06 November, 2008

Beli MyETFDJ Sebagai Proksi Pasaran

MyETFDJ Merangkumi 25 Saham Patuh Syariah Bermodal Besar

Jika anda tiada masa atau tidak mahir untuk menilai saham, tetapi anda tetap mahu melabur dalam pasaran saham untuk mengambil kesempatan daripada harga saham yang rendah sekarang ini, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli MyETFDJ, iaitu Dana Dagangan Bursa atau ETF yang patuh Syariah.

ETF sebenarnya ialah sejenis instrumen yang menjejak indeks. Bagi MyETFDJ, indeks yang dijejak ialah My ETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25, meliputi 25 saham patuh syariah bermodal terbesar di Malaysia. Justeru, saham-saham ini bolehlah dianggap sebagai proksi kepada pasaran saham Malaysia umumnya. Apabila anda membeli satu unit, anda telah mempelbagaikan pelaburan dalam 25 saham tersebut. Kejatuhan satu saham tidak akan menjejaskan pelaburan anda dengan ketara.

MyETFDJ boleh dijual beli seperti saham biasa di pasaran, dengan kos broker biasa, dalam jumlah minimum 1 lot (100 saham). Tetapi untuk menikmati kos urus niaga paling rendah, pembelian sekurang-kurangnya 3,000 unit disyorkan bagi pembelian online atau 10,000 unit bagi pembelian menerusi broker. Prestasi MyETFDJ setakat ini adalah seperti berikut:

Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Kita dapat lihat bahawa sejak dilancarkan, MyETFDJ berada pada trend yang menurun, terutamanya kerana krisis kewangan dunia yang menyebabkan harga kebanyakan saham jatuh. Jika anda yakin bahawa ekonomi dan pasaran saham akan pulih, dan tiada masa untuk menilai saham satu persatu, MyETFDJ ialah pilihan yang mudah bagi anda untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan yang dijangka berlaku, di samping mempelbagaikan pelaburan dalam satu urus niaga. Cuma jangan lupa bahawa anda perlu bersedia melabur untuk jangka panjang, terutamanya jika pemulihan mengambil masa satu atau dua tahun.

4 ulasan:

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam saudara Razali-pendedahan saham yang patuh syariah amat diperlukan bagi mereka yang sedang mencari-cari tempat pelaburan.

Bagaimana pula pandangan saudara melabur dalam unit amanah meskipun daripada bank konvensional seperti Public Bank? PB menyediakan produk Islamik dalam unit amanah tetapi ada juga yang bertanya saya kesahihan statusnya yang halal.

Moga ada post lagi mengenai pelaburan yang patuh syariah.

Unknown berkata...

Wasalam Sdr Rahisam,

Saya bukan pakar tentang halal haram sesuau produk kewangan, tetapi pernah mengambil kursus Fiqh Muamalat dan membaca buku-buku berkenaan dengan topik ini.

Setakat yang saya tahu, semua produk yang digelar "patuh syariah" atau "syariah compliant" telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan juga Majlis Penasihat Syariah Bank itu sendiri. Jadi saya rasa tak perlu diragui statusnya kerana bukan seperti makanan yang kadangkala sukar ditentukan halal haramnya 100%, setiap urus niaga yang dilakukan dan setiap saham yang dibeli perlu direkodkan dan diaudit. Jika mereka membeli saham yang tidak patuh syariah, perkara ini boleh dikesan dengan mudah.

Saya akan terus menulis tentang saham atau pelaburan lain yang patuh syariah. Sebenarnya saya memang mencuba sedaya upaya untuk berbincang dan mencadangkan hanya produk patuh syariah sahaja.

Tanpa Nama berkata...

unit amanah dari bank konvesional tetap mematuhi asas syariah dan untuk pengetahuan saudara rahisam public bank merupakan pelopor dalam unit amanah berteraskan islamic...soalan untuk saudara razali..berapa peruntukan yang diperlukan untuk melabur di MyETFDJ ?Adakah konsepnya sama sepertimana unit trust?

Unknown berkata...

Salam Peminat Jutawan

Konsepnya sama seperti unit amanah pasif yang menjejak indeks. Di Malaysia ada satu sahaja, iaitu OSK-UOB KLCI Tracker. Tugas pentadbir unit amanah pasif dan ETF ialah untuk cuba sedaya upaya menjejak prestasi indeks yang ditetapkan, bukan untuk mengatasinya. Bagi OSK-UOB, indeksnya ialah KLCI (Indeks Komposit)...bagi MyETF, indeks yang dijejak ialah Dow Jones Market Titans (25 saham patuh syariah terbesar di Malaysia).

Bezanya ialah unit amanah perlu dibeli daripada syarikat atau ejen unit amanah, tetapi MyETF dibeli di Bursa Saham seperti saham biasa. Belian minimum ialah 100 unit (1 lot). Tetapi belian 100 unit tidak berbaloi kerana kos minimum urus niaga saham ialah RM12. Jika beli 100 unit pada harga 0.55 sen katakan, harganya ialah RM55, tetapi kos urus niaga ialah RM12. Jika beli 1000 unit pada harga 0.55 sen, harganya ialah RM550, tetapi kos urus niaga tetap RM12. Ini kerana yuran urus niaga (online) yang dikenakan ialah leih kurang 0.7% atau RM12, yang mana lebih tinggi. (Malah yuran minimum broker biasa bukan online ialah RM40) Jadi walaupun belian minimum 100 unit (1 lot) boleh dibuat) adalah lebih baik untuk membeli sekurang-kurangnya 3,000 unit pada setiap transaksi online atau 10,000 unit bagi urus niaga dengan broker biasa untuk menikmati kos paling minimum.