02 Ogos, 2009

Titan Chemicals Akhirnya Jadi Gergasi?

Titan mula bangkit selepas lama terumbang-ambing

Titan Chemicals ialah sebuah syarikat pengeluar olefin dan poliolefin yang pertama dan terbesar di Malaysia dan juga salah satu daripada pengeluar yang terbesar di Asia Tenggara. Syarikat ni mempunyai kemudahan di Pasri Gudang dan Tanjung Langsat dan juga beberapa loji di Merak Indonesia.

Apabila syarikat ini disenaraikan pada tahun 2005, ia merupakan antara penyenaraian terbesar di Malaysia. Ramai yang memohon untuk saham IPO, dan para penganalisis juga teruja dengan penyenaraian dan juga potensi syarikat.

Namun sejak penyenaraian, prestasi syarikat tidak dapat memenuhi jangkaan yang ditetapkan di dalam prospektus. Justeru kebanyakan pelabur, termasuk pelabur institusi mula tidak puas hati dan ramai yang menjual saham dan menyebabkan harganya jatuh. Walaupun prestasinya tidak sehebat yang dijangka, secara keseluruhannya ia tetap memuaskan.


Dipetik daripada Bursastation


Jika kita lihat saham Titan Chemicals, kita dapati sejak disenaraikan pada 2005, sahamnya tidak melepasi harga IPO. Malah ia telah jatuh menjunam sehingga ke tahap 50 sen. Bagaimanapun harganya telah melantun kembali kebelakangan ini dan kini berada pada harga RM1.06 pada 31 Julai 2009.

Namun nasib Titan mungkin sudah mula berubah. Syarikat ini baru sahaja mengumumkan keputusan separuh tahun terbarunya di mana syarikat mencatatkan pendapatan sesaham 17.42 sen. Ini satu peningkatan lebi 50% berbanding separuh tahun sebelumnya.

Saya yakin dalam kes terburuk pun syarikat mampu mencatakan pendapatan sesaham 25 sen untuk seluruh tahun (saya ramalkan angkanya jauh lebih tinggi). Jika untung lebih kurang 25 sen, nisbah P/E semasanya ialah 5 - 6 sahaja, satu tahap yang sangat rendah. Aset ketara bersihnya juga berada pada tahap RM2.41 sesaham, jauh lebih tinggi daripada harga semasa saham RM1.06.

Satu lagi perkara yang meyakinkan saya ialah syarikat ini sedang membeli balik saham sendiri secara agresif. Malah kali terakhir syarikat membeli saham sendiri ialah pada 31 Julai pada harga RM1.09 (Maklumat ini boleh didapati di laman web Bursa Malaysia). Saya rasa mereka sendiri yakin dengan keputusan yang bakal dicapai pada tahun ini.

Baru-baru ini, syarikat juga mengumumkan pengeluaran resin polyolefin halal ke pasaran. Dengan segala perkembangan positif ini, saya yakin syarikat dapat meneruskan prestasi baik dalam tempoh setahun dua lagi.

Namun begitu, risiko membeli saham Titan lebih menjurus kepada kedudukannya sebagai 'price taker', dalam pasaran produknya dan juga pasaran bahan mentah. Ini bermakna syarikat tidak banyak kuasa untuk menentukan harga. Justeru jika harga bahan mentah naik dan harga produk tidak boleh dinaikkan, seperti pada tahun lepas, maka syarikat mungkin menghadapi masalah.

Saham ini bukan saham 'buy and hold' untuk jangka terlalu panjang. Sebaliknya ia berbentuk kitaran atau cyclical dan perlu dijual sekiranya didapati harga bahan mentahnya naik teralu tinggi sehingga menyebabkan margin menurun. Walau apa pun, dalam tempoh 1 hingga 2 tahun akan datang situasi kelihatan positif.

1 ulasan:

Pok Li berkata...

ulasan menarik. tk.