31 Mei, 2010

Tabungan Bulanan: Simpan atau Labur?

Cara anda memanfaatkan tabungan bulanan bergantung
kepada kesanggupan anda menanggung risiko


Saya pernah membincangkan tentang konsep 'Pay Yourself First' dan 'Automatic Savings' dalam posting lama saya. Saya menjelaskan bahawa pakar perancangan kewangan menggalakkan anda menyimpan dahulu peratus tertentu daripada gaji anda (sekurang-kurangnya 10%) sebelum membuat sebarang perbelanjaan lain.

Selain itu, saya juga menyebut bahawa ada pakar, termasuk David Bach, penulis buku The Automatic Millionnaire yang mencadangkan agar anda membuat tabungan secara automatik, iaitu menerusi arahan tetap dari akaun semasa kepada instrumen simpanan atau pelaburan anda.

Persoalan bagi orang ramai ialah adakah tabungan automatik ini patut disimpan atau dilaburkan?

Pada pandangan saya, produk simpanan ialah produk yang tetap nilainya, iaitu jika anda menyimpan RM10,000 anda akan mendapat balik sekurang-kurangnya jumlah itu, ditambah keuntungan yang diperolehi daripada produk tersebut.

Antara produk yang saya kategorikan sebagai simpanan termasuk

1. Akaun simpanan di Bank/Bank Islam
2. Akaun simpanan tetap/pelaburan di Bank/Bank Islam
3. Tabung Haji
4. ASW/ASB/ASD/AS1M

Walaupun ada di antara produk di atas merupakan produk pelaburan (seperti ASB), wang pokok pelabur adalah hampir terjamin dan nilainya tidak berubah-ubah.

Produk dalam kategori pelaburan termasuklah:

1. Kebanyakan produk unit amanah
2. Akaun simpanan emas
3. Segala instrumen dan saham yang dijual di pasaran saham

Bagi sesetengah orang, mereka akan simpan hanya jumlah tunai kecemasan antara 3 hingga 6 bulan gaji dalam instrumen simpanan dan selepas jumlah itu, tabungan mereka akan dilaburkan.

Sesetengah orang lain pula tidak mahu melabur dan mahukan keselamatan dengan menabung semuanya dalam produk simpanan.

Jika anda berjumpa ejen unit amanah, mereka sudah tentulah akan menggalakkan anda menabung dengan menggunakan produk mereka.

Secara peribadi saya lebih suka simpan 10% pertama dalam produk simpanan. Jika lebih daripada itu, maka boleh gunakan untuk melabur.

Walaupun yakin dapat melabur dengan bijak dan walaupun saya seorang yang sanggup menanggung risiko, perkara pertama yang saya utamakan ialah keselamatan kewangan.

Terpulang kepada anda tentang nisbah yang paling sesuai bagi anda, tetapi saya syorkan jangan terlalu agresif melabur sehinggalah anda membina tahap simpanan yang selesa terlebih dahulu.

6 ulasan:

2bz4money berkata...

Dengan adanya kemudahan deposit terus ke ASB/ASW secara online via Cimb Clicks/M2U, konsep simpan&labur sudah seiring. Simpanan ke Tabung Haji (RM1,300, bayaran minima pendaftaran haji) lebih mudah via saluran B.Islam dan B.Rakyat.

Unknown berkata...

Salam,

Memang betul, sekarang ni tak perlu pergi bank untuk buat simpanan. Yurannya pun rendah...perlu diingat kalau nak pergi bank pun kena bayar parking dan juga memerlukan masa. Jadi kaedah deposit atau pindahan online adalah cara paling mudah.

Tanpa Nama berkata...

Adakah melabur di bank lebih menguntungkan berbanding melabur saham?.

Unknown berkata...

Salam,

Bergantung kepada sama ada anda bijak membuat pelaburan. Di bank wang anda lebih selamat tetapi potensi untung lebih rendah. Di pasaran saham potensi untung amat besar, tetapi ada kemungkinan pelabur mengalami kerugian.

Pilihan bergantung kepada toleransi risiko dan kebijaksanaan pelaburan individu.

Tanpa Nama berkata...

Apakah benar dengan khabar berita bahawa Malaysia akan bangkrap pada tahun 2019. Jika ia nya benar seperti yang dihebohkan, adakah simpanan wang pengguna di bank akan dibekukan dari melakukan sebarang transaksi dalam dan luar negara?.

Unknown berkata...

Salam,

Malaysia hampir mustahil akan bankrap pada tempoh itu dan simpanan bank tidak mungkin dibekukan. Perlu diingat juga bahawa kita ada insurans deposit yang menjamin kalau tak silap saya sehingga RM60,000 bagi simpanan kita dalam bank. Sesuatu negara hampir mustahil mengalami kemuflisan.

Cuma Idris Jala ingin mewujudkan sense of urgency. Memang negara akan menghadapi masalah besar kalau subsidi tidak dihentikan tetapi tak mungkin bankrap.