25 Januari, 2016

John Templeton: Melabur Dalam Suasana Paling Malap

John Templeton, pelabur tersohor yang mengasaskan Templeton Mutual Funds ialah pelabur tersohor yang terkenal kerana sikapnya mencari saham berkualiti pada harga murah.

Templeton pernah memberikan dua mutiara kata yang dengan jelas mendedahkan falsafah pelaburannya:
  1. Orang selalu bertanya saya di mana tinjauan paling baik, tetapi soalan ini kurang tepat. Soalan yang betul ialah di mana tinjauan paling malap.
  2. Masa untuk membeli ialah pada waktu keadaan paling malap dan masa untuk menjual ialah dalam keadaan paling optimistik.
Beliau sering mengambil kesempatan daripada krisis. Pada tahun 1998, di tengah-tengah krisis kewangan Asia, beliau telah membuat keputusan untuk melabur dalam dana Matthew Korea Fund di Korea. 

Matthew Korea Fund mencatatkan prestasi paling buruk pada tahun 1997, tetapi pada tahun 1999 dana tersebut memberikan prestasi terbaik untuk menjana keuntungan lumayan buatnya.

Sementara itu, semasa peristiwa 911 pada tahun 2001, banyak saham syarikat penerbangan Amerika terjejas teruk kerana pelbagai sekatan yang dikenakan dan juga kebimbangan orang ramai untuk terbang.

Beliau telah membeli tiga saham iaitu American, Continental dan US Airways yang masing-masing menjana keuntungan 61, 72 dan 24 peratus dalam jangka pendek.

Berikut adalah enam daripada peraturan pelaburan utamanya:
  1. Beli saham berkualiti pada harga rendah
  2. Beli saham bukannya pasaran
  3. Pelbagaikan pelaburan anda
  4. Selidiki dan pantau pelaburan anda
  5. Belajar dari kesilapan
  6. Jangan bersikap terlalu negatif
Bagaimana kaedah Templeton boleh dimanfaatkan di Malaysia sekarang? Kita dapat lihat bahawa ada sektor pasaran yang masih mahal harganya dan ada sektor pasaran yang telah runtuh. 

Cuba tinjau industri yang mengalami kegawatan dan lihat sama ada terdapat saham undervalued berkualiti tinggi yang boleh dibeli pada harga rendah.

Kita akhir artikel dengan satu lagi mutiara kata beliau:

"Pasaran saham dilahirkan di dalam keadaan paling malap, berkembang di tengah-tengah keraguan, matang bersama keyakinan dan akhirnya mati di kemuncak kegilaan."
 
John Templeton ialah salah seorang daripada pelabur yang dipaparkan dalam buku saya Petua Pelabur Tersohor.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

18 Januari, 2016

Bagaimana Untuk Membuat Penilaian Jika Anda Nak Beli Kedai Mamak Dekat Rumah Anda?

Apa yang akan anda lakukan jika anda berhasrat untuk membeli sebuah bisnes yang ingin anda kendalikan sendiri dan pada suatu hari, Zaman, pemilik kedai mamak bernama Zaman Maju membuat keputusan untuk menjualnya kepada anda?

Perkara paling penting untuk dilakukan ialah untuk menentukan berapakah harga yang sesuai untuk membeli perniagaan tersebut daripada Zaman. Untuk menentukan harga belian yang sesuai, anda perlu meninjau beberapa perkara seperti:
  1. Jumlah jualan yang dicatatkan.
  2. Potensi untuk meningkatkan jualan.
  3. Untung bersih yang diraih dan margin keuntungan.
  4. Rekod presasi untung syarikat dalam tempoh 3-10 tahun lepas.
  5. Potensi perniagaan untuk meningkatkan untung.
  6. Tahap hutang bisnes tersebut kepada pembekal.
  7. Produk yang dijual serta kualiti produk tersebut.
  8. Pengurus kedai dan pekerjanya dan kualiti mereka.
  9. Nilai aset bersih dan aliran tunai perniagaan.
  10. Pandangan penduduk sekitar tentang restoran tersebut.
Pendek kata anda perlu menilai prestasi masa lepas menerusi akaun syarikat, meninjau kualiti perniagaan dengan mengkaji produk yang ditawarkan dan juga perlu mengkaji operasi syarikat dari sudut sumber manusia dan sebagainya.

Tetapi persoalannya ialah mengapa apabila anda membeli saham (yang merupakan pemilikan sebahagian dalam syarikat tersenarai) di Bursa Malaysia seperti  TNB, Petronas, Felda, Malakoff, Sime Darby, XOX Bhd dan banyak lagi saham lain, ada yang langsung tidak kisah tentang operasi perniagaannya?

Hakikat bahawa saham tersebut boleh dibeli hari ini dan dijual semula hari ini juga bermakna tujuan asal untuk melabur saham, iaitu memiliki sesebuah syarikat perniagaan yang meraih untung, tidak lagi wujud di kalangan sebahagian besar pelabur.

Fenomena yang wujud sekarang ialah main saham. Mungkin anda menganggap saham sebagai permainan tetapi saham yang anda beli itu sebenarnya sebuah entiti perniagaan yang merupakan sumber pendapatan bagi ramai orang dan dilanggan oleh ramai pelanggan.

Biasanya pelabur mula sedar tentang perkara ini hanya apabila mereka rugi dan tercari-cari apakah sebabnya. Barulah mereka mula berminat untuk mengetahui serba sedikit tentang syarikat tersebut untuk melihat sama ada saham syarikat boleh naik kembali.

Tetapi pada waktu itu mungkin sudah terlambat untuk saham tersebut, tetapi tidak terlambat untuk semua pelaburan lain yang boleh dibuat pada masa depan. Lebih cepat anda sedar bahawa saham itu adalah pemilikan dalam perniagaan, lebih hampir anda kepada matlamat untuk menjadi seorang pelabur bijak.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
 

11 Januari, 2016

Tinjauan Prestasi Unit Amanah 2015: Dana Kendalian PMB Investment Tiba-Tiba Melonjak

Bukan senang untuk meramalkan dana mana yang bakal mencatatkan prestasi terbaik dalam sesuatu tahun. Sebab itulah ada disclaimer yang menyatakan prestasi masa lepas tidak meramalkan prestasi masa depan.

Tetapi apa yang boleh kita tinjau ialah prestasi yang mantap antara tempoh 3 hingga 10 tahun, selain daripada prestasi jangka pendek, untuk memberikan gambaran lebih tepat.

Pada tahun 2015, dana-dana kendalian PMB Invesment telah tiba-tiba melonjak (lihat senarai prestasi Morningstar di bawah), mencatatkan prestasi baik dalam dua kategori ekuiti utama.

Persoalan mengenai mengapa dana PMB Investment Berhad tiba-tiba mencatatkan prestasi hebat sejak satu dua tahun lepas sedangkan dalam jangka masa lebih panjang tidak begitu menyerlah hanya boleh dijawab oleh syarikat tersebut sahaja.

Mungkin kerana:
  1. Para pengurus dananya telah ditukar.
  2. Sistem dan proses pelaburannya telah dirombak
  3. Perubahan di pucuk pimpinan tertinggi
  4. Kenaikan ketara beberapa saham pegangan utama
Walau apa pun, kita ucapkan tahniah kepada mereka dan diharapkan mereka dapat meneruskan prestasi ini.  Tetapi adalah kurang bijak jika kita buat keputusan membeli dengan  'performance chasing' atau mengejar prestasi kerana dana yang hebat tahun lepas tidak semestinya terus hebat tahun ini.

Boleh pilih dana berprestasi hebat dalam jangka pendek jika anda tahu sebab peningkatannya dan yakin proses tersebut boleh diulangi, tetapi jangan lupa untuk tinjau prestasi jangka panjang juga.

Bagi PMB, satu petanda positif ialah kebanyakan dananya mencatatkan prestasi kukuh, dan ini menunjukkan sesuatu telah berubah dalam syarikat pengurus dana tersebut.

Saya senaraikan prestasi 20 unit amanah ekuiti patuh syariah terbaik mengikut kaedah pelaburan mereka, iaitu large cap (melabur dalam saham bermodal besar) atau mid/small cap (melabur dalam saham bermodal kecil).

Data dipetik daripada laman web Morningstar Malaysia. Pulangan yang dicatatkan ialah pulangan terkompaun tahunan

Prestasi Unit Amanah Large Cap Berasaskan Tempoh 1, 3, 5 dan 10 Tahun





Prestasi Unit Amanah Mid/Small Cap Berasaskan Tempoh 1, 3, 5 dan 10 Tahun





Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

04 Januari, 2016

Prestasi Pasaran Saham Antara 2013 - 2015

Tirai dunia pelaburan saham 2015 baru sahaja ditutup dan indeks BSKL mencatatkan penurunan buat tahun kedua berturut-berturut, walaupun kejatuhan tidak begitu ketara. Pada 2015, FBM KLCI telah ditutup pada paras 1693, kemerosotan 3.86% berbanding harga penutup 1761 pada akhir tahun 2014.

Malah, apabila ditinjau prestasi indeks FBM KLCI dari 2013 hingga 2015, kita dapati indeks ini hanya meningkat sebanyak 0.3% daripada 1688 kepada 1693.

Berikut adalah carta FBM KLCI untuk tempoh lima tahun lepas:

 shareinvestor.com/my

Bagi indeks syariah pula FBMSha telah naik sedikit daripada 12507 kepada 12801 untuk mencatatkan kenaikan 2.35%. Sementara itu untuk tempoh tiga tahun antara 2013 - 2015, FBM Sha telah meningkat 11.51% daripada 11480 kepada 12801.

Berikut adalah carta FBMSha untuk tempoh lima tahun lepas:

shareinvestor.com/my

Sementara itu, satu lagi indeks yang saya gunakan sebagai penanda aras ialah FBMSCap yang mengukur prestasi syarikat di luar 100 syarikat bermodal terbesar di BSKL.

FBMSCap juga telah mencatatkan kenaikan kecil pada tahun 2015 iaitu sebanyak 6.05% daripada 15035 kepada 15944.  Manakala prestasi tiga tahunnya ialah yang paling memberangsangkan iaitu  38.40% terutamanya kerana kenaikan besar hebat pada tahun 2013.

Berikut adalah carta FBMSCap untuk tempoh lima tahun lepas:

shareinvestor.com/my

Secara keseluruhannya prestasi pasaran saham untuk tahun 2014 dan 2015 adalah kurang memberangsangkan berbanding 2013.  Tetapi memandangkan keadaan ekonomi global dan harga minyak dunia, kita agak bernasib baik kerana kejatuhan lebih besar tidak berlaku.

Kesimpulannya, bagi tempoh antara 2013 - 2015, pulangan lebih tinggi hanya dapat dicapai jika anda mempunyai kemahiran pemilihan saham yang baik, manakala mereka yang melabur berasaskan indeks pula tidak menerima pulangan yang memuaskan, tetapi tidak rugi. Walaupun begitu, ini tentunya lebih baik dairpada mereka yang tersalah strategi atau percaturan dan mengalami kerugian sepanjang tempoh tersebut.


Untuk tahun 2016, pada pendapat saya terdapat kemungkinan trend kejatuhan akan berakhir, terutamana pada separuh kedua tahun 2016. Rasanya tahun ini ialah tahun yang baik untuk mencari bargain bagi seorang value investor.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.