26 Ogos, 2013

Takaful Berkaitan Pelaburan - Adakah Skim Ini Sesuai Untuk Anda?

Pulangan amat bergantung kepada prestasi pelaburan pengurus dana
Pelaburan harus disimpan untuk jangka panjang kerana struktur kosnya

Takaful berkaitan pelaburan kini semakin popular di pasaran Malaysia. Pada asasnya, skim ini menggabungkan dua faktor, iaitu perlindungan dan juga pelaburan menerusi dana yang ditawarkan oleh syarikat takaful.

Lazimnya kebanyakan syarikat menawarkan takaful berkaitan pelaburan bagi melindungi hayat & kehilangan upaya dan juga pendidikan anak.  Selain itu, pelbagai rider tambahan boleh dilampirkan bersama, dengan membayar sumbangan (premium) tambahan.

Sementara itu, bagi takaful berkaitan pelaburan hayat & kehilangan upaya, biasanya terdapat dua pilihan yang ditawarkan, iaitu kaedah sumbangan tunggal (iaitu jumlah besar sekali gus) atau menerusi sumbangan berkala.

Skim ini amat sesuai bagi mereka yang mahukan perlindungan hayat dan kehilangan upaya, sama ada untuk menampung keperluan keluarga, atau menampung kos pendidikan anak, sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku kepada anda.

Jika berlaku sesuatu yang tidak diduga, anda akan mendapat nilai perlindungan dan juga jumlah pelaburan yang telah dibuat dalam dana pelaburan. Jika tiada apa-apa yang berlaku sehingga tempoh matang, pelabur boleh mendapatkan kembali pelaburannya bersama pulangan yang diterima.

Secara peribadi, saya berpendapat adalah lebih baik mengasingkan ciri perlindungan dan pelaburan.  Ini bermakna mendapatkan perlindungan daripada syarikat takaful dan membuat pelaburan dengan melabur sendiri dalam unit amanah.

Tetapi masalahnya  di Malaysia ialah tidak banyak syarikat yang menawarkan perlindungan hayat atau kehilangan upaya semata-mata, tanpa menggabungkan unsur pelaburan. Selain itu, kaedah melabur sendiri juga memerlukan disiplin yang amat tinggi. Justeru, takaful berkaitan pelaburan menjadi pilihan praktikal bagi ramai orang.

Apabila mendapatkan perlindungan takaful berkaitan pelaburan, beberapa faktor penting berikut perlu dipertimbangkan.

Yuran

Yuran wakalah akan dikenakan lazimnya untuk tempoh 6 tahun pertama, pada kadar yang beransur-ansur berkurangan. Biasanya pada tahun pertama 60% daripada sumbangan akan digunakan untuk membayar yuran dan hanya 40% yang diperuntukkan kepada pelaburan.

Jumlah yuran akan berkurangan setiap tahun, manakala jumlah yang diperuntukkan kepada pelaburan akan meningkat setiap tahun. Ini bermakna adalah tidak berbaloi untuk mengambil skim ini untuk jangka pendek. Manfaat paling besar diterima jika pelaburan dipegang sehingga matang.

Selain itu, caj takaful akan dikenakan di mana unit pelaburan anda dibatalkan untuk menampung perlindungan Takaful yang diberikan.  Caj bergantung kepada usia dan keadaan kesihatan peserta. Yuran pentadbiran Sijil  sebanyak RM5 sebulan turut dikenakan.

Dana

Selalunya terdapat tiga jenis dana yang ditawarkan, iaitu dana ekuiti, dana seimbang dan dana pendapatan tetap. Dana ekuiti mempunyai profil pulangan-risiko paling tinggi manakala dana pendapatan tetap mempunyai profil pulangan-risiko paling rendah.

Dana ini adalah mirip dana unit amanah biasa. Bagi dana pendapatan tetap, yuran pengurusan 1% dikenakan manakala bagi dana ekuiti  dan dana seimbang, yuran yang dikanakan ialah 1.5%. Yuran ini ditolak terus daripada nilai aset bersih dana  dan bukannya daripada unit pelaburan anda.

Selain daripada meneliti perlindungan yang diberikan, prestasi pengurus dana perlu dinilai. Minta ejen takaful anda memberikan carta prestasi dana atau dapatkannya daripada laman web syarikat takaful. Prestasi dana juga perlu dipantau dari masa ke masa selepas menyertai skim untuk meninjau hasil pelaburan anda. 

Risiko 

Risiko bagi dana ekuiti adalah paling tinggi, dan tidak ada jaminan yang anda boleh meraih jumlah yang lebih tinggi daripada nilai yang anda laburkan.  Sebagai contoh, jika anda melabur dalam skim pelaburan tunggal apabila pasaran saham di kemuncak dan pasaran jatuh teruk selepas itu, anda mungkin memerlukan masa yang lama hanya untuk pulang modal.

Satu lagi masalah ialah jika pengurus dana yang dipilih oleh syarikat takaful kurang baik, sukar bagi pelabur untuk keluar daripada pelaburan tanpa mengalami kerugian kerana struktur kos yang tinggi pada peringkat awal.  Jika pelabur mengambil takaful daripada syarikat lain, kos awal ini perlu ditanggung sekali lagi.

Pelabur hanya boleh mengharapkan syarikat takaful untuk menukar pengurus dana kepada pengurus yang lebih baik jika prestasi kurang memuaskan.

Kesimpulan

Kita dapat lihat bahawa terdapat banyak kos yang dikenakan untuk mendapatkan pelan perlindungan seperti ini, tetapi kos tersebut beransur-ansur berkurangan lebih lama anda memegang pelaburan. Di samping itu, sesetengah syarikat menawarkan bonus tertentu apabila pelaburan disimpan untuk tempoh yang lama.

Secara peribadi, pilihan pertama saya ialah untuk tidak menggabungkan ciri perlindungan dan pelaburan, iaitu dapatkan perlindungan sahaja dan melabur sendiri wang  pelaburan.

Tetapi memandangkan tidak pasti sama ada terdapat syarikat yang menawarkan perlindungan semata-mata, saya lebih suka memilih sumbangan berkala dan bukannya sumbangan tunggal, untuk mengelakkan masalah timing pelaburan.  Selain itu, saya juga akan memilih dana ekuiti.

Kaedah pelaburan berkala sebenarnya lebih kurang sama dengan kaedah dollar cost averaging unit amanah, tetapi, digabungkan dengan perlindungan takaful.

Akhir sekali, perkara paling penting yang menentukan pulangan ialah prestasi pengurus dana.  Bandingkan prestasi dengan penanda aras dan juga berbanding dana lain yang sepertinya.

Nota: Bagi mereka yang terlibat dalam industri, maklumkan saya jika ada sebarang kesilapan fakta. Saya membuat penilaian ini dari perspektif neutral.

Tiada ulasan: