Baik dalam perniagaan mahupun semasa melaksanakan urus niaga atau projek besar pasti ada perkara tidak diduga yang perlu ditangani
Berasaskan pengalaman sendiri dan juga daripada biografi usahawan dan pelabur terkenal yang saya baca, satu persamaan yang saya temui ialah perkara luar jangka pasti tidak dapat dielakkan.
Sama ada anda melakukan urus niaga besar, seperti jual beli rumah atau mengambil alih atau menjual pernigaan, atau anda melaksanakan projek penting dalam urusan kerjaya atau bisnes anda, perkara yang di luar perancangan pasti muncul.
Satu cara untuk menghadapi situasi tersebut ialah menyenaraikan segala masalah yang mungkin timbul dan berusaha merancang untuknya satu persatu.
Tetapi cara yang lebih praktikal ialah memahami dari mula bahawa masalah akan berlaku dan menyelesaikan masalah secara kreatif apabila ia timbul.
Sebagai contoh, apabila melakukan urus niaga seperti jual beli hartanah umpamanya, pelbagai masalah mungkin timbul semasa berurusan dengan bank, peguam, pemaju dan juga pejabat tanah.
Begitu juga dengan projek, antara kerumitan yang mungkin timbul termasuk pembiayaan, sekatan yang tidak diduga, pembekal yang tidak menepati janji atau bayaran yang tidak dibuat tepat pada masanya.
Selain itu kalau kita merancang untuk melancarkan produk, mungkin produk terlewat atau terlengah kerana masalah teknikal yang sukar diselesaikan atau kakitangan yang berhenti secara tiba-tiba.
Perkara yang paling penting apabila menghadapi masalah sebegini ialah bukannya menghantuk kepala di dinding tetapi terima hakikat bahawa situasi sudah berlaku dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk terus melangkah ke hadapan.
Kadangkala penyelesaian memerlukan anda menukar jalan atau hala tuju sama sekali. Walau apa pun, satu perkara paling penting yang perlu diingat ialah:
Peristiwa yang sudah berlaku ialah kos lepas atau sunk cost. Jangan diambil kira apabila memikirkan penyelesaian terbaik untuk masa depan.
Jika kita sibuk memikirkan masa dan tenaga yang kita curahkan dalam sesuatu projek, kita mungkin tidak dapat mencari jalan terbaik, yang mungkin memerlukan kita mengambil satu langkah ke belakang dan mengambil jalan lain.
Paling utama, kita perlu terus bergerak dan terus mencari jalan penyelesaian. Walaupun kita mengalami kelewatan atau terpaksa melangkah ke belakang atau ke arah lain, kita perlu terus bergerak.
Akhirnya pergerakan kecil kita yang dibuat langkah demi langkah, apabila digabungkan bersama, akan membina momentum yang membawa kepada kejayaan dalam urus niaga, projek atau perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan