29 Julai, 2013

Apabila Tawaran Pengambilalihan Saham Dibuat

Beberapa senario boleh berlaku jika ada pihak membuat tawaran umum untuk membeli saham dan mengeluarkannya daripada senarai Bursa

Berbeza daripada IPO di mana saham ditawarkan kepada umum, proses privatisation ialah proses di mana sesuatu pihak membuat tawaran untuk membeli balik semua saham dalam syarikat atau sekuriti yang disenaraikan pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran semasa dan mengeluarkan saham atau sekuriti tersebut daripada senarai Bursa Malaysia.

Ini biasanya adalah satu cara di mana nilai sesuatu saham yang undervalued boleh direalisasi bagi pemegang saham syarikat tersebut. Tetapi privatisation juga bermakna pihak yang membuat tawaran menganggap saham tersebut undervalued dan membuat tawaran lebih tinggi untuk saham, sambil menganggap nilai sebenar saham masih lebih tinggi daripada harga tawaran.

Tawaran boleh dibuat oleh pelbagai pihak, sama ada pihak luar yang mahu mengambil alih syarikat, atau pihak pengurusan syarikat sendiri (management buy-out) atau oleh para pemegang saham utama syarikat.

Lazimnya apabila tawaran dibuat, harga akan naik menghampiri harga tawaran.  Berikut adalah contoh pengambilalihan yang telah selesai, iaitu Ingress Corporation.

Ingress

Kita dapat lihat bahawa apabila pengumuman dibuat terdapat lonjakan harga daripada RM1.50 kepada RM1.75 dengan serta-merta.  Selepas itu, lebih hampir kepada tarikh keputusan tawaran, lebih tinggi harga naik sehinggalah ditutup pada harga terakhir RM1.84, iaitu satu sen di bawah harga tawaran.

Di bawah pula ialah contoh tawaran pengambilalihan sedang dilaksanakan yang dibuat oleh Boustead terhadap REIT Al-Hadharah Boustead pada harga RM2.10.  Pengambilalihan ini masih belum selesai.

REIT Al-Hadharah Boustead

Sekali lagi kita dapat lihat lonjakan harga REIT Al-Hadharah Boustead apabila pengumuman dibuat.  Nilai Aset Bersih REIT ialah RM1.80.  Kenaikan harga belum lagi hampir kepada harga tawaran RM2.10 kerana belum dapat dipastikan sama ada pelabur secara umumnya akan menerima tawaran.

Apabila tawaran umum seperti ini dibuat, biasanya penerimaan 90% daripada semua pemegang saham mesti diperolehi. Jika tidak, saham tidak akan dibeli daripada tangan pelabur.

Perbezaan harga ini masih membuka peluang kepada seseorang untuk mengambil risiko untuk mendapat untung dengan membeli pada harga semasa dan menerima tawaran pengambilalihan pada harga RM2.10.  Tetapi risikonya ialah jika tawaran gagal mencapai tahap penerimaan 90% maka harga saham mungkin jatuh kembali.

Kita lihat pula satu contoh baru-baru ini apabila tawaran saham tidak diterima, iaitu kes tawaran pengambilalihan MISC oleh Petronas.

MISC
 
Dalam kes ini, kita dapat lihat dua pergerakan ketara, iaitu apabila pengambilalihan diumumkan dan kemudian kejatuhan ketara apabila tawaran tersebut tidak mendapat tahap penerimaan daripada jumlah pelabur yang diperlukan.
 
Ini jelas menunjukkan bahawa tawaran ini, walaupun lebih tinggi daripada harga semasa, boleh ditolak oleh pelabur jika mereka rasa nilai sebenar saham lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh pihak yang membuat tawaran.
 
Dalam keadaan tersebut, ternyata para pelabur yang tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan membuat keputusan yang betul kerana MISC telah mencatatkan prestasi kewangan yang baik selepas itu dan harga sahamnya telah melonjak menjangkaui harga tawaran yang dibuat oleh Petronas.
 
Bagaimanapun, pernah terjadi keadaan di mana tawaran tidak diterima dan harga tidak kembali kepada harga tawaran yang dibuat, menyebabkan pelabur rugi kerana tidak menerima tawaran tersebut.  Kes ini pernah berlaku apabila NST pada satu ketika dulu membuat tawaran untuk mengambil alih Utusan.
 
Senario terkahir yang mungkin berlaku tetapi jarang dilihat ialah selepas tawaran dibuat, harga naik melebihi harga tawaran. Keadaan ini timbul kerana pelabur mungkin meramalkan bahawa pihak yang membuat tawaran akan menaikkan harga tawaran untuk memastikan lebih ramai pelabur menerima. 
 
Jika saham anda menerima tawaran pengambilalihan dan akan dikeluarkan dari senarai, pada amnya ia positif bagi anda melainkan sekiranya harga tawaran tersebut terlalu rendah. 
 
Anda boleh membuat keputusan untuk:
  1. Menerima tawaran secara formal.
  2. Menjual saham di pasaran sebelum dagangan ditutup pada harga sedikit lebih rendah untuk mengelakkan risiko pengambilalihan ditolak dan harga saham jatuh.
  3. Membuat keputusan untuk terus memegang saham dan menolak tawaran tersebut.
Bagi saya, pilihan 2 adalah yang paling mudah dan kurang berisiko kecuali dalam keadaan di mana harga yang ditawarkan adalah nyata terlalu rendah.


Tiada ulasan: