11 April, 2010

Perkembangan Ingress Corporation

Catat EPS 14 sen, sedangkan harga saham hanya 65 sen

Pada awal bulan lepas, saya ada menulis tentang Ingress Corporation, iaitu tentang kemungkinan saham ini undervalued. Pada waktu itu, keputusan suku terakhir TK berakhir Jan 2010 masih belum diumumkan.

Saya ulangi bahawa Ingress Corporation ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perniagaan teras pengilangan komponen automatif bagi pengeluar kereta di Malaysia (terutamanya Proton dan Perodua) dan rantau ASEAN, dan juga terlibat dalam kejuruteraan kuasa dan sektor rel di Malaysia.

Berikut adalah sejarah pendapatan Ingress dalam tempoh 6 tahun lepas (sen), selepas mengambil kira keputusan terbaru:

2005 2006 2007 2008 2009 2010
20.3 17.1 (13.9) (14.8) (53.1) 14.2

Saya telah mengandaikan bahawa syarikat akan mencatatkan EPS 13 sen sesaham pada tahun berakhir 2010, tetapi keputusan sebenarnya ialah 14.2 sen sesaham.

Sementara itu faktor lain yang penting ialah hasilnya telah meningkat daripada 569 juta kepada 651 juta. Aset ketara bersih sesaham telah meningkat daripada RM1.41 kepada RM1.86 sesaham manakala aliran tunai daripada operasi telah bertambah daripada 36 juta tahun lepas kepada 55 juta tahun ini.

Berikut adalah carta saham Ingress:

Dipetik daripada Bursastation

Ingress kelihatan undervalued pada P/E Ratio kurang daripada 5, berasaskan harga saham kira-kira 65 sen. Mungkin pasaran masih was-was kerana masalah kerugian yang dicatatkan pada tiga tahun lepas dan juga kekeringan aliran tunai yang dihadapi sebelum ini.

Walau apa pun, sekiranya syarikat mencatatkan keuntungan yang sama atau lebih baik pada tahun yang mendatang, dan juga menyelesaikan masalah bayaran sukuk dan juga aliran tunainya, saya jangka harga saham berpotensi naik tinggi.

Seperti yang saya nyatakan dalam posting saya mengenai Ingress sebelum ini, prestasinya amat bergantung kepada pasaran automotif. Jika pasaran automotif pulih seperti yang dijangka, maka prestasi Ingress dijangka dapat diteruskan atau bertambah baik.

Tiada ulasan: