02 September, 2014

Mengejar Istana di Awangan: 10 Pemerhatian dan Cadangan Mengenai Saham Spekulatif

Kenaikan dan penurunan beberapa saham spekulasi boleh jerat pelabur yang begitu teruja mengejar kehangatan

Baru-baru ini kita mendengar tentang kenaikan dan penurunan beberapa saham 'mainan', yang menjerat sesetengah pelabur kerana mereka tidak begitu maklum dan baru mencuba 'permainan ini'. Tak perlu saya sebut saham yang mana.


Malah sejak setahun dua ini, pelabur kecil dilihat telah kembali ke pasaran. Malangnya saham yang dikejar ialah saham yang sepatutnya dijauhi oleh amatur. Tinggalkan saham seperti ini kepada spekulator full time dan mereka yang ada maklumat dalam.


Saya berikan sedikit ulasan dan cadangan bagi mereka yang terlibat dalam saham spekulatif:
  1. Ramai orang dah lupa atau langsung tak tahu bahawa tujuan asal melabur saham ialah melabur dalam syarikat supaya kita memanfaatkan keuntungan yang diraih.
  2. Nilai sesuatu syarikat amat bergantung kepada untungnya. Walaupun harga dalam jangka pendek boleh lari jauh daripada tahap untung, dalam jangka panjang ia akan kembali kepada nilai berasaskan untung (dan juga aset).
  3. Kalau saham naik melonjak dan syarikat tiada untung, itu bermakna kita mengejar istana di awangan, atau orang putih kata castles in the air.
  4. Melainkan untung meningkat untuk menyokong harga yang tinggi tersebut, harga akan jatuh kembali tanah, setimpal dengan kedudukan kewangannya yang berada 'di bawah tanah'.
  5. Sesetangah orang langsung tak tahu apakah bisnes yang diceburi oleh syarikat yang dilaburkan.
  6. Walaupun anda seorang trader atau spekulator, sekurang-kurangnya dapatkanlah sedikit maklumat tentang perniagaan dan paras untung syarikat. Masa sepuluh minit pun dah cukup.
  7. Walaupun anda bijak berdagang dan exit pada masa yang tepat, untung yang anda raih bukan berasaskan penciptaan nilai tetapi diraih daripada tangan orang lain. 
  8. Bagi saham tertentu, anda bermain dengan pro atau sindiket. Berwaspada!
  9. Saham yang dah jatuh boleh hidup kembali dan naik lebih tinggi, tetapi jangan sampai kena gigit dua kali.
  10. Trader yang lebih bijak akan menggunakan stop-loss atau trailing stop untuk jual jika berlaku kejatuhan, tetapi dari segi praktikal sukar untuk laksanakan apabila berlaku penurunan mendadak.
Saya bukan spekulator atau trader. Saya tidak menggalakkan anda menjadi spekulator. Tetapi jika saya seorang trader, saya tidak akan main sesuatu saham melainkan telah meluangkan masa beberapa minit untuk melihat sepintas lalu kedudukan kewangan dan perniagaan syarikat supaya saya ada maklumat tambahan tentang bila untuk tunggu dan bila untuk cabut lari.

Nota: Carta diambil daripada laman web Bursa Malaysia

Tiada ulasan: