Bukan Semua Pelanggan Boleh Kita Terima
Jika kita membuka perniagaan runcit (retail), isu penilaian pelanggan tidak menjadi masalah kerana segala urusan dibuat secara runcit dan tunai diterima dengan serta-merta. Begitu juga banyak perniagaan online yang tidak melibatkan interaksi, kerana perniagaan seperti ini biasanya menerima pembayaran tunai terdahulu, sebelum penghantaran barang dibuat..
Namun begitu, ada banyak bisnes lain yang melibatkan perkhidmatan, kontrak dan jual beli pukal dan sebagainya yang memerlukan pemberian kredit dan membabitkan ketidakpastian. Dalam perniagaan sebegini, pemberian kredit adalah lumrah dan kalau nak berniaga kita perlu memberikan kemudahan kredit.
Dalam keadaan inilah kita perlu berhati-hati dalam pemilihan pelanggan kerana jika mereka tak bayar atau buat kecoh, hampir tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan, terutamanya jika perniagaan kecil. Cuba bayangkan jika mereka hutang anda RM3,000 dan mereka tak mahu bayar.
Jadi macam mana nak kutip? Takkan nak pergi mahkamah? Kos peguam saja dah lebih RM3,000 dan pelbagai kerenah yang perlu dilalui. Baik lupakan sahaja. Saya pernah kena kes sebegini dan begitu juga dua tiga orang kenalan lain yang mengendalikan perniagaan kecil. Malah ada pelanggan mereka yang berani mengatakan "What are you going to do about it?" kerana tahu perniagaan kecil tak mampu pergi mahkamah.
Cara terbaik ialah membuat penilaian di peringkat awal lagi. Kita perhatikan tindak-tanduk mereka semasa berurusan dengan kita. Mungkin buat kali pertama anda boleh tetapkan syarat bayar tunai dulu dan jika dah yakin baru beri kemudahan kredit.
Selain daripada memilih pelanggan untuk memastikan pembayaran, satu lagi sebab ialah mengelakkan pelanggan yang terlalu banyak kerenah. Jika sudah komited dengan satu projek dengan pelanggan sebegini, habiskan dulu projek atau kontrak tersebut dengan sebaik mungkin. Puaskah hatinya, malah bagi diskaun lagi kalau dia tak puas hati. Lepas itu, kalau boleh jangan terima lagi kerja daripada pelanggan ini.
Sebab terakhir untuk memilih pelanggan ialah untuk mengelakkan rasuah. Sesetengah pelanggan ada pelbagai kerenah. Mungkin ada yang nak minta 'dummy invoice', atau yang mahukan 'kickback' kerana memilih syarikat anda untuk melaksanakan tugas.
Terus-terang saya katakan pada satu masa dulu saya pernah melayan permintaan seperti ini. Namun begitu, saya rasa tak sedap hati dan akhirnya pada satu ketika saya membuat keputusan untuk langsung tidak layan dan kalau tak dapat bisnes, tak kisahlah. Saya agak bernasib baik kerana dalam bidang saya, memang tak perlu lakukan perkara ini. Tapi saya tahu ada satu dua bisnes lain yang mungkin sukar untuk 'survive' kalau tak buat perkara seperti itu.
Walau apa pun, kesimpulannya ialah jangan kita asyik fikir yang hanya pelanggan yang akan pilih kita, kita juga perlu nilai pelanggan untuk memastikan bisnes kita bersih, cekap dan amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan