Walt Hampton ialah penulis buku The Power Principles of Time Mastery dan Journeys on the Edge: Living a Life That Matters. Beliau ialah seorang pembimbing perniagaan di bawah organisasi kendalian Michael Port, penulis buku bestseller Book Yourself Solid.
Baru-baru ini Walt Hampton telah menulis satu artikel bermanfaat yang menerangkan cara-cara untuk meningkatkan tahap produktiviti anda. Saya menterjemah dan mengulas 8 daripada cadangan beliau. Artikel penuh boleh dibaca di sini: Ten Productivity Hacks for the New Year.
1. Peruntukkan blok masa tertentu untuk bekerja. Menurutnya kita tidak mampu bekerja sepanjang masa. Kita perlu meluangkan masa untuk bekerja secara berkesan dan tidak terganggu antara 60 dan 90 minit setiap kali sebelum kita berehat untuk tempoh 10 hingga 15 minit. Pada pendapatn saya cadangan ini bernas kerana saya sendiri pun hanya sempat bekerja 20 - 30 minit secara terus-menerus kerana sering ada gangguan.
2. Tutup penggera mesej telefon. Anda tidak perlu melayan setiap mesej atau komen yang datang katanya. Tiada kecemasan yang berlaku jika anda tidak menjawab dengan serta-merta. Lagipun bila ada kecemasan orang selalunya akan menelefon dan bukannya menghantar mesej.
3. Jangan cuba melakukan lebih daripada satu kerja sekali (multi-task). Hasil kajian mendapati jika anda asyik melakukan dua tiga perkara sekaligus, anda akan hilang tumpuan, mengurangkan produktiviti dan meningkatkan tekanan. Saya sendiri pun selalu melakukan kesilapan ini.
4. Jadualkan masa media sosial anda. Media sosial sememangnya penting untuk perniagaan tertentu tetapi kadang kala kita menggunakannya secara berlebihan dan tidak berkaitan dengan perniagaan. Luangkan blok masa tertentu untuk mengendalikan media sosial. Secara peribadi memang apa yang beliau kata betul kerana memang sukar untuk mengelak daripada melihat newsfeed di FB dengan kerap.
5. Sekali sekala matikan telefon bimbit anda (atau sekurang-kurangnya matikan fungsi wifi atau data). Ramai orang yang memeriksa telefon bimbit mereka berpuluh atau lebih seratus kali sehari (termasuk saya). Sekali-sekala matikan telefon bimbit (atau tutup sambungan Internet) untuk membebaskan diri dari belenggu teknologi dan cuba lakukan aktiviti lain yang bermanfaat.
6. Jangan bekerja terlalu kuat. Kajian mendapati mereka yang bekerja lebih 55 jam menghadapi risiko 33% lebih tinggi mengalami strok dan 13% lebih tinggi mengalami sakit jantung. Malah ada kajian yang menunjukkan sesiapa yang bekerja lebih daripada 70 jam tidak membuat lebih kerja berbanding mereka yang bekerja 55 jam seminggu. Tumpuan kita semakin rendah selepas bekerja lebih 55 jam.
7. Bersenam. Menurutnya, selain daripada manfaat kesihatan, senaman juga membolehkan seseorang meningkatkan tumpuan beliau semasa bekerja. Saya tiada masalah melakukan cadangan ini tetapi saya tahu ramai yang liat untuk bersenam.
8. Tidur yang mencukupi. Kemalangan dan kesilapan besar pernah berlaku akibat orang yang tidak cukup tidur. Ramai orang menganggap kerja banyak dan kurang tidur menjadikan anda lebih produktif, tetapi sebenarnya tidak. Kekurangan tidur akan menjejaskan fokus.
Nota: Anda boleh mengunjungi laman FB Michael Port untuk pelbagai tips perniagaan dan cara untuk bercakap dengan yakin di khalayak ramai.
Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.
PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan