03 Januari, 2010

KLCI Naik 45% Pada 2009

Sesiapa yang keluar pasaran terlepas peluang

Tahun 2009 merupakan tahun yang sangat cemerlang bagi saham. Indeks komposit telah naik dari tahap di sekitar 880 mata pada awal tahun kepada 1272 mata pada akhir 2009.

Ramai yang rasa hairan kerana sedang ekonomi mengalami kemelesetan, pasaran saham boleh naik begitu tinggi tetapi seperti yang saya nyatakan dalam beberapa posting sebelum ini, pasaran saham biasanya mendahului ekonomi.

Kejatuhan besar telah berlaku pada 2008 kerana peserta pasaran meramalkan kegawatan pada 2009, manakala saham telah naik pada 2009 kerana peserta pasaran meramalkan pemulihan pada 2010.

Saya ada menulis artikel bertajuk peluang dalam kegawatan dalam majalah Dewan Ekonomi pada akhir tahun lepas dan juga menulis dua posting berikut bertajuk Baik Buruk Krisis Kewangan Dunia dan Peluang Dalam Kegawatan. Ini kerana pada pendapat saya, pada waktu krisis pelabur boleh mendapat untung paling besar.

Bagaimana pula dengan tahun 2010? Tahun 2010 adalah amat sukar diramalkan berbanding 2008 dan 2009. Ada sesetengah pakar berkata saham akan naik tetapi ada yang kata saham akan turun. Sukar untuk menentukan pihak mana yang betul.

Walau apa pun, saya yakin kenaikan tidaklah setinggi kenaikan 2009, cuma dalam tempoh terdekat, saya tidak begitu yakin dengan kekuatan pasaran. Jadi ramalan saya ialah pasaran akan turun atau mendatar dahulu sebelum naik.

Walau apa pun semua ini ramalan sahaja. Saya yakin bahawa jika tahun 2009 mengutamakan cara anda memperuntukkan aset (iaitu berapa banyak dana anda dilaburkan dalam saham), pada tahun 2010, cara anda memilih saham adalah lebih penting.

Saya ucapkan selamat melabur dan selamat berjaya pada 2010!

2 ulasan:

2bz4money berkata...

Saya juga menjangkakan keadaan ekonomi yang menurun tahun ini. Mempunyai kaitan langsung dengan dasar ekonomi dan suasana politik negara yang agak merisaukan. Nampaknya 2010 perlu dimulai dengan langkah yang lebih berhati-hati..

Unknown berkata...

Salam,

Pada pandangan saya, ekonomi mungkin berkembang sedikit tetapi hala tuju pasaran tidak begitu pasti