Memaparkan catatan dengan label Perniagaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perniagaan. Papar semua catatan

30 Mei, 2016

Melabur Berasaskan Pelan atau Laporan Kewangan?

Sejak beberapa tahun lepas, semakin banyak pula pelaburan yang meminta orang ramai melabur berasaskan pelan pemasaran/operasi syarikat.

Melabur berasaskan pelan semata-mata adalah kaedah pelaburan risiko tinggi.

Walaupun kita patut meneliti pelan pemasaran dan rancangan operasi bisnes yang kita laburkan, saya lebih suka melabur berasaskan laporan kewangan.

Dalam sesuatu pelan, syarikat boleh menyatakan apa sahaja yang mereka suka dan memberikan gambaran masa depan terbaik. Sama ada ia tercapai atau tidak belum tentu lagi.

Sebaliknya laporan kewangan, terutamanya yang sudah teraudit, sekurang-kurangnya memberikan gambaran sebenar apa yang telah berlaku.

Memang kadangkala ada penipuan laporan kewangan teraudit, tetapi ini jarang-jarang berlaku.

Bagaimana jika syarikat tersebut enggan menunjukkan laporan kewangan? Rasanya tak perlu melabur. Sebuah syarikat yang mencari pelabur tidak boleh menyembunyikan laporan kewangannya.

Cuba bayangkan jika sesuatu syarikat mahu mendapatkan pinjaman bank, adakah bank akan memberi pinjaman jika mereka enggan menunjukkan akaun mereka?

Bagaimana pula dengan syarikat baru?

Memang pelaburan dengan syarikat baru hanya boleh dibuat dengan membaca pelan perniagaan, tetapi risikonya amat tinggi dan harus dilakukan oleh pelabur sofistikated sahaja.

Bak kata pepatah orang putih "No Financial Statement, No Investment".

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

30 Disember, 2015

8 Cara Tingkatkan Produktiviti oleh Walt Hampton

Walt Hampton ialah penulis buku The Power Principles of Time Mastery dan Journeys on the Edge: Living a Life That Matters. Beliau ialah seorang pembimbing perniagaan di bawah organisasi kendalian Michael Port, penulis buku bestseller Book Yourself Solid.



Baru-baru ini Walt Hampton telah menulis satu artikel bermanfaat yang menerangkan cara-cara untuk meningkatkan tahap produktiviti anda. Saya menterjemah dan mengulas 8 daripada cadangan beliau. Artikel penuh boleh dibaca di sini: Ten Productivity Hacks for the New Year.

1. Peruntukkan blok masa tertentu untuk bekerja. Menurutnya kita tidak mampu bekerja sepanjang masa. Kita perlu meluangkan masa untuk bekerja secara berkesan dan tidak terganggu antara 60 dan 90 minit setiap kali sebelum kita berehat untuk tempoh 10 hingga 15 minit. Pada pendapatn saya cadangan ini bernas kerana saya sendiri pun hanya sempat bekerja 20 - 30 minit secara terus-menerus kerana sering ada gangguan.

2. Tutup penggera mesej telefon. Anda tidak perlu melayan setiap mesej atau komen yang datang katanya. Tiada kecemasan yang berlaku jika anda tidak menjawab dengan serta-merta. Lagipun bila ada kecemasan orang selalunya akan menelefon dan bukannya menghantar mesej.

3. Jangan cuba melakukan lebih daripada satu kerja sekali (multi-task). Hasil kajian mendapati jika anda asyik melakukan dua tiga perkara sekaligus, anda akan hilang tumpuan, mengurangkan produktiviti dan meningkatkan tekanan. Saya sendiri pun selalu melakukan kesilapan ini.

4. Jadualkan masa media sosial anda. Media sosial sememangnya penting untuk perniagaan tertentu tetapi kadang kala kita menggunakannya secara berlebihan dan tidak berkaitan dengan perniagaan. Luangkan blok masa tertentu untuk mengendalikan media sosial. Secara peribadi memang apa yang beliau kata betul kerana memang sukar untuk mengelak daripada melihat newsfeed di FB dengan kerap.

5. Sekali sekala matikan telefon bimbit anda (atau sekurang-kurangnya matikan fungsi wifi atau data). Ramai orang yang memeriksa telefon bimbit mereka berpuluh atau lebih seratus kali sehari (termasuk saya). Sekali-sekala matikan telefon bimbit (atau tutup sambungan Internet) untuk membebaskan diri dari belenggu teknologi dan cuba lakukan aktiviti lain yang bermanfaat.

6. Jangan bekerja terlalu kuat. Kajian mendapati mereka yang bekerja lebih 55 jam menghadapi risiko 33% lebih tinggi mengalami strok dan 13% lebih tinggi mengalami sakit jantung. Malah ada kajian yang menunjukkan sesiapa yang bekerja lebih daripada 70 jam tidak membuat lebih kerja berbanding mereka yang bekerja 55 jam seminggu. Tumpuan kita semakin rendah selepas bekerja lebih 55 jam.

7. Bersenam. Menurutnya, selain daripada manfaat kesihatan, senaman juga membolehkan seseorang meningkatkan tumpuan beliau semasa bekerja. Saya tiada masalah melakukan cadangan ini tetapi saya tahu ramai yang liat untuk bersenam.

8. Tidur yang mencukupi. Kemalangan dan kesilapan besar pernah berlaku akibat orang yang tidak cukup tidur. Ramai orang menganggap kerja banyak dan kurang tidur menjadikan anda lebih produktif, tetapi sebenarnya tidak. Kekurangan tidur akan menjejaskan fokus.

Nota: Anda boleh mengunjungi laman FB Michael Port untuk pelbagai tips perniagaan dan cara untuk bercakap dengan yakin di khalayak ramai.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

05 Disember, 2015

Hasil atau Jualan Tidak Sama Dengan Untung

Berasaskan pemerhatian di FB dan juga pergerakan harga di Bursa Malaysia, ada sesetengah pihak dan juga pelabur mungkin menyamakan Hasil (Revenue) atau Sales (Jualan) dengan untung.

Hasil yang tinggi sahaja menunjukkan bahawa sesebuah perniagaan mampu mencatatkan jualan dan ini merupakan satu perkembangan positif tetapi perkara seterusnya perlu dinilai ialah berapakah untung yang diperolehi daripada jualan tersebut kerana inilah ukuran sebenar perniagaan.

Sering kali kita dengar sesuatu syarikat menang bida atau kontrak dan kemudian kita lihat harga sahamnya naik pada hari pengumuman tersebut. Kemenangan kontrak adalah sesuatu yang positif tetapi apa yang dijamin hanyalah peningkatan hasil. Belum tentu sesuatu syarikat boleh meraih untung daripada kontrak tersebut kerana terdapat kemungkinan:
  1. Bida yang dikemukakan terlalu rendah
  2. Syarikat mengalami masalah menyempurnakan kontrak
  3. Berlaku pertikaian dalam pelaksanaan
  4. Kos pelaksanaan lebih tinggi daripada yang dijangka
  5. Kerja pembaikan atau rectification menyebabkan kerugian dialami daripada kontrak
Perkara paling penting ialah melihat rekod masa lepas syarikat dan keupayaannya untuk melaksanakan kontrak atau projek tersebut dengan menguntungkan dan meraih margin untung yang memuaskan.

Jualan dan hasil sememangnya penting dalam penilaian syarikat. Peningkatan jualan adalah satu faktor yang dinilai apabila mengukur pertumbuhan syarikat. Namun begitu, jualan yang meningkat tanpa peningkatan untung dalam jangka masa sederhana akan menimbulkan tanda tanya.

Kadangkala sesebuah syarikat juga berusaha meningkatkan jualan dan merampas bahagian pasaran dengan melakukan promosi besar-besaran. Ini bermakna mereka berusaha meningkatkan jualan dengan mengorbankan untung jangka pendek.

Bagaimanapun, taktik ini kadang kala menjadi dan kadangkala tidak. Pastikan anda menilai dengan teliti perkembangan syarikat sebelum melihat sama ada peningkatan jualan itu dapat disokong oleh peningkatan untung yang dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Dalam bidang perniagaan kecil pula, kadang-kadang di FB saya ada orang mengemukakan cerita tentang betapa lumayan menceburi bidang perniagaan, dengan memberikan angka hasil yang dicatatkan dalam sehari.

Perlu diingat ini hanya hasil dan bukannya untung. Mereka belum mengambil kira segala kos yang terlibat dan untung bersih mungkin jauh lebih rendah daripada nilai hasil yang diberikan.

Sebagai ulang kaji, untuk meraih untung bersih:

Jualan - Kos Jualan = Untung Kasar
Untung Kasar - Semua Kos Lain = Untung Bersih

(Ini pengiraan paling asas sahaja, perniagaan yang berlainan mungkin pengiraannya sedikit berbeza mengikut ciri perniagaan tersebut.)

Untung bersih menjadi ukuran paling penting dalam menilai keupayaan sesuatu perniagaan sama ada bisnes kecil atau syarikat tersenarai. Walaupun hasil atau jualan itu penting, ia perlu diiringi dengan keupayaan menjana untung.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

26 Ogos, 2014

11 Petua Tom Peters Untuk Hadapi Kesukaran Perniagaan atau Kerjaya

Langit tidak sentiasa cerah dan penulis dan perunding terkenal ini berikan beberapa petua berguna untuk menghadapi masa-masa sukar

Walaupun BNM mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih 6% suku tahun lepas, saya dapati perkembangan ekonomi ini tidak begitu seimbang kerana situasi perniagaan 'on the ground' nampak sukar bagi beberapa sektor termasuk komoditi, hartanah dan penerbangan.

Tidak dinafikan indeks hartanah dan saham berada hampir di paras tertinggi, tetapi sesetengah rakyat biasa yang tidak banyak memiliki aset terhimpit dengan kenaikan harga. Sesetengah peniaga kecil  pun mungkin menghadapi sedikit kesukaran. 

Maklumat di atas bukanlah berasaskan kajian terperinci tetapi berlandaskan pemerhatian dan pengalaman yang dihadapi oleh kenalan. 

Jika anda termasuk dalam golongan ini, berikut adalah petua berguna yang diberikan oleh Tom Peters untuk mengharungi masa-masa sukar yang dipetik daripada bukunya, The Little Big Things: 163 Ways to Pursue Excellence.


  1. Datang kerja lebih awal, balik kerja lebih lewat dan bekerja lebih keras.
  2. Sanggup kerja untuk gaji lebih rendah, walaupun anda berat hati menerimanya.
  3. Anda  menerima lebih banyak tugasan atau projek secara sukarela.
  4. Anda sentiasa cuba bersikap positif dan menampilkan wajah ceria walaupun di dalam hati anda tidak gembira.
  5. Anda bersedia untuk melakukan sebaik mungkin dalam kerja dan perniagaan dan bersyukur dengan pendapatan yang ada sekarang.
  6. Anda  membina jaringan secara agresif (networking) dan sentiasa berhubung dengan semua kenalan selain selalu bergaul dengan orang yang lebih muda.
  7. Anda ringkaskan hidup anda dan ketepikan segala kemewahan peribadi.
  8. Anda meningkatkan piawaian kerja ke tahap cemerlang, dan bersikap obsesi untuk memperbaiki segala kesilapan serta memberi perhatian kepada butiran kecil.
  9. Anda belajar kemahiran atau ilmu baru dan juga sanggup mengajar orang lain ilmu lama yang anda ada.
  10. Ucapkan terima kasih jika kejayaan dicapai dan bertanggungjawab atas kegagalan, sambil bersikap baik hati dan prihatin terhadap orang lain.
  11. Anda terima kegagalan dan cuba dan cuba lagi, sambil mengelakkan orang yang bersikap negatif.
Menurut beliau, perwatakan seseorang dinilai berasaskan tindak balasnya terhadap keadaan sukar. Akhir sekali, selepas melakukan semua di atas, beliau mencadangkan agar kita berdoa!

Nota:  Saya syorkan agar anda mendapatkan buku The Little Big Thing: 163 Ways to Pursue Excellence yang saya dapati sangat berguna. Sebenarnya beliau meletakkan 46 petua tetapi saya pilih yang paling relevan dan menggabungkan beberapa petua dalam satu ayat.

05 Ogos, 2013

Bagaimana Jika Pendapatan atau Perniagaan Anda Tidak Boleh Diskala?

Usah terlalu memikirkan tentang gandaan wang tetapi pertimbangkan nilai yang anda hasilkan kepada ekonomi dan masyarakat

Saya ada membaca buku dan artikel oleh pakar perniagaan, sama ada tempatan atau luar negara, tentang ciri bisnes yang baik, dan satu faktor penting yang selalu ditekankan ialah perniagaan tersebut seharusnya boleh direplikasi atau diskala.

Ini bermakna jika sudah buka satu kedai, formula yang sama boleh digunakan untuk membuka kedai lain yang sama di tempat lain sehingga banyak kedai boleh dibuka.  Atau jika anda membuka kilang, pasarannya boleh dikembangkan dan operasi boleh diperbesarkan dengan meningkatkan kapasiti kilang.

Maksudnya ialah perniagaan anda seharusnya berasaskan sistem, mesin atau kemahiran yang boleh direplikasi atau diajar dengan mudah kepada orang lain supaya potensi perkembangannya tidak terhad.

Sebenarnya itulah ciri perniagaan yang terbaik bagi mereka mahu mencapai kejayaan besar dalam bidang perniagaan.  Formula perniagaan berasaskan sistem yang boleh direplikasi ini ada disebutkan dalam buku terkenal mengenai perniagaan kecil bertajuk The E-Myth Revisited oleh Michael Gerber.

Tetapi bukan semua orang berminat menceburi bidang perniagaan. Ramai yang lebih selesa menjadi kakitangan. Manakala ramai juga yang melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan kemahiran seperti doktor, peguam, penulis dan sebagainya.  Ada sesetengah yang lain pula lebih selesa menjalankan perniagaan kecil dan mahu kekal kecil, tanpa cita-cita menjadi besar.

Bagi saya ini tidak menjadi masalah. Anda juga tidak perlu menceburi bidang perniagaan yang boleh diskala untuk hidup selesa.  Malah sesetengah profession lebih besar nilainya kepada masyarakat, seperti guru, pensyarah dan anggota keselamatan berbanding dengan ganjaran yang diterima.

Dunia masa kini agak materialistik di mana status lazimnya diberikan kepada orang yang berharta, tidak kira cara harta tersebut dikumpulkan, iaitu dengan cara yang menghasilkan nilai ekonomi / masyarakat atau tidak.

Anda seharusnya selesa dengan kedudukan anda jika pekerjaan anda membawa nilai kepada masyarakat dan anda berminat dengan kerjaya tersebut. Cuba naik ke pangkat setinggi yang mungkin dalam kerjaya atau jika anda menguruskan perniagaan kecil atau perniagaan berasaskan kemahiran, cuba maksimumkan keuntungan anda dengan menguruskan perniagaan dengan baik.

Kemudian tabung dan labur wang ini dengan bijak dan konservatif untuk memastikan anda mencapai kebebasan kewangan sebelum anda bersara. Di sinilah kunci kepada kejayaan anda untuk membina harta yang sederhana. Ini bukan jalan di mana kekayaan terbesar dicapai tetapi bukan semua orang perlu, mahu atau boleh mendapatkan kekayaan besar.

Menurut Ken Fisher dalam bukunya The Ten Roads to Riches, ramai orang menjadi jutawan dengan bekerja, menabung dan melabur walaupun mereka bukan daripada golongan yang terkaya.

Status di mata saya ialah nilai kepada ekonomi, nilai kepada masyarakat dan ilmu di dada.  Seorang usahawan tersohor yang mencipta banyak peluang pekerjaan menghasilkan nilai. Guru yang mendidik usahawan tersebut juga bernilai. Begitu juga ibu yang membesarkan usahawan tersebut yang hanya menjadi suri rumah.

Saya lebih bimbang jika pekerjaan yang dilakukan mempunyai ganjaran besar tetapi wang tersebut diperolehi 'di atas angin', atau 'diperolehi 'dari tangan orang lain', atau dengan menghasilkan produk yang memudaratkan awam, bukannya dengan menjana nilai ekonomi sebenar.

Ada tempat untuk semua orang di dunia, sama ada usahawan terbilang atau pekerja, baik peniaga kecil mahupun orang yang menjual khidmat atau kepakaran mereka.  Perkara paling penting ialah nilai yang anda hasilkan kepada masyarakat dan memaksimumkan potensi diri dan juga potensi pendapatan untuk hidup selesa.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin jika ada tersilap tulis di dalam blog ini. Semoga Allah menerima amalan kita dalam bulan Ramadan dan kita terus membuat pelaburan yang paling penting, iaitu pelaburan akhirat, selain daripada pelaburan di dunia.

07 Julai, 2013

Foxit Reader Untuk Baca, Tanda dan Cipta PDF

Perisian percuma dengan ciri yang lebih baik daripada Adobe Reader

Baru-baru ini saya telah membeli komputer baru dengan sistem operasi Windows 8. Perisian operasi Microsoft terbaru ini nampak lebih baik dan moden daripada yang sebelumnya dan sesuai digunakan untuk touchscreen atau laptop biasa.

Cuma perisian Reader yang disertakan untuk membaca PDF hanya disediakan dalam format Metro Apps, iaitu format untuk touchscreen dan tiada versi yang disediakan untuk desktop. 

Bagi pengguna yang memerlukan Reader yang berfungsi penuh, mereka boleh memuat turun sendiri perisian ini di laman web Adobe.

Bagaimanapun, sebelum memuat turun Adobe Reader yang digunakan dengan begitu meluas, anda patut mempertimbangkan juga pembaca PDF lain yang mungkin lebih baik.




Semasa mencari perisian Reader terkini untuk komputer baru ini, saya menemui aplikasi pembaca PDF bernama Foxit Reader yang pada pendapat saya lebih baik daripada Adobe Reader. 

Sebagai seorang yang banyak membaca dokumen PDF, sama ada laporan penyelidikan, laporan tahunan atau e-book dalam bentuk PDF, pembaca PDF yang baik amat penting.

Dengan Foxit Reader, pelbagai perkara boleh dilakukan, termasuk menulis teks; melukis bentuk gambar; menandakan dan menggariskan teks; melukis gaya bebas; menyertakan gambar, audio dan video; dan juga memasukkan fail atau pautan Internet.

Satu lagi ciri yang menarik ialah perisian ini turut menyediakan fungsi print to PDF. Ini bermakna kebanyakan dokumen dan laman web, tanpa mengira formatnya boleh ditukarkan menjadi PDF dengan menekan print.

Satu contoh bagaimana saya menggunakan fungsi ini ialah invois yang saya hantar kepada pelanggan.  Saya tidak perlu lagi menghantar invois dalam bentuk kertas, hanya perlu print to PDF dan hantar menerusi emel, tanpa mengira perisian apa yang anda gunakan untuk menjana invois tersebut.

Anda juga boleh print to PDF artikel blog ini dan menyimpannya dalam bentuk PDF dalam komputer anda dengan begitu mudah.

Selain itu anda juga boleh meletakkan cop atau tera pada dokumen, dan boleh mereka bentuk cop anda sendiri.  Contohnya seperti DITERIMA, SUDAH DIBAYAR atau SULIT.

Berikut adalah contoh PDF yang telah ditandakan:


Dari segi pelaburan, saya dapat merujuk kembali semua nota dan maklumat yang saya tandakan dengan mudah apabila menyelidiki sesebuah syarikat.  Semasa mengumpulkan maklumat untuk penulisan pula, segala 'tools' yang ada membolehkan saya merujuk kembali maklumat penting daripada pelbagai sumber.

Sememangnya perisian percuma ini sangat berguna, sama ada bagi pembaca ebook tegar, penulis atau pemilik perniagaan kecil yang mahu mengurangkan penggunaan kertas dalam perniagaan.  Foxit PDF boleh dimuat turun di http://www.foxitsoftware.com/Secure_PDF_Reader/.

Nota: Perisian ini juga disediakan untuk sistem operasi lama Windows XP, Vista SP2 dan Windows 7.

09 September, 2012

Berniaga dengan Modal Ekuiti atau Hutang?

Pertimbang dengan teliti keperluan modal apabila memulakan perniagaan

Modal yang dilaburkan apabila memulakan perniagaan berbeza-beza mengikut bidang niaga yang diceburi.  Ada sesetengah perniagaan yang memerlukan modal sehingga RM1 juta, ada yang hanya memerlukan RM100,000 manakala ada pula yang hanya memerlukan sedikit sahaja modal.

Menyediakan modal yang mencukupi juga amat penting kerana apabila mula berniaga, kita memerlukan masa untuk mencapai titik pulang modal. Sehingga perniagan mula meraih untung, ia perlu 'survive' dengan modal awal yang dilaburkan.

Malah, perniagaan yang berdaya maju sekalipun mungkin lingkup jika tidak cukup modal kerana tidak dapat membiayai pembelian aset, inventori atau kos operasi.



Terdapat dua jenis modal untuk memulakan perniagaan, iaitu modal ekuiti dan modal hutang.

Modal Ekuiti

Modal ekuiti atau modal saham ialah modal yang dilaburkan sendiri atau diterima daripada pelabur atau pekongsi lain.  Manfaat am menggunakan modal ekuiti ialah pelabur tidak perlu menanggung kos pinjaman dan tidak perlu membayar balik pinjaman tersebut.

Kelebihan menggunakan modal sendiri:
1.  Untung diperolehi 100% jika perniagaan amat berjaya
2.  Tidak terikat kepada mana-mana pihak
3.  Tidak perlu berbincang dengan sesiapa

Kelemahan menggunakan modal sendiri:
1.  Rugi ditanggung sendiri, mungkin menyebabkan kita kehilangan semua wang kita
2.  Tidak dapat memanfaatkan kepakaran pelabur / pekongsi lain

Kelebihan menggunakan modal pelabur / pekongsi lain:
1.  Boleh mengumpulkan jumlah yang lebih besar.
2.  Boleh berniaga walaupun kita sendiri tiada modal
3.  Boleh memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka

Kelemahan menggunakan modal pelabur / pekongsi lain:
1.  Keputusan besar mungkin perlu mendapatkan persetujuan mereka
2.  Terpaksa berkongsi untung jika perniagaan sangat berjaya
3.  Masalah besar jika perselisihan berlaku

Modal Hutang

Modal hutang pula modal yang dipinjam, sama ada daripada saudara-mara, bank atau Ah Long, Apabila pinjaman dibuat, kita memberikan komitmen untuk membayar balik pinjaman tersebut. Masalah besar timbul jika pinjaman tidak boleh dibayar balik, dan boleh menyebabkan peniagaan diiystiharkan muflis.  Tetapi masalah lebih besar dihadapi jika pinjaman dibuat daripada Ah Long, terutamanya dengan kadar pinjaman yang sangat tinggi.

Kelebihan menggunakan modal hutang:
1.  Walaupun terpaksa membayar ansuran pembiayaan, sebarang untung boleh disimpan sendiri. Ini bermakna kalau perniagaan untung besar, modal hutang memberikan manfaat lebih besar.
2.  Selagi ansuran dibayar balik, peminjam tidak campur tangan dalam perniagaan.

Kelemahan menggunakan modal hutang:
1.  Masalah besar jika perniagaan kurang berjaya
2.  Boleh menyebabkan peniaga muflis atau aset disita
3.  Boleh menjejaskan hubungan jika pemberi pinjaman ialah sahabat atau sanak-saudara

Apabila dibandingkan antara kedua-dua pilihan, pada pendapat saya modal hutang adalah lebih berisiko tetapi membolehkan peniaga mengekalkan kawalan penuh terhadap perniagaan.

Sementara itu modal ekuiti pula lebih rendah risikonya tetapi mungkin menyebabkan peniaga perlu merujuk kepada rakan kongsi atau pemegang saham lain sebelum membuat keputusan penting.  Di samping itu, keuntungan juga perlu dikongsi bersama.

Untuk perniagaan yang kecil, bagi saya cuba guna modal sendiri dahulu, iaitu mula dengan skala kecil-kecilan.  Jika permulaan skala kecil tidak berdaya maju, barulah cari jalan untuk mengumpulkan modal tambahan.  Keputusan perlu dibuat berasaskan ciri perniagaan dan kebarangkalian mencapai kejayaan.

Apa pun, keputusan tentang sumber modal sangat penting.  Saya pernah melihat orang yang jatuh muflis kerana menggunakan modal bank dan juga melihat mengalami masalah besar apabila menggunakan modal daripada Ah Long yang akan menuntut daripada saudara-mara.

Ramai orang yang memulakan perniagaan mungkin terlalu optimistik tentang potensi perniagaan yang diceburi sehingga mereka tidak mempertimbangkan senario dan kesannya jika perniagaan tersebut gagal.

26 Ogos, 2012

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

Datuk Hussamuddin kata kerja keras dan pembejalaran kunci kejayaan

Baru-baru ini, (Sabtu, 25 Ogos), usahawan tersohor dan pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah ditemu ramah di akhbar The Star.  Karangkraf ialah sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang disegani di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai majalah seperti Mingguan Kanak-Kanak, Bacaria, Media Hiburan dan juga akhbar Sinar Harian.


Saya pernah membaca kisah beliau di akhbar dan majalah lain, tetapi kali ini saya terbaca satu perkara amat penting yang saya dapati amat berguna untuk ditekankan dan dihebahkan kepada pembaca blog, terutamanya golongan muda yang ingin menjadi usahawan atau memulakan kerjaya.

Menurut usahawan terkenal ini, tidak ada jalan singkat untuk berjaya dan anda perlu melalui proses pembelajaran dan menimba pengalaman untuk sampai ke puncak. Tidak ada pengganti bagi proses ini.

Kata beliau lagi, kita telah menghabiskan masa satu generasi dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan ahli perniagaan Melayu tetapi tidak begitu berjaya.  Ini kerana kita sentiasa mahu mencari jalan mudah.

"Kita tidak boleh mengumpulkan sekumpulan bakal peniaga, menyuruh mereka mengikuti kursus dua atau tiga hari dan kemudian memberi mereka beberapa ribu ringgit untuk memulakan perniagaan kerana ini merupakan resipi kegagalan."

Pandangan beliau adalah seiring dengan penemuan yang dipaparkan dalam buku Outliers oleh Malcolm Gladwell dan Talent is Overrated oleh Geoffrey Colvin dan banyak kajian yang dijalankan terhadap bintang dan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang.

Kesimpulan yang mereka buat ialah penguasaan dalam sesuatu bidang memerlukan latihan dan pembelajaraan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan beliau. Isu sekarang ini ialah kita dapat melihat pelbagai kursus, seminar dan buku yang mendakwa bahawa anda boleh menguasai sesuatu bidang atau mula buat duit dengan pantas dengan hanya bekerja selama X jam dalam sehari.

Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada dunia perniagaan, tetapi juga dunia pelaburan, termasuk pelbagai jenis pelaburan seperti Forex, komoditi, saham dan emas.

Percambahan skim cepat kaya yang tetap dilanggan walaupun beribu-ribu orang sudah tertipu menunjukkan fenomena jalan pintas masih berleluasa di mana ramai orang percaya mereka boleh untung dengan cepat tanpa perlu bersusah-payah.

Ini tidak bermakna bahawa tiada seorang pun yang boleh mencapai kejayaan atau kekayaan besar dalam masa yang singkat, tetapi kejayaan ini adalah disebabkan sama ada oleh:

  1. Bakat yang amat luar biasa yang tiada pada hampir semua orang lain, 
  2. Nasib baik kerana  mengambil kesempatan daripada peluang keemasan yang timbul pada masa yang tepat 
  3. Menggunakan jalan yang tidak begitu lurus.
Hanya segelintir sahaja orang dapat mengambil kesempatan daripada pilihan satu dan dua manakala pilihan ketiga tidak harus dipertimbangkan langsung. 

Jika anda pergi ke kursus atau membaca buku untuk mula mempelajari atau menguasai sesuatu bidang, anggap tindakan tersebut sebagai satu langkah kecil sahaja dalam proses penguasaan yang mengambil masa bertahun-tahun, walaupun jika kursus mendakwa anda boleh melakukannya dalam masa 33 hari, 3 bulan dan sebagainya.

Bersabar, bekerja keras dan terus belajar dan sentiasa memperbaiki diri sendiri ialah jalan yang perlahan tetapi memberikan peluang paling tinggi untuk berjaya.

18 April, 2012

Sabar Dalam Perniagaan & Kerjaya

Sabar separuh daripada iman tetapi amat sukar diamalkan

Dalam kerjaya atau perniagaan, kita telah dan akan banyak menghadapi situasi yang menguji kesabaran kita. Berurusan dengan manusia dengan pelbagai ragam dan kerenah bukannya senang.

Perhubungan dengan rakan sekerja, orang bawahan dan bos pasti menimbulkan konflik dan masalah.  Dalam banyak keadaan kita perlu bersabar terutamanya jika orang bawahan selalu buat hal dan bos pula sering mendesak.

Begitu juga jika kita mengendalikan perniagaan kecil atau bekerja dalam syarikat kecil. Memang kita bukan 'priority' utama bagi pelanggan, pembekal, agensi kerajaan dan institusi kewangan.  Keperluan dan kehendak anda jarang disegerakan.

Sebagai contoh, apabila berurusan dengan bank dalam hal ehwal pembiayaan, anda sebenarnya tertakluk kepada 'budi bicara' mereka, sedangkan dalam iklan atau risalah, mereka kata anda amat dihargai. Begitu juga apabila berurusan dengan agensi kerajaan.

Walau apa pun, anda perlu 'push' mereka dan mengetengahkan kes anda.  Tidak ada jalan lain kerana lazimnya organisasi besar tiada urgency dan anda perlu bersabar dan terus membuat pertanyaan susulan dengan cara yang baik.

Apabila berurusan dengan pelanggan pula, terutamanya pelanggan yang amat besar, memang anda perlu bersabar.  Mereka tidak perlu menjawab komunikasi anda tetapi anda perlu menjawab komunikasi seperti emel daripada mereka dengan serta-merta.

Mereka lambat atau berat menjawab bukan kerana tidak hormat atau sebagainya, cuma anda tidak begitu penting dalam urusan mereka.

Tetapi lebih banyak kesabaran diperlukan apabila berurusan dengan orang yang memang tidak bermoral dan beretika.  Mereka tidak  mengotakan apa yang mereka kata.  Dokumen yang ditandangani pun kadangkala tiada makna apa-apa.

Tahap kesabaran lebih tinggi lagi diperlukan apabila berurusan dengan orang yang pandai putar-belit.  Semalam cakap satu dan hari ini pula cakap lain.  Akhirnya tahap kesabaran yang paling tinggi diperlukan apabila berhadapan dengan orang yang menipu bulat-bulat.  

Walau apa pun situasi, kita perlu bersabar.  Memang sukar kerana dalam keadaan ini kita rasa seperti nak melenting sahaja dan inilah juga merupakan salah satu kelemahan saya.  Anggap sebagai ujian daripada Allah.  Lagipun kesabaran akan memberikan ketenangan dan manfaat di dunia dan akhirat

Kalau anda ada masa sejam, cuba dengar ceramah berikut daripada Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe mengenai kesabaran.




Apabila menghadapi dugaan, kerenah atau 'roadblock', pada pendapat saya kita perlu sabar tetapi terus 'push' atau terus berusaha untuk mengenepikan rintangan, sehingga matlamat dicapai. Ini perlu dilakukan walaupun kita terpaksa berurusan dengan orang yang tidak menghormati kita.

Jika membabitkan pelanggan perniagaan, selesaikan masalah dahulu dengan mereka dan jangan berurusan lagi dengan mereka jika kerenah yang dibuat terlalu berat.  Tetapi jika perkara kecil, sabar saja dan terus berurusan dengan mereka.  Apa nak buat, kita perlu cari makan! 

Sebaliknya jika membabitkan urusan sekali seperti jual beli hartanah atau urusan pinjaman bank, terus berusaha dan tunjukkan anda serius dan pasti akhirnya satu jalan penyelesaian akan terbuka kepada anda.

Kesabaran ternyata satu sifat yang amat penting dalam perniagaan dan kerjaya. 

Nota:  Saya menulis posting kali ini pertama sekali untuk diri sendiri supaya mengelakkan diri daripada 'melenting' dan kedua untuk pembaca.  Bila dah nasihatkan orang lain untuk bersabar, tentulah kita sendiri perlu mengamalkannya terlebih dahulu.

11 April, 2012

Pilihan Pembiayaan Modal Kerja Islam

Boleh terangkan tentang pembiayaan modal kerja dalam perbankan Islam? Bagaimanakah produk yang ditawarkan? Adakah murabahah, mudharabah, musyarakah termasuk dalam kategori pembiayaan modal kerja?

Bagi pembiayaan modal kerja, kemudahan yang ditawarkan adalah mirip overdraf perbankan konvensional tetapi diubah untuk mematuhi keperluan syariah dan ciri kemudahan adalah berbeza di antara bank.

Saya dapati ada pelbagai kontrak yang digunakan, termasuk Bai Al' Inah, Bai Murabahah dan Bai Bithaman Ajil. Semuanya menggunakan konsep jualan dan bayaran balik tertunda, dan bukannya Mudarabah atau Musyarakah.  Berikut adalah maklumat yang saya kumpulkan daripada beberapa Bank.

CIMB

Term Financing-i
Menggunakan konsep Bai' Bithaman Ajil atau Bai' Al' Inah dan disediakan untuk perusahaan dan syarikat perniagaan. Untuk pembelian aset tetap, modal, modal kerja, pembiayaan penyambung dan segala tujuan lain. Ditawarkan pada kadar untung tetap atau berubah.

Cash Line-i
Untuk modal kerja jangka pendek, kemudahan ini ditawarkan dengan kadar siling yang ditetapkan. Produk menggunakan konsep Bai Bithaman Ajil and Bai Al' Inah.  Tiada yuran dikenakan bagi bahagian pembiayaan yang tidak digunakan.
 
Bank Muamalat

Murabahabah Working Capital Finance
MWCF-i boleh digunakan oleh pelanggan untuk beli barang dagangan dan juga bahan mentah.  Kemudahan ini diberikan utnuk membiayai keperluan modal kerja jangka pendek di mana Bank membelikan produk dan pelanggan membayar balik secara tertunda.


Maybank

Produk Maybank dinamalan Cash Line-i seperti CIMB tetapi mengggunakan konsep Murabahah sepertu Bank Muamalat. Membolehkan pelanggan memanfaatkan pembiayaan untuk membeli barangan untuk perniagaan mereka.

OCBC Al Amin

Juga menggunakan nama Cash Line-i tetapi menggunakan kontrak Al' Inah.  Digunakan untuk membiayai modal kerja untuk jangka pendek

Al Rajhi

Produk paling hampir dengan pembayaan modal kerja dinamakan structured commodity financing, digunakan untuk membeli barangan khusus di mana bank membiayai dulu perbelanjaan tersebut dan pembeli membayar balik secara ansuran.  Kontrak Bai Bithaman Ajil digunakan.

Secara peribadi, saya akan memilih produk yang menggunakan konsep Murabahah dan mengelakkan Al' Inah.  Murabahah ialah satu kontrak jual beli dengan elemen bayaran tertunda.  Ini bermakna pembeli meminta Bank untuk membeli aset pada kos (harga belian) dan sebagai balasan Bank akan menjual aset kepada pembeli pada margin untung yang dipersetujui di dalam harga jualan. Harga jualan seterusnya perlu dibayar secara tertunda,

Secara kesimpulannya, jika  membiayai operasi perniagaan, lazimnya kontrak yang digunakan adalah kontrak jual beli seperti yang disebutkan di atas. Ada juga bank yang menggunakan konsep ijarah untuk membeli aset besar terkhusus (bukan untuk modal kerja).

Sila hubungi Bank untuk maklumat lanjut.  Kalau tak silap saya, aliran tunai perniagaan anda menjadi antara faktor paling penting untuk menentukan sama ada pembiayaan diberikan atau tidak. 

Nota: Saya tidak mempunyai kelayakan khusus dalam kewangan Islam tetapi telah menyelidik maklumat untuk membantu pembaca. Harap maklumat ini dapat membantu. Jika ada kesilapan sila betulkan.


04 April, 2012

Ilmu Yang Perlu Diketahui Sebelum Berniaga

Lebih teliti persediaan yang dibuat, lebih rendah peluang kegagalan

Bukan mudah untuk memulakan perniagaan.  Seorang yang mahir bekerja dalam sesuatu bidang tidak semestinya boleh berniaga dalam bidang tersebut. Contohnya, seorang tukang masak yang hebat tidak semestinya berjaya jika membuka rangkaian restoran. Seorang akauntan berwibawa tidak pasti untung jika membuka firma perakaunan. Seorang doktor yang cemerlang tidak semestinya berjaya jika membuka klinik sendiri.

Kemahiran khusus dalam bidang yang diceburi akan memberikan sedikit kelebihan, tetapi biasanya pelbagai ilmu lain yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah perniagaan.  Kita sedia maklum bahawa lebih banyak perniagaan baru yang gagal daripada berjaya. Untuk memastikan kita adalah antara yang berjaya, berikut adalah beberapa bidang ilmu dan kemahiran yang perlu ditimba:

1.  Pengetahuan Mengenai Industri

Maklumat ini penting untuk mengetahui siapakah pesaing dan siapakah bakal pelanggan kita, walaupun perniagaan kita amat kecil.  Bolehkah kita memasuki pasaran sasaran kita dan merebut pelanggan daripada pesaing? Adakah industri kita akan terus berkembang?  Bolehkah pesaing lain masuk dalam industri dengan mudah?  Apakah kelebihan kita berbanding pesaing?  Semua soalan ini perlu dijawab dengan teliti sebelum bermula

2.  Perakaunan dan Pentadbiran

Kita perlu mengetahui maklumat asas tentang perakaunan, walaupun jika kita 'outsource' fungsi perakaunan kita.  Ini kerana faktor yang membabitkan pengiraan untung rugi seperti titik pulang modal, penetapan harga, kos tetap dan berubah, anggaran untung kasar dan untung bersih semuanya perlu dipertimbangkan untuk menentukan sama ada perniagaan berdaya maju sebelum perniagaan dibuka.

Selain itu hal ehwal pentadbiran juga penting. Contohnya, bolehkah dan mampukah  kita menggaji pekerja? Kita juga perlu fasih tentang selok-belok segala pendaftaran yang perlu dibuat dengan agensi kerajaan dan juga urusan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Saya pernah melihat syarikat menghadapi masalah besar kerana mengabaikan urusan dengan LHDN.

3.  Modal dan Aliran Tunai

Apakah sumber pembiayaan kita dan adakah aliran tunai kita dapat menampung operasi perniagaan sehinggalah perniagaan berdaya maju dan dapat pulang modal dengan sendiri?  Adakah kita mempunyai modal kerja yang secukupnya untuk meneruskan perniagaan sekiranya tempoh pulang modal dilengahkan? Kadangkala sesuatu perniagaan itu lingkup walaupun bisnes mula berkembang.  Ini kerana perniagaan tersebut hanya memerlukan setahun lagi untuk pulang modal, sedangkan mereka sudah kehabisan modal dan aliran tunai .

4.  Jualan dan Pemasaran

Ini adalah faktor yang mungkin paling kurang diberi perhatian, terutamanya oleh mereka yang pakar dalam sesuatu bidang yang membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri.  Usahawan perlu menjual dan kemahiran menjual adalah sesuatu yang amat sukar dipelajari oleh sesetengah orang.  Saya sendiri mempunyai kelemahan dalam bidang ini.

Pemasaran pula membabitkan usaha membawa produk dan perkhidmatan anda ke pasaran, dan termasuk promosi dan penetapan harga.  Pendek kata, selain daripada berupaya membekalkan produk dan perkhidmatan, seorang usahawan baru perlu menetapkan minda untuk sentiasa mempromosi perniagaannya dalam segala  keadaaan, sama ada dalam dunia sebenar, laman web, blog laman sosial dan sebagainya.

5.  Perkhidmatan Pelanggan

Bidang ini juga sering menimbulkan kerumitan yang tidak diduga.   Jika dulu apabila bekerja dengan orang lain, ada jabatan lain yang mengendalikan kerenah pelanggan.  Tetapi sekarang ini usahawan sendiri bertanggungjawab dan perlu menyelesaikannya jika kakitangan beliau tidak mampu. Justeru, kemahiran perhubungan peribadi juga perlu dibina sekiranya perniagaan melibatkan interaksi yang kerap dengan pelanggan, sama ada sebelum atau selepas jualan.

Sebenarnya, transformasi daripada seorang pekerja mahir atau perunding pakar kepada usahawan bukannya mudah dan bukan untuk semua orang.  Pertimbangkan sama ada anda sanggup mempelajari ilmu berniaga dan melayan segala masalah yang pasti timbul apabila menjalankan perniagaan. 

Tetapi bagi yang sanggup menghadapi segala kerumitan, risiko dan cabaran pada peringkat awal perniagaan,  mereka berpotensi meraih pulangan yang lumayan dan kepuasan membina sesuatu yang diusahakan sendiri apabila perniagaan sudah mula berdaya maju.

16 Januari, 2012

14 Tahun Bekerja Dari Rumah

Pejabat di rumah kini satu alternatif yang berdaya maju

Tahun ini masuk tahun ke-14 saya menjalankan perniagaan dari rumah.  Walaupun pada mulanya bekerja dari rumah ini kurang glamor dan ramai yang sangsi sama ada kita betul-betul bekerja, situasi di alaf baru ini sudah berubah, terutamanya dengan meledaknya perniagaan  Internet, menjadikan kerja dari rumah satu alternatif yang diterima.



Saya rasa adalah mustahil untuk mengendalikan perniagaan besar di rumah, tetapi perniagaan kecil dengan untung yang agak memuaskan boleh diusahakan, terutamanya perniagaan berkaitan dengan perkhidmatan dan tidak semestinya bisnes Internet sahaja.

Selain daripada berniaga, syarikat korporat di negara Barat juga ada yang menganjurkan skim di mana kakitangan mereka boleh bekerja dari rumah untuk beberapa hari dalam seminggu.  Ini amat berguna terutamanya bagi kaum ibu yang boleh menguruskan hal-ehwal rumah mereka sambil bekerja.

Kerja dari rumah ini bukan untuk kaum wanita sahaja.  Tidak ada masalah langsung bagi lelaki untuk melakukannya juga.  Saya sendiri sentiasa bersama anak-anak, yang suka bermain di dalam pejabat saya dan telah melihat mereka membesar.  Di samping itu, di kiri kanan saya setiap hari ada sahaja kucing yang masuk dan lepak dalam 'office' sambil saya bekerja.



Jangan anggap kerja di rumah ini relaks sahaja.  Setiap hari saya menghadapi beberapa 'deadline' dan tidak pernah ambil cuti sakit untuk satu hari penuh (separuh hari ada).  Bukan tak pernah sakit tetapi buat kerja juga kerana tak mahu menghampakan pelanggan.

Setiap hari memang kerja sampai malam, kadangkala antara sampai pukul 12, tetapi yang 'best' saya lazimnya sempat tidur sejam selepas makan dan juga meluangkan masa 1 - 2 jam untuk bersenam pada waktu petang sebelum menyambung kerja pada waktu malam.

Kerja dari rumah bukan untuk semua orang.  Ramai yang suka pergi ke pejabat korporat untuk berinteraksi dengan rakan sepejabat dan pihak lain.  Apabila kerja dari rumah, interaksi kebanyakannya adalah dengan pelanggan, dan sebahagian besar menerusi telefon dan emel sahaja.  Tetapi kelebihannya ialah kita tidak perlu melayan kerenah politik pejabat dan tak perlu mengagumkan atau 'impress' sesiapa kecuali pelanggan.

Setiap hari saya tak perlu meredah kesesakan lalu lintas di KL. Sekali-sekala apabila saya ada urusan luar yang menyebabkan saya terpaksa balik jam 6.00 petang dan ke atas, saya terkena juga 'jam' dan pada waktu itu saya rasa bersyukur tak perlu melaluinya setiap hari.

Sekarang ini terdapat banyak juga perkhidmatan yang menawarkan alamat pejabat di bangunan berprestij dengan perkhidmatan menjawab telefon dikongsi bersama di mana anda membayar  sejumlah kecil sahaja sebulan untuk mendapatkan alamat ini supaya nampak hebat di mata pelanggan, pembekal dan pembiaya.

Tapi saya tak perlu semua ini kerana pelanggan saya memang tahu saya bekerja dari rumah dan mereka ini termasuk syarikat multinasional dan syarikat tersenarai.  Mereka bukan nak lihat pejabat korporat atau ciri luaran. Mereka hanya mahukan kerja yang bermutu tinggi dan disiapkan tepat pada masanya.

Bukan semuanya 'best' tentang bekerja dari rumah.  Kadangkala ada pihak yang bagai kurang percaya kita sebenarnya bekerja.  Selain itu, pernah sebuah bank Islam asing menolak permohonan pembiayaan saya kerana kurang senang saya bekerja dari rumah. Tetapi tidak mengapa sebab ada bank lain yang sudah lama berurusan dengan saya yang sanggup memberikan pembiayaan.

Walau apa pun, memulakan perniagaan dari rumah adalah alternatif yang berdaya maju.atau viable. Terutamanya jika anda baru memulakan perniagaan dan mahu melihat sama ada perniagaan ini ada potensi.  Jika perniagaan makin pesat, bolehlah mula cari pejabat atau kedai untuk disewa.

Di kalangan rakan dan saudara, ada seorang kontraktor binaan yang juga mempunyai pejabat dari rumah. Beliau pun macam saya juga, tidak sanggup bersaing di alam korporat.  Sementara itu, peguam saya juga semakin kerap menghabiskan masa bekerja dari rumah, walaupun ada pejabat di sendiri.  Di samping itu, saya juga mengenali beberapa pengusaha Internet yang bekerja dari rumah.

Bagi saya, walaupun sekarang memang sudah mampu sewa pejabat, saya tidak akan melakukannya buat masa ini selagi ada ruang yang cukup dalam rumah untuk menempatkan kakitangan. Bekerja dari rumah ialah satu pilihan gaya hidup peribadi yang mungkin sesuai dengan segelintir orang yang bosan dengan kerenah dunia korporat dan keadaan lalu-lintas yang sesak.

14 September, 2011

Fokus kepada Kecemerlangan

Terlalu banyak tumpuan kepada 'buit duit' atau 'jana wang'

Sejak beberapa tahun lepas, seiring dengan perkembangan Internet, saya lihat pelbagai skim atau usaha yang menjanjikan anda boleh buat duit dengan pantas.

Malah dalam pelaburan saham juga, saya membaca tentang perisian yang menjanjikan anda boleh capai untung tanpa mengetahui sebarang analisis fundamental atau teknikal.

Kalaulah hidup ini begitu senang, tak payahlah orang bersusah payah bekerja dan menimba ilmu!

Malah saya sendiri pernah menghadiri beberapa seminar yang mendakwa anda boleh menghasilkan produk atau perkhidmatan atau menulis buku walaupun anda bukan pakar.

Tumpuan diberikan kepada pemasaran produk dan individu, yang dikatakan faktor paling penting untuk menarik dan mendapatkan pelanggan.

Saya amat setuju bahawa pemasaran adalah kaedah penting untuk mendapatkan pelanggan, tetapi kepakaran dan kecemerlangan diperlukan untuk mengekalkan mereka.

Menurut Tom Peters, yang pernah terkenal dalam satu masa dulu dengan buku 'In Search of Excellence', jika kita memberi tumpuan kepada kecemerlangan,  hasil dan untung akan menyusul.

Bagi saya dalam segala apa yang kita lakukan, nilai tambah perlu diwujudkan. Kita perlu bertanya adakah apa yang kita lakukan sebenarnya memberi nilai kepada masyarakat.

Jika tidak kita akan buat duit 'atas angin' atau tanpa menambah apa-apa nilai. Memang ada orang boleh jadi kaya dengan cara ini, tetapi kita perlu tanya apakah manfaat kita kepada masyarakat.

Dengan melakukan sesuatu yang bernilai dengan cemerlang, anda berpeluang untuk terus meningkat dalam kerjaya atau perniagaan.

Berusaha memberikan produk atau perkhidmatan cemerlang dan kemungkinan besar kejayaan akan menyusul, dari segi kewangan atau dalam bentuk lain.

Lazimnya tiada jalan singkat melainkan berusaha gigih membina kepakaran dan mencapai kecemerlangan, walaupun ia mungkin mengambil masa beberapa tahun.

13 Jun, 2011

Bersedia Untuk Perkara Luar Jangka

Baik dalam perniagaan mahupun semasa melaksanakan urus niaga atau projek besar pasti ada perkara tidak diduga yang perlu ditangani

Berasaskan pengalaman sendiri dan juga daripada biografi usahawan dan pelabur terkenal yang saya baca, satu persamaan yang saya temui ialah perkara luar jangka pasti tidak dapat dielakkan.

Sama ada anda melakukan urus niaga besar, seperti jual beli rumah atau mengambil alih atau menjual pernigaan, atau anda melaksanakan projek penting dalam urusan kerjaya atau bisnes anda, perkara yang di luar perancangan pasti muncul.

Satu cara untuk menghadapi situasi tersebut ialah menyenaraikan segala masalah yang mungkin timbul dan berusaha merancang untuknya satu persatu.

Tetapi cara yang lebih praktikal ialah memahami dari mula bahawa masalah akan berlaku dan menyelesaikan masalah secara kreatif apabila ia timbul.

Sebagai contoh, apabila melakukan urus niaga seperti jual beli hartanah umpamanya, pelbagai masalah mungkin timbul semasa berurusan dengan bank, peguam, pemaju dan juga pejabat tanah.

Begitu juga dengan projek, antara kerumitan yang mungkin timbul termasuk pembiayaan, sekatan yang tidak diduga, pembekal yang tidak menepati janji atau bayaran yang tidak dibuat tepat pada masanya.

Selain itu kalau kita merancang untuk melancarkan produk, mungkin produk terlewat atau terlengah kerana masalah teknikal yang sukar diselesaikan atau kakitangan yang berhenti secara tiba-tiba.

Perkara yang paling penting apabila menghadapi masalah sebegini ialah bukannya menghantuk kepala di dinding tetapi terima hakikat bahawa situasi sudah berlaku dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk terus melangkah ke hadapan.

Kadangkala penyelesaian memerlukan anda menukar jalan atau hala tuju sama sekali.  Walau apa pun, satu perkara paling penting yang perlu diingat ialah:

Peristiwa yang sudah berlaku ialah kos lepas atau sunk cost.  Jangan diambil kira apabila memikirkan penyelesaian terbaik untuk masa depan.

Jika kita sibuk memikirkan masa dan tenaga yang kita curahkan dalam sesuatu projek, kita mungkin tidak dapat mencari jalan terbaik, yang mungkin memerlukan kita mengambil satu langkah ke belakang dan mengambil jalan lain.

Paling utama, kita perlu terus bergerak dan terus mencari jalan penyelesaian.  Walaupun kita mengalami kelewatan atau terpaksa melangkah ke belakang atau ke arah lain, kita perlu terus bergerak.

Akhirnya pergerakan kecil kita yang dibuat langkah demi langkah, apabila digabungkan bersama, akan membina momentum yang membawa kepada kejayaan dalam urus niaga, projek atau perniagaan.

06 April, 2011

Penuhi Janji Kepada Pelanggan

Mengotakan kata anda salah satu daripada teras perniagaan

Dalam menjalankan perniagaan, salah satu perkara paling penting yang menentukan kejayaan ialah menepati janji kepada pelanggan. Jika anda janji akan datang pada jam 3.00 ptg, pastikan anda sampai pada waktu itu. Jika anda janji untuk siapkan sesuatu projek menjelang hari Isnin, pastikan hari Isnin sudah siap. Kalau anda janji nak hantar barang yang dipesan pada hari esok, pastikan ia sampai kepada pelanggan esok walau apa pun keadaan cuaca.

Jangan buat janji kalau anda tak pasti dapat menunaikannya. Saya sendiri akan menolak tugasan yang mungkin tidak pasti dapat disiapkan dalam tempoh yang dikehendaki, walaupun  terpaksa melepaskan untung daripada tugasan tersebut..

Konsep ini tersangatlah mudah tetapi anda mungkin terkejut berapa banyak perniagaan yang tidak mengutamakannya.

Selain itu, jangan hanya mementingkan pelanggan sahaja, tetapi jangan lupa pembekal anda.  Jika anda janji nak bayar dalam masa 30 hari, bayarlah dalam tempoh itu.  Anda mungkin rasa anda sebagai pelanggan boleh buat sesuka hati dengan pembekal, tetapi siapa tahu, apabila anda benar-benar terdesak, mereka tidak mahu membekalkan anda kerana tidak percaya dengan cakap anda.

Sebenarnya konsep menepati janji ini satu amalan dan etika perniagaan yang baik.  Tetapi saya tahu bahawa ada yang tidak mengamalkannya.  Saya amat tak suka kalau saya dilayan dengan baik dan pelbagai kata-kata manis ditabur tetapi bila tiba waktu untuk penyerahan, janji tidak dikotakan dan pelbagai alasan diberi.

Memang kita tidak boleh melakukannya setiap kali dan mungkin ada sekali-sekala, kita gagal memenuhi janji atas sebab yang tidak boleh dielakkan, tetapi kita perlu pastikan bahawa sebab itu benar-benar tidak boleh dielakkan dan meminta maaf kepada pelanggan.

Salah satu matlamat perniagaan ialah mencatatkan seberapa banyak jualan yang mungkin tetapi bukan dengan mengorbankan janji perkhidmatan kita kepada pelanggan.  Bila kita memenuhi janji, kita dianggap sebagai boleh dipercayai. Faktor kebolehpercayaan adalah salah satu sebab utama mengapa pelanggan lebih suka memilih kita.

03 Oktober, 2010

Penting Untuk Menilai Pelanggan

Bukan Semua Pelanggan Boleh Kita Terima

Jika kita membuka perniagaan runcit (retail), isu penilaian pelanggan tidak menjadi masalah kerana segala urusan dibuat secara runcit dan tunai diterima dengan serta-merta. Begitu juga banyak perniagaan online yang tidak melibatkan interaksi, kerana perniagaan seperti ini biasanya menerima pembayaran tunai terdahulu, sebelum penghantaran barang dibuat..

Namun begitu, ada banyak bisnes lain yang melibatkan perkhidmatan, kontrak dan jual beli pukal dan sebagainya yang memerlukan pemberian kredit dan membabitkan  ketidakpastian.  Dalam perniagaan sebegini, pemberian kredit adalah lumrah dan kalau nak berniaga kita perlu memberikan kemudahan kredit.

Dalam keadaan inilah kita perlu berhati-hati dalam pemilihan pelanggan kerana jika mereka tak bayar atau buat kecoh, hampir tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan, terutamanya jika perniagaan kecil. Cuba bayangkan jika mereka hutang anda RM3,000 dan  mereka tak mahu bayar.

Jadi macam mana nak kutip?  Takkan nak pergi mahkamah? Kos peguam saja dah lebih RM3,000 dan pelbagai kerenah yang perlu dilalui. Baik lupakan sahaja.  Saya pernah kena kes sebegini dan begitu juga dua tiga orang kenalan lain yang mengendalikan perniagaan kecil.  Malah ada pelanggan mereka yang berani mengatakan "What are you going to do about it?" kerana tahu perniagaan kecil tak mampu pergi mahkamah.

Cara terbaik ialah membuat penilaian di peringkat awal lagi. Kita perhatikan tindak-tanduk mereka semasa berurusan dengan kita. Mungkin buat kali pertama anda boleh tetapkan syarat bayar tunai dulu dan jika dah yakin baru beri kemudahan kredit.

Selain daripada memilih pelanggan untuk memastikan pembayaran, satu lagi sebab ialah mengelakkan pelanggan yang terlalu banyak kerenah.  Jika sudah komited dengan satu projek dengan pelanggan sebegini, habiskan dulu projek atau kontrak tersebut dengan sebaik mungkin. Puaskah hatinya, malah bagi diskaun lagi kalau dia tak puas hati. Lepas itu, kalau boleh jangan terima lagi kerja daripada pelanggan ini.

Sebab terakhir untuk memilih pelanggan ialah untuk mengelakkan rasuah. Sesetengah pelanggan ada pelbagai kerenah.  Mungkin ada yang nak minta 'dummy invoice', atau yang mahukan 'kickback' kerana memilih syarikat anda untuk melaksanakan tugas.

Terus-terang saya katakan pada satu masa dulu saya pernah melayan permintaan seperti ini.  Namun begitu, saya rasa tak sedap hati dan akhirnya pada satu ketika saya membuat keputusan untuk langsung tidak layan dan kalau tak dapat bisnes, tak kisahlah.  Saya agak bernasib baik kerana dalam bidang saya, memang tak perlu lakukan perkara ini.  Tapi saya tahu ada satu dua bisnes lain yang mungkin sukar untuk 'survive' kalau tak buat perkara seperti itu.

Walau apa pun, kesimpulannya ialah jangan kita asyik fikir yang hanya pelanggan yang akan pilih kita, kita juga perlu nilai pelanggan untuk memastikan bisnes kita bersih, cekap dan amanah.

28 Jun, 2010

Era Ekonomi Percuma

Percuma jadi daya penarik utama

Saya sedang membaca buku bertajuk Free oleh Chris Anderson (yang lebih terkenal dengan pertamanya The Long Tail), yang menerangkan tentang era ekonomi percuma masa kini.

Kalau satu masa dulu, kita hanya boleh menonton TV dan mendengar radio secara percuma, kini ekonomi percuma atau free economy telah menular dan semakin berkembang di alam siber.

Jika kita lihat sekarang, apabila anda membeli komputer, janda tidak perlu membayar untuk sebarang perisian sekiranya anda sanggup menggunakan sistem operasi Linux dan memanfaatkan Open Office atau Google Docs

Selain itu, segala jenis perisian diberikan percuma, termasuk perisian menulis blog, membuat borang web (yang saya gunakan di lama web saya), emel, e-book tertentu dan juga kebanyakan video yang dilihat di YouTube.

Anda juga boleh membaca pelbagai akhbar di dalam talian secara percuma, sehingga ini menjejaskan edaran akhbar fizikal. Malah, fenomena akhbar kertas diberikan percuma juga mula merebak di Malaysia.

Di luar dunia Internet pula, banyak lagi yang percuma tetapi dengan syarat, sebagai contoh modem percuma jika langgan pakej broadband, hadiah percuma jika kumpul mata dan sebagainya.

Malah ada syarikat yang menawarkan percutian percuma jika kita sanggup mendengar pembentangan mereka mengenai program keahlian percutian mereka. Selain itu, saya juga sering mendapat tawaran insurans atau takaful kemalangan peribadi percuma hanya kerana saya melanggan Astro atau menjadi pelanggan DiGi umpamanya.

Tetapi kita perlu berhati-hati tentang 'percuma'.
1. Ada percuma yang betul-betul percuma dan sangat bermanfaat
2. Ada yang percuma tetapi kurang bermanfaat
3. Ada yang percuma tetapi mungkin membawa mudarat dan kos kewangan kerana mengikat anda kepada kontrak tertentu.

Saya tidak akan memberi contoh produk dalam kategori 2 dan 3. Tetapi contoh dalam kategori produk 1 termasuklah produk perisian percuma, akhbar percuma dan juga e-book percuma. Selain itu ceramah agama percuma yang dipaparkan di YouTube juga amat berguna. Blog-blog hebat seperti blog Ustaz Zaharuddin pula sungguh bermanfaat.

Walau apa pun, dalam ekonomi percuma masa kini, manfaatkan segala produk percuma yang ditawarkan tetapi berwaspada tentang kategori produk 3 yang saya sebutkan di atas.

Jika anda menjalankan perniagaan pula, anda perlu prihatin bahawa ramai pengguna kini mengharapkan sesuatu yang percuma, terutamanya jika anda beroperasi dalam dunia digital.

Pastikan anda bersiap-sedia untuk menghadapi situasi di mana pesaing anda mula menggunakan model ekonomi percuma. Tetapi lebih baik jika anda terlebih dahulu menggunakan model ini demi manfaat perniagaan anda.

Jadi sempena dengan era percuma ini, saya pun nak menawarkan produk percuma, iaitu himpunan 100 rencana percuma daripada blog ini serta 3 rencana tambahan yang lebih panjang. Tapi ebook ini hanya untuk mereka yang membeli salah satu buku saya menerusi laman web saya.


Sebenarnya semua artikel ada di dalam blog ini cuma tiada cara yang mudah untuk mencarinya berasaskan topik yang lebih khusus. Saya juga menyertakan nota tambahan mengenai perkembangan terkini.

Semua pembeli buku dari laman web saya sebelum ini juga boleh mendapatkannya. Emel saya dan saya akan hantarkannya kepada anda.

24 Mac, 2010

Saya tak faham....

Saya tak faham kenapa kita nak kerja dispac sedangkan kita boleh kerja di kedai mamak atau restoran lain...apa yang boleh kita belajar jadi dispac, sedangkan bila kerja restoran kita boleh belajar selok-belok berniaga.

Saya tak faham kenapa kita nak kerja 'admin' sedangkan kita boleh kerja dalam industri pembinaan...bukankah kalau kita belajar ikat batu-bata, lama-lama kita pandai bina.

Saya tak faham kenapa kita nak kerja kerani sedangkan kita boleh jadi tukang cat...tukang cat boleh dapat kurang-kurang RM75 sehari, tetapi kadangkala RM100 atau lebih...lepas tu jadi kontraktor cat.

Saya tak faham kenapa kita nak rebut-rebut bawa teksi sedangkan lebih berbaloi kalau kita belajar bawa traktor...bukankah bawa traktor dan kemudian beli traktor sendiri lebih besar ganjarannya.

Saya tak faham kenapa kita nak jadi driver orang sedangkan kita boleh belajar cuci kolam renang atau cuci pejabat atau cuci apa saja...dan lepas tu lama-lama miliki bisnes cuci.

Saya tak faham kenapa kita suka main skim cepat kaya (menurut Ust. Zaharuddin, kita No.2 di dunia di belakang Amerika) tetapi liat untuk membina kerjaya atau perniagaan yang menghasilkan nilai ekonomi sebenar.

Saya tak faham kenapa kita sanggup duduk dalam office berhawa dingin tapi gaji lebih kurang seribu sahaja sedangkan kita boleh ambil risiko dan berniaga...apa risiko anda? Gaji RM12,000 setahun?? Sedangkan potensinya hanya dibatasi kesanggupan anda berusaha.

Rupanya masih banyak yang saya tak faham...

25 Januari, 2010

Port Dickson Kembali Pesat?

Pembangunan lebih teratur dan laut lebih bersih

Pada satu ketika dulu, sebelum krisis kewangan Asia, begitu banyak pembangunan dilihat di Port Dickson, terutamanya service apartment yang ditawarkan kepada orang ramai.

Malangnya, pada pandangan mata saya, pembangunan dilakukan dengan tidak teratur dan ada projek yang terbengkalai. Bagi projek yang tidak terbengkalai pun, ramai pembeli yang rugi, kerana harga beliau apartment lebih tinggi daripada nilai di pasaran, terutamanya selepas krisis Asia 97/98.

Sementara itu pembangunan tidak teratur juga menyebabkan pencemaran pantai dan air laut. Malah ada satu ketika saya tidak begitu berminat lagi pergi ke Port Dickson.

Namun begitu sejak kebelakangan ini, saya telah beberapa kali berkunjung ke sana kerana pengalaman menarik dan laut yang lebih bersih. Pertama sekali walaupun banyak yang perlu diberbaiki dan peninggalan projek terbengkalai masih ada, pembangunan dilihat lebih teratur dari dulu.

Kedua pantai di Batu 5, dari Bayu Beach sehingga ke Residence Desa Lagoon adalah agak menarik dan lebih bersih dulu. Selain itu Pantai Blue Lagoon dan Pantai Cermin (kedua-dua di Tanjung Tuan atau Cape Rachado) di seberangnya juga bersih. Malah di Blue Lagoon, airnya sangat jernih.

Ada orang kata, pantai di sana kembali bersih selepas tsunami, manakala ada orang lain pula mendakwa sebab pembangunan lebih teratur. Saya pun tak tahu apa sebabnya tetapi yang saya tahu, saya pernah pergi ke beberapa pantai di Langkawi, Lumut dan Pangkor sejak dua tahun lalu dan saya dapati pantai Port Dickson (Batu 5 dan Tanjung Tuan) lebih baik. Ini sesuatu yang langsung tak saya jangka.

Lagi satu manfaat ialah tempat penginapan, disebabkan oleh oversupply, masih boleh didapati pada harga berpatutan, sedangkan bagi golongan mewah pun ada hotel yang paling canggih dan mahal. Jadi PD ada penginapan untuk segenap lapisan masyarakat.

Saya dapati ada peluang perniagaan di Port Dickson, terutamanya berkaitan pelancongan, tetapi juga dari segi makanan dan juga pertanian (termasuk agro-pelancongan).

Saya rasa sesiapa yang boleh membuka restoran atau gerai makanan halal dan memberikan perkhidmatan profesional, seperti piawaian di bandar besar, mungkin boleh berjaya. Walaupun sudah banyak restoran di sana, saya rasa perkhidmatannya boleh diperbaiki.

Selain itu, mereka yang mahu beli apartmen di sini sebagai rumah rehat boleh membelinya pada harga yang jauh lebih berpatutan di pasaran terbuka.

Bagi saya, jika Port Dickson dilihat sebagai saham, saya menganggap saham ini sekarang undervalued (setelah mencapai tahap terlalu overvalued satu ketika dulu). Nampak seperti bandar ini memberi peluang untuk riadah dan berniaga, selagi pembangunannya dikawal dan kebersihannya dijaga.

10 Januari, 2010

Francais tidak menjamin keuntungan

Buat penyiasatan wajar sebelum tandatangan kontrak

Dari masa ke masa, saya ada mendengar dan membaca tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga yang berniaga secara francais.

Antara masalah yang ditimbulkan ialah perniagaan yang indah khabar dari rupa, lambakan stok secara paksa oleh francaisor, perubahan syarat perjanjian selepas perjanjian ditandatangani dan kekurangan sokongan daripada francaisor

Ada yang dari mula lagi, iaitu selepas menandatangani perjanjian, menghadapi masalah, ada yang mendapati mereka tidak dapat pulang modal selepas berniaga, manakala ada yang lain pula menghadapi kemelut selepas beberapa lama berniaga.

Perlu diingat bahawa industri francais ini bukan sesuatu yang boleh menjamin keuntungan. Selain itu bukan semua francais sama. Ada yang baik dan ada yang tidak. Malah bukan semua masalah adalah salah francaisor, kadang kala membabitkan kedua-dua pihak, atau ada yang disebabkan francaisi tidak pandai berniaga.

Daripada pemerhatian saya, aduan atau masalah kerap timbul dengan nama-nama francais yang lebih kurang sama. Ini bermakna bukan sistem francais itu yang salah, tetapi mungkin ada segelintir francaisor yang kurang baik.

Jika anda membeli perniagaan biasa (bukan francais) anda perlu membuat due diligence (penyiasatan wajar) terhadap perniagaan sebelum membeli. Bagi perniagaan francais, perkara yang sama perlu dilakukan.

Tanya francaisi lain tentang kekuatan dan keikhlasan francaisor. Tanya mereka sama ada mereka boleh buat untung. Buat rancangan perniagaan seperti biasa.

Tetapi paling penting anda perlu nilai apakah manfaat yang diperolehi apabila anda membayar yuran francais. Adakah anda setakat membeli jenama sahaja atau anda membeli resipi, sistem perniagaan dan juga sokongan penuh. Adakah mereka boleh memaksa anda menerima stok yang mereka bekalkan, walaupun anda tidak mahu terima? Bolehkah mereka menukar perjanjian secara unilateral (tidak perlu persetujuan anda)?

Soalan akhir sekali ialah bolehkah anda, dengan yuran francais yang anda bayar, membina perniagaan sendiri, tanpa perlu membeli perniagaan francais? Dalam kebanyakan kes mungkin tidak boleh, tetapi dalam segelintir kes lain, anda boleh melakukannya sendiri.

Saya ada beberapa kenalan yang menjalakan atau cuba menjalankan perniagaan francais. Ada yang berjaya dan ada yang tidak. Yang saya dengar yang menimbulkan masalah ialah nama-nama yang sama sahaja, walaupun saya dengar dari orang berlainan.

Umumnya pada pandangan saya lebih banyak francaisor yang baik daripada yang lemah. Sistem francais juga memberikan peluang survival lebih tinggi berkat sokongan francaisor. Tetapi sudah tentulah jika anda berniaga francais, anda melepaskan sedikit kawalan terhadap perniagaan anda, dan anda tidak boleh membina jenama atau identiti sendiri.

Francais ialah satu cara kos rendah dan risiko rendah bagi francaisor untuk meluaskan perniagaan (berbanding menambah outlet sendiri). Francais juga satu cara yang berdaya maju bagi francaisi untuk menceburi bidang perniagaan dan mempelajari selok-belok perniagaan.

Jika dilakukan dengan betul, kedua-dua pihak untung. Tetapi jika tidak betul, francaisi yang biasanya rugi kerana menanggung sebahagian besar daripada risiko.

Walau apa pun, jangan terburu-buru untuk menandatangani perjanjian. Buat penyiasatan wajar dan pastikan anda tahu apa yang anda beli. Selepas itu, jika gagal anda sendiri perlu bertanggungjawab kerana pada asasnya, anda yang menandatangani perjanjian kontrak tanpa paksaan sesiapa (kecuali kes membabitkan fraud atau penipuan di pihak francaisor).