06 Januari, 2010

Contoh Sebenar Proses Belian Saham

Kajian Kes: Pembelian Saham Mamee Double Decker

Atas permintaan pembaca, saya bentangkan satu kajian kes proses pembelian saham sebenar dengan menunjukkan bagaimana analisis dibuat. Analisis tersebut diringkaskan sahaja di sini. Maklumat penuh boleh didapati daripada Laporan Tahunan dan Laporan Suku Tahunan syarikat di laman web Bursa Malaysia.

Saya telah membeli saham Mamee Double Decker pada bulan Julai tahun lepas.

Belian:
3000 saham pada 2.40 (20/7/09)
4000 saham pada 2.47 (27/7/09)
2000 saham pada 2.46 (29/7/09)
1000 saham pada 3.56 (02/11/2009)

Harga belian purata = RM2.56

Nota: Seribu saham terakhir dibeli kerana mencukupkan angka 10,000 saham sebelum terbitan bonus 4 saham untuk setiap 5 saham dipegang yang dibuat pada akhir bulan November 2009.

Berikut adalah proses analisis semasa membeli Mamee Double Decker

Keuntungan
Margin Bersihnya ialah 6%. Bermakna setiap ringgit jualan menghasilkan untung bersih 6 sen. Pendapatan sesaham (EPS) purata 27 sen sesaham dalam tempoh lima tahun lepas. Tapi bagi suku pertama tahun berakhir 2009, Mamee mencatatkan EPS 12.9 sen. Pada separuh pertama 2009, pendapatan sesaham ialah 26 sen. Jika prestasi diteruskan bermakna annualised EPS bagi 2009 ialah lebih kurang 52 sen. Maka forward P/E lebih kurang 5 pada harga belian purata. (Pemikiran saya pada waktu itu ialah saham ini sangat undervalued)

Nilai Aset
Nilai aset bersih sesaham Mamee pada waktu penilaian ialah RM2.34. Maka Price to Book Value ialah kira-kira 1.09. Namun begitu saya tak begitu mengutamakan nisbah ini bagi syarikat F&B. Saya lebih melihat kepada keuntungan. Sementara itu, nilai aset cair sesaham ialah RM0.55

Aliran Tunai
Pada 2008, Aliran tunai daripada kegiatan operasi ialah RM20.6 juta berbanding untung bersih RM23.5 juta. Ini bermakna syarikat bukan sahaja mencatat untung perakaunan, tetapi juga menjana aliran tunai bagi operasinya. Perkara lebih menarik ialah pada separuh pertama 2009 sahaja, syarikat mencatat untung bersih RM21.2 juta dan aliran tunai daripada kegiatan operasi RM25.4 juta. Keuntungan dan aliran tunai separuh tahun 2009 hampir sama dan mengatasi keuntungan dan aliran tunai seluruh tahun 2008!

Jualan / Hasil
Meningkat setiap tahun pada tempoh lima tahun lepas, sehingga mencecah RM396 juta pada 2008. Pada separuh pertama 2009 jualan ialah RM194.4 juta. Justeru tahap jualan dijangka sama dengan 2008 tetapi keuntungan meningkat dengan ketara kerana faktor pengurangan kos.

Kewibawaan Pengurusan
Syarikat mencatat keuntungan dalam tempoh lebih sepuluh tahun berturut-turut. Malah ia tidak perlu gunakan hutang untuk luaskan perniagaan. Syarikat juga sering menambah kepada rangkaian produk

Struktur Modal
Langsung tiada hutang jangka panjang. Hanya modal ekuiti sahaja

Produk dan Perkhidmatan
Snek Mamee Monster, Double Decker, Mister Potato Me Segera Mamee Slrrp, Mamee Klasik, Double Decker, Minuman Nutrigen dan IQ3, Gula-Gula Herba Nicolet, Minuman Cheers.

Penguasaan Pasaran
Bagi snek Mamee Monster, hampir di tahap monopoli kerana tidak ada pesaing kukuh bagi mi kering. Namun bagi produk lain seperti mi segera, masih ketinggalan di belakang jenaam utama seperti Maggi dan tidak mempunyai kuasa pasaran. Double Decker dan Mister Potato juga mantap di pasaran masing-masing.

Suasana Industri
Industri ini dapat menahan kegawatan kerana harga input, iaitu minyak sawit telah menurun. Selain itu, produk seperti makanan dan minimum ringan tidak begitu terjejas, disebabkan harganya yang murah.

Keadaan Makroekonomi
Ekonomi negara dan global semakin pulih tetapi harga minyak sawit yang merupakan input utama masih berada di sekitar RM2,000 - RM2,500 setan. Selagi harga minyak sawit tidak meningkat dengan terlalu ketara, maka margin keuntungan tidak akan terjejas.

Terbitan Bonus
Pada Nov 2009, Mamee membuat terbitan bonus 4 saham untuk setiap lima saham Sebelum terbitan bonus dibuat, harga saham telah naik ke RM3.75 sen. Justeru, jumlah saham saya telah bertambah daripada 10,000 saham kepada 18,000 saham. Namun selepas terbitan bonus, sudah tentulah harganya turun secara sekadar dengan bilangan saham bonus yang diberikan, iaitu kepada lebih kurang RM2.08 sen.

Jualan Saham
Oleh kerana pegangan saham Mamee melebihi peratusan maksimum yang saya tetapkan untuk sesuatu saham dalam portfolio saya (kerana kenaikan ketara harganya), maka saya menjual 8,000 saham Mamee.

3000 saham pada 2.15 (2/12/09)
2000 saham pada 2.18 (8/12/09)
3000 saham pada 2.08 (1/12/09)

Purata harga jualan = RM2.1313

Jadi baki sekarang ada 10,000 saham

Dividen
Pada Disember 2009, Mamee isytihar dividen bebas cukai 5 sen saham
Jumlah dividen 5 x 10,000 = 500

Pengiraan Pulangan
Jualan : 2.1313 x 8000 = 17,050
Dividen = 500
Nilai 10,000 saham Mamee yang tinggal (harga hari ini) : 2.16 x 10000 = 21,600
Jumlah Nilai 17,050 + 500 + 21,600 = RM39,150

Kos Belian : 2.56 x 10,000 = 25,600

Pulangan Kasar = 39,150 - 25,600 = RM13,550

Kos urus niaga ialah lebih kurang RM300.

Pulangan Bersih = RM13,250
Peratus Pulangan = 52%

(Pengiraan berasaskan harga purata Mamee hari ini pada RM2.16)

Nota:
1. Kajian kes ini menunjukkan proses pemilihan saham pada waktu pembelian. Ia bukan cadangan untuk membeli saham pada waktu ini.
2. Maklumkan saya jika ada kesilapan.

2 ulasan:

2bz4money berkata...

Sekiranya tuan tidak membeli 1,000 unit saham pada bulan November 2009, dan tidak menjual lot2 bagi mencukupi 10k unit, sudah pasti pulangan keuntungan akan lebih tinggi dari 59-61%.
Tapi pulangan 52% pun sudah lebih berbaloi bagi proses pemantauan jualbeli saham selama 6 bulan berbanding dengan risiko rendah ASB 7.3% untuk setahun.

Bolehkah tuan syorkan trade online via internet banking yang paling menjimatkan kos urusniaga dan paling informatif dari segi pemantauan? Terima kasih.

Unknown berkata...

Memang betul simpan semua mungkin untung lebih tinggi, tapi saya ada risk management dan diversification rules yang saya patuhi setiap masa untuk mengelakkan kerugian.

Saya sendiri guna Maybank2U dan saya rasa ok (tak bagus sangat tapi senang diuruskan sebab akaun saya dengan Maybank)

Saya pernah tinjau RHB punya yang nampak hebat dari segi tools. Selain itu CIMB pun bagus jugak. Selain itu kalau tak silap Jupiter bagi kos urus niaga minimum RM8 berbanding RM12 bagi Maybank. Biasanya terpulang kepada individu tapi bagi saya ini semua tidak begitu penting berbanding pemilihan saham dan penyelidikan sendiri. Perbezaan kosnya juga kecil.