Kembali kepada soalan pertama, stop loss ialah paras di bawah harga belian asal di mana anda membuat keputusan untuk menjual demi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Paras ini anda tentukan sendiri. Ada trader letakkan paras 5% di bawah harga belian, ada yang tetapkan 7% dan pula pula yang letakkan 10%. Terpulang kepada strategi dagangan anda.
Ini bermakna jika harga saham jatuh ke paras tersebut, anda jual saham itu tanpa menggunakan budi bicara, tanpa berfikir panjang dan tanpa sebarang analisis lanjut. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kerugian besar sekiranya ada sesuatu yang tidak kena dengan saham tersebut.
Satu lagi kaedah mirip 'stop loss' dinamakan trailing stop, di mana apabila saham telah naik melebihi harga belian dan sedang terus naik, kita tetapkan satu paras di bawah harga puncak untuk 'lock in' atau merealisasikan keuntungan.
Persoalan yang lebih penting ialah patutkah anda menggunakan stop loss? Pada pendapat saya:
- Ya jika anda seorang trader dan
- Tidak jika anda seorang fundamental investor
Seorang fundamental investor perlu membuat keputusan berasaskan nilai dan harga saham. Ada kalanya saham jatuh buat sementara waktu tetapi fundamentals syarikat kukuh dan terdapat kemungkinan besar saham naik. Kita tak boleh jual semata-mata kerana harga jatuh.
Sebaliknya jika saham jatuh dan fundamentals syarikat mula lemah maka barulah pelabur patut mempertimbangkan untuk menjual pada harga yang terbaik yang boleh diperolehinya
Ken Fisher, salah seorang pengurus dana terkemuka dan penulis buku terkenal yang mempunyai ruangan di majalah Forbes, berkata berasaskan kajian yang dibuat, apabila harga saham mencapai paras stop loss, ia mempunyai kebarangkalian 50% untuk naik dan 50% untuk turun.
Jadi jika anda gunakan stop loss, anda mungkin rugi kerana tidak dapat memanfaatkan rebound yang berlaku. Kedua paras apa yang patut digunakan? Adakah 3%, 5%, 7% atau 10%? Penentuannya bersifat budi bicara (arbitrary) dan tidak ada paras tertentu yang terbukti lebih berkesan.
Peter Lynch, pengurus dana tersohor pada tahun 90an juga berkata stop loss tidak berkesan. Jual hanya jika ada masalah dengan syarikat atau jika kadar pertumbuhan atau prospeknya tidak seperti yang diunjurkan
Warren Buffet pula sudah tentu langsung tidak menggunakan kaedah ini. Stop loss ialah bagi mereka yang tidak sanggup membuat penilaian sewajarnya terhadap sesuatu syarikat.
Kesimpulannya, jika anda seorang trader, stop loss ialah alat berguna bagi anda dan perlu digunakan. Lebih spekulatif saham tersebut, lebih penting stop loss ditetapkan. Bagaimanapun sekiranya anda seorang pelabur berasaskan fundamentals, gunakan budi bicara sendiri dan analisis untuk mengkaji kesan kejatuhan harga dan sebabnya sebelum membuat sebarang keputusan.
1 ulasan:
Salaam, terima kasih atas penerangan.
Icon..... :(
Catat Ulasan