22 Julai, 2013

SPAC - Syarikat Ditubuhkan Khas Untuk Beli Aset

Pelabur perlu berhati-hati terhadap kehangatan terbaru di Bursa Malaysia

Pelabur mungkin telah mendengar tentang proses penyenaraian Sona Petroleum yang sedang dilaksanakan sekarang. Sebenarnya Sona Petroleum ialah sejenis SPAC (Special Purpose Acquisition Vehicle) yang kini mendapat perhatian kerana kenaikan harga ketara SPAC pertama yang disenaraikan di Malaysia, iaitu Hibiscus Petroleum.

Apakah yang dimaksudkan dengan SPAC?

SPAC ialah sebuah entiti yang tiada operasi perniagaan dan tiada hasil, yang disenaraikan dengan matlamat untuk membeli sesebuah aset atau perniagaan yang sudah beroperasi dan menguruskannya.

Justeru, SPAC meraih dana semata-mata atas kepercayaan terhadap kewibawaan dan rekod pencapaian individu yang mempromosi pelaburan ini kepada orang ramai.

Tiga SPAC pertama yang diluluskan di Malaysia terlibat dalam bidang minyak dan gas.  Ini bermakna matlamat mereka ialah mengumpulkan wang daripada pelabur menerusi IPO dan kemudian membeli perniagaan minyak dan gas dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam prospektus.

Jika pembelian tidak dibuat, SPAC akan memulangkan 90% daripada wang yang dilaburkan oleh pelabur.  Faktor ini memberikan sedikit perlindungan kepada pelabur.

Berikut adalah struktur SPAC yang diambil daripada prospektus Hibiscus Petroleum:


Dapat dilihat bahawa terdapat dua kemungkinan, iaitu SPAC akan menjadi sebuah syarikat tersenarai biasa apabila sudah membeli aset perniagaan yang disasarkan, atau wang dikembalikan kepada pelabur.

Berikut adalah prestasi dua SPAC yang telah disenaraikan sebelum ini, iaitu Hibiscus Petroleum dan CLIQ Energy.

Hibiscus

Cliq Energy
 
Kita dapat lihat mengapa pelaburan ini mendapat perhatian, iaitu kerana kenaikan harganya yang agak ketara.  Tetapi kenaikan ini berlaku walaupun syarikat belum mempunyai sebarang operasi dan masih belum membuktikan keupayaannya.
 
Risiko
 
Pelabur perlu sedar bahawa kemampuan SPAC ini hanya boleh dibuktikan apabila pemerolehan aset telah dibuat dan syarikat telah beroperasi buat tempoh tertentu. Patutkah pelabur mengejar harga sehingga menggandakan harga tawaran awam untuk sesuatu yang belum terbukti lagi.
 
Adalah mustahil untuk menilai rekod pencapaian syarikat kerana tiada rekod dan tiada operasi untuk dinilai. Segalanya bergantung semata-mata atas keupayaan promoternya.
 
Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah berasaskan laporan akhbar, promoter SPAC tertentu mendapatkan saham mereka pada harga hanya satu sen. Ini bermakna mereka untung berkali-kali ganda dengan hanya menyenaraikan entiti ini walaupun syarikat belum ada operasi.
 
Pada pendapat saya ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini, tetapi kita perlu tunggu dan lihat keupayaan mereka untuk menjana nilai sebenar bagi pemegang saham apabila sudah membeli operasi perniagaan yang disasarkan.
 
Bagi pelabur jangka panjang biasa, mungkin lebih baik jauhkan diri daripada aset seperti ini sehinggalah rekod pencapaian ditunjukkan. 

Pelaburan ini adalah untuk pelabur yang benar-benar mengenali industri yang diceburi, mengetahui kewibawaan promoter yang menganjurkan SPAC tersebut atau spekulator yang berdagang dalam jangka pendek.
 


4 ulasan:

Mohd Khalil berkata...

Terima kasih. Banyak dapat info melalui tulisan ini.
www.kadikluang.blogspot.com

Kk berkata...

Cliq-Wa setakat ni SPAC..
akan dtg Sona

Insan Biasa berkata...

Adakah SPAC ni ada persamaan dengan SPV dalam mekanisma sukuk?

Unknown berkata...

Salam,
Mohd Khalil
Terima kasih kerana membaca.

Hisyam Khliff,
Betul, dan lazimnya diberikan waran bersama juga.

Insan Biasa
Tidak sama. SPAC ini sebenarnya syarikat biasa, cuma belum ada operasi dan hasil sahaja.