18 April, 2010

Trend Ekonomi Yang Pengaruhi Pelaburan

Ekonomi Dijangka Berkembang 5.2%, Jualan Kereta Melonjak, Pasaran Hartanah Kian Hangat, Harga Minyak dan Minyak Sawit Semakin Meningkat

Kita sudah menamatkan suku pertama tahun 2010, dan sebagai pelabur kita perlu meninjau beberapa trend ekonomi yang mempengaruhi keputusan pelaburan kita dalam tempoh yang mendatang.

1. Pada tahun ini ekonomi dijangka berkembang 5.2% menurut MIER. Ada sesetengah firma penganalisis yang meletakkan angka hampir ke 7% tetapi angka terlalu tepat tidak begitu penting. Lebih penting ialah kita sedar bahawa kegiatan ekonomi makin pesat tahun ini.

2. Kadar faedah dan pembiayaan dijangka meningkat sedikit lagi tahun ini. Kadar dasar semalaman (OPR) yang berada di tahap terendah sejak krisis ekonomi bermula telah dinaikkan sebanyak 0.25% kepada 2.25% baru-baru ini dan ramai pakar yang meramalkan kenaikan 0.5% menjelang akhir tahun.

3. Pasaran hartanah kini sedang hangat. Harga hartanah, terutamanya rumah kediaman telah meningkat dengan ketara terutamanya di lokasi utama. Begitu juga kondominium di lokasi penting. Mungkin kadar faedah rendah dan kejatuhan pasaran saham tempoh hari telah menyaksikan ramai yang berpindah kepada hartanah. Kenaikan kadar faedah mungkin mengekang kehangatan ini, tetapi tidak semestinya, lebih-lebih lagi jika spekulasi mula memuncak.

4. Harga minyak telah mencecah angka USD80 baru-baru ini selepas jatuh dengan ketara semasa krisis. Kenaikan ini akan memberi kesan kepada syarikat yang banyak menggunakan minyak sebagai input sedangkan akan merancakkan kembali syarikat dalam industri minyak dan gas.

5. Harga minyak sawit juga kembali naik ke paras lebih RM2,500 setan. Ini satu perkembangan positif bagi syarikat perladangan dan berkaitan tetapi akan mula memberi kesan kepada syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai input.

6. Jualan kereta telah meningkat dan dijangka mencapai tahap rekod pada tahun ini. Syarikat pengeluar dan pemasang kereta mungkin untung tahun ini, tetapi mungkin kita juga harus mengintai syarikat yang membekalkan komponen kereta.

Kita perlu sentiasa peka terhadap perkembangan ekonomi kerana ia mungkin mempengaruhi keputusan syarikat yang kita laburkan. Malah baru-baru ini saya ada mengambil untung dengan menjual dua saham yang meraih keuntungan besar tahun lepas kerana harga bahan inputnya, iaitu produk berkaitan petroleum dan minyak sawit, berada pada paras yang rendah.

Harga saham telah naik tinggi dan saya berpendapat mungkin untung kedua-dua syarikat dalam tahun kewangan semasa tidak dapat mengatasi untung tahun lepas disebabkan kenaikan harga input, walaupun prestasinya masih kukuh.

Kesimpulannya ialah trend ekonomi semasa boleh memberikan maklumat berharga untuk membuat keputusan jual beli saham.

Tiada ulasan: