Cara mudah bagi pelabur menentukan pulangan efektif atau terkompaun
Anda mungkin pernah membeli unit amanah tiga tahun lalu, dan baru-baru ini telah menjualnya. Anda tahu anda melabur RM15,000 dan selepas anda menjual pada harga semasa, anda memperolehi jumlah bersih RM22,500 (Nota: Andaikan dividen yang diterima sepanjang tiga tahun dilaburkan semula).
Daripada angka tersebut, anda telah meraih keuntungan RM7,500 atau 50%. Namun begitu anda hendak tahu berapakah pulangan terkompaun anda setiap tahun. Adakah kita ambil 50% dan kemudian bahagikan dengan 3 untuk mendapatkan jawapannya? Itu kaedah pengiraan yang salah.
Untuk mengira pulangan efektif atau terkompaun (kadangkala juga disebut sebagai annualised returns), yang menjadi kaedah pengiraan piawai bagi segala jenis instrumen kewangan, anda perlu menggunakan mesin pengira kewangan yang boleh dibeli di kedai buku atau kedai alatulis.
Namun kita ada jalan lebih mudah kerana menggunakan mesin pengira kewangan mungkin memeningkan kepala. Ada beberapa laman web yang menawarkan pelbagai jenis 'financial calculator' untuk memenuhi keperluan anda.
Untuk mengira pulangan efektif, anda boleh klik laman web Investopedia Effective Rate Calculator. Memasukkan nilai yang diminta:
Initial Amount Invested : 15,000
Terminal Value : 22,500
Number of years : 3
Anda akan mendapat jawapan 14.47%
Namun begitu, laman ini hanya boleh mengira pulangan untuk tahun penuh. Bagaimana kalau anda memegang pelaburan selama 3 tahun 6 bulan. Untuk mengira dengan tepat, pergi ke laman web berikut yang saya temui http://www.1728.com/compint.htm.
Anda akan ditanya...do you want to solve for: total, principal, years or rate?
Pilih rate, dan kemudian isi angka yang berkenaan. Berasaskan contoh di atas
Principal: 15000
Years : 3.5 (iaitu 3 tahun 6 bulan)
Total: 22500
Klik Annually
Anda akan mendapat jawapan 12.28%
Anda boleh mengira pulangan terkompaun unit amanah, saham atau portfolio saham anda dengan cara ini. Anda akan dapat membandingkan pulangan anda dengan pelaburan lain yang setara atau dengan indeks penanda aras untuk mengukur prestasi pelaburan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan