15 Julai, 2013

Tempoh Pegangan Pelaburan Bergantung Kepada Tujuan Dan Jenis Saham Yang Dibeli

Ada saham boleh dimiliki untuk jangka masa sangat panjang manakala yang lain dipegang sehingga sasaran pelaburan telah dicapai

Kebanyakan pelabur fundamental terkenal memegang saham atau membeli dengan matlamat untuk memegang saham untuk jangka panjang.  Apakah definisi jangka panjang? Lazimnya jangka panjang dalam pelaburan saham ialah tempoh antara 3 - 5 tahun.

Tetapi ada segelintir pelabur tersohor seperti Warren Buffett dan Philip Fisher yang memegang pelaburan mereka untuk tempoh yang ultra panjang, atau mengikut kata mereka, buy and hold forever.

Bagi kebanyakan pelabur biasa, pegangan untuk tempoh 3 - 5 tahun pun adalah sesuatu yang berat. Mereka lebih suka mencari keuntungan dalam jangka yang singkat dan lebih meminati teknik dagangan jangka pendek.

Bagi saya tempoh pegangan adalah bergantung kepada tujuan dan jenis saham yang dibeli.  Sebagai contoh, jika sesuatu saham dibeli kerana ia kini menghadapi masalah tetapi berpotensi untuk pulih (dinamakan turnaround play), pelabur boleh pegang sehingga syarikat disusun semula dan harga saham pulih kembali.

Begitu juga saham yang undervalued dari segi nisbah PE rendah atau mempunyai harga lebih rendah daripada aset. Jika saham tersebut bukan syarikat yang benar-benar cemerlang dan mempunyai potensi pertumbuhan sederhana sahaja dalam jangka panjang, maka saham tersebut boleh dijual apabila sudah mencapai sasaran.

Sebaliknya, jika anda berpeluang membeli syarikat cemerlang yang mampu berkembang tahun demi tahun dan memberikan pulangan memuaskan kepada pelabur, saham syarikat patut dipegang untuk jangka yang sangat panjang selagi ia berpotensi meningkatkan untung pada kadar yang memuaskan.

Kriteria sama ada syarikat ini akan terus berkembang atau tidak bukan terletak pada carta atau trend pertumbuhan masa lepas, tetapi menerusi analisis perniagaannya dan potensinya untuk terus mencapai pertumbuhan pada masa depan.

Kita tidak perlu mengehadkan teknik kita kepada satu cara sahaja. Contohnya kita hanya mengikut kaedah Buffett atau Fisher sahaja. Keupayaan kita tidak sama dengan keupayaan mereka. Ramai pelabur fundamental lain yang berjaya meraih keuntungan tahun demi tahun dengan menggunakan jangka masa 3 - 5 tahun, termasuk John Templeton, John Neff, Peter Lynch dan Walter Schloss.

Kita boleh mengamalkan kedua-duanya, dan semuanya bergantung kepada jenis saham yang kita beli dan potensi pertumbuhannya pada masa depan.

Secara peribadi apabila membeli saham, matlamat saya bagi sebahagian besar daripada pembelian ialah untuk pegang dalam tempoh 3 - 5 tahun, kecuali satu atau dua saham yang mungkin saya akan pegang untuk jangka masa yang lebih lama kerana ciri-ciri khususnya.

Tetapi untuk saham yang dibeli dengan matlamat pegangan 3 - 5 tahun, jika harga telah naik melebihi tahap sasaran, kemungkinan besar saya akan jual jika saya rasa saham telah overvalued, walaupun belum sampai 3 tahun.  Semuanya bergantung kepada unjuran tahap keuntungan syarikat pada masa depan dan sama ada ia boleh menyokong kenaikan harga seterusnya. 

Nota: Ini hanya pandangan peribadi sahaja. Warren Buffett akan terus memegang sahamnya walaupun ia telah naik lebih tinggi daripada nilainya buat sementara waktu.  Tetapi Buffett mempunyai jauh lebih banyak maklumat dan sangat bijak dan berpengalaman dalam menilai sesuatu perniagaan daripada pelabur biasa seperti kita.

Tiada ulasan: