07 April, 2010

Dana Ekuiti atau Dana Seimbang?

Lazimnya Dana Ekuiti Atasi Dana Seimbang
Dalam Jangka Panjang


Apabila memilih unit amanah daripada sesuatu syarikat unit amanah, pelabur mempunyai banyak pilihan dana. Tanyalah ejen anda tentang segala jenis dana yang ada dan kategorinya.

Dua jenis dana yang popular ialah dana ekuiti dan dana seimbang:

Dana Ekuiti - Dana yang melabur sebahagian besar daripada wang dana dalam saham

Dana Seimbang - Dana yang memperuntukkan pelaburan secara lebih seimbang antara saham dan bon/sukuk dan juga instrumen pasaran wang

Dari segi risiko, sudah semestinya dana ekuiti lebih tinggi risikonya kerana mempunyai peruntukan pelaburan lebih tinggi dalam saham, sedangkan dana seimbang mempunyai nisbah yang lebih seimbang diperuntukkan kepada bon/sukuk, yang memberikan pulangan tetap.

Pilihan antara dana ekuiti dan dana seimbang dikatakan bergantung kepada toleransi risiko anda. Jika anda pelabur lebih konservatif, anda disyorkan melabur dalam dana seimbang.

Berikut adalah prestasi lima dana terbaik untuk tempoh lima tahun dalam kedua-dua kategori sehingga Jumaat lepas (berasaskan Jadual Dana Lipper):

Dana Ekuiti Islam
1. Kenanga Syariah Growth 81.78%
2. CIMB Islamic Dali Equity 79.74%
3. CIMB Islamic Dali Equity Growth 78.78%
4. MAAKL Al Faid 78.4%
5. CMS Islamic Select Enterprises 72.76%

Dana Seimbang Islam
1. Apex Dana Al Faiz 89.47%
2. TA Dana Optimix 58.25%
3. HLG Dana Maarof 58.03%
4. ASBI DAna Al-Falah 55.87 %
5. CMs Islamic Balanced 47.29%

Daripada angka pulangan di atas dan pemerhatian saya sebelum dan selepas krisis, dalam jangka panjang, pulangan yang diberikan oleh dana ekuiti umumnya lebih tinggi daripada dana seimbang.

Tetapi seperti yang dilihat daripada Apex Dana Al Faiz, satu dua pengecualian boleh berlaku. Selain itu Dana Seimbang umumnya mencatatkan prestasi yang lebih baik di tengah-tengah kegawatan kerana cirinya yang besifat lebih defensive

Walau apa pun, kita dapat lihat di sini bahawa jika anda memilih dana yang betul, pulangan yang anda peolehi untuk tempoh 5 tahun menerusi unit amanah yang baik adalah agak tinggi, walaupun kita baru sahaja melalui tempoh kegawatan yang agak serius.

Sebagai perbandingan, pulangan yang diberikan oleh ASB ialah lebih kurang 50% selepas mengambil kira kesan compounding. (Nilai sebenar tidak dapat ditentukan dengan tepat kerana faktor bonus berbeza untuk setiap individu yang dibayar bergantung purata simpanan dalam tempoh 10 tahun).

Namun begitu, apabila membandingkan dengan ASB, anda perlu mengambil kira bahawa ASB ialah hampir risk free sedangkan dana di atas ada risiko. Justeru, kita sudah semestinya mengharapkan prestasi lebih baik (outperformance) daripada unit amanah sebagai balasan kepada risiko yang kita ambil.

Terpulang kepada anda untuk memilih dana yang sesuai dengan pilihan dan toleransi risiko anda, atau simpan sahaja dalam ASB.


Nota: Jangan pula anda asyik fokus kepada dana yang disenaraikan di atas kerana lain minggu, bulan atau tahun, dana lain akan berada di lima tangga teratas. Yang penting ialah prestasi baik yang konsisten dalam semua jangka masa.

Tiada ulasan: