12 Oktober, 2014

Bajet 2015 - Insentif dan Kesan Bagi Individu

Insentif dan kesan belanjawan terhadap individu dan keluarga sepintas lalu

Bajet 2015 meneruskan lagi usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi dan bertukar kepada pemberian bantuan langsung. Ini adalah sebahagian daripada proses untuk mengurangkan defisit yang telah bermula sejak beberapa tahun lepas.

Seperti tahun-tahun lepas, saya akan menyenaraikan langkah untuk menambah hasil Kerajaan yang akan meningkatkan kos kepada pengguna dan juga insentif yang diberikan kepada individu yang diumumkan dalam Bajet 2015.

Langkah Meningkatkan Hasil Kerajaan

Ramai yang beranggapan bahawa GST akan menambah kos secara menyeluruh, tetapi perlu diingat bahawa sebelum ini pun ada cukai jualan dan perkhidmatan, yang kini digantikan dengan GST.

Cuma GST dikenakan di pelbagai peringkat dan memang akan menaikkan sedikit kos kebanyakan barangan tetapi ada sesetengah barang yang mana harga tidak naik atau mungkin turun disebabkan dikecualikan daripada GST. Senarai tersebut boleh didapati di akhbar tempatan. 
  1. Cukai Barangan dan Perkhidmatan 6% (GST) dilaksanakan mulai April 2015.
  2. Program subsidi akan terus disusun semula.
Hartanah
 
Saya tidak nampak sebarang perubahan dari segi cukai keuntungan harta tanah (RPGT) pada tahun ini. Kalau begitu, RPGT adalah seperti tahun lepas.
  1. Bagi hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun, RPGT ialah 30%.
  2. Bagi hartanah yang dijual pada tahun ke-4 dan ke-5, RPGT ialah 20% dan 15% masing-masing.
  3. Selepas tahun ke-6, tiada RPGT dikenakan bagi individu; 5% bagi syarikat.

Sementara itu, beberapa insentif diberikan bagi menggalakkan pemiilkan rumah pertama.
  1. Had kelayakan pendapatan isi rumah bagi rumah PR1MA ditambah daripada RM8,000 kepada RM10,000.
  2. Skim pembiayaan sewa beli diperkenalkan untuk mereka yang tidak dapat pinjaman bank.
  3. Pengecualian 50% duti setem sehingga 31 Disember 2016.
  4. Had pinjaman skim rumah pertama ditambah daripada RM400,000 kepada RM500,000.
  5. Had umur peminjam dinaikkan kepada 40 tahun.

Insentif Untuk Golongan Berpendapatan Rendah 
  1. BR1M kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 akan ditambah daripada RM650 kepada RM950.
  2. BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 ditambah daripada RM450 kepada RM750.
  3. Bagi individu bujang berusia 21 dan ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, BR1M akan ditambah daripada RM300 kepada RM350.
  4. Skim Khairat Kematian RM1,000 berkuat kuasa selama setahun.

Insentif Untuk Pelajar

Insentif yang disediakan pada tahun lepas telah dikekalkan, manakala pembayar pinjaman PTPTN diberi insentif.
  1. Baucar buku 1Malaysia bernilai RM250 setiap seorang untuk pelajar pengajian tinggi.
  2. Bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
  3. Rebat 10% bagi peminjam PTPTN yang membayar secara konsisten selama 12 bulan berturut-turut pada 2015.
  4. Diskaun 20% bagi mereka yang membayar sepenuhnya menjelang 31 Mac 2015.

Insentif Cukai
  1. Kadar cukai pendapatan akan dikurangkan 1 hingga 3 peratus untuk semua kategori pembayar cukai. Perlu diingat tahun lepas juga cukai dikurangkan antara 1 hingga 3 peratus.
  2. Kesannya ialah individu berkeluarga dengan pendapatan hingga RM4,000 sebulan tidak dikenakan cukai.

Insentif Penjawat Awam
  1. Pesara akan menerima bantuan kewangan khas RM250.
  2. Penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan dengan bayaran minimum RM500.

Sejajar dengan usaha mengurangkan defisit, bajet kali ini menyaksikan defisit dijangka dikurangkan daripada 3.5%  kepada 3.0% pada 2015, dengan matlamat mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Di samping itu, nisbah hutang kepada KDNK Kerajaan telah menyusut ke paras di bawah 53% pada Jun tahun ini berbanding 54.8% pada tahun lepas. Ini satu perkembangan yang baik. Walaupun nilai hutang meningkat sedikit, nisbahnya turun kerana peningkatan kukuh KDNK.

Diharapkan GST yang bakal dilaksanakan pada 2015 boleh meningkatkan lagi hasil dan terus mengurangkan kadar hutang. Saya tekankan sekali lagi bahawa  pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi adalah sesuatu yang perlu atas pelbagai sebab yang pernah saya jelaskan dalam beberapa posting lama saya.

Sememangnya pengurangan subsidi dan pengenaan GST adalah sesuatu yang perit terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah tetapi perlu dilakukan demi kelestarian jangka panjang kewangan negara. Jika tidak dilaksanakan sekarang, masalah besar akan timbul pada masa hadapan, yang mana proses ini terpaksa dihadapi juga, tetapi dalam keadaan yang jauh lebih membebankan. 

Tetapi kerajaan mesti mengurangkan pembaziran dan ketirisan perbelanjaan supaya rakyat boleh menerima pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi dengan hati lebih terbuka. Diharapkan insentif yang diberikan untuk golongan berpendapatan rendah dapat mengurangkan kesan proses rasionalisasi ini.

Nota: Jika ada insentif atau item relevan yang tertinggal atau ada sebarang kesilapan, sila maklumkan saya.

Tiada ulasan: