10 Januari, 2010

Francais tidak menjamin keuntungan

Buat penyiasatan wajar sebelum tandatangan kontrak

Dari masa ke masa, saya ada mendengar dan membaca tentang masalah yang dihadapi oleh peniaga yang berniaga secara francais.

Antara masalah yang ditimbulkan ialah perniagaan yang indah khabar dari rupa, lambakan stok secara paksa oleh francaisor, perubahan syarat perjanjian selepas perjanjian ditandatangani dan kekurangan sokongan daripada francaisor

Ada yang dari mula lagi, iaitu selepas menandatangani perjanjian, menghadapi masalah, ada yang mendapati mereka tidak dapat pulang modal selepas berniaga, manakala ada yang lain pula menghadapi kemelut selepas beberapa lama berniaga.

Perlu diingat bahawa industri francais ini bukan sesuatu yang boleh menjamin keuntungan. Selain itu bukan semua francais sama. Ada yang baik dan ada yang tidak. Malah bukan semua masalah adalah salah francaisor, kadang kala membabitkan kedua-dua pihak, atau ada yang disebabkan francaisi tidak pandai berniaga.

Daripada pemerhatian saya, aduan atau masalah kerap timbul dengan nama-nama francais yang lebih kurang sama. Ini bermakna bukan sistem francais itu yang salah, tetapi mungkin ada segelintir francaisor yang kurang baik.

Jika anda membeli perniagaan biasa (bukan francais) anda perlu membuat due diligence (penyiasatan wajar) terhadap perniagaan sebelum membeli. Bagi perniagaan francais, perkara yang sama perlu dilakukan.

Tanya francaisi lain tentang kekuatan dan keikhlasan francaisor. Tanya mereka sama ada mereka boleh buat untung. Buat rancangan perniagaan seperti biasa.

Tetapi paling penting anda perlu nilai apakah manfaat yang diperolehi apabila anda membayar yuran francais. Adakah anda setakat membeli jenama sahaja atau anda membeli resipi, sistem perniagaan dan juga sokongan penuh. Adakah mereka boleh memaksa anda menerima stok yang mereka bekalkan, walaupun anda tidak mahu terima? Bolehkah mereka menukar perjanjian secara unilateral (tidak perlu persetujuan anda)?

Soalan akhir sekali ialah bolehkah anda, dengan yuran francais yang anda bayar, membina perniagaan sendiri, tanpa perlu membeli perniagaan francais? Dalam kebanyakan kes mungkin tidak boleh, tetapi dalam segelintir kes lain, anda boleh melakukannya sendiri.

Saya ada beberapa kenalan yang menjalakan atau cuba menjalankan perniagaan francais. Ada yang berjaya dan ada yang tidak. Yang saya dengar yang menimbulkan masalah ialah nama-nama yang sama sahaja, walaupun saya dengar dari orang berlainan.

Umumnya pada pandangan saya lebih banyak francaisor yang baik daripada yang lemah. Sistem francais juga memberikan peluang survival lebih tinggi berkat sokongan francaisor. Tetapi sudah tentulah jika anda berniaga francais, anda melepaskan sedikit kawalan terhadap perniagaan anda, dan anda tidak boleh membina jenama atau identiti sendiri.

Francais ialah satu cara kos rendah dan risiko rendah bagi francaisor untuk meluaskan perniagaan (berbanding menambah outlet sendiri). Francais juga satu cara yang berdaya maju bagi francaisi untuk menceburi bidang perniagaan dan mempelajari selok-belok perniagaan.

Jika dilakukan dengan betul, kedua-dua pihak untung. Tetapi jika tidak betul, francaisi yang biasanya rugi kerana menanggung sebahagian besar daripada risiko.

Walau apa pun, jangan terburu-buru untuk menandatangani perjanjian. Buat penyiasatan wajar dan pastikan anda tahu apa yang anda beli. Selepas itu, jika gagal anda sendiri perlu bertanggungjawab kerana pada asasnya, anda yang menandatangani perjanjian kontrak tanpa paksaan sesiapa (kecuali kes membabitkan fraud atau penipuan di pihak francaisor).

Tiada ulasan: