04 April, 2012

Ilmu Yang Perlu Diketahui Sebelum Berniaga

Lebih teliti persediaan yang dibuat, lebih rendah peluang kegagalan

Bukan mudah untuk memulakan perniagaan.  Seorang yang mahir bekerja dalam sesuatu bidang tidak semestinya boleh berniaga dalam bidang tersebut. Contohnya, seorang tukang masak yang hebat tidak semestinya berjaya jika membuka rangkaian restoran. Seorang akauntan berwibawa tidak pasti untung jika membuka firma perakaunan. Seorang doktor yang cemerlang tidak semestinya berjaya jika membuka klinik sendiri.

Kemahiran khusus dalam bidang yang diceburi akan memberikan sedikit kelebihan, tetapi biasanya pelbagai ilmu lain yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah perniagaan.  Kita sedia maklum bahawa lebih banyak perniagaan baru yang gagal daripada berjaya. Untuk memastikan kita adalah antara yang berjaya, berikut adalah beberapa bidang ilmu dan kemahiran yang perlu ditimba:

1.  Pengetahuan Mengenai Industri

Maklumat ini penting untuk mengetahui siapakah pesaing dan siapakah bakal pelanggan kita, walaupun perniagaan kita amat kecil.  Bolehkah kita memasuki pasaran sasaran kita dan merebut pelanggan daripada pesaing? Adakah industri kita akan terus berkembang?  Bolehkah pesaing lain masuk dalam industri dengan mudah?  Apakah kelebihan kita berbanding pesaing?  Semua soalan ini perlu dijawab dengan teliti sebelum bermula

2.  Perakaunan dan Pentadbiran

Kita perlu mengetahui maklumat asas tentang perakaunan, walaupun jika kita 'outsource' fungsi perakaunan kita.  Ini kerana faktor yang membabitkan pengiraan untung rugi seperti titik pulang modal, penetapan harga, kos tetap dan berubah, anggaran untung kasar dan untung bersih semuanya perlu dipertimbangkan untuk menentukan sama ada perniagaan berdaya maju sebelum perniagaan dibuka.

Selain itu hal ehwal pentadbiran juga penting. Contohnya, bolehkah dan mampukah  kita menggaji pekerja? Kita juga perlu fasih tentang selok-belok segala pendaftaran yang perlu dibuat dengan agensi kerajaan dan juga urusan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Saya pernah melihat syarikat menghadapi masalah besar kerana mengabaikan urusan dengan LHDN.

3.  Modal dan Aliran Tunai

Apakah sumber pembiayaan kita dan adakah aliran tunai kita dapat menampung operasi perniagaan sehinggalah perniagaan berdaya maju dan dapat pulang modal dengan sendiri?  Adakah kita mempunyai modal kerja yang secukupnya untuk meneruskan perniagaan sekiranya tempoh pulang modal dilengahkan? Kadangkala sesuatu perniagaan itu lingkup walaupun bisnes mula berkembang.  Ini kerana perniagaan tersebut hanya memerlukan setahun lagi untuk pulang modal, sedangkan mereka sudah kehabisan modal dan aliran tunai .

4.  Jualan dan Pemasaran

Ini adalah faktor yang mungkin paling kurang diberi perhatian, terutamanya oleh mereka yang pakar dalam sesuatu bidang yang membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri.  Usahawan perlu menjual dan kemahiran menjual adalah sesuatu yang amat sukar dipelajari oleh sesetengah orang.  Saya sendiri mempunyai kelemahan dalam bidang ini.

Pemasaran pula membabitkan usaha membawa produk dan perkhidmatan anda ke pasaran, dan termasuk promosi dan penetapan harga.  Pendek kata, selain daripada berupaya membekalkan produk dan perkhidmatan, seorang usahawan baru perlu menetapkan minda untuk sentiasa mempromosi perniagaannya dalam segala  keadaaan, sama ada dalam dunia sebenar, laman web, blog laman sosial dan sebagainya.

5.  Perkhidmatan Pelanggan

Bidang ini juga sering menimbulkan kerumitan yang tidak diduga.   Jika dulu apabila bekerja dengan orang lain, ada jabatan lain yang mengendalikan kerenah pelanggan.  Tetapi sekarang ini usahawan sendiri bertanggungjawab dan perlu menyelesaikannya jika kakitangan beliau tidak mampu. Justeru, kemahiran perhubungan peribadi juga perlu dibina sekiranya perniagaan melibatkan interaksi yang kerap dengan pelanggan, sama ada sebelum atau selepas jualan.

Sebenarnya, transformasi daripada seorang pekerja mahir atau perunding pakar kepada usahawan bukannya mudah dan bukan untuk semua orang.  Pertimbangkan sama ada anda sanggup mempelajari ilmu berniaga dan melayan segala masalah yang pasti timbul apabila menjalankan perniagaan. 

Tetapi bagi yang sanggup menghadapi segala kerumitan, risiko dan cabaran pada peringkat awal perniagaan,  mereka berpotensi meraih pulangan yang lumayan dan kepuasan membina sesuatu yang diusahakan sendiri apabila perniagaan sudah mula berdaya maju.

Tiada ulasan: