16 Jun, 2013

Anda Tak Perlu Kad Kredit Itu!

Cara paling baik untuk hadkan belanja bukan dengan tekad atau disiplin,
tetapi dengan menjelaskan baki & melupuskan kad kredit sama sekali 


Pada beberapa posting lepas saya ada menulis artikel tentang peningkatan tahap hutang isi rumah yang mencapai paras yang membimbangkan.  Posting tersebut boleh dibaca di sini: http://www.laburniaga.blogspot.com/2013/04/khuatir-tentang-hutang-kerajaan-hutang.html.

Salah satu daripada komponen hutang isi rumah ialah hutang kad kredit. Sekarang ini pemilikan kad kredit begitu berleluasa kerana ia mudah didapati. Kad kredit merupakan pendorong utama seseorang membelanjakan wang untuk membeli barangan yang tidak mampu dibeli dengan tunai.

Saya juga mengenali beberapa orang yang mempunyai  masalah hutang yang berat, dan hutang kad kredit merupakan sebahagian besar daripada masalah.  Dengan pelbagai galakan dan dorongan oleh bank dan ganjaran dan diskaun untuk setiap perbelanjaan, sesetengah orang tidak dapat menahan pujukan dan berbelanja lebih daripada apa yang mampu ditanggung.

Kad kredit juga boleh menjejaskan masa depan golongan yang baru sahaja keluar bekerja. Mereka ini baru  menikmati kuasa beli menerusi gaji yang mereka terima dan berpendapat kuasa beli mereka bertambah dengan adanya kad kredit, tanpa memikirkan bahawa segala hutang ini perlu dibayar balik akhirnya. 

Salah satu punca utama masalah ini ialah keinginan untuk hidup pada taraf lebih tinggi daripada kemampuan sebenar.  Pujukan iklan dan jurujual sukar ditepis.  Kebanyakan pembelian sekarang sudah bertukar daripada menabung dan kemudian membeli  kepada beli dulu bayar kemudian. Kalau beli rumah tidak menjadi masalah.  Tetapi beli dulu bayar kemudian sudah menjadi lumrah dan terlalu kerap digunakan dalam urus niaga masa kini.

Sama ada kita sedar atau tidak, adanya kad kredit dalam poket akan menyebabkan kita berbelanja lebih. Bagi sesetengah orang, pendapatan mereka cukup untuk menampung kos perbelanjaan tambahan ini.  Tetapi bagi sesetengah yang lain, mereka sebenarnya tidak mampu dan tidak mungkin dapat membeli jika terpaksa membayar dengan tunai.

Apabila ada kad kredit, perkara pertama yang kita fikirkan ialah jika kita tak boleh bayar bulan ini, kita akan bayar bulan depan.  Kemudian kita bayangkan mata ganjaran yang dikutip dengan berbelanja, menyebabkan kita terus berbelanja dengan rasa selesa bahawa kita mendapat manfaat.

Selain itu, kita tidak perlu membawa banyak tunai ke mana-mana.Tidak dinafikan bahawa satu kelebihan amat penting kad kredit ialah pembayaran tanpa tunai.  Malah, dengan kad kredit kita boleh membeli barangan di dalam talian dengan mudah.

Tetapi semua urus niaga tersebut boleh dilakukan dengan kad debit, termasuklah pembelian menerusi Internet. Malah pembayaran juga sekarang boleh dibuat dengan mudah dan murah menerusi pemindahan bank, walaupun di kalangan bank berbeza menerusi Interbank Giro..

Saya telah berhenti menggunakan kad kredit selama setahun sebagai percubaan dan memang mendapati tiada masalah langsung membeli barang sama ada di kedai atau secara online.  Cuma kita perlu pastikan bahawa ada tunai yang sewajarnya di dalam akaun dan menguruskan tunai kita dengan bijak.

Penggunaan kad debit akan memaksa kita berfikir dua tiga kali sebelum membeli kerana wang dalam akaun akan lesap dengan serta-merta selepas pembelian dibuat. Ketiadaan kad kredit akan mendorong kita menilai dengan teliti. Pembelian yang tidak perlu akan dibatalkan atau ditunda.

Saya suka menulis tentang pelaburan tetapi mesej saya tidak akan dapat dimanfaatkan oleh ramai orang kerana mereka belum lagi terlepas daripada perangkap hutang.  Jika masih berhutang, terutamanya hutang pengguna, bagaimana untuk melabur?

Pulangan yang diterima oleh Bank apabila anda tidak membayar penuh baki kad kredit, iaitu antara (13% hingga 18%) adalah lebih tinggi daripada yang dihasilkan oleh pelabur tersohor dan pengurus dana yang terpaksa bekerja keras untuk memikirkan cara untuk mendapatkan pulangan setimpal untuk pelabur.

Bank tidak perlu melakukan semua itu. Galakkan pemegang kad berbelanja dan mereka dapat untung. Harapkan segelintir tak bayar hutang sepenuhnya mereka dapat lebih untung. Keuntungan ini akan diterima berulang-kali kerana golongan yang tidak membayar penuh hutang kad kredit akan ada sahaja baki belum jelas setiap bulan, malah ada yang berterusan selama bertahun-tahun..

Dari perspektif anda sebagai pengguna, selagi anda mempunyai hutang kad kredit, tak perlulah melabur dalam saham kerana penjimatan yang anda terima apabila membayar balik hutang adalah lebih tinggi daripada pulangan terkompaun tahunan dalam jangka panjang yang dicatatkan oleh sebahagian besar daripada dana unit amanah di Malaysia.

Kad kredit boleh menimbulkan masalah besar kepada penggunannya, sedangkan manfaatnya semuanya sudah disediakan oleh kad debit. Satu kad sebit Visa atau Mastercard pun sudah cukup.

Bagi mereka yang tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap kad kredit, saya ingin tanya soalan berikut. Buat apa kita hidup seperti orang  mewah atau senang sedangkan hakikatnya berbeza? Bagi saya jauh lebih 'cool' untuk nampak sederhana tetapi hidup bebas daripada hutang pengguna.


Nota:  Posting kali ini ditulis atas 'arahan' isteri saya, yang bertanya kenapa tak tulis tentang hutang kerana inilah masalah yang dihadapi oleh ramai orang. Betul juga. Berapa ramai orang yang mampu melabur dalam saham sedangkan jauh lebih ramai yang bergelumang dalam masalah hutang.

4 ulasan:

Pok Li berkata...

Pandangan isteri tuan adalah betul. Hutang adalah punca kenapa kebanyakkan keluarga mengahadapi maslah kewangan yang serius

Unknown berkata...

...masalah kewangan yang membawa kepada banyak masalah lain

amirulcyber berkata...

Kad kredit sbnrnye adalah kemudahan yg diberikan oleh bank kepada pengguna.Namun penyalahgunaan k.kredit menyebabkan pengguna tersebut terjebak dlm perangkap hutang.K.kredit mengajar kite berdisiplin dlm membelanjakan duit.So sblm memohon sebarang k.kredit pastikan anda sudah bersedia dari mental 100%.itu pndgn sy.

Unknown berkata...

betul tu...dan diharapkan jika mohon kad kredit biarlah yang patuh syariah...:)