29 Mac, 2016

Ubah Kaedah Pembelian Unit Amanah Daripada Proses Jualan kepada Proses Pemilihan

Kebanyakan orang membeli dana unit amanah menerusi perunding/ejen unit amanah. Proses yang dilalui ialah proses jualan, di mana perunding akan mendekati anda untuk menawarkan produk daripada syarikat yang mereka wakili.

Tiada masalah dengan kaedah ini, cuma jika anda membeli hanya berasaskan pilihan yang ditawarkan oleh syarikat perunding tersebut sahaja, anda telah mengehadkan pilihan anda, kerana sebenarnya ada banyak pilihan dana.

Malah, walaupun jika perunding yang menjual mempunyai platform yang bebas dan menawarkan banyak pilihan, anda juga patut membuat penilaian teliti untuk menentukan sama ada kosnya paling efektif bagi anda berbanding perkhidmatan yang anda perlukan.

Ada pelbagai soalan yang boleh anda tanya untuk memastikan kaedah pembelian unit amanah diubah daripada proses jualan kepada proses pemilihan. Saya senaraikan 12 daripadanya:
  1. Adakah unit amanah pilihan paling sesuai untuk saya?
  2. Apakah jenis dana yang patut saya beli, contohnya sama ada dana ekuiti, dana bercampur, dana sukuk dll?
  3. Berapakah kos jualan dan kos lain unit amanah tersebut?
  4. Patutkah saya membeli dari perunding unit amanah atau online?
  5. Jika saya membayar kos lebih mahal untuk membeli menerusi perunding, apakah manfaat yang saya terima?
  6. Bagaimanakah prestasi keseluruhan syarikat pengurus dana yang menawarkan dana tersebut?
  7. Bagaimanakah prestasi pulangan dana yang sedang saya pertimbangkan dalam jangka pendek hingga jangka panjang?
  8. Bagaimanakah prestasi dana berbanding KWSP dan Tabung Haji?
  9. Bagaimanakah kedudukan dana berbanding dana-dana lain dalam kategori yang sama?
  10. Bagaimana pula prestasi dana berbanding indeks penanda aras?
  11. Adakah ini masa yang paling sesuai untuk membeli unit amanah?
  12. Patutkah saya beli secara bulanan atau dengan satu jumlah besar sekaligus?
Walaupun kaedah analisis menerusi soalan ini tidak boleh menjamin yang anda tidak rugi, semua soalan tersebut akan membantu anda membuat keputusan yang lebih teliti, dan memberikan gambaran lebih jelas tentang unit amanah mana yang patut anda pilih.

Tidak kira sama ada anda membuat keputusan membeli dari perunding syarikat unit amanah, perunding bebas atau secara online, tetapi sekurang-kurangnya anda telah melakukannya menerusi proses pemilihan yang tidak hanya bergantung semata-mata dengan input daripada perunding kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

22 Mac, 2016

Manfaat dan Risiko Pelaburan Tertumpu

Saya pernah menyebut tentang Bill Ackman yang dananya,Pershing Square Holdings, mengalami kerugian besar sejak setahun setengah lepas.

Strategi yang beliau gunakan ialah pelaburan tertumpu (concentrated portfolio). Walaupun dananya amat besar, beliau hanya memegang kurang daripada 15 saham. Kaedah pelaburan tertumpu turut diamalkan oleh Buffett dan juga Philip Fisher.

Kaedah yang berbeza daripada pelaburan tertumpu ialah pelaburan terpelbagai (diversified portfolio). Menggunakan kaedah ini, pelabur atau pengurus dana memilih lebih banyak saham dalam portfolio dan mengehadkan pegangan satu saham mungkin kepada tidak lebih 5% daripada portfolio.

Manfaat daripada pelaburan tertumpu ialah jika anda betul, anda akan mencatatkan keuntungan besar. Di samping itu, anda tidak perlu menganalisis terlalu banyak saham.

Tetapi jika tersalah pilih, anda mungkin mengalami kerugian besar yang menjejaskan prestasi dengan ketara dan menggugat dana yang anda uruskan.

Di Amerika Syarikat, satu saham 'hebat' pegangan Bill Ackman yang kini mengalami masalah ialah Valeant Pharmaceuticals.  Saham syarikat tersebut telah merosot hampir 90% disebabkan oleh amalan kurang beretika melibatkan salah satu syarikat pegangannya dan tindakan menaikkan harga ubat dengan ketara yang kini mendapat perhatian pihak berkuasa.

Yahoo Finance

Saham Valeant telah jatuh dari paras tertinggi $262 kepada lebih kurang $30 pada masa saya menulis artikel. Valeant ialah pegangan kedua terbesar Bill Ackman dan pegangan terbesar Sequoia Fund, satu lagi dana terkenal.

Sequoia Fund salah satu dana yang diasaskan oleh rakan Warren Buffett dan disebut dalam ceramah terkenal beliau bertajuk Superinvestors of Graham and Doddsville.

Pegangan Sequoia dalam Valeant telah mengembang ke tahap hampir 30% dan menurut para pengurus dananya, kes Valeant ini telah menjejaskan rekod pulangannya untuk tempoh sehingga 10 tahun lepas dan menggugat kredibiliti cemerlang mereka sebagai pelabur.

Sementara itu, dana tersenarai Bill Ackman, iaitu Pershing Square Holdings, pula telah kehilangan hampir separuh daripada nilainya sejak ia menjadi sebuah dana tersenarai awam.

Rekod pelaburan lepas Bill Ackman dan Sequoia Fund menunjukkan bahawa kaedah pelaburan tertumpu boleh membawa manfaat jelas apabila semuanya berjalan lancar, tetapi jika ada masalah besar dengan salah satu saham, terutamanya saham utama, rekod prestasi dan juga reputasi pengurus dana mungkin tercalar.

Bagaimana pula dengan pelaburan kita? Jika dua pengurus dana terkemuka pun boleh diperdayakan oleh pihak pengurusan syarikat, apa peluang kita sebagai pelabur saham kecil?

Bagaimana pula jika anda melabur dalam dana unit amanah?  Bukankah pelaburan dalam dana unit amanah bermakna pelaburan yang sudah dipelbagaikan?  Kes di atas menunjukkan bahawa pelaburan dalam hanya satu dana berpotensi menimbulkan rugi besar akibat kesilapan pengurus dana.

Walaupun pada mulanya kita hanya mampu melabur dalam satu dana, apabila pelaburan kita bertambah mungkin kita boleh mempertimbangkan untuk melabur dalam dana lain untuk mempelbagaikan pelaburan bagi mengelakkan kesilapan besar pengurus dana.

Pelaburan tertumpu, jika dilakukan dengan bijak dan tanpa kesilapan nyata, boleh menghasilkan pulangan yang lumayan, tetapi risiko yang wujud sekiranya berlaku sebarang masalah adalah lebih besar.

Bacaan Tambahan Tentang Valeant: What Caused Valeant's Epic 90% Plunge?

Nota: Buku saya Petua Pelabur Tersohor membincangkan kaedah pelaburan beberapa pelabur terkenal. Ada yang menggunakan pelaburan tertumpu dan ada yang menggunakan kaedah pelaburan terpelbagai. Ini bermakna kejayaan boleh dicapai dengan kedua-dua cara.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

14 Mac, 2016

Padah Mengejar Prestasi Dana Unit Amanah

Pada awal tahun ini, saya telah menulis tentang prestasi dana ekuiti patuh syariah terbaik pada tahun 2015. Pada waktu itu ada yang bertanyakan saya tentang dana-dana berprestasi hebat itu kerana berminat membelinya.

Namun begitu dalam artikel tersebut saya juga memberikan amaran:

"Tetapi adalah kurang bijak jika kita buat keputusan membeli dengan  'performance chasing' atau mengejar prestasi kerana dana yang hebat tahun lepas tidak semestinya terus hebat tahun ini."

Anda boleh membaca artikel penuh bertajuk:

Tinjauan Prestasi Unit Amanah 2015: Dana Kendalian PMB Investment Tiba-Tiba Melonjak

Jadi apa yang telah berlaku sekarang? Saya paparkan jadual dengan prestasi YTD (sehingga tarikh semasa pada tahun ini) dengan prestasi paling teruk di atas. Jadual dipetik daripada laman Morningstar Asia.

Dana Ekuiti Patuh Syariah 1. Bermodal Kecil/Sederhana dan 2. Bermodal Besar:

Ini menunjukkan bahawa kita tidak harus melakukan performance chasing dengan mengejar unit amanah yang sedang hangat.  Beberapa dana terbaik pada 2015, yang berada dalam kategori small cap/mid cap (modal kecil/sederhana) telah mencatatkan prestasi paling lemah setakat ini pada tahun ini.

Sebenarnya tiada apa masalah dengan dana-dana terbaik pada 2015. Jika ditinjau untuk jangka lebih panjang, kedudukannya masih memuaskan, tetapi bagi mereka yang melabur pada awal tahun, anda rugi kerana tersalah timing.

Biasanya dana yang mempunyai nama growth dan aggressive memang menggambarkan ciri pada namnya, iaitu ia turun naik dengan lebih ketara.

Maka pelabur yang melakukan performance chasing menghadapi risiko melabur dalam dana pada masa yang paling kurang sesuai. Apabila ditambah pula dengan kos jualan membeli daripada ejen, maka besar juga kerugian yang dialami.

Sebab itulah apabila memilih dana, kita jangan terlalu mengejar prestasi jangka pendek, seperti yang saya katakan dalam artikel tersebut pada perenggan kedua.

"...apa yang boleh kita tinjau ialah prestasi yang mantap antara tempoh 3 hingga 10 tahun, selain daripada prestasi jangka pendek, untuk memberikan gambaran lebih tepat."

Akhir sekali ialah apabila membeli dana ekuiti, perlu diingat juga bahawa dana tersebut melabur dalam pasaran saham.  Jika kita membeli apabila pasaran saham berada di puncak dengan kebanyakan saham overvalued, ini juga akan memberi kesan ke atas pulangan kerana prestasi dana unit amanah anda sudah tentunya akan terjejas jika pasaran saham jatuh.

Kesimpulannya ialah masalah ini bukan masalah pengurus dana dan sebagainya kerana pelabur yang melabur lebih awal masih untung, tetapi lebih kepada masalah timing, iaitu membuat pelaburan pada masa yang kurang tepat hanya kerana sesuatu dana sedang hangat.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

11 Mac, 2016

Hala Tuju Kadar Tukaran Faktor Penting Dalam Pemilihan Saham

Beberapa minggu lepas, saya menulis tentang pengaruh kadar tukaran dalam pembelian saham di Amerika Syarikat seperti Apple dalam artikel berikut Nak Beli Apple? Nilai Kadar Tukaran Dulu.

Pada waktu itu kadar tukaran ialah RM4.15 kepada 1 USD. Sekarang ini kadar tukaran ialah RM4.09 kepada 1 USD. Jika nilai saham anda tidak berubah, anda mengalami kerugian kecil terhadap pelaburan anda di Amerika Syarikat.

Selain daripada pembelian saham asing, kadar tukaran juga satu faktor yang sedikit sebanyak menentukan prestasi saham syarikat tempatan. Ini kerana dalam dunia global hari ini, semua syarikat terlibat dalam perdagangan antarabangsa, sama ada sebagai pengimport atau pengeksport.

Semasa penurunan ketara nilai RM, kita melihat syarikat-syarikat eksport melonjak naik, contohnya syarikat pengeluar sarung tangan getah, syarikat perabot dll.

Sebaliknya syarikat yang mengimport komponen input, seperti syarikat pemasangan kereta pula mengalami kesannya dengan kos input yang tinggi.

Pada kadar tukaran sekarang, yang masih lagi pada tahap RM yang rendah, keadaan masih lebih memihak kepada pengeksport, walaupun tidak sebaik beberapa bulan dahulu.

Yahoo Finance

Persoalannya ialah ke mana hala tuju RM berbanding USD dalam tempoh 9 bulan akan datang. Nilai RM juga akan dipengaruhi oleh harga minyak. Lebih tinggi harganya minyak, lebih tinggi kebarangkalian kenaikan nilai Ringgit.

Jika Ringgit mula mengukuh dan kembali ke RM3.80 untuk 1 USD, maka syarikat yang akan mendapat manfaat adalah berbeza daripada syarikat yang telah naik harga sahamnya semasa berlaku kejatuhan RM.

Kesimpulannya ialah selain daripada kekuatan syarikat faktor lain seperti matawang juga harus diambil kira, walaupun kita membeli saham di Malaysia, disebabkan ciri global perniagaan hari ini yang membabitkan perdagangan antarabangsa.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

08 Mac, 2016

Pelabur Terkenal dan Orang Terkaya Pun Boleh Rugi Besar Untuk Jangka Masa Tertentu

Kerugian dan prestasi pelaburan yang kurang baik adalah perkara biasa dalam pelaburan dan perniagaan.  Dalam proses perniagaan dan pelaburan sebenar, ada kalanya kita akan mengalami kerugian.

Dalam satu artikel The Star yang memetik laporan Forbes mengenai orang-orang terkaya, didapati bahawa sehingga Feb 2015, hartawan di Malaysia kehilangan berbilion Ringgit kerana kejatuhan pasaran saham.  Ini kerana sebahagian besar mereka memegang harta dalam bentuk saham syarikat masing-masing.

Sebagai contoh Tan Sri Ananda Krishnan telah kehilangan $2.3 bilion disebabkan kejatuhan harga saham Maxis. Manakala bilangan billionnaire dari segi dollar Amerika telah jatuh daripada 16 kepada 12.

http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/02/25/malaysia-billionaire-list-shrinks-from-16-to-12/

Selain itu, bukan sahaja orang terkaya di dunia yang mengalami masalah ini, tetapi juga beberapa pelabur terkemuka.

Pelabur hedge fund terkenal, Bill Ackman, yang mencatatkan pulangan 40% pada 2014, telah kerugian 21% pada 2015 dan 18.5% sehingga bulan Februari. Ini bermakna segala keuntungannya pada 2014 telah lenyap.

http://www.businessinsider.my/pershing-square-falls-18-percent-2016-1/?r=US&IR=T#Dllqjx77cTV6kWU7.97

Bukan beliau sahaja, malah ramai pengurus hedge fund lain yang mengalami kerugian.

http://www.businessinsider.my/how-hedge-funds-are-doing-in-2016-2016-2/?_ga=1.130547471.1092825424.1445434063?r=US&IR=T#Mdql6ax4V212fvIk.97

Begitu juga unit amanah, banyak dana yang mencatatkan pulangan negatif pada tahun ini dan ini perkara biasa memandangkan prestasi saham di Malaysia dan di seluruh dunia yang kurang menyerlah. Tetapi prestasi mula pulih sikit pada bulan Mac.

Kita perlu faham bahawa naik turun nilai aset adalah lumrah pelaburan dan pelabur tersohor di dunia sekalipun akan:
  1. Mengalami kerugian pada tahun-tahun tertentu
  2. Mengalami kerugian dalam saham-saham tertentu
Warren Buffett, pelabur paling terkenal di dunia juga pernah banyak kali membuat pelaburan kurang baik yang merugikan, seperti pembelian saham Tesco dan juga IBM (buat masa ini).  Selain itu antara 2010 - 2014 pulangan sahamnya juga gagal mengatasi prestasi indeks.

Tetapi perkara yang menarik ialah mereka ini tidak sedikit pun panik atau rasa ini merupakan masalah besar.  Dalam jangka panjang, pasaran saham lazimnya naik dan pelabur dan peniaga yang baik akan kembali memulihkan nilai pelaburan dan harta kekayaan mereka.

Malah pada bulan Mac ini, nilai kekayaan sebahagian besar daripada mereka telah naik kembali dan mungkin dalam masa 1 - 2 tahun akan mencapai paras lebih tinggi daripada takat di mana kemerosotan mula berlaku.

Perkara ini tidak menghairankan dan tidak mengejutkan. Tetapi yang lebih pelik ialah pelbagai peluang pelaburan yang wujud sekarang, terutamanya di Malaysia, yang hampir pasti menjana pulangan konsisten setiap kali, malah pulangan tersebut lebih tinggi daripada yang dijana daripada semua tokoh perniagaan dan pelaburan di dunia.

Cuba bandingkan prestasi mereka dengan prestasi pelabur terkenal. Lebih 'smooth' atau 'tetap' pulangan yang dijanjikan, lebih tinggi kebarangkalian wujudnya penipuan.

Perniagaan atau pelaburan adalah volatile dan bukan bersifat garis lurus dan terdapat risiko di dalamnya.  Lebih cepat kita sedar perkara ini, lebih tinggi peluang kita untuk berjaya dalam kedua-dua bidang ini, dan lebih sukar untuk kita ditipu oleh pelbagai skim pelaburan pasti menang yang ada di luar sana.