.4%; Tempoh Pegangan 9 bulan.
Carta saham FGV untuk tempoh 2 tahun lepas dipaparkan di bawah:
Bursa Malaysia
 
Perkara yang perlu diberi perhatian ialah saya membeli saham ini kerana berpendapat ia syarikat yang agak mantap, tetapi menjualnya kembali kerana mendapati trend minyak sawit mentah (CPO) yang nampak seperti sudah mengakhiri up-cycle selelas kenaikan harga selama beberapa tahun.
 
Memandangkan industri ini bersifat cyclical atau kitaran, syarikat tidak boleh lari daripada penurunan harga komoditi yang mereka hasilkan, dan prestasinya amat bergantung kepada harga CPO.
 
Justeru dengan berat hati saya telah menerima kerugian, dan setakat ini nampak keputusan tersebut dapat mengelakkan kerugian yang lebih besar dengan kejatuhan selanjutnya harga saham.
 
Bagaimanapun, saya sentiasa memantau FGV dan akan membeli semula apabila berpendapat harganya cukup rendah untuk membolehkan keuntungan diraih kerana saya rasa syarikat ini mempunyai potensi pertumbuhan dalam jangka panjang.
 
Lebih cepat kita mengakui kesilapan, lebih baik supaya boleh menggunakan wang untuk memanfaatkan peluang pelaburan lain.

Nota: Terdapat dua pandangan tentang cara menangani penurunan harga saham syarikat yang kukuh. Ada pendapat yang kata terus pegang kerana kita mungkin sukar meramalkan bila untuk membeli kembali. Ada pendapat lain pula yang kata jual dulu dan kemudian dapatkan kembali pada harga yang lebih murah. Saya menggunakan kaedah yang sesuai dengan personaliti saya. Terpulang kepada anda untuk menggunakan kaedah yang sesuai dengan personaliti dan toleransi risiko anda.


16 September, 2014

Nota Mengenai Keputusan Menjual Saham

Bila anda menjual saham bergantung kepada gaya pelaburan anda

Baru-baru ini saya menjual dua saham, iaitu Ajiya dan YOCB. Kedua-duanya dijual bukan kerana syarikat tersebut mencatat kerugian atau timbul sebarang masalah, tetapi kerana saya rasa harganya mungkin telah menepati sasaran, sedangkan untung tahun semasa mungkin berkurangan.

Berikut adalah maklumat mengenai urus niaga Ajiya dan YOCB:
  • Ajiya;  Beli RM1.73  Jual RM2.74  Profit 57.6%  Dividen 2.9%  ROI 60.5%;  Tempoh Pegangan 1 tahun 6 bulan;  Annualised 37.1%.
  • YOCB;  Beli RM0.68  Jual RM1.13  Profit 65.4%  Dividen 5.8%  ROI 71.2%;  Tempoh Pegangan 11 bulan.

Carta Ajiya dan YOCB untuk tempoh dua tahun:


Dipetik daripada Bursa Malaysia 
 
Sebab saya menjual:
  1. Harga telah naik tetapi keuntungan semasa turun.
  2. Saya ramalkan sukar bagi syarikat meningkatkan untung dalam tempoh satu dua tahun akan datang beraskan keadaan perniagaan semasa.
  3. Saya nak tambah pegangan tunai. 
Memandangkan kedua-dua saham ini adalah saham yang baik, saya akan sentiasa perhatikan sekiranya saham jatuh, dan saya akan beli semula pada harga yang saya rasa kembali di paras undervalued.

Perhatian bahawa umumnya terdapat dua pandangan mengenai penjualan saham dalam kaedah fundamental

Pertama ialah jika syarikat itu kukuh dan harga telah naik melebihi nilai atau untung merosot sikit, terus pegang kerana syarikat tersebut akan kembali meningkatkan untung pada masa depan.  Inilah kaedah yang digunakan oleh Buffett dan Philip Fisher.

Tetapi ada beberapa pelabur fundamental lain seperti Peter Lynch, Benjamin Graham dan John Neff umpamanya, yang akan jual dan menunggu untuk beli balik pada harga yang rendah.  Secara peribadi saya lebih cenderung kepada kaedah kedua.

Anda patut menentukan sendiri kaedah pelaburan yang sesuai dengan sifat peribadi dan kesanggupan anda menanggung risiko.

Nota: 
  1. Jangan ingat inilah pulangan yang wajar bagi portfolio saham, kerana dalam portfolio ada saham yang turun, ada yang mendatar dan ada yang naik sikit.  Ada tahun tertentu pula seluruh pasaran saham akan jatuh. Sasaran saya ialah pulangan 15% terkompaun tahunan untuk jangka panjang.
  2. Saya pernah menulis tentang Ajiya dan YOCB. Boleh klik untuk baca mengapa ia sesuai dibeli pada waktu itu.

07 September, 2014

8 Petua Pelaburan Charlie Munger, Orang Kanan Warren Buffett

Pelabur tersohor yang  mempunyai rekod pencapaian cemerlang sebagai pelabur dan mainkan peranan penting sebagai No.2 di Berkshire Hathaway

Charlie Munger ialah Naib Pengerusi Berkshire Hathaway, syarikat pegangan yang diterajui oleh Warren Buffett. Beliau yang pada mulanya merupakan seorang peguam telah menjadi rakan kongsi firma pelaburan sendiri dan selepas itu menyertai Buffett di Berkshire Hathaway.

Walaupun kurang terkenal berbanding Buffett, Munger juga seorang pelabur yang handal. Berikut adalah rekod prestasi Charlie Munger sebelum beliau berganding bahu dengan Buffett.

 
Saya telah mengumpulkan 8 petua pelaburan Charlie Munger di bawah daripada pelbagai sumber:
  1. Labur dalam syarikat yang mana operasinya boleh kita fahami, dengan ciri tertentu yang memberikannya kelebihan daya saing yang mampu dikekalkan.
  2. Pihak pengurusan syarikat hendaklah mempunyai bakat dan integriti yang tinggi.
  3. Pastikan bahawa harga saham adalah munasabah dan memberikan sedikit margin of safety.
  4. Setiap pelabur perlu melabur mengikut keperluan dan ciri psikologinya sendiri. Jika kerugian membuatkan anda rasa resah, lebih baik melabur secara konservatif atau hanya menabung sepanjang hayat.
  5. Adalah mustahil untuk menjadi pelabur yang bijak tanpa membaca secara meluas dalam pelbagai topik.
  6. Jika anda melabur dalam jangka masa yang panjang, pasti ada masa di mana anda akan mengalami kerugian dan kaedah pelaburan anda dipersoalkan. Anda perlu menerima hakikat ini.
  7. Volatility atau turun naik sesuatu saham mencipta peluang untuk pelabur yang sanggup bersabar.
  8. Kadangkala kita perlu melabur dan mengambil pendekatan yang berbeza daripada sebahagian besar daripada pelabur lain.
Menurutnya sebab utama kaedah pelaburan seperti yang diamalkan oleh Buffett dan beliau sendiri tidak mendapat sambutan dalam dunia pelaburan dan akademik ialah kerana ia terlalu ringkas dan nyata. 

Sebagai penutup, saksikan video sebahagian daripada temu ramah dengan Munger di saluran BBC. Nasihat mengenai pelaburan bermula pada minit ke-6:



Nota: Sebahagian daripada maklumat yang terkandung dalam artikel, termasuk jadual prestasi Charlie Munger, dipetik daripada blog bertajuk A Wealth of Common Sense oleh Ben Carlson.

02 September, 2014

Mengejar Istana di Awangan: 10 Pemerhatian dan Cadangan Mengenai Saham Spekulatif

Kenaikan dan penurunan beberapa saham spekulasi boleh jerat pelabur yang begitu teruja mengejar kehangatan

Baru-baru ini kita mendengar tentang kenaikan dan penurunan beberapa saham 'mainan', yang menjerat sesetengah pelabur kerana mereka tidak begitu maklum dan baru mencuba 'permainan ini'. Tak perlu saya sebut saham yang mana.


Malah sejak setahun dua ini, pelabur kecil dilihat telah kembali ke pasaran. Malangnya saham yang dikejar ialah saham yang sepatutnya dijauhi oleh amatur. Tinggalkan saham seperti ini kepada spekulator full time dan mereka yang ada maklumat dalam.


Saya berikan sedikit ulasan dan cadangan bagi mereka yang terlibat dalam saham spekulatif:
  1. Ramai orang dah lupa atau langsung tak tahu bahawa tujuan asal melabur saham ialah melabur dalam syarikat supaya kita memanfaatkan keuntungan yang diraih.
  2. Nilai sesuatu syarikat amat bergantung kepada untungnya. Walaupun harga dalam jangka pendek boleh lari jauh daripada tahap untung, dalam jangka panjang ia akan kembali kepada nilai berasaskan untung (dan juga aset).
  3. Kalau saham naik melonjak dan syarikat tiada untung, itu bermakna kita mengejar istana di awangan, atau orang putih kata castles in the air.
  4. Melainkan untung meningkat untuk menyokong harga yang tinggi tersebut, harga akan jatuh kembali tanah, setimpal dengan kedudukan kewangannya yang berada 'di bawah tanah'.
  5. Sesetangah orang langsung tak tahu apakah bisnes yang diceburi oleh syarikat yang dilaburkan.
  6. Walaupun anda seorang trader atau spekulator, sekurang-kurangnya dapatkanlah sedikit maklumat tentang perniagaan dan paras untung syarikat. Masa sepuluh minit pun dah cukup.
  7. Walaupun anda bijak berdagang dan exit pada masa yang tepat, untung yang anda raih bukan berasaskan penciptaan nilai tetapi diraih daripada tangan orang lain. 
  8. Bagi saham tertentu, anda bermain dengan pro atau sindiket. Berwaspada!
  9. Saham yang dah jatuh boleh hidup kembali dan naik lebih tinggi, tetapi jangan sampai kena gigit dua kali.
  10. Trader yang lebih bijak akan menggunakan stop-loss atau trailing stop untuk jual jika berlaku kejatuhan, tetapi dari segi praktikal sukar untuk laksanakan apabila berlaku penurunan mendadak.
Saya bukan spekulator atau trader. Saya tidak menggalakkan anda menjadi spekulator. Tetapi jika saya seorang trader, saya tidak akan main sesuatu saham melainkan telah meluangkan masa beberapa minit untuk melihat sepintas lalu kedudukan kewangan dan perniagaan syarikat supaya saya ada maklumat tambahan tentang bila untuk tunggu dan bila untuk cabut lari.

Nota: Carta diambil daripada laman web Bursa Malaysia