31 Ogos, 2016

Mengapa Nilai Aset Terbaik Jauh Lebih Tinggi

Adakah Paul Pogba yang dibeli pada 89 Juta Paun tiga kali lebih baik daripada Granit Xhaka yang berharga 30 Juta Paun?

Berasaskan prestasi di Euro 2016, sumbangan kedua-duanya sama sahaja tetapi dari segi prestasi untuk kelab, pada anggaran saya paling banyak pun Pogba 30% lebih baik.

Jadi mengapa harga beliau tiga kali lebih mahal?

Fenomena ini juga boleh dilihat dalam saham mewah. Lazimnya saham mewah atau blue chip berharga lebih tinggi jika dibandingkan dengan untung yang dihasilkannya.

Jangan harap untuk dapatkan pada P/E di bawah 10 melainkan dalam keadaan tertentu sahaja.

Begitu juga dalam bidang hartanah. Aset di lokasi paling hangat jauh lebih tinggi daripada hartanah yang serupa dari segi keluasan, saiz dan binaan, yang terletak tidak sampai 10 km dari kawasan tersebut.

Perbezaan ketara ini adalah disebabkan permintaan dan bekalan. Kalau boleh kebanyakan pelabur besar mahu membeli aset yang terbaik.

Semua kelab bolasepak ternama mahukan segelintir pemain superstar sedangkan yang ada beberapa orang sahaja.

Begitu juga saham, banyak pelabur institusi dan pelabur besar lain mempunyai kriteria kualiti yang ketat dan mahukan saham yang terbaik sahaja.

Kesannya duit yang banyak mengejar jumlah aset paling berkualiti yang tidak begitu banyak. Sebab itulah harga aset 'terbaik' kadangkala beberapa kali lebih tinggi daripada aset yang hanya bertaraf 'baik'.

Semuanya kerana faktor permintaan dan bekalan. Jadi jika anda mahu melabur dalam aset-aset berkualiti sangat tinggi, mindset value seperti Arsene Wenger atau Benjamin Graham tak boleh digunakan sangat.

Anda perlu membayar untuk yang terbaik. Jadi jangan haraplah nak tunggu harga turun sehingga P/E bawah 10 atau 15 sekalipun.

Pelaburan aset mewah ini satu game yang lain sama sekali, bukan game Arsene Wenger, Benjamin Graham dan bukan game saya.

Mindset value kena diubah sedikit untuk mengambil kira faktor kualiti, permintaan dan bekalan jika ingin melabur dalam saham atau apa jua aset mewah.

Ada kalanya pelaburan sebegini menjadi, dan ada kalanya tidak menjadi.

Meneruskan analogi bolasepak, lihat sahaja pada Gonzalo Higuain dan kemudian kaji apa yang berlaku pada Radamel Falcao.

Nota: Tentunya ROI bagi pemain bola sepak berbeza sedikit, iaitu bukan sahaja resale value tetapi juga prestasinya di atas padang.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: