24 Jun, 2013

Pengumuman Fed dan Kejatuhan Harga Aset

Rizab Persekutuan AS umum pengurangan rangsangan secara beransur yang menandakan berakhirnya kitaran pengembangan kuantitatif 

Baru-baru ini harga emas telah jatuh dengan ketara, meneruskan trend kemerosotan sejak tahun 2012. Selain itu, harga saham di seluruh dunia juga terjejas. Ini berlaku selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengumumkan untuk beransur-ansur mengurangkan program pembelian bon, selagi keadaan ekonomi mengizinkan.

Pengumuman ini bermakna Fed akan mula menamatkan Quantitative Easing (QE) yang telah dilaksanakan sejak bermulanya krisis subprima pada tahun 2009. Dasar tersebut dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi Amerika.

Kesan positif daripada dasar ini ialah dengan membanjiri ekonomi dengan wang atau kecairan (liquidity), Fed merangsang pelaburan dan menjana pertumbuhan ekonomi AS. Tempias positif daripadanya ialah kenaikan harga aset, termasuklah emas, saham dan hartanah.  Malah kenaikan aset ini bukan sahaja berlaku di Amerika, tetapi juga di negara-negara Asia.

Dasar wang mengembang meningkatkan bekalan wang, dan peningkatan bekalan akan mengurangkan harga dolar. Emas adalah aset kegemaran ramai pelabur untuk melindungi daripada penurunan nilai mata wang. Malah emas juga adalah aset di mana pelabur mendapat perlindungan daripada kegawatan. Sebab itulah emas telah mencatatkan kenaikan ketara untuk temph yang begitu lama sejak alaf baru.

Dengan mengumumkan bahawa ia akan mula mengurangkan pembelian bon secara beransur-ansur,  Fed sudah bercadang untuk 'menormalkan' semula dasarnya, walaupun tindakan tersebut akan dilakukan secara amat berhati-hati untuk mengelakkan daripada menganggu pasaran saham.

Ini juga bermakna bahawa Fed kini semakin yakin terhadap ekonomi Amerika.  Bagi emas, faktor keyakinan terhadap ekonomi, berakhirnya rangsangan ekonomi dan kekuatan dolar AS telah menyebabkan tinjauan masa depan yang kurang baik.

Bagi saham pula, pelabur khuatir tentang kenaikan kadar faedah dan berakhirnya era wang mudah dan murah. Sebenarnya perkara yang dilakukan oleh Fed hanyalah mengembalikan dasar ekonomi kepada normal tetapi bagi pelabur yang sudah biasa dengan dasar wang longgar, pengumuman ini mencetus sedikit kebimbangan.

Bursastation

Pelaburan di Malaysia

Emas telah mengalami kejatuhan harga dan harganya amat bergantung kepada faktor makro yang telah dijelaskan di atas, yang nampak tidak begitu positif. Jim Rogers, pelabur komoditi terkenal  berkata bahawa beliau akan membeli hanya apabila emas jatuh 50% daripada tahap puncaknya.

Sementara itu bagi saham, kenaikan ketara sejak empat tahun lepas terhenti seketika. Pada pendapat saya pasaran akan mengalami kemerosotan dari masa ke masa dalam tempoh satu tahun akan datang, inilah masa bagi mereka yang terlepas peluang masuk ke pasaran sebelum pilihan raya untuk merancang pembelian saham yang kukuh. Faktor lebih positif bagi saham ialah prestasinya bergantung kepada keuntungan syarikat dan tidak semata-mata kepada faktor makro ekonomi.

Hartanah ialah satu sektor yang perlu diberi perhatian teliti. Memandangkan harga emas telah jatuh dan saham pula rata-rata nampak fairly valued terutamanya sejak kejatuhan baru-baru ini, harga hartanah ialah satu-satunya aset yang masih tinggi. Selagi BNM mengekalkan BLR pada paras semasa, mungkin kesannya tidak dirasai tetapi kenaikan nilai selanjutnya sukar dicapai. Risiko paling besar wujud dalam sektor bangunan dan ruang pejabat.

Secara keseluruhan, pelabur perlu bersedia menghadapi kelemahan pasaran  untuk tempoh beberapa bulan sambil  menerima hakikat bahawa era wang mudah sudah berakhir dan tidak boleh mengharapkan lagi bantuan dasar wang mengembang dari Bank Pusat sedunia untuk merangsangkan harga aset, sama ada saham, emas atau hartanah.

5 ulasan:

aqmal faiz berkata...

Ini rupanya sebab emas jatuh..berhari-hari saya cari pasal apa jatuh menjunam.

Tanpa Nama berkata...

nasib baik saya kurang berminat pada komoditi hehehe

Unknown berkata...

agmal faiz...

ini adalah satu sebabnya selain harganya sudah naik begitu tinggi

Tanpa Nama berkata...

quantitavie esing ni ape...saya tak paham penerangan bahase ingeris..

Unknown berkata...

QE bermaksud kadar faedah yang tersangat rendah dan dasar wang mengembang yang bertujuan meningkatkan bekalan wang dengan matlamat merangsang ekonomi.