21 April, 2010

Masteel Manfaatkan Pemulihan Ekonomi

Insider Asia ramal syarikat kembali untung pada 2010

Hanya sebulan dua lepas, masih ada saham yang sangat 'undervalued'. Namun begitu pada masa ini, harga telah naik dan usaha untuk mengintai peluang hebat semakin sukar.

Masteel ialah satu saham yang boleh dikatakan undervalued, walaupun tidak serendah beberapa saham yang saya tinjau sebulan dua lepas.

Baru-baru ini Insider Asia, menerusi ruangan pelaburan dalam akhbar TheEdgedaily, telah membuat analisis tentang Masteel dan saya setuju dengan pandangan mereka. Masteel ialah sebuah syarikat pengeluar keluli yang menjual produknya di pasaran tempatan dan asing.

Berikut adalah pendapatan sesaham (sen) Masteel untuk tempoh beberapa tahun (keputusan 2010 dan 2011 adalah anggaran Insider Asia):

2007 - 2008 - 2009 - 2010 - 2011
22.8 -- 40.7 -- (4.4) --15.8 -- 20.3

Carta saham Masteel:

Dipetik daripada Bursa Station


Dalam tempoh terdekat, harga Masteel pernah naik ke paras hampir RM1.20 sebelum jatuh semula dan berlegar di sekitar RM1.10

Selain itu, nilai aset ketara bersih (NTA) sesaham Masteel ialah RM2.14, jauh lebih tinggi daripada harga sahamnya yang berada di tahap RM1.06 - RM1.10 pada minggu lepas.

Sekiranya ramalan keuntungan yang dibuat oleh Insider Asia tepat, maka saham Masteel juga boleh dianggap undervalued dari segi keuntungan, dengan P/E unjuran sebanyak 6.8 kali.

Satu faktor yang boleh menimbulkan masalah ialah harga bijih besi yang kian meningkat. Bijih besi ialah produk input bagi pengeluaran keluli.

Namun, faktor ini boleh ditampung sekiranya syarikat boleh meningkatkan harga bar keluli dan nampaknya setakat ini ia masih dapat dilakukan.

Rata-rata, Masteel dijangka dapat mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan yang timbul daripada pemulihan ekonomi semasa.

Kenaikan harga saham Masteel bergantung terutamanya kepada prestasi keuntungan dalam tempoh kewangan yang mendatang, dan keputusan suku pertama 2010 akan memberi petanda kepada tempoh-tempoh yang seterusnya.

Nota: Pelabur diingatkan untuk membuat kajian sendiri dan menilai pelbagai faktor lain, termasuklah paras hutang dan aliran tunai, sebelum melabur.

Tiada ulasan: