05 Ogos, 2013

Bagaimana Jika Pendapatan atau Perniagaan Anda Tidak Boleh Diskala?

Usah terlalu memikirkan tentang gandaan wang tetapi pertimbangkan nilai yang anda hasilkan kepada ekonomi dan masyarakat

Saya ada membaca buku dan artikel oleh pakar perniagaan, sama ada tempatan atau luar negara, tentang ciri bisnes yang baik, dan satu faktor penting yang selalu ditekankan ialah perniagaan tersebut seharusnya boleh direplikasi atau diskala.

Ini bermakna jika sudah buka satu kedai, formula yang sama boleh digunakan untuk membuka kedai lain yang sama di tempat lain sehingga banyak kedai boleh dibuka.  Atau jika anda membuka kilang, pasarannya boleh dikembangkan dan operasi boleh diperbesarkan dengan meningkatkan kapasiti kilang.

Maksudnya ialah perniagaan anda seharusnya berasaskan sistem, mesin atau kemahiran yang boleh direplikasi atau diajar dengan mudah kepada orang lain supaya potensi perkembangannya tidak terhad.

Sebenarnya itulah ciri perniagaan yang terbaik bagi mereka mahu mencapai kejayaan besar dalam bidang perniagaan.  Formula perniagaan berasaskan sistem yang boleh direplikasi ini ada disebutkan dalam buku terkenal mengenai perniagaan kecil bertajuk The E-Myth Revisited oleh Michael Gerber.

Tetapi bukan semua orang berminat menceburi bidang perniagaan. Ramai yang lebih selesa menjadi kakitangan. Manakala ramai juga yang melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan kemahiran seperti doktor, peguam, penulis dan sebagainya.  Ada sesetengah yang lain pula lebih selesa menjalankan perniagaan kecil dan mahu kekal kecil, tanpa cita-cita menjadi besar.

Bagi saya ini tidak menjadi masalah. Anda juga tidak perlu menceburi bidang perniagaan yang boleh diskala untuk hidup selesa.  Malah sesetengah profession lebih besar nilainya kepada masyarakat, seperti guru, pensyarah dan anggota keselamatan berbanding dengan ganjaran yang diterima.

Dunia masa kini agak materialistik di mana status lazimnya diberikan kepada orang yang berharta, tidak kira cara harta tersebut dikumpulkan, iaitu dengan cara yang menghasilkan nilai ekonomi / masyarakat atau tidak.

Anda seharusnya selesa dengan kedudukan anda jika pekerjaan anda membawa nilai kepada masyarakat dan anda berminat dengan kerjaya tersebut. Cuba naik ke pangkat setinggi yang mungkin dalam kerjaya atau jika anda menguruskan perniagaan kecil atau perniagaan berasaskan kemahiran, cuba maksimumkan keuntungan anda dengan menguruskan perniagaan dengan baik.

Kemudian tabung dan labur wang ini dengan bijak dan konservatif untuk memastikan anda mencapai kebebasan kewangan sebelum anda bersara. Di sinilah kunci kepada kejayaan anda untuk membina harta yang sederhana. Ini bukan jalan di mana kekayaan terbesar dicapai tetapi bukan semua orang perlu, mahu atau boleh mendapatkan kekayaan besar.

Menurut Ken Fisher dalam bukunya The Ten Roads to Riches, ramai orang menjadi jutawan dengan bekerja, menabung dan melabur walaupun mereka bukan daripada golongan yang terkaya.

Status di mata saya ialah nilai kepada ekonomi, nilai kepada masyarakat dan ilmu di dada.  Seorang usahawan tersohor yang mencipta banyak peluang pekerjaan menghasilkan nilai. Guru yang mendidik usahawan tersebut juga bernilai. Begitu juga ibu yang membesarkan usahawan tersebut yang hanya menjadi suri rumah.

Saya lebih bimbang jika pekerjaan yang dilakukan mempunyai ganjaran besar tetapi wang tersebut diperolehi 'di atas angin', atau 'diperolehi 'dari tangan orang lain', atau dengan menghasilkan produk yang memudaratkan awam, bukannya dengan menjana nilai ekonomi sebenar.

Ada tempat untuk semua orang di dunia, sama ada usahawan terbilang atau pekerja, baik peniaga kecil mahupun orang yang menjual khidmat atau kepakaran mereka.  Perkara paling penting ialah nilai yang anda hasilkan kepada masyarakat dan memaksimumkan potensi diri dan juga potensi pendapatan untuk hidup selesa.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin jika ada tersilap tulis di dalam blog ini. Semoga Allah menerima amalan kita dalam bulan Ramadan dan kita terus membuat pelaburan yang paling penting, iaitu pelaburan akhirat, selain daripada pelaburan di dunia.

Tiada ulasan: