16 Ogos, 2009

Buat Duit Senang Tapi Produktifkah Anda?

Banyak skim buat duit yang tiada nilai ekonomi

Sekarang ini saya lihat banyak iklan, rencana dan buku tentang cara buat duit dengan xxx, jadi jutawan dengan melakukan yyy. Pada satu sudut, saya anggap ini satu perkembangan yang baik kerana semakin banyak peluang yang wujuf untuk mencari rezeki di Malaysia.

Tetapi satu perkara perlu diingat. Buat duit tidak semestinya anda melakukan kerja produktif. Jadi anda perlu fikir sebelum menyahut seruan iklan sama ada anda mahu buat duit dengan cara produktif atau mahu buat duit dengan apa cara sekalipun.

Maksud saya 'cara produktif' ialah melakukan sesuatu yang bernilai untuk ekonomi. Dengan kata lain, anda menghasilkan sesuatu 'economic good' atau 'adding value', iaitu menambah nilai.

Saya bagi satu contoh, anda boleh buat duit dengan bekerja di kilang rokok atau menjual rokok. Tetapi anda tidak menghasilkan satu 'economic good' atau 'adding value'. Menambah mudarat adalah.

Kalau nak buat duit, memang boleh duit dengan cara ini, tapi produktifkah anda? Apakah anda menyumbang kepada masyarakat dengan cara ini? (Maaf jika menyinggung perasaan mereka yang bekerja dalam industri ini).

Satu lagi contoh ialah perniagaan Forex yang begitu banyak orang yang mengiklan di akhbar dan juga Internet. Jika anda jual beli matawang, apakah 'value' yang dicipta daripada urus niaga anda? Apakah 'economic good' yang terhasil? Tidak ada, hanya wang bertukar tangan (melainkan jika anda lakukan lindung nilai (hedging) atau urus niaga mata wang dalam kontrak dagangan produk atau perkhidmatan).

Boleh buat duit dengan Forex? Memang boleh. Tapi Forex ialah seperti 'zero sum game'. Kalau ada orang menang RM100, mesti ada orang atau orang-orang lain yang kalah RM100. Yang untung ialah broker urus niaga. Memang benar kalau anda bijak anda boleh menang. Malah saya lihat ada orang iklan kata mereka berhenti kerja untuk berdagang Forex sepenuh masa. Boleh dapat lebih banyak duit dalam waktu kerja lebih singkat. Tapi saya tanya sekali lagi, produktifkah anda?

Ini amat berbeza daripada pelaburan seperti saham di mana anda memiliki syarikat yang berdagang, menghasilkan produk, membayar gaji, memberi perkhidmatan mempunyai pembekal dan lain-lain...semuanya menghasilkan nilai, atau unit amanah, hartanah atau pun melabur dalam perniagaan rakan anda atau perniagaan sendiri, walaupun betapa kecil, yang semuanya memberikan 'value added' atau berpotensi menambah nilai.

Antara skim lain yang boleh buat duit tetapi tidak produktif termasuk beberapa jenis perniagaan Internet yang cuba 'game the system', kebanyakan bentuk dagangan derivatif dan juga pelaburan emas.

Ya, tidak ada nilai yang diperolehi daripada menyimpan emas untuk pelaburan atau membuka buku pelaburan emas. Mungkin boleh buat duit tetapi tiada nilai ekonomi daripada aktiviti anda.

Ramai yang tak setuju dengan pandangan saya, tapi anda perlu ingat saya bercakap tentang nilai ekonomi di sini. Emas tu memang ada. Anda cuma membeli dan andaikan lima tahun kemudan anda jual. Tidak ada apa-apa kegiatan produktif berlaku dalam tempoh anda memegang emas dan menjualnya. Tiada apa nilai yang ditambah, walaupun harga emas telah naik.

(Nota: Perniagaan barangan kemas adalah perkara lain dan saya anggap ia aktiviti produktif, kerana barangan kemas ada nilai untuk pemakainya, walaupun ia hanya 'perceived value')

Jadi jika anda mahu buat duit sahaja, tak perlu fikirkan sama ada kegiatan anda produktif atau tidak. Tapi kalau anda mahu membuat duit dengan melakukan sesuatu yang produktif, maka fikirkan dahulu sama ada kegiatan anda mempunyai nilai dari segi ekonomi.

2 ulasan:

The Fakhirin berkata...

salam,

saya ada membaca cik ulas berkenaan dengan forex..perlu di ingat forex bukan zero sum game and it's not a game..bagi saya istilah untung rugi berdasarkan fundamental dan teknikal traders itu sendiri....sebagai contoh,kebanyakan pembeli saham malaysia tidak tahu teknikal dan hanya memdengar news yg di kluarkan oleh syarikat atau mana2 spekulator..tetapi forex byk berita yg di keluarkan untuk memberitahu keadaan sesuatu matawang...sebagai contoh matawang euro...bloomberg sendiri ada mencerita...jadi saya ingin menyangkal pendapat encik bahawa forex like a game...it's not HYIP...

faizfakhirin,
http://indicators-forex.blogspot.com

Unknown berkata...

Salam Sdr Faiz,

Terima kasih kerana singgah.

Berkenaan komen saudara. Memang betul forex bukan game. Maksud saya ialah forex ialah seperti zero sum game (saya akan edit entry untuk memasukkan perkataan 'seperti' untuk mengelakkan salah faham lanjut).

Tahukah saudara apa maksud zero sum game? Zero sum game ialah permainan di mana jika ada satu pihak menang, mesti ada pihak lain yang kalah. Sebagai contoh jika ada dua sahaja pedagang forex dalam dunia ini, jika anda untung RM40, pedagang yang lagi satu mesti rugi RM40. Bila anda jual beli forex, anda tidak mencipta sebarang nilai kepada ekonomi. Tiada economic good or service yang dicipta.

Memang anda boleh buat untung, tak kiralah sama ada gunakan fundamental atau technical analysis, tetapi pokoknya tiada economic value dicipta KECUALI jika anda menggunakan urus niaga forex sebagai sebahagian daripada urus niaga dagangan atau menggunakan forex untuk lindung nilai. Itulah maksud saya.

Artikel saya ialah mengenai buat duit debgan create economic value dan buat duit tanpa economic value. Bukannya boleh buat duit atau atau tidak. Tidak dinafikan bahawa jika dilakukan betul, berdagang forex boleh buat duit.

Malah, kalau saudara boleh buktikan bahawa dengan berdagang forex semata-mata untuk cari untung boleh menghasilkan economic good atau service dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, saya akan tukar posting saya.