29 November, 2015

Nak Jadi Jutawan? Makan Gaji Pun Boleh

Jika saya tinjau di Facebook, rata-rata mesej secara umum yang saya terima dalam newsfeed saya ialah anda perlu berniaga atau melabur dalam itu dan ini untuk mencapai kejayaan.

Jarang ada orang yang cakap 'jom jadi pekerja yang hebat' untuk berjaya. Atau memberi tips untuk menjadi jutawan dengan jadi kuli.

Tetapi hakikatnya, di kalangan rakan saya dalam dunia luar (berbanding friends di facebook), jauh lebih ramai golongan yang telah berjaya adalah di kalangan mereka yang makan gaji. Kemungkinan besar kebanyakannya jutawan dari segi net worth dan nilai bersih.

Ada di antara mereka adalah doktor, akauntan, ketua pegawai eksekutif, rakan kongsi, pengarah urusan, kakitangan kerajaan, pekerja bank, jurutera dll.

Di samping itu, hampir semua mereka bekerja dalam bidang yang menjana nilai kepada masyarakat dan ekonomi, bukan sebahagain daripada apa yang saya lihat di FB yang mana untung yang dicipta dari tangan orang lain, bukannya dengan proses mencipta nilai.

Perkara paling menarik, ialah mereka tidak perlu melabur dalam itu ini untuk melakukannya.  Walaupun sebahagian besar mereka akan melabur, tetapi jika mereka simpan dalam bank atau Tabung Haji pun mereka tetap hidup senang dengan gaji besar.

Mereka juga tidak menghebahkan bahawa mereka ini jutawan atau jalan yang mereka lalui boleh membawa kekayaan.

Rahsia mereka ialah mereka fokus kepada kerjaya mereka dan melakukan sebaik mungkin dalam tugas tersebut, membolehkan mereka diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar secara beransur-ansur.

Sememangnya untuk menjadi ultra kaya, berniaga mungkin satu-satunya jalan. Tetapi jauh lebih ramai yang menjadi sederhana kaya dengan bekerja makan gaji dan menabung dan melabur.

Ada banyak cara untuk berjaya. Tetapi jangan ingat yang apa yang anda lihat di Facebook itu yang terbaik kerana sebahagian besar orang berbisnes melakukan marketing (termasuk saya) melaluinya.

Ini berbeza daripada ramai orang lain yang berjaya dalam kerjaya tetapi hanya posting berkenaan keluarga dan isu semasa. Mereka tidak mendakwa mereka mengetahui rahsia untuk menjadi jutawan dan sebagainya walaupun mereka sendiri merupakan jutawan.

Malaysian memerlukan usahawan, perlukan pemberi perkhidmatan, perlukan kakitangan, perlukan golongan profesional, perlukan pendidik dan perlukan kakitangan awam.

Paling penting ialah nilai yang anda jana dan paling menarik, semua kerjaya di atas berpotensi memberikan anda jalan ke arah kejayaan kewangan. Pilih satu dan fokus terhadap usaha memberikan yang sebaik mungkin.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

22 November, 2015

Ilmu Tentang Kitaran Asas Ekonomi Bantu Keputusan Pelaburan

Apabila kita melihat kembali senario industri minyak yang berlaku enam tahun lepas, kita akan dapati ramai pelabur yang agak terperangkap dengan kejatuhan harga minyak.

Berikut adalah pergerakan harga minyak dalam tempoh 30 tahun lepas.

Harga minyak telah naik untuk tempoh lebih 15 tahun dari 1998 sehingga tahun 2014, dengan penurunan sementara pada 2008 semasa krisis subprima AS.

Apakah yang menyebabkan kenaikan harga?
Pada asasnya, kenaikan harga minyak berlaku kerana permintaan lebih tinggi daripada bekalan. Ini adalah pengajaran asas yang dipelajari di peringkat awal jika anda mengambil subjek ekonomi.

Apakah kesan kenaikan harga?
  • Banyak usaha ke arah penghasilan tenaga alternatif
  • Pengguna cuba menjimatkan tenaga
  • Syarikat pencari dan pengeluar minyak aktif mencari sumber minyak tambahan
  • Pengeluar minyak mengeluarkan lebih minyak 
  • Lebih banyak syarikat menceburi industri minyak.

Seterusnya apa yang berlaku?
Kesannya ialah lebih banyak minyak yang mula dibekalkan kepada dunia, sehingga Amerika Syarikat menerusi pasir shale kini merupakan antara pengeluar minyak utama di dunia.

Namun, pengeluaran minyak tambahan ini pula datang pada masa permintaan daripada dunia merosot. Kesannya ialah kejatuhan ketara harga minyak.

Bagaimana pula selepas ini apabila harga telah jatuh?
  • Pengeluar yang kurang kompetitif mengurangkan pengeluaran minyak
  • Sesetengah syarikat dalam industri gulung tikar
  • Proses cari gali dan perbelanjaan modal juga akan berkurangan
  • Harga minyak rendah akan menggalakkan penggunaan.

Proses konsolidasi ini mungkin mengambil masa yang lama dan mungkin juga singkat. Sukar untuk diramalkan. Jika dilihat dalam graf, sebelum tempoh 1999 - 2014, kita dapati harga minyak berada di paras rendah untuk tempoh 15 tahun sebelumnya.

Tetapi keadaan semasa mungkin berbeza daripada masa lalu. Kita tidak boleh meramalkan masa depan semata-mata atas graf di atas.

Walau apa pun, harga akan pulih kembali apabila bekalan dan permintaan akan mencapai keseimbangan, dan naik kembali apabila permintaan mula mengatasi bekalan.

Ini adalah pengajaran asas ekonomi, dan boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan pelaburan yang merugikan, dan melabur secara menguntungkan.

Walaupun secara umumnya kita tidak tahu bila sebenarnya pertukaran fasa akan berlaku, kita sekurang-kurangnya prihatin bahawa ia boleh dan akan berlaku. 

Jika kita menggunakan kitaran ekonomi dan faktor bekalan dan permintaan seperti di atas untuk meninjau pasaran hartanah Malaysia, apa pendapat anda tentang hasil analisisnya?

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

10 November, 2015

Membina Aset Bahagian 5: Lapan Perkara Yang Perlu Dinilai Apabila Memilih Aset Paling Sesuai Untuk Anda

Dalam senarai rakan FB saya, ada ramai penasihat kewangan yang menjual unit amanah dan/atau takaful; broker dan pakar saham; perunding, ejen dan pakar hartanah; penjual dan pakar emas; dan juga penggiat pelbagai skim lain.

Masing-masing akan menekankan manfaat produk pelaburan mereka dan memberikan contoh terbaik bagaimana pelaburan dalam aset yang mereka tawarkan mampu memberikan pulangan lumayan.

Jarang dipaparkan kes kerugian tetapi yang terbaik di antara mereka akan menunjukkan risiko pelaburan yang mereka jual atau promosi.

Walaupun apa yang masing-masing katakan ada kebenarannya, pelabur tidak harus membuat keputusan hanya daripada maklumat yang mereka berikan. Maklumat ini dipaparkan dari kaca mata mereka. Anda pula perlu melihat dari sudut pandangan sendiri.

Lain pelabur mempunyai lain keperluan. Aset yang paling baik untuk anda mungkin tidak sama dengan aset yang paling sesuai untuk orang lain.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih aset yang paling sesuai untuk anda:

1. Kedudukan kewangan dan keperlun tunai anda
Sudahkah anda mempunyai rizab tunai untuk situasi tidak diduga. Jika belum tabung tunai dahulu. Satu lagi soalan ialah adakah anda mungkin memerlukan wang yang dilaburkan dalam jangka pendek. Jika ya, lebih sesuai untuk melabur dalam pelaburan yang mudah ditunaikan dengan kos rendah seperti saham atau simpan sahaja dalam Tabung Haji.

2. Kesanggupan anda menanggung risiko
Berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung? Anda selesa tak dengan turun naik pasaran saham? Jika tak dapat tidur malam kerana harga saham yang anda laburkan jatuh buat sementara waktu, elakkan pelaburan saham.

3. Tujuan anda melabur
Anda perlu menentukan tujuan sebenar anda melabur. Adakah semata-mata untuk meraih pulangan? Atau untuk dana persaraan atau pendidikan anak?  Jika anda mahu melindungi nilai dalam jangka panjang, salah satu pilihan ialah emas (selagi anda tidak membeli pada zaman kehangatan beberapa tahun lepas). Manakala hartanah akan melindungi anda dari inflasi (selain memberikan untung lumayan jika pelaburan bijak dibuat). Anda boleh gabungkan beberapa aset untuk mencapai portfolio yang seimbang antara pulangan dan lindung nilai. 

4. Tempoh masa pelaburan
Ini penting kerana lebih panjang tempoh masa, lebih banyak pilihan pelaburan anda. Jika anda bercadang untuk melabur antara 3 bulan hingga 1 tahun, mungkin unit amanah dan hartanah tidak begitu sesuai kerana faktor kos dan tempoh masa menyempurnakan urus niaga. Hampir semua aset sesuai jika anda melabur dalam jangka panjang.

5.  Kaedah pelaburan
Adakah anda ingin melabur secara sekaligus atau secara bulanan. Adakah anda menggunakan pembiayaan? Jika anda ingin melabur jumlah kecil secara bulanan, unit amanah adalah yang paling sesuai. Sekiranya anda mempunyai modal yang lebih besar, kedua-dua saham dan unit amanah boleh dipilih, manakala aset paling sesuai untuk menggunakan pembiayaan ialah hartanah kerana nilainya tidak turun naik dengan ketara.

6. Usaha dan masa yang sanggup anda luangkan
Bukan semua orang ada masa untuk memikirkan hal pelaburan. Contohnya pelaburan saham memerlukan masa dan juga ilmu. Begitu juga pelaburan hartanah, walaupun anda menggunakan khidmat orang lain untuk menguruskan hartanah tersebut. Jika tiada masa, unit amanah amat sesuai untuk anda kerana anda menyerahkan pengurusan kepada pengurus dana profesional.

7. Situasi pasaran aset tersebut
Apabila sesuatu aset telah naik buat beberapa tahun berturut-turut, pada waktu itulah semakin ramai orang yang menjual aset tersebut, dan pelbagai seminar dan kelas mengenai aset tersebut akan diadakan. Promoter aset akan menunjukkan contoh berasaskan data 3 - 10 tahun untuk menerangkan bagaimana pelaburan dalam aset menjana untung lumayan. Berhati-hati dalam keadaan ini. Tiada aset yang akan naik terus-menerus. Cuba kaji data harga setiap aset dalam jangka yang amat panjang dan anda akan dapati semua aset akan naik turun, walaupun secara umumnya trend adalah meningkat.
 
8. Keadaan ekonomi dan pasaran
Lazimnya ekonomi yang kukuh mewujudkan senario kenaikan harga aset. Tetapi masa yang paling sesuai untuk membeli aset ialah di tengah-tengah kegawatan ekonomi di mana kebanyakan aset boleh didapati pada harga bargain dan memegangnya untuk jangka panjang sehingga aset tersebut kembali 'hot' di mata pelabur lain.

Apa yang ingin saya tekankan ialah jangan terburu-buru, untuk memilih sesuatu aset hanya kerana anda lihat ramai orang telah meraih untung daripada aset tersebut, sebaliknya pertimbangan kedudukan dan keperluan anda sebelum memilih aset yang paling sesuai.

E-book terbaru Razali Razman, iaitu yang kedua dalam Siri Risalah Labur Niaga, dijangka terbit pada bulan Disember ini.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

04 November, 2015

Antara Sentimen dan Kekuatan Asas Perniagaan

"In the short run the stock market is a voting machine, in the long run it's a weighing machine" - Benjamin Graham. 

Seperti sebarang produk lain yang dijual beli, harga saham dipengaruhi oleh bekalan dan permintaan.  Dalam jangka pendek bekalan dan permintaan dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk:
  1. Berita tentang operasi syarikat, sama ada positif atau negatif.
  2. Sentimen pedagang terhadap harga saham syarikat.
  3. Sentimen pelabur secara umum terhadap sektor syarikat tersebut.
  4. Pandangan pelabur tentang ekonomi dan pasaran saham.
  5. Situasi pasaran saham utama dunia seperti AS dan China.
Tetapi dalam jangka panjang hanya satu perkara yang akan menentukan hala tuju harga saham syarikat, iaitu keputusan dan kedudukan kewangannya.

Walau apa pun boleh berlaku dalam jangka pendek, dalam jangka panjang, harga saham akan menjejaki prestasi kewangan syarikat, atau secara khusus prestasi untung syarikat, serta kedudukan aset dan aliran tunainya.

Seorang Value Investor boleh mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan situasi jangka pendek ini untuk meraih untung.

Apabila sentimen atau populariti saham merudum disebabkan apa jua faktor, sedangkan kedudukan perniagaan asasnya tetap kukuh, inilah masanya untuk membeli.

Apabila saham tersebut kian hangat dan harga saham naik jauh lebih tinggi daripada prestasi asasnya, maka itulah masanya untuk mempertimbangkan untuk menjual.

Kesimpulannya, seorang Value Investor melihat perbezaan antara populariti dan prestasi dan mengambil kesempatan daripadanya untuk meraih untung.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

02 November, 2015

Buat Duit Dengan Mencipta Nilai

Pada minggu ini ada sedikit kelainan kerana posting saya dalam bentuk video.  Dalam video Labur Niaga yang pertama ini, saya menyentuh tentang penciptaan nilai kerana bukan semua aktiviti buat duit sebenarnya mencipta nilai.

Malah banyak juga aktiviti buat mencipta nilai yang sebenarnya tiada sebarang ganjaran, seperti ibu yang tidak bekerja kerana ingin menjaga sendiri anaknya. Video ini mengupas tentang aktiviti buat duit dan penciptaan nilai.