26 Disember, 2012

Bagaimana Dengan Emas Sekarang?

Emas kini tidak begitu menyinar walaupun masih mendapat perhatian

Tahun lepas, semasa harga emas naik melambung sehingga hampir USD1,900, logam tersebut menjadi perbualan ramai.  Saya melihat keadaan ini sama seperti bagaimana saham menjadi pelaburan hangat pada pertengahan tahun 1990an.

Walaupun sekarang  apabila disebut sahaja emas, topik perbualan ialah scam syarikat emas yang diserbu Bank Negara Malaysia, yang hendak dibincangkan di sini ialah pelaburan emas sahih, sama ada menerusi emas fizikal atau akaun pelaburan emas.

Berasaskan carta pergerakan harga di bawah, harga emas telah mendatar, malah turun sedikit dalam tempoh 18 bulan lepas.

Dipetik daripada World Gold Council

Sebenarnya demam emas mula dirasai pada awal tahun lepas dengan pelbagai produk, buku, e-book dan sebagainya yang berkaitan dengan emas yang kian berleluasa. Banyak pihak yang mengambil kesempatan daripada trend ini.

Mungkin emas akan naik lagi, atau mungkin tidak. Bagi saya ini tidak penting kerana pada asasnya emas ialah aset yang tidak produktif dan tidak menjana nilai kepada ekonomi.  Jika anda membeli emas, tiada nilai tambah dicipta apabila anda menjualnya pada harga yang  lebih tinggi.

Hakikatnya anda menjual benda yang sama, tanpa penambahbaikan atau perubahan, dan mendapat untung daripadanya.  Bagi mereka yang mengikuti blog ini memang sudah tahu saya kurang minat dengan emas, tak kiralah sama ada boleh buat duit atau tidak.  (Boleh baca posting Meninjau Peruntukan Aset Anda dan Emas Akan Terus Naik Lagi? 

Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah emas tidak membayar dividen, tetapi dikenakan zakat 2.5%, maka jika harga mendatar atau menurun, zakat tetap perlu dibayar.

Walau apa pun, bagi ramai pelabur yang mula berjinak-jinak dengan pelaburan emas sejak 2010, mereka mungkin tidak mendapat keuntungan besar atau mungkin rugi.  Sebaliknya golongan yang mendapat keuntungan paling besar ialah pelabur yang telah membeli emas sejak tahun 2000.  Merekalah yang mendapat untung berlipat kali ganda.

Membeli apabila ia sudah menjadi hangat dan semua orang terlibat dalamnya adalah resipi untuk gagal. Ini benar dalam segenap jenis pelaburan, sama ada emas, saham atau pun hartanah. 

Prinsip yang patut diikuti oleh value-hunters ialah membeli sesuatu aset yang kurang mendapat perhatian tetapi amat berpotensi, pegang sehingga mula mendapat perhatian, dan jual apabila ia menjadi topik perbincangan hangat.

18 Disember, 2012

Mega First Kukuh Tetapi Kurang Mendapat Perhatian

Manfaatkan pulangan dividen sambil menunggu nilai sebenar direalisasi

Saya pernah menulis tentang Mega First Corporation Berhad (MFCB) pada posting lebih setahun lepas (klik sini untuk membaca).  Sehingga kini sahamnya masih di tahap sama, iaitu lebih kurang RM1.60 - 1.70.

Dipetik daripada Bursastation

Syarikat ini ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam tiga bidang utama, iaitu loji jana kuasa, kuari dan pembangunan hartanah. Sebahagian besar daripada hasil dan keuntungannya diperolehi daripada operasi penjanaan kuasa.

Pada tahun ini, syarikat dijangka mencatatkan keuntungan lebih rendah daripada tahun lepas.  EPS MFCB untuk tiga suku pertama tahun ini ialah 20 sen. Ini bermakna untuk seluruh tahun, syarikat dijangka mencatatkan untung lebih rendah berbanding 33 sen tahun lepas.

Mungkin inilah sebabnya saham syarikat tidak berganjak atau turun sedikit.  Tetapi perlu diingat bahawa tahun 2012 adalah tahun yang sukar bagi banyak syarikat, justeru prestasi tersebut boleh dikatakan agak baik. Berikut adalah petikan keputusan 5 tahun syarikat sehingga 2011:

Laporan Tahunan 2011 MFCB

Jika kita membuat unjuran konservatif EPS 26 sen untuk tahun ini, Mega First mempunyai P/E lebih kurang 6 hingga 6.5.  Angka ini amat rendah bagi sebuah syarikat yang mantap seperti ini. MFCB membayar dividen kasar sebanyak 9 sen sesaham tahun lepas, menghasilkan pulangan dividen atau dividen yield lebih 5%.

Faktor kelebihan MFCB:
  1. Pulangan dividen berpatutan
  2. Kedudukan tunai yang mantap
  3. Hutang jangka panjang yang rendah
  4. Pendapatan yang stabil
  5. Aset bersih kian meningkat tahun demi tahun
  6. Harga RM1.60 berbanding aset RM2.60.
Cuma risikonya ialah kita tidak tahu mengapa komuniti pelaburan profesional tidak berminat dengan saham ini dan mengapa amat sedikit firma penyelidikan yang mengikuti perkembangan syarikat.  Berasaskan prestasi jangka panjang, memang syarikat ini kelihatan kukuh.

Tetapi berasaskan pergerakan harganya sebelum ini, mungkin pelabur yang membeli perlu menunggu masa yang agak lama sebelum nilai sebenar syarikat ini direalisasikan.  Satu caranya ialah jika pemegang saham utama menswastakan (privatize) dan mengeluarkannya dari senarai dengan membuat tawaran umum atau jika ada syarikat lain yang membuat tawaran mengambilalih.

Walau apa pun, sambil menunggu, pelabur boleh menikmati pulangan dividen menarik yang diberikan oleh syarikat.

12 Disember, 2012

Skim Persaraan CIMB Islamic PRS Plus

PIlihan tabungan persaraan swasta yang patuh syariah

Seperti yang diterangkan minggu lepas, PRS ialah Skim Persaraan Swasta yang membolehkan peniaga sendiri untuk menabung untuk persaraan mereka selain membolehkan penabung KWSP yang sedia ada untuk menambah simpanan persaraan.



Salah satu daripada syarikat yang menawarkan skim ini ialah CIMB Principal Asset Management. Versi patuh syariah yang disediakan ialah CIMB Islamic PRS Plus.

Ahli boleh membuka akaun serendah RM100 dan membuat caruman RM50 secara berkala selepas itu. Caruman adalah tidak wajib dan tiada denda atau tindakan dikenakan jika ahli tidak mencarum.

Wang yang dicarum oleh pelabur akan dilaburkan dalam lima dana.  Pelabur boleh membuat keputusan untuk memilih sendiri dana, atau membiarkan CIMB Principal untuk memperuntukkan dana berasaskan usia mereka.

Lima Dana yang disediakan termasuk CIMB Principal PRS Plus Conservative, CIMB Islamic PRS Plus Moderate, CIMB Islamic PRS Plus Growth, CiMB Islamic PRS Plus Equity dan CIMB Islamic PRS Plus Asia Pacific Ex Japan.

Jika pelabur mahu CIMB menentukan peruntukan pelaburan, dana yang dilaburkan akan diperuntukkan berasaskan usia mereka.
  • Bawah 40 tahun - CIMB Islamic PRS Plus Growth dengan pendedahan ekuiti maksimum 70%
  • 40 - 49 tahun - CIMB Islamic PRS Plus Moderate dengan pendedahan ekuiti maksimum 60%
  • 50 ke atas - CIMB Islamic Islamic PRS Plus Conservative dengan pendedahan ekuiti maksimum 20%

Jika pelabur membuat keputusan untuk melakukan pemilihan sendiri, mereka boleh memilih antara kelima-lima dana yang ditawarkan, termasuk memperuntukkan dana dalam dana berbeza berasaskan nisbah yang mereka tetapkan.

Dari segi yuran membeli dana, caj yang dikenakan ialah antara 0% hingga 3% bergantung kepada kriteria yang ditetapkan oleh CIMB Principal.  Maklumat lanjut boleh didapati daripada perunding PRS CIMB, CIMB Bank, CIMB Islamic atau CIMB Wealth Advisers.

Bagi mereka yang ingin berhubung terus dengan salah seorang perunding yang saya percayai, sila hubungi Encik Azwan Yusoff di No. Tel. 013-3455154 atau menerusi emel: azwan@millionairesisters.org.

Seperti yang dinyatakan dalam posting minggu lepas, wang tabungan akan dibahagikan antara Akaun 1 dan 2 pada nisbah 70 :30. Akaun 2 boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tertakluk kepada cukai 8% jika caruman tersebut belum sampai satu tahun.

Perlu diingat bahawa wang dalam Akaun 1 hanya boleh mula dikeluarkan pada usia 55 tahun, sama seperti skim KWSP.  Jika anda mungkin memerlukan wang sebelum itu, adalah lebih  baik anda melabur secara terus dalam unit amanah dan bukan menerusi skim seperti ini.

Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya anda sudah mempunyai tabungan KWSP dan menggunakan skim ini sebagai caruman tambahan, memang  sesuai untuk menggunakan pendekatan pelaburan ekuiti yang lebih agresif.  Ini kerana caruman dalam KWSP sudah sememangnya konservatif dan terjamin.

Tetapi itu pillihan peribadi dan kelebihan skim ini ialah pelabur boleh memilih dana mengikut kesanggupan mereka menanggung risiko, selain mendapat potongan cukai tambahan RM3,000 khas bagi caruman dalam skim persaraan swasta ini.

03 Disember, 2012

Tambah Tabungan Dengan Skim Persaraan Swasta

Skim alternatif bagi mencarum untuk persaraan menerusi dana amanah

Skim Persaraan Swsta atau Private Retirement Scheme (PRS) telah dilancarkan baru-baru ini sebagai skim alternatif dan sokongan kepada skim caruman KWSP.  Menerusi PRS, para pekerja dan usahawan di Malaysia mempunyai pilihan lebih luas menentukan bagaimana untuk menabung bagi persaraan mereka.

Skim ini dikendalikan oleh penyedia khidmat PRS, yang terdiri daripada syarikat pengurusan aset. Orang ramai boleh mencarum dalam dana pilihan mereka dan boleh meminta majikan mereka untuk mencarum bahagian majikan ke dalam dana yang sama (selagi mereka bersetuju).

Istimewanya skim ini ialah pelabur boleh memilih untuk menentukan sendiri dana yang dilaburkan, berasaskan pilihan dana yang diberikan oleh syarikat penyedia PRS, atau meminta syarikat PRS menentukan dana yang paling sesuai untuk mereka berasaskan peringkat umur mereka.

Bagi pemilik perniagaan sendiri yang sebelum ini tidak mencarum, mereka kini boleh melakukannya menerusi PRS.  Manakala bagi kakitangan yang sudah mencarum dalam KWSP, mereka boleh menggunakan skim ini sebagai simpanan tambahan bagi mengukuhkan lagi dana persaraan masing-masing.

Pada 31 Oktober, Hwang Investment Management Bhd telah menjadi syarikat pertama untuk menawarkan PRS dan ini disusuli oleh Manulife Asset Management Services Bhd, CIMB-Principal Asset Management Bhd dan Public Mutual Bhd.  Manakala empat lagi penyedia PRS ialah AmInvestment Management Sdn Bhd, American International Assurance Bhd (AIA), ING Funds Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd.

Bagi yang menabung menerusi skim ini, mereka akan mendapat potongan cukai tambahan RM3,000, selain daripada potongan RM6,000 yang diberikan untuk caruman KWSP dan insurans hayat. 

Manakala bagi majikan pula, mereka akan mendapat potongan cukai bagi caruman yang dibuat  untuk kakitangan sehingga 19 peratus daripada gaji kakitangan.

Caruman adalah bersifat sukarela dan tiada masalah jika tertinggal caruman. Malah, caruman juga dimasukkan ke dalam akaun satu dan akaun dua pada nisbah 70:30.  Pengeluaran boleh dibuat daripada akaun 2 tetapi tertakluk kepada cukai 8%.

Skim ini memberikan fleksibiliti kepada pelabur, dan potensi untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.  Namun begitu, berbeza daripada skim KWSP,di mana pulangan 2.5% dijamin kepada pencarum, pulangan skim ini adalah tidak terjamin.

Malah jika dana mengalami kerugian, terdapat kemungkinan jumlah dana yang diperolehi lebih rendah daripada jumlah yang dicarum oleh pelabur. 

Tetapi potensi kenaikan juga lebih besar dan pelabur berpeluang meraih pulangan yang lebih tinggi daripada yang diberikan oleh KWSP dalam jangka panjang, selagi beliau tidak begitu khuatir dengan turun naik nilai dana mereka dalam jangka pendek

Inilah antara faktor yang perlu diperitmbangkan oleh pencarum apabila membuat keputusan sama ada mahu mencarum dalam Skim Persaraan Swasta.  Dalam posting seterusnya, saya akan meninjau skim yang disediakan oleh CIMB.

29 November, 2012

Penurunan Pasaran Buka Peluang

Harga saham turun ke tahap lebih berpatutan untuk value-hunters

Pasaran saham Malaysia nampaknya berada dalam trend yang menurun sejak sebulan lepas, iaitu daripada paras rekod lebih 1670 mata kepada kira-kira 1600 - 1620 mata buat masa ini.

Indeks BSKL telah mencatat kenaikan sehingga mencapai paras tertinggi dalam sejarah walaupun pasaran negara lain terumbang-ambing.  Tetapi kini pasaran Malaysia pula menghadapi penurunan sedangkan beberapa pasaran Asia lain mencatatkan rebound buat sementara waktu.

Berikut adalah carta 5 tahun FBM KLCI:


Dipetik daripada Bursastation

Keuntungan korporat a secara umumnya nampak mendatar dan tidak begitu menarik, terutamanya kerana banyak syarikat Malaysia mempunyai operasi eksport, dan sudah tentu hasil terjejas akibat suasana ekonomi luar.

Adakah BSKL mengalami penurunan sementara atau aktiviti pengambilan untung? Atau adakah ini sebahagian daripada kejatuhan ketara yang lebih lama sehingga mencetus bear market?

Sukar untuk meramalkan tingkah laku pasaran tetapi yang jelas ialah suasana ekonomi juga amat sukar ditinjau kerana wujud kemelesetan di sesetengah negara dan pemulihan di rantau lain pula.

 Perkara paling penting bagi value-hunters seperti saya ialah baru sekarang dapat melihat sedikit nilai dalam saham tertentu tetapi masih lagi belum di tahap bargain.
Ini bermakna ada beberapa saham yang nilainya agak baik yang mungkin boleh dibeli sekarang juga.  Pendek kata, bagi mereka yang sabar menunggu harga sampai ke tahap yang sesuai sebelum membeli, window of opportunity sudah mula terbuka sedikit.

Inilah peluang mengintai saham-saham yang ada nama tetapi mungkin jatuh kerana kitaran pasaran, dan tiga saham yang sedang saya perhatikan ialah APM Automotive, Felda dan Petronas Chemicals. 
 
Pada pendapat saya APM sudah sampai ke harga yang sesuai, manakala Felda mungkin boleh dipertimbangkan pada harga yang sedikit lebih rendah.  Petronas Chemicals yang mencatatkan keputusan suku tahunan kurang baik baru-baru ini mungkin lebih menarik jika jatuh lagi sehingga di  bawah RM5.50.
 
Cuma risiko untuk beli sekarang ialah jika berlaku penurunan ketara selepas ini, manakala risiko tidak membeli pula ialah pasaran turun sekejap sahaja dan kembali naik dalam tempoh terdekat.

19 November, 2012

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.2% Pada S312

Permintaan domestik terus tampung kelemahan ekonomi luar negara

Dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2%, iaitu sedikit lebih perlahan daripada 5.6% pada S2 2012, walaupun menghadapi keadaan ekonomi luar yang tidak menentu.


Prestasi ini mengatasi jangkaan pakar ekonomi yang meramalkan pertumbuhan kurang daripada 5%.  Ternyata ekonomi dipacu oleh kekuatan sektor tempatan, dengan perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan terhadap projek ETP terus menjadi tunggak pembangunan.


Permintaan tempatan yang kukuh ini menunjukkan negara kini tidak terlalu bergantung kepada sektor luar, khususnya eksport barangan.  Ini satu petanda baik kerana ekonomi yang seimbang membolehkan negara menampung kelemahan satu sektor dengan yang lain.

Seperti yang dijangka, eksport barangan dan perkhidmatan mengalami kemerosotan disebabkan oleh faktor ekonomi global kurang baik, terutamanya kerana krisis di Eropah.

 
Walaupun prestasi ini mantap dan pertumbuhan ekonomi dijangka mencapai tahap 5% pada akhir tahun, prestasi suku keempat dijangka sedikit lebih lemah terutamanya kerana keadaan luar yang tidak boleh dielakkan.

Malaysia amat bernasib baik kerana sepanjang tahun ini ia terlepas daripada tempias ekonomi global dan berjaya meneruskan pertumbuhan.  Di samping itu, sektor pelancongan kita juga amat mantap dengan kedatangan pelancongan dari pelbagai negara, selain pelancong tempatan.

Walau apa pun, sebagai pelabur, kita perlu berhati-hati pada tahun 2013 kerana situasi di peringkat global agak tidak menentu.  Dua sektor yang sedang mengalami sedikit kemerosotan ialah eksport dan kelapa sawit.  Harga CPO masih menghadapi kelemahan ketara setakat ini.

Secara peribadi, selain daripada melihat syarikat khusus, pelabur juga harus melihat sektor yang boleh cemerlang dalam suasana semasa.  Di samping itu, pelabur juga boleh mengambil kesempatan jika harga saham syarikat yang kukuh jatuh buat sementara waktu disebabkan oleh kelemahan industri.

Nota:  Imej dipetik daripada siaran akhbar Bank Negara Malaysia.

15 November, 2012

Beli Saham Di Bawah Harga IPO? Nanti Dulu!

Jangan buat keputusan beli saham berasaskan harga IPO

Kejatuhan harga Astro di bawah harga IPO begitu pantas agak menakjubkan, tetapi bukan sesuatu di luar kelaziman.  Cuma yang memeranjatkan pelabur ialah saham ini ialah satu 'nama besar' dan jatuh begitu cepat selepas penyenaraian, iaitu pada hari kedua lagi.  Lazimnya saham akan turun secara beransur-ansur selepas kehangatan beberapa bulan pertama. 

Kita lihat senarai 30 IPO terbaru dan prestasinya setakat setakat ini:


Dipetik daripada Bursastation

Daripada senarai ini, kita lihat bahawa 15 atau 50% daripada saham berada di bawah harga IPO!  Adakah ini memeranjatkan anda?  Perlu diingat bahawa indeks kita berada hampir di paras tertinggi dalam sejarah dan 50% daripada IPO terbaru sudah jatuh di bawah harga penyenaraian.

Tetapi kejatuhan ini bermakna saham tersebut sudah undervalued dan boleh dibeli. Malah, apabila menilai saham seperti ini, harga IPO tidak harus diambil kira lagi dalam keputusan untuk membeli atau menjual.

Ada saham yang mungkin patut dibeli walau pun berada melebihi harga IPO dan ada yang langsung tak patut disentuh, walaupun telah jatuh jauh di bawah harga IPO.

Sekiranya anda sedang mempertimbangkan sesuatu saham yang telah jatuh di bawah harga IPO, saya syorkan anda membeli hanya jika syarikat tersebut sudah mempunyai rekod keuntungan sebagai sebuah syarikat tersenarai.

Ini bermakna kalau boleh tunggu sehingga ada rekod kewangan sekurang-kurangnya setahun, atau setidak-tidaknya syarikat telah mengumumkan keputusan untuk dua suku tahun (bersamaan separuh tahun).

Ini akan membolehkan kita meramalkan kemampuan syarikat menjana untung untuk tahun semasa dan juga tahun akan datang dan kedudukannya dalam keadaan ekonomi semasa. 

Selain itu, analisis perlu dilakukan sama seperti kita menganalisis untuk membeli syarikat lain. Tidak ada jalan pintas dalam hal ini.

Kesimpulannya ialah jangan terburu-buru untuk membeli saham IPO yang harganya telah jatuh di bawah harga IPO sehingga terdapat rekod keuntungan yang secukupnya yang membolehkan kita membuat penilaian.

Perlu diingat bahawa kita ada banyak pilihan saham di Bursa Malaysia, tidak perlu terlalu tertarik dengan saham IPO sahaja.  Anggap dan nilai semua saham dengan cara yang sama.

07 November, 2012

Jurang Besar Antara FBM KLCI & FBM Small Cap

Perbezaan ini tidak mungkin kekal dalam jangka masa sangat panjang

Baru-baru ini indeks komposit FBM KLCI, yang merupakan indeks penanda aras bagi Bursa Malaysia. telah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah, dengan mencecah paras lebih 1670 mata.

FBM KLCI sebenarnya terdiri daripada 30 saham bermodal terbesar di Bursa Malaysia. Justeru, ia mewakili hanya sebahagian kecil daripada semua saham yang diperdagangkan di pasaran saham Malaysia.

Selain itu, saham-saham dalam indeks inilah yang paling banyak dimiliki oleh institusi pelaburan besar tempatan dan juga asing, termasuklah PNB, KWSP, Khazanah Nasional dan lain-lain.

Tetapi apabila kita meninjau lebih dekat, kita dapat terdapat jurang yang agak ketara antara pergerakan FBM KLCI dan juga FBM Small Cap. FBM Small Cap ialah semua saham selain daripada 100 saham bermodal terbesar.

Kita tinjau Carta 5 tahun FBM KLCI



Berbanding Carta 5 tahun FBM Small Cap


Daripada kedua-dua carta ini kita dapat lihat FBM Small Cap telah mencapai kemuncak pada bulan Januari 2012 sedangkan FBM KLCI terus naik sehingga mencecah dan memecahkan rekod akhir bulan lepas.

Perbezaan ini jelas menunjukkan bahawa pasaran Malaysia disokong dengan kenaikan 30 saham bermodal terbesar. Adakah ini sokongan pelabur institusi tempatan atas sebab tertentu atau mungkin kerana pelabur asing memasuki Malaysia? Hakikatnya ialah perbezaan antara kedua-duanya tidak mungkin kekal.

Menurut Ken Fisher, saham bermodal kecil dan saham bermodal besar biasanya akan mengalami tempoh tertentu di mana satu daripadanya mengatasi yang lain, tetapi dalam jangka yang sangat panjang, pulangan yang diberikan oleh kedua-duanya adalah sama.

Maka, jurang ini akan ditutup sama ada dengan kejatuhan satu indeks atau kenaikan lebih besar indeks yang lain dalam jangka panjang.

Melihatkan situasi ini, pelabur perlu prihatin dengan keadaan semasa, di mana apa yang sudah naik pada masa kini tidak mungkin akan terus naik pada masa depan, terutamanya jika penilaiannya sudah berada di paras yang tinggi.

28 Oktober, 2012

Strategi Beli Saham Berasaskan Pulangan Dividen

Sesuai untuk keadaan semasa di mana indeks di paras tinggi tetapi
wujud ketidakpastian ekonomi dan politik dalam tempoh terdekat


Saham yang membayar dividen lazimnya dianggap sebagai saham yang mantap, dengan ciri-ciri bertahan (defensive).  Dividen ialah agihan daripada untung syarikat, dan merupakan bukti fizikal paling nyata bahawa sesebuah syarikat adalah kukuh, mencatat untung dan mempunyai tunai untuk memberi ganjaran kepada pelabur.

Kaedah melabur berasaskan dividen yield atau pulangan dividen ialah antara kaedah pelaburan saham yang paling konservatif.  Kaedah ini sudah tentulah membabitkan pelaburan jangka panjang kerana dividen lazimnya hanya dibayar hanya sekali atau dua kali setahun sahaja.

Jika kita dapat mencari syarikat yang mampu meningkatkan dividen dalam jangka panjang, kita akan akan melihat pulangan dividen kita meningkat tahun demi tahun, dan ini belum lagi mengambil kira keuntungan modal yang dicapai daripada kenaikan harga saham.

Apabila dividen meningkat, maka harga saham pun akan turut naik kerana lebih ramai pelabur tertarik kepada saham tersebut.

Cuba kita ambil satu contoh sebuah syarikat yang cukup mantap, tetapi belum terlalu popular di kalangan pelabur, iaitu APM Automotive. Pendek kata sebuah syarikat kukuh biasa yang boleh dibeli oleh pelabur.

Kita lihat cartanya:

Dipetik daripada Bursastation

Andaikan anda membeli saham APM Automotive pada harga RM2.20 pada tahun 2007.  Waktu itu, pulangan dividen kasar yang anda terima ialah  0.14/2.20 =  6.36%.

Jika anda memegangnya sehingga 2011, anda akan menerima dividen kasar 32 sen. Pulangan dividen anda sekarang ialah 0.32/2.20 = 14.55%!  Bukan itu sahaja, harga telah naik ke purata kira-kira RM5.00, memberikan anda keuntungan modal pula. 

Mengapa saya menyentuh tentang strategi dividen sekarang?  Saya bimbang ekonomi global mula menunjukkan tanda semakin perlahan, tetapi pasaran saham berada di tahap tertinggi. Kaedah pelaburan ini adalah yang paling konservatif jika pelabur masih mahukan pendedahan saham.

Lazimnya, jika penurunan berlaku, saham yang membayar dividen mampu bertahan (walaupun akan jatuh juga)  kerana pelabur masih boleh mendapatkan pulangan dividen yang diberikan, sambil menantikan sentimen pasaran kembali pulih.

22 Oktober, 2012

Pemegang Saham Utama Astro Ambil Kesempatan Daripada Minat Pelabur Terhadap IPO

Saham jatuh di bawah harga IPO pada hari kedua dagangan

Penyenaraian Astro mengingatkan semua pihak bahawa tiada jaminan untung dalam sebarang tawaran awam awal (IPO). Saham Astro ditutup pada harga RM2.77 sen, iaitu 23 sen di bawah harga IPO RM3.00.

Harga tidak semestinya naik dalam tempoh beberapa hari pertama, malah kadangkala boleh turun lebih rendah daripada harga IPO.  Perkara yang memeranjatkan tentang Astro ialah ia sudah jatuh daripada harga IPO pada hari kedua lagi.

Saya pernah menulis artikel yang menunjukkan banyak saham yang jatuh di bawah harga IPO dalam posting bertajuk Perkembangan Terkini Saham IPO, tetapi lazimnya ia berlaku secara beransur-ansur.

Apa maksudnya semua ini? Senang sahaja, jika anda seorang pelabur kecil, anda boleh membeli Astro pada harga lebih murah, tanpa perlu melalui proses permohonan IPO, yang mana anda tak pasti dapat membeli saham yang dimohon kerana perlu melalui undian.

Anda juga boleh mendapatkan harga lebih murah daripada yang dibeli oleh ramai pelabur institusi yang berebut untuk membeli saham tersebut pada harga IPO. 

Antara faktor yang menyebabkan kejatuhan ketara, menurut satu dua laporan, ialah banyak pihak yang membeli menggunakan pinjaman dan ada yang dipaksa melakukan 'forced selling' manakala sesetengah yang lain pula menjual untuk mengehadkan kerugian (stop loss).

Harga IPO Agak Mahal

Sebenarnya harga yang ditawarkan kepada umum agak mahal. Menurut seorang penganalisis TA, harga IPO Astro dianggarkan pada nisbah P/E 32 berasaskan unjuran pendapatan tahun 2013.  Angka ini amat tinggi dan hanya boleh diterima jika keuntungan dapat dipertingkatkan dengan ketara pada tahun-tahun akan datang. Tetapi penganalisis tidak meramalkan ini berlaku dalam tempoh dua tiga tahun.

Satu lagi perkara yang patut dipertimbangkan ialah apabila Astro diambil alih dan dikeluarkan daripada senarai saham oleh pemiliknya pada 2010, nilai pasaran keseluruhan Astro dalam proses tersebut ialah RM8.3 bilion

Pada harga RM3.00 sesaham, nilai entiti Astro baru yang disenaraikan ini, tanpa operasi asing, ialah RM15.6 billion. Ini hampir dua kali ganda nilai pada tahun 2010.

Jika saham tersebut sahaja di Bursa, tanpa dikeluarkan daripada senarai, saya yakin, nilai pasaran tidak akan mencecah angka penilaian RM15 bilion.  Malah pada waktu itu, saham Astro kurang diminati pelabur.

Jadi mengapakah bila ada proses IPO, tiba-tiba pelabur mula berminat. Adakah mereka ingat IPO satu lubuk emas yang pasti untung?

Ini bermakna pemegang saham utama telah mengambil kesempatan daripada kegilaan pelabur terhadap IPO  untuk 'unlock' value syarikatnya yang sudah tidak menyerlah pada 2010 dan mendapatkan nilai yang jauh lebih tinggi sekarang.

Dari segi perniagaan, ini satu tindakan yang bijak di pihak mereka.  Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak ada sesiapa yang memaksa pelabur membeli pada harga RM3.00. Malah tawaran kepada institusi dan juga pelabur biasa dilebih langgan.

Kesimpulan

Pertama sekali, senario ini memberi pengajaran bahawa tiada jaminan dalam permainan IPO.  Ada risiko, terutamanya jika anda gunakan pinjaman untuk membeli.

Saham IPO sebenarnya sama seperti saham-saham lain di pasaran.  Cuma ramai orang suka benda baru. Harga kebanyakan harga IPO naik dalam pasaran hangat di peringkat awal ialah disebabkan 'kehangatannya', bukan prestasi syarikat.

Jika anda tinjau senarai IPO dalam tempoh lima tahun lepas, anda akan dapati banyak daripadanya yang pernah jatuh di bawah harga IPO, malah ada segelintir yang jatuh dan tidak bangkit kembali.

Jika ingin membeli saham IPO, anda perlu membuat tinjauan dan penyelidikan yang sama teliti seperti membeli saham lain untuk mengelakkan kerugian. 

Perlu diingat, amaran bahawa harganya agak mahal telah dibuat oleh beberapa penganalisis di akhbar atau terbitan kewangan tempatan sebelum saham disenaraikan. Jadi maklumat tersebut memang boleh didapati oleh pelabur.

15 Oktober, 2012

Freight Management Teruskan Momentum

Tahun depan mungkin mencabar tetapi prospek jangka panjang cerah

Saya pernah menulis tentang Freight Management pada tahun lepas dan ingin memberikan sedikit perkembangan terkini tentang prestasi syarikat untuk tahun berakhir 30 Jun 2012.

Freight Management Holdings Berhad ialah sebuah syarikat pengangkutan menyeluruh yang menawarkan khidmat fret dan pengangkutan menerusi laut udara dan darat. Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat termasuk fret laut, udara, keretapi, kapal tunda, pengangkutan dan pembrokeran kastam.

Pendapatan sesaham syarikat bagi seluruh tahun kewangan 2012 ialah 12.9 sen, iaitu lebih tinggi sedikit daripada angka 12.2 sen pada tahun 2011.  Pencapaian ini agak mantap terutamanya kerana keadaan dagangan global yang tidak begitu pesat, yang lazimnya akan mempengaruhi sektor pengangkutan dan logistik.

Berikut adalah pergerakan harga saham Freight sejak disenaraikan:

Dipetik daripada Bursastation
Selepas mengambil kira saham bonus 1 untuk 3

Sementara itu, di  bawah pula ialah petikan prestasi syarikat dalam tempoh lima tahun antara 2007 - 2011:

 Laporan Tahunan Freight Management
 
Nota: EPS adalah sebelum mengambil kira saham bonus. Untuk membandingkan EPS dengan tahun semasa, darabkan EPS di atas dengan 3/4.
 
Perkara yang menarik tentang syarikat ini ialah ia mampu meningkatkan hasil secara beransur-ansur tahun demi tahun. Peningkatan hasil lazimnya bermakna peningkatan untung. Bagi tahun 2012, hasil yang dicatatkan ialah RM327 juta, iaitu terus meningkat berbanding tahun 2011. 
 
Sementara itu, dividen sebanyak 4 sen sesaham dijangka dibayar.  Berasaskan harga purata saham sepanjang bulan lepas pada 90 sen, ini bermakna hasil pulangan dividen atau dividend yield ialah 4.4%.
 
Malah pada harga semasa, saham diperdagangkan pada nisbah P/E lebih kurang 7 atau pulangan pendapatan atau earnings yield (E/P) 14.3%.

Perangkaan ini agak menarik, dan saham kelihatan undervalued. Mungkin harga sahamnya rendah kerana pelabur secara umumnya meramalkan ekonomi global dijangka kurang pesat pada tahun semasa dan tahun depan, dan Freight Management dijangka mengalami kesannya.

Walau apa pun, pengurusan syarikat nampak kukuh dan mampu mengharungi cabaran yang mungkin dihadapi. Harga semasa amat berpatutan, cuma pelabur mungkin memerlukan masa 2 hingga 5 tahun untuk mendapatkan pulangan yang memuaskan daripada saham ini.

Berasaskan pencarian di Internet dan di laman CBRS Bursa Malaysia, saya telah memuat turun dua laporan penyelidikan menerusi syarikat ini. Pelabur boleh mendapatkannya untuk mengumpulkan gambaran yang lebih menyeluruh, selain menantikan laporan tahunan syarikat yang akan diterbitkan tidak lama lagi.


07 Oktober, 2012

Patutkah Lakukan Pertukaran Dana?

Seorang pelabur telah mengemukakan beberapa soalan yang baik dan relevan tentang pertukaran dana atau fund switching dan saya jawab satu persatu.

1. Saya telah melabur dalam sebuah Dana Ekuiti sejak tahun 2007. Objektif dana ini untuk persaraan. Buat pengetahuan tuan dana ini tak pernah dijual balik hingga sekarang dan saya tiada amalkan simpanan bulanan. Cuma pernah lakukan switch ke dana bon/sukuk pada tahun 2009 oleh ejen saya tanpa pengetahuan saya.

Pada pendapat saya ejen tidak boleh melakukan switch tanpa pengetahuan pelanggan, melainkan kebenaran nyata diberikan. Bagi saya ini satu kesalahan besar dan boleh diambil tindakan. Walau apa pun, jika tukaran dilakukan pada 2009, ini bermakna ia dilakukan dengan timing yang kurang tepat. Cuba lihat carta di bawah:

Dipetik daripada Bursastation

Switching kepada dana bon/sukuk atau pasaran wang apabila nilai saham (dan juga hampir semua dana ekuiti) telah jatuh ke tahap terendah ialah satu kesilapan. Timing yang betul ialah jika switching dilakukan pada awal tahun 2008, sebelum kejatuhan.

Persoalannya bilakah switching dibuat kembali kepada dana ekuiti, sudah tentu pada tempoh yang lebih lewat iaitu apabila saham telah naik kembali. Kesannya ialah pelabur telah mengalami kejatuhan ekuiti, bertukar kepada dana bon/sukuk, kemudian tidak mengambil kesempatan daripada rebound peringkat awal pasaran. Ini bermakna pelabur rugi dua kali, pertama kerana kejatuhan dana ekuiti, kedua kerana gagal mengambil kesempatan daripada rebound. Adalah lebih baik jika pelabur beli dan pegang sahaja.

Inilah risiko melakukan switching, jika dibuat dengan betul, anda boleh untung besar, tetapi jika tidak pelabur mungkin rugi besar. Warren Buffett, John Boggle, Peter Lynch dan beberapa pelabur terkenal lain tidak tahu bila pasaran akan naik atau turun. Tetapi jika anda dengar ramai penganalisa dalaman firma pengurus dana dan beberapa ejen unit amanah, seolah-olah mereka tahu bila pasaran akan naik atau turun. Siapa yang patut anda percaya? Saya sendiri pun tidak pandai meramalkan pasaran (walaupun satu masa dulu semasa mula melabur saya rasa saya mampu melakukannya - ternyata saya tersilap).


2. Adakah tindakan bijak jika membiarkan dana ini sehingga saya bersara dengan cuma ada transaksi auto re-invest dividen setiap tahun. Jika harga dana jatuh baru saya buat topup investment.

Saya rasa jalan ini paling selamat dan agak konservatif. Cuma masalahnya ialah apakah definisi kejatuhan harga dana. Bagaimana kalau dana mendatar dan menaik untuk tempoh yang lama, kita mungkin terlepas kenaikan tersebut kerana tidak membeli sebab harga dana tidak pernah jatuh.

Secara peribadi saya suka membiarkan dana itu sehingga bersara seperti yang dinyatakan di atas, cuma topup itu saya akan lakukan secara bulanan dalam jumlah kecil, tidak kira pasaran naik atau turun. Ini jalan yang paling selamat.


3.Bagaimana pula tindakan ini pula? Bila harga dana ekuiti mencapai tahap tertinggi dan saya lakukan pertukaran dana ke dana bon di mana tiada caj di kenakan oleh Public Mutual untuk lock harga. Selepas harga NAB terendah saya akan kembali semula melakukan pertukaran dana ke dana ekuiti dan akan dikenakan caj swiching sebanyak RM25 tanpa menentukan berapa banyak nilai amaun untuk pertukaran.

Caj yang dikenakan adalah kecil dan tidak menjadi masalah atau isu di sini. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana pelabur tahu apakah harga tertinggi dan apakah harga terendah? Maklumat ini hanya diketahui selepas ia berlaku, atau orang putih kata 'with the benefit of hindsight'. Seperti yang saya katakan tadi, kalau ramalan pelabur betul, beliau boleh meningkatkan pulangan, tetapi jika salah, mungkin menjejaskan pulangan yang diterima untuk jangka panjang.

Bagaimana jika dana dijual dan harga dana terus naik? Itulah dilema yang dihadapi pelabur. Market timing adalah sesuatu yang sukar dilakukan, dan mustahil dilakukan dengan tepat setiap kali, walaupun oleh pelabur tersohor.

4. Dalam buku Panduan Pelaburan Unit Amanah tiada menceritakan terperinci tentang pertukaran dana (Pertukaran Dana dari Dana Ekuiti ke Dana Bon/Sukuk).

Sebenarnya ini sama seperti keputusan menjual atau membeli dana lain, cuma tanpa membabitkan kos kepada pelabur. Saya tidak menyentuh perkara ini secara langsung kerana dengan kos lebih rendah atau kadangkala tiada kos langsung, pelabur mungkin cenderung untuk bertukar-tukar dana.

Kedua, secara peribadi saya kurang setuju dengan pandangan pihak yang terlibat dalam industri yang menganggap kita boleh meramalkan dengan agak tepat bila untuk bertukar. Tokoh tersohor industri unit amanah John Boggle sendiri meminta pelabur tidak melakukan timing. Saya setuju dengan pendapat beliau sekarang.  Mungkin saya akan menambah perkara ini dalam edisi kedua untuk menerangkan risiko dan potensi untung atau rugi strategi fund switching ini.

Akhir kata, market timing masih ok dan tidak merugikan jika unit dijual pada fasa kenaikan saham (seperti sekarang), jika tersilap, anda hanya tidak menerima untung lebih tinggi.  Tetapi perkara yang tidak patut dilakukan ialah  menjual apabila saham sudah jatuh teruk.  Bukan sahaja kerugian sudah dialami, tetapi kita mungkin terlepas rebound saham.  Secara peribadi pula, faktor yang mendorong saya untuk bertukar dana ialah prestasi dana berbanding dana lain, dan bukannya market timing.

30 September, 2012

Bajet 2013 - Insentif dan Kesan Terhadap Individu

Mengupas sepintas lalu manfaat dan kesan belanjawan bagi orang ramai

Bajet 2013 berusaha mengimbangi antara keperluan untuk merangsang ekonomi, membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah dan juga mengurangkan defisit.

Saya telah cuba mengumpulkan insentif dan kesan bajet terhadap individu berasaskan maklumat yang tersiar dan ulasan pakar setakat ini dan menyenarai item yang relevan kepada umum di bawah.

Insentif Golongan Berpendapatan Rendah / Sederhana
  1. RM500 bagi ketua keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM500
  2. RM250 untuk inidividu belum berkahwin berusia lebih 21 tahun dengan pendapatan di bawah RM2,000 tetapi bukan untuk pelajar universiti
  3. Rebet telefon pintar RM200 bagi golongan berusia 21 - 30 tahun yang bergaji RM3,000 ke bawah.
Insentif Cukai
  1. Kadar cukai dikurangkan 1% bagi julat pendapatan tahunan antara RM2,500 hingga 50,000.  Laporan menyatakan hanya mereka dengan pendapatan tahunan boleh dicukai bawah RM50,000 yang mendapat manfaat, tetapi pada pendapat saya orang yang berpendapatan lebih tinggi juga menerima penjimatan kerana kadar cukai untuk RM50,000 pertama telah dikurangkan. Penjimatan maksimum yang diterima ialah RM425.
  2. Pelepasan cukai dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 bagi pendidikan tinggi anak
  3. Pelepasan SSPN ditambah daripada RM3,000 kepada RM6,000
Insentif Penjawat Awam
  1. Bonus 1.5 bulan untuk kakitangan kerajaan
  2. Insentif khas  anggota tentera RM200 sebulan mulai 1 Januari 2013
  3. Elaun untuk bekas tentera tidak berpencen yang berkhidmat  kurang 21 tahun sebanyak RM1,000
  4. Pencen minimum golongan berkhidmat 25 tahun ke atas ditambah kepada RM820 berbanding RM720.
Insentif Pendidikan
  1. Bantuan RM100 untuk setiap murid sekolah rendah dan menengah
  2. Baucar buku mahasiswa RM250.
  3. Diskaun 20% untuk penghutang yang membayar balik pinjaman PTPTN dalam masa setahun dan  diskaun 10% untuk penghutang PTPTN yang membayar balik pinjaman secara konsisten.
Hartanah
  1. Cukai Keuntungan Hartanah meningkat kepada RM15% untuk dua tahun pertama dan kepada 10% untuk tiga tahun seterusnya
  2. Pelepasan duti setem 50% bagi pembelian rumah kediaman pertama dilanjutkan sehingga Disember 2014.
  3. Individu yang mempunyai pendapatan sehingga RM5,000 sebulan berhak untuk Skim Rumah Pertamaku, berbanding RM3,000 sebelum ini.
Pada pendapat saya, belanjawan kali ini ada banyak insentif terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Memang sepatutnya kumpulan ini yang disasarkan.

Defisit pula dikurangkan kepada 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.  Walaupun tanpa sesetengah insentif di atas, defisit boleh dikurangkan lagi, saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk mengehadkan perbelanjaan dengan ketara terutamanya dengan ekonomi global yang masih lemah

Bajet ini boleh dikatakan memuaskan dan diharapkan segala insentif dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama. Memang sesetengah insentif bersifat gula-gula kepada rakyat kerana pilihan raya sudah hampir, tetapi kesannya tidak negatif kerana wang yang diterima akan dibelanjakan dan ini akan menimbulkan kesan pengganda.

Saya menganggap bajet ini sebagai belanjawan kerajaan Malaysia dan saya melihatnya dari sudut berkecuali.  Bagi saya bajet alternatif Pakatan Rakyat juga ada manfaat dan insentif, cuma kepada golongan yang berbeza. 

Kedua-dua pihak perlu ingat bahawa insentif yang diberikan dikutip daripada cukai yang dibayar oleh perniagaan dan rakyat Malaysia. Jadi insentif bukan diberikan oleh BN atau PR, tetapi dibiayai oleh rakyat Malaysia sendiri.  Cuma mereka menentukan cara kita memperuntukkannya jika mereka berkuasa.

Kedua-dua alternatif saya nampak memuaskan, selagi ia mesra kepada perniagaan dan rakyat dan mampu menjana ekonomi negara selain membantu golongan yang memerlukan.

Nota:  Jika ada insentif atau item relevan yang tertinggal sila maklumkan saya.

25 September, 2012

Daibochi Kukuh Dengan Dividen Memuaskan

Syarikat unum akan agihkan 60% daripada untung menerusi dividen

Daibochi ialah sebuah syarikat pengeluar pembungkusan fleksibel utama, yang membekalkan penyelesaian pembungkusan serba guna kepada pengeluar makanan dan minuman, barangan pengguna laris dan farmaseutikal dan perindustrian.

Syarikat ini dibawa kepada perhatian saya oleh seorang pembaca yang meminta saya memberikan pandangan mengenainya.

Saya dapati Daibochi ialah sebuah syarikat yang kukuh yang telah melonjakkan prestasi keuntungan terutamanya sejak tahun 2009. Daripada meraih pendapatan sesaham (EPS) purata kira-kira 10 sen ia telah bertukar menjadi syarikat yang menjana EPS lebih 24 sen sejak 2009.

Peningkatan prestasi ini juga telah menyaksikan harga sahamnya naik seiring. Berikut adalah pergerakan harga saham sejak 5 tahun lepas.  Harga saham telah dilaraskan untuk terbitan bonus 1 untuk 2 yang dibuat baru-baru ini.


Dipetik daripada Bursastation
 
Sementara itu ringkasan perangkaan prestasi syarikat untuk tempoh lima tahun lepas juga dibentangkan di bawah:


Diambil daripada Laporan Tahunan Daibochi
 
Perhatian: Angka EPS dan NTA Per Share ialah berasaskan jumlah saham sebelum terbitan bonus satu saham untuk setiap dua saham dipegang yang dibuat baru-baru ini 
 
Daripada data di atas, kita dapat lihat bahawa perolehan dan aset ketara bersih sesaham meningkat secara konsisten manakala pendapatan sesaham atau EPS kekal mantap selama tiga tahun.  Sementara itu pembayaran dividen pula ialah antara 12 hingga 15 sen sesaham.

Satu lagi ukuran penting ialah pulangan atas ekuiti (ROE) yang berada pada paras kira-kira 15 peratus dalam tempoh tiga tahun lepas, tahap yang agak memberangsangkan.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, syarikat telah mencatatkan prestasi lebih baik daripada enam bulan pertama tahun lepas, dengan EPS 15.32 sen (sebelum pelarasan bonus).  Sementara itu, aliran tunai syarikat juga kukuh, dengan tunai yang diperolehi daripada operasi meningkat berbanding enam bulan yang sama tahun lepas.

Berasaskan prestasi suku pertama, syarikat dijangka mampu mencatatkan EPS 20 sen (selepas mengambil kira terbitan bonus - semua angka akan dilaraskan dalam laporan tahunan 2012). Berasaskan pengumuman syarikat untuk membayar 60% daripada untung menerusi dividen, maka dividen seluruh tahun dijangka sekurang-kurangnya 10 sen sesaham (selepas pelarasan bonus).

Harga

Kita sudah tahu syarikat ini kukuh dan semakin berkembang maju tetapi seperti biasa, faktor penentu ialah harga. Kita dapati harga telah naik kebekalangan ini dan pada penutup semalam harganya ialah  RM2.26.

Pada harga ini, saham diperdagangkan dengan nisbah P/E anggaran 11.3 atas keuntungan 2012 dan juga pulangan dividen kira-kira 4.42%.  Perangkaan ini boleh dikatakan menarik selagi syarikat boleh mengekalkan atau mengukuhkan untung untuk tahun-tahun akan datang.

Ini menjadi faktor penentu sama ada untuk membeli saham  Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan sama ada keadaan ekonomi dalam tempoh setahun akan datang akan mempengaruhi prestasi syarikat.

Secara peribadi, kejatuhan harga ke paras RM2.00 dan ke bawah menjadikan saham ini amat menarik untuk jangka panjang selagi prestasi kukuh dapat dikekalkan.
   

17 September, 2012

FGVH: Proksi Sektor Perladangan Malaysia

Felda Global Ventures kukuh tetapi pelabur perlu pertimbang harganya

Banyak yang diperkatakan tentang IPO Felda Global Ventures (FGVH).  Ada yang positif, ada yang negatif dan banyak juga lebih berunsur politik daripada berasaskan kekuatan organisasi.

Seorang pembaca telah meminta saya mengulas tentang Felda Global Ventures.  Sebenarnya dari segi analisis syarikat besar seperti FGVH, sudah banyak laporan penyelidikan mengenainya. Sebab itulah saya jarang menyentuh syarikat besar seperti ini.

Sekiranya anda mahu mendapatkan research report mengenai FGVH, anda boleh pergi ke bahagian penyelidikan percuma laman web Bursa Malaysia atau mencari menerusi enjin pencarian. Saya dapat memuat turun sekurang-kuranngya empat laporan secara percuma.

Namun begitu, saya akan tetap memberikan sedikit pandangan peribadi mengenai syarikat ini. FGVH kembali mendapat perhatian terutamanya kerana sebab politik, bukan perniagaan, apabila harganya jatuh selepas kenaikan awal selepas penyenaraian. Tetapi minggu lepas, harga saham telah melantun kembali:


Dipetik daripada Bursastation

Sebenarnya apabila melabur, kita perlu membezakan antara prestasi syarikat dan prestasi saham. Syarikat mencatatkan prestasi yang boleh dikatakan sederhana pada separuh pertama 2012.

Cuma, harga saham mungkin telah naik tinggi dan melebihi nilai sebenarnya buat masa ini.  Perlu diingat bahawa apabila sesebuah syarikat menerbitkan IPO, sudah tentu ia mahu menjual saham pada harga setinggi yang mungkin.  Justeru harga IPO paling kurang pun sudah dianggap sebagai fairly valued.

Selepas itu, harga telah meningkat sehingga RM5.50 dan keputusan separuh pertama pula menurun sedikit daripada jangkaan, iaitu dengan pendapatan sesaham (EPS) 10.4 sen sesaham.  Prestasi separuh kedua mungkin lebih baik sedikit, maka EPS seluruh tahun mungkin antara 20 - 25 sen sesaham.

Pada paras EPS 25 sen, jika harga saham FGVH ialah lebih kurang RM5.00, ini bermakna nisbah P/E adalah 20.  Nisbah ini adalah agak tinggi, melainkan syarikat boleh meningkatkan untung secara konsisten pada tahun-tahun akan datang.

Walau apa pun, selepas keputusan terbaru, laporan beberapa firma penyelidikan menetapkan harga sasaran antara RM5.00 dan RM5.40 untuk saham ini dalam tempoh satu tahun, dan harganya sekarang memang berada di paras berhampiran itu.

Faktor yang positif bagi FGVH ialah saiznya sebagai peladang kelapa sawit ketiga terbesar di dunia, yang turut memiliki MSM, iaitu pengeluar gula utama di Malaysia selain turut mempunyai ladang getah. Syarikat juga sedang berusaha meluaskan lagi operasi antarabangsanya dan saiz syarikat meningkatkan peluangnya untuk berjaya.

Seperti syarikat perladangan lain, kejayaan syarikat sudah tentulah dipengaruhi oleh harga komoditi yang dihasilkan, dan dalam kes FGVH, ia dipengaruhi oleh harga CPO.  Justeru, sebarang analisis syarikat perlu mengambil kira ramalan pergerakan harga CPO.  Seperti yang kita lihat dalam carta di bawah, harga CPO agak menurun kebelakangan ini:


Dipetik daripada laman web MPOB

 FGVH ialah sebuah syarikat yang kelihatan kukuh untuk jangka panjang, cuma dalam tempoh terdekat mungkin harganya dikekang oleh faktor luaran yang mungkin tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh syarikat.

Secara peribadi, jika saham jatuh di bawah harga IPO (iaitu lebih kurang RM4.50), saya akan mula mempertimbangkan FGVH, walaupun jika P/E masih tinggi kerana ini merupakan sebuah syarikat besar yang mendapat liputan daripada banyak firma penyelidikan, selain dimiliki beberapa pelabur institusi.

Walau apa pun, pembaca digalakkan untuk memuat turun dan membaca beberapa laporan penyelidikan oleh firma penyelidik, seperti yang saya sebutkan di awal rencana, untuk mendapatkan gambaran yang lebih  menyeluruh tentang prospek syarikat ini.

09 September, 2012

Berniaga dengan Modal Ekuiti atau Hutang?

Pertimbang dengan teliti keperluan modal apabila memulakan perniagaan

Modal yang dilaburkan apabila memulakan perniagaan berbeza-beza mengikut bidang niaga yang diceburi.  Ada sesetengah perniagaan yang memerlukan modal sehingga RM1 juta, ada yang hanya memerlukan RM100,000 manakala ada pula yang hanya memerlukan sedikit sahaja modal.

Menyediakan modal yang mencukupi juga amat penting kerana apabila mula berniaga, kita memerlukan masa untuk mencapai titik pulang modal. Sehingga perniagan mula meraih untung, ia perlu 'survive' dengan modal awal yang dilaburkan.

Malah, perniagaan yang berdaya maju sekalipun mungkin lingkup jika tidak cukup modal kerana tidak dapat membiayai pembelian aset, inventori atau kos operasi.



Terdapat dua jenis modal untuk memulakan perniagaan, iaitu modal ekuiti dan modal hutang.

Modal Ekuiti

Modal ekuiti atau modal saham ialah modal yang dilaburkan sendiri atau diterima daripada pelabur atau pekongsi lain.  Manfaat am menggunakan modal ekuiti ialah pelabur tidak perlu menanggung kos pinjaman dan tidak perlu membayar balik pinjaman tersebut.

Kelebihan menggunakan modal sendiri:
1.  Untung diperolehi 100% jika perniagaan amat berjaya
2.  Tidak terikat kepada mana-mana pihak
3.  Tidak perlu berbincang dengan sesiapa

Kelemahan menggunakan modal sendiri:
1.  Rugi ditanggung sendiri, mungkin menyebabkan kita kehilangan semua wang kita
2.  Tidak dapat memanfaatkan kepakaran pelabur / pekongsi lain

Kelebihan menggunakan modal pelabur / pekongsi lain:
1.  Boleh mengumpulkan jumlah yang lebih besar.
2.  Boleh berniaga walaupun kita sendiri tiada modal
3.  Boleh memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka

Kelemahan menggunakan modal pelabur / pekongsi lain:
1.  Keputusan besar mungkin perlu mendapatkan persetujuan mereka
2.  Terpaksa berkongsi untung jika perniagaan sangat berjaya
3.  Masalah besar jika perselisihan berlaku

Modal Hutang

Modal hutang pula modal yang dipinjam, sama ada daripada saudara-mara, bank atau Ah Long, Apabila pinjaman dibuat, kita memberikan komitmen untuk membayar balik pinjaman tersebut. Masalah besar timbul jika pinjaman tidak boleh dibayar balik, dan boleh menyebabkan peniagaan diiystiharkan muflis.  Tetapi masalah lebih besar dihadapi jika pinjaman dibuat daripada Ah Long, terutamanya dengan kadar pinjaman yang sangat tinggi.

Kelebihan menggunakan modal hutang:
1.  Walaupun terpaksa membayar ansuran pembiayaan, sebarang untung boleh disimpan sendiri. Ini bermakna kalau perniagaan untung besar, modal hutang memberikan manfaat lebih besar.
2.  Selagi ansuran dibayar balik, peminjam tidak campur tangan dalam perniagaan.

Kelemahan menggunakan modal hutang:
1.  Masalah besar jika perniagaan kurang berjaya
2.  Boleh menyebabkan peniaga muflis atau aset disita
3.  Boleh menjejaskan hubungan jika pemberi pinjaman ialah sahabat atau sanak-saudara

Apabila dibandingkan antara kedua-dua pilihan, pada pendapat saya modal hutang adalah lebih berisiko tetapi membolehkan peniaga mengekalkan kawalan penuh terhadap perniagaan.

Sementara itu modal ekuiti pula lebih rendah risikonya tetapi mungkin menyebabkan peniaga perlu merujuk kepada rakan kongsi atau pemegang saham lain sebelum membuat keputusan penting.  Di samping itu, keuntungan juga perlu dikongsi bersama.

Untuk perniagaan yang kecil, bagi saya cuba guna modal sendiri dahulu, iaitu mula dengan skala kecil-kecilan.  Jika permulaan skala kecil tidak berdaya maju, barulah cari jalan untuk mengumpulkan modal tambahan.  Keputusan perlu dibuat berasaskan ciri perniagaan dan kebarangkalian mencapai kejayaan.

Apa pun, keputusan tentang sumber modal sangat penting.  Saya pernah melihat orang yang jatuh muflis kerana menggunakan modal bank dan juga melihat mengalami masalah besar apabila menggunakan modal daripada Ah Long yang akan menuntut daripada saudara-mara.

Ramai orang yang memulakan perniagaan mungkin terlalu optimistik tentang potensi perniagaan yang diceburi sehingga mereka tidak mempertimbangkan senario dan kesannya jika perniagaan tersebut gagal.

05 September, 2012

Hup Seng Kukuh dan Mantap

Pengeluar biskut cap Ping Pong tidak exciting tetapi amat teguh

Hup Seng ialah sebuah pengeluar biskut dan snek yang telah beroperasi sejak tahun 1958. Jenama produk syarikat ialah Cap Ping Pong dan Kerk dan syarikat juga telah membeli syarikat pengeluar kopi dan makanan bernama Incomix.

Sejak lima tahun yang lepas, prestasi Hup Seng semakin mantap dan peningkatan untung ini dapat dilihat daripada kenaikan harga sahamnya.

Berikut adalah tahap perolehan dan keuntungan syarikat antara tahun 2007 - 2011:

Laporan Tahunan Hup Seng 2011

Di bawah pula ialah carta saham syarikat:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa prestasi untuk tempoh lima tahun adalah turun naik dan sehingga akhir 2011, graf pergerakan saham memang mendatar, tetapi mula melonjak sejak permulaan tahun 2012.

Sebabnya ialah prestasi kewangan 2012 semakin hebat.  Pada separuh pertama 2012, syarikat baru-baru ini mengumumkan pendapatan sesahan (EPS) sebanyak 14.32 sen.  Ini bermakna syarikat berpotensi mencatatkan keuntungan kira-kira 28 sen untuk seluruh tahun.

Di samping itu, Hup Seng juga telah mengumumkan dividen interim 12 sen baru-baru ini, yang akan dibayar kepada pemegang saham yang ada pada daftar pemegang saham pada 13 September 2012.  Ini merupakan satu lagi faktor kenaikan saham.

Jika kita mengandaikan keuntungan adalah 28 sen pada tahun 2012, ini bermakna EPS purata syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas ialah lebih kurang 20 sen sesaham.

Di samping itu, syarikat juga mempunyai aliran tunai yang amat kukuh, iaitu tunainya sahaja cukup untuk menjelaskan semua liabiliti jangka pendek dan jangka panjangnya.

Tetapi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah saham ini telah naik  dan mungkin sudah mengambil kira jangkaan keuntungan yang dicapai untuk tahun 2012.

Pada harga semasa, pada pendapat saya Hup Seng adalah lebih kurang 'fairly valued' atau sedikit 'undervalued'.  Walaupun syarikat kukuh, kita perlu sentiasa membandingkan prestasi dan juga harga.

Jika pelabur berminat membeli saham ini, mungkin boleh tunggu sehingga selepas dividen dibayar kerana kadangkala harga saham jatuh lebih banyak daripada nilai dividen selepas tarikh ex-dividen. Bagi mereka yang lebih suka menunggu untuk mendapatkan bargain (seperti saya),  mungkin boleh pertimbangkan jika saham jatuh di bawah RM2.50.

Walau apa pun, syarikat ini memang amat kukuh, cuba keputusan yang perlu dibuat ialah berapakah harga yang sesuai untuk dibeli.


26 Ogos, 2012

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

Datuk Hussamuddin kata kerja keras dan pembejalaran kunci kejayaan

Baru-baru ini, (Sabtu, 25 Ogos), usahawan tersohor dan pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah ditemu ramah di akhbar The Star.  Karangkraf ialah sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang disegani di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai majalah seperti Mingguan Kanak-Kanak, Bacaria, Media Hiburan dan juga akhbar Sinar Harian.


Saya pernah membaca kisah beliau di akhbar dan majalah lain, tetapi kali ini saya terbaca satu perkara amat penting yang saya dapati amat berguna untuk ditekankan dan dihebahkan kepada pembaca blog, terutamanya golongan muda yang ingin menjadi usahawan atau memulakan kerjaya.

Menurut usahawan terkenal ini, tidak ada jalan singkat untuk berjaya dan anda perlu melalui proses pembelajaran dan menimba pengalaman untuk sampai ke puncak. Tidak ada pengganti bagi proses ini.

Kata beliau lagi, kita telah menghabiskan masa satu generasi dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan ahli perniagaan Melayu tetapi tidak begitu berjaya.  Ini kerana kita sentiasa mahu mencari jalan mudah.

"Kita tidak boleh mengumpulkan sekumpulan bakal peniaga, menyuruh mereka mengikuti kursus dua atau tiga hari dan kemudian memberi mereka beberapa ribu ringgit untuk memulakan perniagaan kerana ini merupakan resipi kegagalan."

Pandangan beliau adalah seiring dengan penemuan yang dipaparkan dalam buku Outliers oleh Malcolm Gladwell dan Talent is Overrated oleh Geoffrey Colvin dan banyak kajian yang dijalankan terhadap bintang dan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang.

Kesimpulan yang mereka buat ialah penguasaan dalam sesuatu bidang memerlukan latihan dan pembelajaraan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan beliau. Isu sekarang ini ialah kita dapat melihat pelbagai kursus, seminar dan buku yang mendakwa bahawa anda boleh menguasai sesuatu bidang atau mula buat duit dengan pantas dengan hanya bekerja selama X jam dalam sehari.

Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada dunia perniagaan, tetapi juga dunia pelaburan, termasuk pelbagai jenis pelaburan seperti Forex, komoditi, saham dan emas.

Percambahan skim cepat kaya yang tetap dilanggan walaupun beribu-ribu orang sudah tertipu menunjukkan fenomena jalan pintas masih berleluasa di mana ramai orang percaya mereka boleh untung dengan cepat tanpa perlu bersusah-payah.

Ini tidak bermakna bahawa tiada seorang pun yang boleh mencapai kejayaan atau kekayaan besar dalam masa yang singkat, tetapi kejayaan ini adalah disebabkan sama ada oleh:

  1. Bakat yang amat luar biasa yang tiada pada hampir semua orang lain, 
  2. Nasib baik kerana  mengambil kesempatan daripada peluang keemasan yang timbul pada masa yang tepat 
  3. Menggunakan jalan yang tidak begitu lurus.
Hanya segelintir sahaja orang dapat mengambil kesempatan daripada pilihan satu dan dua manakala pilihan ketiga tidak harus dipertimbangkan langsung. 

Jika anda pergi ke kursus atau membaca buku untuk mula mempelajari atau menguasai sesuatu bidang, anggap tindakan tersebut sebagai satu langkah kecil sahaja dalam proses penguasaan yang mengambil masa bertahun-tahun, walaupun jika kursus mendakwa anda boleh melakukannya dalam masa 33 hari, 3 bulan dan sebagainya.

Bersabar, bekerja keras dan terus belajar dan sentiasa memperbaiki diri sendiri ialah jalan yang perlahan tetapi memberikan peluang paling tinggi untuk berjaya.

20 Ogos, 2012

Ekonomi Malaysia Berkembang Lebih 5%

Prestasi kukuh dicatatkan walaupun keadaan global tidak menentu

Nota: Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin jika ada salah dan silap tulis sepanjang tahun lepas.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah berkembang 5.4% pada Suku Kedua tahun ini, mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.9% yang dicapai pada Suku Pertama.

Prestasi ini mengesahkan mengapa pasaran saham Malaysia tetapi kukuh walaupun keadaan di Eropah dan beberapa negara lain kurang memberangsangkan.

Berikut adalah prestasi suku tahunan ekonomi Malaysia sejak Suku 1 2010:

Dipetik daripada Laman Web RTT News

Pertumbuhan yang dicatatkan lebih tinggi daripada dijangka dan telah mendorong beberapa penganalisis untuk meningkatkan unjutan bagi seluruh tahun kepada 5%.

Apabila dilihat pecahan sektor pertumbuhan didapati bahawa permintaan domestik meningkat 13.8%, perbelanjaan penggunaan swasta meningkat 8.8% dan perbelanjaan kerajaan pula meningkat sebanyak 9.4 peratus.

Namun begitu, bagi sektor eksport, penghantaran eksport meningkat hanya 2.1% pada suku kedua, yang merupakan petanda keadaan ekonomi global yang kurang sihat.

Data ini menunjukkan bahawa walaupun negara ini adalah sebuah negara yang bergantung kepada eksport, ekonomi tempatan semakin memainkan peranan penting dalam pertumbuhan.  

Walau apa pun, perbelanjaan daripada program transformasi ekonomi serta tunai yang diberikan kepada rakyat dalam bentuk kenaikan gaji awam dan juga kepada golongan miskin juga telah mendorong perbelanjaan penggunaan.

Berasaskan ekonomi tempatan yang kukuh dan ekonomi luar yang kurang baik ini, kita akan tinjau pula prestasi beberapa syarikat pada minggu-minggu akan datang untuk melihat yang mana mendapat manfaat daripada kekuatan ekonomi tempatan dan yang mana terjejas akibat kemelesetan ekonomi luar.

08 Ogos, 2012

Bolehkah Labur Saham Secara Bulanan?

Berikutan posting lepas yang menerangkan tentang pelaburan bulanan dalam unit amanah, seorang pembaca mengemukakan soalan yang baik tentang pelaburan bulanan saham.  Berikut adalah soalan beliau.

Adakah kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk pelaburan saham?

Dari segi teknikal memang boleh tetapi kaedah ini hanya kos efektif jika pelaburan dibuat dalam jumlah yang cukup besar untuk mencapai kos urus niaga minimum.

Sebagai contoh, kita andaikan kos transaksi ialah RM12 atau 0.42% bagi setiap urus niaga, berasaskan nilai yang lebih tinggi.  Ini merupakan kos urus niaga lazim menerusi Internet (kos lebih rendah RM8 ditawarkan oleh broker tertentu bagi urus niaga tunai).

Jika kita membuat pelaburan bulanan RM200, kita akan membayar sekurang-kurangnya RM12 (serta beberapa kos lain yang amat kecil).  Ini bermakna kita membayar kos 6% untuk urus niaga kita.

Sebaliknya jika kita melabur RM1,000 setiap bulan, dengan kos urus niaga RM12, peratus kos urus niaga kita turun kepada 1.2% sahaja.

Sementara itu, jika kita melabur RM2,900 setiap bulan, kos urus niaga kita ialah 0.42%.  Maka untuk mendapatkan kos paling minimum, kita perlu melabur sekurang-kurangnya RM2,900. (Nota: Nilai ini lebih rendah jika kos urus niaga minimum anda ialah RM8)

Pelaburan bulanan saham boleh dibuat, cuma lebih besar jumlahnya, lebih kecil kos yang anda tanggung.  Jika anda mahu melabur jumlah bulanan yang kecil, cara paling menjimatkan kos ialah untuk mengumpulkan wang terlebih dahulu, katakan selama enam bulan, dan melabur hanya dua kali setahun

Sekiranya anda membuat pelaburan saham secara bulanan atau berkala, satu lagi pertimbangan yang perlu dibuat ialah saham yang dibeli.  Harus diingat bahawa jika kaedah ini digunakan untuk unit amanah, dana yang sama boleh dibeli kerana dana tersebut sememangnya sudah mempunyai pelbagai saham (dana ekuiti) atau campuran saham dan sukuk (jika dana bercampur).

Maka kita sebagai pelabur juga perlu mempelbagaikan pelaburan.  Sebagai contoh, jika sudah dua tiga bulan membeli satu saham, mungkin pada bulan keempat kita ubah kepada saham lain pula.  Kita teruskan proses ini sehinggalah kita mempunyai bilangan saham yang terpelbagai dalam portfolio.

Mungkin untuk melindungi portfolio daripada terlalu terdedah kepada risiko saham khusus, pastikan tiada saham yang merangkumi lebih daripada 10% daripada portfolio anda.  Bagaimanapun, ini boleh diabaikan di peringkat awal apabila baru sahaja membina portfolio.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan jika menggunakan kaedah pelaburan bulanan ialah kita perlu memantau prestasi setiap saham yang kita beli.  Ini berbeza daripada pelaburan dengan unit amanah yang diuruskan oleh pengurus profesional, yang mana kita hanya perlu memantau prestasi unit amanah tersebut secara keseluruhan.

Kesimpulannya ialah pelaburan saham bulanan boleh dilakukan, cuma perlu disesuaikan supaya dapat mengurangkna kos dan memerlukan pemantauan dan penilaian yang lebih teliti daripada pelabur.

01 Ogos, 2012

Teruskan Program Pelaburan Bulanan Unit Amanah

Program pelaburan patut diteruskan sama ada pasaran naik atau turun

Sekiranya anda mempunyai program pelaburan bulanan di mana anda membeli dana ekuiti atau dana seimbang setiap bulan menerusi arahan tetap daripada akaun bank, anda patut meneruskan program tidak kira sama ada pasaran saham naik atau turun.

Program seperti ini, yang dinamakan program Dollar Cost Averaging atau Purata Kos Ringgit (lihat posting lain mengenai unit amanah atau rujuk buku saya untuk maklumat lanjut tentang kaedah ini) memang merupakan program yang dirangka supaya pelabur melabur pada harga purata, iaitu kadang-kala tinggi dan kadang-kala rendah.

Dalam jangka panjang, kenaikan harga beransur-ansur akan membolehkan pelabur mendapatkan nilai pelaburan yang tinggi di akhir tempoh pelaburan.

Terdapat risiko jika pelabur membuat keputusan untuk menghentikan atau mengeluarkan pelaburan buat sementara waktu.  Ini kerana jika kita melabur dalam dana ekuiti dan menjual dana kerana meramalkan saham akan jatuh dalam tempoh terdekat, tetapi saham sebaliknya terus naik, ini akan menjejaskan program pelaburan dengan ketara.



Sementara itu jika kita menghentikan pelaburan dalam tempoh kejatuhan pasaran, kita akan rugi kerana tidak membeli unit amanah sedangkan harga pada masa itu murah.

Maka cara paling selamat atau jalan tengah bagi pelabur ialah meneruskan program pelaburan untuk jangka panjang sehinggalah ke tarikh sasaran kita.

Satu lagi pilihan bagi pelabur ialah menukar (switch) dana ekuiti kepada dana yang kurang terdedah kepada ekuiti, jika meramalkan kejatuhan, seperti dana seimbang, dana sukuk atau dana pasaran wang.

Kaedah ini patut digunakan hanya jika anda yakin dengan unjuran anda, kerana jika anda tersilap, dan berlaku kenaikan selanjutnya pasaran saham, anda juga yang tidak dapat memanfaatkan pulangan tersebut, lantas mengganggu program pelaburan anda.

Program pelaburan bulanan ini harus dinilai semula hanya jika prestasi unit amanah anda sentiasa berada di belakang dana-dana lain dalam tempoh beberapa tahun, menunjukkan kelemahan prestasi pengurus dana.  Dalam keadaan ini, barulah anda patut mempertimbangkan untuk menukar kepada dana lain, tetapi bukan untuk keluar sepenuhnya daripada pelaburan.

Hanya dengan pelaburan konsisten, berdisiplin dan berterusan barulah kita dapat mencapai sasaran program pelaburan bulanan kita dengan selamat.

25 Julai, 2012

Perihal Pengumuman Agihan & Pengambilalihan

Mengapa ada hari di mana urus niaga di dalam "historical price data" ditandakan sebagai "_". Adakah sebab tiada urusniaga? Bagaimana kita ingin mengetahui tiada urusniaga? Contohnya saham Adventa pada tarikh 6,9 dan 10 Julai. Saya ada baca berita tawaran membeli saham tersebut pada 11 Julai oleh pengarah syarikat di dalam The Star. 

Dinyatakan pemegang saham akan menerima distribution RM1.70.  Dari carta ada kenaikan pada hari berita disiarkan. Bagaimanapun saya tidak faham kenapa tiada urusniaga pada tarikh dinyatakan di atas.  Adakah saham ini masih boleh dibeli? Menurut pemahaman saya, pembelian, saham ini akan menguntungkan disebabkan ada pembahagian untung jualan untung dan harga saham tersebut.

Saya menerima soalan di atas dan ingin berkongsi jawapan bersama pembaca.

Pada tarikh di atas, kemungkinan tiada urus niaga disebabkan dagangan saham digantung. Lazimnya apabila pengumuman besar seperti ini dibuat, saham akan digantung dagangannya beberapa hari sebelum itu.

Pembelian saham biasanya hanya menguntungkan sebelum pengumuan dibuat. Selepas pengumuman, kenaikan akan berlaku hampir serta-merta apabila dagangan dibuka untuk mencerminkan pembahagian untung tersebut.Malah,  sejurus selepas untung diagihkan kepada pemegang saham pada tarikh yang ditetapkan, harga akan turun semula sebanyak mana pembahagian untung yang dibuat.

Ini bermakna melainkan kita ada maklumat dalam yang menunjukan ada pembahagian untung, kita tidak ada cara untuk mengambil kesempatan daripada pengumuman seperti ini. Ini adalah sama seperti pengumuman dividen, di mana harga akan naik sejurus selepas dividen diumumkan.

 Kita hanya boleh untung jika beli sebelum itu. Adalah mustahil untuk meramalkan bila pengumuman dibuat melainkan ada maklumat daripada orang dalam. Lebih baik beli syarikat yang mantap untuk jangka panjang dan tunggu pengumuman dividen (jika ada) atau kenaikan harga saham kerana keupayaannya mencatatkan keuntungan.

Satu lagi jenis pengumuman ialah pengambilalihan syarikat.  Jika sesebuah syarikat tersenarai akan diambil alih, proses yang sama juga berlaku di mana harga saham akan naik sejurus selepas pengambilalihan diumumkan.  Kenaikan biasanya berlaku pada paras sedikit di bawah harga pengambilalihan yang diumumkan.

Namun begitu, sebelum pengumuman dibuat, pasti ada kenaikan harga beransur-ansur kerana orang dalam sudah tahu tentang perkara ini dan juga ada pembeli yang membeli berasaskan khabar angin.  Kita sebagai pelabur kecil lebih baik tidak membeli berasaskan khabar angin kerana jika tidak benar, harga akan kembali jatuh.  Sebaliknya jika kita menunggu pengumuman, harga akan naik hampir serta-merta selepas pengumuman menyebabkan tiada kesempatan untuk meraih untung.

Sebab itulah pada pendapat saya, lebih baik kita tumpukan perhatian kepada syarikat yang kukuh, kemudian jika syarikat tersebut mengagihkan untung atau diambil alih kerana potensinya, kita akan mendapat untung.  Sebarang cara lain memerlukan sama ada spekulasi atau maklumat orang dalam (yang salah di sisi undang-undang tetapi sukar disabutkan kesalahan).

16 Julai, 2012

KLCI Catat Rekod - Naik Lagi atau Tanda Amaran?

Situasi jangka panjang  kukuh tetapi jangka pendek membimbangkan

Indeks FBM KLCI sekali lagi mencecah tahap tertinggi dalam sejarah  kepada paras 1,636 hari ini tetapi walaupun ini satu perkembangan positif bagi pelabur saham umumnya, rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Pertama sekali walaupun ekonomi Malaysia dilihat tetap kukuh, pertumbuhannya tidaklah sekukuh pada tahun lepas. Keuntungan korporat juga dijangka mendatar, atau ada yang lebih rendah pada suku kedua ini.

Ini semua tidak menimbulkan masalah kerana berasaskan pemerhatian saya, permintaan domestik dan perbelanjaan pengguna masih lagi mantap.

Namun begitu situasi luar negara agak membimbangkan.  Menurut Warren Buffet keadaan di Eropah telah menyusut lagi dalam tempoh satu bulan lepas, walaupun di Amerika pertumbuhan kecil masih dicatatan.

Tetapi perkara yang saya khuatiri ialah indeks berada di tahap rekod sedangkan ekonomi sederhana sahaja. Harga aset hartanah juga masih kekal di paras tertinggi.

Dipetik daripada Bursastation

Walaupun prospek ekonomi Malaysia nampak sangat positif dalam jangka panjang dengan pertumbuhan mantap dijangkakan, seolah-olah terdapat 'disconnect' antara situasi semasa dan keadaan pasaran saham.

Memang sudah tentu ada faktor lain yang mempengaruhi permintaan dan pasaran, terutamanya kerana pergerakan pasaran bergantung kepada institusi besar, tetapi kita sebagai pelabur kecil harus berhati-hati.

Tidak dinafikan bahawa kenaikan boleh terus berlaku kerana sejarah menunjukkan bahawa tahap kenaikan di Malaysia masih tidaklah seperti kenaikan di Jepun pada 1980an atau di Amerika pada 1990an.

Walau apa pun, kita harus melihat konteks semasa dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini.

Pada pendapat saya dalam jangka panjang saham Malaysia pasti berpotensi besar terutamanya kerana semakin banyak dana pelaburan di Malaysia, yang pasti akan menyokong pasaran saham yang lebih rancak.

Tambahan lagi, Asia Tenggara nampak seperti mula mendapat perhatian kembali dengan pelbagai masalah yang timbul di tempat-tempat lain dunia.

Tetapi untuk tempoh terdekat, pada pendapat saya kita perlu mengamalkan sikap yang berhati-hati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini, sama ada baik ekonomi, kewangan mahupun politik.

06 Julai, 2012

Prestasi Dana Ekuiti Islam Terbaik S12012

Kenanga Syariah Growth masih terus mendahului
Pulangan 8 - 12% sasaran realistik dalam jangka panjang

Berikut adalah prestasi Dana Unit Amanah Ekuiti Islam untuk beberapa selang masa sehingga tanggal 30 Jun 2012.

http://my.morningstar.com/ap/quickrank/default.aspx
Hak cipta Morningstar


Berasaskan jadual prestasi dana unit amanah di atas, Kenanga Syariah Growth terus mendahului untuk tempoh tiga tahun dan lima tahun. Sejak saya mula membuat tinjauan dari masa ke masa dalam blog, dana ini sentiasa berada di tempat teratas.

Saya tidak perlulah mengulas tentang kedudukan semua Dana kerana anda boleh membaca sendiri tetapi perkara yang menarik ialah pulangan yang diberikan oleh dan-dana ini. dalam jangka panjang, iaitu antara tempoh 5 hingga 10 tahun.

Kita dapati bahawa walaupun dalam jangka pendek pulangan terkompaun tahunan lebih 10% boleh dicatatkan dengan mudah jika keadaan pasaran positif, dalam jangka panjang, iaitu antara 5 hingga 10 tahun, pulangan 11% adalah yang tertinggi.  Ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan dan normal.

Masalahnya ialah saya ada mendengar dan membaca pakar perancangan kewangan yang menetapkan pulangan 12% sebagai sesuatu yang  'patut' diharapkan daripada unit amanah secara umumnya.  Ini tidak logik kerana kita dana yang terbaik pun sukar melakukannya.  Ini bermakna pemilihan yang betul amat penting.

Sebenarnya pulangan lebih daripada itu, kadang kala sehingga 40%, boleh dicapai tetapi hanya dalam jangka pendek, iaitu untuk tempoh masa tertentu sahaja dan tidak berpanjangan.

Anda juga boleh meraih pulangan lebih tinggi jika timing anda betul, iaitu anda melabur semasa gawat dan menjual apabila unit amanah mencapai tahap tertinggi.  Tetapi hasil kajian penyelidikan mendapati bahawa pakar pelaburan tersohor sekali pun sukar melakukan timing dengan betul.

Justeru, apabila kita membuat ramalan pulangan yang boleh diperolehi dalam jangka panjang untuk dana pelaburan kita, ada baiknya kita menggunakan pulangan antara 8 - 12% sebagai asas untuk membuat pengiraan.

Jadual di atas membuktikan bahawa apabila melabur dalam unit amanah, anda perlu membuat jangkaan yang lebih realistik, melainkan anda sanggup melakukan market timing, yang berpotensi memberikan pulangan yang lebih tinggi, tetapi juga mendedahkan anda kepada risiko dan kos jual beli yang lebih tinggi. 

Menurut John Boggle, seorang tokoh terkenal dalam industri dana amanah, ramai pelabur menerima pulangan kurang memuaskan kerana terlalu kerap menjual beli dana, kerana berpendapat mereka pandai melakukan timing.

Kesimpulannya ialah adalah lebih baik mengurangkan risiko dan membuat jangkaan yang lebih realistik apabila melabur dalam unit amanah.

20 Jun, 2012

Bukan Kerana Bakat Tetapi Latihan Tertumpu

Talent is Overrated Dapati Latihan Tertumpu Punca Kecemerlangan

Saya baru sahaja membaca sebuah buku menarik bertajuk Talent is Overrated oleh Geoff Colvin.  Dalam bukunya, penulis meninjau segala penyelikan di samping membuat kajian sendiri tentang faktor yang menentukan kejayaan.


Penulis mendapati bahawa ahli sukan, perniagaan atau pemuzik cemerlang semuanya hebat bukan kerana bakat, tetapi disebabkan latihan keras dan tertumpu yang dilakukan selama beratus-ratus jam..

Dalam buku tersebut, beliau mendedahkan bahawa satu kajian ke atas pemain catur bertaraf Grandmaster menunjukkan bahawa ada di antara mereka yang mempunyai IQ di bawah purata, tetapi tetap menjadi pemain hebat.  Ini bermakna kemahiran permainan spesifik mereka dibina menerusi latihan gigih.

Di samping itu, beliau juga mendedahkan bahawa terdapat satu eksperimen di mana seorang dengan tahap IQ biasa, telah dilatih untuk mengingati siri nombor.  Selepas latihan selama beratus jam, beliau boleh mengingati siri 82 nombor yang dibacakan kepadanya.

Tetapi apabila orang yang sama diminta mengingati abjad pula, beliau gagal melakukannya dan tahap ingatannya sama seperti orang lain.  Ini menunjukkan bahawa untuk mencapai kejayaan latihan yang spesifik dan tertumpu diperlukan.  Ini juga menunjukkan mengapa ramai orang boleh menghafal seluruh Al-Quran jika diberikan latihan sewajarnya.

Bagi Tiger Woods, pemain golf tersohor, penulis mendapati bahawa beliau bernasib baik kerana mempunyai bapa yang pandai bermain golf sebagai jurulatih, yang sanggup meluangkan masa dan memberikan tunjuk ajar kepadanya sejak usia tiga tahun.  Ini bermakna beliau sudah mempunyai kelebihan daripada orang lain kerana telah mula berlatih lebih awal.

Menurut penulis, latihan keras yang dilakukan adalah amat spesifik dan dianggap 'tidak menyeronokkan' atau 'not fun'.  Jika ia mudah, sudah tentu lebih ramai orang yang akan mencapai tahap tertinggi.

Contoh tidak terhad kepada sukan dan muzik sahaja, malah juga kepada ahli perniagaan dan penulis memberikan contoh seperti Jack Welch dan Steve Ballmer yang pada peringkat awal pendidikan dan kerjaya mereka, langsung tidak menunjukan tanda-tanda kecemerlangan.

Selain itu, latihan tertumpu juga boleh diamalkan untuk meningkatkan kemahiran seseorang dalam bidang bahasa, penulisan dan juga penyampaian.

Kesimpulannya, jika kita hendak menguasai sesuatu kemahiran atau bidang, jangan anggap batasannya ialah bakat kita, tetapi sebaliknya hadnya ialah sejauh mana kita sanggup bekerja untuk mencapainya.  Ini menunjukkan masih belum terlambat bagi orang biasa seperti kita.

10 Jun, 2012

Menentukan Volum Dagangan Tinggi Atau Rendah

Bagaimana untuk menentukan volum dagangan tinggi atau rendah untuk sesuatu saham?

Untuk menentukan sama ada volum tinggi atau rendah, kita perlu melihat carta saham.  Biasanya perkhidmatan carta ini boleh dilanggan, seperti menerusi Bursastation (kira-kira RM20 sebulan untuk perkhidmatan asas) atau boleh didapati daripada perkhidmatan online broker saham.

Berikut adalah contoh volum dagangan bagi carta Petronas Chemicals:

Dipetik daripada Bursastation

Di bawah carta pergerakan harga saham, kita dapat lihat di garis merah dan hijau yang memaparkan paras volum dagangan.  Jika kita hanya melihat volum dari segi angka setiap hari mungkin kita tidak dapat membuat perbandingan yang tepat.  Graf sebegini memberikan kita perspektif lebih baik tentang paras tinggi rendah volum saham.

Kita dapat lihat dalam carta bahawa pada separuh kedua tahun lepas, volum dagangan agak tinggi tetapi  telah turun ke tahap yang lebih rendah selepas bulan November 2011.

Garis merah menunjukkan bahawa harga ditutup lebih rendah manakala garis hijau menunjukkan harga ditutup lebih tinggi berbanding harga penutup semalam.

Pada amanya volum saham akan meningkat dengan mendadak jika ada kenaikan atau penurunan ketara harga saham.  Bagi sesuatu saham, kita boleh melihat volum tinggi atau rendah dengan meninjau apakah tahap volum lazim bagi saham tersebut.  

Justeru, berasaskan carta ini, kita boleh tahu, sama ada volum pada hari ini tinggi atau rendah berasaskan rekod sejarahnya.

Kebanyakan saham mempunyai volum secukupnya untuk dijual beli dengan mudah. Namun begitu, bagi saham tertentu yang mana dalam seminggu, terdapat mungkin satu atau dua hari di mana langsung tiada dagangan,  anda perlu berhati-hati dkerana mungkin terpaksa menunggu untuk menyempurnakan urus niaga disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan.

Satu petanda volum yang kurang mencukupi ialah jurang perbezaan antara harga bida (belian) dan harga jualan yang tinggi.  

Contohnya ialah  bagi saham di bawah RM2.00 jika perbezaan harga bida dan harga jualan selalunya lebih daripada 2 sen,  mungkin lebih sukar sedikit untuk melupuskan saham. 

Saham seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang mengamalkan dagangan jangka pendek, tetapi tiada masalah bagi fundamental investor seperti saya.

Sebaliknya bagi saham yang perbezaan harga bida-jualan yang selalu lebih daripada 5 sen (bagi saham di bawah RM2.00) maka fundamental investor kecil pun perlu berhati-hati melainkan prospek masa depan syarikat benar-benar kukuh.

Sikap berwaspada ini perlu diambil bukan kerana faktor perniagaan syarikat, tetapi kerana bimbang sukar untuk melupuskan saham sekiranya saham perlu dijual.

06 Jun, 2012

Nilai Aset Pelaburan Masih Tinggi, Komoditi Merosot

Aset Pelaburan Tetap Di Paras Tinggi Walaupun Ekonomi Hadapi Risiko

Dalam keadaan semasa, adalah sukar untuk menentukan strategi yang harus diguna pakai untuk tempoh enam bulan akan datang kerana pada pendapat saya kedudukan aset pelaburan paling popular di Malaysia, iaitu saham, hartanah dan juga emas  berada di paras yang tinggi sedangkan terdapat beberapa risiko yang dihadapi oleh ekonomi global dan Malaysia.

Pasaran Saham

Walaupun pasaran saham dilihat telah turun daripada paras tertinggi, tetapi jika dilihat parasnya dalam jangka panjang dan dari segi P/E pasaran, nilainya bukan rendah..

Dipetik daripada Bursastation

Apabila kita tinjau pergerakan pasaran dalam tempoh 10 tahun lepas, indeks KLCI didapati masih berada di paras  antara yang tertinggi.  Kita tidak boleh mengatakan bahawa saham adalah murah dalam keadaan semasa, lebih-lebih lagi jika keuntungan terjejas akibat masalah ekonomi luaran dalam tempoh 12 bulan akan datang.

P/E pasaran Malaysia pada paras lebih kurang 15 adalah tidak tinggi dan tidak rendah. Tetapi jika keuntungan syarikat terjejas pada separuh kedua, maka P/E mungkin dianggap tinggi buat tahun ini.

Kesimpulannya ialah keadaan pasaran semasa tidak memberikan banyak peluang untuk mengintai saham undervalued (walaupun masih ada) sedangkan tinjauan ekonomi untuk enam bulan akan datang menunjukkan risiko yang agak tinggi.

Secara jujurnya, dalam keadaan semasa saya telah menambah pegangan tunai dengan mengurangkan nilai pelaburan dengan matlamat mengambil kesempatan daripada sebarang bargain yang mungkin timbul dalam tempoh enam bulan akan datang.

Mungkin unjuran saya salah (dan memang pernah dua tiga kali salah) dan pasaran terus naik, tetapi dalam keadaan semasa, saya rasa lebih selesa untuk mengelakkan kerugian.

Pasaran Hartanah

Pasaran hartanah telah dianggap sebagai terlalu tinggi sejak akhir 2010 oleh segelintir pakar, tetapi ramalan mereka agak kurang tepat kerana harga terus naik dan naik lagi terutamanya harga rumah bertanah.

Namun begitu, mungkin ada had kepada kenaikan pasaran kerana akhirnya jika sesuatu hartanah dipegang untuk pelaburan, sudah tentu ia harus memberikan hasil sewa yang munasabah. Keadaan yang berlaku sekarang ialah terdapat jurang besar antara harga rumah dan sewa yang diperolehi.

Pasaran pejabat dan pasaran kondo mewah memberikan hasil pulangan sewa yang paling rendah.  Pasaran harta bertanah juga memberikan hasil sewa yang amat rendah tetapi dalam segmen ini, harga mungkin boleh bertahan kerana permintaan tinggi daripada mereka yang membeli untuk menginap sendiri.

Pada pendapat saya keadaan pasaran hartanah adalah jelas lebih tinggi dan lebih berbahaya daripada pasaran saham.  Tetapi ini tidak bermakna harga akan jatuh dalam tempoh terdekat.  Semuanya bergantung kepada keadaan ekonomi, kadar faedah dan juga keyakinan pelabur.

Sesuatu 'bubble' boleh berterusan untuk tempoh yang lama. Cuma pandangan peribadi saya ialah risiko membeli hartanah sekarang, terutamanya segmen hartanah tertentu, adalah lebih tinggi daripada risiko melabur dalam pasaran saham.

Pelaburan Emas

Pelaburan emas pula nampaknya paling selamat dalam keadaan semasa, dan terdapat kemungkinan emas akan naik kembali jika krisis zon Euro menular.

Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa emas kini berada pada paras yang tinggi dan telah mendatar selama dua tahun.  Berikut adalah carta pergerakan harga emas sejak 1970 dalam USD.

Dipetik daripada laman web World Gold Council


Tetapi jika segala isu diselesaikan dalam masa satu atau dua tahun dan ekonomi kian pulih, adakah emas akan dapat mengekalkan kedudukannya?  Memang tidak dinafikan bahawa ada kemungkinan emas naik dalam senario tertentu, cuma risiko kejatuhan adalah lebih tinggi pada paras semasa.

Komoditi Penting

Sementara itu, harga dua komoditi penting bagi Malaysia, iaitu minyak mentah dan minyak sawit mentah telah jatuh.  Lazimnya kejatuhan menandakan penurunan permintaan global.

Namun begitu masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kejatuhan ini adalah faktor permintaan dan bekalan yang sementara atau menandakan sesuatu yang lebih besar seperti kemelesetan ekonomi global yang serius

Berikut adalah carta harga minyak mentah dan minyak sawit mentah:



Dipetik daripada laman web MPOB

Walau pun dengan keadaan ekonomi global semasa, permintaan domestik Malaysia masih kukuh.  Sejauh mana krisis Zon Euro dan ekonomi China yang semakin perlahan akan mempengaruhi Malaysia tidak diketahui kerana sukar meramalkan apa yang akan dilakukan oleh negara-negara mata wang Euro yang menghadapi krisis.

Bagi saya strategi paling selamat untuk enam bulan akan datang ialah mengekalkan hanya syarikat paling kukuh dan menunaikan pelaburan yang berisiko untuk mengumpul tunai dan bersedia mengambil kesempatan sekiranya.terdapat peluang hebat untuk membeli aset pelaburan pada harga yang rendah.