Memaparkan catatan dengan label Soalan Lazim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soalan Lazim. Papar semua catatan

30 Mac, 2015

Beli Rumah atau Labur Saham Dulu?

Saya masih belum mempunyai aset. Saya ingin tanya nasihat tuan adakah saya patut tumpukan untuk beli aset rumah dahulu atau melabur dalam pasaran?

Jawapan yang saya berikan hanyalah pandangan peribadi. 

Langkah pertama ialah membina simpanan kecemasan antara 3 - 6 bulan gaji terlebih dahulu. Selepas itu, fokus pertama anda seharusnya menabung untuk membeli rumah. Bagi saya rumah sendiri adalah sesuatu yang sangat penting, lebih penting daripada kereta atau aset lain. Ia merupakan satu keperluan asas manusia. 




Malah pelabur saham terkenal Peter Lynch pun berkata anda patut beli rumah dahulu. Bila anda membeli boleh disesuaikan mengikut keadaan pasaran, tetapi usaha membina tabungan untuk membayar wang pendahuluan harus dimulakan dan disempurnakan.

Selepas membeli rumah, barulah tabungan boleh difokuskan pada pelaburan saham. Kaedah ini ialah cara konservatif dan selamat untuk memulakan proses pengumpulan aset dan jalan menuju kebebasan kewangan.

Tetapi ada juga pilihan lain bagi anda. Jika anda masih mahu melabur dalam saham anda boleh bahagikan dana kepada dua, iaitu satu untuk beli rumah dan satu untuk melabur saham. 

Dengan cara ini, jika anda meraih untung dalam pasaran saham, maka proses pembelian rumah akan dipercepatkan, tetapi jika anda rugi proses akan dilengahkan, namun perancangan anda tidak begitu terjejas kerana masih ada separuh wang tabungan dan juga dana saham yang lebih kecil.

Jika anda seorang risk taker, anda boleh melabur dalam pasaran saham untuk membeli rumah tetapi cara ini berisiko tinggi. Jika anda untung, rumah sendiri menjadi milik anda dengan cepat tetapi jika rugi, anda mungkin perlu menyewa untuk tempoh yang lama.

Saya telah menggunakan cara kedua, tetapi perlu diingat bahawa walaupun melabur sebahagian daripada wang dalam pasaran saham, tujuan asal saya tetap sama, iaitu membeli rumah sendiri.  Rumah sendiri memberikan ketenangan fikiran terutamanya jika anda sudah berkeluarga.

Sekali lagi saya tekankan, ini pendapat peribadi.  Bila anda membeli rumah atau pangsapuri bergantung pelbagai faktor pasaran tetapi walau apa pun, wang mesti dikumpulkan terlebih dahulu. 

Ada sesetengah orang yang lebih selesa menyewa dan tidak mahu kerenah pemilikan rumah. Terpulang kepada pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, rumah sendiri ialah aset paling penting dari pelbagai aspek, bukan sahaja dari sudut kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

30 September, 2014

Guna Stop Loss Atau Tidak?

Saya menerima soalan berikut daripada pembaca. Bagaimana untuk menentukan stop loss?  Jawapannya ialah terpulang kepada anda untuk menentukan tahap stop loss. Tetapi sambil kita membincangkan subjek ini, satu lagi soalan yang lebih menarik ialah patutkah anda gunakan stop loss?

Kembali kepada soalan pertama, stop loss ialah paras di bawah harga belian asal di mana anda membuat keputusan untuk menjual demi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Paras ini anda tentukan sendiri. Ada trader letakkan paras 5% di bawah harga belian, ada yang tetapkan 7% dan pula pula yang letakkan 10%. Terpulang kepada strategi dagangan anda.

Ini bermakna jika harga saham jatuh ke paras tersebut, anda jual saham itu tanpa menggunakan budi bicara, tanpa berfikir panjang dan tanpa sebarang analisis lanjut. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kerugian besar sekiranya ada sesuatu yang tidak kena dengan saham tersebut.

Satu lagi kaedah mirip 'stop loss' dinamakan trailing stop, di mana apabila saham telah naik melebihi harga belian dan sedang terus naik, kita tetapkan satu paras di bawah harga puncak untuk 'lock in' atau merealisasikan keuntungan.

Persoalan yang lebih penting ialah patutkah anda menggunakan stop loss? Pada pendapat saya:
  1. Ya jika anda seorang trader dan
  2. Tidak jika anda seorang fundamental investor
Seorang trader lazimnya tidak membuat keputusan berasaskan prestasi kewangan dan kekuatan syarikat dan biasanya menggunakan analisis teknikal. Maka amat penting bagi mereka untuk menetapkan stop loss untuk mengehadkan kerugian, lebih-lebih lagi jika saham yang dibeli adalah saham spekulatif yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh.

Seorang fundamental investor perlu membuat keputusan berasaskan nilai dan harga saham. Ada kalanya saham jatuh buat sementara waktu tetapi fundamentals syarikat kukuh dan terdapat kemungkinan besar saham naik. Kita tak boleh jual semata-mata kerana harga jatuh.

Sebaliknya jika saham jatuh dan fundamentals syarikat mula lemah maka barulah pelabur patut mempertimbangkan untuk menjual pada harga yang terbaik yang boleh diperolehinya

Ken Fisher, salah seorang pengurus dana terkemuka dan penulis buku terkenal yang mempunyai ruangan di majalah Forbes, berkata berasaskan kajian yang dibuat, apabila harga saham mencapai paras stop loss, ia mempunyai kebarangkalian 50% untuk naik dan 50% untuk turun.

Jadi jika anda gunakan stop loss, anda mungkin rugi kerana tidak dapat memanfaatkan rebound yang berlaku. Kedua paras apa yang patut digunakan? Adakah 3%, 5%, 7% atau 10%? Penentuannya bersifat budi bicara (arbitrary) dan tidak ada paras tertentu yang terbukti lebih berkesan.

Peter Lynch, pengurus dana tersohor pada tahun 90an juga berkata stop loss tidak berkesan. Jual hanya jika ada masalah dengan syarikat atau jika kadar pertumbuhan atau prospeknya tidak seperti yang diunjurkan

Warren Buffet pula sudah tentu langsung tidak menggunakan kaedah ini. Stop loss ialah bagi mereka yang tidak sanggup membuat penilaian sewajarnya terhadap sesuatu syarikat.

Kesimpulannya, jika anda seorang trader, stop loss ialah alat berguna bagi anda dan perlu digunakan. Lebih spekulatif saham tersebut, lebih penting stop loss ditetapkan. Bagaimanapun sekiranya anda seorang pelabur berasaskan fundamentals, gunakan budi bicara sendiri dan analisis untuk mengkaji kesan kejatuhan harga dan sebabnya sebelum membuat sebarang keputusan.

20 Mac, 2014

Mengenai Waran Yang Menghampiri Tarikh Luput

Bagaimana kalau kita memegang saham waran yang akan tamat tempoh sebulan lagi. 1. Adakah kita perlu jual sekarang untuk mengelakkan saham dan duit kita hilang terus. 2. Kenapa walaupun sudah dekat tempoh, saham waran itu masih ramai lagi pembelinya? Waran yang dimaksudkan ialah Waran Marco.

Saya ada menerima soalan ini yang saya rasa amat relevan, terutamanya bagi pelabur baru.

Pertama sekali, waran sebenarnya bukan saham. Waran hanyalah hak untuk membeli saham pada harga laksana yang ditetapkan. Harga laksana waran Marco ialah 10 sen. Ini bermakna pelabur berhak beli saham Marco pada harga 10 sen sebelum tarikh luput.

Harga saham Marco pada penutup hari ini (20 Mac, 2014) ialah 17.5 sen. Ini bermakna sebelum waran itu luput, pelabur boleh melaksanakan waran tersebut.

Apabila waran dilaksanakan, ini bermakna pelabur akan membeli saham Marco pada harga 10 sen sesaham. Pelabur kemungkinan besar akan meraih untung kerana harga saham Marco sekarang ialah 17.5 sen sedangkan anda hanya perlu membayar 10 sen untuk membelinya. Potensi untung sekiranya harga tetap sama pada tarikh laksana ialah 7.5 sen.

Sementara itu, harga waran Marco ialah 6.5 sen pada penutup hari ini. Ini bermakna kalau pelabur menjual waran tersebut, pelabur akan meraih hasil 6.5 sen. Hasil ini lebih rendah sedikit daripada 7.5 sen yang diperolehi dalam kaedah di atas. Tetapi dengan cara ini, pelabur:
  1. Mendapat kepastian akan meraih 6.5 sen.
  2. Tidak perlu melalui proses pelaksanaan waran.
Selain itu, tiada jaminan bahawa harga saham Marco kekal pada 17.5 sen pada tarikh laksana, ia mungkin naik atau mungkin turun.

Mengenai soalan kedua, masih ramai orang yang mahu membeli waran tersebut kerana:
  1. Berpotensi meraih untung 1 sen dengan membuat sedikit kerja tambahan. Mereka ini lazimnya membeli dalam jumlah yang besar.
  2. Untung mereka mungkin lebih besar jika harga saham Marco naik lebih tinggi daripada 17.5 sen pada masa depan.
Pelabur yang bertanya ada dua pilihan.
  1. Cara paling mudah ialah jual sekarang dan terima hasil 6.5 sen.
  2. Keluarkan duit untuk beli saham Marco pada harga 10 sen sebelum tarikh luput dengan harapan untuk menjualnya di pasaran pada harga 17.5 sen atau lebih tinggi.
Jika cara kedua dipilih, tanya broker tentang kaedah pelaksanaan waran. Mereka lebih arif tentang hal ini.

Nota:  Jika ada kesilapan dalam artikel ini, sila maklumkan saya.

19 Februari, 2014

Patutkah Seorang Yang Tiada Ilmu atau Tiada Masa Mempelajari Ilmu Pelaburan Melabur Dalam Saham?

Warren Buffett Cadang Mereka Melabur Dalam Dana Indeks Tetapi Kaedah Ini Sukar Dilakukan Bagi Pelabur  Berlandasaskan Syariah di Malaysia

Soalan di atas sangat relevan kerana disebabkan kenaikan pasaran saham sejak 5 tahun lepas, semakin ramai orang yang mula memberi perhatian dan menunjukkan minat untuk melabur dalam saham. Sebelum saya memberikan pandangan sendiri, cuba lihat apa kata Warren Buffett.




Menurutnya pelabur yang mahu mengambil kesempatan daripada saham tetapi tiada kemahiran untuk melabur patut melabur dalam dana indeks. (Maksudnya di sini ialah dana indeks pasif dan bukannya dana indeks aktif).

Di Malaysia, ada beberapa dana indeks yang menjejak prestasi FBMKLCI tetapi ada saham komponen FBM KLCI adalah tidak patuh syariah. 

Untuk melabur secara pasif seperti yang dinyatakan oleh Buffett, terdapat satu Dana Dagangan Bursa (ETF) yang menjejak indeks yang dinamakan MyETFDJIA merangkumi 25 syarikat patuh syariah dengan modal saham terbesar di BSKL. Namun begitu prestasi ETF ini tidak sebaik prestasi FBMKLCI.

Buat masa ini tiada dana yang wujud yang menjejak FBMSha, yang merupakan indeks terbaik untuk digunakan bagi mencerminkan prestasi syarikat patuh syariah secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, pada pandangan saya jika pelabur yang tiada ilmu atau tiada masa mahu melabur dalam saham, mereka boleh:
  1. Beli MyETFDJIA dengan harapan prestasi bertambah baik pada masa depan atau menerima sahaja pulangan yang diberikan.
  2. Membeli saham patuh syariah yang merupakan komponen FBMKLCI. Kaedah seperti ini ada disyorkan oleh Pakdi (Suzardi Maulan), seorang pakar kewangan terkemuka. 
  3. Membeli sebuah dana unit amanah ekuiti yang baik dan mantap daripada syarikat yang dipercayai pada kos paling rendah dan memegang untuk jangka panjang.
  4. Luangkan masa untuk timba ilmu saham sebelum melabur sendiri dalam saham.
Pilihan kedua dan ketiga  tetap memerlukan sedikit ilmu yang dipelajari sekali dan selepas itu pelabur perlu meluangkan sedikit masa untuk membuat pemantauan

Pilihan keempat pula hanya untuk mereka yang sanggup meluangkan masa. Langkah untuk belajar dan menguasai selok-belok saham memerlukan banyak masa dan komitmen tinggi dan bersifat berterusan atau sepanjang hayat.

Seperti kata Buffett, cara paling mudah untuk melabur tanpa memerlukan ilmu atau masa ialah membeli dana indeks pasif atau ETF yang menjejak indeks.

Tetapi di Malaysia, hanya ada satu pilihan seperti ini dan indeks yang dijejak tidak begitu ideal. Justeru, pelabur boleh juga mempertimbangkan pilihan 2 hingga 4 bergantung kepada jumlah masa yang sanggup mereka luangkan.

05 November, 2013

Mengira Dividend Yield dan Perkara Berkaitannya

Jika annual dividend yield Maxis ialah 5.56%, adakah ia bermaksud 5.56% daripada harga sesaham sekarang?

Saya menerima soalan di atas daripada seorang pembaca. Soal dividen ini kadangkala boleh menyebabkan kekeliruan tetapi sebenarnya tidak begitu rumit.

Dividend yield dikira seperti berikut:

Jumlah dividen syarikat dalam setahun (sen) / harga saham semasa

Nota:  Tanda / bermaksud bahagi.

Jawapan kepada soalan di atas ialah ya, 5.56% adalah berasaskan harga sesaham sekarang. Dividend yield jika diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia ialah pulangan dividen.

Berikut adalah skrin maklumat saham firma broker saham online saya. Cuba lihat dividend yield Maxis di bahagian bawah:


Dividen yang dibayar oleh Maxis pada 2012 =  40 sen. Harga Maxis pada penutup hari perniagaan ialah RM7.19. Div yield = 0.4/7.19 = 5.56% atau 0.0556 dan dibulatkan kepada 0.06 pada skrin di atas.

Tentunya dividend yield berubah-ubah setiap hari berasaskan harga saham. Jika harga saham naik lebih tinggi, maka lebih rendah dividend yield.

Jika anda sudah memiliki saham:

Jika anda sudah memilki saham, dividend yield bagi anda ialah berasaskan harga belian anda. Andaikan anda membeli Maxis pada harga RM7.00. Maka dividend yield bagi anda ialah:

Div yield = 0.4/7.00 = 5.71%.

Kesimpulannya, jika anda belum beli saham, kira dividend yield berasaskan harga semasa, manakala jika sudah beli kira dividend yield berasaskan harga belian anda dan juga berasaskan harga semasa (sebagai salah satu ukuran penilaian untuk menentukan sama ada saham patut terus dipegang).

Peringatan Penting
  1. Perlu diingat bahawa dividend yield di atas adalah berasaskan dividen pada tahun 2012. 
  2. Untuk melihat pengumuman dividen terkini, pergi ke laman web Bursa Malaysia.
  3. Pengumuman dividen biasanya dibuat dalam sen, iaitu xx sen sesaham.
  4. Kekeliruan mungkin berlaku jika pengumuman dibuat dalam bentuk peratus.
  5. Jika dividen diumumkan dalam bentuk peratus, ia adalah berasaskan nilai par saham, BUKAN harga semasa.
  6. Jika diumumkan dalam bentuk peratus, tukarkan kepada sen dahulu sebelum mengira dividend yield.
  7. Contoh, jika dividen 10% diumumkan dan nilai par saham ialah 50 sen, maka dividen yang dibayar ialah 5 sen. (0.1 x 50 sen)
  8. Dividend yield = 0.05 / harga semasa saham semasa.
  9. Apabila mengira dividend yield, pastikan anda bahagi sen dengan sen atau ringgit dengan ringgit.
  10. Dalam contoh di atas saya telah menukarkan 40 sen kepada RM0.4

25 April, 2013

Keuntungan Masa Depan Penentu Kenaikan Harga

Bagaimana untuk meramalkan untung masa depan syarikat?

Menurut sebuah buku bertajuk Value Investing, terdapat tiga sumber nilai bagi saham, iaitu kedudukan asetnya, keuntungan semasa dan juga pertumbuhan masa depannya.  Dua faktor pertama boleh diperolehi daripada laporan kewangan dan laporan suku tahunan. Tetapi faktor ketiga memerlukan penilaian dan pertimbangan dan merupakan penentu utama sama ada sesuatu saham akan naik atau tidak..

Sebenarnya kita tidak dapat meramalkan pertumbuhan untung masa depan dengan ketepatan 100%.  Kita hanya boleh menganggarkannya. Matlamat kita ialah untuk memastikan kita membuat penilaian terbaik.  Jika kita salah, kita cuba belajar dari kesilapan.  Jika faktor yang menyebabkan ramalan untung tersasar ialah faktor yang di luar dugaan, maka kita terima hakikat tersebut.

Itulah sebabnya kita perlu membina portfolio saham dan merupakan salah satu sebab kita perlu mempelbagaikan pelaburan. Tiada siapa yang boleh membuat ramalan dan analisis yang tepat seratus peratus.  Kunci kejayaan ialah membuat lebih banyak unjuran yang betul daripada yang salah. 

Sebagai contoh, jika anda mempunyai 10 saham dalam portfolio saham anda, dan ramalan anda tepat untuk 6 saham di mana harganya naik, anda tersilap dalam dua saham di mana harganya turun, manakala bagi dua saham lagi unjuran anda tidak berapa tepat tetapi anda tidak tersilap sepenuhnya dan harga saham mendatar sahaja, anda sudah menjadi pelabur yang berjaya dan akan mengatasi sebahagian besar pelabur lain.

Jadi kita kembali kembali kepada soalan, bagaimana untuk mermalkan untung masa depan?  Berikut adalah beberapa cadangan. Anda juga boleh membaca buku-buku lain mengenai saham untuk menambah ilmu dan mendapat idea lain yang boleh dimanfaatkan jika sesuai.

1.  Melihat trend untung masa lalu dan menilai kebolehpercayannya.
Pelabur boleh menilai rekod pencapaian 10 tahun dan jika syarikat mempunyai rekod yang konsisten, ini menunjukkan bahawa syarikat konsisten. Melainkan terdapat perubahan ketara dalam industri atau pengurusan, syarikat mungkin boleh meneruskan trend petumbuhan tersebut.

2.  Kualiti pihak pengurusan
Ini merupakan perkara subjektif. Saya selalunya meninjau penarafan yang diberikan kepada syarikat dalam buku Dynaquest Stock Performance Guide sebagai satu cara menilai pengurusan.  Selain itu kenyataan yang dibuat kepada media, dalam laporan tahunan dan juga semasa melancarkan produk boleh memberikan sedikit gambaran.  Keuntungan yang konsisten juga mencerminkan pengurusan yang berkualiti.

3.  Keadaan industri
Suasana industri merupakan faktor yang boleh mempengaruhi keuntungan pada masa depan.  Sekiranya industri dijangka berkembang pesat, kebarangkalian syarikat untuk mencatatkan keuntungan juga bertambah.

4.  Menilai perancangan syarikat
Tinjau bagaimana syarikat bercadang meningkatkan jualan dan keuntungan menerusi laporan tahunan, kenyataan media, siaran akhbar dan sebagainya, termasuk rancangan menambah kapasiti atau meluaskan pasaran.

5.  Mengkaji permintaan terhadap produk syarikat
Unjurkan sama ada produk atau perkhidmatan syarikat akan terus mendapat permintaan yang tinggi atau adakah syarikat akan menghadapi persaingan sengit disebabkan pertumbuhan dan pertambahan syarikat pesaing dalam industri. Selain itu, bagi sesetengah industri seperti komoditi, harga komoditi tersebut adalah faktor penting yang menentukan keuntungan masa depan syarikat.

6.  Keadaan ekonomi
Ekonomi sudah tentu akan mempengaruhi keputusan syarikat.  Semasa ekonomi gawat, banyak syarikat akan rugi atau mengalami kemerosotan untung. Tetapi ramalan ekonomi perlu dilakukan dengan teliti, kerana kadangkala pakar pun boleh tersilap.  Kalau boleh dapatkan sumber ramalan yang berbeza sebelum membuat kesimpulan.

7.  Membaca laporan penyelidikan tentang syarikat
Banyak syarikat di Bursa Malaysia diikuti oleh para penganalisis, yang akan menulis laporan mengenai syarikat secara berkala.  Laporan ini boleh didapati menerusi laman web Bursa Malaysia, syarikat broker anda, Internet atau ringkasan yang diterbitkan di akhbar kewangan seperti The Edge.

Tempoh Masa Pelaburan

Lazimnya tempoh masa pelaburan saya ialah 5 tahun.  Tempoh satu atau dua tahun terlalu awal untuk ramalan menjadi kenyataan.  Mungkin anda bernasib baik apabila kenaikan berlaku dengan serta-merta tetapi lazimnya anda perlu bersabar sedikit.

Malah dalam keadaan tertentu, untung syarikat mungkin memuaskan tetapi harga masih tidak naik-naik, mungkin kerana kurang perhatian daripada pelabur. Ini tidak menjadi masalah selagi syarikat terus mencatatkan prestasi yang baik

Tetapi selepas tempoh tertentu, jika ramalan anda nampak seperti tidak tepat disebabkan prestasi syarikat lebih lemah daripada yang dijangka, maka anda perlu bersedia untuk menjual saham tersebut pada harga terbaik yang boleh diperolehi, walaupun jika anda mengalami kerugian.  

Kesimpulan

Seperti yang saya nyatakan sebelum, kejayaan pelaburan bergantung kepada keupayaan anda memilih lebih banyak saham yang naik daripada yang turun. Jangan terlalu risau jika ada pemilihan anda tidak tepat kerana adalah mustahil untuk membuat unjuran tepat setiap kali. Tetapi pastikan anda membuat penilaian teliti untuk meningkatkan kebarangkalian saham yang anda pilih naik dan bukannya turun.

18 April, 2013

Membeli Saham Pada Harga Berpatutan

Bagaimana menentukan harga saham yang dibeli adalah berpatutan?

Sebenarnya, untuk menjawab soalan ini secara sepenuhnya boleh mengisi satu buku penuh dan memang banyak buku yang mengupas tajuk ini.  Dalam buku saya Panduan Bijak Melabur pun ada menyentuh tentang kaedah penilaian dan pemilihan saham.

Tetapi untuk memberikan gambaran yang lebih ringkas, saya akan menerangkan kaedah yang saya gunakan untuk menentukan sama ada harga sesuatu saham berpatutan. Perlu diingat bahawa ini hanya pendapat saya dan memang ada banyak pandangan dan idea lain yang boleh dicedok daripada buku-buku pelaburan, terutamanya dalam Bahasa Inggeris.

Nisbah Harga Pendapatan atau P/E Ratio

Nsibah P/E ialah ukuran penilaian utama yang saya gunakan. Tujuan utama seseorang membeli saham ialah untuk meraih untung yang dihasilkan oleh syarikat, yang akan meningkatkan nilai syarikat tersebut.  Pelabur akan menerima manfaat daripada keuntungan ini sama ada menerusi kenaikan harga saham atau menerusi pembayaran dividen oleh syarikat.

Nisbah harga pendapatan diperolehi dengan mengambil harga saham dan membahagikannya dengan pendapatan sesaham syarikat. Contohnya jika harga ialah RM3.00, dan untung ialah 30 sen, maka nisbah harga pendapatan ialah RM3.00/0.3 = 10. 

Satu cara untuk mentafsirkan nisbah harga pendapatan 10 ialah pada harga dan untung semasa, kita akan pulang modal  dalam masa 10 tahun jika untung yang diperolehi tetap sama dalam masa sepuluh tahun akan datang.

Kita juga boleh mentafsirkan P/E sebagai berapa yang sanggup kita bayar untuk untung yang dihasilkan oleh syarikat..

Berapakah Nisbah P/E yang Berpatutan?

Secara peribadi, bagi kebanyakan saham, saya mencari P/E yang lebih rendah daripada 10. Tetapi saya juga ada membeli saham dengan P/E antara 10 dan 20 di mana prospek pertumbuhannya adalah lebih tinggi. Saya jarang membeli saham dengan P/E lebih daripada 20, melainkan ada keadaan luar biasa di  mana untung syarikat terlalu rendah pada sesuatu tahun, tetapi dijangka naik dengan ketara pada tahun seterusnya.

P/E yang kita bayar perlu dikaitkan dengan potensi pertumbuhan syarikat. Lebih tinggi potensi pertumbuhan syarikat, lebih tinggi P/E yang boleh kita terima sebagai berpatutan.

Sebagai contoh, andaikan ada dua syarikat, iaitu Syarikat A dan B.  Syarikat A mempunyai nisbah P/E 8 dan syarikat B mempunyai nisbah P/E 12.  Kedua-duanya mencatatkan pendapatan sesaham 30 sen. Harga semasa A ialah RM2.40 manakala harga semasa B pula ialah RM3.60.

Sekiranya semua perkara lain sama, maka sudah tentulah A lebih berpatutan daripada B kerana dijual pada harga lebih murah sedangkan pendapatannya sama.  Tetapi bagaimana jika saya katakan bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, keuntungan A akan naik 5% setahun sedangkan B pula akan meningkat 20% setahun?

Sekarang situasi telah berubah kerana jika benar unjuran yang dibuat, maka pastinya B lebih berpatutan kerana dalam tempoh lima tahun, pendapatan B adalah jauh lebih tinggi daripada A. Tetapi faktor ketidakpastian atau 'unknown' ialah sama ada ramalan tepat atau tidak.

Inilah yang membuatkan pelaburan saham sungguh menarik. Tiada kepastian apabila membuat keputusan membeli. Kita sebagai pelabur  bukan sahaja perlu melihat untung semasa, tetapi juga potensi untung masa depan apabila menentukan sama ada harga saham berpatutan.

Sebagai kesimpulan, kriteria pertama yang saya gunakan ialah nisbah P/E. Lebih rendah lebih baik jika semua perkara lain sama. Kemudian saya lihat potensi pertumbuhan syarikat.  Jika P/E rendah disebabkan untung dijangka merosot, maka harga saham tidak berpatutan.  Pendek kata, P/E perlu sentiasa dikaitkan dengan potensi pertumbuhan syarikat untuk menentukan sama ada harga saham berpatutan.

Dua Faktor Penting Tambahan

Dua lagi faktor utama lain yang saya tinjau ialah paras aset dan juga aliran tunai. Kedua-duanya dijadikan faktor sokongan.  Jika nilai aset ketara bersih sesaham  (net tangible asset per share) lebih tinggi daripada harga saham, saya anggap sebagai satu faktor undervaluation bonus. Walaupun kriteria ini tidak boleh diletakkan setaraf dengan untung (yang jauh lebih penting), kita tetap boleh mengunakannya sebagai kriteria penilaian.

Selain itu, saya juga meninjau aliran tunai daripada operasi (lihat cash flow from operations atau operating cash flow dalam penyata aliran tunai laporan kewangan).  Jika untung positif tetapi aliran tunai adalah negatif, kita perlu siasat sama ada terdapat masalah dalam syarikat, kerana aliran tunai ialah faktor yang mengesahkan sama untung yang dicapai adalah 'sahih' atau tidak.

Faktor Lain

Ada banyak faktor sampingan lain  yang boleh dinilai, antaranya termasuk kadar peningkatan jualan, paras hutang yang berpatutan, kedudukan inventori semasa, aset cair bersih dan faktor kualitatif seperti kekuatan pihak pengurusan.

Tetapi untuk membuat penilaian pantas, P/E, Aset dan Aliran Tunai boleh memberikan gambaran yang cukup jelas untuk menentukan sama ada saham sesebuah syarikat itu boleh dibeli pada harga yang berpatutan.

23 Januari, 2013

FBM Emas Syariah dan Prestasinya

Apakah FBM Emas Syariah? Bagaimana mengukur prestasinya?

Saya menerima soalan di atas daripada pembaca. Sebenarnya saya pernah memberikan penjelasan umum tentang indeks saham dalam satu posting pada tahun 2010. Klik sini untuk membaca artikel tersebut.

Indeks pasaran saham mengukur prestasi pasaran saham, sektor pasaran saham atau segmen tertentu pasaran saham. Indeks terdiri daripada kumpulan saham tertentu. Indeks boleh digunakan untuk:
  1. Meninjau kedudukan seluruh pasaran atau bahagian, sektor atau segmen pasaran
  2. Menjadi penanda aras atau pengukur prestasi portfolio saham atau dana
  3. Ditiru pergerakannya menerusi unit amanah atau ETF supaya pelabur boleh melabur dalam indeks tersebut.
Indeks terbahagi kepada indeks umum dan indeks syariah.  Indeks yang lazimnya menjadi rujukan umum pasaran ialah Indeks FBM KLCI, yang terdiri daripada 30 saham bermodal terbesar di Bursa Malaysia. Bagi pelaburan patuh syariah, Indeks FBM Hijrah Syariah mewakili 30 saham patuh syariah terbesar.

Walaupun indeks ini menjadi rujukan utama, ia tidak mewakili keseluruhan pasaran. Indeks yang mewakili keseluruhan pasaran ialah FBM Emas, yang meliputi 98% daripada kesemua saham di Bursa Malaysia.

Kembali kepada soalan, apakah FBM Emas Syariah? Ia terdiri daripada semua saham dalam FBM Emas yang patuh Syariah. Jadi bagi pelabur yang hanya melabur dalam saham patuh syariah, indeks FBM Emas Syariah boleh dijadikan kayu pengukur untuk membandingkan prestasi mereka. 

Selain itu, indeks ini boleh dijadikan rujukan utama untuk menilai prestasi pasaran secara keseluruhan bagi mereka yang hanya berminat dalam saham patuh syariah. Banyak dana unit amanah juga menggunakan indeks ini sebagai penanda aras untuk membandingkan prestasi dana dengan prestasi indeks.

Di bawah ialah pergerakan indeks FBM Emas Syariah untuk tempoh 1 dan 5 tahun:



Dipetik daripada Bursastation

Kita boleh mengukur prestasi indeks dengan membuat perbandingan suku tahunan, tahunan atau tempoh lebih lama. Graf di atas memberikan gambaran umum tentang kenaikan indeks ini.

Selain itu, kita juga boleh membandingkan prestasinya dengan FBM KLCI. Kita lihat perbandingan prestasi FBM KLCI dengan FBM Emas Syariah untuk tempoh lima tahun lepas.


Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa pergerakan indeks ini adalah lebih kurang seiring, dengan indeks KLCI mencatatkan prestasi lebih tinggi sedikit.

Sebenarnya pergerakan indeks hanya memaparkan gambaran umum dan maklumat latar tentang kedudukan saham secara keseluruhan untuk membolehkan kita membuat keputusan yang lebih bijak dari segi pemilihan saham dan juga unit amanah.

Sebagai contoh, jika unit amanah patuh syariah yang kita tinjau sentiasa mencatatkan prestasi lebih lemah daripada penanda arasnya, iaitu indeks FBM Emas Syariah, maka kita tahu bahawa pengurus dana tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada pelabur.

Pelabur boleh menggunakan indeks saham ini sebagai penanda aras dan alat untuk membantu  membuat keputusan pelaburan yang lebih bijak, sama ada dalam saham atau unit amanah.

07 Oktober, 2012

Patutkah Lakukan Pertukaran Dana?

Seorang pelabur telah mengemukakan beberapa soalan yang baik dan relevan tentang pertukaran dana atau fund switching dan saya jawab satu persatu.

1. Saya telah melabur dalam sebuah Dana Ekuiti sejak tahun 2007. Objektif dana ini untuk persaraan. Buat pengetahuan tuan dana ini tak pernah dijual balik hingga sekarang dan saya tiada amalkan simpanan bulanan. Cuma pernah lakukan switch ke dana bon/sukuk pada tahun 2009 oleh ejen saya tanpa pengetahuan saya.

Pada pendapat saya ejen tidak boleh melakukan switch tanpa pengetahuan pelanggan, melainkan kebenaran nyata diberikan. Bagi saya ini satu kesalahan besar dan boleh diambil tindakan. Walau apa pun, jika tukaran dilakukan pada 2009, ini bermakna ia dilakukan dengan timing yang kurang tepat. Cuba lihat carta di bawah:

Dipetik daripada Bursastation

Switching kepada dana bon/sukuk atau pasaran wang apabila nilai saham (dan juga hampir semua dana ekuiti) telah jatuh ke tahap terendah ialah satu kesilapan. Timing yang betul ialah jika switching dilakukan pada awal tahun 2008, sebelum kejatuhan.

Persoalannya bilakah switching dibuat kembali kepada dana ekuiti, sudah tentu pada tempoh yang lebih lewat iaitu apabila saham telah naik kembali. Kesannya ialah pelabur telah mengalami kejatuhan ekuiti, bertukar kepada dana bon/sukuk, kemudian tidak mengambil kesempatan daripada rebound peringkat awal pasaran. Ini bermakna pelabur rugi dua kali, pertama kerana kejatuhan dana ekuiti, kedua kerana gagal mengambil kesempatan daripada rebound. Adalah lebih baik jika pelabur beli dan pegang sahaja.

Inilah risiko melakukan switching, jika dibuat dengan betul, anda boleh untung besar, tetapi jika tidak pelabur mungkin rugi besar. Warren Buffett, John Boggle, Peter Lynch dan beberapa pelabur terkenal lain tidak tahu bila pasaran akan naik atau turun. Tetapi jika anda dengar ramai penganalisa dalaman firma pengurus dana dan beberapa ejen unit amanah, seolah-olah mereka tahu bila pasaran akan naik atau turun. Siapa yang patut anda percaya? Saya sendiri pun tidak pandai meramalkan pasaran (walaupun satu masa dulu semasa mula melabur saya rasa saya mampu melakukannya - ternyata saya tersilap).


2. Adakah tindakan bijak jika membiarkan dana ini sehingga saya bersara dengan cuma ada transaksi auto re-invest dividen setiap tahun. Jika harga dana jatuh baru saya buat topup investment.

Saya rasa jalan ini paling selamat dan agak konservatif. Cuma masalahnya ialah apakah definisi kejatuhan harga dana. Bagaimana kalau dana mendatar dan menaik untuk tempoh yang lama, kita mungkin terlepas kenaikan tersebut kerana tidak membeli sebab harga dana tidak pernah jatuh.

Secara peribadi saya suka membiarkan dana itu sehingga bersara seperti yang dinyatakan di atas, cuma topup itu saya akan lakukan secara bulanan dalam jumlah kecil, tidak kira pasaran naik atau turun. Ini jalan yang paling selamat.


3.Bagaimana pula tindakan ini pula? Bila harga dana ekuiti mencapai tahap tertinggi dan saya lakukan pertukaran dana ke dana bon di mana tiada caj di kenakan oleh Public Mutual untuk lock harga. Selepas harga NAB terendah saya akan kembali semula melakukan pertukaran dana ke dana ekuiti dan akan dikenakan caj swiching sebanyak RM25 tanpa menentukan berapa banyak nilai amaun untuk pertukaran.

Caj yang dikenakan adalah kecil dan tidak menjadi masalah atau isu di sini. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana pelabur tahu apakah harga tertinggi dan apakah harga terendah? Maklumat ini hanya diketahui selepas ia berlaku, atau orang putih kata 'with the benefit of hindsight'. Seperti yang saya katakan tadi, kalau ramalan pelabur betul, beliau boleh meningkatkan pulangan, tetapi jika salah, mungkin menjejaskan pulangan yang diterima untuk jangka panjang.

Bagaimana jika dana dijual dan harga dana terus naik? Itulah dilema yang dihadapi pelabur. Market timing adalah sesuatu yang sukar dilakukan, dan mustahil dilakukan dengan tepat setiap kali, walaupun oleh pelabur tersohor.

4. Dalam buku Panduan Pelaburan Unit Amanah tiada menceritakan terperinci tentang pertukaran dana (Pertukaran Dana dari Dana Ekuiti ke Dana Bon/Sukuk).

Sebenarnya ini sama seperti keputusan menjual atau membeli dana lain, cuma tanpa membabitkan kos kepada pelabur. Saya tidak menyentuh perkara ini secara langsung kerana dengan kos lebih rendah atau kadangkala tiada kos langsung, pelabur mungkin cenderung untuk bertukar-tukar dana.

Kedua, secara peribadi saya kurang setuju dengan pandangan pihak yang terlibat dalam industri yang menganggap kita boleh meramalkan dengan agak tepat bila untuk bertukar. Tokoh tersohor industri unit amanah John Boggle sendiri meminta pelabur tidak melakukan timing. Saya setuju dengan pendapat beliau sekarang.  Mungkin saya akan menambah perkara ini dalam edisi kedua untuk menerangkan risiko dan potensi untung atau rugi strategi fund switching ini.

Akhir kata, market timing masih ok dan tidak merugikan jika unit dijual pada fasa kenaikan saham (seperti sekarang), jika tersilap, anda hanya tidak menerima untung lebih tinggi.  Tetapi perkara yang tidak patut dilakukan ialah  menjual apabila saham sudah jatuh teruk.  Bukan sahaja kerugian sudah dialami, tetapi kita mungkin terlepas rebound saham.  Secara peribadi pula, faktor yang mendorong saya untuk bertukar dana ialah prestasi dana berbanding dana lain, dan bukannya market timing.

08 Ogos, 2012

Bolehkah Labur Saham Secara Bulanan?

Berikutan posting lepas yang menerangkan tentang pelaburan bulanan dalam unit amanah, seorang pembaca mengemukakan soalan yang baik tentang pelaburan bulanan saham.  Berikut adalah soalan beliau.

Adakah kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk pelaburan saham?

Dari segi teknikal memang boleh tetapi kaedah ini hanya kos efektif jika pelaburan dibuat dalam jumlah yang cukup besar untuk mencapai kos urus niaga minimum.

Sebagai contoh, kita andaikan kos transaksi ialah RM12 atau 0.42% bagi setiap urus niaga, berasaskan nilai yang lebih tinggi.  Ini merupakan kos urus niaga lazim menerusi Internet (kos lebih rendah RM8 ditawarkan oleh broker tertentu bagi urus niaga tunai).

Jika kita membuat pelaburan bulanan RM200, kita akan membayar sekurang-kurangnya RM12 (serta beberapa kos lain yang amat kecil).  Ini bermakna kita membayar kos 6% untuk urus niaga kita.

Sebaliknya jika kita melabur RM1,000 setiap bulan, dengan kos urus niaga RM12, peratus kos urus niaga kita turun kepada 1.2% sahaja.

Sementara itu, jika kita melabur RM2,900 setiap bulan, kos urus niaga kita ialah 0.42%.  Maka untuk mendapatkan kos paling minimum, kita perlu melabur sekurang-kurangnya RM2,900. (Nota: Nilai ini lebih rendah jika kos urus niaga minimum anda ialah RM8)

Pelaburan bulanan saham boleh dibuat, cuma lebih besar jumlahnya, lebih kecil kos yang anda tanggung.  Jika anda mahu melabur jumlah bulanan yang kecil, cara paling menjimatkan kos ialah untuk mengumpulkan wang terlebih dahulu, katakan selama enam bulan, dan melabur hanya dua kali setahun

Sekiranya anda membuat pelaburan saham secara bulanan atau berkala, satu lagi pertimbangan yang perlu dibuat ialah saham yang dibeli.  Harus diingat bahawa jika kaedah ini digunakan untuk unit amanah, dana yang sama boleh dibeli kerana dana tersebut sememangnya sudah mempunyai pelbagai saham (dana ekuiti) atau campuran saham dan sukuk (jika dana bercampur).

Maka kita sebagai pelabur juga perlu mempelbagaikan pelaburan.  Sebagai contoh, jika sudah dua tiga bulan membeli satu saham, mungkin pada bulan keempat kita ubah kepada saham lain pula.  Kita teruskan proses ini sehinggalah kita mempunyai bilangan saham yang terpelbagai dalam portfolio.

Mungkin untuk melindungi portfolio daripada terlalu terdedah kepada risiko saham khusus, pastikan tiada saham yang merangkumi lebih daripada 10% daripada portfolio anda.  Bagaimanapun, ini boleh diabaikan di peringkat awal apabila baru sahaja membina portfolio.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan jika menggunakan kaedah pelaburan bulanan ialah kita perlu memantau prestasi setiap saham yang kita beli.  Ini berbeza daripada pelaburan dengan unit amanah yang diuruskan oleh pengurus profesional, yang mana kita hanya perlu memantau prestasi unit amanah tersebut secara keseluruhan.

Kesimpulannya ialah pelaburan saham bulanan boleh dilakukan, cuma perlu disesuaikan supaya dapat mengurangkna kos dan memerlukan pemantauan dan penilaian yang lebih teliti daripada pelabur.

25 Julai, 2012

Perihal Pengumuman Agihan & Pengambilalihan

Mengapa ada hari di mana urus niaga di dalam "historical price data" ditandakan sebagai "_". Adakah sebab tiada urusniaga? Bagaimana kita ingin mengetahui tiada urusniaga? Contohnya saham Adventa pada tarikh 6,9 dan 10 Julai. Saya ada baca berita tawaran membeli saham tersebut pada 11 Julai oleh pengarah syarikat di dalam The Star. 

Dinyatakan pemegang saham akan menerima distribution RM1.70.  Dari carta ada kenaikan pada hari berita disiarkan. Bagaimanapun saya tidak faham kenapa tiada urusniaga pada tarikh dinyatakan di atas.  Adakah saham ini masih boleh dibeli? Menurut pemahaman saya, pembelian, saham ini akan menguntungkan disebabkan ada pembahagian untung jualan untung dan harga saham tersebut.

Saya menerima soalan di atas dan ingin berkongsi jawapan bersama pembaca.

Pada tarikh di atas, kemungkinan tiada urus niaga disebabkan dagangan saham digantung. Lazimnya apabila pengumuman besar seperti ini dibuat, saham akan digantung dagangannya beberapa hari sebelum itu.

Pembelian saham biasanya hanya menguntungkan sebelum pengumuan dibuat. Selepas pengumuman, kenaikan akan berlaku hampir serta-merta apabila dagangan dibuka untuk mencerminkan pembahagian untung tersebut.Malah,  sejurus selepas untung diagihkan kepada pemegang saham pada tarikh yang ditetapkan, harga akan turun semula sebanyak mana pembahagian untung yang dibuat.

Ini bermakna melainkan kita ada maklumat dalam yang menunjukan ada pembahagian untung, kita tidak ada cara untuk mengambil kesempatan daripada pengumuman seperti ini. Ini adalah sama seperti pengumuman dividen, di mana harga akan naik sejurus selepas dividen diumumkan.

 Kita hanya boleh untung jika beli sebelum itu. Adalah mustahil untuk meramalkan bila pengumuman dibuat melainkan ada maklumat daripada orang dalam. Lebih baik beli syarikat yang mantap untuk jangka panjang dan tunggu pengumuman dividen (jika ada) atau kenaikan harga saham kerana keupayaannya mencatatkan keuntungan.

Satu lagi jenis pengumuman ialah pengambilalihan syarikat.  Jika sesebuah syarikat tersenarai akan diambil alih, proses yang sama juga berlaku di mana harga saham akan naik sejurus selepas pengambilalihan diumumkan.  Kenaikan biasanya berlaku pada paras sedikit di bawah harga pengambilalihan yang diumumkan.

Namun begitu, sebelum pengumuman dibuat, pasti ada kenaikan harga beransur-ansur kerana orang dalam sudah tahu tentang perkara ini dan juga ada pembeli yang membeli berasaskan khabar angin.  Kita sebagai pelabur kecil lebih baik tidak membeli berasaskan khabar angin kerana jika tidak benar, harga akan kembali jatuh.  Sebaliknya jika kita menunggu pengumuman, harga akan naik hampir serta-merta selepas pengumuman menyebabkan tiada kesempatan untuk meraih untung.

Sebab itulah pada pendapat saya, lebih baik kita tumpukan perhatian kepada syarikat yang kukuh, kemudian jika syarikat tersebut mengagihkan untung atau diambil alih kerana potensinya, kita akan mendapat untung.  Sebarang cara lain memerlukan sama ada spekulasi atau maklumat orang dalam (yang salah di sisi undang-undang tetapi sukar disabutkan kesalahan).

10 Jun, 2012

Menentukan Volum Dagangan Tinggi Atau Rendah

Bagaimana untuk menentukan volum dagangan tinggi atau rendah untuk sesuatu saham?

Untuk menentukan sama ada volum tinggi atau rendah, kita perlu melihat carta saham.  Biasanya perkhidmatan carta ini boleh dilanggan, seperti menerusi Bursastation (kira-kira RM20 sebulan untuk perkhidmatan asas) atau boleh didapati daripada perkhidmatan online broker saham.

Berikut adalah contoh volum dagangan bagi carta Petronas Chemicals:

Dipetik daripada Bursastation

Di bawah carta pergerakan harga saham, kita dapat lihat di garis merah dan hijau yang memaparkan paras volum dagangan.  Jika kita hanya melihat volum dari segi angka setiap hari mungkin kita tidak dapat membuat perbandingan yang tepat.  Graf sebegini memberikan kita perspektif lebih baik tentang paras tinggi rendah volum saham.

Kita dapat lihat dalam carta bahawa pada separuh kedua tahun lepas, volum dagangan agak tinggi tetapi  telah turun ke tahap yang lebih rendah selepas bulan November 2011.

Garis merah menunjukkan bahawa harga ditutup lebih rendah manakala garis hijau menunjukkan harga ditutup lebih tinggi berbanding harga penutup semalam.

Pada amanya volum saham akan meningkat dengan mendadak jika ada kenaikan atau penurunan ketara harga saham.  Bagi sesuatu saham, kita boleh melihat volum tinggi atau rendah dengan meninjau apakah tahap volum lazim bagi saham tersebut.  

Justeru, berasaskan carta ini, kita boleh tahu, sama ada volum pada hari ini tinggi atau rendah berasaskan rekod sejarahnya.

Kebanyakan saham mempunyai volum secukupnya untuk dijual beli dengan mudah. Namun begitu, bagi saham tertentu yang mana dalam seminggu, terdapat mungkin satu atau dua hari di mana langsung tiada dagangan,  anda perlu berhati-hati dkerana mungkin terpaksa menunggu untuk menyempurnakan urus niaga disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan.

Satu petanda volum yang kurang mencukupi ialah jurang perbezaan antara harga bida (belian) dan harga jualan yang tinggi.  

Contohnya ialah  bagi saham di bawah RM2.00 jika perbezaan harga bida dan harga jualan selalunya lebih daripada 2 sen,  mungkin lebih sukar sedikit untuk melupuskan saham. 

Saham seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang mengamalkan dagangan jangka pendek, tetapi tiada masalah bagi fundamental investor seperti saya.

Sebaliknya bagi saham yang perbezaan harga bida-jualan yang selalu lebih daripada 5 sen (bagi saham di bawah RM2.00) maka fundamental investor kecil pun perlu berhati-hati melainkan prospek masa depan syarikat benar-benar kukuh.

Sikap berwaspada ini perlu diambil bukan kerana faktor perniagaan syarikat, tetapi kerana bimbang sukar untuk melupuskan saham sekiranya saham perlu dijual.

14 Mei, 2012

Perihal Dividen Saham II

Assalamualaikum, bagaimana pula pengiraan dividen yang diberi dalam bentuk peratus? Sila beri pencerahan. Terima kasih.

Waalaikumsalam. Saya menerima soalan di atas daripada pembaca. Sebenarnya dividen saham boleh diumumkan dalam dua cara, iaitu dalam bentuk sen dan juga dalam bentuk peratus.

Kalau dividen diumumkan dalam bentuk sen, ini bermakna sen sesaham.  Contohnya, jika dividen 10 sen diumumkan, maka anda akan menerima dividen 10 sen untuk setiap saham yang dipegang.

Sebaliknya jika diumumkan dalam bentuk peratus, ia merujuk kepada peratus berbanding nilai par saham.  Sebagai contoh, jika dividen 10% diumumkan dan  nilai par saham ialah 1.00, maka dividen 10 sen sesaham akan dibayar.

Sebaliknya jika dividen 10% diumumkan dan nilai par saham ialah 50 sen, maka dividen sebanyak 5 sen akan dibayar.

Kebanyakan pengumuman dividen sekarang dibuat dalam bentuk sen kerana lebih jelas dan memudahkan pengiraan dividend yield atau pulangan dividen.

Akhir sekali, peratus pembayaran dividen tidak harus dikelirukan dengan dividen yield.  Peratus bayaran dividen adalah berasaskan nilai par, sedangkan dividen yield dikira dengan membandingkan harga belian anda (jika anda memiliki saham tersebut) atau harga pasaran (jika anda bercadang membeli saham tersebut).

Contohnya, jika dividen 10% diumumkan dan nilai par ialah 50 sen.  Apakah dividend yield atau pulangan dividen yang diterima jika anda membeli saham pada harga RM1.25?

Pertama sekali, tukar dividen daripada bentuk peratus kepada sen.  Jika dividen 10% dan nilai par ialah 50 sen maka 10% x 50 sen = 5 sen.

Pulangan Dividen  ialah 5 sen / RM1.25 =  4%.

Harap maklumat ini dapat membantu.

11 April, 2012

Pilihan Pembiayaan Modal Kerja Islam

Boleh terangkan tentang pembiayaan modal kerja dalam perbankan Islam? Bagaimanakah produk yang ditawarkan? Adakah murabahah, mudharabah, musyarakah termasuk dalam kategori pembiayaan modal kerja?

Bagi pembiayaan modal kerja, kemudahan yang ditawarkan adalah mirip overdraf perbankan konvensional tetapi diubah untuk mematuhi keperluan syariah dan ciri kemudahan adalah berbeza di antara bank.

Saya dapati ada pelbagai kontrak yang digunakan, termasuk Bai Al' Inah, Bai Murabahah dan Bai Bithaman Ajil. Semuanya menggunakan konsep jualan dan bayaran balik tertunda, dan bukannya Mudarabah atau Musyarakah.  Berikut adalah maklumat yang saya kumpulkan daripada beberapa Bank.

CIMB

Term Financing-i
Menggunakan konsep Bai' Bithaman Ajil atau Bai' Al' Inah dan disediakan untuk perusahaan dan syarikat perniagaan. Untuk pembelian aset tetap, modal, modal kerja, pembiayaan penyambung dan segala tujuan lain. Ditawarkan pada kadar untung tetap atau berubah.

Cash Line-i
Untuk modal kerja jangka pendek, kemudahan ini ditawarkan dengan kadar siling yang ditetapkan. Produk menggunakan konsep Bai Bithaman Ajil and Bai Al' Inah.  Tiada yuran dikenakan bagi bahagian pembiayaan yang tidak digunakan.
 
Bank Muamalat

Murabahabah Working Capital Finance
MWCF-i boleh digunakan oleh pelanggan untuk beli barang dagangan dan juga bahan mentah.  Kemudahan ini diberikan utnuk membiayai keperluan modal kerja jangka pendek di mana Bank membelikan produk dan pelanggan membayar balik secara tertunda.


Maybank

Produk Maybank dinamalan Cash Line-i seperti CIMB tetapi mengggunakan konsep Murabahah sepertu Bank Muamalat. Membolehkan pelanggan memanfaatkan pembiayaan untuk membeli barangan untuk perniagaan mereka.

OCBC Al Amin

Juga menggunakan nama Cash Line-i tetapi menggunakan kontrak Al' Inah.  Digunakan untuk membiayai modal kerja untuk jangka pendek

Al Rajhi

Produk paling hampir dengan pembayaan modal kerja dinamakan structured commodity financing, digunakan untuk membeli barangan khusus di mana bank membiayai dulu perbelanjaan tersebut dan pembeli membayar balik secara ansuran.  Kontrak Bai Bithaman Ajil digunakan.

Secara peribadi, saya akan memilih produk yang menggunakan konsep Murabahah dan mengelakkan Al' Inah.  Murabahah ialah satu kontrak jual beli dengan elemen bayaran tertunda.  Ini bermakna pembeli meminta Bank untuk membeli aset pada kos (harga belian) dan sebagai balasan Bank akan menjual aset kepada pembeli pada margin untung yang dipersetujui di dalam harga jualan. Harga jualan seterusnya perlu dibayar secara tertunda,

Secara kesimpulannya, jika  membiayai operasi perniagaan, lazimnya kontrak yang digunakan adalah kontrak jual beli seperti yang disebutkan di atas. Ada juga bank yang menggunakan konsep ijarah untuk membeli aset besar terkhusus (bukan untuk modal kerja).

Sila hubungi Bank untuk maklumat lanjut.  Kalau tak silap saya, aliran tunai perniagaan anda menjadi antara faktor paling penting untuk menentukan sama ada pembiayaan diberikan atau tidak. 

Nota: Saya tidak mempunyai kelayakan khusus dalam kewangan Islam tetapi telah menyelidik maklumat untuk membantu pembaca. Harap maklumat ini dapat membantu. Jika ada kesilapan sila betulkan.


05 Mac, 2012

Soalan Mengenai Takaful dan Pelaburan

Saya ingin menjawab beberapa soalan seorang pembaca tentang Takaful dan pelaburan. Untuk makluman, terdapat dua jenis kombinasi antara takaful dan pelaburan iaitu:
  1. Dana unit amanah yang menawarkan perlindungan Takaful 
  2. Takaful yang menawarkan ciri pelaburan.
Berikut adalah soalan yang dikemukakan:

1.  Adakah pelabur perlu kekalkan sejumlah wang/unit dalam dana bagi:
  • mengekalkan kelangsungan pelaburannya dalam sesebuah dana?
  • melayakkannya mendapat faedah perlindungan Takaful yang ditawarkan oleh pengurus dana?

Untuk memastikan kelangsungan pelaburan, pelabur perlu mengekalkan jumlah unit tertentu dalam akaun. Bilangan unit minimum ini bergantung kepada syarikat pengurus dana. Ada yang menetapkan 250 unit, ada pula 500 unit. Baca prospektus dana atau tanya ejen unit amanah anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bahagian kedua soalan adalah berkaitan dana unit amanah yang menawarkan perlindungan Takaful (dan bukannya takaful berkaitan pelaburan).  Nilai minimum untuk mendapatkan perlindungan takaful bergantung kepada syarikat pengurus dana.

Sebagai contoh, Public Ittikal menawarkan Takaful nyawa, kehilangan upaya dan juga kemalangan peribadi.  Jumlah unit minimum yang melayakkan pelabur menerima perlindungan ialah 5,000. Jika jumlah unit jatuh di bawah paras itu, maka takaful dibatalkan.  Setiap unit memberikan perlindungan bersamaan RM1.00. Perlindungan maksimum sehingga RM100,000 diberikan.

Bagi dana lain yang menawarkan Takaful, sila baca prospektus untuk menentukan kelayakan minimum yang ditetapkan untuk mendapatkan perlindungan .


2.  Dalam konteks pelaburan melalui produk Takaful berkaitan pelaburan (investment linked takaful), siapakah pengurus dana? Sebagai contoh bagi Prudential BSN Takaful, adakah Prudential BSN Takaful Berhad atau Eastpring Investment Berhad (dulunya Prudential Fund Management)?
 .
Syarikat takaful tidak melaburkan wang tersebut sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pengurus dana. Dalam kes ini, pengurus dana ialah Easstpring Investment Berhad.  Syarikat lain juga berbuat demikian, ada dengan syarikat dalam kumpulan sendiri, ada dengan firma luar, terutamanya jika syarikat Takaful tersebut tidak terlibat dalam bidang pengurusan dana.


3.  Kenapa dana yang disediakan oleh produk takaful berkaitan pelaburan tidak tersenarai dalam senarai dana patuh syariah SC?

Saya tidak 100 peratus pasti, tetapi setahu saya senarai tersebut adalah senarai dana unit amanah, sedangkan dana takaful berkaitan pelaburan tidak boleh dimasukkan dalam kategori sama kerana tidak  dijual beli kepada orang ramai melainkan mereka membeli produk takaful. Lazimnya setiap syarikat mempunyai Penasihat Syariah sendiri, maka tanggungjawab terletak di tangan mereka untuk memastikan dana ini patuh syariah..


4. Apakah pandangan tentang prestasi dana yang diuruskan oleh Eastprings Investments Berhad?

Rasanya penilaian dan pertimbangan adalah subjektif.  Tetapi cara untuk membuat penilaian ialah mengambil tempoh tertentu, katakan 1, 3 atau 5 tahun dan:
  • Bandingkan prestasi dengan dana-dana lain dalam kategori yang sama
  • Bandingkan prestasi dengan dividen Tabung Haji
  • Bandingkan prestasi dengan penanda aras dana
 Ini akan memberikan  gambaran menyeluruh tentang prestasi dana dan sama ada anda patut melabur di dalamnya.

19 Oktober, 2011

Perbezaan 'Technical Buy' Dengan 'Buy'

Cadangan dibuat menggunakan kaedah analisis berbeza

Jika anda rajin membaca laporan penyelidikan daripada syarikat broker atau membaca laporan penyelidikan ringkas di  theedgemalaysia.com, anda mungkin pernah melihat syarikat broker membuat cadangan technical buy atau technical sell atas saham tertentu.

Apakah perbezaan antara 'technical buy' dan 'buy' biasa?

Syarikat broker saham lazimnya ada dua fungsi penyelidikan, iaitu bahagian teknikal dan asas (fundamental).  Bahagian teknikal ini membuat analisis berasaskan carta, volum dan bekalan dan permintaan yang bersifat jangka pendek.

Lazimnya faktor teknikal  tidak menyentuh tentang kekuatan asas syarikat dan kadangkala syarikat yang tidak begitu kukuh pun boleh masuk dalam senarai jika faktor teknikal member isyarat bahawa terdapat permintaan bagi saham ini.

Pelabur perlu prihatin bahawa technical buy ini adalah bersifat jangka pendek dan perlu dipantau dari masa ke masa. Apabila membeli berasaskan technical buy, anda perlu menetapkan stop loss dan juga target price untuk meraih untung.

Ini berbeza daripada cadangan buy biasa, yang mana analisis dibuat berasaskan kekuatan perniagaan syarikat dan sasaran harga ditetapkan berasaskan potensi syarikat mencatatkan keuntungan pada masa depan.

Jika ada berdagang dalam saham, cadangan technical buy atau technical sell relevan untuk anda.  Sebaliknya jika anda melabur berasaskan kekuatan asas syarikat seperti saya, anda perlu memberi tumpuan kepada analisis berasaskan fundamentals.

Sementara itu, selain daripada cadangan buy and sell, anda mungkin menemui beberapa cadangan lain yang sebenarnya sama tetapi menggunakan istilah lain.

Bagi cadangan beli saham, istilah yang digunakan termasuk buy, overweight dan accumulate. Bagi cadangan pegang saham, istilah yang digunakan termasuk hold, market perform dan neutral.  Sementara itu bagi cadangan jual saham pula, istilah yang mungkin digunakan ialah sell, underperform dan underweight.

07 Julai, 2011

Kenapa Tak Masukkan FCPO dan FKLI?

Kerana saya bukan pakar derivatif dan tidak berminat menceburinya

Seorang pembaca bertanya kenapa saya tidak memasukkan FCPO dan FKLI dalam e-book Panduan Asas Saham.  Sebenarnya pembaca blog juga akan mendapati saya tidak menulis tentang derivatif dalam blog saya kecuali jika untuk menjelaskan cirinya sahaja, bukan untuk menerangkan cara buat duit dengannya.

Berikut adalah sebab lain saya tidak menulis tentang FCPO dan FKLI.

Walaupun saya bukan pakar, saya pernah mempelajarinya di bawah seorang Prof tersohor di UIA yang memang dianggap autoriti dalam bidang ini.  Namun begitu prinsip saya ialah labur dalam sesuatu yang hanya mempunyai nilai ekonomi (economic value added).

Pertama sekali derviatif seperti FCPO dan FKLI ialah zero sum transaction di mana jika anda untung, bukan sebabkan ada nilai tambahan yang dihasilkan dalam ekonomi, sebaliknya anda untung sebab ada orang lain yang rugi.

Sebaliknya jika anda membeli saham, walaupun anda pegang untuk satu hari, syarikat yang dimiliki mempunyai operasi dan ada nilai yang dibawa kepada ekonomi kerana syarikat membayar gaji, menghasilkan produk dan menjual produk dan sebagainya.

Perlu diingat ialah walaupun FCPO asasnya merupakan niaga hadapan minyak sawit, yang merupakan komoditi sebenar, hampir semua urus niaga dan dagangan bukan bertujuan untuk 'take delivery' produk yang diperdagangkan.

Bagi saya dagangan hadapan hanya mempunyai komponen value added jika anda melakukan urus niaga lindung nilai (hedging) atau anda benar-benar mahu 'take delivery' produk minyak sawit tersebut.

Sementara itu, FKLI pula tidak patuh syariah kerana ada saham dalam Indes Komposit Kuala Lumpur yang tidak patuh syariah.  Justeru, kalau pun saya berminat, saya tidak boleh terlibat dalam urus niaga FKLI.

Kesimpulannya, keputusan saya untuk melibatkan diri atau menimba kepakaran dalam sesuatu bidang bergantung kepada sama ada ia 1) patuh syariah 2)  mempunyai nilai ekonomi 3) saya berminat dalam bidang tersebut; dan bukan setakat sama ada boleh buat duit atau tidak.

Perhatian: Ini hanyalah pandangan peribadi. Mereka yang berminat dan tidak sependapat dengan saya mengenai dua instrumen derivatif ini boleh menimba ilmu dan membaca pelbagai buku dan blog tentang kedua-dua instrumen tersebut.

27 Jun, 2011

Soalan Unit Amanah: Beli Menerusi Ejen atau Online?

Saya menerima beberapa soalan mengenai unit amanah daripada seorang pembaca dan saya rasa sesuai untuk dikongsi jawapannya bersama pembaca

1. Apakah pendapat saudara tentang Unit Amanah Public Mutual?

Pada pendapat saya, Public Mutual serta beberapa syarikat lain adalah antara yang terbaik di Malaysia secara keseluruhannya.  Saya sendiri ada memiliki dana daripada Public Mutual.

Ini bukan bermakna syarikat lain kurang baik, malah ada beberapa syarikat yang mempunyai dana yang lebih cemerlang dalam jangka masa tertentu, tetapi secara keseluruhannya Public Mutual memang bagus.

2. Saya ingin menjadi agen unit amanah syariah Public Mutual. Di samping dapat meningkatkan pendapatan, saya juga dapat menambahkan ilmu berkaitan unit amanah.

Saya rasa tidak salah untuk menceburi bidang ini. Tetapi cuba tanya sama ada anda boleh mulakan secara sambilan terlebih dahulu, sambil mengekalkan kerjaya anda sekarang.

Dengan cara ini, jika anda rasa tak sesuai dalam tempoh masa tertentu, anda masih boleh kembali kepada tugas anda.

3. Kini terdapat unit amanah yang boleh dibeli online, termasuklah unit amanah syariah Public Mutual sendiri (saya membuat carian maklumat di internet). Adakah saya patut batalkan sahaja niat untuk menjadi agen unit amanah? Kerana orang mungkin lebih mudah berurusan secara online kerana lebih murah berbanding berurusan dengan agen.

Sebenarnya masih ramai orang memerlukan perkhidmatan ejen.  Ramai yang tak tahu hujung pangkal tentang unit amanah dan perancangan kewangan. Justeru perkhidmatan nilai tambah yang diberikan oleh ejen adalah amat berguna, dengan syarat ejen itu adalah seorang perancang kewangan yang mantap.

Anda mungkin terperanjat untuk mengetahui bahawa walaupun saya sendiri boleh membeli unit amanah secara online, saya tetap menggunakan perkhidmatan ejen sebab saya memerlukan maklumat tertentu daripada ejen.  Tetapi bagi jual beli saham memang saya berurus niaga online.

Pada pandangan saya, ada pasaran untuk kedua-dua perkhidmatan ejen dan juga pembelian online.

4. Saya ingin membeli unit amanah syariah Public Mutual. Apakah pendapat saudara: lebih baik secara online atau dengan agen?

Cuba tentukan apa yang anda perlukan.  Adakah anda perlukan perkhidmatan perancangan dan nasihat yang diberikan oleh ejen.  Jika anda sendiri sudah fasih dalam selok-belok pemilihan unit amanah dan tidak memerlukan maklumat khusus daripada mereka, sila beli online untuk menjimatkan kos.

Anggaplah kos jualan ejen yang lebih mahal sebagai kos perkhidmatan perancangan kewangan.  Jika anda tidak memerlukannya, sila beli menerusi Internet.