Menuju ke Masjidil Haram
Sempena Hari Raya Haji kali ini, mungkin sudah tiba masanya untuk membuat perancangan menunaikan ibadah Haji. Anda memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk menunaikan Haji menerusi pakej muasasah Tabung Haji, dan sekurang-kurangnya RM18,000 jika menggunakan pakej swasta.
Lebih tinggi yang dibayar, lebih selesa pakej yang disediakan dari segi bilangan orang yang berkongsi bilik dan taraf bilik dan kemudahan yang disediakan.
Bermalam di Muzdalifah
Wukuf di Arafah
Pada pendapat saya, perjalanan menunaikan Haji ialah satu perjalanan paling penting dalam hidup yang memberikan pelbagai pengajaran. Justeru, jauh lebih banyak manfaat jika kita dapat menunaikan Haji pada usia yang muda, supaya pengajaran tersebut dapat diaplikasikan sepanjang hayat.
Terowong menuju ke Jamrah
Untuk tujuan Haji, saya syorkan agar anda menabung dalam Tabung Haji sahaja, tak perlulah simpan dalam ASB dan sebagainya. Jika duit tersebut akan digunakan untuk menunaikan Haji, saya berpendapat kita perlu memastikan simpanan tersebut patuh syariah sepenuhnya.
Melontar Jamrah
Tidak perlu mengambil risiko untuk mendapatkan pulangan lebih tinggi dengan instrumen lain. Tabung secara beransur-ansur hingga sasaran anda dicapai.
Satu lagi cabaran selain daripada kewangan ialah faktor masa dan keluarga. Mungkin lebih senang apabila menunaikan Haji selepas bersara kerana kebanyakan tanggungjawab kita sudah selesai.
Tetapi kedua-dua cabaran ini boleh diselesaikan. Cuti boleh diambil dan kita boleh mencari penjaga sementara untuk anak-anak kita. Percayalah, anda akan kembali sebagai insan yang lebih baik selepas menghadapi segala kesukaran untuk merancang perjalanan anda.
Tawaf
Sesungguhnya Haji itu adalah kesusahan. Tetapi jika kesusahan itu diatasi supaya kita lebih dekat kepada Allah, maka kita akan menjadi lebih sabar, cekal, tabah dan berpandangan lebih luas.
Selain itu, kita akan melihat umat Islam dari seluruh pelusuk dunia dan membuka mata kita bahawa cara kita bukan satu-satunya cara. Kita akan menghargai kepelbagaian bangsa dan manusia yang ada.
Saie
Sebagai seorang yang telah ke sana beberapa tahun lepas untuk menunaikan ibadah ini walaupun pada mulanya tidak merancang untuk melakukannya sehingga lewat usia, memang saya amat bersyukur kerana terpanggil ke sana pada umur lebih muda.
Ternyata bukan sahaja pengalaman tersebut membuka mata saya, tetapi mengubah pandangan dan matlamat hidup saya sama sekali.
Masjid Nabawi
Kesimpulannya ialah kalau boleh pergilah menunaikan Haji seberapa cepat yang mungkin, kerana manfaatnya bukan sahaja untuk akhirat, tetapi juga di dunia.
Peringatan: Jika mengumpul duit ke sana, gunakanlah wang dari sumber pendapatan yang halal. Malah lebih baik jika selepas memasang niat dan memulakan tabungan, anda cuba ketepikan sejauh mana yang mungkin sumber pendapatan yang tidak patuh syariah.
1 ulasan:
BEST INFO ..MEMANG MANARIK SEKALI..'
TERBAIK UNTUK MEREKA BAKAL2 HAJI.
LAPANG NANTI SINGGAH BLOG KAMI YER
http://izzium2u.blogspot.com/
Catat Ulasan