30 Disember, 2008

Ekonomi Sedang Gawat?

Musim cuti ini menunjukkan ramai pengguna masih yakin

Salam Hijrah diucapkan kepada sahabat dan pembaca blog

Tidak dinafikan bahawa ekonomi global sedang mengalami kemelesetan dan kesannya akan dirasai oleh Malaysia pada tahun depan. Tetapi keghairahan orang ramai berbelanja dan bercuti pada hujung tahun ini memberikan sedikit harapan. Walaupun dari segi individu, kita perlu berjimat cermat, menabung dan bijak berbelanja, bagi ekonomi Malaysia, KDNK hanya akan terus berkembang jika pengguna tetap yakin dan terus berbelanja. Ini kerana perbelanjaan menjana kegiatan ekonomi dan dalam keadaan semasa, perbelanjaan domestik amat penting untuk terus menggerakkan enjin ekonomi kita.

Saya baru pulang dari Langkawi dan memang ramai pelancong pergi ke sana. Di hotel saya sahaja ada pengunjung dari pelbagai negara, termasuk Jepun, China, Negara-Negara Eropah dan Afrika, India dan juga pelancong Malaysia. Kedai-kedai penuh sesak. Malah seorang pemandu teksi memberitahu saya "Kali ni ramai Mat Salleh tidoq pantai", sebab hotel dah penuh dan juga kerana overbooking. Berhampiran jeti, saya terdengar dua orang berbual dan berkata musim cuti kali ini paling ramai orang.

Sementara itu di Kuala Lumpur pula kompleks beli-belah penuh sesak. Sebelum berlepas ke Langkawi saya mengunjungi Mid Valley dan jumlah orang di sana amat luar biasa, lebih ramai daripada keadaan sesak biasa (kecuali kalau ada Jusco sale). Saya tak tahu fenomena ini sementara sahaja atau petanda bahawa ekonomi kita boleh menghadapi tahun 2009 dengan lebih yakin.

Saya masih ingat situasi pada hujung tahun 1997 sehinggalah akhir 1998. Keadaannya sangat malap. Pusat beli-belah tidak meriah manakala hotel-hotel juga kurang penghuni. Ramai orang mengalami masalah besar mencari kerja. Tetapi situasi kali ini agak berbeza sedikit. Saya tahu banyak syarikat dan juga orang akan merasai kesan kegawatan, terutamanya dalam industri tertentu, tetapi saya adalah antara pihak yang lebih optimis.

Antara yang yakin terhadap ekonomi Malaysia ialah Atul Bhagarva, pengarah urusan Intel yang berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kegawatan ekonomi tahun depan. Selain itu, syarikat kad kredit juga meramalkan perbelanjaan akan meningkat pada musim perayaan ini. Kesimpulannya, kita harus prihatin bahawa kita akan merasai tempian kegawatan, tetapi saya yakin Malaysia mampu mengharunginya tanpa kesan yang terlalu serius.

25 Disember, 2008

Bagaimana Kalau Anda Sudah Rugi?

Menguruskan Saham atau Unit Amanah Yang Jatuh Nilainya

Menjelang akhir tahun ini, ramai yang pasti resah dengan situasi saham dan unit amanah mereka. Jika seseorang melabur pada tahun 2006 dan 2007 dan menyimpannya ke hari ini, pelaburannya boleh dianggap sebagai ‘underwater’ atau lebih rendah daripada wang pokok yang dilaburkan. Ada yang mula menyesal kerana melibatkan diri dalam saham, atau menyesal kerana mendengar jurujual unit amanah memujuk mereka membeli skim pelaburan yang ditawarkan.

Pelaburan ada risiko, termasuk unit amanah, dan pengurus profesional pun boleh mengalami kerugian. Tetapi perkara paling penting yang perlu difikirkan dalam keadaan sekarang ialah bagaimana anda boleh memulihkan pelaburan anda. Jangan membuat keputusan terburu-buru. Reaksi kebanyakan orang ialah mereka sudah serik dengan saham dan terus menjual sama ada saham atau unit amanah pada tahap terendah dan mencatatkan kerugian paling besar.

Harus diingat bahawa saham dan pasaran saham tidak akan naik secara terus-menerus dan pada masa yang sama penurunan tidak akan berlaku secara berterusan. Malangnya, ramai pelabur kecil akan melabur pada masa apabila saham sudah naik tinggi, iaitu apabila pasaran sampai ke peringkat 'hangat' dan merekalah yang rugi apabila penurunan ketara berlaku. Fenomena ini dapat dilihat daripada kehangatan jualan unit amanah pada tahun 2006 dan 2007. Ramai pelabur yang membeli pada waktu ini.

Umumnya apabila membeli saham, kita harus membeli saham yang 'undervalued' dan menjual saham yang 'overvalued'. Manakala pada pendapat saya (ada banyak pendapat lain), apabila membeli unit amanah pula, anda harus beli apabila pasaran rendah dan menjual apabila pasaran melonjak tinggi. Justeru, diharapkan krisis kewangan global kali ini diharapkan menjadi pengajaran yang baik untuk memastikan penilaian dibuat sebelum membeli, termasuk sebelum membeli unit amanah.

Menangani Saham Yang Rugi
Perkara paling penting ialah menentukan sama ada syarikat tersebut akan dapat mengambil kesempatan daripada pemulihan ekonomi yang bakal berlaku. Kadangkala, sesebuah syarikat terjejas teruk dalam keadaan krisis sehingga tidak dapat bangkit kembali. Ada syarikat lain pula tergugat buat seketika sahaja dan terus melonjak apabila ekonomi pulih. Jika anda rasa syarikat anda mengalami kesan kegawatan untuk jangka masa yang agak panjang, tukar kepada syarikat lain yang mempunyai prospek yang lebih cerah.

Menguruskan Unit Amanah Yang Rugi
Kaji semula prestasi unit amanah anda. Maklumat kedudukan setiap dana boleh didapati daripada akhbar mingguan The Edge. Jangan setakat melihat nilai aset bersihnya saja, bandingkan dengan dana-dana lain. Sekiranya dana ini berada di bawah 10 tempat teratas dalam kategorinya dan ini berlaku secara konsisten dalam tempoh dua atau tiga tahun, anda perlu bertukar kepada unit amanah lain. Biasanya, bagi unit amanah yang melabur dalam ekuiti, prestasi di bawah tangga ke-10 umumnya bermakna dana tersebut tidak dapat mengatasi prestasi indeks komposit atau indeks lain yang menjadi penanda aras.

Jika sesebuah dana tidak dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya menyaingi indeks penanda aras secara konsisten, maka adalah sia-sia anda membayar yuran pengurusan kepada pengurus dana. Untuk menentukan prestasi dana anda berbanding indeks komposit, bandingkan dana dengan unit amanah OSK-UOB KLCI Tracker yang merupakan proksi sebenar kepada indeks komposit Kuala Lumpur.

Kesimpulannya ialah setiap kali anda membeli saham atau unit amanah, penilaian harus dilakukan. Jangan percaya cakap broker atau jurujual bulat-bulat. Jika anda tidak ada masa untuk membuat analisis sendiri, minta nasihat dua atau tiga orang lain yang berkecuali dan berkelayakan dalam bidang ini.

23 Disember, 2008

Tinjauan Pelaburan 2009

Ramalan mengenai suasana labur niaga tahun depan

Minta maaf kerana terlambat update blog kali ini.

Biasanya pada waktu hujung tahun, akhbar kewangan akan meminta pakar membuat tinjauan tentang suasana pelaburan atau perniagaan tahun depan. Walaupun saya bukan pakar, saya pun turut sama nak membuat tinjauan (walaupun tiada siapa yang meminta pandangan saya!)

Pada pendapat saya 9 bulan pertama 2008 pasti sukar. Suku tahun pertama kemungkinan besar paling perit bagi ekonomi global dan juga Malaysia. Suku kedua pun situasi tetap sama kerana kegawatan kali ini amat berat. Namun saya rasa pada suku tahun ketiga, keadaan tidak lagi bertambah teruk dan proses pemulihan sebenar akan berlaku pada suku keempat tahun 2009.

Umumnya, saya berpendapat ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar KDNK 3% pada tahun 2009, dengan pertumbuhan amat kecil pada separuh pertama dan pertumbuhan lebih pesat pada separuh kedua. Prestasi eksport Malaysia akan terjejas. Sementara berbeza daripada krisis 1997-1998 di mana pemulihan ketara berbentuk V berlaku, kali ini pemulihan akan mengambil masa yang lebih lama dan berlaku secara lebih perlahan kerana pemulihan Malaysia amat bergantung kepada prestasi negara-negara gergasi ekonomi.

Bagi pasaran saham pula, kemungkinan besar pasaran akan mendatar pada separuh pertama dan mungkin naik sedikit pada separuh kedua. Ramalan saya ialah pasaran saham akan ditutup pada tahap lebih tinggi sedikit pada 2009 berbanding tahun 2008.

Secara peribadi, saya sedang bersiap sedia untuk membeli saham pada suku tahun pertama tahun 2009. Walaupun kita tidak tahu bila pemulihan sebenar , saya pasti pemulihan tetap akan berlaku dan jika anda mempunyai jangka masa pelaburan selama lima tahun, saya yakin bahawa anda boleh menggandakan wang anda dalam tempoh tersebut sekiranya anda memilih saham, ETF, REIT atau unit amanah yang betul. Jika anda tidak ada masa untuk membuat analisis, gunakan ETF sebagai proksi pasaran atau labur dalam unit amanah dengan pengurusan yang mantap.

Akhir kata, semua ini hanyalah ramalan sahaja. Tuhan saja yang tahu apa yang akan berlaku. Jangan terlalu memandang serius tinjauan ini kerana pakar dan profesor tersohor pun boleh melakukan kesilapan sehingga tidak menjangka betapa teruk krisis kewangan kali ini. Walau apa pun, saya dapati ada banyak saham yang diperdagangkan pada harga berpatutan dan berpendapat tahun 2009 ialah tahun yang baik untuk membuat 'bargain-hunting'.

17 Disember, 2008

Al-Rajhi Charge Card Guna Prinsip Qard

Al-Rajhi langsung tidak menawarkan kad kredit

Semasa melayari laman web Al-Rajhi, saya dapati institusi kewangan dari Arab Saudi ini hanya menawarkan kad caj (charge card) sahaja, dan tiada kad kredit. Ini berbeza dengan beberapa institusi lain seperti Bank Islam dan Maybank yang masing-masing mempunyai kad kredit patuh syariah sendiri.

Perbezaan antara kad kredit dan kad caj ialah kad kredit membolehkan seseorang berhutang sedangkan bagi kad caj, pelanggan perlu membayar keseluruhan hutang (bukan jumlah minimum) pada tarikh yang ditetapkan. Jika tidak bayar, Al-Rajhi tidak mengenakan kadar faedah, tetapi akan mengenakan kos sebenar untuk mengutip hutang.

Persamaan antara kad kredit dan kad caj ialah kedua-duanya membolehkan pengguna berbelanja dulu dan mendapat tempoh tanpa faedah maksimum 50-55 hari sehinggalah tarikh pembayaran perlu dibuat. Jadi bank akan membiayai perbelanjaan pengguna sebelum pengguna membayar balik kepada bank. Tetapi dengan kad kredit, pengguna boleh berhutang lebih lama dengan membayar kadar faedah atau kadar keuntungan.

Tetapi satu perbezaan ketara antara Kad Caj Al-Rajhi dan Kad Kredit Islam seperti Kad Ikhwan Maybank dan Kad Kredit Bank Islam ialah konsep yang digunakan. Kad Caj Al-Rajhi dilaksanakan berasaskan konsep Qard atau pinjaman yang perlu dibayar balik jumlah pokoknya sahaja sedangkan kad kredit Islam menggunakan konsep Bai Al-Inah iaitu beli dan jual balik sesuatu produk, yang mengandungi unsur helah untuk mengelakkan riba.

Hakikat bahawa Al-Rajhi tidak membenarkan kontrak seperti Al-Inah dan tidak menawarkan sebarang kad kredit menunjukkan nilai-nilai yang dipegang oleh institusi ini. Sebagai pengguna, sudah tentulah lebih baik kita menggunakan kad caj berbanding kad kredit kerana memastikan kita tidak behutang dan berbelanja mengikut kemampuan kita.

Yurannya ialah RM70 setahun dan syarat gaji minimumnya ialah RM3,000 dan bukannya RM1,500 seperti banyak institusi pengeluar kad kredit lain. Ini memastikan mereka yang benar-benar mampu sahaja boleh mendapatkan kad ini.

Umumnya kad ini pasti kurang popular kerana ciri-ciri seperti tidak boleh berhutang lebih daripada tempoh yang ditetapkan dan ketiadaan mata ganjaran. Mungkin yang lebih penting ialah nilai yang ditekankan oleh institusi ini dan masalah yang dapat dielakkan jika menggunakan kad caj berbanding kad kredit. Terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.

14 Disember, 2008

Meninjau Kedudukan Aset Anda

Kedudukan Aset Memudahkan Perancangan Kewangan

Ramai orang memandang gaji, pangkat atau jawatan, kereta dan perhiasan dalam rumah sebagai ukuran status keduniaan seseorang. Semua ini dijadikan kayu pengukur yang menentukan kedudukan atau taraf seseorang di mata kumpulan tertentu dalam masyarakat. Tetapi adalah kayu pengukur ini tepat? Saya pun tak berapa pasti tetapi secara peribadi, kedudukan aset seseorang lebih penting.

Kadangkala kita sibuk mengejar gaji lebih tinggi, pangkat lebih besar, kereta lebih mewah, rumah lebih gah dan perhiasan lebih cantik sehingga terlupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Apabila naik sahaja gaji, kita pun 'menaik taraf' perbelanjaan kita. Mungkinkah golongan tertentu lebih mengutamakan harta benda yang disebutkan ini kerana ia mudah dipaparkan dan dilihat oleh orang lain?

Dalam kegairahan mengejar status, janganlah lupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Bagi Thomas Stanley penulis buku The Millionaire Next Door, berasaskan penyelidikannya orang yang benar-benar kaya ialah orang yang banyak aset, bukannya orang yang bergaji besar. Dan kebanyakan orang kaya ini hidup di bawah kemampuan sebenar mereka. Sambil berusaha meningkatkan jumlah pendapatan, pastikan kedudukan aset sentiasa diawasi.

Kalau boleh, buat satu penyata aset dan liabiliti, menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda. Kemudian kaji setiap aset, adakah aset itu meningkat nilainya atau berkurangan nilainya. Sebagai contoh, kereta ialah aset yang nilainya semakin berkurangan, begitu juga perabot, perhiasan rumah dan sebagainya. Jadi anda juga perlu mengenal pasti aset mana yang bermanfaat dan tidak bermanfaat.

Kadangkala orang yang bergaji besar akan mempunyai kedudukan aset bersih (aset tolak liabiliti) amat kecil atau negatif, kerana hutang yang besar. Dengan meninjau kedudukan aset, anda akan dapat memantau kedudukan kewangan anad dan mengambil langkah untuk mula membina dan mempelbagaikan aset. Perlu diingat bahawa satu hari nanti anda perlu bersara. Apabila bersara, aset anda boleh memberikan pendapatan pasif, terutamanya apabila tiada lagi gaji bulanan besar diterima.

Penyata ini juga akan menggalakkan kita hidup di bawah atau sekadar dengan kemampuan kita. Jika gaji naik, belanja pun turut naik, aset anda tidak akan meningkat sehinggalah anda bersara. Kita tidak boleh mengharapkan wang KWSP sahaja, kerana kajian menunjukkan bahawa wang ini dihabiskan dengan pantas oleh pesara.

(Aset termasuk aset tetap seperti rumah, tanah, kereta, emas dan sebagainya, dan juga aset cair seperti wang tunai, saham, unit amanah dll)

Nota: Artikel terbaru saya telah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi keluaran Disember.



11 Disember, 2008

Apa dah jadi dengan MK Land?

Saham jatuh teruk ke tahap 15 sen

Sejak 1997, MK Land telah membina nama sehingga menjadi sebuah syarikat pemaju perumahan terkenal. Dua orang tokoh yang menajui syarikat ini ialah Tan Sri Mustafa Kamal dan juga Datuk P. Kasi. Namun begitu, sejak 3-4 tahun lepas, MK Land dilanda masalah dan sahamnya jatuh ke tahap antara 10 sen hingga 20 sen sekarang. Masalah telah mula dialami sebelum kegawatan ekonomi dunia berlaku dan kini dengan ekonomi yang kurang pesat dan hartanah mewah yang dijual oleh syarikat, agak sukar untuk melihat kebangkitan semula MK Land.

Saya mula mengenali MK Land semasa bekerja buat masa yang singkat sebagai juruaudit di Arthur Andersen pada awal 1999. Saya telah mengaudit syarikat dan tertarik dengan potensinya. Pada masa itu syarikat baru sahaja mula meneroka pembangunan di kawasan Damansara Damai, yang masih diliputi hutan. Sejak itu, MK Land telah mula berkembang sebagai sebuah syarikat pemaju yang membina kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat. Syarikat juga baru membangunkan Bukit Merah Laketown Resort. Banyak syarikat pemaju yang menghadapi masalah dan lingkup akibat krisis kewangan 1998, terutamanya pemaju mewah, tetapi MK Land berkembang pesat kerana reputasinya sebagai syarikat perumahan untuk rakyat biasa.

Seiring dengan perkembangan sebagai pemaju yang unggul, MK Land telah mula memajukan kawasan Damansara Perdana. Saya juga ada membeli unit kondominum di sana pada peringkat awal pembangunannya. Pada masa itu kediaman yang dijual masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Tetapi selepas kondo saya siap, unit yang dikeluarkan oleh MK Land semakin lama semakin mahal. Pada peringkat awal, pembeli yang membeli boleh mendapat untung apabila membeli kondo di sana, tetapi kemudian harganya semakin mahal. Kondominum yang dibina lebih cenderung kepada golongan atasan, walaupun syarikat juga ada membangunkan apartmen Flora Damansara, yang berkos sederhana.

Seiring dengan kemajuannya, MK Land juga mula melakukan perkara di luar perniagaan teras, termasuk menaja pasukan bolasepak profesional untuk menyertai Liga Malaysia. Akhirnya pasukan ini menarik diri daripada liga beberapa tahun lepas. MK Land terus membangunkan kondominum mewah di Damansara Perdana dan satu kondominum mewah di Damansara Damai yang tidak begitu mendapat sambutan dan mengalami banyak masalah. Sekarang ini, kalau kita selidik kondo yang dibangunkan oleh MK Land, tiada lagi yang mampu dimiliki oleh golongan pertengahan. Hampir semua merupakan hartanah mewah. Mereka juga mempunyai pembangunan di Cyberjaya yang kosnya juga begitu mahal sekali.

Saham MK Land telah jatuh teruk daripada tahap tertinggnya kira-kira lima tahun lepas. Cuba lihat graf di bawah:


Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Apa sudah jadi? Harga saham jatuh daripada harga tertinggi lebih RM3.50 kepada 15 sen. Faktor utama yang menyebabkan kejatuhan ini ialah kegagalan mencatatkan untung. Ini memanglah lumrah pergerakan saham. Apabila syarikat mula rugi, harga sahamnya akan jatuh. Tetapi mengapa syarikat gagal mencatatkan untung? Hanya pegawai atasan mereka sahaja tahu (atau mungkin mereka tak tahu, sebab itu mereka rugi). Pada pandangan saya, pihak pengurusan tidak memberi tumpuan untuk menghasilkan nilai kepada pemegang saham. Tidak dinafikan bahawa mereka pemaju yang baik dan hartanah mereka boleh dikatakan diuruskan dengan baik juga, walaupun bukannya yang terbaik. Kawasan perumahan mereka juga boleh tahan dan kediaman kos sederhana mereka yang sudah siap dibangunkan adalah lebih baik daripada yang dibina oleh pemaju lain.

Walaupun masalahnya telah bermula tiga hingga empat tahun lepas, iaitu sebelum kegawatan semasa, saya rasa keputusan syarikat untuk memberi tumpuan kepada hartanah mewah akan menyebabkan syarikat menghadapi masalah untuk mengatasi kemelesetan kali ini. Ini satu situasi yang ironi, kerana pada krisis kewangan lepas syarikat ini gah kerana membina rumah untuk rakyat biasa tetapi strategi tersebut diubah sehingga syarikat sendiri gawat.

Dari segi pelaburan, syarikat yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dengan baik tidak semestinya membawa manfaat kepada pelabur. Dalam dunia pelaburan, keuntungan amat penting. Jika pengurusan terlalu beri tumpuan kepada pelbagai perkara selain dari keuntungan, maka yang rugi adalah pelabur. Selain itu, kadangkala sesebuah syarikat yang bertukar tumpuan juga mungkin menghadapi masalah kerana keluar daripada perniagaan terasnya. Cuba lihat berapa banyak syarikat yang menawarkan rumah atau kondo mewah sekarang di Kuala Lumpur. Memang banyak. Tetapi syarikat kukuh yang membina perumahan termampu yang berkualiti amat kurang sekali.

Jangan anggap saham MK Land murah pada 15 sen kerana syarikat mempunyai masalah membayar balik hutang dan kekurangan tunai. MK Land juga tidak dapat menerbitkan saham baru untuk membayar hutang kerana pasaran semasa yang lembap. Selain itu, kondo-kondo mewahnya juga sekarang kurang mendapat sambutan. Jadi situasi amat genting. Pengajaran yang boleh diperolehi oleh kita sebagai pelabur ialah syarikat yang terbang tinggi dan mempunyai jenama terkenal juga boleh merosot prestasinya. Kita perlu sentiasa memantau pelaburan kita. Jika nilai saham lebih rendah daripada harganya, sudah tiba masanya untuk menjual saham tersebut.

Nota Tambahan:

Perkembangan Terkini - Pelan Pemulihan MK Land


Berikutan kerugian pada tahun 2007 dan 2008, Tan Sri Mustafa Kamal telah kembali mengambil alih tampok kepimpinan dan telah memulakan pelan 'turnaround' atau pemulihan yang dinamakan 'Renaissance'. Hasilnya ialah syarikat berjaya mengelakkan kerugian pada suku tahun Jun-Sept 2008. Antara yang dilaksanakan termasuk menjual aset bukan teras untuk membiayai projek baru dan mengurangkan hutang. Selain itu, syarikat juga bercadang mengeskport kepakaran dalam pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana dan luar negeri.

Semua ini adalah perkembangan yang baik. Kita tunggu prestasi MK Land pada suku terakhir tahun kalendar ini, yang akan dikeluarkan pada hujung Februari. Jika syarikat berjaya mengelakkan kerugian sekali lagi, ini bermakna pelan pemulihan mula membuahkan hasil dan saham MK Land boleh dipertimbangkan kerana potensi sebagai saham 'turnaround'.

08 Disember, 2008

Beli Rumah Pun Ada Risiko

Faktor Keselamatan Harus Diutamakan

Tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa tempoh hari bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga harta benda. Saya amat bersimpati dengan mangsa dan ahli-ahli keluarga mereka. Memandangkan laman ini merupakan laman pelaburan, saya akan beri tumpuan kepada harta-benda yang musnah.

Belum sampai satu hari kejadian berlaku, fenomena tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan satu sama lain telah bermula. Banyak pihak yang menyalahkan atau disalahkan, daripada Majlis Perbandaran sehinggalah kepada Syarikat Pemaju dan Kerajaan. Hujan lebat yang berterusan adalah Kuasa Tuhan, tetapi keputusan untuk memajukan kawasan bukit dan tadahan adalah perbuatan manusia.Tindakan membeli rumah atau menghuni di kawasan lereng bukit, kaki bukit atau cerun juga merupakan keputusan manusia.

Jadi kita sebagai pengguna dan pembeli rumah harus berwaspada apabila membuat pelaburan besar seperti membeli rumah. Walau bagaimana hebat sekalipun pemajunya, rumah yang dibina di cerun bukit ada risiko. Kita tidak boleh melawan hukum alam dan kuasa Tuhan. Kita sendiri harus proaktif apabila membeli, dan mengorbankan pemandangan yang indah untuk menjamin keselamatan.

Perlu diingat bahawa sebahagian besar kerugian yang dialami adalah kerugian penuh atau total loss, walaupun rumah masih berdiri lagi. Ini kerana kebanyakan insurans/takaful yang diambil ialah perlindungan kebakaran dan risiko berkaitannya. Untuk mendapatkan perlindungan daripada tanah runtuh dan tanah mendap, rider tambahan perlu diambil. Jadi bayangkan betapa besarnya musibah yang menimpa mangsa, walaupun bagi mereka yang tidak tercedera.

Bagaimana kalau sudah ada rumah di kawasan berisiko? Jawapannya ialah pilih antara dua, iaitu mendapatkan perlindungan insurans/takaful yang lengkap atau menjual rumah tersebut. Walau apa pun, cara paling baik untuk mengurangkan risiko, sama ada kepada nyawa atau harta benda, ialah dengan membuat keputusan yang bijak semasa membeli. Mungkin keselamatan harus diberi keutamaan berbanding suasana dan pemandangan.

Pemaju, Majlis Perbandaran dan Kerajaan akan bertindak berasaskan kepentingan masing-masing, justeru kita harus membuat keputusan untuk menjaga kepentingan diri kita sendiri. Jika kita, sebagai sebuah masyarakat, membuat keputusan kolektif untuk tidak membeli rumah di kawasan berbahaya, kita akan menyekat pembangunan di kawasan tersebut. Tidak perlu menunggu larangan Majlis Perbandaran atau Kerajaan Pusat. Pembangunan tidak akan berlaku tanpa permintaan.

03 Disember, 2008

KWSP Lebih Baik Daripada Saham?

Dalam tempoh tertentu, pulangan KWSP lebih tinggi

Pagi tadi saya terbaca satu artikel menarik di akhbar The Star yang membandingkan pulangan KWSP dan pulangan pasaran saham secara keseluruhannya. Penulisnya ialah Ooi Kok Hwa dan artikel tersebut boleh dibaca di sini. Beliau membandingkan pelaburan KWSP antara tempoh 1986 sehingga 2008 dan mendapati bahawa RM10,000 yang disimpan dalam KWSP menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding RM10,000 yang dilaburkan dalam pasaran saham (dengan menggunakan indeks komposit sebagai proksi).

Sebenarnya perbandingan ini adalah kes ekstrim dengan tempoh yang sengaja dipilih untuk menekankan hakikat bahawa simpanan KWSP bukanlah serendah yang disangka. Beliau mengingatkan bahawa KWSP tidak pernah memberikan pulangan negatif sedangkan pasaran saham mencatatkan pulangan negatif dalam tujuh daripada tahun dalam tempoh perbandingan. Ini belum mengambil kira risikonya lagi, kerana risiko tabungan KWSP adalah sangat rendah manakala risiko pasaran saham jauh lebih tinggi. Pandangan beliau amat tepat sekali.

Namun begitu, saya menyatkan bahawa perbandingan ini adalah kes ekstrim kerana beberapa sebab:
  • Pertama sekali ialah tempoh yang dipilih. Jika tempoh antara 1987 - 2007 dipilih, pulangan pasaran saham pasti jauh lebih tinggi.
  • Keduanya ialah beliau mengandaikan seseorang melabur dalam saham, yang prestasinya diwakili indeks. Sebenarnya jika anda pandai memilih saham atau unit amanah, pulangan anda pasti lebih tinggi. Ada sesetengah saham yang naik begitu tinggi dalam tempoh tersebut.
  • Ketiga, beliau mengandaikan pelaburan saham terus disimpan selama 22 tahun. Ini sebenarnya jarang berlaku. Kita sebagai pelabur boleh membeli apabila harga rendah, dan menjual apabila harga naik tinggi, berasaskan penyelidikan yang dibuat. Tetapi kita perlu bijak menganalisis saham.
Walau apa pun, artikel ini sangat berguna kerana menekankan dua perkara, iaitu pulangan pelaburan KWSP adalah tidak serendah yang disangka dan faktor risiko harus diambil kira apabila kita membandingkan dua jenis pelaburan.

Pada pendapat saya, wang yang disimpan dalam KWSP tidak patut disentuh kecuali untuk beli rumah. Janganlah memilih opsyen melabur dalam skim unit amanah dan sebagainya. Bukan apa, inikan wang persaraan kita, lebih baik kita biarkan dalam KWSP kerana risikonya sangat rendah. Sebaliknya gunakan wang lebihan kita untuk melabur secara langsung dalam pasaran saham atau unit amanah. Satu lagi perkara yang boleh dipelajari ialah jika kita membuat keputusan untuk melabur, kita perlu tahu apa yang kita lakukan dan melabur berasaskan kajian dan maklumat untuk memastikan kita mendapat pulangan terbaik.

29 November, 2008

Tabungan Pendidikan - Mana Paling Sesuai?

Pilihan bergantung kepada keperluan individu

Belanja pendidikan kini bukannya murah. Kalau prestasi akademik anak cemerlang dan dia layak menerima biasiswa, maka segala masalah selesai. Tetapi persaingan amat sengit. Kalau masuk universiti tempatan pun kena bayar yuran. Inikan pula kalau tak dapat tempat, yuran institusi swasta jauh lebih mahal. Tetapi dengan segala perbelanjaan hidup yang perlu ditanggung, mungkin ramai orang rasa berat untuk menabung bagi pendidikan anak, lebih-lebih lagi kalau ramai anak. Walau apa pun saya rasa kita harus mencuba.

Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan:
1. Skim SSPN
2. Skim Insurans/Takaful/Bank
3. Amanah Saham Didik
4. Amanah Saham Wawasan

Pilihan mana yang digunakan bergantung kepada kedudukan kewangan anda.

Skim SSPN

Skim ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk:
  • Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN dengan syarat berikut:
    Ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 sebulan perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM3,000; Ibu bapa berpendapatan keluarga tidak lebih RM2,000 perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM500. (Buat masa ini kedua-dua syarat dikecualikan)
  • Pelepasan cukai ke atas simpanan sehingga RM3,000 setahun;
  • Manfaat perlindungan insurans sehingga RM50,000 serta pampasan/khairat kematian diberi secara percuma untuk simpanan RM1,000 dan ke atas;
  • Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak **; Simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa dan dijamin oleh Kerajaan;
  • Kadar dividen yang berpatutan dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
  • Keluarga berpendapatan tidak lebihi RM2,000 sebulan layak menerima Geran Sepadan apabila anak diterima masuk ke IPT
Kelemahan
  • Tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati (dari sudut lain boleh dianggap satu kelebihan kerana memastikan wang tidak disentuh).
  • Dividen rendah antara 3 - 4%.
Skim ini amat sesuai bagi golongan berpendapatan rendah kerana geran sepadan yang diberikan sehingga RM10,000. Ini bermakna jika anda simpan RM10,000 anda akan dapat RM10,000. Selain itu, jika anda tidak mampu untuk menabung, anda hanya perlu membuka akaun dan menyimpan sama ada RM3,000 atau RM500 (bergantung kepada pendapatan anda) untuk melayakkan anak anda mendapatkan pinjaman pendidikan.

Skim Tabungan Insurans/Takaful/Bank

Skim ini biasanya memberikan lebih banyak perlindungan insurans/takaful. Ini manfaat utamanya. Ada yang menawarkan takaful kesihatan dan sebagainya. Namun begitu dividen yang diberikan adalah rendah dan kedua jika anda mahu mengeluarkan wang lebih awal, anda mungkin rugi. Tetapi satu manfaat besar skim ini ialah jika anda meninggal dunia, anak anda akan menerima jumlah tabungan sasaran yang ditetapkan, tanpa perlu membayar premium bulanan. Jadi skim ini memberikan anda kepastian.

Skim Amanah Saham Didik

Skim ini tiada manfaat perlindungan, tetapi memberikan pulangan yang tinggi iaitu lebih kurang 7% setahun. Satu lagi cirinya ialah wang boleh dikeluarkan bila-bila masa, jadi kaedah simpanan memerlukan disiplin. Namun begitu Amanah Saham Didik kadangkala habis dilanggan dan baru-baru ini peruntukannya telah ditambah. Jadi ada kalanya penabung tidak dapat menambahkan peruntukan mereka.

Skim Amanah Saham Wawasan

Sama seperti amanah saham didik, cuma peruntukan bagi Bumiputera selalunya tidak pernah habis, jadi pelabur boleh menambahkan tabungan secara terus menerus dalam ASW. Seperti skim amanah saham didik, disiplin diperlukan kerana wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Perbandingan
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 4% selama 18 tahun dalam SSPN akan menghasilkan RM31,763
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 7% dalam ASD/ASW selama 18 tahun akan menghasilkan RM43,423.
Terpulang kepada pelabur untuk melihat pro dan kontra setiap jenis pilihan tabungan. Sebagai contoh, bagi golongan berpendapatan rendah, skim SSPN nyata lebih bermanfaat. Bagi mereka yang mahu menjamin wang tersebut ada untuk anak mereka walaupun berlaku kejadian tidak diingini, skim Insurans/Takaful/Bank boleh dipilih. Sementara bagi mereka yang mahukan pulangan tertinggi, mereka boleh mengambil Skim ASD/ASW. Saya sendiri memilih ASW, dan mengambil skim perlindungan kesihatan yang berasingan untuk anak-anak.

Nota: Pembaca dijemput menambah pengalaman sendiri untuk kebaikan bersama. Sila beritahu jika ada sebarang kesilapan maklumat atau pengiraan.

26 November, 2008

Syarahan Perdana Prof. Dr Mohd Nazari

Krisis Kewangan Tidak Boleh Dielakkan
Berlaku Akibat Sistem Kewangan Semasa


Selasa, 25 November, 2008 - Universiti Malaya. Saya berkesempatan untuk menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Mohd Nazari Ismail, pensyarah jabatan strategi dan dasar, fakulti perniagaan dan perakaunan, UM, mengenai krisis kewangan. Beliau mengupas isu berkaitan krisis kewangan dan meninjau sama ada krisis boleh dielakkan. Ternyata syarahan ini amat relevan dalam keadaan ekonomi semasa.

Prof Dr Nazari memulakan perbincangan dengan mentakrifkan sesuatu krisis dan kemudian menyatakan bahawa krisis kewangan dan ekonomi telah berlaku sejak dari dulu lagi, antaranya termasuk krisis bunga tulip di Belanda beratus tahun dulu, 'Great Depression' pada tahun 1930an, krisis kewangan di Argentina dan Asia, kegawatan dotcom di Amerika dan krisis kewangan semasa yang membelenggu dunia sekarang.

Berasaskan kajian yang dijalankan, beliau mendapati krisis mula wujud 600 tahun dahulu, pada masa yang sama apabila aktiviti pinjaman wang mula diperkenalkan dan dianggap sebagai aktiviti perniagaan yang sah. Aktiviti pinjaman wang ini juga telah memperkenalkan konsep pengganda (leverage), membolehkan pelaburan atau penciptaan wang berasaskan beberapa kali ganda daripada nilai aset atau emas yang disandarkan.

Pada mulanya aktiviti mendapatkan untung menerusi pinjaman wang (riba) dilarang oleh semua agama termasuk agama Yahudi dan Kristian dan juga dipandang rendah oleh ahli falsafah. Namun begitu perkara ini telah berubah apabila John Calvin mengemukakan usul bahawa tindakan mengenakan kadar faedah bukannya riba tetapi sesuatu urus niaga hanya dianggap sebagai riba (usury) jika kadar faedah terlalu tinggi dikenakan. Sejak itu, bermulalah aktiviti pinjaman wang secara tersusun yang dianggap sebagai industri yang sah dan semakin berkembang pesat.

Beliau kemudian merungkai punca krisis kewangan semasa, dengan menyentuh masalah pinjaman subprima, perdagangan hutang dan juga beberapa instrumen derivatif yang berkaitan. Namun beliau bertanya, adakah krisis sebesar ini disebabkan hanya kerana beberapa institusi memberikan hutang kepada orang yang tak layak dan tak mampu membayarnya. Pada pendapatnya, faktor tersebut hanya faktor pencetus sahaja dan gejala 'overtrading' dan 'overborrowing' dan 'overlending' ialah kesan semula jadi sistem kewangan semasa di mana wang di dalam institusi kewangan perlu dipinjamkan untuk mendapatkan pulangan faedah.

Ramai yang tertanya-tanya sama krisis boleh dielakkan? Antara cadangan yang dikemukakan termasuk peraturan yang lebih ketat, menghalang aktiviti derivatif dan kembali kepada sistem kewangan bersandarkan emas. Tetapi menurutnya dalam keadaan ekonomi berkembang, liberalisasi dan derivatif dianggap sebagai faktor yang meningkatkan kecekapan pasaran, dan menggalakkan pembangunan pasaran kewangan, malah ramai cendekiawan dalam bidang kewangan sentiasa membangunkan instrumen baru untuk menggalakkan lagi perkembangan industri. Sementara itu, perubahan kepada sistem bersandarkan emas tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya sistem kewangan berasaskan pinjaman diteruskan, kerana sistem bersandarkan emas tidak akan dapat menampung inovasi dalam bidang kewangan.

Sebelum mengakhiri syarahan, Prof Dr Nazari memberi amaran bahawa segala rangsangan fiskal dan kewangan yang dilaksanakan sekarang, walaupun tidak boleh dielakkan dan perlu dibuat, hanya akan merawat gejala penyakit, bukan punca sebenar. Tindakan ini hanya menangguhkan sahaja masalah ke satu tempoh di masa depan. Katanya lagi, selepas krisis reda, perkembangan ekonomi akan berlaku semula, mungkin lebih pesat daripada sebelum ini. Namun krisis yang akan datang, pada tarikh yang tidak diketahui pada masa depan kemungkinan lebih besar dan lebih teruk daripada apa yang dialami sekarang ini.

Dalam syarahan ini, Prof. Dr Nazari tidak menyatakan secara terus-terang tentang punca sebenar krisis kewangan dan membiarkan hadirin membuat kesimpulan sendiri. Tekaan saya ialah beliau berpendapat punca sebenar krisis kewangan dan kitaran 'boom-bust' yang ketara ialah aktiviti meminjam wang untuk mendapatkan untung atau yang kita kenali sebagai riba, dan juga sistem penciptaan wang semasa, iaitu 'fractional reserve sistem' yang menimbulkan kesan pengganda yang amat besar. Justeru selagi sistem kewangan semasa diteruskan, kita perlu sentiasa berwaspada dan sedar bahawa apabila perkembangan terlalu pesat dan kenaikan ketara harga aset berlaku, kemungkinan besar kegawatan akan menyusul.

23 November, 2008

Buat Kajian Sebelum Melabur

Melabur berasaskan cadangan orang semata-mata kurang bijak
Kita perlu selidik sendiri pelaburan untuk mengelak kerugian

Melabur bukan perkara main-main. Pembelian saham, hartanah, unit amanah atau pelaburan lain harus dipertimbangkan dengan teliti. Kita tidak boleh melabur semata-mata atas nasihat daripada rakan dan sanak-saudara, atau kerana terbaca analisis yang dibuat oleh pakar. Seperti membeli apa jua barangan lain, kita perlu berwaspada apabila melabur.

Kalau beli kereta umpamanya, saya lihat ramai yang membuat analisis terperinci, membandingkan tiga atau empat jenama dengan teliti, contohnya rupa bentuk, keselamatan, kelajuan tertinggi, tahap penjimatan minyak dan lain-lain. Semua ini penting untuk memastikan anda membuat keputusan yang betul dan memilih kereta yang sesuai dengan keperluan anda.

Jika kita melabur, terutamanya melabur dalam saham, kita juga harus teliti dan membuat analisis. Pertimbangan harus diberikan kepada tahap keuntungan semasa, aset bersih, kedudukan tunai, keupayaan pihak pengurusan, produk syarikat, kedudukan hutang, dividen dll. Bagi mereka yang melabur dengan menggunakan analisis teknikal, mereka harus mengkaji pergerakan harga saham menerusi carta. (Perbandingan antara analsisi asas dan analisis teknikal akan dibuat dalam catatan pada masa depan).

Walaupun kita percaya kepada broker, rakan atau pakar yang menganalisis yang mengesyorkan saham syarikat tersebut, kita tidak harus terburu-buru membeli. Kita perlu tinjau saham tersebut setakat yang kita mampu. Tindakan ini memberikan satu lagi tahap perlindungan kepada kita. Perlu diingat bahawa jika anda yang melabur, risiko ditanggung oleh anda dan bukannya orang yang mencadangkan saham tersebut. Tidak salah mendapatkan tips dan nasihat daripada orang lain, memang ini satu langkah yang baik. Namun begitu, pastikan anda selidik sendiri dahulu. Anda tidak boleh menyalahkan orang lain jika anda rugi.

20 November, 2008

Pisah dan Senaraikan Unit Perbankan Islam

Tiada pilihan untuk melabur dalam institusi perbankan Islam

Sekarang ramai yang sibuk memperkatakan tentang perbankan Islam dan bagaimana ciri-ciri sistem kewangan Islam yang tidak menjual beli instrumen seperti derivatif dan hutang telah menyelamatkannya daripada krisis kewangan. Selain itu, perbankan Islam dijangka terus berkembang pesat dan bakal menjadi tunjang ekonomi negara, selain memainkan peranan semakin penting dalam perdagangan global.

Melihatkan kekuatan sistem perbankan Islam, sudah tentulah pelabur Islam, yang hanya sanggup melabur dalam saham patuh syariah, ingin mengambil kesempatan daripada peluang ini. Namun jika kita melihat senarai saham patuh syariah dalam industri kewangan, hanya ada dua, sebuah syarikat takaful dan sebuah bank, iaitu Bank Islam. Persoalan yang ingin ditanya di sini ialah bagaimanakah pelabur Islam boleh mengambil kesempatan daripada kemajuan sistem perbankan Islam sekiranya mereka tidak diberikan pilihan.

Kita sedia maklum bahawa hampir semua bank di negara ini mempunyai 'Islamic Window' ataupun anak syarikat yang berurusan dalam perbankan Islam. Setiap satunya menawarkan perkhidmatan bank Islam. Malangnya, pelabur Islam tidak boleh melabur dalam saham Bank biasa kerana jumlah pendapatan yang agak besar yang diperolehi daripada operasi konvensional yang berunsur riba.

Untuk mengatasi masalah ini, bank-bank harus memisahkan sepenuhnya unit perbankan Islam masing-masing dan menerbitkan saham baru menerusi IPO supaya orang ramai boleh membeli saham tersebut. Dengan cara ini, barulah sistem perbankan Islam menjadi semakin sempurna kerana kedua-dua operasi dipisahkan dari segi entitinya, membuatkan pelanggan lebih yakin dan pelabur pula berpeluang untuk bersama-sama menikmati manfaat perkembangan pesat perbankan Islam di negara ini.

16 November, 2008

Susahkah Menabung 10% Daripada Gaji?

Simpan 10% Pendapatan Untuk Kukuhkan Kedudukan Kewangan

Sebenarnya ada cara yang sangat mudah untuk membina displin kewangan, selain daripada menabung untuk masa depan. Kaedah ini sudah disyorkan sejak dulu lagi, termasuk dalam buku The Richest Man in Babylon pada awal abad lepas, dan juga buku-buku perancangan kewangan yang diterbitkan pada masa kini.

Jumlah 10% ini bukannya caruman yang dibuat kepada KWSP kerana caruman tersebut merupakan wang persaraan dan tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya atau digunakan untuk tujuan kecemasan. Sebelum berfikir tentang melabur dalam saham, hartanah atau sebarang aset lain, ada baiknya kita mulakan dengan langkah yang amat mudah ini terlebih dahulu. Kalau tak ada wang, macam mana nak melabur?

Bagi golongan Bumiputera, tabungan ini bolehlah disimpan terus dalam Amanah Saham Bumiputera atau Amanah Saham Wawasan kerana pulangan agak tinggi yang diberikan. Selain itu simpanan harus dibuat sejurus selepas membayar gaji, bukan pada hujung bulan, apabila duit pun hampir habis. Dengan menyimpan pada awal bulan, kita akan mendisiplinkan diri untuk berbelanja apa yang kita ada sahaja dan hidup mengikut kemampuan kita. Jika mahu duit lebih untuk dibelanjakan, kita perlu cari jalan untuk mendapatkannya.

Namun masalahnya sekarang ialah ramai orang memiliki kad kredit. Justeru, kuasa beli mereka kini sudah melebihi pendapatan boleh guna. Mereka mendapati sukar untuk menghadkan perbelanjaan kerana kuasa beli yang diberikan oleh kad kredit. Akibatnya, apa yang berlaku sekarang ialah mereka berbelanja 110% atau lebih daripada gaji mereka, dan bukannya menabung 10% daripada pendapatan.

Fenomena simpanan negatif dan jumlah aset negatif semakin berleluasa sekarang. Penyelesaiannya sangat mudah. Kita perlu kembali kepada asas iaitu hidup mengikut kemampuan kita dan menabung 10% sebagai simpanan. Teknik ini sungguh mudah untuk dicadangkan tetapi amat susah untuk diamalkan. Tetapi memandangkan manfaat yang boleh diperolehi dan masalah yang boleh dielakkan, saya ingin bertanya sekali lagi, adakah begitu susah untuk kita menabung 10% daripada pendapatan?

11 November, 2008

Pembiayaan CIMB Xpress Cash

Alternatif Lebih Selamat Berbanding Ah Long; Tetapi Pastikan Pinjam Untuk Tujuan Perniagaan, Bukan Tujuan Peribadi

Kita sedia maklum bahawa ada ramai orang yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank secara konvensyenal. Ada yang pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk mendapatkan pinjaman, manakala ada pula yang berniaga dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Mungkin mereka baru memulakan perniagaan, menyebabkan bank ragu-ragu untuk memberikan pinjaman. Ada pula yang sudah lama berniaga tetapi rekod akaun mereka pula tidak begitu baik.

Sekiranya mereka memerlukan pembiayaan, bagaimana golongan ini mendapatkan wang? Sudah tentulah mereka mencari syarikat kewangan bukan bank atau Ah Long yang syarat pinjaman mereka tidak begitu ketat, tetapi mengenakan kadar faedah yang begitu tinggi.

Menyedari keperluan golongan ini, CIMB telah menubuhkan anak syarikat CIMB Express untuk menyediakan perkhidmatan 'microfinancing' untuk peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah. Syarat-syaratnya secara kasar adalah seperti berikut, tetapi maklumat lanjut boleh didapati dilaman web CIMB bank.

1. Pembiayaan antara 3,000 hingga 50,000
2. Pendapatan minimum RM800 sebulan atau memiliki perniagaan
3. Rakyat Malaysia 21 hingga 60 tahun
4. Seorang penjamin bagi pinjaman lebih RM5,000
5. Kadar pembiayaan 2 - 3% sebulan

Mungkin bukan semua orang layak, dan memang susah kalau nak cari penjamin. Kalau keadaan kewangan atau perniagaan tidak tersusun, memang terpaksa cari alternatif lain. Namun begitu, syaratnya lebih longgar daripada pinjaman bank biasa, dan lebih ramai orang yang layak menerima pembiayaan ini. Malah, dalam sesetengah kes, bank menjanjikan kelulusan dalam tempoh 24 jam. Xpress Cash ditawarkan sebagai produk konvensional dan juga produk patuh syariah.

Kelemahan

Tetapi sebelum memohon pembiayaan ini, pastikan anda telah cuba mendapatkan sumber pembiayaan lain yang lebih murah. Kadar pembiayaannya adalah lebih tinggi daripada kad kredit! Kad kredit hanya mengenakan kadar pembiayaan antara 1.25% - 2% sebulan, bergantung kepada kad dan kaedah pembayaran. Namun kadar Xpress Cash adalah lebih rendah daripada alternatif syarikat kewangan berlesen bukan bank dan juga Ah Long. Tetapi kadar pembiayaan ini memang dijangkakan kerana bank terpaksa menanggung risiko lebih tinggi apabila meminjamkan wang kepada golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan mantap.

Kesimpulan


Pada pendapat saya, pinjaman seperti ini hanya patut digunakan untuk tujuan perniagaan, bukan untuk tujuan penggunaan peribadi. Sekiranya anda hendak mengubahsuai rumah atau membeli barangan, Xpress Cash tidak sesuai kerana kadar pinjaman yang tinggi. Ambil pinjaman ini untuk kegunaan peribadi hanya jika anda betul-betul terdesak, seperti kecemasan perubatan dan sebagainya.

Bagi perniagaan pula, anda perlu yakin bahawa mereka boleh menjana keuntungan tambahan melebihi jumlah yang dipinjam, jika tidak kadar pembiayaan yang dikenakan akan menyebabkan anda rugi. Selain itu, pastikan anda membaca terma dan syarat pinjaman dengan teliti untuk memastikan anda tahu segala caj yang dikenakan. Walaupun Express Cash bukanlah alternatif pinjaman terbaik, ia memang lebih baik daripada pilihan seperti syarikat kewangan bukan bank dan juga Ah Long.

09 November, 2008

Memupuk Budaya Pemilikan Saham

Sasaran pemilikan ekuiti 30% tak akan tercapai sekiranya tiada usaha untuk menggalakkan individu Bumiputera memiliki saham

Kebelakangan ini kita asyik mendengar perdebatan tentang pemilikan ekuiti 30% yang perlu diperuntukkan kepada Bumiputera bagi syarikat-syarikat tersenarai. Ada pihak yang mendakwa peruntukan sebegini tidak efisien, manakala jawapan balasnya pula ialah peraturan ini amat perlu untuk memastikan pemilikan saham tidak terlalu memihak kepada kaum bukan Bumiputera. Tetapi percaya atau tidak, kedua-dua hujah ini walaupun bertentangan, adalah tepat sama sekali.

Bagi saya, langkah memperuntukkan modal menerusi syarat dan peraturan hanyalah langkah untuk merawat gejala atau 'symptoms' masalah dan bukannya untuk mengatasi punca sebenar atau 'root cause' ketidakseimbangan yang wujud. Kalau kita biarkan masalah ini berterusan, semua orang tak puas hati, golongan Bumiputera kerana tahap pemilikan saham yang rendah, dan juga kaum bukan Bumiputera, kerana terpaksa melepaskan pemilikan mungkin kepada rakan kongsi yang mungkin tidak serasi kerana golongan ini telah disyorkan oleh pihak tertentu, atau kerana hanya mereka yang sanggup mengeluarkan modal.

Masalah menjadi lebih serius dengan kaedah pembahagian semasa di mana sebahagian besar daripada peruntukan 30% ini dibuat bukan menerusi tawaran kepada bumiputera umum, tetapi menerusi 'private placement' atau tawaran persendirian kepada syarikat-syarikat tertentu yang diluluskan Kementerian Kewangan. Saya sendiri langsung tidak tahu menahu bagaimana saham diperuntukkan. Ini menyebabkan keseimbangan ketara berlaku di kalangan Bumiputera sendiri di mana hanya golongan tertentu sahaja boleh mendapat manfaat.

Kalau nak mengupas masalah ini secara sepenuhnya mungkin memerlukan thesis PhD (ada siapa-siapa berminat?). Namun saya boleh mencadangkan dua langkah yang boleh dilakukan

1. Mendidik dan menggalakkan Bumiputera umum membeli dan menyimpan saham sebagai salah satu daripada kaedah untuk mengumpulkan aset dan kekayaan.

2. Membuka peruntukan kepada individu Bumiputera dahulu, dan jika tidak dipenuhi, barulah diperuntukkan menerusi private placement kepada syarikat Bumiputera yang diluluskan Kementerian Kewangan. Dengan cara ini, permohonan saham daripada individu Bumiputera mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk diterima (malah dalam kes tertentu mungkin semua permohonan diterima).

Dengan melaksanakan dua perkara di atas, pemilikan dan penyebaran ekuiti di kalangan Bumiputera akan meningkat dan manfaatnya dinikmati oleh lebih ramai orang berbanding keadaan semasa di mana hanya segelintir syarikat mendapat manfaat. Kita tidak boleh membiarkan situasi di mana yang kaya bertambah kaya, sedangkan orang biasa tidak diberi peluang.

06 November, 2008

Beli MyETFDJ Sebagai Proksi Pasaran

MyETFDJ Merangkumi 25 Saham Patuh Syariah Bermodal Besar

Jika anda tiada masa atau tidak mahir untuk menilai saham, tetapi anda tetap mahu melabur dalam pasaran saham untuk mengambil kesempatan daripada harga saham yang rendah sekarang ini, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli MyETFDJ, iaitu Dana Dagangan Bursa atau ETF yang patuh Syariah.

ETF sebenarnya ialah sejenis instrumen yang menjejak indeks. Bagi MyETFDJ, indeks yang dijejak ialah My ETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25, meliputi 25 saham patuh syariah bermodal terbesar di Malaysia. Justeru, saham-saham ini bolehlah dianggap sebagai proksi kepada pasaran saham Malaysia umumnya. Apabila anda membeli satu unit, anda telah mempelbagaikan pelaburan dalam 25 saham tersebut. Kejatuhan satu saham tidak akan menjejaskan pelaburan anda dengan ketara.

MyETFDJ boleh dijual beli seperti saham biasa di pasaran, dengan kos broker biasa, dalam jumlah minimum 1 lot (100 saham). Tetapi untuk menikmati kos urus niaga paling rendah, pembelian sekurang-kurangnya 3,000 unit disyorkan bagi pembelian online atau 10,000 unit bagi pembelian menerusi broker. Prestasi MyETFDJ setakat ini adalah seperti berikut:

Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Kita dapat lihat bahawa sejak dilancarkan, MyETFDJ berada pada trend yang menurun, terutamanya kerana krisis kewangan dunia yang menyebabkan harga kebanyakan saham jatuh. Jika anda yakin bahawa ekonomi dan pasaran saham akan pulih, dan tiada masa untuk menilai saham satu persatu, MyETFDJ ialah pilihan yang mudah bagi anda untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan yang dijangka berlaku, di samping mempelbagaikan pelaburan dalam satu urus niaga. Cuma jangan lupa bahawa anda perlu bersedia melabur untuk jangka panjang, terutamanya jika pemulihan mengambil masa satu atau dua tahun.

02 November, 2008

Bukan Senang Kutip Hutang

Perlu diplomatik tetapi tegas bila kutip hutang

Sekiranya anda memberikan kemudahan kredit kepada pelanggan anda, saya pasti anda sedar betapa susahnya mengutip hutang daripada sesetengah pelanggan. Malah dalam keadaan gawat seperti ini, biasanya bilangan hari hutang tidak dijelaskan semakin bertambah, kerana pelanggan kita pun mengalami masalah mengutip hutang daripada pelanggan mereka.

Sebenarnya apabila sudah lama berniaga, kita boleh 'baca' sama ada seseorang penghutang itu ikhlas atau tidak. Ada sesetengah itu sengaja melengah-lengahkan bayaran walaupun mereka ada duit. Sesetengah yang lain pula memang 'confirm' tak ada duit dan memerlukan masa untuk membayar. Perkara paling penting ialah keikhlasan.

Jika pelanggan terus terang dan berkata mereka tak ada duit dan memerlukan masa untuk membayar, saya tak ada masalah langsung. Saya tetap terima kerja daripada mereka. Jika kita tolong orang semasa mereka susah, nanti mereka akan tolong kita apabila kita terdesak. Tetapi yang tak sedap ialah pelanggan yang memberikan seribu satu alasan, bukan sekali tetapi berulang-ulang kali. Mungkin pelanggan ini perlu dinilai semula kemudahan kredit yang diberikan kepada mereka.

Bagi sesetengah perniagaan, kemudahan kredit tetap perlu diberikan kepada pelanggan. Kalau tidak, mungkin tiada siapa yang akan berniaga dengan kita. Apabila kutip hutang pun perlu diplomatik lebih-lebih lagi jika pelanggan tersebut penting untuk kita. Walaupun begitu, kita perlu sentiasa berwaspada. Apa gunanya meraih hasil atau 'revenue' yang tinggi sekiranya 10% daripada hasil tersebut tidak dapat dikutip.

Justeru, apabila menilai pelanggan, saya tidak melihat sama ada syarikat itu besar atau kecil, yang penting ialah cara mereka berurusan dengan kita dalam beberapa urus niaga pertama. Kalau sejak dari mula lagi sudah menimbulkan masalah, lebih baik lupakan pelanggan ini atau minta mereka berurusan secara tunai. Keupayaan mengutip hutang amat penting dan perlu diberi perhatian, kerana ada segelintir syarikat yang muflis disebabkan gagal mengutip hutang besar.

28 Oktober, 2008

Saham Jatuh Teruk...Jangan Panik

Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Mungkin Kurang Bijak

Sekiranya anda memiliki saham atau mempunyai pelaburan yang agak besar dalam unit amanah, anda pasti resah dengan keadaan pasaran semasa. Indeks telah jatuh ke tahap hampir 800 mata hari ini, tetapi kembali naik ke paras lebih 830 mata pada penutup. Banyak saham telah jatuh harganya sehingga berada di bawah nilai sebenar. Malah banyak saham yang berada jauh di bawah nilai aset bersih syarikat. Kejatuhan harga saham juga sudah tentu menjejaskan nilai unit amanah.

Jualan panik telah melanda pasaran global dan Malaysia tidak terlepas daripada kesan krisis ini. Ekonomi sebenar dijangka turut menghadapi kesannya. Malah Singapura sudah mengalami kemelesetan pada suku tahun terakhir. Pertumbuhan Malaysia juga akan terjejas. Tetapi dalam keadaan semasa yang penuh dibelenggu ketakutan kita harus ingat bahawa krisis kewangan yang kita alami dulu adalah jauh lebih serius kepada kita kerana bank-bank kita yang menghadapi masalah pada waktu itu. Namun dalam kegawatan teruk sebegitu pun, ekonomi kita tetap pulih.

Krisis kewangan kali ini mempunyai kesan lebih serius bagi ekonomi global, tetapi institusi kewangan kita tidak begitu terjejas dan telah mengambil pendekatan berhati-hati sejak krisis kewangan Asia dahulu. Cuma ekonomi kita tetap akan mengalami kesannya kerana permintaan untuk barangan eksport dan harga komoditi akan merosot.

Kalau anda memegang saham atau unit amanah, masa untuk menjual ialah tiga hingga enam bulan lepas, sebelum krisis berlarutan. Kalau jual sekarang, anda mungkin rugi kerana anda tidak akan meraih manfaat apabila pemulihan berlaku. Namun anda tetap perlu menilai portfolio anda. Jika saham yang anda pegang berpotensi untuk kekal pada paras rendah akibat terjejas teruk, barulah pertimbangkan untuk jual saham tersebut. Gunakan wang untuk membeli saham syarikat yang dijangka akan naik dengan pantas seiring dengan pemulihan, terutamanya syarikat yang menggunakan komoditi sebagai faktor pengeluaran kerana harga komoditi telah jatuh ke tahap yang lebih realistik.

24 Oktober, 2008

Bukan Senang Melayan Pelanggan

Perkhidmatan Pelanggan Penting Untuk Menjamin Kejayaan

"The customer is always right". Inilah ungkapan atau nasihat yang sering kita dengar tentang cara melayan pelanggan. Tetapi selepas menguruskan perniagaan sendiri selama 10 tahun, saya dapati ungkapan ini memang kurang tepat, tetapi kita tetap perlu menahan ego kita semata-mata untuk kemajuan perniagaan.

Sekiranya anda sudah lama bekecimpung dalam dunia perniagaan, sama ada besar atau perniagaan kecil , anda sudah tentu tahu betapa susah melayan kerenah pelanggan. Tidak kiralah sama ada dari segi produk atau perkhidmatan yang diberikan atau mengutip hutang, kita perlu sentiasa melayan pelanggan dengan baik dan bersopan, walaupun jika anda tidak setuju atau kurang senang dengan sikap mereka.

Ini kerana pelanggan yang sudah ada di dalam tangan kita adalah jauh lebih berharga daripada prospek 'di luar sana' yang belum tentu kita perolehi. Sekiranya produk atau perkhidmatan anda boleh dibeli atau digunakan secara berulang, maka layanan yang baik kepada pelanggan menjadi semakin penting.

Pada peringkat awal perniagaan, saya tidak begitu kisah sangat tentang perkara ini. Kalau saya rasa pelanggan salah, saya beritahu terus-terang dan kadangkala perbualan bertukar menjadi perdebatan hangat. Akhirnya pelanggan marah, saya pun marah, dan tiada siapa menang.

Namun, kini setiap kali kalau saya tak setuju dengan pelanggan, saya cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan diri untuk bercakap secara 'direct' dan cuba bersikap lebih diplomatik (memang susah nak diamalkan). Saya akan tanya diri sendiri, nak majukan perniagaan atau nak buktikan kehebatan sendiri? Siapa tahu, mungkin kita yang salah dan pelanggan yang betul.

Jadi lebih baik beri muka kepada pelanggan. Pelanggan sudah membayar untuk produk atau perkhidmatan dan mereka akan menilai produk tersebut dang juga layanan yang diberikan selepas jualan. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, jika mereka tak puas hati sahaja, mereka boleh pergi kepada pesaing.

Justeru bukan senang melayan pelanggan. Tetapi kejayaan perniagaan bergantung sepenuhnya kepada keupayaan kita mengekalkan pelanggan dan meyakinkan mereka untuk setia bersama kita.

21 Oktober, 2008

Pinjam Duit KWSP Untuk Labur Saham?

Tiada masalah tetapi kerajaan harus jamin KWSP tidak rugi

Salah satu daripada langkah yang diumumkan semalam untuk menangani krisis ekonomi ialah peruntukan RM5 bilion untuk melabur dalam pasaran saham menerusi Valuecap. Dari satu sudut, ini boleh dianggap sebagai langkah yang bijak kerana harga saham sekarang pada paras yang amat rendah dan saya rasa dalam tempoh tiga empat tahun akan datang, pelaburan boleh mencatatkan keuntungan yang agak tinggi.

Namun yang menjadi tanda tanya ialah wang tersebut akan dibekalkan oleh KWSP dalam bentuk pinjaman. Langkah ini dipersoalkan oleh beberapa pihak, dan antara perkara yang dipertikaikan ialah:

1. Kenapa gunakan wang KWSP? Bukankah jika pelaburan ini rugi, rakyat yang akan menanggung kerugiannya?

2. Patutkah kita melabur RM5 bilion dalam pasaran saham? Bukankah sepatutnya kita melabur dalam aktiviti yang menjana ekonomi sebenar? Apabila ekonomi dirangsangkan, pasti pasaran saham juga akan naik. Tetapi apabila duit dilaburkan terus dalam pasaran saham, harga saham naik, tetapi tiada nilai sebenar dicpita.

3. Pelaburan ini akan dibuat dalam syarikat mana? Apakah kriteria pelaburannya? Adakah pelaburan dibuat dalam saham syarikat di mana pemegang saham utamanya ada kaitan tertentu, yang mengalami masalah akibat membeli saham berasaskan hutang. Apabila harga saham yang dicagarkan jatuh, bank akan membuat panggilan untuk meningkatkan nilai sandaran atau bayar balik sebahagian hutang sehingga sesuai dengan nilai saham yang dicagarkan. Justeru untuk mengelakkan jualan paksa (forced-selling), harga saham perlu naik lebih tinggi.

Menteri Kewangan kedua kita hari ini menyatakan bahawa pelaburan ValueCap telah meningkat dari RM5 bilion kepada RM8 bilion. Ini mengurangkan kebimbangan tentang kemusykilan pertama yang ditimbulkan. Namun rekod masa lepas tidak menjamin prestasi masa depan. Ada baiknya jika kerajaan menjamin bahawa KWSP tidak akan rugi daripada pelaburan ini, kerana pinjaman dibuat bukan atas budi bicara Lembaga KWSP, tetapi atas arahan Kerajaan.

Kemusykilan kedua lebih sukar dijawab. Tetapi tidak dinafikan bahawa peningkatan harga saham akan mewujudkan 'wealth effect' tetapi manfaatnya akan dirasai hanya oleh pemilik saham, dan itupun hanya saham yang dibeli oleh ValueCap sahaja, sedangkan pelaburan dalam ekonomi sebenar akan mewujudkan kesan pengganda dan tempiasnya boleh dimanfaatkan oleh semua.

Untuk menjawab kemusykilan ketiga, Valuecap harus telus apabila membuat pelaburan dan melabur berasaskan potensi saham, bukan berasaskan siapa pemegang saham atau kriteria lain yang menyimpang daripada tujuan asal.

Sama ada keputusan ini satu langkah yang bijak bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan. Jika dilaksanakan dengan teliti dan sempurna, pelaburan tersebut boleh membawa manfaat. Jika dilaksanakan dengan cara yang tidak telus dan amanah, langkah ini boleh membawa padah.

18 Oktober, 2008

Melabur atau Spekulasi?

Beli saham tak semestinya bermakna melabur dalam saham

Sekarang ini, sesiapa sahaja yang membeli saham dianggap sebagai pelabur. Namun label pelabur yang diberikan tidak semestinya betul. Beli saham tak semestinya bermaksud melabur. Ada yang beli saham untuk tujuan spekulasi. Biasanya sesiapa yang membeli saham berasaskan spekulasi mengharapkan pergerakan saham dalam jangka pendek atas beberapa sebab.

Mungkin mereka menjangkakan ada berita positif yang akan diumumkan tidak lama lagi. Mungkin mereka melihat carta dan berasaskan analisis teknikal, meramalkan saham tertentu mempunyai momentum untuk naik lagi. Atau mereka mendengar khabar angin syarikat tersebut akan diambil alih dan membeli saham kerana harga tawaran selalunya lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran.

Menurut Benjamin Graham dalam bukunya Intelligent Investor, mana-mana pelabur biasa (bukan profesional) yang membeli saham atas margin (hutang) sebenarnya melibatkan diri dalam spekulasi. Selain itu, beliau juga berkata sesiapa yang membeli saham ‘hangat’ kerana mengharapkan kenaikan harga hanya kerana saham tersebut popular sebenarnya terlibat dalam spekulasi dan mempertaruhkan wangnya.

Adakah spekulasi itu sesuatu yang negatif? Tidak semestinya. Cuma kegiatan spekulasi mengundang risiko yang lebih tinggi, iaitu potensi kerugian lebih besar. Namun kebarangkalian untung juga lebih tinggi. Selain itu spekulator memainkan peranan penting dalam sesuatu Bursa, iaitu dengan meningkatkan permintaan dan bekalan saham. Pendek kata, mereka menyediakan sumber kecairan yang amat dialu-alukan oleh Bursa dan juga pelabur lain. Tetapi spekulasi juga ada keburukan.

Kadangkala saham dijual beli sehingga ke tahap terlalu tinggi jauh melebihi nilai asas saham. Pelabur yang kurang maklum pula, apabila melihat harga saham naik sama-sama turut serta membeli saham sehinggalah kenaikan tidak dapat ditampung lagi dan saham tersebut jatuh secara menjunam. Pelabur yang paling teruk mengalami kesannya ialah mereka yang membeli pada tahap tertinggi. Lagi tinggi harga belian, lagi besar kerugian yang dialami. Jika anda mahu jadi spekulator dan mahu berdagang saham dalam jangka masa pendek dan sebagainya, terpulang kepada anda. Cuma jangan campurkan dana spekulasi dengan dana pelaburan. Selain itu, amalkan spekulasi bijak, iaitu spekulasi berasaskan maklumat dan ilmu pengetahuan dan ambil langkah untuk hadkan kerugian jika kerugian berlaku.

Nota: Rencana ini dipetik daripada buku saya yang akan diterbitkan awal tahun depan
.

15 Oktober, 2008

Baik Buruk Krisis Kewangan Dunia

Ada Hikmah dan Manfaat di Sebalik Kegawatan

Apabila sebut sahaja krisis, ramai yang mempunyai tanggapan negatif. Memang ini tidak menghairankan kerana krisis dikaitkan dengan kegawatan, masalah ekonomi, kesempitan kewangan dan tahap keuntungan syarikat yang lebih rendah. Berikut adalah berapa kesan krisis kewangan sedunia terhadap kita di Malaysia:

1. Harga saham jatuh. (Kalau anda masih banyak memegang saham) Ini perkara biasa. Harga saham jatuh kerana pelabur meramalkan penyusutan tahap keuntungan syarikat .

2. Nilai unit amanah jatuh. (Jika anda banyak melabur dalam unit amanah dan belum sempat menjual sebelum harga turun). Oleh kerana harga saham jatuh, sudah tentulah nilai unit amanah yang melabur dalam ekuiti juga jatuh sama.

3. Nilai rumah/hartanah yang anda miliki mungkin merosot sedikit...bergantung kepada lokasi dan jenis rumah.

4. Pertumbuhan ekonomi terjejas. Dari segi kesan individu bermakna orang ramai tidak akan menerima kenaikan gaji, bonus yang mereka terima lebih kecil atau tiada langsung bonus. Mungkin dalam kes yang teruk, ada pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja, tetapi jumlahnya masih kecil di Malaysia.

5. Syarat pinjaman lebih ketat, terutamanya pinjaman kereta yang dulunya amat longgar.

Namun di sebalik kegawatan, ada juga hikmah dan manfaat krisis yang melanda dunia kali ini. Malah sesetengah manfaat adalah sama dengan keburukannya!

1. Harga saham jatuh. Pelabur yang mempunyai banyak tunai dan yakin dengan keupayaan ekonomi untuk pulih boleh membeli saham pada harga yang berpatutan.

2. Harga unit amanah jatuh. Pelabur bijak kini boleh membeli unit amanah terbaik pada harga yang rendah, sambil menantikan pemulihan ekonomi berlaku.

3. Nilai rumah/hartanah lebih rendah. Peluang untuk pelabur yang lebih suka melabur dalam hartanah untuk mendapatkan harga yang berpatutan.

4. Harga minyak turun. Faktor ini paling banyak memberi kesan terhadap rakyat.

5. Harga komoditi turun. Akan membantu mengekang inflasi yang mencecah tahap yang agak tinggi. Turut membantu syarikat yang menggunakan komoditi sebagai faktor pengeluaran.

6. Syarat pinjaman ketat. Ini mengelakkan pembeli kereta yang tidak mampu daripada mengambil pinjaman yang terlalu besar, kerana tindakan ini mungkin mengudang masalah pada masa depan.

Justeru sesuatu faktor itu mungkin positif atau negatif, bergantung kepada situasi, tanggapan dan kedudukan kewangan anda. Namun kefahaman tentang perkara ini penting untuk memastikan sesiapa yang terjerat akibat krisis kewangan kali ini untuk belajar daripada kesilapan, dan bersedia untuk mengambil kesempatan sekiranya kegawatan berlaku lagi pada masa depan.

12 Oktober, 2008

Jangan Jadi Hamba Kad Kredit

Gunakan Kad Tapi Elakkan Hutang

Kita kini sudah menjadi masyarakat ketagih hutang, dengan segala tarikan kebendaan yang sukar ditolak oleh orang ramai. Bank pula berkejar-kejar untuk memberikan kad kredit kepada umum untuk meluaskan perniagaan mereka. Merekalah yang paling banyak untung.

Cuba fikirkan, kenapa syarikat kad kredit berlumba-lumba nak memberikan anda kad kredit? Malah banyak juga yang langsung tak kenakan yuran tahunan. Mereka sebenarnya melabur dalam anda. Anda saham mereka yang akan memberikan pulangan terkompaun 15 - 18% setahun kepada mereka. Sebab itulah mereka memberikan pelbagai layanan istimewa dan mata ganjaran, dengan diskaun sini sana. Mereka sayangkan anda sebab anda lubuk emas mereka.

Tapi bagi orang yang bijak, mereka akan menggunakan kad kredit, tetapi akan bayar jumlah yang dipakai tepat pada masanya. Satu sen pun tak kena faedah. Ada banyak kad sekarang yang tidak mengenakan yuran. Anda boleh kutip mata ganjaran dan manfaatkan segala diskaun tetapi pastikan anda bayar tepat pada masanya.

Seorang eksekutif yang bekerja dalam syarikat kad kredit berkata pelanggan macam ni memang mereka tak suka, sebab untung mereka hanyalah potongan yang diperolehi daripada peniaga semasa anda membuat urus niaga. Jadi matlamat anda ialah untuk menjadi pelanggan yang kurang disenangi oleh bank. Jangan jadi lubuk emas mereka.

08 Oktober, 2008

Cara Menentukan Skim Cepat Kaya

Beberapa petua untuk mengesan skim pelaburan meragukan

1. Pulangan pelaburan sangat tinggi, biasanya lebih 20% dalam tempoh kurang daripada enam bulan. Lebih tinggi pulangan, lebih meragukan skim tersebut.

2. Orang yang mengajak anda melabur tidak dapat menerangkan dengan jelas tentang cara skim ini meraih pulangannya. Biasanya mereka akan memberikan gambaran kasar sahaja, seperti pelaburan luar pesisir (offshore), pelaburan menerusi internet dan pelaburan pulangan tinggi (high-yield investment).

3. Tiada dokumentasi urus niaga yang sahih dan mantap. Kadangkala pelaburan dikutip tanpa sebarang dokumen sokongan.

4. Dokumen tawaran dengan bahasa yang berbelit-belit dan tidak begitu tepat. Pengendali skim seolah-olah tidak boleh memberi penjelasan 'straight to the point'.

5. Pelabur perlu atau digalakkan mencari downline atau orang lain untuk sama-sama melabur. Jika anda melabur dalam unit amanah umpamanya, adakah syarikat unit amanah itu menyuruh anda mendapatkan pelabur lain untuknya?

6. Para penganjur utama skim tidak mempunyai alamat yang tetap atau sahih dan tidak mudah dihubungi. Kadangkala mereka hanya boleh dihubungi menerusi emel sahaja.

04 Oktober, 2008

Skim Cepat Kaya Kembali

Skim Cepat Kaya pasti kembali dalam bentuk berbeza;
Berwaspada terhadap peluang meraih habuan lumayan


Nampaknya skim cepat kaya yang memuncak pada tahun lepas kembali dalam bentuk berbeza. Seperti biasa, pulangan lumayan tetap akan ditawarkan, katakan 30% atau 40%, yang akan diperolehi untuk tempoh dua atau tiga bulan.

Pertamanya, kita perlu sedar bahawa pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap seperti ini adalah haram kerana mempunyai unsur riba. Kedua, saya tak tahu pelaburan jenis apa yang boleh memberikan pulangan setinggi ini dalam tempoh yang begitu singkat. Warren Buffet yang merupakan pelabur tersohor di dunia pun mencatatkan pulangan lebih kurang 21% setahun. George Soros pun sepanjang tempoh penglibatannya dalam spekulasi dan dagangan hanya mencatat 31% setahun. Namun begitu beliau ada mencatatkan kerugian di akhir kariernya sebagai pengurus dana lindung nilai.

Faktor yang biasanya menarik pelabur ialah pada peringkat awal, penganjur skim ini akan membayar pulangan yang dijanjikan. Perkara ini akan diteruskan sehingga beberapa tahun selagi dana baru boleh dikumpulkan. Dalam variasi terbaru skim cepat kaya, penganjur mendakwa mereka dapat untung menerusi opsyen saham pekerja yang tidak dilaksanakan, pelaburan pulangan tinggi (high-yield investment) atau menerusi private placement (tawaran persendirian).

Pada hakikatnya, kita perlu bertanya, adakah orang yang menjual opsyen saham atau membuat placement ini begitu cetek pengetahuannya sehingga memberikan anda peluang untuk meraih 40%? Tak mungkin. Malah kalau ada untung 20% pun, sudah tentu ramai pihak berlumba-lumba untuk melibatkan diri dalam proses tersebut. Jadi alasan yang diberi tak masuk akal. Skim akan runtuh hanya apabila piramid tidak boleh ditampung lagi dan tiada dana baru yang boleh diperolehi, atau jika pelaburan risiko tinggi pihak penganjur mengalami kerugian. Tiada pelaburan yang boleh untung selama-lamanya dan menjamin keuntungan setiap masa.

Perkara yang menghairankan ialah pihak yang menjadi mangsa skim seperti ini bukan calang-calang orang, cuma kes selalunya dirahsiakan untuk menutup malu. Sikap tamak akan merugikan kita. Sentiasa ingat bahawa tidak ada pelaburan yang boleh menjamin keuntungan lumayan tetap. Jika pelaburan menjanjikan pulangan lumayan yang terjamin dalam tempoh yang singkat, kemungkinan besar skim ini adalah skim cepat kaya. Pelabur harus berwaspada.

28 September, 2008

Beli Unit Amanah Menerusi Internet?

Fundsupermart.com tawarkan yuran lebih rendah

Baru-baru ini, saya ada membaca beberapa rencana iklan di akhbar yang dikeluarkan oleh fundsupermart.com. Mereka menjual unit amanah menerusi Internet dan menawarkan yuran perkhidmatan yang lebih rendah berbanding ejen jualan biasa. Tetapi bukan semua dana ditawarkan, cuma dana syarikat tertentu sahaja, termasuk OSK, Prudential, Affin, TA, PHEIM dan RHB. Laman web tersebut dimiliki oleh OSK.

Perkara yang menarik ialah dana daripada dua gergasi unit amanah, iaitu CIMB dan Public Mutual tidak ditawarkan di sini. Laman ini masih baru lagi dan saya rasa jika anda memang sudah membuat keputusan untuk membeli salah satu daripada dana yang ditawarkan, maka memang berbaloi untuk membeli dari sini. Namun pada pendapat saya keputusan beli masih lagi bergantung kepada prestasi dana. Jika dana daripada syarikat-syarikat prestasi terbaik tidak ditawarkan, mungkin laman ini kurang mendapat sambutan. Tetapi kita perlu tunggu dan lihat selama setahun sebelum kita boleh menentukan sama ada inilah trend pembelian unit amanah pada masa depan.

Tetapi ada satu dana yang ditawarkan yang menarik perhatian saya, iaitu dana indeks OSK KLCI Tracker yang menjejak prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur. Jika anda tidak yakin dengan keupayaan pengurus dana untuk mengatasi prestasi pasaran (lihat artikel saya bertajuk Prestasi Pengurus Dana), inilah dana terbaik untuk dibeli, lebih-lebih lagi dengan paras indeks yang rendah sekarang dan juga yurannya yang berpatutan. Persoalannya ialah adakah CIMB, Public Mutual atau MAAKL akan menawarkan kemudahan pembelian menerusi Internet yang sama untuk dana-dana mereka?

25 September, 2008

Mengintai Peluang Pasaran

Semakin Banyak Saham Boleh Dibeli Pada Harga Berpatutan

Apabila indeks komposit mencecah tahap 1,300 dan seterusnya 1,400 mata awal tahun ini, ramai yang berlumba-lumba membeli saham, sedangkan kebanyakan saham diperdagangkan pada harga yang agak tinggi. Tetapi krisis kewangan dunia dan masalah politik Malaysia telah menyebabkan kejatuhan indeks ke tahap 1,000 mata. Kini lebih banyak saham yang diperdagangkan pada harga yang sangat berpatutan. Yang hairannya tidak ramai orang yang mahu membeli.

Inilah lumrah peserta pasaran. Ramai pelabur melabur dalam jangka pendek. Analisis yang dibuat juga menjurus kepada analisis teknikal, bukannya analisis asas (fundamental analysis). Satu lagi perkara ialah ramai orang kini dalam keadaan bimbang. Dalam situasi tidak menentu ini, pelbagai perkara boleh berlaku, jadi mereka takut kalau saham akan jatuh lagi. Tetapi keadaan tidak seburuk yang disangka. Walaupun keadaan politik bercelaru, asas ekonomi kita sebenarnya kukuh dan kita tidak begitu terasa tempias krisis kewangan sedunia.

Keuntungan paling besar biasanya dicapai apabila membeli dalam keadaan gawat. Siapa yang berani menempuh ketidakpastian boleh meraih manfaatnya. Tetapi mereka juga berpotensi rugi dalam jangka pendek sekiranya saham jatuh lagi akibat perkembangan kewangan dunia dan juga keadaan politik semasa. Pada pendapat saya, pelabur yang berani melawan arus akan meraih untung yang lumayan.

21 September, 2008

Krisis Kewangan Sedunia

Institusi Tersohor Jatuh Seperti Domino
Institusi Perbankan Islam Tidak Terjejas


Baru-baru ini, berita tentang kegagalan Lehman Brothers dan Meryll Lynch menggemparkan dunia. Ini disusuli pula dengan berita Kerajaan AS mengambil alih AIG, sebuah syarikat insurans gergasi dunia. Langkah tersebut merupakan pengambilalihan kedua selepas Kerajaan AS menyelamatkan Freddie Mac dan Fannie Mae yang merupakan institusi pemberi pinjaman perumahan di AS. Punca asas segala kegagalan ini ialah masalah pinjaman perumahan berkualiti rendah atau subprime mortgage. Tetapi cuba bayangkan, mengapa krisis ini menjadi begitu teruk sehingga menular kepada syarikat yang sepatutnya tiada kena mengena dengan pinjaman perumahan.

Puncanya ialah sesuatu yang dinamakan 'securitization' dan juga instrumen derivatif lain, termasuk 'credit default swaps'. Selepas pemberi pinjaman memberi pinjaman perumahan, portfolio pinjaman perumahan yang mereka ada akan disekuritikan (securitized), iaitu dipakejkan dan dijual kepada pihak lain. Jadi pihak lain ini juga terdedah secara tidak langsung kepada risiko pinjaman tadi. Malah, pengsekuritian ini mungkin tidak terhad kepada selapis sahaja, tetapi berlapis-lapis. Semuanya bersandarkan satu aset asal, iaitu rumah. Jika ramai pembeli rumah gagal membayar, institusi pemberi pinjaman akan mengalami masalah, dan mereka pula mengalami masalah membayar kepada institusi ketiga yang membeli portfolio pinjaman daripada mereka dan seterusnya. Sebab itulah krisis ini menular dengan cara yang begitu berleluasa.

Sementara AIG pula mengalami masalah kerana melibatkan diri dalam kredit default swaps, iaitu instrumen derivatif kompleks yang berkaitan dengan kegagalan kredit. Justeru, masalah instrumen berlapis-lapis yang membawa keuntungan lumayan pada masa ekonomi pesat, membawa masalah besar dan menjatuhkan institusi kewangan secara domino apabila berlaku kegawatan.

Institusi perbankan Islam pula tidak terjejas kerana segala urus niaga perlu berasaskan aset nyata dan sebarang instrumen berlapis-lapis yang tidak bersandarkan aset tidak dibenarkan. Selain itu, sebahagian besar daripada derivatif juga tidak patuh syariah, maka bank-bank Islam tidak melibatkan diri dalam instrumen kompleks ini yang dikatakan sangat inovatif tetapi akhirnya membawa musibah.

17 September, 2008

Beroperasi Dalam Suasana Tidak Menentu

Kita perlu membiasakan diri dengan ketidakstabilan politik

Semua perniagaan, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana perlu menerima senario politik baru negara kita. Kestabilan yang dialami setelah sekian lama mungkin tidak akan dialami lagi. Tidak ada gunanya bersikap tunggu dan lihat. Perniagaan harus diteruskan. Kita mempunyai tanggungjawab untuk terus menggerakkan ekonomi Malaysia, tidak kira siapa jua yang memerintah. Jika pemindahan kuasa berlaku, ketidakstabilan akan berterusan kerana majoritinya pasti jauh lebih kecil daripada yang ada sekarang. Kalau tiada pemindahan kuasa berlaku, tekanan ke atas kerajaaan yang sedia ada akan berterusan, sehinggalah ke Pilihanraya Umum seterusnya. Kita perlu menerima hakikat ini dan menyesuaikan diri.

Mungkin sejak pilihan raya Mac, Permatang Pauh dan Sept 16, semua orang masih tertanya-tanya bilakah segala ketidakpastian ini akan berakhir. Jangan tunggu lagi, teruskan dengan rancangan perniagaan. Drama yang sedang berlaku akan berlarutan dan mungkin tiada penghujung. Kita sebagai rakyat Malaysia harus meneruskan kerja kita dengan bersungguh-sungguh kerana masa depan negara di tangan kita, bukan di tangan ahli politik. Menjelang akhir tahun ini, mungkin sebahagian besar daripada masyarakat akan mula bosan dengan kerenah ini dan lali dengan segala percaturan. Kegawatan ekonomi dunia, yang sekarang berada di tahap paling serius akan mula reda dalam tempoh yang sewajarnya. Menurut Tang Teng Boo, seorang pelabur terkenal Malaysia yang mengendalikan iCapital, kejatuhan harga komoditi akan memulakan era perkembangan baru. Jadi abaikan segala kerenah politik. Harungi kegawatan semasa dan bersiap sedia untuk fasa perkembangan seterusnya yang mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

14 September, 2008

Peluang Dalam Saham Bank Islam?

Harga - RM1.05; EPS 2008 - 22.3 sen; P/E - 4.7

Lebih kurang tiga tahun lalu, Bank Islam mengalami masalah kewangan dan pengurusan, di samping tahap pembiayaan tidak berbayar yang tinggi. Tetapi sejak tahun kewangan lepas, prestasinya semakin meningkat. Pihak pengurusan telah ditukar dan proses pemulihan telah dilaksanakan. Walaupun prestasi bertambah baik, harga sahamnya sekarang rendah kerana dua perkara. Pertama keadaan politik dan ekonomi semasa yang kurang baik. Kedua, mungkin ramai pelabur yang masih ragu-ragu dengan keupayaannya untuk terus mencapai keuntungan selepas masalah yang dialami tiga tahun lalu.

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (KSZC) berjumlah RM308.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008 (TK2008), iaitu 30.3% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Di peringkat Kumpulan, KSZC mencecah angka RM316.9 juta, iaitu 49.5% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Pulangan atas Ekuiti Bank meningkat kepada 26.5% berbanding 23.3% sebelum ini. Pendapatan sesaham (EPS) pula naik kepada 22.3 sen berbanding 16.1 sen pada tahun sebelumnya. Manakala, Nisbah Modal Risiko Berwajaran bank juga meningkat kepada 12.9% berbanding 12.0% pada TK2007.

Deposit pelanggan telah menokok 17.9% kepada RM20.8 bilion. Selain itu, situasi Pembiayaan Tidak Berbayar (PTB) juga semakin baik. PTB Kasar menyusut daripada 22.3% kepada 18.6% manakala PTB bersih berkurangan daripada 11.4% kepada 7.8%. Dari segi peluasan perniagaan, Bank Islam sedang membuat pertimbangan untuk menceburi pasaran Indonesia yang mempunyai begitu ramai penduduk Islam. Berasaskan segala perangkaan dan maklumat ini, harga saham Bank Islam nampak amat berpatutan, terutamanya untuk pelaburan jangka panjang, selagi syarikat dapat dapat terus menambah baik operasi dan membuat keputusan yang tepat apabila menceburi pasaran Indonesia.

12 September, 2008

Politik Jejaskan Ekonomi

Dalam tempoh sebulan ini, dunia perniagaan dan pelaburan agak terjejas dengan kemelut yang melanda politik negara. Dengan segala khabar angin dan ura-ura, ramai pelabur dan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat manakala pelabur asing pula membawa keluar modal mereka. Menurut satu sumber, sehingga RM1.1 bilion modal telah keluar pada bulan Ogos sahaja (bukan khabar angin, tetapi kesahihan kenyataan tidak dapat dipastikan).

Bagi kita semua, segala kemelut dan tanda tanya hanya akan terjawab apabila parlimen bersidang semula selepas Raya. Sekiranya ahli parlimen BN tidak dibawa ke Taiwan, segalanya terjawab 16 September ini dan kita semua boleh membuat perancangan sewajarnya, tidak kira siapa yang memerintah. Tetapi sekarang kita terpaksa menunggu lebih lama. Hakikat bahawa ahli parlimen BN diterbangkan ke Taiwan menunjukkan bahawa ancaman ini memang sahih. Diharapkan ahli-ahli politik daripada kedua-dua pihak sedar bahawa percaturan mereka membawa mudarat kepada ekonomi dan menjejaskan tahap keyakinan terhadap negara.

07 September, 2008

Musyarakah Mutanaqisah

Produk pembiayaan perumahan patuh Syariah yang fleksibel

Kita semua sudah tahu tentang BBA atau Bai' Bithaman Ajil, iaitu pembiayaan Islam yang berasaskan kontrak beli dan jual semula. Kontrak ini digunakan secara berleluasa dalam pembiayaan perumahan yang ditawarkan oleh bank-bank Islam tetapi tidak begitu fleksibel. Sebagai contoh, jika anda mempunyai wang lebih, anda tidak boleh sesuka hati menggunakannya untuk melunaskan pembayaran dan mengurangkan kadar keuntungan. Anda perlu memohon kepada bank terlebih dahulu dan terpulang kepada bank untuk memberikan rebet atas kadar keuntungan. Malah jika anda menjual rumah dan menjelaskan hutang, rebet yang diberikan tidak termaktub dalam kontrak, sebaliknya diberikan berasaskan budi bicara bank dan amalan biasa bank-bank di Malaysia. Malah ada kes di mana rebet tidak diberikan sehingga kes sampai ke mahkamah, walaupun perkara ini jarang berlaku.

Dengan Musyarakah Mutanaqisah (MM), pengguna boleh mendapatan pembiayaan perumahan yang lebih fleksibel berasaskan konsep pemilikan bersama dan sewaan. Sebagai contoh, jika anda membayar pendahuluan 10%, anda akan memiliki 10% rumah tersebut dan bank pula memiliki 90%. Setiap bulan, anda membayar ansuran. Sebahagian ansuran tersebut akan digunakan untuk membayar sewa kepada bank untuk 90% daripada nilai rumah dan sebahagian lagi untuk membeli sebahagian daripada pemilikan rumah daripada bank. Sebagai contoh kasar, selepas membuat ansuran selama setahun, anda akan memiliki katakan 15% rumah manakala bank pula 85%. Walaupun bank memiliki sebahagian besar rumah, anda tidak perlu bimbang kerana kuasa ke atas rumah terletak di tangan anda.

Proses ini diteruskan sehinggalah anda memiliki sepenuhnya rumah tersebut. Kadar sewa akan ditentukan mengikut kadar pembiayaan asas dan juga lokasi dan jenis kediaman. Berbeza daripada BBA yang sebahagian besarnya mengenakan kadar keuntungan tetap, MM menggunakan kadar terapung, berasaskan kadar pembiayaan asas. Pembeli rumah juga boleh membuat pembayaran lebih, iaitu jika sesuatu bulan ada duit lebih, jumlah tersebut boleh digunakan untuk membeli lebih banyak bahagian hak milik daripada bank, lantas mengurangkan kadar sewa yang dibayar kerana sewa yang dikenakan hanya ke atas bahagian yang dimiliki oleh bank sahaja. Kontrak MM memberikan tahap fleksibiliti yang sama dengan perbankan konvensyenal tetapi menggunakan konrak berasaskan perkongsian hak milik dan sewa, dengan pemilikan bertambah bagi pengguna secara beransur-ansur dan pemilikan berkurangan secara beransur-ansur bagi Bank. Sebab itulah pembiayaan ini turut dikenali dengan nama diminishing musyarakah.

Setakat yang saya tahu, dua bank besar yang menawarkan MM ialah Maybank dan Citibank (tetapi jumlah ini mungkin sudah bertambah). Maybank ada mengenakan had pembyaran balik dalam tempoh enam tahun pertama kontrak tetapi selepas itu pelanggan boleh membuat pembayaran sesuka hati mereka. Saya tidak begitu pasti dengan had pembayaran yang ditetapkan oleh Citibank. Cuma yang saya dapati semasa membuat perbandingan, kadar sewa Maybank lebih rendah tetapi syarat pembayaran balik Citibank lebih fleksibel (pada waktu perbandingan dibuat). Kalau pembaca berminat, layari laman web kedua-dua bank tersebut.

01 September, 2008

Terpedaya Dengan Kadar Pinjaman Kereta

Tanya Jurujual atau Eksekutif Bank Tentang Effective Rate.

Janganlah terpedaya dengan iklan yang menawarkan kadar pinjaman/sewa beli kereta 2 - 3%. Sebenarnya kadar yang digunakan untuk pinjaman kereta ialah kadar annual percentage rate sedangkan kadar pinjaman perumahan menggunakan effective rate. Kadar piawai yang sepatutnya digunakan ialah effective rate.

Kalau anda tak percaya, cuba lihat dokumen pinjaman anda (kalau sudah ada hutang kereta). Cuba cari effective rate dalam dokumen tersebut. Anda akan dapati jika peratus yang dikenakan ialah 2-3%, effective ratenya ialah antara 5 - 8% (anggaran kasar). Walaupun sesetengah orang sudah tahu tentang amalan ini, memang ramai lagi yang masih tidak sedar dan menganggap kadar pinjaman kereta amat berpatutan.

27 Ogos, 2008

Beli Saham Menerusi Internet

Beli Saham Dengan Broker Biasa - Kos Minimum $40
Beli Saham Menerusi Internet - Kos Minimum $12

Pada awal tahun ini, SC telah menetapkan peraturan bahawa kos minimum untuk beli saham menerusi broker biasa ialah RM40. Ini bermakna kalau anda beli 100 saham pada harga RM1, kosnya ialah RM40. Kalau beli 1000 saham berharga RM1, kosnya tetap RM40. Cuma kalau anda beli saham bernilai lebih RM5,000 (anggaran sahaja) barulah anda akan dikenakan caj berasaskan peratus nilai pembelian (antara 0.6% - 0.7% bergantung kepada broker). Ini bermakna bagi pelabur kecil, pembelian menerusi broker biasa kini sudah tidak menjimatkan kos.

Justeru, lebih baik untuk berurusan menerusi Internet, dengan kos minimum yang lebih rendah dan juga caj peratusan nilai saham yang juga lebih rendah. Banyak bank/broker menawarkan perkhidmatan ini, termasuk Maybank dan CIMB. Prosesnya tidak susah. Malah, jika anda mendaftar, anda boleh mendapat senarai harga saham dalam masa nyata (real time). Ini satu kelebihan besar. Selain itu, anda boleh memasukkan senarai portfolio saham anda. Justeru, setiap kali anda log masuk, anda boleh terus merujuk kepada portfolio saham, tanpa perlu meninjau harga saham satu demi satu. Proses belian dan jualan juga agak mudah. Saya sudah mencuba prosesnya dan memang berbaloi. Malah, pihak bank juga menghantar pelbagai maklumat penyelidikan menerusi e-mel. Bagi yang masih menggunakan broker biasa, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan jual beli menerusi Internet.

21 Ogos, 2008

Gunakan Perisian Percuma

Tak mampu beli perisian mahal? Muat turun perisian percuma.

Kita sebenarnya boleh mendapatkan perisian (software) untuk menjalankan perniagaan secara percuma. Seperti yang diketahui penggunaan perisian cetak rompak adalah salah di sisi undang-undang dan pihak berkuasa banyak membuat serbuan terhadap syarikat yang menggunakan perisian haram. Namun kos perisian tulen adalah mahal, terutamanya jika syarikat anda ada ramai kakitangan. Kita tidak perlu lagi membeli perisian seperti Word, Excel atau PowerPoint untuk semua kakitangan. Ada alternatif percuma yang tidak kurang hebat dalam bentuk OpenOffice. Semua perisian produktiviti pejabat terkandung di dalamnya, dan fail-fail Office boleh dibuka dengan mudah. OpenOffice boleh dimuat turun di www.openoffice.org.

Jika perniagaan anda mempunyai 5 kakitangan, anda boleh membeli mungkin satu perisian MS Office, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang menggunakannya dan mahukan formatting yang betul-betul sama bagi dokumen yang perlu dihantar kepada mereka. Bagi kakitangan lain yang tidak berurusan dengan pelanggan, gunakan sahaja OpenOffice yang tidak kurang hebatnya.

Selain itu, jika anda tak mampu membeli Adobe Photoshop, anda boleh mencuba Gimp, satu perisian penyuntungan imej dan gambar yang percuma. Anda boleh taip Gimp Dowload dalam kotak pencarian, dan pilih laman untuk memuat turun perisian tersebut. Malah, jika anda perlu membuat laman web ringkas, dan belum lagi mampu atau perlu membeli Dreamweaver, anda boleh menggunakan program Seamonkey, yang merupakan sebuah browser dan juga penyunting laman web. Untuk mendapatkan perisian percuma lain, layari www.download.com untuk melihat segala pilihan yang ada.

20 Ogos, 2008

Kenaikan Harga Minyak

Susah sendiri atau susahkan anak cucu kita?

Ramai yang marah tentang kenaikan harga minyak yang dibuat baru-baru ini. Kenaikan ini dianggap terlalu besar lebih-lebih lagi kerana Malaysia ialah sebuah negara pengeluar minyak. Umumnya Petronas menjadi sasaran utama kemarahan kerana dianggap mencatatkan keuntungan besar akibat kenaikan harga minyak tetapi tidak menyalurkannya kembali sebagai subsidi.

Saya langsung tidak setuju dengan pandangan majoriti. Satu hari nanti kita akan menjadi negara pengimport minyak. Jika kita yang menggunakan subsidi minyak, anak-anak kita yang merasai kesannya. Kalau harga minyak tidak dinaikkan sekarang, harga tetap terpaksa dinaikkan satu hari nanti, mungkin sepuluh atau dua puluh tahun dari sekarang. Pada masa itu anak-anak kita yang akan merasai kesannya. Kalau kita harga minyak disubsidi tahap penggunaan minyak berada di tahap tinggi, pengguna pula tidak terdorong untuk berjimat, industri tidak terdorong untuk mengambil langkah menggunakan sumber tenaga lain. Sebagai contoh, pada harga sekarang, barulah semua orang tergerak hati nak tukar kepada NGV dan syarikat pengeluar kereta mahu menghasilkan kereta elektrik.

Lagipun kalau Petronas bayar kita subsidi dan bukannya melaburkan wang tersebut ke dalam syarikat atau pelaburan yang boleh menjana keuntungan lestari yang hasil cukainya boleh dinikmati oleh anak-anak kita, maka generasi kita akan meraih manfaatnya sekali, dan wang tersebut akan hangus bersama minyak yang dibakar setiap kali kita menggunakan minyak. Anak cucu kita tidak akan merasai sesenpun wang tersebut.

Pendapat saya begitu jauh daripada majoriti. Naikkan harga minyak kepada harga pasaran, walaupun perit. Kalau nak protes, kita boleh protes mengapa Kerajaan tak sediakan pengangkutan awam yang baik, mengapa beri monopoli NGV kepada Petronas, apa sebabnya tak sediakan lebih banyak stesen NGV, kenapa tak beri pelepasan cukai kepada kereta hibrid elektrik, kenapa tak galakkan pengeluaran kereta elektrik oleh mana-mana pengeluar dengan memberikan insentif yang sewajarnya. Malah banyak perkara yang tidak diuruskan dengan baik oleh Kerajaan. Tetapi demi kebaikan generasi masa depan, kita TIDAK BOLEH MENERIMA SUBSIDI UNTUK MEMBAKAR HIDROKARBON DI UDARA. Selagi kita menerima subsidi, selagi itulah kita tidak akan mengambil langkah terdesak untuk mengurangkan penggunaan minyak. Minta maaf kerana pendapat saya nyata berbeza daripada sebahagian besar rakyat Malaysia yang sedang marah, tetapi saya tetap dengan pendirian ini.

Peluang Dalam Kegawatan

Amerika Syarikat kini berada dalam kegawatan yang agak teruk. Walau apa pun, Malaysia terasa tempiasnya dan ini dapat dilihat menerusi penurunan indeks daripada tahap lebih tertinggi lebih 1500 kepada di bawah 1200 buat masa ini. Jika anda masih memegang banyak saham, inilah masanya untuk mengimbangi semula portfolio anda, dengan menjual saham yang anda jangka tidak akan pulih dengan cepat dan terjejas dengan kegawatan di Amerika, dan membeli saham syarikat yang mencatatkan keputusan baik, tetapi yang harga sahamnya terjejas semata-mata kerana sentimen pelabur. Bagi mereka yang memegang tunai atau sekuriti setara tunai, sudah tiba masanya untuk mula mempertimbangkan untuk kembali ke pasaran saham. Kegawatan di Amerika mungkin berlarutan sehingga akhir tahun, tetapi kita boleh mula mengintai beberapa saham yang diperdagangkan pada harga rendah walaupun kedudukan asasnya tetap kukuh. Walaupun kegawatan mengundang keresahan, tetapi kemelesetan juga membuka peluang untuk meraih keuntungan besar.

ETF Patuh Syariah Dilancarkan

ETF atau Dana Dagangan Bursa patuh syariah yang terdiri daripada 25 saham patuh syariah bermodal terbesar telah dilancarkan baru-baru ini. Menerusi ETF, anda boleh mempelbagaikan pelaburan dengan modal dan yuran yang kecil, dan boleh menjual beli dana ini di pasaran, mengikut harga pasaran. Ini berbeza daripada dana unit amanah yang diuruskan secara aktif yang mengenakan yuran yang tinggi. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri-ciri dan saham komponen ETF di laman web www.myetf.com.my

Tukang Telek Pasaran

Kalau dulu, ada orang pergi menemui tok nujum untuk menelek nasib dan meninjau masa depan, para pelabur pula boleh melihat atau membaca tentang pakar-pakar saham menelek pergerakan indeks dalam tempoh terdekat. Menurut Benjamin Graham, aktiviti ini tidak banyak nilainya kepada sesiapa. Malah kata seorang Profesor yang pernah mengajar saya statistik, jika anda memberikan julat yang cukup besar, anda boleh membuat ramalan dengan kebarangkalian yang tepat sehingga 95%. Sebenarnya jika anda suka menonton berita kewangan di TV, pendapat pakar-pakar ini tidak harus diabaikan, tetapi ramalan mereka tentang pasaran janganlah terlalu dipercayai. Sebaliknya dengar ulasan mereka tentang keadaan ekonomi global dan tempatan. Maklumat ini lebih penting dan lebih berguna bagi kita untuk membuat penilaian saham.

19 Ogos, 2008

Skim Penyelidikan Percuma Bursa Malaysia

Para pelabur harus memanfaatkan skim penyelidikan percuma yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia menerusi laman webnya. Penyelidikan ini dijalankan oleh firma penyelidikan berkecuali terhadap syarikat tersenarai dan di akhir analisis, mereka akan membuat cadangan sama ada untuk membeli, memegang atau menjual saham syarikat. Pada amnya, maklumat seperti ini hanya diperolehi dengan menjadi pelanggan syarikat broker saham dan mungkin melanggan pakej tertentu. Bukan semua pelabur mendapat kemudahan analisis seperti ini. Maka langkah Bursa Malaysia untuk menyediakan analisis percuma kepada pelabur memang dialu-alukan.

Jika anda memang tak ada masa untuk menilai sendiri secara kuantitatif prestasi saham sesebuah syarikat, maka gunakanlah analisis oleh firma penganalisis untuk membuat penilaian. Tetapi jangan percaya bulat-bulat cadangan mereka. Menurut Burton Malkiel (penulis A Random Walk Down Wall Street), cadangan yang dibuat oleh penganalisis tidak semestinya tepat. Namun, bagi kita, bukan cadangan beli atau jual yang penting tetapi analisis yang dibuat. Ini kerana kita boleh mendapakan beberapa analisis seperti ini dan kemudian membuat keputusan sendiri sama ada saham tersebut harus dibeli.

Menilai Dana Anda

Untuk menentukan sama ada dana anda mencatatkan pulangan yang baik, pertama sekali anda perlu membandingkannya dengan indeks yang dijadikan benchmark. Setiap kali anda membeli unit, pastikan anda mencatatkan paras indeks tanda aras tersebut. Sebagai contoh, jika anda membeli dana ekuiti sepenuhnya, catatkan paras indeks komposit BSKL pada hari tersebut, jika anda membeli dana ekuiti syariah, catatkan paras Indeks Syariah Kuala Lumpur. Kemudian selepas satu tempoh masanya, bandingan harga belian balik dana dengan kedudukan indeks. Yang mana naik lebih tinggi atau turun lebih besar. Menerusi kaedah ini, anda akan tahu sama ada pengurus dana anda hebat atau tidak. Tempoh yang sesuai untuk menilai sesuatu pengurus dana ialah lima tahun atau lebih. Tempoh yang singkat biasanya tidak memberikan gambaran yang sebenar. Dana seimbang dan dana pasaran wang (Balanced fund and money market fund) lebih sukar untuk dinilai dan anda perlu membaca laporan berkala dana itu sendiri untuk menilai prestasi berbanding penanda aras yang ditetapkan.