14 April, 2010

Sistem eDividen Cepatkan Bayaran

eDividen dijangka dilaksanakan sepenuhnya 1 Sept 2010

Dalam satu taklimat media semalam, CEO Bursa Malaysia, Datuk Yusli Yusof berkata bahawa semua syarikat perlu membayar dividen menerusi sistem eDividen menjelang 1 Sept 2010.

Sistem eDividen ialah sistem di mana syarikat yang mengumumkan dividen perlu membayar dividen tersebut terus ke akaun bank pelabur, lantas mempercepatkan proses pembayaran.

Buat masa ini biasanya cek akan dipos kepada pelabur yang memegang akaun CDS, atau dibayar kepada nomini (broker anda) jika anda memegang akaun CDS menerusi nomini. Dalam kes kedua bayaran mungkin lebih lambat diterima.

Menurut Dato' Yusli, para pemegang saham akan digalakkan untuk mendaftarkan nombor akaun mereka dengan mengisi borang dengan broker masing-masing atau menerusi laman web bursa Malaysia.

Sistem e-Dividen ini akan membolehkan proses jual beli dan penerimaan dan pembayaran wang dan dividen secara elektronik sepenuhnya.

Jika anda menggunakan broker online, anda boleh melakukan segalanya di hadapan komputer anda tanpa perlu pergi ke bank atau ke mana sahaja untuk membuat bayaran, menerima bayaran dan menerima dividen untuk urusan pelaburan anda.

Malah mulai 2013, sistem cukai satu peringkat bagi dividen akan berkuatkuasa sepenuhnya (sekarang kita masih dalam proses perpindahan). Semua dividen anda tidak perlu lagi diisytiharkan dalam borang cukai. Walaupun begitu anda juga tidak layak menuntut rebet seksyen 110. Tetapi saya tahu banyak kerenah dan kira-kira yang dielakkan jika kita tidak perlu lagi mengisytiharkan dividen.

Justeru dengan segala perkembangan terbaru ini, penerimaan dividen menjadi proses mudah di mana pelabur menerima wang terus kepada akaun sejurus selepas tarikh pembayaran dan seterusnya tidak perlu lagi membuat sebarang peisytiharan cukai pendapatan.

Tiada ulasan: