Memaparkan catatan dengan label Unit Amanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Unit Amanah. Papar semua catatan

17 November, 2016

Mengapa Pulangan Anda Tidak Sama Dengan Jadual Dana?

Ada sesetengah pelabur yang sering melihat jadual dana seperti Morningstar tetapi hairan mengapa pulangan yang mereka terima tidak sama dengan yang ditunjukkan dalam jadual.

Pulangan tersebut tidak sama kerana dua sebab utama:

  1. Anda membayar caj jualan, sedangkan pulangan jadual dana tidak mengambil kira caj ini
  2. Anda membeli pada tarikh berbeza daripada tempoh ukuran dalam jadual dana

Untuk menentukan pulangan sebenar yang paling tepat, anda perlu melihat penyata berkala yang diberikan oleh syarikat unit amanah anda.

Disebabkan masa dan harga anda membeli, pulangan anda mungkin lebih tinggi atau lebih rendah daripada pulangan yang ditunjukkan dalam jadual dana.

Nota: Satu lagi faktor perbezaan ialah jika anda menerima dividen dalam bentuk tunai dan tidak melaburkannya semula dengan membeli unit tambahan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

06 Ogos, 2016

Kesukaran Meramalkan Kitaran Perniagaan

Ada pembaca mendapati sukar untuk membaca kitaran perniagaan dan bertanya adakah cara untuk meramalkannya dengan lebih tepat?

Sebenarnya kitaran perniagaan hanya boleh ditentukan 'with the benefit of hindsight', iaitu selepas ia telah berlaku.

Untuk meramalkannya adalah amat sukar dan hampir mustahil.  Sebab itulah sesetengah pelabur seperti Warren Buffett tidak terlalu menekankan faktor makroekonomi dalam keputusan pelaburan mereka.

Satu contoh yang baik ialah keadaan pasaran semasa di Amerika Syarikat. Ada ramai pelabur yang meramalkan pasaran akan mengalami 'crash', termasuk Carl Icahn, George Soros, Jerry Gundlach dan Jim Rogers.

Tetapi kejatuhan ketara masih belum berlaku. Tidak semestinya mereka salah, tetapi mungkin ia berlaku tahun depan, atau dua tahun lagi.  Tiada siapa yang tahu.

Ada sebahagian lagi pakar dan pelabur lain yang berpendapat pasaran dan ekonomi akan mendatar untuk tempoh yang panjang seperti Nouriel Roubini.

Jadi ada pelbagai pandangan yang berbeza-beza tentang ekonomi dan pasaran.

Sebagai value investor, lebih baik fikirkan beberapa senario yang mungkin berlaku dan ramalkan bagaimana saham syarikat akan perform dalam situasi tersebut.

Bagi pelabur unit amanah yang melabur secara bulanan, jangan endahkan kitaran ekonomi sebaliknya teruskan pelaburan bulanan anda sama ada pasaran turun atau naik.

Masalah dengan tindakan meramalkan kitaran ekonomi dan pasaran dan membuat keputusan pelaburan semata-mata berasaskannya ialah jika kita salah, kita mungkin rugi besar.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

25 Julai, 2016

Mengapa Agihan/Dividen Unit Amanah Tak Begitu Relevan?

Ada seorang pembaca hairan dan bertanya bagaimana dana beliau memberikan Income Distribution (Agihan Pendapatan) 9% sedangkan portfolionya masih mencatatkan kerugian? Mengapa agihan tersebut tidak seperti ASB?

Sebenarnya agihan tersebut tidak memberikan sebarang untung tambahan kepada pelabur dan bukan seperti ASB.  

Katakan sebelum agihan harga unit ialah RM1.09. Selepas agihan sembilan sen, harga unit akan jatuh kembali kepada RM1.00. 

Agihan yang diterima biasanya dilaburkan semula untuk mendapatkan unit tambahan. Unit bertambah tetapi harga unit berkurangan. 

So net effect atau kesan bersihnya hampir sama sahaja sama ada ada agihan atau tiada agihan. 

Bagi ASB, harganya tetap, sebarang agihan tidak mengurangkan nilai unit. Tetapi nilai unit ASB juga tidak boleh naik seperti kenaikan dana unit amanah.

Persoalannya, bagaimana dana unit amanah boleh buat agihan pendapatan sedangkan anda rugi?

Apabila unit amanah mencatatkan untung pelaburan, nilainya serta-merta dipaparkan dalam kenaikan nilai aset bersih (NAV) seunit. 

Mungkin semasa anda membeli unit amanah, NAV sudah pun naik sedangkan selepas anda beli nilai aset bersihnya tidak naik lagi atau turun sedikit.

Secara keseluruhan pada tahun tersebut, dana unit amanah tersebut untung, tetapi anda pula rugi sedikit kerana membeli pada harga yang tinggi.

Sebab itulah mereka boleh buat agihan keuntungan tetapi anda masih rugi.  Bagaimanapun untuk tahun seterusnya jika anda terus pegang, masalah perbezaan ini tidak berlaku lagi.  

Prestasi untuk tahun seterusnya bagi anda adalah sama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh unit amanah untuk tahun tersebut.

Secara kesimpulannya, pembayaran agihan tidak akan memberikan apa-apa habuan tambahan seperti dalam ASB.  Keuntungan sebenar diperolehi daripada kenaikan NAV dana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

04 Jun, 2016

Nak Jual Sebab Pulangan Dana Lebih Rendah Daripada KWSP? Jangan Terburu-buru

Baru-baru ini ada soalan diajukan kepada CEO KWSP tentang sama ada orang ramai patut mengeluarkan wang mereka daripada KWSP dan melabur dalam unit amanah.

Beliau jawab hanya 1 daripada 5 pencarum yang mengeluarkan wang mereka daripada KWSP untuk melabur dalam dana unit amanah menerima pulangan lebih tinggi daripada KWSP.

Seramai 40% pula menerima pulangan lebih rendah. Ini mungkin satu tamparan hebat bagi industri unit amanah, tetapi jangan terburu-buru membuat 'judgement'.

Jika dua artikel terakhir saya mengkritik amalan dan kos jualan tertentu industri, artikel kali ini memberikan sokongan pula.

Pertama sekali keadaan semasa adalah situasi di mana ekonomi global mengalami cabaran besar dan pulangan daripada saham memang kurang baik.

Prestasi pulangan unit amanah, terutamanya dana ekuiti, akan terjejas. Tetapi persoalan dan aduan tentang prestasi unit amanah tidak banyak kedengaran antara tahun 2011 hingga 2014.

Pada waktu itu, saham tengah naik dan banyak dana mencatatkan prestasi hebat.

Dalam keadaan tersebut, lebih banyak dana dan pelabur yang mencatatkan pulangan lebih tinggi daripada KWSP.

Perkara penting yang perlu diingat tentang pelaburan ialah kehangatan tidak akan kekal hangat dan kegawatan jarang kekal gawat.

Jangan terburu-buru menjual dana unit amanah anda hanya kerana berita tersebut.

Bandingkan prestasi secara RELATIF atau perbandingan dengan dana lain. Jika ia mencatatkan prestasi yang baik berbanding dana lain, anda patut terus pegang.

Hanya pertimbangkan untuk jual sekiranya prestasi relatif dalam jangka pendek dan jangka panjang berbanding dana lain adalah lemah.

Jika anda belum melabur dan bercadang untuk melabur, bagaimana pula?  Bagi saya masa nilai ekuiti adalah rendah adalah masa terbaik untuk melabur dalam satu dana yang kukuh

Bukan selepas industri unit amanah mencatatkan prestasi paling hangat, kerana yang akan terasa bahang kepanasannya ialah pelabur paling lambat.

Klik sini untuk baca artikel tentang jawapan CEO KWSP.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

26 Mei, 2016

Jangan Kelirukan Pelabur Unit Amanah

Semalam KWSP telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelaburannya mencatat untung yang lebih rendah pada S1 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ada pula beberapa perunding unit amanah yang cuba ambil kesempatan dengan share article tersebut dan kemudian minta pembaca beli unit amanah kerana prestasi kurang baik KWSP.

Artikel The Star tersebut boleh dibaca di sini: http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/05/25/epf-braces-for-a-tough-year/

Untung lebih rendah sebenarnya tidak menghairankan dalam suasana pelaburan sukar semasa dan boleh dianggap memuaskan.

Pada saya prestasi tersebut perlu dilihat dari konteks perbandingan, kerana perunding yang nak suruh laburkan duit KWSP tidak pula membandingkannya dengan prestasi dana unit amanah.

Berasaskan tinjauan saya dalam jadual Morningstar bagi tiga kategori utama, iaitu Ekuiti Bermodal Besar, Ekuiti Bermodal Kecil/Sederhana dan Ekuiti Bercampur, hanya TIGA dana yang mencatatkan pulangan positif untuk tahun ini (YTD).

Yang lain semua RUGI.

Lihat gambar yang dilampirkan.

Hanya Dana Sukuk yang rata-rata mencatatkan prestasi positif, tetapi pulangannya adalah lebih kurang sama dengan KWSP.

Bukan nak kata yang perunding tersebut sengaja nak mengelirukan pelabur tetapi mungkin mereka tak begitu faham ciri sebenar produk yang dijual.

Bagi saya melabur dalam keadaan semasa dalam dana unit amanah adalah positif, kerana saya suka melabur bila dana yang kukuh mencatat kerugian, bukan apabila dana tersebut naik mencanak.

Tapi sebab dan kaedah menjual adalah tidak tepat dan mungkin boleh mengelirukan pelabur.

Jika nak buat kesimpulan, sila buat perbandingan yang adil dulu. 

Ini kerana apabila melabur dalam unit amanah, pelabur mungkin rugi, ditambah pula dengan kos yang perlu dibayar.

Sedangkan KWSP ialah wang persaraan mereka dan mengekalkan wang dalam KWSP mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

Dalam jangka panjang, saya yakin dengan pemilihan dana yang betul dan membeli pada masa yang sesuai, anda boleh atasi pulangan KWSP.

Tetapi tiada jaminan bahawa dana yang anda pilih boleh melakukannya.

Nota: Artikel ini mengambil kira isu pulangan dan risiko sahaja dan bukan isu Syariah. Lagipun KWSP akan menawarkan dana patuh syariah tidak lama lagi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

03 Mei, 2016

Buffett Mengenai Penasihat Pelaburan

Di Mesyuarat Agung Tahunan Berkshire Hathaway beberapa hari lepas, Warren Buffett telah melepaskan tembakan kepada para penasihat dan perunding pelaburan di Wall Street.

Mengungkit kisah yang dipaparkan dalam buku Where Are the Customers Yachts? oleh Fred Schwed, beliau menceritakan bahawa seorang pengunjung New York kagum dengan semua kapal layar mewah yang berlabuh di jeti.

Pengunjung tersebut diberitahu bahawa semuanya dimiliki oleh para pegawai bank di Wall Street.

Kemudian dia bertanya pula di mana pelanggan bank menyimpan kapal layar mereka? Jawapannya ialah mereka tak mampu membeli kapal layar.

Menurut Buffett, jauh lebih banyak wang yang dijana oleh Wall Street menerusi kemahiran jualan daripada kemahiran pelaburan.

"Hanya ada segelintir orang yang akan mencatatkan rekod pelaburan cemerlang. Sangat sedikit bilangannya."

"Dan orang yang anda bayar untuk mencari pelabur terkemuka seperti ini tidak tahu bagaimana mencari mereka. Tetapi mereka tahu bagaimana untuk menjual kepada anda."

Persoalannya ialah bagaimana pula keadaan di Malaysia, dengan yuran yang jauh lebih tinggi?

02 April, 2016

Lebih Rendah Kos Lebih Tinggi Pulangan

Dua tokoh tersohor dalam bidang pelaburan,Burton Malkiel, penulis buku terkenal A Random Walk Down Wall Street, dan juga John Bogle, pengasas dana berkos rendah Vanguard telah berkali-kali menekankan bahawa kos pelaburan akan mempengaruhi pulangan anda.

Menurut mereka dalam jangka panjang, pelabur yang melabur dengan kos paling rendah mempunyai kelebihan. Perkara ini lebih ketara di Malaysia, kerana kos sesetengah pelaburan adalah agak mahal.

Menyedari hakikat ini, kita perlu maklum apakah kos pelaburan kita dan jika kita membayar kos lebih, adakah manfaat yang bakal diperolehi akan melebihi kos tersebut?

Dalam pelaburan saham, kos memainkan peranan penting bagi seorang trader berbanding investor kerana lebih tinggi kos lebih tinggi titik pulang modal dan lebih tinggi pergerakan saham yang diperlukan sebelum untung diperolehi.

Seorang pelabur saham pula mempunyai jangka masa lebih panjang jadi kos tidak begitu sensitif baginya tetapi masih ada manfaat jika beliau membeli dengan kos paling rendah. Cara mendapatkan kos paling rendah ialah membeli saham online.

Burton Malkiel, "The lower the fee that I pay to the purveyor of an investment product, the more there is going to be for me." 

"Lebih rendah yuran yang dibayar kepada pengeluar produk pelaburan, lebih banyak yang tinggal untuk saya."

Dalam pelaburan unit amanah pula kosnya jauh lebih tinggi, kerana terdapat dua bentuk kos utama iaitu kos jualan (2 - 5.5%) dan juga yuran pengurusan tahunan (1.5 - 2%). Yuran lebih tinggi kerana kita menyerahkan wang kita kepada pengurus dana untuk dilaburkan.

Tetapi kos jualan ialah faktor yang boleh kita kawal.  Malah di Malaysia kos jualannya sangat tinggi berbanding di Amerika.  Jika anda mengambil saluran berkos tinggi, pastikan anda manfaatkan sepenuhnya sebarang perkhidmatan yang diberikan.

John Bogle: “If investors could rely on only a single factor to select future superior performers and to avoid future inferior performers, it would be fund costs. The record could hardly be clearer: The more the managers and brokers take, the less the investors make."
 
Jika pelabur boleh bergantung kepada satu faktor untuk memiih prestasi terbaik pada masa depan dan mengelakkan prestasi kurang baik, faktornya ialah kos dana. Rekodnya begitu jelas: Lebih banyak yang diambil oleh pengurus dan broker, lebih rendah pulangan pelabur.
 
Akhir sekali ialah pembelian hartanah. Kita boleh mengurangkan kos dengan cuba mendapatkan kadar pembiayaan dan perlindungan  yang paling berpatutan. Lebih rendah kos, lebih tinggi ROI. 

Perlu diingat bahawa semua kos ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan prestasi pelaburan.  Bagi saham dan unit amanah, kos adalah berkaitan dengan saluran pembelian dan perkhidmatan yang anda perolehi manakala bagi hartanah, ia berkaitan dengan kekuatan kredit anda.

Jadi ikutlah nasihat Burton Malkiel dan John Bogle untuk mencapai pulangan paling memuaskan dalam pelaburan. Cuba melabur pada kos yang paling rendah melainkan ada manfaat nyata yang boleh anda perolehi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

29 Mac, 2016

Ubah Kaedah Pembelian Unit Amanah Daripada Proses Jualan kepada Proses Pemilihan

Kebanyakan orang membeli dana unit amanah menerusi perunding/ejen unit amanah. Proses yang dilalui ialah proses jualan, di mana perunding akan mendekati anda untuk menawarkan produk daripada syarikat yang mereka wakili.

Tiada masalah dengan kaedah ini, cuma jika anda membeli hanya berasaskan pilihan yang ditawarkan oleh syarikat perunding tersebut sahaja, anda telah mengehadkan pilihan anda, kerana sebenarnya ada banyak pilihan dana.

Malah, walaupun jika perunding yang menjual mempunyai platform yang bebas dan menawarkan banyak pilihan, anda juga patut membuat penilaian teliti untuk menentukan sama ada kosnya paling efektif bagi anda berbanding perkhidmatan yang anda perlukan.

Ada pelbagai soalan yang boleh anda tanya untuk memastikan kaedah pembelian unit amanah diubah daripada proses jualan kepada proses pemilihan. Saya senaraikan 12 daripadanya:
  1. Adakah unit amanah pilihan paling sesuai untuk saya?
  2. Apakah jenis dana yang patut saya beli, contohnya sama ada dana ekuiti, dana bercampur, dana sukuk dll?
  3. Berapakah kos jualan dan kos lain unit amanah tersebut?
  4. Patutkah saya membeli dari perunding unit amanah atau online?
  5. Jika saya membayar kos lebih mahal untuk membeli menerusi perunding, apakah manfaat yang saya terima?
  6. Bagaimanakah prestasi keseluruhan syarikat pengurus dana yang menawarkan dana tersebut?
  7. Bagaimanakah prestasi pulangan dana yang sedang saya pertimbangkan dalam jangka pendek hingga jangka panjang?
  8. Bagaimanakah prestasi dana berbanding KWSP dan Tabung Haji?
  9. Bagaimanakah kedudukan dana berbanding dana-dana lain dalam kategori yang sama?
  10. Bagaimana pula prestasi dana berbanding indeks penanda aras?
  11. Adakah ini masa yang paling sesuai untuk membeli unit amanah?
  12. Patutkah saya beli secara bulanan atau dengan satu jumlah besar sekaligus?
Walaupun kaedah analisis menerusi soalan ini tidak boleh menjamin yang anda tidak rugi, semua soalan tersebut akan membantu anda membuat keputusan yang lebih teliti, dan memberikan gambaran lebih jelas tentang unit amanah mana yang patut anda pilih.

Tidak kira sama ada anda membuat keputusan membeli dari perunding syarikat unit amanah, perunding bebas atau secara online, tetapi sekurang-kurangnya anda telah melakukannya menerusi proses pemilihan yang tidak hanya bergantung semata-mata dengan input daripada perunding kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

14 Mac, 2016

Padah Mengejar Prestasi Dana Unit Amanah

Pada awal tahun ini, saya telah menulis tentang prestasi dana ekuiti patuh syariah terbaik pada tahun 2015. Pada waktu itu ada yang bertanyakan saya tentang dana-dana berprestasi hebat itu kerana berminat membelinya.

Namun begitu dalam artikel tersebut saya juga memberikan amaran:

"Tetapi adalah kurang bijak jika kita buat keputusan membeli dengan  'performance chasing' atau mengejar prestasi kerana dana yang hebat tahun lepas tidak semestinya terus hebat tahun ini."

Anda boleh membaca artikel penuh bertajuk:

Tinjauan Prestasi Unit Amanah 2015: Dana Kendalian PMB Investment Tiba-Tiba Melonjak

Jadi apa yang telah berlaku sekarang? Saya paparkan jadual dengan prestasi YTD (sehingga tarikh semasa pada tahun ini) dengan prestasi paling teruk di atas. Jadual dipetik daripada laman Morningstar Asia.

Dana Ekuiti Patuh Syariah 1. Bermodal Kecil/Sederhana dan 2. Bermodal Besar:

Ini menunjukkan bahawa kita tidak harus melakukan performance chasing dengan mengejar unit amanah yang sedang hangat.  Beberapa dana terbaik pada 2015, yang berada dalam kategori small cap/mid cap (modal kecil/sederhana) telah mencatatkan prestasi paling lemah setakat ini pada tahun ini.

Sebenarnya tiada apa masalah dengan dana-dana terbaik pada 2015. Jika ditinjau untuk jangka lebih panjang, kedudukannya masih memuaskan, tetapi bagi mereka yang melabur pada awal tahun, anda rugi kerana tersalah timing.

Biasanya dana yang mempunyai nama growth dan aggressive memang menggambarkan ciri pada namnya, iaitu ia turun naik dengan lebih ketara.

Maka pelabur yang melakukan performance chasing menghadapi risiko melabur dalam dana pada masa yang paling kurang sesuai. Apabila ditambah pula dengan kos jualan membeli daripada ejen, maka besar juga kerugian yang dialami.

Sebab itulah apabila memilih dana, kita jangan terlalu mengejar prestasi jangka pendek, seperti yang saya katakan dalam artikel tersebut pada perenggan kedua.

"...apa yang boleh kita tinjau ialah prestasi yang mantap antara tempoh 3 hingga 10 tahun, selain daripada prestasi jangka pendek, untuk memberikan gambaran lebih tepat."

Akhir sekali ialah apabila membeli dana ekuiti, perlu diingat juga bahawa dana tersebut melabur dalam pasaran saham.  Jika kita membeli apabila pasaran saham berada di puncak dengan kebanyakan saham overvalued, ini juga akan memberi kesan ke atas pulangan kerana prestasi dana unit amanah anda sudah tentunya akan terjejas jika pasaran saham jatuh.

Kesimpulannya ialah masalah ini bukan masalah pengurus dana dan sebagainya kerana pelabur yang melabur lebih awal masih untung, tetapi lebih kepada masalah timing, iaitu membuat pelaburan pada masa yang kurang tepat hanya kerana sesuatu dana sedang hangat.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

29 Februari, 2016

Mengapa Kiraan Pulangan Purata Tidak Tepat?

Apabila kita mengira pulangan pelaburan, kita tidak boleh ambil sahaja peratus pulangan yang kita terima sejak kita mula melabur sehingga sekarang dan membahagikannya dengan bilangan tahun pelaburan untuk mendapatkan pulangan purata.

Kaedah ini tidak menggambarkan pulangan sebenar yang diperolehi dalam bentuk peratus. Saya tunjukkan mengapa pengiraan ini tidak tepat menerusi satu jadual yang ringkas.

Andaikan anda melabur RM50,000 pada 1 Januari 2011. Kemudian pada 31 Disember 2015, nilai pelaburan anda ialah RM75,000. Pulangan yang anda terima ialah RM25,000. Pulangan dalam bentuk peratus ialah RMRM25,000/RM50,000 = 50%.

Jadi berapakah pulangan tahunan yang diterima?  Adakah jawapannya 50%/5 = 10% setahun? Jawapan ini tidak tepat kerana kesan kompaun dan ia bukan kaedah pengiraan dalam jadual unit amanah seperti Lipper dan Morningstar.

Andaikan kita ambil pulangan 10% setahun:

Tahun
Nilai Pokok
Pulangan
Pokok + Pulangan
2011
50000.0
5000.0
55000.0
2012
55000.0
5500.0
60500.0
2013
60500.0
6050.0
66550.0
2014
66550.0
6655.0
73205.0
2015
73205.0
7320.5
80,525.5
 
Didapati jumlah akhir ialah RM80,525.5 sedangkan nilai pelaburan anda ialah RM75,000.

Jadi bagaimana untuk mengira pulangan terkompaun?  Ada dua cara, iaitu menggunakan mesin pengira kewangan atau dengan menggunakan laman web khusus untuk mengira pulangan terkompaun:

1. Menggunakan Mesin Pengira Kewangan
-50,000 PV;  5 N;  FV 75,000; Tekan I/YR
Jawapannya ialah 8.4472%.

PV - Nilai Kini, FV - Nilai Masa Depan; N = Tempoh Masa dan I/YR ialah Pulangan Tahunan

2. Cari return rate/CAGR calculator di Internet. Salah satu daripada laman yang menyediakan kemudahan ini ialah Money Chimp. Kita masukkan parameter yang berkenaan:

Untuk membuktikan kesahihannya, berasaskan pulangan 8.4472%, kita bina jadual berikut:

Tahun
Nilai Pokok
Pulangan
Pokok + Pulangan
2011
50,000.0
4223.6
54223.6
2012
54223.6
4580.4
58804.0
2013
58804.0
4967.3
63771.3
2014
63771.3
5386.9
69158.2
2015
69158.2
5841.9
75,000.1

Maka jelaslah pulangan yang kita terima ialah 8.45% sahaja, bukannya 10% jika kita menggunakan kaedah purata. Ini disebabkan oleh kesan kompaun.

Dengan penjelasan ini, diharapkan para pelabur dapat menggunakan kaedah yang betul untuk mengira pulangan saham atau unit amanah masing-masing.