02 Julai, 2013

Saham Bermodal Kecil Catat Kenaikan Ketara

Tidak ada satu kategori saham yang boleh mendahului setiap masa

Pada bulan Februari lepas, saya ada menulis posting bertajuk Di Mana Nilai Tersembunyi yang menunjukkan bahawa harga saham bermodal kecil, yang diwakili oleh Indeks FBM Small Cap, telah merosot dalam tempoh 2 tahun lepas walaupun indeks FBM KLCI meningkat dengan kukuh.

Dalam posting tersebut, saya menulis, "Dengan penyelidikan yang teliti, kita boleh menemui banyak saham small cap yang diperdagangkan di bawah P/E 10, tetapi memberikan dividen yield lebih daripada 4%".

Cuba kita lihat apa yang telah berlaku sejak itu, dengan meninjau prestasi FBM Small Cap dalam tempoh dua tahun yang lepas:

Bursastation

Apa yang berlaku ialah sejak bulan Mei, iaitu apabila masa depan politik Malaysia telah ditentukan, saham bermodal  kecil melonjak naik untuk merapatkan jurang berbanding dengan saham-saham besar yang meningkat sejak dua tahun lepas.

Kenaikan tersebut begitu pantas sehingga ia turun sedikit tempoh hari, tetapi jelas bahawa jurang yang wujud dengan saham besar telah dirapatkan, seperti yang dilihat dalam carta perbandingan antara FBM KLCI dan FBM Small Cap.

Bursastation

Perbezaan di antara keduanya begitu besar dalam tempoh setahun tetapi ditutup dengan pantas dalam masa hanya satu bulan. Banyak saham bermodal kecil yang naik dengan ketara dalam tempoh ini.

Ken Fisher, seorang pelabur tersohor, menyatakan bahawa tidak ada satu kategori saham yang akan sentiasa mengatasi kategori lain pada setiap masa.  Ada kalanya saham bermodal besar akan diminati pelabur manakala dalam keadaan lain, saham bermodal kecil yang diberi perhatian.

Kita sebagai pelabur perlu mengintai peluang dengan melihat kategori saham mana yang kurang diberi perhatian dan bukannya kategori yang sedang hangat. Lazimnya nilai terbaik boleh diperolehi dengan meninjau kategori atau sektor yang diabaikan.

Peluang seperti ini pasti muncul lagi pada masa depan, mungkin dalam bentuk sektor berbeza atau kumpulan saham berbeza, cuma pelabur perlu maklum dan bijak mengambil kesempatan daripadanya.


Tiada ulasan: