Tanda aras prestasi ialah indeks dan dividen ASB
Ramai pelabur mungkin bertanya sama ada pelaburan ASB lebih baik atau Unit Amanah lebih baik? Jawapannya bergantung kepada keadaan. Kaum Bumiputera di Malaysia amat bernasib baik kerana mempunyai pelaburan ASB yang memberikan pulangan sekurang-kurangnya 8 peratus setiap tahun.
Jika wang dibiar dan ditambah dalam ASB, jumlahnya akan terkompaun dan memberikan hasil yang agak lumayan dalam jangka panjang. Satu lagi manfaat ialah pulangannya hampir tanpa risiko. Amat jarang ada pelaburan sebegini, walau di mana sahaja di dunia. Biasanya pelaburan yang menjamin pulangan terjamin setinggi ini lebih dikaitkan dengan skim yang ada unsur penipuan.
(Nota: Ada pihak yang meragui sama ada NAB atau Nilai Aset Bersih ASB adalah RM1.00 kerana ia tidak pernah didedahkan di mana-mana, dan saya salah seorang daripada pihak yang meraguinya, tetapi saya tak kisah sangat kerana skim ini mendapat sokongan kerajaan, kalau rugi pun, mungkin kerajaan tampung.)
Justeru jika pelabur Bumiputera membeli Unit Amanah, tak kira apa jenis, anda perlu menanda aras dengan dua perkara, pertama ialah indeks yang ditetapkan oleh Syarikat unit amanah sebagai penanda aras, dan kedua ialah pulangan ASB (selagi anda tabungan anda belum cukup RM200,000. Jika sudah cukup RM200,000, tanda aras ini tidak relevan lagi).
Justeru, anda mahu unit amanah memberikan anda pulangan terkompaun sekurang-kurangnya lapan peratus setahun. Malah bagi saya 8 peratus pun belum cukup, mungkin 10 peratus lebih baik kerana perlu diingat bahawa ASB adalah hampir tanpa risiko sedangkan unit amanah boleh turun atau naik bila-bila masa dan juga boleh menyebabkan kerugian.
Untuk melihat prestasi pulangan terkompaun dana dalam tempoh 5 tahun lepas, sila lihat Jadual Dana Normany yang boleh didapati dalam akhbar kewangan The Edge. Buat tempoh semasa, hanya ada lebih kurang 10 dana patuh Syariah yang melepasi tanda aras yang saya tetapkan.
Namun begitu perlu diingat bahawa ini mungkin kerana harga saham semasa agak rendah kerana pasaran masih belum pulih sepenuhnya selepas kegawatan. Mungkin prestasi akan menjadi lebih baik dalam tempoh 1 atau 2 tahun akan datang.
Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah prestasi dana yang dicatatkan dalam Jadual Dana ialah sebelum mengambil kira kos jualan/perkhidmatan sekali bayar, biasanya antara 2 - 6%, bergantung kepada saluran pengedaran atau kaedah pembelian. Kos ini juga perlu diambil kira.
Jika kos ini dimasukkan, mungkin jumlah dana yang mengatasi penanda aras lebih rendah lagi.
Jika anda tidak sanggup menanggung risiko, tidak salah untuk mengumpulkan dulu RM200,000 dalam ASB selagi dividen yang diberikan sekitar 8%. Sebarang wang tambahan selepas itu barulah dilaburkan dalam unit amanah.
Sebaliknya jika anda rasa anda pandai memilih dana yang sesuai dan sanggup melakukan sedikit penyelidikan untuk menentukan pilihan paling bijak, anda harus melabur dalam unit amanah, tetapi perlu diingat, anda hendaklah melabur untuk jangka panjang kerana kos awal unit amanah agat tinggi dan sedikit masa mungkin diperlukan sebelum NAB naik mengatasi kos ini dan memberikan pulangan lebih lumayan untuk anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan